Sunday, July 22, 2012

Alangkah Istimewanya Ramadhan...!!



Bismillahirrahmanirrahim............

Alhamdulillah, sehari telah berlalunya Ramadhan....adakah kita telah isi hari tersebut dengan bermanfaat? Seharusnya....di bulan Ramadhan ini , agenda sehariannya mesti dijadualkan!  Jika tidak ia akan berlalu begitu sahaja, sedar-tak sedar.....habis dah Ramadhan!  Apa yang telah kita perbuat di bulan barokah ini pun kita tak tau! Sama-samalah kita perhatikan apa yang kita perbuat setiap hari di bulan ini...

Ramadhan bukanlah untuk dilalui detik-detik keberadaannya begitu sahaja tanpa apa-apa planning yang rapi dan terancang.  Ia harus di programkan dan dijadualkan!  Jika tidak termasuklah kita di kalangan orang yang rugi seperti yang digambarkan dalam sebuah hadith Rasulullah saw yang bermaksud.....

"Rugilah sesaorang yang memasuki bulan Ramadhan, namun bulan ini berlalu sementara dosa-dosanya belum diampuni. " (Riwayat Ibnu Khuzaimah dan Ibnnu Hibban)

Maka janganlah kita jadi manusia yang rugi, kerana tidak mendapat rahmat Allah, dosanya tidak terampun dan tidak dibebaskan dari api neraka setelah melalui Ramadhan.  Ramadhan yang berfungsi sebagai terminal atau stesyen pembersihan dosa tidak beroperasi sepenuhnya dalam diri. Akibatnya...rugilah kita membiarkan  Ramadhan berlalu begitu sahaja. Untuk itu, perlulah kita letakkan satu target yang ingin dicapai.........dan ushakan ke arah itu dengan jiwa yang besar!

" Zero dosa se usai Ramadhan yang berlalu tahun ini" 
Ganjaran taqwa dari Allah SWT. Inilah target kita! Namun, bukanlah semudah itu nak dapatkan taqwa itu tanpa usaha yang bersungguh-sungguh!

Jadi......
Perlunya ditanamkan keazaman untuk melakukan sesuatu yang luar biasa di bulan mulia ini.
Perlunya istiqamah dengan keazaman tersebut dan memfokuskan hala tuju dan target kita.
Perlunya pelaksanaan yang bersungguh-sungguh dalam mencapai target.
Perlunya keikhlasan diri dalam beramal sehingga ke akhir bulan Ramadhan.
Anggaplah ini adalah Ramadhan terakhir buat kita!

Bayangkan, andainya ini adalah Ramadhan terakhir  kita, tentulah ia merupakan motivasi diri untuk menjadikannya Ramadhan yang terbaik, insyaAllah!

Gambarkan juga Ramadhan ini juga adalah bulan menghadapi peperiksaan dan ujian-ujian yang pelbagai, dimana semestinya kita berhajatkan pada keputusan yang cemerlang! Setelah membuat persediaan fizikal dan mental di bulan sebelumnya iaitu bulan Rejab dan Syaaban, maka sekarang kita menghadapi bulan peperiksaan ini dengan yakin dan penuh persediaan!

Para sahabat dan para salafussoleh menganggap bulan Ramadhan ini sebagai musim tengkujuh.....yang membawa hujan rahmat, kebaikan, keampunan, belas kasihan  dan keberkatan dari Allah SWT. Bukankah ini merupakan satu anugerah yang tidak terhingga dan cukup berharga dari Allah SWT? Melalui madrasah Ramdhan ini dapat memberi kekuatan ruhiyyah kepada jiwa-jiwa mukmin yang mengasihi dan mencintai Allah SWT!

Justru itu, masih awal dan belum terlambat lagi untuk kita melakukan persiapan dan persediaan diri untuk melakukan ibadah ini. Di bulan ini, peluang terbuka luas untuk membuat amalan kebaikan dan merasai kemanisan beribadah padaNya dengan jiwa yang bersih, hati yang tenang damai. Perbanyakkan istighfar , taubat dan zikir  kita setiap masa untuk membersihkan jiwa kita........jangan biarkan walaupun sedkit masa kita di bulan ini terbiar begitu sahaja! Hanya hati yang bersih sahaja dapat merasai kelazatan ibadah ini!!

Maka, sama-samalah kita isi bulan ini dengan menghitung kelalaian diri, memperbaiki kesilapan, menyuluh kesihatan rohani kita, melakukan amal soleh yang dapat menjernihkan hati yang terpancar di wajah. Sebelum waktu sahur di waktu pagi yang sunyi sepi...panjatkan doa dan munajat melalui qiyamulalil disertai dengan rintihan memohon ampunan dosa. InsyaAllah, Allah sentiasa membuka pintu langit keampunannya bagi setiap hamba yang berdosa....Allah itu Maha luas Rahmat dan PengampunanNya!
Jadi, jangan lepaskan peluang ini begitu sahaja!

Insafilah peringatan Nabi saw tentang celakanya mereka yang keluar dari Ramadhan tapi gagal mendapat rahmat, manfaat dan  mendapat keampunan dari Allah SWT .



Satu harapan untuk muslim semua.....
" Islam itu tidak akan diperjuangkan oleh mukmin yang bangun tidur selepas azan Subuh.  Pesan para ulama , mukmin itu dikira lalai apabila ia bangun setelah azan Subuh berkumandang .  Jadi oleh itu marilah kita berazam dengan penuh tekad untuk bangun di awal pagi sebelum subuh dan mempertingkatkan amalan soleh."

" Jadikan Ramadhan kali ini turning point untuk berubah kerana Allah SWT."

Semoga Ramadhan kali ini dicintai kehadirannya, dimanfaati masanya, dirindui kedatangannya dan ditangisi pemergiannya nanti.  Sama-sama kita berdoa agar  Allah SWT  memberikan kita kekuatan jiwa melalui madrasah Ramadhan ini dengan sabar dan tabah menjalani proses tarbiyyah diri dan hawa nafsu yang sentiasa mengajak kepada kebatilan...Dengan melalui tarbiyyah Ramadan ini....mudah-mudahan.kita mendapat kekuatan roh yang menjadi pendorong diri kita untuk menjadi hamba Allah yang taat, soleh dan bertaqwa untuk bulan-bulan yang seterusnya insyaAllah!!

Rujukan
Artikel Pengajian Umum 
Masjid Putra bersama Haluan Putrajaya


Saturday, July 21, 2012

Kelebihan tadarrus Al-Quran di bulan Ramadhan

tadarus-al-quran

BULAN Ramadan mengingatkan kita dengan turunnya wahyu yang pertama (al-’Alaq: 1-5) yang bermaksud: 


"Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui Pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.'


Dengan sebab itu digalakkan membaca al-Quran terutamanya pada bulan Ramadan. Ini kerana al-Quran digandingkan dengan puasa dan juga bulan Ramadan.
Rasulullah SAW yang bermaksud:

 “Puasa dan al-Quran memberi syafaat kepada hamba pada hari kiamat. Puasa berkata: Hai Tuhanku, aku menegahnya daripada makan dan syahwat pada siang hari. Maka berilah syafaatku padanya. Al-Quran pula berkata: Tuhanku, aku tegahkannya daripada tidur malam, maka berilah syafaat kepadaku padanya. Kemudian kedua-duanya diberi syafaat.” (riwayat Ahmad dengan sanad sahih)

Dr. Muhammad al-Zuhaili dalam bukunya Mausu’ah Qadaya Islamiah Mu’asirah 1/328 berkata:
 “Sesungguhnya al-Quran adalah kalam Allah, dan sesiapa yang mahu berbicara dengan Tuhannya, maka hendaklah membaca al-Quran. Ini kerana al-Quran merupakan hidangan Allah yang diturunkan-Nya kepada hamba-hamba-Nya untuk dinikmati dan dikecapi.”

Sebuah hadis riwayat al-Hakim dan beliau mensahihkannya menyebut: Daripada Abdullah bin Mas’ud, daripada Nabi SAW bersabda yang bermaksud: 


“Sesungguhnya al-Quran merupakan hidangan Allah, maka terimalah hidangan-Nya semampu kamu. Sesungguhnya al-Quran ini tali Allah, cahaya yang nyata, penyembuh yang bermanfaat, penyelamat bagi siapa yang berpegang dengannya, kesejahteraan bagi siapa yang mengikutinya. Tidaklah ia menyeleweng, pasti diperbetulkan dan sesat pasti ditunjukkan keajaibannya tidak putus-putus. Ia tidak binasa dengan sebab banyaknya dibaca. Bacalah al-Quran kerana Allah menggandakan kepada kamu pahala pada setiap bacaannya. Setiap huruf dengan sepuluh kebajikan. Adapun sesungguhnya aku tidak berkata ali lam mim satu huruf tetapi alif itu satu huruf, lam itu satu huruf dan mim itu satu huruf.”

Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam berhimpun untuk membaca al-Quran dan bertadarus. Baginda menjelaskan kepada mereka kelebihannya antaranya: Diturunkan sakinah dan tama’ninah serta ketenangan, rahmat dan pelbagai lagi kelebihan kepada yang cintakan al-Quran.

Sebuah hadis riwayat al-Turmuzi daripada Abi Sa’id bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
 “Firman Allah SWT dalam hadis Qudsi, siapa yang disibukkannya oleh Al-Quran daripada memohon kepadaku, nescaya Aku kurniakannya yang lebih afdal daripada yang Aku kurniakan kepada orang yang meminta. Dan kelebihan kalam Allah SWT berbanding dengan semua kalam sama seperti kelebihan Allah atas segala makhluknya.”

Artikel oleh Dr. Zulkifli Muhammad Al-Bakri.

Tuesday, July 17, 2012

Menjelang Ramadhan kali ini....Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan! Ku nantikan kedatanganmu....

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah SWT kerana dengan izinNya...akhirnya dapat ku coretkan juga sedikit perkongsian buat kali ini setelah agak lama berhenti menulis sejak kembalinya dari US baru-baru ini. Hampir sebulan lebih.......setiap kali aku cuba  menulis , teringat kerja sekolahku yang bertimbun yang belum terusik, program sekolah pulak hampir setiap hujung minggu memenuhi jadual dan kerja rumah yang tidak pernah habis........ 

Begitulah sebagai wanita bekerjaya ni terpaksa membahagikan masa antara kerjaya, rumahtangga dan lain-lain.....dan hal pengurusan masa yang cekap inilah yang merupakan kelemahan yang perlu diatasi sejak kebelakangan ini.Mudah-mudahan Allah memberikan ku kekuatan semangat dan motivasi diri semula, insyaAllah! Itulah yang di harapkan.

Alhamdulillah kedatangan bulan Ramadhan Al- Mubarak ini, tepat pada masanya untuk mengecas semula bateri iman  yang lemah dan asyik turun naik  akibat menghadapi mehnah dan ujian kehidupan yang tidak putus-putus menimpa diri, insyaAllah. Umpama kedatangan tetamu yang sangat istimewa yang datang mengunjungi hanya setahun sekali.....satu kedatangan yang ditunggu-tunggu! Alhamdulillah. 

Ya Allah berkatilah bulan Rejab dan Syaaban yang akan berlalu ini...dan sampaikanlah aku ke bulan Ramadhan yang mulia dan penuh barokah ini, insyaAllah! Inilah doa yang perlu kita panjatkan supaya kita dapat menghirup udara bulan Ramadhan yang suci ini...inilahlah sebaik-baik bulan dalam setahun yang di dalamnya terdapat beribu kebaikan dan keberkatan. Mudah-mudahan Allah menyampaikan kita kebulan ini....kerana ada orang yang tidak dapat berjumpa bulan Ramadhan tahun ini kerana sudah dijemput pulang kerahmatullah. Izinkan aku bertemu lagi , ya Allah , untuk berada di bulan yang mulia ini!

Perlunya kita mempunyai tekad dan keazaman yang kuat untuk menjadikan Ramadhan kali ini lebih baik dari tahun lepas. Kemudian merancang strategi berkesan untuk  menjadikan setiap masa dalam bulan ini dapat di manfaatkan sebaik-baiknya. Mungkin buat satu checklist khusus amalan di bulan Ramadhan ini dan cuba mengikutinya sebaik mungkin. Sebenarnya di bulan rejab dan syaaban lagi kita sudah melatih diri melakukan banyak amalan sunat seperti tahajjud, sunat nawafil, bersedekah , puasa sunat...amalan ini sudah terbiasa kita buat dan seterusnya dapat dilanjutkan ke bulan Ramadhan. Dalam erti kata lain....... warmimg up first before Ramadhan in order to get the real momentum during Ramadhan! 

Di antara aktiviti warming up before Ramadhan,  yang boleh kita lakukan...
1.  Perbaiki dan tambahkan perbacaan Quran dan maknanya sekali supaya kita memahami dan menghayati apa yang di baca, dan seterusnya berusaha menghayatinya. Juga membaca buku-buku fikrah islam, fikh berpuasa , sirah dan banyak lagi...set kan target bagi pembacaan.

2. Muhasabah diri, perbanyakkan istighfar dan taubat dari dosa dan bersyukur padaNya diatas segala nikmat yang Allah berikan sebelum tidur dan masuk tidur awal agar dapat bangun solat tahajjud nanti 

3. Buatlah sebanyak mungkin amal kebaikan seperti bersedekah walaupun sedikit setiap hari, membantu orang lain yang memerlukan bantuan, jadi orang yang bermanfaat pada orang lain........ semuanya atas dasar mencari keredhaaan Allah SWT!

4. Tingkatkan solat-solat sunat  nawafil dan tahajjud dan banyakkan doa kita setiap masa..Pada masa lapang  pula hadirkan diri ke masjid, bersolat jemaah sekerap mungkin disana  dan  menghadiri majlis-majlis ilmu . 

5. Jauhi dari melihat TV, gambar lucah dan tidak senonoh, mendengar muzik yang haram dan melalaikan, bercakap yang sia-sia dan kotor, membuang masa dengan sia-sia seperti melayari internet, facebook  yang tidak kira masa ....jauhi juga dari merokok yang membazirkan wang dan merosakkan kesihatan!!

InsyaAllah , mohon kekuatan dari Allah agar kita dapat sama-sama  melaksanakan seperti diatas.....mungkin boleh buat banyak lagi insyaAllah, alhamdulillah teruskan......
Apapun, buatlah dengan kemampuan diri, tingkatkannya dan beristiqamahlah dalam beramal. Bab istiqamah ini yang paling sukar....... tapi kita kena cuba dan terus bertahan dengan izin Allah....!!

Ahlan Wasahlan ya Ramadhan.....sambutlah ia dengan hati yang terbuka, jiwa yang bersih dan suci, memuliakan tetamu istimewa ini, insyaAllah!

Tuesday, June 05, 2012

Catatan perantauan di bumi US...

Bismillahirrahmanirrahim...

Terbang tinggi di awan biru....

Alhamdulillah segala puji bagi Allah Rabbulalamin , walau di bumi mana kita berada, sesungguhnya  ia adalah milik Allah SWT  semata-mata, sepenuh pujian kupanjatkan kehadratNya dari bumi US yang asing ini...yang telah sekian lama ku dengari. Alhamdulillah, telah selamat kujejaki ke sini walaupun terpaksa berada begitu lama iaitu selama 16 jam dalam perut kapalterbang mengikut laluan KL-Tokyo-LA.....walau sebentar disini, mudah-mudahan dapat kumanfaatkan perjalanan ini dan  diberkati Allah hendaknya. Semoga dengan banyaknya perjalanan luaslah pengalaman yang boleh di manfaatkan. Amin

Sesungguh persiapan awal ke sini didahului dengan menyiapkan kerja-kerja sekolah, dan persiapan barangan...tidak banyak tapi perlu juga difikirkan bagi yang hendak pergi dan yang hendak ditinggalkan.... Segalanya berjalan lancar sehinggalah pada hari kami bertolak ke KLIA... suamiku tidak menyedari dia tertinggal poster yang perlu dipersembahkan semasa conference....tapi Alhamdulillah, disedari oleh kakakku yang datang bermalam di rumah dan  dapat dihantar oleh anakku diseparuh perjalanan ke KLIA. Jazakallah di atas ingatan dan pengorbanan kalian!

Perjalanan dalam kapalterbang berjalan lancar dari KL ke Tokyo.....yang memakan masa 6 jam...cuma apa yang kurang menyenangkan bagi diriku  adalah penumpang yang berbangsa Jepun yang duduk bersebelahan kami yang asyik minta minuman keras setiap kali hidangan disediakan, Malaysia Airline ni tak boleh ke mengharamkan minuman keras ini...? Dimana letakknya identiti negara yang mengambil Islam sebagai agama No 1 tapi dalam perlaksanaan bagaimana? Makanan yang dihidangkan pun ala Jepun...nak makan pun bukanlah selera kita., tidak ada pilihan ! Semasa dalam penerbangan, hanya roti dan stek daging pilihan hati berserta  kurma yang ku bawa sebagai bekalan. Berilah makanan Malaysia yang terkenal dengan sedapnya tu.....bukannya makanan asing yang rasanya......wallahualam  ! 

Begitu juga bagi yang nak solat dalam kapal terbang, sepatutnya diperingatkan masa kerana pertukaran waktu yang kita kurang arif...Bagi mereka yang perihatin...alhamdulillah dapatlah menunaikan solat yang sepatutnya tapi rasanya ramai juga yang terlepas! Sebenarnya jiwa kita perlulah sensitif dengan perintah Allah ini walau kemana sahaja kita pergi...ada kemudahan dari segi syarak untuk melaksanakan! Samada kita sedar atau tidak bergantung pada sensitiviti diri dan kehendak yang kuat dan ambil berat  untuk tetap melaksanakan perintah Allah! Perintah solat ini tidak boleh diabaikan walau dalam apa keadaan sekalipun.

Transit di lapangan terbang Narita, Tokyo.

Setelah transit di Tokyo selama satu setengah jam dan sempat  menunaikan solat jamak maghrib isya di lapangan terbang Narita, kami meneruskan perjalanan ke LA yang memakan masa 9 jam pula....aduh jauhnya, rasanya dah lama sangat berada dalam kapal terbang ni....bagaimana nak tahan lagi 9 jam?
Malam beransur gelap pertukaran  waktu untuk subuh  perlu di perhatikan......aku tertidur dan sedar2 suamiku sedang solat subuh...pukul 11malam waktu Malaysia! Aku masih tidak menukarkan zon waktu di jam tanganku. Alhamdulillah, aku dan suami  tersedar dan dapat terus tenang berada dalam kapal terbang setelah selesai menyempurnakan solat subuh!

Akhirnya, insyaAllah kami sampai di lapangan terbang LAX  di LA pada pukul dua petang  waktu US....perlu melepasi kastam dan check barangan yang dibawa....alhamdulillah dapat cleareance dengan cepat tanpa masalah.  Cuaca di sini ok.... nyaman dan segar lebih kurang 14- 18 celcius......cuma kami agak keletihan setelah berada begitu lama dalam penerbangan.

Di Los Angeles Airport

Kami terus bertolak dari LA dengan van menuju  ke hotel yang agak jauh dari LA iaitu di wilayah Ontario di Rancho Cocamunga ( peliknya nama tu)......perjalanan kesana sepatutnya  hanya satu setengah jam tapi memakan masa 3 jam kerana traffic jam! Oh...... rupanya ada traffic jam juga disini...lebih kurang sama dengan Malaysia! Ingatkan negara maju kurang trafiic jam seperti  Eropah (seperti negara Germany, Holland)!! Pemandu van kami merungut juga terpaksa memandu begitu lama.....
Banjaran gunung yang tandus dalam perjalanan...

Sepanjang perjalanan, seolah-olah semacam berada  di negara padang pasir di Timur Tengah...rumputnya kekeringan berwarna coklat, bumi California ini gersang dan pokoknya kurang, banjaran gunungnya dipenuhi batu tiada pokok! Kedapatan banyak pokok palma ...disinilah kita dapat California dates yang terkenal tu yang  perlukan cuaca panas! Berdekatan wilayah ini juga terdapat gurun dan Grand Canyon yang gersang itu! Padanlah cuaca di sini panas...menurut kata pemandu van  tidak ada snow di sini..dan cuacanya lebih panas dari LA....
Tempat penginapan di Hotel Sheraton

Akhirnya .....kami sampai ke perkarangan Hotel Sheraton yang selesa walaupun tidaklah berapa besar biliknya cantik dan selesa , ada kemudahan free WIFI , microwave, peti ais dan lain-lain............. 
Bila kelapangan aku akan online dan berhubung dengan anak-anak dan rakan-rakan nanti insyaAllah. Di sinilah sebenarnya nikmat adanya internet.....walaupun berjauhan masih dapat berhubung tanpa bayaran mahal, Alhamdulillah! Walau berada jauh di bumi US ini...aku masih dapat berhubung dengan anak-anakku dengan cepat dan dapat lihat muka  sekaligus menghilangkan rasa rindu! Perkara ini tidak dapat dilaksanakan 20, 30 tahun yang lepas...walau sejauh mana pun ....hanya surat pengganti diri dan penghilang rindu, mungkin dulu dengan telefon tapi kemudahan ini begitu mahal sekali! 

Itulah teknologi internet  yang boleh dimanfaatkan atau disalahgunakan. Semuanya bergantung pada diri sendiri, apa yang ada dihati iaitu imanlah yang akan dapat menjadi penapis segala kekotoran yang masuk kedalam jiwa, pengawal jiwa dalam melakukan sesuatu.Tanpa iman dijiwa  umpama cerek tanpa penapis, setelah lama digunakan lihat betapa berkaratnya ia dan susahnya hendak ditanggalkan!! Begitulah juga jiwa tanpa penapis iman......semua sekali yang baik dan buruk masuk...sehingga tak dapat nak bezakan mana satu...akhirnya larutlah dalam suasana sekeliling! 

Lebih-lebih lagi jika berada di bumi yang asing ini, di mana Islam tidak dipraktikkan...bagaimana nak jaga mata, jaga hati,  jaga iman jika keluar saja dari hotel, rumah....pakaian begitu menjolok mata, seolah-seolah tak cukup kain...lagi hendak didedahkan tambahan pula di musim panas ini? Ditambahkan pula dengan perlakuan tidak senonoh, berpelukan, berciuman tanpa segan silu....seolah-olah tidak peduli pada orang sekeliling..? Yang lebih hebat lagi orang sekeliling pun tak kisah...itu adalah satu budaya yang biasa bagi mereka!!

Begitu juga  rancangan TV di sini,  ada macam-macam rancangan, baik,  buruk, porno dan sebagainya...semua ini boleh di lihat di rumah atau di hotel....all at the tips of your finger! Kitalah yang buat pilihan sendiri, nobody is watching you except......He is watching us every minute every second!
Tapi adakah jiwa itu merasai bahawa Allah itu sentiasa bersama kita dimana sahaja......di saat kita hendak melakukan sesuatu kejahatan terlintaskah dihati ...ya Allah, aku malu dan takut padaMu  ? Jika ada.....Alhamdulillah hati itu masih hidup....masih ada iman, insyaAllah akan selamat.

Namun akan tergugatlah juga iman didada jika tidak cari suasana yang soleh yang berterusan untuk menuetralkan balik apa yang masuk dari jendela mata yang turun ke hati! Sedangkan dalam Islam menyuruh kita menjaga pandangan mata  untuk menjaga hati....Terfikir aku , bagaimana agaknya pelajar-pelajar kita yang belajar di luar negara terutama di US, Eropah, Australia menjaga diri.....maksudku jaga hati dan iman mereka? Dalam Islam,  aset yang paling penting yang perlu dijaga bukanlah fizikal kita semata-mata  tapi hati,  yang didalamnya tempat bertapaknya iman dan takwa!  

Suasana di negara kita Malaysia terutamanya di Kuala Lumpur dan bandar besar lain seperti KLCC tiada bezanya dengan US ni...Orang Melayu kita pun ada yang lebih barat dari orang Barat...dedah merata, perangai tidak senonoh , masing-masing terpaku pada handfon melayari internet, lepak sana sini merempit pulak dimalam hari......sampai bila kita nak ikut budaya yang tidak Islamik yang merosak diri dan masyarakat? Masyarakat kita akan hancur kerana  tiada berakhlak jika berterusan dengan budaya bebas  begini dalam dunia tanpa sempadan sekarang!

Kambing yang bersendirian akan di makan serigala....begitulah jika di bumi asing ini kita hanya buat hal kita tidak bersama-sama dengan mereka yang ada 'Islamic values' dan jika kita di Malaysia ini juga tidak kisah dengan Islam........suasana luaran akan melarutkan kita! Kita jadi terikut dengan budaya barat yang tidak senonoh itu. Jadi sayangilah Islam dan iman yang ada dijiwa....berpeganglah dengannya walaupun dimana sahaja kita berada! InsyaAllah bila kita ikhlas, Allah akan membantu kita mengawal diri kita dan memperkuatkan hati kita....Dan Allah menyediakan pahala yang banyak bagi orang yang bersabar!

Riverside Islamic Centre (University of California)

Perkuatkan jiwa dengan selalu berhubung dengan Allah, berhubung dengan saudara semuslim tidak kira apa bangsa dan warna kulit. Menurut seorang Muslim yang kami temui di mesjid Riverside,  US semasa solat jumaat disini...Islam adalah the fastest growing religion here! Apa tidaknya.....jiwa yang tandus iman, tiada pedoman akan terasa kehilangan sesuatu dari dalam diri.....dan hanya Islam sahaja yang dapat mengisi kekosongan jiwa itu! Inilah yang dirasa oleh masyarakat US di sini. Ini terbukti bila solat jumaat 
dipenuhi oleh jamaah dari berbagai bangsa dan warna kulit....semuanya kembali menyembah Allah yang satu!  AllahuAkbar.....satu hari bumi US akan disinari oleh cahaya Islam, insyaAllah! Sama-sama kita doakan....Amin Ya Allah!

Wallahualam...






Tuesday, May 08, 2012

Islam tidak sekali-kali berkompromi dengan Jahiliyyah.



Bismillahirrahmanirrahim.....

Firman Allah SWT yang bermaksud.......
"Dan sesiapa yang mencari deen selain deen Islam , maka tidak akan diterima darinya, dan dia pada hari kiamat kelak dari orang-orang yang rugi." Surah Ali 'Imran : 85.   

Dari ayat di atas, jelaslah bahawa deen atau cara hidup yang diterima oleh Allah untuk seluruh manusia adalah hanya Islam, bukan deen atau agama yang lain.....Itulah satu-satunya,  dari dahulu hinggalah dunia ini dikiamatkan!

Sebagai Muslim, perlu lah kita memahami apakah dia deen Islam yang Allah terima ini.  Setelah kita memahaminya perlulah kita menghayatinya, menyerahkan jiwa kita sepenuhnya supaya benarlah pengakuan diri kita ini mengambil Islam sebagai cara hidup kita......

Kita juga perlu memahami bahawa Islam yang kita terima ini mempunyai cara hidup yang berbeza dari cara hidup yang bukan Islam. Ia ada sistemnya yang tersendiri yang datangnya dari Allah SWT melalui Rasulullah   SAW. Ia bersifat syumul (lengkap), sempurna kerana ia adalah dari Allah yang Maha Sempurna yang mengetahui apakah yang terbaik untuk manusia.

Penerimaan kita juga terhadap Islam yang syumul dan sempurna ini sepatutnya juga bersifat sempurna....kena ambil semua sekali apa yang ada dalam sistem Islam itu, barulah akan jadi soleh: individu soleh, keluarga soleh dan masyarakat pun soleh. Sebaliknya apabila yang diterima dari Islam itu cuma diambil sebahagian sahaja....ambil yang sesuai dengan nafsu jiwa, tolak yang tidak sesuai...maka individu tidak akan jadi soleh, keluarga akan tunggang langgang dan masyarakat haru biru! Maka kehinaan akan diperolehi di sisi Allah di dunia ini.  Inilah dia realiti yang berlaku sekarang ini!!

Apabila kita menolak sebahagian dari Islam dan mengambil sebahagian yang lain sama ada secara sedar mahupun tidak sedar.....sebenarnya kita telah melakukan jenayah terhadap Islam yang datangnya secara sempurna dari Allah. Kita telah mencampuraduk sistem Allah dengan yang lain. ! Kita telah mengambil illah atau sembahan lain selain Allah.   Ubudiah kita tidak bulat, suci pada Allah yang satu bila kita berbuat demikian.  

Sama-samalah kita renungi peringatan keras dari Allah tentang hal ini.....
" Maka apakah kamu beriman terhadap sebahagian kitab dan kamu kufur pula pada sebahagian yang lain?  Maka tiada balasan terhadap orang yang berbuat demikian dikalangan kamu melainkan kehinaan di dalam kehidupan dunia dan di hari kiamat nanti akan ditolak ke dalam azab yang pedih.  Dan ingatlah  Allah SWT tidak   lalai daripada apa-apa yang kamu kerjakan." 
 Surah Al- Baqarah  :85.

Sebenar, perlu sangat-sangat kita fahami Islam dan jahiliyyah itu tidak ada kompromi sama sekali.....
Islam dan jahiliyyah itu amat bertentangan sama sekali...

Apabila kita mengaku Muslim, mestilah Muslim semua sekali....muslim di hati, muslim pada pemikiran, muslim pada percakapan dan perbuatan. Antara cara hidup Muslim  dan bukan Muslim (jahiliyyah) perlu ada pemisahan yang jelas. Perbezaan Muslim dengan bukan Muslim adalah satu perbezaan yang sangat jauh sekali. Bukannya kita hanya mengaku Muslim ,bersolat, puasa , zakat , haji dsb.... tapi masih cakap bohong, masih suka pada perbuatan jahiliyyah,  bergaul bebas, akhlak buruk, melakukan maksiat dengan sedar dan macam-macam lagi......... 

Kita mestilah menjadi Muslim secara faham dan sedar.....faham apa Islam kehendaki dari kita, sedar bahawa untuk menjadi Muslim yang Allah terima, kita mestilah keluar dari tabiat jahiliyyah yang bukan Islamik keseluruhannya dan masuk berhijrah  kedalam Islam keseluruhannya. Kalau dulu tidak tutup aurat dengan betul, sekarang tutup aurat yang sebenarnya. Kalau dulu tidak solat, mencuaikan solat, makan rasuah dsbnya...sekarang bertaubat tak buat dah!

 Mesti ada perbezaan yang jelas dari tak faham kepada faham Islam. Inilah dia hijrah yang Allah kehendaki! Ada pemisahan jiwa yang  total dari jahiliyyah bila mengaku Muslim. Perbezaan yang asalnya bermula dihati dan akan lahir dalam tindakan.!

Firman Allah lagi.....
"  Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang jelas terhadap kamu." Surah Al-Baqarah :208.

Apabila kita tidak mengambil Islam sebagai rujukan hidup kita,  dalam mencari penyelesaian masalah kita sebenarnya kita telah mengikuti hawa nafsu kita, mengikuti langkah syaitan yang merupakan musuh utama kita. Musuh yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menyelewengkan kita dari jalan yang benar. Kerja penyelewengan dari syaitan itu jadi lebih mudah apabila kita lupa pada Allah dalam hidup ini.

Dalam Islam,  itulah sebabnya mengapa hati seorang mukmin itu perlu sentiasa ingat pada Allah pada setiap ketika dan suasana. Syaitan tidak akan mampu menggoda hati orang mukmin yang sentiasa terikat jiwanya dengan Allah! Maka sama-samalah kita usahakan untuk selalu ingat pada Allah, insyaAllah.

Sebagai orang Islam yang benar-benar beriman pada Allah SWT, seharusnya kita mengasingkan jiwa kita dari rasahati jahiliyyah secara total. Hati kita tidak bersama, tidak menyokong sistem Jahiliyyah yang tidak Islamik ini samada dari segi konsepnya, sistemnya, tindak-tanduknya serta amalan aktiviti kehidupannya. Kita juga seharusnya tidak menerima sebarang penyelesaian yang tidak syara dalam masalah kehidupan ini kerana penyelesaian Islam sudah cukup baik,  sempurna dan menyeluruh.  Perlu di sematkan dijiwa hanya Islam sahaja yang Allah redai......dan inilah yang nak kita hayati!

Sepertimana firman  Allah SWT.......

" Sesungguhnya deen di sisi Allah hanyalah Islam." ( Surah Ali 'Imran: 19)

"  Hari ini telah Ku sempurnakan bagi kamu deen kamu dan telah Ku sempurnakan ke atas kamu nikmatKu, dan Aku telah reda Islam itu menjadi deen  ikutan kamu." ( Surah Al- Maidah :3) 

Jadi, perlulah kita mengembalikan diri kita kedalam Islam 100 % ,  asalnya kita datangnya dari Allah dan kita akan kembali pada Allah.....maka biarlah kembalinya kita pada Allah dalam keadaan Allah reda dengan kita dan kita juga reda dengan Allah.  Keredaan Allah hanya bila kita mengambil deen Islam yang syumul dan sempurna! 

Memang benarlah, sesiapa jua yang membelakangkan deen Allah ini, membelakangkan Al-Quran, tidak membacanya, tidak memahaminya, tidak menghayati dan mengamalkannya, kehidupan ini akan jadi kusut,  tidak diredai dan diberkati,  resah gelisah selalu , tersiksa jiwa dan sentiasa terpenjara dalam kebimbangan. Jiwa dihantui dengan pelbagai penyakit jiwa yang kronik yang turut memberi kesan pada jasmaninya. Hakikat ini dijelaskan oleh Allah dalam firmanNya dalam surah Thaha ayat 124-127 yang bermaksud.....

"Dan barang siapa yang berpaling dari peringatanKu, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami himpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta, Berkatalah ia,' Ya Tuhanku, mengapa Engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu di dunia adlah seorang yang melihat?' Allah berfirman,' Demikianlah telah datang kepadamu ayat-ayat Kami, maka kamu melupakannya dan begitu pula pada hari ini kamu akan dilupakan. "  Demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas dan tidak percaya kepada ayat-ayat RabbNya dan sesungguhnya azab di akhirat itu lebih berat dan lebih kekal."

Maka sama-samalah kita tanamkan rasa takut di hati kita tentang peringatan Allah ini.  Rasa takut yang sebenarnya yang mendorong kita untuk  melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya supaya di akhirat nanti kita tidak menerima nasib yang sunguh malang yang tidak boleh ditebus ganti........

Sementara usia ini masih ada tersisa, tak kiralah kita ni masih muda ke lebih-lebih lagi yang dah tua ...kembalilah kepangkuan Islam yang penuh rahmat dan barokah Allah....sebagaimana anak kecil kembali kepangkuan bondanya....rasa begitu teruja dan  selamat ! 

Inilah dia jalan yang lurus yang menuju kepada kebahagiaan yang sebenarnya....insyaAllah.
Wallahualam...  

Rujukan Tarbawi








Thursday, May 03, 2012

Tingkatkan kualiti ibadah dan mengurus masa dengan baik!


Bismillahirrahmanirrahim....

Ahamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan izinNya sekali lagi dapat ku menulis sedikit coretan perkongsian pada kali ini. Walaupun sedang berada dalam kesibukan, kekadang rasanya menjadi satu keperluan bagi diriku untuk menulis bagi menghilangkan kejemuan membuat kerja-kerja yang rutin itu..... supaya diri ku kembali bermotivasi.  Dengan membaca dan menulis entri di blog ini dapat ku mengisi jiwa dan perasaan yang sering berbolak balik ini.....Mudah-mudahan Allah memberikanku kekuatan, insyaAllah.

Setelah ku belek-belek buku-buku yang ada, tertarik aku dengan satu topik tentang tingkatkan kualiti ibadah dan gunakan masa sebaik-baiknya....sungguh kena pada diri ini yang lemah dalam pengurusan masa sejak kebelakangan ini. Entah kenapa,  mungkin ujian pada diri ini ....nak dapatkan semuala momentum seperti dulu mengambil masa! Ya Allah ampunilah diri  yang lemah ini, sering terlalai dan leka.........

Untuk mengawal  emosi dan diri  bagi mengatasi perasaan sedih, pilu dan gejolak jiwa yang lainnya...satu perkara yang penting adalah mengurus masa iaitu berdisiplin dalam melakukan kerja-kerja  ibadah yang telah ditetapkan, contohnya solat tepat pada waktunya ataupun di awal waktu. Hal ini ditekankan kerana ada kerberkatan disitu. Mengikut kajian, melakukan suatu perkara secara berulang-ulang sebanyak 40 kali, akan dapat membentuk tabiat diri. Jadi , apabila  sudah terbiasa bersegera menunaikan ibadah solat wajib berkali-kali tepat dan cepat pada waktunya , hal ini akan membentuk  tabiat diri yang tidak suka bertangguh-tangguh dalam melakukan sesuatu. 

Kenapa hal ini perlu ditekankan?  Melaksanakan amal ibadah dalam Islam sangat mementingkan masa.  Setiap pelaksanaan ibadah ada masa yang ditetapkan. Melalui latihan-latihan melakukan ibadah ini tepat pada waktunya,  kita akan  menjadi pengurus masa yang baik. Dengan pengurusan masa yang  baik, maka banyaklah tanggungjawab yang dapat kita tunaikan.  Sebenarnya kita bukannya tidak cukup masa, tetapi lemahnya pengurusan diri, lantas banyak masa kita terbuang dengan perkara yang tidak bermanfaat.......! Sama-samalah check dan  perbaiki diri ......!

Dalam Surah Maryam ayat 59 yang bermaksud.....

" Kemudian mereka digantikan dengan keturunan-keturunan yang mencuaikan solat serta menuruti hawa nafsu (dengan melakukan maksiat), maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka)." 

Mencuaikan solat bukan bermaksud meninggalkan solat tapi melewatkannya dari waktunya.....contohnya melakukan solat zuhur dalam waktu asar, solat asar dalam waktu maghrib dsbnya.....dengan alasan mengqadanya!  Maka sesiapa yang mati dalam keadaan begini tanpa bertaubat, dia akan dihumbankan ke lembah neraka bernama ghay diberi makanan yang menjijikkan.....itulah satu bentuk kesedihan yang berpanjangan!  

Begitu juga hal nya dengan ibadah yang lain seperti puasa, zakat,  haji..... Apabila ibadah ini dilakukan dengan sempurna menepati syaratnya, kesannya lahirlah umat yang produktif yang cukup menjaga masa. 
Ini tidak,  bangsa Melayu kita cukup dikenali dengan istilah " janji Melayu". Sukar  menepati masa dan janji....Jika nak mula program pukul 10.00 selalunya telewat setengah jam kadang-kadang sejam pun ada! 

Kenapa agaknya kita jadi begitu? Mungkin salah satu nya disebabkan pelaksanaan ibadah kita yang tidak sungguh-sungguh, lewat, nak cepat sahaja, tidak khusyuk, banyak yang slack di sana sini! Disiplin diri kita juga kurang dan budaya Melayu yang juga suka santai, rehat-rehat dan banyak berhibur menyumbang pada hal ini..... 

Saidina Ali pernah berkata.....
" Seharusnya mereka yang berakal tidak bersungguh-sungguh melainkan di dalam tiga perkara iaitu berusaha untuk keperluan hidupnya, beramal untuk hari kemudian dan bersuka-suka dalam perkara yang halal." 

Hakikatnya,  sikap suka menangguhkan kerja  atau amal bukanlah tabiat mereka yang sempurna imannya.......Sebagai seorang Muslim, kita berpotensi untuk berjaya  kerana Islam sentiasa mengaitkan kebaikan iman dengan kemampuannya mengurus masa dengan baik. Sebaliknya, sikap suka buang masa ini mengundang bencana pada diri...ditakuti bila maut menjemput diri, diri masih lalai dan leka dan tidak tahu menghargai masa!  Nauzubillahi min zaalik....

Menurut Imam Ghazali dalam bukunya Ihya Ulumiddin ....
"Apabila telah jelas tentang bahaya suul- Khatimah ( pengakhiran yang buruk), hendaklah kamu keluarkan dari hatimu perasaan cinta pada dunia dan beri tumpuan pada zikrullah. Anggota jasadmu hendaklah dijaga dari melakukan maksiat dan hatimu dijaga dari memikirkan tentangnya.  Peliharalah matamu dari maksiat kerana ia akan memberi kesan buruk pada hatimu. Jangan tangguhkan kerja-kerja ini ke masa hadapan kerana kemungkinan nyawamu akan dicabut ketika kamu sedang menangguhkannya."

Akhirkata, sama-sama kita renungi ungkapan ini........

Sesungguhnya,   semua manusia berada dalam kebinasaan kecuali mereka yang berilmu. Semua yang berilmu akan binasa kecuali yang beramal. Semua yang beramal akan binasa kecuali yang ikhlas. Namun golongan yang ikhlas ini belum tentu selamat sepenuhnya dari bahaya besar di sisi Allah. Semua ini akan membebankan kita kecuali jika kita mengambil dunia sekadar keperluan sahaja.

Jadi, tingkatkan kualiti amal ibadah diri dan pengurusan masa kita, insyaAllah!
Wallahualam

Rujukan
Terapi Duka
Dr. Aidh Al-Qarni


Tuesday, April 24, 2012

Bawalah Al Quran dihati kita....


Bismillahirrahmanirrahim...

Sebuah artikel dari blog iluvIslam untuk renungan diri......semoga bermanfaat, insyaAllah.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: "Bacalah al- Quran kerana ia akan datang pada Hari Akhirat kelak sebagai pemberi syafaat kepada tuannya."

Riwayat Muslim

Pengajaran Hadis:
i) Al-Quran merupakan kalam Allah dan perlembagaan syariatnya yang kekal abadi. Allah telah menurunkannya kepada manusia sebagai panduan dalam mengharungi kehidupan agar dapat mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

ii) Membaca al-Quran merupakan satu ibadah yang boleh menghampirkan diri seseorang itu kepada Allah S.W.T. Pahalanya amat besar iaitu sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, ganjarannya satu kebaikan dan sepuluh ganjaran yang sama dengannya. Selain itu ia juga boleh meberikan syafaat di hari akhirat kelak.

iii) Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim ada menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :" Perumpamaan Mukmin yang membaca al-Quran adalah seperti limau yang mempunyai bau yang harum dan rasanya sedap. Manakala perumpamaan mukmin yang tidak membaca al-Quran pula adalah seperti tamar yang tidak ada bau tetapi rasanya manis dan sedap."

iv) Membaca al-Quran hendaklah dilakukan dengan beradab sebagai menghormati kalimah Allah di antaranya ialah seseorang itu hendaklah berada dalam keadaan suci (berwudhu') dan membacanya di tempat yang bersih, memulakan dengan membaca Ta'auwuz dan Basmallah, membaca dengan teliti dan perlahan, menjaga makhraj (bertajwid) serta memperelokkan suara sekadar termampu.

v) Pembacaan al-Quran yang paling baik ialah apabila difahami apa yang dibaca. Dengan ini barulah seseorang itu akan dapat merasai nikmatnya yang sebenar.

كَمَا أَرْسَلْنَا فِيكُمْ رَسُولاً مِّنكُمْ يَتْلُو عَلَيْكُمْ آيَاتِنَا وَيُزَكِّيكُمْ وَيُعَلِّمُكُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَيُعَلِّمُكُم مَّا لَمْ تَكُونُواْ تَعْلَمُونَ
Sebagaimana (Kami telah menyempurnakan nikmat Kami kepadamu) Kami telah mengutus kepadamu Rasul di antara kamu yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu dan menyucikan kamu dan mengajarkan kepadamu Al Kitab dan Al-hikmah (As Sunah), serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui
(Surah Al-Baqarah 2: Ayat 151)

InsyaAllah semoga Al-Quran sentiasa dihati.......tak baca sehari seolah-olah ada kekurangan pada hari itu.  Membaca kalamullah adalah penawar yang menenangkan jiwa ...

Ya Allah, jadikan hati ini mencintai Al-Quran.....Amin Ya Allah!

Hakikat hidup ini...

Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...