Monday, February 14, 2011

Bagaimana Islam membentuk keperibadian Rabbani dalam jiwa dan kehidupan manusia

Bismillahirrahmanirrahim...

Keperibadian seorang Muslim adalah keperibadian yang bersifat Rabbani di mana ianya lahir dalam jiwa dan kehidupannya. Ia bukan terbentuk secara kebetulan dan lahir begitu saja tapi perlu melalui kaedah dan jalan-jalan tertentu yang perlu ditempuh oleh mereka yang ingin kembali pada Islam . Jalan-jalan tersebut adalah.......
  • Melalui jalan Ibadah
Ibadah merupakan roh bagi kehidupan sepertinya roh yang ada di dalam jasad. Tanpa roh jasad akan mati dan tidak berguna dan tidak mampu menjalankan fungsinya.  Begitu juga ibadah, tanpanya tiada kehidupan yang sebenar, hilanglah fungsinya  dan jadilah kehidupan itu sia-sia dan tidak berguna. Melalui ibadah sama ada wajib atau sunnat,  setiap diri dan hati orang Mukmin dapat berhubung terus  dengan Allah SWT . 


Melalui jalan ibadah khusus seperti solat , puasa, zakat, haji dan umrah dapat mendidik  dan membersihkan jiwa kita supaya kita sedar sebenarnya hanya melalui jalan ibadah pada Allah SWT sahajalah kita akan dapat membentuk keperibadian yang Allah kehendaki dan seterusnya dapat melaksanakan tanggungjawab untuk mencapai kejayaan yang hakiki. Dengan melaksanakan ibadah-ibadah ini,  dapat mengangkat martabat kita sebagai insan ke tahap yang lebih tinggi  melalui mujahadah nafsu kita.  Matlamat akhirnya semua ibadah yang dilakukan itu semata-mata atas dasar taabud hanya pada Allah SWT bukan kerana sebab-sebab yang lain! Segala kepentingan diri di tolak tepi, semuanya dibuat hanya untuk Allah, kerana Allah dan di atas jalan Allah SWT!    

Namun perlu disedari bahawa melaksanakan ibadah sama ada wajib atau sunat  bukanlah setakat  menghubungkan kita dengan Allah hanya pada saat melakukan ibadah sahaja, selepas itu kita lepas bebas tiada hubungan dengan Allah dan boleh mengikuti kehendak hawa nafsu kita sahaja! Sama sekali tidak!! Ibadah itu berperanan menanamkan iman dihati, menanam takwa kepada Allah SWT setiap masa,  membentuk keperibadian Islam dalam seluruh aspek hidup, memberi bekalan supaya sentiasa ingat pada Allah apabila lupa, menguatkan azam dan tekad bila lemah dan menerangi kehidupan dengan cahaya petunjuk bila kegelapan menyelubungi......!

Islam tidak menyukai sesaorang Muslim itu  menjadi manusia Rabbani yang berhubung dengan Allah hanya ketika berada di masjid sahaja semasa rukuk, sujud padaNya tapi di luar masjid , di luar solat lain pula ceritanya......sikap double standard jelas kelihatan...dia berubah dari insan rabbani ke insan haiwani, yang mengikut kata hati dan menuruti hawa nafsu ! Begitu juga halnya bila datang bulan Ramadan......bulan barokah ini dengan penuh ghairah dan semangat,  diisi dengan ibadah dan ketaatan, tapi bila hilangnya bulan Ramadan.......hilanglah segala yang dibuatnya pada bulan mulia itu!! Seolah-olah hanya menyembah Allah hanya di bulan Ramadhan sahaja.. Diluar bulan Ramadhan dan semasa tidak melakukan ibadah, tenggelamlah ia dalam arus kehidupan materialistik sebagaimana tenggelamnya orang-orang yang lalai!

Sebagai seorang Muslim apa yang dikehendaki dari kita adalah sentiasanya kita ada hubungan dengan Allah dimana sahja kita berada, di masjid, di jalanraya, di tempat kerja, di setiap bulan tak kira bulan Ramadhan ke atau tidak, malah di semua tempat dan keadaan. Ingatlah pesan Rasulullah kepada kita yang bermaksud.....
" Bertakwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada" (Hadith Riwayat Tarmizi).

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 115 yang bermaksud....
"Dan kepunyaan Allah lah timur dan barat, maka kemana kamu menghadap disitulah Allah.  Sesungguhnya Allah maha Luas(RahmatNya) lagi Maha Mengetahui." 
  • Melalui jalan akhlak
Islam yang datangnya dari Allah membawa sekali tatacara bagaimana kita melalui kehidupan di dunia ini dengan sistem akhlak Islam. Bagi  kita yang mengaku Muslim, akhlak kita perlulah mencontohi akhlak yang dibawa oleh Rasulullah yang lengkap dari segi kehidupan individu, keluarga dan masyarakat. Pendidikan akhlak ini perlu berjalan dalam diri sejak kita bangun tidur di pagi hari sehinggalah kita tidur semula nanti di malamnya. 

Bangunnya kita dari tidur, bila menghadap makanan, memasuki tandas malah dalam hubungan suami isteri pun ada akhlak Islam yang perlu dijaga. Dari perkara yang sekecil-kecilnya sehingga perkara yang besar, semua ini ada dalam Islam bagaimana kita sepatutnya berakhlak. Tiada satupun yang tertinggal. Lengkap dan sempurna.  Begitulah sepatutnya dalam kehidupan kita sebagai seorang yang mengaku Muslim, kita tidak pernah lupa pada Allah pencipta kita, tidak pernah lalai dalam hubungan dengan Allah malah sentiasa rasa dekat dan jinak denganNya.  Inilah keperibadian Rabbani yang sentiasa bersama dimana jua...... Dapatke kita didik diri kita sedemikian rupa? Usahakanlah secara istiqamah..................ingatlah tiada amalan yang Allah cintai melainkan yang kita buat secara istiqamah walaupun sedikit! 
  • Melalui jalan pendidikan dan pembentukan
Jalan ketiga untuk memantapkan keperibadian Rabbani inilah yang paling berkesan.  Pendidikan awal sepatutnya bermula dari rumah lagi oleh ibu bapa kemudian disekolah oleh para pendidik atau guru dimana  di kedua tempat inilah bermulanya penanaman peribadi Rabbani ke dalam hati dan fikiran anak-anak yang sedang membesar  itu.
 Pendidikan Islam yang dijalankan dirumah perlu berkesinambungan di sekolah. Jadi adalah sangat penting sekolah mana yang kita pilih untuk anak kita berada. Bukannya menghantar anak kita ke sekolah yang   hanya mengejar dan menekankan kecemarlangan akademik semata-mata  tanpa menitikberatkan akhirat dan sahsiah yang baik! Apa ertinya anak kita berjaya di dunia tapi akhiratnya.....? Sakit jiwa dan letih kita dibuatnya nanti menangani masalah demi masalah dari anak kita akibat tersalah didikan dari kita dari awal lagi!

Asalnya anak-anak ini umpama kain yang putih bersih, jadi bergantunglah kepada kedua ibubapanya yang memberikan coraknya!!  Corak Islamik ke , campur aduk atau yang non- Islamik? Umpamanya bagai  seorang pelukis di mana kertas lukisannya  ditangan, berus, pensil warna juga di tangan.....maka terpulang kepada idea si pelukis itu untuk membuat corak lukisan yang dihajati.! 

Jadi begitu pentingnya juga ibu bapa itu mempunyai idea, pemikiran dan perbadi Islamik untuk mencorakkan keperibadian Islamik dalam diri anak-anak! Tanggung jawab bapa sebagai ketua keluarga cukup besar dalam menentukan hala tuju pendidikan keluarganya. Sesungguhnya seorang bapa atau suami lebih bertanggungjawab terhadap pendidikan roh anak isterinya, tidak melalaikan tanggungjawab pendidikan ini dan lepas tangan menyerahkan sepenuhnya pendidikan ini kepada si isteri.  Seorang isteri adalah sebagai pembantu yang setia yang menguruskan hal anak-anak tapi pemantauan, perhatian dari suami sangat-sangat di perlukan. Kelalaian dan kealpaannya membawa kerosakan yang lebih dahsyat dari kelaparan dan maut iaitu kematian roh atau hati keluarganya! 

Ingatlah pesan Rasulullah saw yang bermaksud....
" Setiap orang adalah penggembala dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap gembalaannya."
(Hadith Riwayat Muslim dan Bukhari)

Sebenarnya pendidikan anak-anak ini perlu bermula sejak awal lagi....iaitu sejak awal pemilihan jodoh isteri atau suami! Bermula dengan pasangan suami isteri yang soleh inilah akan seterusnya melahirkan zuriat yang soleh....Jadi perhatikan siapa yang ingin kita jadikan calon isteri atau suami kita....bukanlah berdasarkan nafsu semata-mata! Pilihlah mereka yang beragama mengatasi ciri-ciri yang lain seperti cantik, berharta, keturunan dan sebagainya............
Sama-samalah kita renungi  Firman Allah dalam surah At-Tahrim ayat 6 yang bermaksud.....
" Hai orang-orang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintah."

Sempena bulan Maulidur Rasul yang mulia ini, sama-sama kita mengorak langkah kita mendidik diri kita dengan keperibadian Islam seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah tercinta. Bagindalah ikutan dan contoh kita, maka cintailah beliau melebihi yang lain kerana itu sebenarnya bukti kesempurnaan iman kita pada Allah dan Rasul! Dari saat ini, mulailah dengan langkah pertama kita.........insyaAllah!




Saturday, February 12, 2011

Meresapi hari kebesaran akhirat dan perjalanan menujunya!

Bismillahirrahmanirrahim...

Kehidupan kita di dunia ini tidak kekal,  hanya sementara waktu  sahaja. Setiap diri kita sebenarnya saban hari menanti giliran kita untuk di panggil pulang kepada Allah sama ada kita sedari atau tidak. Siang dan malam yang silih berganti........memendekkan masa kita di dunia dan mendekatkan  kita dengan hari terakhir kita menghirup udara dunia ini...! Aduh...... jika difikir-fikirkan takutnya kita menghadapi hari itu......apa yang akan ku bawa pulang nanti? Di mana kah tempat ku nanti?

Dunia ini dengan segala keindahannya adalah dunia yang menipu dan kita juga sering tertipu. Kesenangannya dan kesusahannya adalah sementara dan palsu belaka. Kesenangan yang dikecapi mungkin menjadi bala dan cubaan bagi kita. Kesusahannya pula mungkin membawa rahmat bagi kita. Akhirat jua lah sebenarnya tempat kita mengecapi kesenangan dan kebahagiaan yang 100% total begitu juga kesusahannya juga 100% total! Menyedari hal ini , apa perlunya kita tenggelam dalam dunia yang palsu? 

Hakikat yang perlu kita sedari, carilah bekalan sebanyak mungkin untuk perjalanan kita yang sangat jauh dan panjang nanti.  Takut-takut bila  bekalan yang kita cari dan kumpulkan habis di perjalanan akhirat kita , bolehkah kita medapatkan bekalan  tersebut semula? Sesuatu yang mustahil  terjadi kerana ketika itu kita sudah pun kembali kepadaNya!

 Di dunia ini,  apabila kita tertinggal barang keperluan, dokumen penting semasa dalam perjalanan balik kampung atau bila bermusafir, kita boleh berpatah balik atau jika kereta kita kehabisan minyak, kita boleh berhenti  mengisi minyak dan membeli barang keperluan.....Tapi boleh ke kita berpatah balik  ke dunia , setelah memulakan perjalanan akhirat kita  dari detik kematian kita untuk menambah bekalan akhirat kita? Itu tidak mungkin terjadi!! Itulah yang seharusnya setiap masa kita fikirkan, supaya kita sentiasa ingat siapa diri kita di dunia ini hanyalah umpama musafir lalu yang singgah sebentar meneruskan perjalanan menuju destinasi akhirat kita!

 Seringkali dalam melayari kehidupan dunia ini , kita kadang-kadang terlupa matlamat kita yang sebenarnya. Kita terleka dan tersasar dari jalan yang lurus namun dengan kasih sayang dan rahmat  dari Allah SWT, Dia  sering memberikan kita peringatan demi peringatan dalam bentuk ujian agar kita kembali ke pangkal jalan,  kembali ke dalam pangkuan Allah SWT.  Bagi yang sedar,  Alhamdulillah, akan tertingkatnya iman dan takwa, bertambahnya amal soleh dan komitmen dengan Islam. Namun ramai juga yang masih tidak sedar-sedar, malah makin jauh dari Allah kerana menganggap semua itu lumrah dunia tiada kaitan dengan cubaan itu sebagai peringatan dari Allah! Alangkah butanya mata hati itu, tidak merasai dan mengambil iktibar darinya!!

Jadi mengingati mati itu sesuatu yang sangat di anjurkan dimana ia  membolehkan kita menukar arah haluan hidup kita menuju  haluan yang betul. Sebenarnya ada tiga kategori  manusia dalam menghadapi kematian ini...........
  • Kategori pertama apabila mereka teringat akan mati, hatinya terasa lapang dan sukahati. Mereka adalah orang yang benar-benar berilmu, penuh iman didada akan Allah dan hari akhirat. Mereka telah mencapai makrifat terhadap Allah dan ini adalah makam tertinggi yang dimiliki para wali Allah.
  • Kategori kedua adalah orang yang teringat akan mati hatinya menjadi kecut , takut dan gementar.  Mereka adalah orang-orang kafir yang tidak sanggup berjumpa dengan Allah SWT, Meraka umpama binatang liar kepunyaan sesaorang yang apabila tuannya ingin mengambil dan menangkapnya, ia cuba melarikan diri tetapi dapat juga ditangkap secara paksa. Kematian mereka amat menghinakan.
  • Kategori ketiga  adalah orang yang merasa dukacita dan takut akan kematian. Tetapi apabila sudah mati dia merasa sukacita kerana dapat menikmati dan mengecapi alam akhirat yang lebih kekal dan lebih baik dari alam dunia yang penuh dengan kesusahan dan kesengsaraan.  Jika di beri pilihan tidak mahu kembali lagi hidup kedunia setelah mati.  Ibarat golongan ini seperti bayi yang lahir ke dunia dari perut ibunya yang menangis ketika dilahirkan. Tapi setelah mengecapi alam dunia yang lebih baik dan nyaman dari perut ibunya, ia tidak mahu kembali  ke perut ibunya meskipun diberi pilihan. Manusia yang termasuk dalam golongan ini adalah golongan Mukmin biasa .
Jadi usahakan lah diri kita termasuk dalam kategori ketiga sekurang-kurangnya. Kita berlumba-lumbalah mencari bekal akhirat kita, berlumba-lumba berbuat kebaikan dan meminimakan kesalahan dan dosa kita. Sesungguhnya jalan ke syurga itu dipenuhi onak dan duri , penuh kesusahan perlu bermujahadah selalu, manakala jalan ke neraka itu dipenuhi dengan keinginan syahwat yang hina dan bisikan syaitan yang menyesatkan. Buatlah pilihan yang betul semasa kita masih ada kesempatan lagi hidup di dunia ini. Awas, jangan tersilap pilih!

Penuhilah dada kita dengan iman dan ilmu kerana orang jahil semuanya binasa kecuali orang yang berilmu. Tapi orang yang berilmu semuanya binasa kecuali yang beramal. Namun semua yang beramal akan binasa melainkan yang ikhlas. Untuk mencapai darjah keikhlasan, perlu banyak berjuang dan bermujahadah. Ibarat untuk mencapai keikhlasan ini seperti orang yang mendakit bukit, perlu ada semangat , tekad dan azam yang kuat , tidak mudah putus asa  untuk sampai ke puncak.

Selalulah minta bantuan dari  Allah SWT  kerana dengan izinNya memampukan kita untuk beramal. Tanpa taufik dan hidayah Allah sebenarnya kita akan tenggelam dalam dunia yang melekakan. Perlulah kita sentiasa sangat-sangat bersyukur padaNya yang  memberikan kita nikmat iman dan Islam ini. Dan lahirkanlah kesyukuran ini dalam bentuk ketaatan yang tidak berbelah bagi akan segala perintahNya!

Rujukan
Berdialog dengan Allah di keheningan malam
Khairul Ghazali

Wednesday, February 09, 2011

Kekhusyukan yang hilang....!

Bismillahirrahmanirrahim...

Seringkali apabila kita melakukan ibadah,  contohnya ketika solat kita sering teringat macam-macam, ketika membaca Al-Quran, hati tidak tersentuh dan bila berzikir rasa nak habiskan dengan cepat sahaja.....tidak rasa nikmat bila melakukannya..... Apabila hati kita keras, jiwa berkarat dan air mata kita kering dari tangisan keinsafan ......semua ini adalah petanda hilangnya khusyuk dan ibadah yang kita buat tidak berkualti. Apa yang kita buat hanya setakat memenuhi rutin harian menunaikan tanggung jawab kita pada Allah, namun kepuasan jiwa menunaikan ibadah tidak kita rasai. Sebenarnya kita perlu semak diri kita.....apa yang dah kita lakukan sehingga jiwa kita sedemikian?  

Sebenarnya keterlaluannya kita dengan dunia ini dengan segala kesibukannya, keindahannya, daya tarikannya.....menyebabkan kita sering terlalai dan leka......sehingga tidak disedari tindakan yang kita lakukan sudah berlebih-lebihan....berlebih-lebihan dalam cakap kita, gurau senda kita, tindakan kita, kerja-kerja duniawi kita sehingga kadang-kadang kita dah over-react dan terkeluar dari landasan syarak! Ini akan menjejaskan kekhusyukan kita dalam ibadah kita tadi! Apabila hati kita sudah terputus hubungan dengan Allah, nak jalinkan semula bukanlah semudah itu........perlunya kita perbanyakkan istigfar kita di atas semua keterlanjuran kita tadi, perlunya kita rangsang dan beri semula saranan pada jiwa kita untuk ia berhubung kembali dengan Allah, lembut dan jinak padaNya......

Itulah dunia yang kita diami ini apabila ia masuk kedalam jiwa kita, hati kita sukar kembali kepada kesuciannya melainkanlah jiwa itu mestilah dibersihkan dari segala kekotoran yang menghinggapinya.... 
Seperti kata Saidina Uthman bin Affan....
"Seandainya hati kamu bersih, kamu tidak akan bosan membaca Al-Quran."

Seandainya hati kita bersih, nikmatnya berhubung dengan Allah dalam solat kita.
Seandainya hati kita bersih, ikhlasnya kita dalam persahabatan, tiada niat tersembunyi,
Seandainya hati kita bersih, baiknya tutur kata kita, indahnya akhlak yang menghiasi diri,
Seandainya hati kita bersih, bencinya kita pada maksiat dan dosa!

Tapi malangnya hati kita kurang bersih! Kurang bersihnya hati inilah yang menyebabkan kita terjebak dalam dosa dan perkara-perkara yang Allah larang.....Jadi tidak cukup sebenarnya kita hanya memperhatikan kebersihan fizikal kita, pakaian kita, rumah kita ......tapi lalainya kita dalam memperhatikan   seketul daging yang berada dalam diri kita ... iaitu hati nurani kita!  

Ibnu Qayyim menggambarkan tentang kekhusyukan hakiki  iaitu khusyuk imani .........
" Khusyuknya hati terbukti dengan pengagungan kepada Allah SWT, rasa malu dan takut padaNya lantas hati menjadi tunduk dengan penuh rasa takut , gementar , malu dan cinta padaNya. Merasai dalam jiwa akan segala kenikmatan yang dikurniakanNya. Maka jiwanya tunduk padaNya diikuti dengan ketundukkan  anggota badan. " 

Sebaliknya khusyuk yang palsu adalah khusyuk yang dihiasi dengan kemunafiqan iaitu....
"Nampak dari anggota tubuh , gerakan yang dibuat-buat sedangkan hatinya sangat lalai. Sebahagian dari sahabat berdoa kepada Allah,' Aku berlindung dari Allah dari khusyuk yang diselimuti kemunafiqan.' 

Bila hati kita lalai semasa menunaikan ibadah kita, apa yang kita baca hati tidak hadir bersama, maka ini adalah khusyuk yang palsu dan terlarang.  Nampak saja kita solat dari segi fizikal.....namun hati kita tidak solat!

Solat sebegini tidak memberi kesan dijiwa dan tidak mampu menjadi benteng pertahanan diri dalam menghadapi ujian hidup.....  Justru itu, perhatikanlah solat kita, luangkan lebih masa sedikit untuk menunaikannya, jangan terburu-buru dan nak cepat sahaja, asal dah solat, tak kira khusyuk ke tidak, kualiti atau tidak,  janji buat! Sikap acuh tak acuh inilah yang perlu kita kikis dari diri.....! Ingatlah perkara pertama yang Allah akan hisab nanti di hari akhirat  adalah solat kita......Jika ringan dan mudah kita dihisab dari segi solat ini....yang lain-lain insyaAllah lebih mudah lagi!
  
Jadi sebenarnya khusyuk itu letaknya dihati. Hati yang sentiasa tunduk dan patuh pada Allah  dan sentiasa berkobar-kobar dijiwa semangat meninggikan Kalimah Allah. Bukanlah khusyuk itu bermaksud mengerak-gerakkan dan menundukkan kepala, berjalan perlahan dan merendahkan suara.  Sayyidina Umar Al-Khattab ketika melihat orang berjalan menundukkan kepala berkata padanya....
" Wahai saudara angkatlah kepalamu, sesungguhnya khusyuk itu di dalam hati."

Ummul Mukminin iaitu Sayyidatina Aisyah ra. melihat ada sekumpulan pemuda yang berjalan dengan perlahan lantas beliau bertanya kepada pembantunya...
"Siapakah mereka itu?" Jawab pembantunya," Mereka itu adalah para ahli ibadah." Lantas Aisyah menjawab, " Sesungguhnya Umar adalah manusia yang paling kuat ibadahnya namun apabila berjalan dia berjalan dengan cepat. Apabila berbicara, dia ucapkan dengan tegas. Apabila memukul, pukulannya terasa sakit dan apabila memberi makan sangat memuaskan.  Namun walaupun begitu dia tidak menundukkan kepalanya atau berjalan dengan perlahan, tapi dia adalah seorang manusia yang sangat lembut perasaannya ketika membaca Al-Quran." 

Begitulah contoh khusyuk dan tawaddhu' yang dikehendaki.....hati yang lembut, jinak dan mudah tersentuh dan menangis bila dibacakan   segala peringatan dari Allah.......merasainya dan menghayatinya didalam jiwa sehingga pernah diriwayatkan oleh Hasan Al-Basri tentang bagaimana Umar ketika membaca sepotong ayat Al-Quran dalam wiridnya, jatuh pingsan dan berdiam diri dirumahnya berhari-hari sehingga diziarahi oleh sahabatnya yang menyangka beliau sakit! Sebenarnya ayat yang dibacanya itu cukup menggetarkan jiwanya sehingga beliau jadi begitu!!

Adakah kita sedemikian? Rasanya jauh sekali.....Perlu kita usahakan supaya hati kita boleh khusyuk....bukan setakat semasa solat , baca Quran dan ibadah khusus sahaja!   Kita kena didik hati kita supaya setiap masa hati kita jadi khusyuk berhubung dengan Allah, tidak lalai dalam menunaikan tanggungjawab kita pada Allah terlebih dahulu! Ini tidak,  kita begitu asyik dan tenggelam dalam mengurus dunia kita sehingga  terleka.........

Jadi itu perlunya sentiasanya hati ini selalu di peringatkan dengan peringatan yang berguna, membasahi lidah kita dengan zikrullah, menyirami hati kita yang selalu kering dan tandus itu dengan ayat-ayat Allah........ .

Selalulah kita berdoa padaNya supaya Allah memberikan kita hati yang khusyuk  dalam semua ibadah  kita dan sentiasa memelihara diri dan kehormatan kita dari perkara keji dan tercela.......supaya kita menjadi orang yang beruntung kelak dan mewarisi syurga Firdaus dan tinggal kekal abadi di dalamnya sebagaimana yang dijelaskan dalam Surah al-Mukminun ayat 1-2 yang bermaksud...
"Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, iaitu (orang-orang) yang khusyuk dalam solatnya..........."


Sesungguhnya hati yang khusyuk ini adalah ciri orang yang beriman.....iaitu iman yang mendasari jiwa akan melahirkan rasa hati yang khusyuk ini..........Jadi tanamkan iman dan takwa dalam hati, bajai dan suburkan ia selalu sehingga ia tumbuh subur dihati......insyaAllah natijah iman akan lahir dalam tindakan kita! Semoga Allah membantu kita dalam usaha-usaha kita ini, InsyaAllah.

Amin... Ya Allah perkenankanlah!

Saturday, February 05, 2011

Perkara-perkara yang membawa ketenangan pada hati




Bismillahirrahmanirrahim...
Rasulullah saw bersabda ," Dan ketahuilah bahawa  didalam setiap tubuh itu     ada seketul daging,  sekiranya ia baik maka baiklah seluruh tubuh itu dan sekiranya ia tidak baik maka  tidak baiklah seluruh tubuh itu. Itulah hati." (Riwayat Bukhari dan Muslim). Hati dalam diri manusia itu umpama raja yang berkuasa memerintah dan mengarah rakyatnya iaitu seluruh anggota badan kita bertindak menurut keinginan hati. Apa yang terlintas dan diniatkan oleh hati untuk melakukannya akan terlaksana, insyaAllah. Peranan hati sungguh penting sekali dalam menentukan tindakan dan membentuk peribadi yang soleh.
Perlu kita mengetahui jenis hati yang bagaimana yang dapat membawa pemilik hati kearah ketenangan dan kebahagiaan hati.. Ibnu Qayyim Al-Jauziyah membahagikan hati atau qalbu manusia itu kepada tiga kategori:
  • Al-Qalbu Soheh
Iaitu hati yang  salim (suci). Hati jenis ini adalah hati yang hidup, khusyuk dan tawaddhu' kepada Allah , lembut dan sentiasa sedar dengan kesedaran yang betul.
  • Al- Qalbu Mayyit.
Iaitu hati yang mati. Hati yang tidak kenal penciptanya iaitu Allah SWT dan tidak berubudiyyah pada Allah SWT bahkan hati ini bertuhankan hawa nafsunya.
  • Al- Qalbu Maridh
Iaitu hati yang sakit, dan hidup dalam keadaan sakit. Hati sebegini berada diantara dua panggilan iaitu panggilan Allah dan panggilan dunia. Ia berada antara dua ketaatan, taat pada perintah Allah dan Rasul atau taat  atau terikut dengan tarikan duniawi dan kelazatan dunia . Kebiasaannya hati itu lebih tertarik kepada pintu-pintu dan peluang-peluang yang lebih dekat dan hampir pada nya. Bila  pintu menuju Allah dan Rasul itu terbuka dan hampir pada hati, ia akan tertarik kepada Allah dan Rasul. Sebaliknya bila pintu-pintu dan peluang duniawi dan kelazatannya terbuka luas, ia lebih mudah tertarik kepada dunia!

Maka sekarang ini,di antara tiga hati diatas, yang mana satukah hati kepunyaan kita?  
Sebenarnya bagi kita amat berhajat kepada hati yang suci dan hidup (Al-Qalbu Soheh) kerana Allah menegaskan dalam firmanNya Surah Asy-Syuraa yang bermaksud.....
" Hari ( Kiamat dimana) harta benda dan anak pinak tidak dapat memberi faedah sesuatu apa pun melainkan orang yang datang (kembali) menghadap Allah dengan hati yang suci (sejahtera, suci dari sebarang syirik dan nifak) hati yang sentiasa taat dan berubudiyyah kepada Allah."
 Jadi inilah jenis hati yang nak kita bawa menghadap Allah nanti bila kita kembali padaNya. Perlu usahakan untuk  mendidik dan menjaga hati kita supaya ia suci dan bersih , hidup dan segar, tenang dan bahagia selalu!  
 Dari Imam Al-Ghazali  tentang hati...........
  • Hati itulah yang mengetahui tentang Allah, yang bekerja untuk Allah dan yang sentiasa menghampiriNya, menyingkap dan merasai kebesaran yang terdapat disisi Allah, manakala anggota lain adalah menjadi hamba padanya.
  • Apabila hati itu tidak mengejar selain Allah sudah tentu ia dapat berhubung dan menghampiri dirinya pada Allah. Dia rasa bahagia apabila berhampiran dengan Allah.  Dia akan beroleh kemenangan jika sentiasa dibersihkan sebaliknya akan beroleh derita dan kecewa jika ia dikotori dan dicemari..... 
Jadi perlu dan sangatlah penting bagi kita mengetahui perkara-perkara yang memberi ketenangan pada hati. Lebih-lebih lagi dalam realiti sekarang ramainya manusia berada dalam keresahan, kebingungan, kebuntuan,  tidak tahu arah tujuan mana yang  perlu diikuti, kekecewaan diri, kesedihan yang amat sangat, banyak masalah dalam hidup............

InsyaAllah dengan mengetahui dan meneliti akan perkara-perkara yang memberi ketenangan pada hati ini akan menguatkan azam dan tekad kita untuk berada di atas sistem hidup yang Allah redhai, dapat mencari jalan untuk menyelesaikan segala permasalahan hati....
Perkara-perkara tersebut adalah.....
  • Ilmu yang  di perolehi oleh sesaorang di mana dengan ilmu itu dia dapat mengenali Allah SWT dan melahirkan iman padaNya. Ilmu-ilmu lain  mestilah bersumberkan pada ilmu ini. Iman yang lahir dari ilmu mengenal Allah ini dan memperoleh kefahaman dan kesedaran akan  menyebabkan hatinya lapang dan puas, lebih lapang   daripada dia berada dalam cahaya di siang hari.
 Sebaliknya kejahilan tentang Allah SWT akan mewarisi kesempitan jiwa  lebih sempit dari dalam penjara dan dibelenggu. Seolah-olah berada dalam ruang yang sempit dan gelap gelita , tidak tahu  dan meraba-raba mencari  arah  mana sebenarnya. Bila hati tidak mahu menerima kebenaran dari Allah sepenuhnya, hati tersebut masih sempit dan jahil walaupun berada ditengah-tengah lautan ilmu, berada bersama-sama mereka yang ingin kembali pada Islam.....Hatinya masih berkeras tidak mahu menerima hakikat kebenaran Islam yang sebenarnya maka Allah tidak akan memberi petunjuk kepadanya dan membiarkan dia berada dalam kegelapan hatinya!  
Untuk menghapuskan kejahilan dan kesempitan hati  ini, hati itu mestilah SELALU di beri saranan dan peringatan, dididik diproses, dilatih dan diasuh dengan ilmu -ilmu yang benar.  Dengan ilmu inilah sahaja yang akan menerangi hati yang gelap dan sempit tadi.  Ingatlah akan realiti hati kita yang mudah lalai dan lupa! Perlulah memberikan ruang dan mencari peluang untuk sentiasa menuntut dan mencari ilmu lebih-lebih lagi ilmu yang boleh meningkatkan keimanan kita pada Allah SWT.   Tentang menuntut ilmu ini, sabda Rasulullah saw yang bermaksud................
" Sesiapa yang menuruti jalan  menuntut ilmu, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya jalan untuk ke syurga" 
  • Hati akan tenang  dan lapang bila  ia mencintai Allah dan menumpukan sepenuh perhatiannya kepada Allah SWT. Hati yang mencintai Allah akan rasa nikmat bila beribadah padaNya. 
Sabda Rasulullah saw  yang bermaksud................
"Tiga perkara sesiapa yang berada didalamnya (iaitu memilikinya) akan merasai kemanisan iman: Hendaklah Allah dan Rasul lebih dicintai dari yang lain-lain, menyintai saudaranya semata-mata kerana Allah dan benci untuk kembali kedalam kekufuran sebagaimana ia benci di masukkan ke dalam api neraka."  
Hati yang  mencintai  Allah SWT akan mendorongnya untuk melakukan dan mengutamakan perintah Allah SWT daripada perintah hawa nafsunya, perintah makhluk manusia lain dan sebagainya...
 Sebaliknya hati akan lemas , berkecamuk dan resah bila ia menentang dan ingkar terhadap Allah SWT, bergantung pada selain Allah SWT dan lalai dari mengingati Allah SWT. Kerana itulah Allah sentiasa mengingatkan manusia agar sentiasa mengingatiNya untuk mendapatkan ketenangan jiwa (Surah Ar-Ra'd:28).
Apabila kita berpaling dari Allah, maka teman kita adalah syaitan yang sentiasa mengikuti kita. Renungi firmanNya dalam surah Az-Zukhruf : 36  yang bermaksud........
" Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran TuhanNya  yang Maha Pemurah (iaitu Al-Quran), Kami adakan baginya syaitan, maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menemaninya."
Dan kita perlulah sentiasa ingat dan waspada tentang syaitan ini iaitu......
".......dan sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu." ( Surah Al-Baqarah :208)
Janganlah kita jadi orang yang tidak menghiraulan peringatan Allah tentang syaitan ini. Janganlah kita mengikut jalan-jalan dan langkah-langkah syaitan jika kita inginkan ketenangan dan kebahagiaan! Waspada selalu terhadap musuh yang tersembunyi ini!!  
Berkata Ibnu Qaiyyim Al- Jauziyah ......
" Apabila sesaorang itu kasih kepada sesuatu yang menyebabkan ia ingkar pada Allah SWT, maka Allah akan mengazabnya dengan sesuatu yang ia kasihi itu. Allah SWT akan mengurung hatinya dengan apa yang ia kasihkan itu."
Hatinya akan rasa sempit, resah gelisah selalu dan tidak berasa tenang dan lapang! 
  • Orang yang berani akan lapang dan tenang hatinya.  Iaitu berani yang dipimpin oleh iman yang mendorong sesaorang itu mempersaksikan kalimah tauhid dan menegakkan kebenaran agama Allah . Dengan keberanian ini akan membawa kepada keadilan, kemuliaan dan kesejahteraan. Ketakutan sesaorang itu mempersaksikan yang hak  akan menyebabkan dadanya sempit, resah dan gelisah!
Seperti kata Ibnul Qaiyyim.," Orang yang pengecut itu adalah orang yang berada dalam kesempitan. Dia tidak akan merasai kelazatan hidupnya. Dia terkurung sebagaimana terkurungnya binatang."
Jadi sama-sama kita berusaha kearah mempunyai hati yang suci dan hidup , tenang dan lapang. Kerana disinilah sebenarnya terletaknya kebahagiaan kita. Kebahagiaan  yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit, harta pangkat atau apa sahaja yang ada di dunia ini......Hati yang suci bersih, tenang dan sejahtera di mana tempat menetapnya iman dan takwa, tempat singgahnya hidayah Allah. Hati yang didalamnya ada cahaya yang menerangi ..........itulah hati yang kita hajati!!  

Friday, February 04, 2011

Titik tolak yang betul



Bismillahirrahmanirrahim...........

Sebagai manusia biasa, kita perlu merasai bahawa diri kita ini tidak sempurna, mempunyai berbagai-bagai kekurangan dan kelemahan diri. Yang sempurna hanyalah Allah SWT sahaja. Bila rasa diri kita lemah dan kurang, barulah kita akan rasa perlu kepada proses tarbiah untuk membuang segala kelemahan dan kekurangan, mempertingkatkan potensi diri supaya dapat dimanfaatkan di atas jalan Allah SWT. Kelemahan dan kekurangan diri jika dibiarkan akan mengganggu hubungan hati kita dengan Allah SWT, satu jalinan hubungan yang sungguh penting kita bina terlebih dahulu berbanding dengan yang lain.   

Bila hubungan dengan Allah sudah terjalin,  maka hubungan kita dengan yang lain akan terjalin dengan baiknya. Hubungan dengan sahabat, hubungan suami isteri, hubungan dengan anak, hubungan dengan rakan sejawat.......semuanya dimulai dengan titiik tolak yang betul atas dasar kerana Allah SWT! Kasih kita, sayang kita, benci kita , memberi atau tidak memberi semua kerana Allah belaka.....bukan atas dasar yang lain......

Jika kita tidak memproses sifat-sifat yang ada dalam jiwa kita dengan betul , kita takut sifat ini boleh membawa kepada kufur yang bermaksud engkar, tidak mentaati  atau  tidak mengikut apa yang Allah suruh. Dengan kata lain , hakikatnya kufur ini sentiasa menolak syarak.   Contohnya ikhlas yang tidak dipimpin oleh iman. Setakat ikhlas yang diucapkan dibibir tapi hatinya tidak dihubungkan dengan Allah akan tertolak, tidak diterima  Allah amalannya. Begitu juga kasih sayang  yang mengenepikan syarak ikut nafsu sahaja, sudah pasti dipimpin oleh syaitan. Sama halnya dengan sifat  gembira, takut, benci, taat dan lain-lain lagi...... segala sifat -sifat jiwa ini perlu ditundukkan dan di pimpin oleh iman melalui proses tarbiah ini. 

Jadi kenalilah diri sendiri, lakukan introspeksi diri, perbaiki segala kelemahan dan kekurangan, tingkatkan amalan kita  supaya hati kita dapat dihubungkan kembali kepada Allah. Supaya hati itu  bangkit dan merasai kehangatan hubungan jiwa yang berterusan denganNya. Proses tarbiah yang dilalui ini mampu mengubah jiwa kita supaya kita sedar dan yakin kepada Allah SWT dan yakin kepada Islam sebagai addenul hayat   untuk kita hayati dalam kehidupan yang sementara ini. Kehidupan di dunia yang merupakan satu perjalanan kita yang semakin hari semakin hampir ke destinasi kita, perjalanan hati kita menuju Allah! Perjalanan hati inilah yang perlu kita luruskan setiap masa supaya ia tidak tersasar ......kerana hati inilah yang akan menghadap Allah kelak bukan fizikal kita yang akan hancur di makan tanah!

Proses tarbiah yang berasaskan iman kepada Allah ini perlu kita lalui dengan hati yang  sedar. Sedar bagaimana Al-Quran ini sebenarnya mampu mendidik dan mengubah apa yang ada didalam hati kita sepertimana Ia telah mendidik dan mengubah apa yang ada dalam hati sahabat-sahabat terdahulu. Sedar bagaimana perlu dan pentingnya  penyerahan hati yang total untuk dididik   bagi mengubah jiwa-jiwa yang lesu, jiwa-jiwa yang kasar, jiwa-jiwa yang penuh dengan matlamat duniawi dan jahiliyyah kepada jiwa-jiwa yang penuh dengan iman dan takwa  sanggup berkorban demi Allah dan Rasul!

Bagaimana mungkin kita sanggup berkorban jika masih ada kepentingan diri? Bagaimana mungkin kita kita dapat melaksanakan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah bila jiwa kita masih menjadi hamba pada yang lain? Jadi proseslah hati kita sehingga hati kita benar-benar dapat menerima kekuasaan Allah sebagai satu sistem kekuasaan yang lengkap dan sempurna. Juga proses hati kita untuk menerima kebenaran Allah sebagai sistem kebenaran yang penuh dengan keadilan sepanjang masa. Dan proses hati kita untuk menerima sistem janji Allah SWT yang mengatasi segala bentuk janji-janji yang lain.

Namun sebenarnya untuk memproses hati kita mengesakan dan mendaulatkan Allah SWT dalam deen yang bukan Islam hari ini bukanlah mudah! Suasana yang tidak islamik yang wujud disekeliling sangat banyak contohnya  dirumah kita dengan TV dan internet tanpa kawalan, lebih-lebih lagi  diluar rumah, ditempat kerja bersama rakan sejawat kita............. kita akan lebih mudah mengkaratkan hati kita!! Jika kita tidak membersihkan hati kita dengan konsisten  melalui proses  tarbiah ini maka karat-karat hati ini akan menjadi-jadi. Jadi kena buang dan kikis habis-habisan dan jangan biarkan karat-karat ini menetap dan menggelapkan hati kita dan menjejaskan hubungan kita dengan Allah. Jangan merelakan diri kita hanyut dalam suasana sekeliling, sentiasa waspada, awas dan sedar akan perangkap yang ada yang boleh menjerat kita kedalamnya. Sikap tidak apa kita, kompromi kita dalam suasana yang melalai dan melekakan akan membawa padah pada jiwa yang ingin kita didik dan proses!! Perlu ada kekuatan dalam diri untuk menolaknya!

Sama-sama kita renungi Firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 50 yang bermaksud....
"Apakah hukum jahiliyyah yang mereka kehendaki dan hukum siapakah yang lebih baik dari hukum Allah bagi orang-orang yang yakin (Yang beriman pada Allah sepenuhnya)?"

Keyakinan kita pada Allah inilah yang merupakan kekuatan dalaman diri yang dapat mengawal dan menjaga diri kita di luar sana. Menjaga kita dari terjebak dalam perangkap syaitan  dan terjatuh kedalam jurang maksiat. Disaat hilangnya iman dan keyakinan kita kepada Allah, itulah saat kehancuran kita lantas kita terbabas dan terkandas! 

Firman Allah lagi dalam surah Al-Ahzab ayat 1-3 yang bermaksud...
"Wahai Nabi..bertakwalah kepada Allah dan janganlah kamu turuti keinginan orang kafir dan munafik . Sesungguhnya Allah Maha mengetahui dan Maha Bijaksana.
Dan ikutilah apa yang diwahyukan Tuhan kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan. Dan bertakwalah kepada Allah dan cukuplah Allah sebagai pemelihara." 

Jadi sebagai Muslim kita perlu merasai hakikat takwa ini dalam hati kita . Takwa kepada Allah iaitu merasai Allah menjaga dan mengawasi  kita , merasai Allah  memerhati kita , merasai Allah SWTlah yang Maha Berkuasa keatas kita , Yang Maha Bijaksana.  Tahap takwa yang berada dijiwa sebenarnya dapat dinilai bila kita teruji............

Bila tidak mampu melepasi ujian, maka sebenarnya tahap iman dan takwa itu lemah sekali....perlu proseskan hati lagi, tingkatkan persediaan-persediaan diri supaya dapat melalui ujian-ujian .....yang boleh meningkatkan iman dan takwa dihati.! 

Wednesday, February 02, 2011

Pesanan buat gadis !


Duhai gadis!
Dengarkanlah keagungan kalimah Al-Quran
Relakanlah ajaran Muhammad SAW
Menyusup masuk ke lubuk hatimu.....
Keindahannya tersembunyi
Didalam hati dan fikiranmu...
Akan menambah seri di wajahmu...
Umpama mawar yang indah mekar
Meninggalkan pewanginya...
Walau kelopaknya sudah layu!

Duhai gadis!
Dalam usia remajamu
Bila mata-mata pria memandangmu dengan tajam...
Naluri wanitamu akan mengerti
Maksud kerlingan mereka
Tundukkanlah pandanganmu...
Kawallah dirimu...
Dan labuhkan jilbabmu...
Jagalah auratmu....
Hindarkan bisikan-bisikan syaitan
Yang menggoda hati nuranimu
Dari luar dan dalam dirimu
Mintalah perlindungan dari Tuhanmu!

Duhai gadis!
Ketahuilah.....
Kau adalah teman seorang lelaki
Yang  bernama suami....
Bukan hamba atau orang gajinya

Matlamatmu...
Bukan sekadar memuaskan nafsunya
Tapi menolongnya ketika susah...
Bersamanya ketika senang...
Menghiburkannya dengan belaian kasihmu!

Syukuri terhadap apa yang dicarinya untukmu
Hartanya adalah hartamu jua
Memenangi hatinya
Jadilah penyejuk matanya
Wanita beriman dan bertakwa...
Percakapannya merdu...
Kata-katanya lemah lembut..
Jawapannya segar..
Tunduk dan patuh adalah cahaya hidupnya
Rumahnya teman keselamatan dan kegembiraan
Rumahnya adalah syurganya!

Gembiralah lelaki yang menjadikannya isteri
Dan anak-anak yang memanggilnya ibu
Dia permaisuri dalam rumahtangganya
Memerintah dengan bijaksana
Bangunnya awal di pagi hari
Menyahut tugas dengan sungguh-sungguh
Kerja dilaksanakan tanpa tangguh
Kebajikan keluarga kemegahan dirinya

Tadbiran sempurna penambat hati suami
Hatinya tersenyum puas
Mendidik anak-anak dengan bijaksana
Pekerti anak terdidik baik dan taat
Pada Allah dan Rasul
Pada ibu dan ayahnya!

Gembiralah lelaki yang menjadikannya isteri
Dan gembiralah anak yang memanggilnya ibu!

Tuesday, February 01, 2011

Kita metilah menguasai diri kita sendiri!

Bismillahirrahmanirrahim......

Pepatah Melayu ada mengatakan......
Ikut hati....... mati, 
Ikut rasa....binasa,
 Ikut nafsu...... lesu! 
Nafsu yang jika tidak dipandu dengan iman, akan menjadi nafsu yang tidak terkendali......akan membawa pemiliknya jauh terseleweng dari landasan yang lurus! Imam Al-Ghazali mengumpamakan nafsu itu sebagai kuda liar yang jika tidak terdidik ia akan mengamuk dan menjatuhkan orang yang menunggangnya. Jika kuda liar ini berjaya dijinakkan ia akan mudah ditunggang dan dibawa kemana sahaja hala tujuan!

Nafsu yang merupakan musuh utama manusia yang tersembunyi, sentiasa mencari ruang dan peluang untuk mempengaruhi hati manusia itu...Nafsu tempat berkumpulnya segala kekuatan ammarah dan syahwat....disinilah terkumpulnya segala sifat-sifat tercela dan sentiasa mendorong kearah kejahatan!

Mujahadah annafs(nafsu ) sesuatu yang sangat perlu! Terlalu banyak hajat dan keinginan hati.......adakah apa yang dihajati itu suatu keperluan diri atau cuma desakan nafsu yang ingin memiliki? Tepuk dada tanyalah iman di hati! Tahap iman dijiwa menentukan apakah tindakan yang akan di ambil  yang mendesak jiwa membuat keputusan......!   

Sebelum menunaikan sesuatu hajat atau keinginan........persoalkan banyak kali...perlukah? Kadang-kadang dah punya berpuluh-puluh mungkin beratus-ratus pasang kasut atau pakaian, beg-beg, baju-baju dan lain-lain lagi.......ingin memiliki lebih banyak lagi...? Sudah punya seorang isteri...tak cukup..tambah lagi satu, dua , tiga ? Perlu dan mampukah atau hanya sekadar ingin memiliki yang baru, bertukar selera...bila sudah jemu ganti dengan yang lain?  Itukah matlamat sebuah perkahwinan? Selalunya kita manusia ni lupa diri! Bila sudah mewah, duit banyak, harta bertimbun.....apa yang difikir hanya dunia dan wanita. Rambut sudah beruban, umur sudah lanjut, kesihatan sudah merosot, kubur dan mati semakin dekat.........tapi dunia tetap dihati! 

Alahai, ruginya kita, jika matlamat hidup ini hanya dunia, dunia dan dunia! Inilah penyakit yang sedang menimpa umat Islam sekarang! Rasulullah saw pernah bersabda bahawa di akhir zaman nanti umat Islam dilanda penyakit  diri yang kronik,   iaitu cintakan dunia dan takutkan mati! Penyakit ini akan melemahkan tekad dan keazaman diri umat Islam untuk mencari akhirat . Masing-masing akan menuruti hawanafsu berlomba-lomba mengejar dunia, memperelokkan dunia sehingga hilang pertimbangan diri, terpesong dari matlamat ukhrawi ! 

Kehendak nafsu tanpa batas dan tidak  dikawal oleh iman adalah sangat merosakkan, tapi itulah yang sangat kita cintai. Apabila sesuatu itu sangat kita cintai, kita akan jadi buta hati, maka kejahatan itu akan dipandang baik dan kita akan jadi hamba pada apa yang kita cintai! Kita sering mengabaikan musuh dalam batin kita ini yang sangat hebat dan dahsyat angkaranya jika dituruti. Bila diri sudah tewas dengan musuh utama ini, maka mudahnya kita tewas dengan musuh zahir umat Islam iaitu Yahudi dan Nasrani.  

Seperti kata pepatah cerdik pandai....Jika kita menguasai diri, kita akan menguasai dunia. Tapi sebaliknya bila kita gagal menguasai diri kita, dunia akan menguasai kita.  Orang yang berjaya adalah mereka yang gigih mencari kebaikan didunia tapi terselamat dari tipudayanya.  Firman Allah SWT dalam surah Al-An'am ayat 32 yang bermaksud.....
" Sesungguhnya tiadalah kehidupan dunia ini melainkan harta benda yang menipu daya."

Apabila hati mencintai dunia, maka sukarlah baginya untuk mencintai Allah kerana didalam hati tidak boleh terkumpul dua kecintaan. Perlu pilih salah satu, cinta Allah atau cinta dunia? Bila jadi hamba pada dunia, maka mustahillah boleh jadi hamba pada Allah! Seorang ulama Syeikh Ibn Atailah berkata, " Bagaimana akan tenang hati insan yang segala gambaran dunia terpahat dihatinya? Bagaimanakah dia akan mengembara menuju Allah pada hal hatinya terbelenggu dengan nafsu syahwatnya?"

Awaslah nafsu ini   menyerang sesiapa sahaja tanpa batas dan pilih bulu sama ada tua atau muda, remaja  atau orang dewasa, ulama atau orang biasa! Semua peringkat usia , tahap atau kedudukan akan terkena serangan ini. Begitulah dewasa ini, kita sering dikejutkan dengan berita maksiat yang dibuat oleh golongan remaja, orang tua malahan ustaz pun! Semuanya boleh kalah dengan dorongan dan angkara nafsu yang tidak terkawal! Sedangkan hawa nafsu ini sepatutnya dilawan dari cuba menguasai diri. Namun apabila lemahnya iman, kurangnya kesedaran dan keazaman diri, tidak mempraktikan apa yang difahami dan tidak terus konsisten mendidik diri menyebabkan diri kecundang oleh nafsu!

Ramai di antara kita yang tahu akan sesuatu kebaikan tapi masih malas untuk melakukan. Ramai juga yang tahu akan sesuatu keburukan atau kejahatan tapi masih tegar melakukannya.   Kurangnya kesedaran dan kemahuan di jiwa menyebabkan nafsu dituruti. Setakat tahu kebaikan dan keburukan akan sesuatu itu tidak cukup, tetapi hati yang sedar dan bangkit untuk berusaha mendidik dan memproses diri, bermujahadah melawan nafsu itulah yang didambakan! Hati sebegini adalah hati yang masih hidup yang mampu bergerakbalas dengan persekitarannya! Umpama seekor ikan dalam air, boleh cergas berenang melawan arus kerana ia masih hidup! Tapi ikan yang dah mati.....dibawa oleh arus tanpa tujuan ! 

Maka berusahalah untuk menghidupkan hati kita. Dekatilah Allah, dekatilah Al-Quran, tempatkan ia dihati kita! Selalulah ingat akan matlamat akhir kehidupan kita, tempat kita menetap di sana. Adakah kita  inginkan kebahagiaan disana? Ayuh, marilah kita sama-sama mengorak langkah ....jika ini langkah pertama...teruskanlah sehingga ayunan langkah itu semakin pantas setiap hari menuju ke destinasi akhir kita menuju Allah!  Ingatlah setiap langkah menuju kebaikan akan diringi dengan langkah yang sama, insyaAllah. Begitu jua setiap langkah menuju kejahatan, yang mengiringinya adalah  kejahatan juga. Jadi pastikan setiap langkah kita dalam kehidupan ini tidak bercampur dengan kejahatan! Jika tidak, sampai matipun kita susah dan lambat atau mungkin tidak sampai menuju destinasi akhir kita menuju Allah. 

Tanpa kawalan iman
Nafsu mengarah pada kejahatan
Lantas  jiwa dikuasainya
Gejolak nafsu sentiasa membara!

Tanpa kawalan iman
Lisan mengatakan yang dusta
Mata rakus dan liar pada yang haram
Kaki dan tangan mengarah pada yang terlarang
Akhirnya kecundanglah diri bergelumang dalam noda  dan maksiat!

Wahai jiwa yang selalu lupa dan lalai
Carilah jalan keluar dari kemelut dan kekalutan hidup ini
Bebaskan dirimu dari belenggu rantaian nafsu
Pasti dirimu mampu menuju kebahagiaan
 Itukan yang sering didambakan?
Kasihanilah diri sendiri
Berjuanglah!

Mohonlah pertolongan Allah selalu untuk melawan musuh terbesar dalam batin kita. Cari jalan selalu untuk menundukkannya. Manusia yang paling kuat adalah manusia yang dapat mengalahkan musuh dirinya iaitu nafsunya! 

Hakikat hidup ini...

Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...