Surah Al-Ahzab :70-71

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada ALLAH s.w.t. dan katakanlah perkataan yang benar, nescaya ALLAH s.w.t. akan memperbaiki amalan mu dan mengampuni dosa-dosamu. Barangsiapa yang mentaati ALLAH s.w.t. dan RasulNYA maka sesungguhnya dia telah mendapat kemenangan yang besar".
Photobucket

MENUJU MARDHOTILLAH

Belajar merupakan satu jihad di jalan Allah. Mengajar merupakan suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah! ..Jadi belajar dan mengajarlah dengan penuh keikhlasan padaNYA.

Peringatan....

Jika engkau mahukan teman...
Cukuplah Allah sebagai teman.
Jika engkau mahukan musuh..
Cukuplah nafsu sebagai seteru..
Jika engkau inginkan hiburan..
Cukuplah Al-Quran sebagai hiburan..
Jika kamu inginkan nasihat..
Cukuplah mati sebagai penasihat.

Friday, December 31, 2010

Betulkan motivasi (pendorong) kita dalam beramal!

islam


Bismillahirrahmanirrahim...
  
      Dalam apa sahaja kerja yang kita lakukan, sama ada kecil atau besar mesti ada pendorong atau motivasi diri untuk melakukannya tak kiralah sama ada pendorong atau motivasi itu lemah atau kuat. Pelbagai jenis pendorong untuk melakukan sesuatu kerja itu dan ini, mungkin kerana harta benda, mencari populariti, pangkat, wanita dan bermacam-macam lagi...........
     Pendekata manusia sanggup bersusah payah untuk  berbuat apa sahaja, menyusun strategi dan tindakan untuk mendapatkan apa yang dicita-citakan atau untuk mencapai sesuatu matlamat. Memanglah dalam melakukan sesuatu kerja atau amal, faktor pendorong atau motivasi ini merupakan suatu faktor yang penting. Dengan adanya faktor motivasi ini , sesaorang akan bekerja lebih bersemangat , sanggup bersusah payah dan berkorban. Bila motivasi ini kuat , maka kuatlah amal dan sebaliknya lemahnya motivasi, kerja dibuat sambil lewa tidak bersemangat! Tak kiralah samada pendorong atau motivasi itu betul atau tidak , ia tetap mempengaruh setiap amalan kerja yang dilakukan.  
    Motivasi ini terdiri dari dua jenis samada motivasi luaran atau motivasi dalaman. Antara keduanya, motivasi dalaman sangatlah penting kerana ia adalah motivasi diri yang datangnya dari lubuk hati yang mempengaruhi tindakannya. Motivasi dalaman ini lebih kekal dan consistent berbanding motivasi luaran yang perlu selalu pada rangsangan luar dalam melakukan kerja. Bagi motivasi luaran ini, tanpa rangsangan dari luar, semangat sesaorang itu lemah, hasil kerja tidak optimum. Contohnya, sesaorang itu perlu selalu diingatkan, dinasihati, di motivasikan oleh orang lain untuk buat sesuatu kerja. Tanpanya, dia lemah dan tidak berdaya.  Hasil kerja dan pencapaian tidak seberapa. Namun bagi  orang yang ada motivasi dalaman atau self motivation ini, dirinya sentiasa bersemangat dalam kerja yang dibuat , selalu susun strategi dan tindakan sendiri untuk mencapai matlamat dirinya. Dia bersungguh-sungguh dalam kerja yang di buat, tidak buang masa, berdisiplin, tidak bergantung pada orang lain. Dengan demikian, orang sebegini selalunya berjaya dalam mencapai matlamatnya! 
     Bagi kita , self-motivation inilah yang sepatutnya  mendorong  kita sebagai seorang Muslim untuk beramal  mencari keredhaan Allah. Namun dorongan dalaman ini kenalah betul, hakiki dan abadi. Pendorong kita mestilah bebeza dari manusia lain. Kita adalah seorang Muslim yang perlu berbeza dari manusia lain dari segi  zahir dan batin kita. Rasa hati kita berbeza, pandangan hidup kita berbeza, akhlak kita berbeza, citarasa kita berbeza, nilai kita berbeza, tuturkata kita berbeza.....kita berbeza semua sekali dari bukan Muslim!
    Namun bila kita mengaku Muslim, tapi akhlak kita sama dengan yang bukan Islam, cakap kita  lucah dan merapu, perangai kita kasar........ apa ertinya pengakuan itu? Mengaku Muslim hanya pada mulut sahaja tapi sebenarnya kita masih belum betul-betul menjadi Muslim yang Allah kehendaki yang ada perbezaan yang bermula dari perbezaan dalam jiwa......iaitu iman pada Allah! Iman yang setipis kulit ari yang tidak mampu melakukan perubahan diri untuk berbeza dari yang bukan Muslim! Perlulah semak diri, perbetulkan niat , tingkatkan keikhlasan diri untuk kembali Allah.  Perbezaan hati kita,  diri dan syahsiah kita di dunia ini menentukan tempat kita juga berbeza di akhirat nanti! 
       Jadi,  pendorong seorang Muslim dalam kerja-kerjanya adalah dorongan iman pada Allah! Keyakinan yang ada didalam lubuk hati yang tersembunyi inilah merupakan pendorong yang kuat, gagah, istiqamah dan terjamin iltizamnya (komitmen). Pendorong yang lebih bersih, suci dan dirasai kenikmatannya dalam jiwa orang Mukmin.
    Dalam apa sahaja kerja yang dibuat, orang Mukmin sejati   bertindak  hanya atas  dorongan iman. Bekerja, mencari rezeki, belajar, berbuat baik pada orang lain, berumahtangga....apa sahaja,  semuanya atas dorongan iman. Tidak ada satu pun yang dibuat atas dorongan yang lain!  Disamping itu dia juga memperhatikan bagaimana cara dia melakukan sesuatu kerja itu.....yang selalu dipersoalkan ...........aku buat ni kerja ni ikut syarak ke atau tidak, dosa atau pahala?   Jiwanya akan rasa tenang apabila dia berada diatas landasan yang betul, sebaliknya rasa sesal, gelisah dan berdosa bila melakukan sesuatu yang tidak syarak! Jiwa sebegini  adalah jiwa yang hidup yang dalam dirinya ada cahaya petunjuk yang sentiasa membimbingnya diatas jalan yang lurus.  Tapi bila buat maksiat , tak rasa apa-apa, malah meremehkannya, jiwa ini sebenarnya dipenuhi selaput hitam yang mengeras , jiwanya  sakit dan mungkin hampir mati. Cepat-cepat ubatilah jiwa ini sebelum ia betul-betul dah mati!  
      Kekuatan dorongan dari dalam hati inilah sebenarnya merupakan kurniaan Allah kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Jiwa ini dari segi fitrahnya, ingin kembali pada Allah SWT. Ia ingin berhubung, merujuk pada Allah SWT dan inginkan juga kurniaanNya.  Manusia akan jadi kuat bila hatinya betul-betul berhubung dan berkeyakinan tinggi dengan Allah. Namun bila jiwa diselaputi dosa, halangan dan gangguan nafsu, ada tabir yang menutupi dan ia akan jadi lemah, tidak bermaya.  Namun tabir ini akan tersingkap bila disaat-saat manusia itu terdesak dan di timpa bencana dimana pada ketika itu seluruh pengharapan dan doa hanya ditujukan kepada Allah. Tapi bila Allah hilangkan bencana tadi, kembalilah ia ke keadaan asalnya tadi, ingkar dan kufur pada Allah SWT! Dia telah lupa akan doa dan pengharapannya tadi!  
   Disamping kekuatan dorongan hati tadi, akal juga jika diberikan haknya, benar-benar digunakan dan diberi kebebasan untuk mencari kebenaran, pasti ia dapat menemui kebenaran itu. Akal itu dari segi fitrahnya juga sentiasa berpihak kepada kebenaran dan menuju kepada Allah SWT. 
Rasulullah saw bersabda  dalam hadithnya, 
   " Allah tidak menjadikan sesuatu kejadian lebih mulia dari akal." Hadith Riwayat Tarmizi
 "Tidaklah beruntung sesaorang lelaki dengan mendapat satu pemberian sebagaimana beruntungnya dia mendapat nikmat akal yang membimbingnya kepada kebaikan dan menahannya dari kebinasaan." Hadith Riwayat Tarmizi.
   Gabungan dorongan dalaman hati dan akal yang membimbing menjadikan seorang mukmin itu sentiasa berada di atas landasan yang betul dengan izin Allah SWT. Hati dan akal itu adalah nikmat Allah yang tidak ternilai yang perlu dijaga supaya ia sentiasa hidup dan sihat selalu. Sepatutnya kita  menjaga hati dan akal lebih dari yang lain kerana bila rosak hati dan akal tidak bergunalah diri manusia itu. Dia  jadi tidak siuman dan jiwanya sentiasa tertekan! Tapi begitulah sifat manusia ini.....selalu  hanya menitikberatkan penjagaan dan penampilan luaran diri sahaja agar sentiasa bergaya , up to date dan segak selalu! Terlalu mementingkan menjaga imej diri dan suka pada pujian orang........tapi malangnya jiwa dan akalnya dibiarkan menderita sakit dan tidak tunaikan hak-haknya!
     Justru itu marilah kita sama-sama melihat apakah perkara utama yang kita perlu lakukan. Islam yang nak kita praktikkan adalah Islam yang syumul tapi dalam melaksanakan sesuatu amalan perlu melihat amalan-amalan yang perlu di beri keutamaan. Semua kerja-kerja Islam adalah penting, tapi ada yang terlebih penting dari yang penting. Ini yang kita kena dahulukan dulu. Contohnya pentingnya kita mempunyai iman yang mantap yang dapat menjadi dorongan diri untuk melakukan amal soleh yang Allah terima.
    Jadi semua kerja-kerja untuk menyemai, menumbuhkan iman, membajai dan menjaga iman adalah sangat penting, tidak boleh diabaikan dan tinggalkan. Walau apa yang kita buat , di tahap mana kita berada, perkara ini perlu dijaga. Hati dan akal perlu dijaga selalu, jangan abaikan ia. Setiap hari kita memberikan makanan dan minuman pada badan kita, tapi kita terlupa memberi makanan dan minuman pada akal dan jiwa kita.....jadi hati dan akal kelaparan dan kehausan selalu! Jadi kasihanilah akal dan hati kita.........jangan biarkan ia derita !

Rujukan
Sumber Tarbawi.

Thursday, December 30, 2010

10 perkara yang meraih kebahagiaan

islam
Bismillahirrahmanirrahim........

   Kunci kebahagiaan itu adalah satu kata, warisan agama itu adalah satu ungkapan, dan panji kemenangan itu adalah satu kalimat. Kata, ungkapan dan kalimat itu adalah Laa illaha illallah, Muhammadur rasulullah. 
   Kebahagiaan orang yang mengucapkannya di bumi ialah nanti di langit akan dikatakan kepadanya : " Engkau benar". 
   " Dan (nyatalah bahawa) yang membawa kebenaran(tauhid dan hukum agama ) serta ia ( dan pengikut-pengikutnya) mengakui kebenarannya (dengan mematuhi hukum-hukum Itu). Mereka itulah orang-orang yang bertakwa. (Az Zumar :13) 
   Kebahagiaan orang yang mengamalkan syahadah ini adalah jaminan bahawa ia akan selamat dari kebinasaan, cacat , cela dan neraka.
   "Dan (sebaliknya) Allah akan menyelamatkan orang -orang yang bertakwa (yang menjauhkan diri dari perbuatan syirik dan maksiat) dan mereka mendapat kemenangan besar(keredhaan Allah)."
  Kebahagiaan orang yang menyeru kepada sesama manusia supaya kembali menghayati kalimah syahadah adalah jaminan ia akan ditolong, dibantu dan akan dikatakan ucapan terimakasih kepadanya.
     " Dan sesungguhnya tentera Kami itulah yang pasti akan menang." ( As-Shaffat: 173).
    Kebahagiaan orang yang senang terhadap syahadah ini adalah jaminan akan diangkat, dimuliakan dan dihargai.
      " Padahal kekuatan itu hanya bagi Allah, bagi RasulNya dan bagi orang-orang Mukmin." ( Al- Munafiqun : 8)
   Pengucapan kalimah ini oleh Bilal bin Rabah, seorang hamba, telah memerdekakannya dan mengangkat darjatnya. Beliau merupakan salah seorang sahabat yang dijamin syurga.
" Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan kekafiran kepada cahaya iman." ( Al-Baqarah : 257)
     Sebaliknya penolakan kalimah ini oleh Abu Lahab al-Hasyimi, seorang pembesar Quraisy yang sangat angkuh menyebabkan ia mati dalam keadaan hina dina.
  " Dan sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka tiada seorangpun yang mampu memuliakanya." (Al- Hajj: 18)
    Kalimah syahadah ini adalah mukjizat yang telah  mendorong manusia dari tiada harga dan tiada nilai kepada puncak keimanan yang suci.  
    " Tetapi kami menjadikan Al-Quran itu cahaya, yang kami tunjuki dengannya siapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba kami." ( Asy- Syura: 52)
     Janganlah kita sekali-kali bangga dengan dunia yang kita miliki seperti harta, pangkat, rumah, sawah ladang, wanita, anak-anak, jika kita berpaling dari akhirat, seksa yang pedih dan kehinaan   sedia menunggu. Jika kita berbangga dengan anak dan keturunan dan harta kekayaan kita , semuanya adalah milik Allah yang merupakan pinjamanNya untuk kita. Ingatlah bahawa  perbuatan ini hanya akan menyebabkan kita sengsara dan merupakan satu kerugian dalam perjalanan kita menuju Allah, semua itu  akan menjadi laknat nanti di akhirat. 
    " Dan bukanlah harta benda kamu dan anak pinak kamu yang mendampingkan kamu disisi Kami walau sedikit pun, kecuali orang -orang yang beriman dan beramal soleh." (Saba:37) 
   Jadi kebahagiaan apabila kita merealisasikan kalimah syahadah ini dalam seluruh kehidupan kita sama ada kita susah atau senang, kaya atau miskin.....menggengam kalimah ini dalam apa jua keadaan walaupun terpaksa mengorbankan segalanya............! 
  Sepuluh perkara yang perlu diamalkan untuk meraih kebahagiaan.........
1.  Bangun diwaktu sahur untuk beristighfar...
    " Dan orang -orang yang beristghfar pada waktu sahur..." ( Ali-Imran: 17)
2.  Menyendiri untuk bertafakkur..
    " Dan mereka memikirkan tentang kejadian langit dan bumi..." ( Ali- Imran:191)
3.  Menjalin hubungan dengan orang yang soleh.
    " Dan jadikanlah diri mu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang beribadah pada Tuhan   mereka." ( Al- Kahfi: 28)
4.  Berzikir
    " Wahai orang-orang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah), ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan dan sebutan yang sebanyak-banyaknya." (Al- Mukminun :2)
5.  Solat dua rakaat dengan khusyuk.
     " Iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya." ( Al Mukminun :2)
6.  Membaca Al- Quran dengan penuh penghayatan.
     " Patutkan mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al- Quran?" ( An- Nisa : 82)
7.   Berpuasa pada hari yang sangat panas.
      " Meninggalkan makanan dan minuman dan syahwatnya kerana Aku " ( Hadith Nabi).
8.   Bersedekah secara sembunyi-sembunyi.
     " Hingga tangan kirinya tidak tahu apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya."( Hadith Nabi)
9.   Meringankan beban orang Islam.
     " Sesiapa yang meringankan beban kesusahan yang di alami oleh orang Islan di dunia, maka Allah akan melepaskannya dari kesusahaan di akhirat."( Hadith Nabi).
10.  Berlaku zuhud terhadap sesuatu yang sifatnya fana.    
       " Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan dan lebih kekal." (Al- A'la: 17)  

Rujukan
 La Tahzan




    

Wednesday, December 29, 2010

Berlalunya tahun 2010....bagaimana persediaan kita di tahun 2011?

Bismillahirrahmanirrahim.................

      Tahun 2010 sudah hampir sampai ke penghujungnya.....tiba pula tahun 2011. Tahun 2010 yang akan ditinggalkan yang penuh dengan kenangan pahit dan manis, suka dan duka...........Ku laluinya dengan langkah yang perlahan, meniti hari-hari yang berlalu merawat dan memproses jiwa ini supaya bangun kembali bersemangat .......there is light at the other end of the tunnel, insyaAllah!
    Rasanya begitu baru lagi aku mececah ke tahun 2010 .......seolah-olah peristiwa  yang terjadi hanya baru berlaku semalam....Masih segar dalam ingatan! Namun ku sedari hidup perlu diteruskan,  ada matlamat yang  lebih penting....menggarap redha illahi di sepanjang perjalanan kehidupan yang sebenarnya sangat singkat ini! Sangat sedikit dari kita ini yang akan  hidup sampai seratus tahun pun....bila tiba masanya kita pasti menghadapNya, dunia ini fana tapi akhirat itu forever, no ending,  infinity.......so be prepared for that in this world that we live in now! Kita hidup didunia ini untuk membuat persediaan diri untuk mati...... Maka janganlah bertangguh lagi dan jangan biarkan peristiwa semalam menghantui diri sentiasa......kata-kata ini memang senang di ucap dan ditulis tapi hanya Allah sahaja yang tahu betapa sukarnya untuk melaksanakannya! Kepedihan masih terasa walaupun ia telah berlalu pergi!   Ya Allah permudahkan kami melalui kehidupan yang banyak ujian ini dengan tabah, bantulah kami ya Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Jangan tinggalkan kami sendirian tanpa bimbinganMu! Tiada Tuhan yang ku sembah melainkan Engkau.
     Begitulah penghidupan ini, hari demi hari berlalu...... hari kelmarin di tinggalkan semakin jauh, begitu juga tahun ini  akan kita tinggalkan jauh pergi, benarlah ungkapan yang  mengatakan Yang jauh itu MASA , yang dekat itu MATI........maka menapaklah kita ke tahun baru dengan penuh pengharapan......Apa agaknya yang tersedia untuk kita? ujian yang berat ke, sedih, duka ke.....semuanya, insyaAllah akan kita lalui! Hari esok menanti kita......namun bagaimanakah persediaan diri? 
    Ada orang memulai tahun baru ini dengan azam baru, rumah baru, kereta baru... semuanya nak baru.....namun bila melangkah ke tahun baru, azam tinggal azam, yang baru tadi jadi lapuk....sikap dan akhlak masih sama....... .begitukah sepatutnya?
      Tahun baru Hijrah atau Masihi ini ......kita sama-sama sambut ia dengan istigfar dan taubat kita untuk tahun  ini yang akan berlalu...... istighfar di atas segala dosa dan kesalahan yang telah kita lakukan sama ada sengaja atau tidak, sedar atau tidak.....Kita perbaharui azam kita dengan doa yang kita panjatkan pada Allah SWT supaya membimbing kita berada di atas jalanNya yang lurus, membantu kita menghadapi segala mehnah dan ujian hidup ini, menambahkan iman dan takwa kita padaNya, membantu kita menjadi orang yang ikhlas beramal padaNya...... 
     Apa yang tersedia untuk kita perlulah sama-sama kita hadapi dengan optimistik, bersangka baik dengan Allah, tahun baru ini lebih baik dari yang lepas, insyaAllah! Namun bagi orang mukmin itu segalanya baik belaka, bila mendapat nikmat ia bersyukur, bila ditimpa mehnah dan ujian ia bersabar.....semuanya ada hikmah disebalik sesuatu kejadian. Segala ujian dan mehnah Allah itu sebenarnya  adalah sebagai kifarah dosa-dosa kita. Melalui istighfar dan taubat kita, terhapuslah dosa dan kesalahan kita, tertingkatlah iman dan amalan soleh kita, insyaAllah. Tiada yang Allah jadikan sesuatu itu percuma atau main-main saja!    
        Tinggalkan peristiwa semalam, kelmarin, tahun ini.....jangan di bawa ketahun hadapan. Sama-sama perbaiki diri, hati, akhlak dan sikap menjadi lebih baik.......Mohon bantuan Allah sentiasa, suatu yang tidak boleh kita tinggalkan, keperluan kita kepadaNya melebihi keperluan kita pada air di saat kita kehausan! Tanpa bantuan  Allah, sebenarnya kita tidak boleh kemana-mana....Allahlah sumber kekuatan diri kita bukan yang lain!  
    Sama-sama kita akhiri dengan doa Mathurat ini untuk kita renungi dan hayati..............   
 Ya Allah, kurniakanlah kami lisan yang lembut basah mengingati dan menyebut NamaMu, hati yang penuh segar mensyukuri nikmatMu, serta badan yang ringan menyempurnakan ketaatan kepada perintahMu......
 Ya Allah kurniakanlah kami iman yang sempurna, hati yang khusyuk, ilmu yang bermanfaat, keyakinan yang benar-benar mantap..............
  Ya Allah kurniakanlah kami cara hidup yang jitu dan unggul, selamat dari segala mara bahaya dan petaka.....
   Ya Allah, kami mohon kecukupan yang tidak sampai kami terpaksa meminta jasa orang lain......
   Ya Allah, berilah kami iman yang sebenarnya sehingga kami tidak gentar dan mengharap orang lain selain dari Engkau sendiri......
   Ya Allah, jangan Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri, walaupun sekadar sekelip mata atau kadar masa yang lebih mudah .....
 Ameen , Ya Rabbal Alamin......
  

Friday, December 24, 2010

Kata-kata hikmah untuk renungan jiwa..............

  • Istighfar membuka pintu yang terkunci, melapangkan hati nurani dan menghilangkan kesamaran. Istighfar adalah wang muka untuk mendapatkan rezeki dan pelincin untuk mendapatkan taufik.
  • Musibah kita adalah jika kita tidak berdaya menghadapi hari ini, sibuk dengan masa lalu, menangisi hari ini dan resah menghadapi hari esok. Lalu di manakah akal dan kebijaksanaan kita?
  • Jauhilah kegelisahan kerana ia adalah racun. Jauhilah kelemahan kerana ia adalah kematian. Jauhilah kemalasan kerana ia adalah kegagalan. Jauhilah pendapat yang ragu-ragu kerana ia adalah hayunan langkah yang buruk.
  • Barangsiapa yang memiliki agama yang membimbingnya, akal yang menunjukinya, perhitungan yang menjaganya dan rasa malu yang menghiasinya, maka dia telah menghimpun berbagai keutamaan.
  • Barangsiapa yang meremehkan teman, maka dia kehilangan wibawanya. Barangsiapa yang meremehkan ulama, dia kehilangan agamanya. Barangsiapa yang meremehkan Allah SWT maka dia kehilangan dunia dan akhiratnya.
  • Penyebab kegelisahan dan kekhuatiran adalah dunia dan bila berpaling dari Allah SWT.
  • Jangan memperkecilkan orang yang mempunyai baju yang compang camping dan berkasut usang, kerana boleh jadi dia berhati khusyuk, matanya sering menangis dan berjiwa besar.
  • Ilmu adalah sahabat sewaktu bersendirian, teman waktu terasing, penjaga waktu berkhalwat, petunjuk jalan, penolong waktu kesusahan dan bekal tabungan menghadapi kematian.
  • Maafkan semua orang sebelum tidur, bersihkan hatimu dengan memaafkan mereka sebanyak 7 kali dan mohon keampunan kepada Yang Maha Pengampun, nescaya anda akan menemui manisnya iman.
  • Barangsiapa yang meninggalkan perselisihan, menjauhi berbangga-bangga, selamat dari kedustaan, redha terhadap takdir dan menghindari diri dari hasad dengki , maka Allah SWT tidak akan meninggalkan hatinya.
  •  Boleh jadi urusan yang menyukarkan kamu adalah pada permulaannya sahaja dan menyenangkan kamu di akhirnya, sepertinya awan, awalnya kilat dan petir, akhirnya hujan yang menyenangkan kamu.
  • Semalam telah berlalu, hari ini adalah perantara hari esok, hari esok belum tentu ada, dan kita berada di ketika ini. Maka hendaklah kita taat padaNya, nescaya akan dapat bekal keberuntungan.
  • Kita memiliki dua mata, dua telinga, dua tangan, dua kaki, lidah, keimanan, Al-Quran dan keamanan. Oleh itu hendaklah kita mensyukurinya. Allah berfirman," Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan...? (S. Ar-Rahman:13)

Thursday, December 23, 2010

Rahsia dan pengertian takut pada Allah SWT.



Bismillahirrahmanirrahim....

      Ungkapan pembuka kalamullah yang mulia ini........ Bismillahirrahmanirrahim ......dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang telah diulang-ulang oleh  Rasulullah pada suatu malam ketika baginda solat malam yang  di saksikan oleh Abu Dzar.  Setiap kali membaca kalimah ini baginda menangis, kemudian membaca lagi, dan menangis....sehingga beberapa kali. Baginda Rasulullah saw adalah orang yang paling bertakwa dan paling takut pada Allah SWT sehinggakan  kalimah ini begitu dihayati dan     baginda menangis setiap kali membacanya. Kemudian dalam solat sunat baginda, beliau membaca," Celakalah bagi orang yang tidak mendapat rahmat Allah, demi Allah celakalah orang yang tidak mendapat  rahmat Allah."  Celaka yang dimaksudkan disini adalah mereka yang hatinya tidak takut pada Allah SWT. 
      Bandingkan dengan diri kita sekarang ini!  Pernahkah kita menyendiri dan berupaya menghayati bacaan Al-Quran atau menghayati solat kita sehingga bercucuran airmata kita? Adakah setiap kali kita solat, kita benar-benar merasai kita sedang berinteraksi dengan Rabb kita, berhubungan hati denganNya sehingga melahirkan kekhusyukan dan ketakutan yang mengalirkan air mata? Begitu juga bila kita sedang membaca ayat-ayatNya, adakah kita merasa sedemikian juga? Sebagai Muslim kita perlu menggali rahsia dan pengertian takut pada Allah SWT ini supaya kita tidak tergolong dikalangan mereka yang celaka yang tidak mendapat rahmat Allah SWT. Kita tidak mahu tergolong dikalangan mereka yang berani dengan Allah SWT; berani berbuat dosa sedangkan apa saja yang kita perbuat sebenarnya semuanya tidak terlepas dari pengetahuan dan penglihatan Allah SWT! Beraninya kita dengan Allah SWT kerana hati itu kosong dari rasa takut, kurang yakin dengan janji Allah SWT, jahil dan  jauh dari  hidayah dan rahmatNya yang mencampakkan rasa takut, iman dan takwa dalam jiwa!   
     Imam Ahmad telah meriwayatkan dalam kitab Az-Zuhd berkenaan Abu Bakar As-Shiddiq dan beberapa sahabat lagi yang memasuki kebun kurma milik seorang lelaki Ansar. Pada waktu itu buah kurma sedang masak dan buah-buahnya bergantungan didahan dihinggapi burung- burung. Sahabat-sahabat begitu gembira menyaksikan pemandangan tersebut kecuali Abu Bakar yang duduk sambil menangis! Sahabat-sahabat kehairanan dan kemudian bertanya," Wahai Khalifah Rasulullah, apakah gerangan terjadi kepadamu?" Beliau menjawab," Aku melihat burung-burung ini, betapa bahagianya ia. Ia hinggap di satu pohon, memakan buah-buahannya lalu terbang ke tempat air dan meminumnya. Selepas itu ia akan mati tanpa hisab dan azab. Oh! Andaikan aku seekor burung!Oh! Seandainya ibu ku tidak melahirkanku!" Mendengarkan jawapan itu,semua  sahabat-sahabat  turut menangis . 
   Hati-hati sahabat ini begitu sensitif dengan jawapan yang datangnya dari hati Abu Bakar yang diselubungi perasaan takut pada Allah SWT di mana Allah SWT akan meneliti dan menghisab seluruh amalan manusia tidak akan tertinggal satu apa pun!  Hati-hati mereka yang dipenuhi dengan cahaya iman yang mudah tersentuh bila diberi peringatan! Beginilah sepatutnya hati yang perlu kita miliki, hati yang bersih dalam keyakinan pada Allah, yang begitu sensitif dan selalu mengambil iktibar dari apa saja yang dilihat dan didengar di mana ia  mentarbiah jiwa mereka dan dikaitkan dangan kehidupan akhirat.!     
     Kita lihatlah reaksi sahabat ini! Saiyyidina Abu Bakar merupakan salah seorang sahabat Rasul yang dijanjikan syurga, meskipun Rasulullah telah memberitahu padanya tentang khabar gembira ini,  beliau tetap takut dan sentiasa menghisab dirinya dengan berkata,' Demi Allah , aku tidak akan merasa aman dari azab Allah, walaupun salah satu tapak kakiku disyurga dan satu lagi diluar syurga." Sebenarnya hanya orang yang rugi sahaja yang akan merasa aman dari seksa Allah SWT. Dan sesungguhnya orang  yang merasa aman dari seksa Allah SWT ini telah disesatkan dari ilmu dan pandangan batinnya yang telah di butakan!
       Seperti kata Ibnul Qaiyyim, " Betapa ramai orang yang mendirikan solat di barisan yang sama dan saling bergandingan, namun perbezaan antara solat-solat mereka adalah seperti jarak langit dan bumi." Ini adalah kerana ada sesetengahnya lalai dari solat dan ada sesetengahnya yang solat sebab dia takut akan ancaman Allah, takut berjumpa denganNya dan takut amal perbuatannya akan diperlihatkan dihadapanNya di akhirat nanti dan mengingati bahawa kelak pada hari kiamat nanti dia akan berdiri dihadapan Allah sepertimana dia berdiri sewaktu solat. Jadi dia melakukan solat dengan penuh khusyuk, takut dan harap pada Allah! Dalam satu hadith Rasulullah saw," Allah SWT tetap menghadap kepada hambaNya yang sedang solat selama dia tidak menoleh. Namun jika dia menoleh, maka Allah pun berpaling darinya." Jadi sama-samalah kita berlindung kepada Allah SWT agar hati kita tidak berpaling dalam solat sehingga menyebabkan Allah SWT berpaling dari kita. Sia-sialah solat kita, dan yang hanya kita dapati dari solat itu cuma penat lelah sahaja! Nauzubillah..
      Kata Ibnul Qayyim lagi," Orang beriman itu sentiasa memikirkan apa yang dilihatnya itu dengan apa yang akan dihadapi pada hari akhirat nanti. Waktu tidur dan berselimutnya ia teringat akan kubur. Ketika melihat pohon-pohon yang hijau, buah-buahan dan pelbagai kenikmatan, ia teringat akan syurga. Ketika melihat api, orang-orang yang diseksa dan dipenjara, dia teringat neraka Jahannam. Oleh kerana itulah ia terus berfikir tanpa henti-hentinya."  
   Ada empat perkara yang dapat menggetarkan hati mukmin yang perlu direnungkan supaya dapat melahirkan  rasa takut dan mengingatkannya akan janji Allah SWT dan perjumpaan denganNya iaitu...
  • menziarah kubur
  • mengingatkan kematian setiap masa
  • mengingati balasan Allah SWT amat pedih dan sesungguhnya seksaan Allah SWT itu tidak akan terlepas.
  • Sentiasa ingat bahawa Allah itu Maha Mendengar dan Maha Melihat apa yang kita perbuat. 
Begitu juga ada empat perkara yang boleh menghilangkan rasa takut pada Allah SWT dan dan berani berbuat dosa iaitu ....
  • lalai dari mengingati Allah SWT. Ada hati tapi tidak digunakan untuk memahami ayat-ayat Allah SWT. Ada telinga tapi tidak digunakan untuk mendengar seruan Allah SWT. Ada mata tapi tidak digunakan untuk melihat kebesaran ciptaan Allah SWT.
  • Melakukan maksiat yang mengeraskan dan mematikan hati. Bila hati sudah tertutup, ia merupakan tahap akhir dimana jiwa sudah mati dan ini  adalah satu musibah pada orang-orang kafir. Bila hati mengeras, disebabkan dorongan hawa nafsu yang menimpa hati orang-orang beriman dan orang-orang fasik.
  • melebihkan kesenangan duniawi dari kepentingan akhirat. Walau pun kesenangan duniawi ini diharuskan, tapi berlebih-lebihan menjadikan hati kurang takut pada Allah SWT. Ambillah setakat keperluan diri dan bukannya berlebih-lebih dalam dunia dari semua aspek hidup.
  • Menghabiskan waktu dengan aktiviti kurang dan tidak berfaedah, membuang masa atau mensia-siakan waktu yang diberi oleh Allah SWT .
Ciri-ciri takut yang dikehendaki oleh Allah SWT adalah.......
  • keadaan nampak dan yang tersembunyi adalah sama tiada beza antara keduanya. Segala amal yang zahir atau yang tersembunyi semuanya dilakukan atas dasar takwa pada Allah SWT, bukan atas sebab yang lain.
  • Ikhlas dan jujur pada Allah SWT pada setiap ucapan, perbuatan dan perilaku. 
  • Menyesali perbuatan buruk dan berbahagia dengan perbuatan baik
  • Hendaknya hari ini lebih baik dari hari semalam, dan hari esok lebih baik dari hari ini.
Jika setiap hari yang berlalu,  ia semakin rajin beribadah padaNya, ini menunjukkan ia jujur dan takut pada Allah SWT. Takut pada Allah SWT sebenarnya dapat mencegah bermaksiat padaNya, membayangkan dirinya sentiasa dalam pemerhatian Allah SWT, membayangkan diri bergelumang dalam siksaan neraka Jahannam dan merasa malu dengan Allah SWT akan amalannya yang dipersembahkan pada Allah SWT!

    Sebagai Muslim, kita perlu menyibukkan hati kita dan sentiasa memikirkan kehidupan akhir kita. Jangan biarkan jiwa kita kosong begitu saja dari mengingati Allah SWT dan hari akhirat yang dapat menimbulkan keinsafan dalam diri kita. Janganlah kita asyik dan leka dengan dunia yang melalaikan kita, yang menjauhkan hubungan hati kita dengan Allah SWT . Dalam kita berseronok pun perlu kita ingat pada Allah SWT. Pendek kata, setiap detik masa yang kita lalui di dunia ini sepatutnya diisi dengan amalan yang mendapat keredhaan Allah SWT. Kita perlu sentiasa berfikir macamana nak convert setiap detik masa ini menjadi pahala yang boleh kita bawa pulang nanti ke kampung akhirat yang kekal abadi.! Suburkan rasa takut pada Allah SWT sentiasa, hanya  Allah SWT sahajalah yang  sepatutnya kita takuti!    
         

Keutamaan takut dari dosa



Bismillahirrahmanirrahim....
   Bagi seorang mukmin dosa itu umpama  gunung yang akan menimpanya bila-bila masa sahaja manakala  bagi orang munafik atau fasik, dosa itu umpama seekor lalat yang menghinggapinya dan ia menepisnya begini dan begitu ataupun tidak menghiraukannya. Bagaimanakah rasa kita bila kita berbuat dosa? Adakah kita memandang remeh akan dosa yang kita lakukan dan berkata.....alah dosa kecil je tak pe lah, nanti bila kita ambil wuduk dan solat dan istighfar maka  hilanglah dosa itu! Seolah-olah kita begitu yakin benar akan terangkatnya dosa yang kita lakukan dengan sengaja.....yang kemudiannya mungkin kita ulangi lagi!! Perlunya kita perbetulkan konsep kita ini dan tidak memandang remeh dosa -dosa yang kita lakukan walaupun ianya hanya di kategorikan sebagai dosa kecil sahaja! Sama-samalah kita renungi firman Allah ini dalam surah A-Nur : 63 yang bermaksud............... 
    " ...Sebab itu hendaklah takut orang-orang yang melanggar perintahNya, bahawa mereka akan ditimpa fitnah(cubaan) atau akan ditimpa oleh azab yang pedih."
  Diceritakan dari suatu sirah Rasulullah saw mendatangi seorang pemuda yang hampir hendak meninggal dan baginda bertanya kepada pemuda tersebut, " Bagaimanakah keadaan engkau sekarang?"  Pemuda itu menjawab," Wahai Rasulullah , aku berharap kepada Allah dan aku takut akan dosaku." Rasulullah bersabda," Bila ada dalam hati sesaorang telah terkumpul dua hal itu (takut dan harap), tentu Allah akan memberi apa yang diinginkannya dan menghindarinya dari apa yang ia takuti."   
   Jadi berbuat dosa walaupun kecil, perlulah kita takuti dan hindarkan, namun sebagai manusia yang lemah jika kita terlanjur, perlulah merasai ketakutan dijiwa dan lantas segera bertaubat. 
Sesungguhnya Rasulullah pernah menyebut tentang tujuh golongan yang bakal mendapat naungan Allah pada hari akhirat nanti dan di antaranya....... seorang lelaki yang mengingat (akan seksa) Allah dalam kesunyian, lantas bercucuran airmatanya kerana takut akan kesalahan dan dosanya. 
     Dalam satu hadith , Rasulullah saw bersabda," Ada dua mata yang tidak akan disentuh api neraka iaitu mata yang menangis di tengah malam kerana takut pada Allah dan mata yang berjaga di jalan Allah."  Adakah kita berbuat demikian.....berjaga malam, bertahajjud memohon ampun dari Allah atas segala dosa? Namun kini yang sering dilakukan oleh ramai orang,  berjaga malam kerana nak tengok bola, berjaga malam kerana nak main game komputer sampai nak berhenti pun sayang, berjaga malam kerana melayari internet dan macam-macam sebab musabab untuk berjaga malam!.....pastinya setiap detik yang dilalui mengumpul angka-angka kosong pahala , mungkin juga mengutip dosa di sepanjang malam!! Bagi hati yang tidak takut pada Allah, mereka tidak akan rasa apa-apa berbuat demikian.....mudah-mudahan Allah memberi petunjuk dan hidayah kepada hati sedemikian!
       Jadi bagaimanakan bentuk takut yang merupakan keutamaan dan dengannya akan mencapai ketinggian, wara, takwa ,mujahadah dan muraqabah pada Allah? Perkara ini disebut dalam banyak hadis dan ayat Al-Quran diantara nya......
" Petunjuk  dan rahmat Allah bagi orang-orang yang takut kepada Tuhannya,"  (S. Al-A'raf :154)
" Allah redha kepada mereka dan mereka redha kepadaNya. (Syurga) itu untuk orang-orang takut pada Tuhannya." (S. Al-Bayyinah : 8)
" Dan takulah kepadaKu, jika kamu orang-orang yang beriman." (S. Ali Imran: 175)
" Hanya yang takut kepada Allah ialah ulama di antara hamba-hambanya. " (S. Al Fathir : 28)
        Apabila hati mengenali Allah dalam ertikata yang sebenarnya, inilah akan membuatkan rasa takut padaNya. Ketakutan dijiwa ini akan menyebabkan dia menjaga dirinya dari dosa, berusaha berbuat taat sentiasa, dan jiwanya selalu rasa gementar takut-takut tergelincir dari landasan yang telah di tetapkan.  Ketika merasai demikian, akan berguguranlah kesalahannya bagaikan daun-daun yang jatuh dari pohon yang kering!
   Jadi sama-samalah kita berusaha menanamkan rasa takut kita pada Allah dengan menambahkan ilmu kita dalam mengenali Allah dimana dengan ini akan tertingkatnya keimanan dan ketakwaan  kita pada Allah SWT. Kita lalui detik-detik kehidupan ini dengan penuh rasa sedar bahawa setiap amalan  yang kita buat, setiap nafas yang kita hela, setiap patah perkataan yang kita ucap, sebenarnya bukan lah ia berlalu begitu sahaja....semuanya akan minta di pertanggungjawabkan!  Setiap diri akan kembali padaNya, maka sementara kita masih bernyawa ini, buatlah persediaan sebelum terlambat!!

Sunday, December 19, 2010

Jalan-jalan menuju keikhlasan


Bismillahirrahmanirrahim....

     Orang-orang beriman yang terdahulu dari umat ini sangat mementingkan keikhlasan dan sangat mengharapkan agar sentiasa di peringatkan diri supaya sentiasa ikhlas. Ini adalah kerana sifat ikhlas itu tersangat penting kerana ia merupakan perintah Allah dan ia adalah merupakan syarat utama kehidupan sesaorang Muslim itu di terima atau diredhai oleh Allah SWT. Banyak firman Allah dalam  ayat-ayat Quran yang menyebut tentang ikhlas ini di antaranya, dalam surah Al-Bayyinah :5 yang bermaksud...
    " Padahal mereka tidak disuruh kecuali menyembah Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepadaNya."
Niat yang ikhlas adalah dari buah tauhid yang sempurna iaitu  mengesakan Allah dalam seluruh kehidupan. Seperti kata Imam As-Syahid Hasan Al-Banna tentang ikhlas ini , " Ikhlas ialah setiap akh Muslim mestilah mengharapkan keredhaan dan ganjaran pahala daripada Allah SWT sahaja. Semua perkataan, amalan dan jihadnya tidak memandang kepada sebarang keuntungan, kemenangan, kemegahan, gelaran, kemajuan atau kemunduran. Dengan itu ia menjadi tentera fikrah dan aqidah bukan tentera yang mengejar manfaat atau keinginan.."
        Jalan-jalan menuju  keikhlasan ini sangatlah sulit kerana rintangannya banyak berupa hawa nafsu,  dunia dan syaitan yang menggoda. Jalan-jalannya berliku dan memerlukan seorang hamba Allah itu mengikuti jalan-jalan dan panduan-panduan yang tertentu. Jalan-jalan tersebut adalah
  • Minta pertolongan dengan Allah SWT.
       Dalam kehidupan ini, seorang Muslim akan menempuh banyak rintangan dan ujian hidup. Jadi untuk dia menjadi  seorang yang ikhlas bukanlah mudah akibat kelemahan diri sendiri sama ada zahir atau batinnya. Disamping itu, godaan dunia, hawa nafsu dan syaitan sering menjadikan dirinya kecundang dalam ujian hidup ini,  maka sudah sewajarnyalah dia memohon pertolongan dari Allah SWT untuk membantunya menjadi seorang yang ikhlas.
       Meminta pertolongan dari Allah SWT perlulah    dengan penuh kerendahan hati, rasa lemah, fakir dan hina di hadapan Allah SWT. Merasakan kita ini sangat-sangat memerlukan Allah sentiasa dalam melayari kehidupan ini, kerana tanpa pertolongan dariNya kita sebenarnya tidak dapat melakukan apa-apa hatta mengerdipkan mata kita sekali pun! Segala sesuatu itu sebenarnya dibawah kekuasaan Allah! Firman Allah SWT dalam surah Al-Fathir :15 yang bermaksud...
    " Wahai manusia, kamulah yang berkehendakkan kepada Allah, dan Allah Dialah Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji."
    Jika Allah membiarkan kita, ini adalah kerana kita juga yang melupakan Allah ; kita akan jadi hamba pada nafsu, hamba pada dunia dan hamba pada syaitan! Sengsaralah hidup kita, sesaklah jiwa kita, tidak tenang dan sentiasa keluh kesah....  Namun bila kita kembali padaNya, sentiasa ingat padaNya, Allah akan menjadikan kita cinta pada iman dan ketaatan, benci pada dosa, kufur dan maksiat......
Firman Allah dalam Surah Al-Hujurat :47 yang bermaksud....
   " Tetapi Allahlah yang menjadikan kamu cinta pada keimanan dan menjadikan keimanan itu indah  di dalam hatimu dan menjadikan kamu benci pada kekafiran, kefasikan dan kedurhakaan." 
Dan lagi dalam Surah An-Nur : 21.....
  " Tetapi  Allahlah yang membersihkan sesiapa yang dikehendakinya. Dan Dia Maha Mendengar dan Maha Mengetahui."
  •  Mengakui nikmat Allah SWT yang banyak.
    Didalam semua kebaikan yang kita perolehi, kita perlu merasakan nikmat Allah SWT, kerana setiap kebaikan itu merupakan anugerah Allah SWT kepada hambaNya. Allah SWT telah memilih kita diantara jutaan  manusia dimuka bumi ini,   untuk menerima hidayah Islam yang merupakan  nikmatNya yang terbesar! Dia mengeluarkan kita dari kegelapan jahiliyyah kepada cahaya iman dan Islam. 
     Sewajarnya kita perlu merasa sangat bersyukur dan menghargainya dengan sepenuh hati kita dan melaksanakan tuntutan Islam dalam kehidupan ini. Sesungguhnya, sememangnya kita sekarang tenggelam dalam lautan nikmat Allah SWT yang tidak putus-putus pada diri kita.  Kesyukuran kita diatas nikmat Allah ini sebenarnya juga  di dorong dan ditolong oleh Allah SWT. Dalam surah Al-Ahqaf : 15 merupakan doa seorang hamba dalam membantunya untuk bersyukur..............
    " Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku.."
  •  Mengambil berat dalam usaha perbaiki diri dan persiapan diri.
     Ramai manusia merasakan dirinya lebih baik , lebih berilmu, lebih cekap,.........lebih segalanya .. dari orang lain. Lantas, mereka memandang orang lain dengan pandangan remeh, kecil,  dan hina. Dia merasa ego dan meninggikan dirinya, sukakan populariti, sedikit yang dibuat digembar-gemburkan pada orang........keikhlasannya  sudah tiada lagi pada Allah SWT!
     Jika ikhlas kepada Allah SWT , tidak perlu dihebahkan apa yang di perbuat  pada orang lain, sepatutnya disembunyikan terutama apabila tengah mendidik  dan membentuk diri. Dia tidak perlu pada populariti dan keributan bahkan ketenangan yang didambakan. Dia berhati-hati dan tidak tergesa-gesa dalam tindakannya untuk mendapatkan hasil yang baik.
     Seorang Muslim dalam fasa persiapan dan pembentukan diri umpama benih yang baik yang tertanam dalam tanah yang subur jauh dari sinar matahari. Benih tersebut berkembang tersembunyi dalam tanah sehingga ia matang dan kemudian muncul di permukaan bumi , insyaAllah bersedia menjadi pokok yang kuat! Namun benih yang dari awal lagi terdedah di atas bumi, terkena sinaran matahari yang terik, tidak boleh berkembang malah akhirnya ia mati sebelum sempat jadi pokok!
   Seorang Muslim hendaklah bersembunyi dengan kejahilannya agar amal dan keadaannya tidak tersebar. Dengan cara ini dia akan menutup pintu-pintu syaitan yang cuba merosakkan dirinya. Dia akan dapat banyak manfaat daripada orang yang mengajarnya kerana mereka menganggapnya masih jahil.  
   Selain dari itu,  dia lebih suka menolak kepimpinan lebih-lebih lagi bila persiapan diri tidak mencukupi. Namun jika hal ini tidak dapat di elakkan, hendaklah dia menjaga keikhlasannya. Semasa melaksanakan tugas kepimpinan, dia tetap menyukai dan menghayati sifat sebagai seorang tentera yang bekerja untuk Islam tanpa perlu ada keributan! Dia menerima tanggungjawab itu dengan penuh rasa takut dan bimbang  sehingga keadaannya seperti orang yang ditimpa musibah kerana dia sedar ini akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah SWT nanti! Ketakutan itu akan mendorongnya untuk....
1.  Selalu mohon pertolongan dengan Allah SWT
2. Sentiasa berfikir terhadap kerja-kerja atau langkah-langkahnya.
3. Selalu meminta pertimbangan orang-orang disekitarnya
4. Tidak berkeras dengan pendapat sendiri.
5. Tidak tergesa-gesa mengambil sesuatu keputusan
6. Selalu muhasabah dengan amalannya sama ada besar atau kecil..sehinggalah dia jadi pemimpin yang baik.
  • Merasa curiga dengan nafsu
       Sepatutnya kita harus rasa curiga dengan keikhlasan kita yang sering diganggu nafsu. Sebelum dan semasa melakukan amalan, telitilah keikhlasan kita, berusaha membersihkan niat dan memohon pertolongan dari Allah SWT. Setelah kita melakukan amalan kita, semaklah semula niat kita....kita akan ketahui sebenarnya jalan-jalan menuju keikhlasan ini bukanlah mudah......... Dihadapannya terbentang dunia dengan keindahannya, syaitan dengan rayuannya dan nafsu dengan kejahilan dan kerakusannya! Tidak ada orang yang akan sanggup menempuh jalan keikhlasan ini kecuali orang yang meminta pertolongan dari Allah SWT, meneliti hakikat ubudiyyah padaNya dan berjihad melawan hawa nafsunya.
   Semua manusia akan hancur kecuali orang-orang yang berilmu. Semua orang -orang yang berilmu akan hancur kecuali orang-orang yang beramal. Semua orang yang beramal akan hancur kecuali orang yang ikhlas. Dan semua orang yang ikhlas berada dalam bahaya dan ancaman yang besar yang bersiap sedia untuk menghancurkan keikhlasannya. 
    Penyakit-penyakit hati yang bercampur baur dengan ikhlas dan merosakkan niat dalam beramal lebih merbahaya dari penyakit tubuh badan.  Penyakit ini boleh menggugurkan pahala dan menjauhkan manusia dari jalan dakwah yang benar. Penyakit hati ini hanya boleh dibendung melalui tarbiyyah, iman dan takwa pada Allah SWT.  Tertegaknya Islam dengan adanya da'i yang ikhlas, murabbi dan pekerja yang ikhlas yang berpegang teguh pada prinsip dan sedia berkorban tanpa memikirkan manfaat duniawi! 

Rujukan 
Sumber tarbawi. 



Wednesday, December 15, 2010

Selalulah berdoa pada Allah SWT!



Bismillahirrahmanirrahim.....
         Sesetengah orang Muslim menganggap doa itu kurang penting lantas sering meninggalkan ataupun melupakannya. Cukup hanya setakat bergantung pada usaha dan ikhtiar diri sahaja. Tidak mereka sedari sebenarnya doa itu umpama anak panah yang dilemparkan dimalam hari. Seorang soleh mengatakan tentang anak panah ini adalah tali busur yang di bentangkan dimalam hari dengan khusyuk, melepaskan anak panah itu dengan airmata tanpa tidur lalu Allah yang Maha besar dan Maha berkuasa mengangkatnya. Anak panah atau tali busur itu adalah doa yang dipanjatkan padaNya.  
             Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah : 186  yang bermaksud....
 " Dan apabila hamba-hambaKu bertanya padamu tentang Aku, maka(jawablah) bahawa senya Aku adalah dekat. Aku akan mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu, maka hendaklah mereka memenuhi (segala perintah)Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran."
      Dalam satu hadith Rasulullah saw mengatakan, " Doa itu ibadah." Berdoa  bukanlah  sampingan semata-mata malah ia merupakan sesuatu yang amat penting. Dari Ibnu Qayyim Al- Jauzi menceritakan kisah orang-orang yang bodoh yang hendak melakukan perjalanan. Orang-orang berkata kepada mereka yang hendak berangkat itu, " Apakah kami perlu mendoakanmu?" Mereka menjawab," Kami tidak perlu doa , kerana tempat yang ditujui adalah dekat." Mereka seolah-olah pasti akan sampai ke destinasi mereka sedangkan Yang Maha Menjaga dan Maha Melindungi adalah Allah SWT! Panjatkan doa kepadaNya walaupun nak berjalan dekat sekali pun! Adakah kita yakin kita pasti selamat tiba? Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui tentang perkara itu.
           Sesetengah orang ada yang juga mengatakan kenapa aku perlu berdoa, sedangkan Allah telah menetapkan takdir ke atas ku? Hakikatnya, berdoa tidak bertentangan dengan takdir, malah ketika kita berdoa bersungguh-sungguh  padaNya,  Allah SWT telah menuliskan bagi kita bahawa Dia akan menghindarkan kita dari sesuatu lantaran kita berdoa padaNya. Doa boleh mengubah takdir! Allah SWT mengabulkan doa sesuai dengan takdir yang telah ditulisNya. Doa dapat memalingkannya dengan takdir lain dan dengan ketetapan dari Allah SWT atau mungkin Allah meringankannya. Dan apabila kita berdoa memohon kebaikan, doa itu akan menjadi pahala buat kita! Yang perlu dan selalu kita kena buat adalah berdoa padaNya dengan penuh kerendahan dan keikhlasan hati kita! InsyaAllah, Allah akan mengabulkan doa kita! 
      Allah mencintai hambaNya yang banyak berdoa padaNya kerana kita selalu bersandar dan bergantung padaNya di atas segala urusan kita.....Malah  Allah murka pada kita bila kita tidak meminta kepadaNya sedangkan manusia akan marah bila kita asyik meminta padanya! Orang yang sering berdoa pada Allah menunjukkan bukti yang kuat akan dekatnya hubungan hati itu dengan Allah sedangkan orang yang jarang berdoa kepada Allah adalah orang yang jauh hubungan hatinya dengan Allah!  Kecintaan kita pada sesaorang membuatkan kita rasa rindu padanya, ingin dekat dan selalu berhubung  dengannya. Begitu jugalah halnya bila kita mencintai Allah; Dialah tempat kita mengadu, merintih , memanjatkan segala doa dan harapan kita, memohon keampunan dari dosa-dosa kita, menyelamatkan kita dari nerakaNya, menurunkankan rahmatNya pada kita......... 
        Dalam sebuah Hadith Rasul mengatakan,"Takkan ada seorangpun yang binasa dengan doa."  Bagaimanakan kita akan binasa atau terhina sedangkan doa menyertai kita ? Berkata Ali bin Abi Talib, " Kamu memang unik, kamu punya penyakit dan kamu punya ubat. Penyakit kamu adalah dosa dan ubatmu adalah doa dan istighfar.. Maka perbanyakkan doa dan bersungguh-sungguhlah dalam berdoa."
   Namun doa yang di pohonkan bukanlah terus Allah SWT makbulkan begitu sahaja. Kemungkinan Allah SWT hendak menguji kesabaran kita dan kemungkinan apa yang kita hajati dalam doa kita sebenarnya tidak baik untuk kita, Allah Maha Mengetahui apa yang tersembunyi. Jadi perlunya kita berbaik sangka denganNya, tidak rasa putus asa jika doanya lambat di makbulkan! Disamping itu juga perlu perhatikan beberapa perkara dalam amalan kita yang kemungkinan juga menyebabkan doa kita tertolak seperti kata-kata Ibrahim Adham seorang ulama sufi......
“Doa tidak dikabulkan kerana hati kamu telah mati. Ada beberapa perkara yang mematikan hati, diantaranya..............
1- Kamu mengetahui hak Allah, tapi kamu tetap tidak menunaikan hakNya itu
2- Kamu membaca Al-Qur’an tetapi kamu tidak mengamalkan hukum-Nya.
3- Kamu mengatakan cinta Rasulullah tetapi kamu tidak mengamalkan sunnahnya.
4- Kamu mengatakan takut mati tetapi masih tidak mempersiapkan diri untuk menghadapi mati. 

5- Kamu mengakui bahawa syaitan itu musuh, tetapi kamu ikut perangai syaitan.
6- Kamu selalu berdoa supaya terhindar dari api neraka, tapi kamu sendiri yang melemparkan dirimu ke dalamnya.
7- Kamu ingin memasuki Syurga, tapi kamu masih tidak melakukan amal soleh.
8- Kamu sibuk memikirkan kesalahan dan keburukan orang lain, sedangkan keburukan dan kesalahan diri sendiri tidak pernah kamu hiraukan.
9- Kamu mendapat pelbagai kenikmatan yang diberikan Allah SWT, tetapi kamu tidak pernah bersyukur dengan mematuhi segala perintah Allah. 

10- Kamu menguburkan jenazah orang lain, tapi tidak menginsafi diri kamu sendiri bahawa kelak kamu juga akan dikuburkan.
   Jadi perlu semak, muhasabah diri sejauhmana kita sudah mentaati Allah SWT dalam kehidupan ini, beriman dan bertakwa padaNya...Kita rajin berdoa itu dan ini...tapi kita kurang memperhatikan bagaimana kita menjalani kehidupan ini mengikut kehendak Allah SWT. Amat peliklah jika kita banyak buat silap, banyak buat dosa , kita tidak memohon ampunan dariNya, tapi kita berharap Allah memakbulkan doa kita! Suatu yang sia-sia dan tidak mungkin terjadi!

   Seperkara lagi yang perlu diperhatikan bila berdoa adalah dari segi adab-adabnya. Jika kita nak pergi menghadap raja-raja dunia ini terpaksa ikut adab-adabnya lebih-lebih lagi menghadap Raja dari segala raja iaitu Allah SWT! Di antaranya...............
  • Berdoalah dengan nama-nama Allah yang Mulia
  • Berzikir memuji Allah, tasbih dan tahlil  sebelum berdoa
  • Berdoa dengan serius, dalam keadaan yang suci, bersiwak dan sungguh-sungguh dan mengharapkan doa dimakbulkan walaupun mengambil masa yang lama.
  • Jangan keterlaluan dalam meminta-minta seperti meminta jadi Nabi, kebal dsb...
  • Berdoalah di tempat yang baik seperti masjid, tempat berzikir, dekat dengan Kaabah
  • Berdoa pada waktu yang afdol berdoa seperti di waktu sahur, ketika hujan turun, ketika sujud, sebelum dan selepas solat, pada hari Jumaat di antara waktu asar dan maghrib, pada hari Arafah, ketika berpuasa di bulan Ramadhan.....
  • Berdoa dengan susunan kata yang teratur terus dari hati, dengan suara yang lembut, perlahan dan merendah diri...
  • Berdoa menghadap kiblat dengan doa-doa yang mudah tapi membawa makna yang padat seperti doa Mathurat yang di amalkan oleh Rasulullah saw.
Jadi sama-samalah kita panjatkan doa dari hati kita ini minta pertolongan dari Allah SWT untuk membantu kita melayari kehidupan yang banyak ujian ini supaya berada diatas jalanNya yang lurus, mohon kebaikan dunia dan akhirat, memantapkan jiwa kita supaya tetap pendirian kita sentiasa dalam mengambil nilai Allah dalam hidup ini.
Ya Allah bantulah kami, sesungguhnya tiada Tuhan selain engkau , sesungguhnya kami menzalimi diri kami sendiri!

Amin, Ya Rabbal Alamin....

Rujukan
Jagalah Allah, Allah menjagaMu
Dr. Aidh  Abdullah Al-Qarni  

Monday, December 13, 2010

Bersegeralah bertaubat pada Allah SWT!

Bismillahirrahmanirrahim.... 
      
Taubat dari segala dosa yang dilakukan oleh orang yang beriman dalam perjalanan menuju redha Ilahi merupakan suatu yang wajib dilakukan sebagaimana yang di perintahkan oleh Allah dalam Al-Quran dan hadith Rasulullah saw juga disepakati oleh para ulama seluruhnya.
    Seorang ulama Sahl Ibn Abdillah pernah berkata ," Sesiapa yang berkata bahawa taubat itu bukan perkara fardhu'  adalah kafir. Sesiapa yang redha dengan kata-katanya itu, dia juga kafir."
    Firman Allah dalam Surah At-Tahrim :8 yang bermaksud.....
        "Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan "taubat nasuha", Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): "Wahai Tuhan kami! sempurnakanlah bagi Kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".
    
      Ayat ini merupakan seruan Allah kepada orang-orang beriman agar mereka bertaubat dengan taubat yang murni(nasuha) di atasa segala kesalahan dan dosa dan mengharapkan dua perkara atau matlamat yang ingin dikejari dan diraih iaitu..

  • penghapusan dosa
Manusia tidak terlepas dari berbuat dosa dan kesalahan yang sering menghantui dirinya disebabkan fitrah manusia yang terdiri dari dua unsur yang bertentangan iaitu unsur roh samawi dan unsur tanah bumi. Kedua-dua unsur ini saling tarik menarik antara satu sama lain yang mana salah satunya akan menang. Jadi setiap manusia akan terdedah kepada kesalahan dan dosa. Dengan bertaubat, ia dapat mensucikan hati dan amalan dari  segala dosa dan kesalahan yang dibuat. 
  • masuk ke syurga
Persoalan yang sering bermain di fikiran orang mukmin ialah kesudahannya di hari yang kekal abadi: adakah aku terselamat di hari Akhirat nanti atau binasa dan celaka? Adakah bahagia atau kecewa? Dimana kah tempat kesudahanku syurga atau neraka?
Firman Allah dalam  Surah Ali-Imran : 185 yang bermaksud.....
    " Barangsiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka sesungguhnya dia telah beruntung. Kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan." 

    Allah menyuruh semua orang-orang beriman bertaubat tidak terkecuali seorang pun tidak kira sekuat mana istiqamahnya atau setinggi mana darjat ketakwaan sesaorang itu. Setiap orang memerlukan kepada taubat ini. Samada bertaubat dari dosa-dosa besar, dosa-dosa kecil, perkara-perkara syubhat, perkara-perkara makruh bahkan bertaubat dari kelalaian yang terlintas dalam hati atau mungkin yang lebih ringan dari itu.  
 Sabda Rasulullah saw dalam satu hadithnya yang yang bermaksud...
     "Setiap orang dari kamu melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah bertaubat."
       Itulah hakikatnya manusia ini tiada yang terlepas dari kesalahan, bahkan para Nabi juga. Manusia tidak terlepas dari maksiat anggota badannya, maksiat hatinya, bisikan-bisikan syaitan dalam jiwa yang membuatkan ia lalai dari Allah dan kekurangan serta kelalaiannya dalam mengenal Allah SWT.
Jadi, bertaubat ini merupakan satu keperluan dan kewajipan dan hendaklah dilaksanakan secara berterusan. Jika tidak, kita tergolong di kalangan orang-orang yang zalim sepertimana dalam        Firman Allah lagi dalam Surah Al- Hujurat :11 yang bermaksud.....
"Barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itu orang yang zalim." 
     Selain dari wajibnya bertaubat dari dosa dan kesalahan, adalah juga merupakan satu kewajipan  bersegera melakukan taubat jangan melambatkan atau menangguhkannya. Melambatkan dan menangguhkan taubat sebenarnya membahayakan hati. Jika tidak segera membersihkan hati dari dosa-dosa ini, ditakuti dosa dosa ini meliputi hati satu demi satu sehingga hati jadi hitam dan dipenuhi kepalsuan. Keadaan yang berterusan begini menjadikan hati gelap tidak sensitif lagi dengan dosa , menjadi keras dan akhirnya hati itu boleh mati. Nauzubillah. Diketika ini,  jauhlah empunya hati dari rahmat Allah dan berada dalam jurang kehinaan! Sabda Nabi dalam satu hadithnya yang bermaksud.....
    "Jika sesorang melakukan dosa, maka dituliskan satu titik hitam dalam hatinya. Jika ia melepaskan diri dan memohon ampun, maka hatinya akan tergilap(bersih).  Jika dia mengulangi dosa tersebut, maka titik hitam itu bertambah sehingga menjadi tebal dihatinya. Itulah tutupan yang disebutkan Allah " Sekali-kali tidak demikian, sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka." ( Surah Mutaffifin:14)  
     Sebenarnya ungkapan menangguhkan taubat seperti 'nanti aku akan bertaubat' atau 'belum tiba masanya aku bertaubat aku masih muda, tunggulah dulu' suatu ungkapan yang merbahaya kerana ia adalah salah satu dari tentera syaitan. Kebanyakan penghuni neraka adalah mereka yang sering berkata ungkapan 'nanti' ini. Orang yang menangguhkan taubat ini umpamanya orang yang mahu mencabut sebatang pokok. Apabila ia cuba mencabut pokok tersebut dan didapatinya sukar  berbuat demikian, dia berkata 'aku akan biarkannya, nanti aku akan kembali mencabutnya kemudian.' Tapi dengan berlalunya masa,  pokok yang kecil tadi semakin membesar, akarnya semakin teguh dan batangnya  membesar. Sudah tentulah  sukarnya  mencabut pokok besar dengan akarnya sekali nya lebih-lebih lagi dengan umurnya yang semakin bertambah dan tenaganya yang semakin berkurang! Jadi semakin lama ditangguhkan taubat, semakin sukarlah dosa dicabut dan hapuskan dari hati  kerana dosa itu sudah merebak, bercabang dan berakar umbi di jiwa.  Kerja yang pada awal nya mudah dilakukan bertambah sukar bila dibiarkan lama!
    Ramai sekali orang sering menangguhkan taubat mereka sehinggalah ke saat akhir, tunggu bila dah tua di ketika itu badan sudah lemah semangat berkurang dan selalu sakit! Ada yang merasakan dirinya akan hidup lama, sedang hari esok adalah sesuatu yang belum pasti! Janganlah menangguhkan taubat sehingga tertutupnya pintu taubat pada ketika nyawa sudah sampai kekerongkong! Taubat pada ketika ini tidak diterima sepertimana taubat Firaun ketika dia sedang tenggelam di laut Merah dimana dia berkata " Aku percaya bahawa tiada Tuhan selain Tuhan yang dipercayai oleh kaum Bani Israel  dan aku termasuk dikalangan orang yang beriman."  Allah menolak keimanan Firaun ini seperti dalam firmanNya dalam surah Yunus :91 yang bermaksud  ............
   "Adakah sekarang (baru kamu percaya) padahal sesungguhnya kamu sudah derhaka sejak dahulu dan kamu termasuk dikalangan orang-orang yang berbuat kerosakan."
   Iman 'last minute' yang tertolak, jadi kita perlulah ambil iktibar tentang ini, jangan jadikan sikap suka buat kerja 'last minute ini' satu tabiat sehingga taubat pun 'until the last minute'.  Sengsara dan sesak nafaslah kita nanti...... 
      Sama sama kita renungi hakikat taubat yang Allah SWT  terima seperti dalam firmanNya dalam surah An-Nisa: 17-18.....
   "Sesungguhnya penerimaan taubat itu disisi Allah hanyalah bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka mereka diterima Allah taubatnya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia: "Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini," (sedang taubatnya itu sudah terlambat), dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Bagi orang-orang yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya."
    Jadi perlulah kita segera bertaubat, kerana dengan berbuat demikian segala kejahatan dan keburukan yang dilakukan akan digantikan oleh Allah SWT dengan kebaikan-kebaikan. Taubat yang ikhlas dan benar yang Allah terima mempunyai beberapa tandanya diantaranya:
  • Orang yang bertaubat itu selepas bertaubat keadaannya lebih baik dari sebelumnya, baik akhlaknya, tertingkat amalannya, banyak istigfarnya.. 
  • Ketakutan terhadap dosa sentiasa menyertainya sehingga mati dan mendengar malaikat berkata padanya "Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih, dan bergembiralah kamu dengan (memperoleh syurga) yang telah dijanjikan Allah kepadamu."Surah Al-Fushilat:30 
  • Banyak menangis dan bersungkur di hadapan kekasihnya , Allah SWT. Selalu menyesali dan bersedih diatas perbuatan dosa dan terlanjur yang telah lalu, tidak rela kembali kepadanya. Umar bin Zar  berkata tentang kesedihan ini," Segala kesedihan itu buruk, kecuali kesedihan orang-orang yang bertaubat dari dosa."
  • Bagi orang  berdosa merasakan sempitnya bumi dan sesaknya jiwa sehinggalah ia bertaubat yang menjadikan jiwanya lapang dan bumi yang rasanya sempit itu kembali luas.
  • Menjauhi kawan dan pengaruh-pengaruh yang jahat dan bersahabat dengan orang-orang yang baik,

Sama-samalah kita memohon kekuatan dari Allah untuk menghindari diri dari berbuat dosa tak kiralah sama ada dosa itu kecil lebih-lebih lagi dosa besar.  Tingkatkan iman dan ketakwaan diri kerana inilah benteng yang kuat yang yang dapat menjaga kita terjebak dari dosa. Jika terlanjur akibat kecuaian dan kelemahan diri, cepat-cepatlah bertaubat pada Allah dengan penuh keikhlasan hati. InsyaAllah, Rahmat Allah begitu luas, Allah Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang kepada mereka yang suka dan segera bertaubat dari dosanya. 

Rujukan
Taubat kepada Allah- Prof Yusuf Al-Qardhawi
Rahsia Penyinar Hati

Thursday, December 09, 2010

Peranan wanita dalam keluarga


Firman Allah dalam Surah Al-Hujurat :13 yang bermaksud.....
   " Hai manusia sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa  dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu disisi Allah  adalah yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal."

 Allah SWT telah menciptakan laki-laki dan wanita lengkap dengan kejadian dan fitrah masing-masing. Lelaki dan wanita dijadikan untuk saling lengkap melengkapi di antara satu sama lain dan merupakan pasangan yang serasi walaupun dari segi fizikal nya , kegemarannya dan perasaannya berbeza. Namun kemuliaan seorang insan itu bukanlah terletak sama ada dia adalah lelaki atau wanita tetapi terletak pada ketakwaan yang ada di jiwa. Baik lelaki mahupun wanita dapat mencapai darjat kemuliaan disisi Allah SWT asal dia bertakwa kepada Allah.
   Harga diri seorang wanita dan juga lelaki terletak sejauhmana dia memainkan peranan dan melaksanakan tugas dan tanggungjwabnya sesuai dengan fitrah kejadian yang telah Allah jadikan. Lelaki bertindak sebagai pelindung, pembimbing, pemberi nafkah dan pemimpin keluarga sementara  wanita pula menyempurnakan peranannya sebagai ibu kepada anak-anaknya  dan isteri kepada suami. Peranan wanita ini sangat penting dalam menentukan keharmonian dan kebahagiaan rumahtangga, masyarakat dan negara bahkan ada pepatah mengatakan " tangan yang menghayun buaian itu dapat menggoncangkan dunia". Kehancuran sebuah negara bermula dengan kehancuran akhlak wanitanya. Wanita yang merupakan tiang negara, apabila runtuh dan rosak tiang maka runtuh dan rosaklah negara itu! 
    Islam telah meninggikan martabat wanita yang mana dahulunya pada zaman jahililyyah wanita merupakan alat pemuas nafsu lelaki dan barang dagangan yang boleh dijual beli. Wanita tidak mempunyai hak bersuara, tidak diberi perhatian dan penghormatan yang sewajarnya. Kedatangan Islam telah mengubah segalanya dan memartabatkan wanita ketempat yang sepatutnya.   Dalam  satu hadith, pernah seorang sahabat bertanyakan kepada Rasulullah saw tentang hal ini. 
    Sahabat bertanya, "Ya Rasul, manakah yang harus saya penuhi penghormatannya? Rasulullah saw menjawab, "Ibumu. Sahabat bertanya lagi," Selepas itu, Ya Rasulullah? Rasulullah saw menjawab lagi, " Ibumu. Sahabat bertanya lagi," selepas itu? Rasullullah menjawab, "'Ibumu . Tanya sahabat lagi, "selepas itu? Jawab Rasulullah, " Ayahmu.
       Seorang ibu didahulukan dalam haknya berbanding ayah sebanyak tiga kali ganda. Ini adalah kerana besarnya pengorbanan seorang ibu yang telah mengandungkan, melahirkan, menyusukan, menjaga dan mendidik anak-anaknya yang mana jika seorang anak ingin membalas jasa ibunya dengan dunia ini, ia  tidak akan tertunai! Jadi sewajarlah ibu terdahulunya diberi penghormatan oleh anaknya berbanding ayah .Ini bukan bermakna ayah harus dikesampingkan! Seorang ayah yang juga merupakan seorang suami mendapatkan kehormatan dan ketaatan dari isterinya. Disinilah letaknya keindahan Islam. 
     Sebenarnya dalam Islam , wanita yang memiliki nilai hakiki adalah wanita solehah. Sabda Rasulullah dalam satu hadith yang bermaksud....
"Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah."
Contoh wanita solehah boleh didapati pada Sayyidatina Aisyah r.a yang terkenal dengan kecerdasannya, Siti Hajar yang merupakan lambang kemuliaan, tawakkal dan kesabaran, Siti Khadijah pendamping Rasulullah yang telah mengorbankan hartanya untuk Islam, pententeram jiwa Rasul, pendokong setia dan penguat semangat suaminya dalam perjuangan dakwah. Begitu terkesannya kesolehan Siti Khadijah di hati Rasulullah  sehingga namanya banyak disebut-sebut oleh Rasulullah walaupun dia telah wafat.
    Wanita solehah didunia ini adalah cahaya bagi keluarganya dan berperanan melahirkan dan mendidik generasi yang menjadi hamba hanya pada Allah SWT. Dia menjaga imannya, maruah diri agar tidak tercemar dan menyedari bahawa kemuliaan dirinya terletak pada kemampuannya menjaga diri. Dia mentaati Allah dan Rasulnya dan takut berbuat dosa. Kecantikan dirinya dipelihara dari mata-mata lelaki yang rakus dengan menutup auratnya secara sempurna dan berhati-hati dalam mempamerkan perhiasan luaran yang merupakan tabarruj yang dilarang dalam Islam. Tutur katanya dijaga supaya tidak menggoda dan meninggalkan kesan dalam jiwa lelaki yang bukan mahram yang mendengarnya.  Pendekata wanita solehah ini mempunyai hubungan hati yang kuat dengan Allah SWT dan sentiasa memperhatikan sikap dan tindak tanduknya tidak menimbulkan fitnah!
      Namun realiti hari ini wanita itu banyak menimbulkan fitnah. Auratnya tidak terjaga, tutur kata menggoda, pergaulan tanpa batas antara lelaki dan wanita, tabarruj yang berlebihan: kadang-kadang yang menutup aurat pun banyak unsur-unsur tabarruj. Kesukaan wanita pada perhiasan diri sangat sukar di tarbiyyah. Sesetengahnya bukan tidak tahu hukum hakam, tapi masih melakukannya...... Hanya iman yang teguh yang bertapak dijiwa muslimah yang membolehkan dia mengorbankan kesukaan dirinya  untuk mentaati Allah!  
     Jadi beruntunglah seorang lelaki yang mendapatkan pendamping dirinya seorang wanita solehah.Bukan setakat dapat menundukkan pandangan namun mempunyai teman hidup yang sentiasa mengingatkannya tentang hubungannya dengan Allah, tentang tugas dan tangggungjawabnya dalam dakwah dan tarbiyyah, membantunya di saat susah dan sama-sama berkongsi nikmat Allah dengan penuh kesyukuran! Jadi para pemuda janganlah sampai tersalah pilih pasangan hidup. Jika tersalah pilih, rumahtangga Muslim yang ingin dibina menjadi impian yang sukar dilaksana, banyak usaha-usaha dan pengorbanan perlu dibuat untuk mendidik  wanita sebegini.
       Pembinaan Baitul Muslim ini bukan hanya terletak dibahu lelaki sahaja malah ia adalah kolaborasi 
bersama antara lelaki dan wanita. Kedua-duanya saling memerlukan. Kekuatan yang dibina adalah kekuatan bersama. Kukuhnya sesuatu bangsa adalah kerana kukuhnya institusi keluarga. Bila institusi keluarga lemah dan cerai berai, tidak mengambil nilai Allah SWT dalam kehidupan maka lemah dan hancurlah bangsa tersebut.  
     Jadi,  bagi para wanita diluar sana, engkau umpama sekuntum bunga yang kembang mewangi, banyak lebah yang ingin menghisap madumu, maka awaslah, jagalah kehormatan dan maruah diri. Jangan gadaikan diri hanya kerana ucapan cinta yang belum tentu keikhlasannya, cinta nafsu yang menggoda yang mempunyai agenda tersendiri! Kemuliaanmu bukan boleh dijual beli dengan murah, tetaplah pendirianmu dalam menjaga nilai Allah. Jagalah Allah dihatimu, maka Allah akan menjaga dirimu, insyaAllah! Ingatlah wanita solehah itu adalah untuk lelaki yang solehah juga, dan penzina wanita itu adalah untuk penzina lelaki.
          Renungilah firman Allah ini dalam surah An-Nur ayat  26 yang bermaksud....
" Perempuan-permpuan yang keji andalah untuk lelaki yang keji dan lelaki yang keji adalah untuk perempuan yang keji pula,sedangkan perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik . Mereka itu bersih dari  apa yang dituduhkan orang. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki yang mulia." 
      Yakinlah dengan janji Allah ini. Apa yang Allah janji itu pasti benar, insyaAllah!

Wednesday, December 08, 2010

Mengambil iktibar dari peristiwa hijrah!



  Bismillahirrahmanirrahim...

      Alhamdulillah, kesyukuran yang tidak terhingga sama-sama kita panjatkan kehadrat Allah SWT kerana diberiNya kesempatan untuk kita menghirup udara tahun baru hijrah 1432 ini, insyaAllah. Semoga tahun ini lebih baik dari tahun yang lepas dimana kita dapat meningkatkan lagi hubungan kita dengan Allah SWT, menjaga niat kita,  memperbaharui tekad kita untuk menjadi insan yang lebih komited dengan Islam, mengurangkan kealpaan dan kelalaian kita dalam melaksanakan tanggungjawab kita terhadap Allah, terhadap keluarga kita, suami, isteri, anak-anak, ibu-bapa, kaum kerabat, sahabat-sahabat, teman-teman dan masyarakat amnya....Kita panjatkan keampunan kita ke hadratNya di atas segala keterlanjuran kita terhadap Allah SWT; dosa-dosa  dan kesalahan kita.....mudah-mudahan Allah SWT mengampuni kita dan memberikannya taufik dan hidayahNya untuk terus berada di atas jalanNya yang lurus.Amin  
   Sempena tahun baru Hijrah ini, apakah iktibar yang dapat kita ambil darinya? Adakah sekadar mengetahui ia merupakan satu perpindahan para Muhajirin dari kota Mekah ke Madinah sepertimana yang kita pelajari dalam matapelajaran Pendidikan Islam semasa bersekolah dulu?  Sebenarnya peristiwa hijrah ini membawa makna atau mesej yang besar untuk sama-sama kita renungi dan mengambil iktibar darinya.....Ia merupakan satu peristiwa hijrah yang memerlukan pada pengorbanan diri yang cukup besar dimana terpaksa meninggalkan kampung halaman yang dicintai dengan segala harta bendanya. Ia merupakan bukti keimanan yang kuat  dan keikhlasan yang tinggi kerana Allah  SWT kerana hijrah ini perlulah kerana Allah SWT semata-mata bukan kerana yang lain !  Namun bukan semua sahabat Nabi betul-betul hijrahnya kerana Allah SWT dan kepentingan agama, ada seorang lelaki yang berhijrah kerana ingin mengahwini perempuan yang dicintainya......Sehubungan dengan ini ada hadith Rasulullah saw berkenaan hal yang merupakan hadith  pertama dalam siri hadith 40........
  "Sesungguhnya amal itu dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap orang apa yang diniatkan. Maka barangsiapa hijrah kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang hijrahnya bagi dunia yang ia akan memperolehinya atau perempuan yang ingin ia ingin kahwini, maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya itu." 
   Dari hadith ini, jelas kepentingan niat kita dalam melakukan amalan; perbetulkan niat kita sentiasa dalam melakukan sesuatu amalan supaya ia adalah ikhlas kerana Allah SWT bukan kerana dunia atau kerana wanita. Setiap amalan itu berdasarkan apa yang diniatkan dalam jiwa! Apabila kita berhijrah kerana dunia, maka dunialah yang kita perolehi. Bila kita berhijrah kerana  wanita, maka wanitalah yang kita dapati. Wanita disebut secara khusus di sini kerana wanita termasuk dalam bilangan syahwat yang disukai manusia pada kedudukan nombor satu! Betapa ramai lelaki yang tidak mampu menahan syahwatnya kerana wanita......dan ramai yang tersungkur dan kecundang disebabkan ini! Jadi perlulah berhati-hati dengan godaan dunia dan wanita. Jagalah adab-adab pergaulan supaya mengikuti syara dan jika tidak mampu menjaga syarak dianjurkan berkahwin. Ini dapat menjaga kehormatan dan menundukkan pandangan. Jika tidak mampu berkahwin, maka berpuasalah kerana dengan berpuasa dapat mengurangkan syahwat yang bergejolak!
    Hijrah yang membawa erti meninggalkan; dalam konteks ini meninggalkan segala apa yang dilarang oleh Allah SWT dalam kehidupan,seperti sabda Nabi saw yang bermaksud.
" Bahawa orang yang berhijrah itu adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah SWT ."
Jadi apabila kita meninggalkan maksiat dan mencegah syahwat kita ia merupakan jihad dijalan Allah SWT dengan syarat niatnya adalah benar-benar kerana Allah SWT semata-mata. Inilah syarat amal kita diterima sebagai amal soleh. Sebelum kita melakukan sesuatu checklah niat dalam hati kita, luruskan niat kita , barulah lurus bicara dan tindakan kita! Firman Allah SWT dalam  surah al-Kahfi ayat 110.....
   " Barangsiapa yang mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia kerjakan amal soleh.  Dan janganlah ia sekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya." 
Tentang amal yang tidak ikhlas kerana Allah SWT ini , Rasulullah saw menyebut dalam satu hadisnya yang bermaksud....
    " Yang amat ku takuti atas kamu ialah syirik yang halus (riya)"
 Berkata Fudhail bin Iyad yang bermaksud.....
   " Meninggalkan amal kerana manusia adalah riya. Beramal kerana manusia adalah syirik. Ikhlas itu ialah Allah menyelamatkan engkau dari keduanya."  
Riya' ini yang merupakan syirik yang halus kadang-kadang kita tidak sedari wujudnya kerana ianya tersembunyi di dalam jiwa kita, sukar dikesan. Riya ini umpama semut yang hitam yang berjalan diatas batu yang hitam di malam yang gelap gelita! Jadi sama-samalah kita mohon perlindungan dari Allah SWT dari sifat ini yang merosakkan amalan kita. Hanya dengan bantuan Allah SWT sahaja yang dapat menghindari diri kita darinya.....
    Hijrah Rasullullah ke Madinah juga telah mempersaudarakan orang Muhajirin Mekah dan Ansar Madinah yang dipersatukan atas ikatan Aqidah. Ikatan Aqidah merupakan sekukuh-kukuh ikatan yang melebihi ikatan hubungan darah. Disini kita melihat bagaimana orang Ansar sanggup menerima Muhajirin dengan hati yang terbuka, mempersilakan masuk kerumah masing-masing, sanggup berkongsi harta malah sanggup menceraikan salah seorang isterinya untuk sahabatnya orang Muhajirin Mekah! Inilah ikatan ukhwwah yang lahir atas dasar iman, tiada kepentingan diri disini, susah sama dirasa, senang sama dikongsi! 
     Hebatnya pengaruh iman yang boleh berubah manusia yang memang sifatnya suka pentingkan diri sendiri kepada mereka yang mendahulukan kepentingan saudara seaqidahnya!  Tapi bagaimanakah reaksi orang Muhajirin tentang kebaikan dan keikhlasan hati orang Ansar? Mereka tidaklah mengambil kesempatan! Malah seorang sahabat Muhajirin hanya meminjam sedikit wang dari Ansar dan minta tolong ditunjukkan dimanakah pasar. Setelah mendapat keuntungan, pinjaman tadi dibayar semula. Jadi masing-masing tahu tanggungjawab masing-masing. Yang seorang ikhlas memberi dan seorang lagi ikhlas menerima! Sukarnya kita dapati situasi begini sekarang......!!
     Realiti kini dalam  kes  pinjam-meminjam wang ini , sipeminjam terpaksa menagih hutang dari sipemiutang.... pinjam wang senang, tapi nak bayar liat betul.......kadang kadang bertahun-tahun tidak dibayar malah sesetengah tu terus lupa dengan hutang atau lari dari hutang! Mereka yang berhutang ini  tidak menyedari  atau ambil berat bahawa pinjaman yang diterima akan dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT nanti! Simati yang masih ada hutang, amalan dan rohnya tertahan tidak diterima Allah SWT selagi hutang tidak dibayar.  Tapi ramai dari kita masih meremehkannya.....!
      Pengorbanan hawa nafsu perlu  dalam rangka berhijrah kerana Allah SWT. Perlu sedari nilai Allah SWT lebih tinggi dari nafsu diri. Dengan mengenepikan godaan nafsu, kita dapat mengawal dan menundukkan hawa nafsu kita yang sering mencari jalan untuk menang. Dekatkan hati dengan Al-Quran, paksa diri untuk tunduk dan patuh! Tapi dalam mengajak orang lain perlulah lemah lembut dan berhikmah! 
     Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 159 yang bermaksud....
      " Serulah (manusia) kepada jalan Rabbmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik......."  
    Firman Allah SWT lagi dalam surah Ali-Imran ayat 159.....
      " Maka disebabkan rahmat dari Allahlah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekeliling kamu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkan ampun bagi mereka......" 

     Tiada paksaan dalam Islam. Kaedah mentarbiyah diri sendiri dan orang lain tidaklah sama. Kita perlu keras dengan diri sendiri tapi dengan orang lain interaksi kita perlu lemah lembut dan berakhlak mulia sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah saw..........
     " Sesungguhnya kamu tidak akan dapat melapangkan manusia dengan harta kamu. Sebab itu, maka lapangkan mereka dengan muka yang jernih berseri dan keelokkan budi. Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling elok budi pekertinya."  

    Jadi di tahun baru hijrah ini.......mulainya dengan betulkan niat bagi segala amalan kita dan diatas niat yang betul ini kita berhijrah meninggalkan segala dosa-dosa kita sama ada besar atau kecil, perbaiki amalan kita supaya lebih sempurna, pergunakan masa kita supaya lebih dapat dimanfaatkan untuk Allah SWT, korbankan harta kita, masa kita, tenaga kita untuk jalan Allah SWT, tingkatkan dakwah dan tarbiyyah diri kita........
  Kita berhijrah ini adalah untuk kebaikan dan kepentingan diri sendiri bukan kerana orang lain....Segala manfaat dari hijrah ini akan kembali kepada diri kita. Jadi sama-sama kita mulailah perbaiki diri kita, jangan biarkan diri kita pada takuk lama, tidak berubah tiada peningkatan!
 Jadi mulailah berhijrah pada saat ini, masa ini dan hari ini.....Semoga Allah SWT membantu kita dalam niat kita yang baik ini, insyaAllah!!

Link within

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Surah Al Isra' : 72

"Barangsiapa yang buta(hati) di dunia ini, maka dia juga akan buta di akhirat kelak dan lebih sesat jalannya."

Kehadiranku di website ini.......

Daisypath - Personal pictureKehadiranku di sini....

Waktu Solat

7

visitor's map....