Sunday, August 29, 2010

Keutamaan sepuluh malam terakhir Ramadhan.




    Sepuluh malam terakhir Ramadhan sangat istimewa bagi Rasulullah saw. Baginda bersungguh-sungguh dan memperbanyakkan ibadah.  Dari satu Kitab Sahih Muslim , disebutkan sebuat riwayat dari Aisyah r.a......
"Nabi saw bersungguh-sungguh beribadah pada sepuluh malam terakhir Ramadhan."
"Ketika memasuki sepuluh malam terakhir Ramadhan, Nabi mengetatkan kain sarungnya,
menghabiskan waktu malamnya untuk beribadah dan membangunkan ahli keluarganya."
        Kesungguhan Baginda lebih dari biasa, jika dua puluh malam yang pertama baginda bersolat dan tidur pada malamnya, pada sepuluh malam terakhir, Baginda menjauhkan diri dari mencampuri isterinya dan menghabiskan waktu malamnya dengan qiyamullail, membaca Al-Quran berzikir, samada dengan hati , lidah, mahupun dengan anggota badan lainnya.Semua ini dilakukan kerana kemuliaan malam-malam tersebut, selain terdapat malam Lailatul qadar di mana pada malam tersebut, jika sesaorang beribadah dengan penuh keimanan dan harapan, Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.
       Seluruh malam dihidupkan dengan beribadah pada Allah dengan zikir , solat, baca Quran, sahur dan sebagainya. Dari Aisyah r.a berkata," Saya tidak pernah melihat Nabi saw solat malam sehingga pagi." Baginda mempelbagaikan ibadah  sepuluh malam terakhir Ramadhan, bukan setakat Qiyamulalil sahaja. Keluarga Baginda juga dibangunkan untuk mengisi malam tersebut dan merebut kurniaan istimewa Allah dengan menemukan malam yang lebih baik dari seribu bulan iaitu malam Lailatul qadar. Ini menunjukkan keutamaan sepuluh malam terakhir Ramadhan.    
       Pada sepuluh hari terakhir juga, baginda bersedekah lebih dari biasa dan  beriktikaf di masjid . Iktikaf bermaksud berusaha untuk selalu berada di masjid dengan tujuan melakukan ketaatan pada Allah dengan penuh khusyuk.  Ia merupakan satu sunnah Rasulullah yang sangat dianjurkan melakukannya. Semasa iktikaf, sesaorang itu harus menyibukkan diri dengan zikir, solat, baca Quran dan lain-lain ibadah disamping tidak menyibukkan diri dengan urusan dunia yang tidak penting. Iktikaf dilakukan di dalam masjid dengan tujuan mengharapkan keutamaan serta menemui Lailatul Qadar.  Memutuskan interaksi dengan orang lain semasa iktikaf  dapat menjalankan ibadah dengan lebih tenang tanpa gangguan.
       Semasa iktikaf dilarang mencampuri isteri atau menyentuh isteri dengan syahwat. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 187 yang bermaksud......
    " Janganlah kamu campuri mereka , sedang kamu beriktikaf dalam masjid."

       Kita sebagai umat islam perlulah merebut peluang keemasan ini yang hanya datang setahun sekali sahaja. Perlu kenali keutamaan -keutamaan sepuluh malam terakhir ini dan tidak mensia-siakannya!! Saat-saat tersebut merupakan saat-saat yang berharga dan kebaikan yang terdapat di dalam nya merupakan kebaikan yang nyata. 

Saturday, August 28, 2010

Kesan dan Pengaruh Maksiat



     

    Maksiat  yang dilakukan mempunyai kesan-kesan yang buruk lagi keji serta memudaratkan hati dan badan insan samada di dunia dan akhirat juga. Dr. Yusof Al-Qardhawi menyenaraikan diantara kesan-kesan dan mudaratnya untuk kita sama-sama renungi dan berusaha menghindarinya.
 
(i) Terhalang dari ilmu dan rezeki serta sulit urusan hidupnya
Ilmu merupakan cahaya yang Allah lontarkan ke dalam hati manusia
dan bermaksiat  akan memadamkan cahaya tersebut. Ini disebabkan ilmu itu adalah kurniaan dari Allah SWT dan kurniaan itu tidak akan diberi pada pelaku maksiat. Disamping itu pintu rezeki akan tertutup dan mewarisi kemiskinan. Urusan hidupnya selalu sulit dan sukar. Ketakwaan sesaorang sebenarnya memurahkan rezeki, memudahkan urusan dan Allah memberikannya jalan keluar akan masalah yang dihadapinya, insyaAllah!

(ii) Hatinya gelap, jauh dari Allah dan manusia, terhalang dari ketaatan dan memendekkan umur.
Ibnu Abbas r.a. berkata  " Kebaikan menyebabkan cahaya keputihan pada wajah, cahaya di hati, keluasan dalam rezeki, kekuatan pada badan dan kecintaan di dalam hati orang lain .  Maksiat menyebabkan kehitaman pada wajah, kegelapan dalam hati, kelemahan pada badan kekurangan pada rezeki dan kebencian di hati orang lain."
        Di samping itu , maksiat menghalang satu demi satu ketaatan pada Allah, sedangkan ketaatan itulah yang menghidupkan dan menjernihkan hati. Hilanglah keberkatan dari dalam dirinya iaitu hilangnya keberkatan pada umurnya! Hidupnya sesaorang kerana hidupnya hati. Lantaran itu Allah menganggap orang kafir itu sebagai mati. Umur manusia adalah jangka masa kehidupannya dalam ketaatan pada Allah, itulah hakikat umur yang sebenarnya!!  Bukannya bilangan umur yang kita kira!!
    Apabila seaorang itu bermaksiat pada Allah, banyak hari-hari dalam kehidupannya terbuang begitu
sahaja yang mana kesannya adalah di hari akhirat nanti di mana dia akan berkata....
    "Alangkah baiknya jika sekiranya aku dahulu melakukan amal soleh untuk kehidupanku ini."
    (Surah Al- Fajr: 24)
    Satu bentuk penyesalan dalam diri kerana kurangnya amal soleh di dunia dahulu!!

(iii) Mengundang laknat Allah, mendapat kehinaan Allah dan hilang nikmatNya.
  Saidina Ali berkata ," Bala tidak akan diturunkan melainkan dengan dosa atau maksiat, sementara dosa tidak akan terhapus melainkan dengan taubat." 
        Nikmat yang Allah kurniakan kepada kita perlulah di pelihara, kerana dosa-dosa menghilangkan nikmat . Nikmat itu perlu dilindungi dengan ketaatan pada Allah kerana Allah amat cepat membalas dengan menurunkan bala yang tidak mengira sesiapa.  
       Allah dan Rasul melaknati pelaku maksiat dan mereka terhina disisi Allah. Kemuliaan diri hanya dengan taat padaNya seperti dalam firman Allah (Fatir:10)
       " Barangsiapa yang mahukan kemuliaan, maka bagi Allahlah kemuliaan itu."

( iv) Menganggap kecil maksiat pada Allah dan bangga dengan maksiat yang dilakukan
    Berterusan dalam dosa dan maksiat akhirnya menyebabkan sesaorang itu menganggap maksiat itu kecil sahaja dihatinya, sedangkan disisi Allah ia adalah besar! Dari hadith Sahih  (dari Ibnu Mas'ud)
      Rasulullah bersabda yang bermaksud," Orang Mukmin memandang dosanya seolah-olah sebuah gunung yang dibimbangi akan menghempapnya, sedangkan orang-orang munafiq memandang dosa-dosanya seolah-olah seekor lalat yang hinggap di atas hidungya, lalu di tepisnya begini begitu , lalu ia pun terbang."
      Hati orang munafiq ini tidak sensitif dengan dosa kerana pintu hatinya telah tertutup, hati telah jadi buta lantaran dosa demi dosa yang dibuat!!
         Pada asalnya nya hati itu berkarat dengan maksiat, jika tiada usaha untuk membuang karat hati ini dengan taubat, lapisan karat yang terbentuk,  bertambah banyak sehingga ia menutup dan mengunci pintu hati dan ia  menghalang hidayah petunjuk dari Allah. Akhirnya akalnya jadi lemah dan lembab! Terjerumus lah diri manusia tersebut menyerupai makhluk tidak berakal iaitu, seperti binatang malah lebih rendah  dari itu. Ia bangga dengan maksiat yang dibuatnya dan dihebah-hebahkan pada orang. Golongan sebegini tidak akan dapat keampunan dari Allah dan hati mereka tidak  tergerak untuk memohon keampunan!!
       Sabda Rasulullah saw yang bermaksud...." Setiap umatku akan mendapat keampunan melainkan mereka yang berterang-terangan. Antara yang berterang-terangan  ialah seorang lelaki yang melakukan maksiat di malam hari, kemudian ia berpagi dalam keadaan perbuatannya itu ditutup oleh Allah.  Kemudian dia berkata, " Semalam aku melakukan sekian, sekian." Dia bermalam dengan keadaan ditutup kejahatannya tapi dia berpagi dengan membuka tutupan Allah."
       Bagaimana dengan keadaan realiti sekarang banyaknya video-video  dan gambar-gambar pornografi yang di upload ke internet dan di tonton oleh orang ramai? Pelaku dan penonton sama sahaja bersubahat dalam maksiat yang di buat sehingga menjadi satu fenomena yang sukar dibendung sekarang.  Keimanan dan ketakwaan dihatilah yang mengawal diri dari bersubahat dengan maksiat dan seronok menontonnya!  Nauzubillahi min zalik, mohon perlindungan Allah dari semua ini yang mengikis iman dan takwa dihati!      
        Jiwa kita perlu sensitif dengan apa sahaja yang kita buat; mata yang melihat, telinga yang mendengar, lidah yang berbicara, hati yang merasai, anggota badan yang lain jika berlaku maksiat pada Allah, maka lemahlah perjalanan jiwa menuju pada Allah dan hari akhirat.....hilanglah kekuatan perjuangan mujahadah diri, sukar perjalanan memperbaiki diri.....
         Langkah pertama untuk kembali pada Allah....tinggalkan maksiat dan bertaubat! Jalan menuju Allah akan jadi lebih mudah kerana bantuan kekuatan hati dari Allah kepada diri...... Jiwa akan tenang dan lapang dan persepsi diri dengan kehidupan jadi luas! Hati jadi sejahtera bagi orang yang meninggalkan keinginan yang haram dan keraguan yang batil....Inilah kenikmatan hakiki...........bukannya kenikmatan jasad! Inilah dia syurga dunia...yang sebenarnya boleh kita capai insyallah bila kembali pada Allah!   

Thursday, August 26, 2010

Al Quran dan Bulan Ramadhan


Firman Allah dalam surah Al-Baqarah (185) yang bermaksud....
   " Ramadhan adalah bulan yang didalamnya  diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk dan pembeza antara yang benar dan yang salah."
       Rasulullah mempelajari Al-Quran bersama malaikat Jibril pada bulan Ramadhan dimana baginda mendengarkan bacaan Al-Quran, menghayatinya, membaca dan melaksanakan isi kandungan Al-Quran, melapangkan hatinya dan menggali cinta dalam mutiara hikmah Al-Quran.
     Orang yang berpuasa dan membaca Al-Quran bererti telah menyatukan Ramadhan dan Al-Quran.
Firman Allah dalam surah Shad(29).......
    " Ini  adalah kitab kitab yang Kami turunkan kepadamu yang penuh dengan berkah agar mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan mendapat pelajaran bagi orang-orang yang berfikir."
      Membaca Al-Quran akan membawa kenikmatan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Di bulan suci ini pula terdapat petunjuk khusus yang terpancar dari Al-Quran. Al- Quran bagaikan air
yang membasahi tanaman, mengharumi ruangan dan penyejuk bagi jiwa.
     Membaca Al-Quran mengingatkan kita pada hari ketika ia diturunkan untuk pertama kalinya, ketika Rasulullah mempelajarinya dan ketika kaum salaf memberikan perhatian yang besar terhadapnya.
     Sabda Rasulullah saw.......
      " Bacalah Al-Quran. Sesungguhnya Al-Quran pada hari akhirat nanti akan datang membawa syafaat kepada orang-orang yang membacanya."
      " Orang yang terbaik diantara kamu adalah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya."
   Dikala datangnya bulan Ramadhan,para sahabat-sahabat  dan orang-orang soleh yang terdahulu dari kita,  mengkaji Al-Quran.
      Mereka akan berhenti membaca apabila terbaca ayat yang memaparkan keajaiban-keajaiban, menangis ketika mendengar nasihat-nasihat yang terkandung dalam nya,rasa bahagia akan khabar gembira yang disampaikan dan takut akan azab yang diberitakan.Perintahnya dilaksanakan dan larangannya dijauhi. Rumah-rumah mereka yang selalu dihiasi dengan bacaan Al-Quran bagaikan memancar chaya kebahagiaan.  Al- Quran sentiasa di hati mereka!!
    Orang-orang yang tidak mahu atau berat hati untuk mendampingi Al-Quran jiwanya akan lalai, jauh dari fitrahnya dan kefahamannya pada deen Allah ini akan menurun.
      Bila Al-Quran ditinggalkan, maksiat dan keburukan bermaharajalela, musibah datang silih berganti pemahaman tidak lagi benar dan azam selalu gagal diwujudkan.
     Al-Quran adalah cahaya dan ubat bagi hati, petunjuk dan pengetahuan, penyelamat dan pembawa kebahagiaan serta kehidupan bagi roh! Ia merupakan pendidikan rabbani, undang-undang illahi dan hikmah yang abadi.
  Jadi bagi kita ,  kita perlulah jadikanAl-Quran ini sebagai petunjuk sepanjang jalan kehidupan.....ia perlu sentiasa dekat di hati kita.....kedatangannya adalah  bagai cahaya yang menyinari kegelapan alam ini... cahaya yang menyinari hati kita.....yang membersihkan jiwa kita......
   Kita perlu sibukkan diri kita memperhatikan Al-Quran, menghayati dan mengamalkannya.....supaya umat islam ini dapat kembali menjadi umat yang cintakan Allah, menjadi  umat yang kuat, terbaik dan berdisiplin,  terikat dengan matlamat akhirat dan menjunjung kalimah Allah di atas muka bumi ini.  
Apabila kita meninggalkan Al-Quran dalam kehidupan kita, tunggulah kemusnahan  dan bencana yang menimpa umat islam. Apabila umat islam tidak menghayati Al- Quran sepenuhnya dalam hidup kita, kita kan sentiasa dikuasai nafsu   dan ditimpa penyakit cintakan dunia dan takutkan mati....!! Pengembalian kita pada Al-Quran perlulah sepenuhnya.........dan akhlak yang kita nak contohi adalah akhlak Rasulullah yang merupakan  Al Quran itu sendiri.....
    Umat terdahulu merupakan terjemahan Al-Quran yang hidup dalam diri dan masyarakat islam ....mereka beriman dengan Allah dan menerima Al-Quran dengan hati yang terbuka. Komitment mereka pada islam sungguh tinggi sehingga apa saja persoalan kehidupan mereka akan diutarakan pada Rasulullah untuk mencari penyelesaiannya. Mereka umpama bintang-bintang dilangit bagi kita untuk kita jadikan contoh dalam hidup kita......Kita juga akan mendapat natijah yang sama apabila kita kembali kepada proses yang sama yang mereka ikuti.....Persoalannya sekarang....adakah kita punya persediaan jiwa yang sama dengan mereka??  Mereka ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk kembali pada Allah.  Kita bagaimana??
     Hati sahabat-sahabat Rasulullah dipenuhi iman dulu sebelum Al-Quran diturunkan sepenuhnya.   Tapi kita sebaliknya ; Al-Quran yang lengkap ada bersama kita, tapi hati kita tipis dengan iman!! Bersediakah kita untuk mengambil Al-Quran dalam hidup kita? Tepok lah dada  dan tanyalah iman yang ada dalam jiwa kita!!
     Sama-sama kita renungkan supaya kita dapat mengambil iktibar dari sirah generasi sahabat yang terdahulu.....dan kita cuba laksanakan dengan kemampuan diri kita, insyaAllah. Kepada Allah jua kita mohon segala kekuatan. Amin.


Tuesday, August 24, 2010

Allah menambah petunjuk kepada orang yang mencarinya......

          Petunjuk dari Allah merupakan sesuatu yang didambakan oleh manusia....supaya dia dapat melalui kehidupan ini di atas jalan yang terang dan lurus menuju ke matlamat yang benar. Tanpa petunjuk dariNya manusia akan berada dalam kegelapan dan kesesatan hidup yang membawa kepada bencana dan kemusnahan diri.....Tapi Allah bersifat Yang Maha Pengasih dan Penyayang bukan hanya menciptakan manusia begitu sahaja tanpa petunjuk......malah segala tatacara kehidupan untuk mencapai kebahagiaan hidup ini sudah dijelaskan dengan melalui Rasul-Rasulnya. Terpulanglah kepada manusia untuk memilih jalan mereka sendiri...

Segala perbuatan manusia sama ada yang dilakukan oleh hati atau anggota badannya yang lain boleh menyebabkan turunnya hidayah atau petunjuk Allah ataupun bencana. Perbuatan soleh dan baik yang dilakukan akan membuahkan petunjuk yang akan sentiasa meningkat jika sekiranya perbuatan soleh meningkat.  Sebaliknya perbuatan keji dan maksiat yang dilakukan akan meyebabkan jauh dari petunjuk Allah dan akan menerima azab yang pedih jika terus menerus dilakukan...

Firman Allah dalam surah Maryam (76) yang bermaksud..............
        "Dan Allah akan menambah petunjuk bagi mereka yang telah mendapat petunjuk."
Jadi orang yang mendapat petunjuk akan beriman dengan apa yang diturunkan oleh Allah tanpa ragu-ragu. Allah SWT sangat mencintai perbuatan baik yang dilakukan oleh hambaNya dan memberi ganjaran hidayah dan pahala kepada mereka.....Allah SWT sangat dekat dengan mereka kerana mereka menegakkan kebenaran dan hidup dengan mengikuti petunjukNya.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah (1-2) yang bermaksud........
""Alif  Lam Mim. Inilah kitab Allah yang tidak ada keraguan di dalamnya. Petunjuk bagi orang yang bertakwa."
Al- Quran yang diturunkan oleh Allah itulah panduan dan petunjuk disepanjang perjalanan kehidupan manusia yang tiada sedikit pun keraguan padanya.

Jika kita berhajat hendak pergi ke suatu destinasi yang kita tidak ketahui, perkara pertama yang kita buat adalah mencari petunjuk jalan nak sampai ke sana....kita akan bertanya kepada orang cara nak pergi atau kita download google map yang spesifik ke tempat tersebut atau yang lebih canggih lagi sekarang gunakan GPS pada kereta atau handfon kita. Kita tidak mau tersesat jalan....buang masa, tenaga dan minyak petrol kita......!! Begitu jugalah kita dalam perjalanan kehidupan ini!!

Kita mesti ikut petunjuk yang betul  untuk sampai ke destinasi akhir kita.Tanpanya kita hilang pedoman dan akhirnya sesat jalan! Bayangkan perasaan kita di kala kita tersesat jalan, masuk jalan ini, ikut jalan itu.....tak sampai-sampai ke destinasi kita...... rasa sesak dada, marah, kecewa, menyesal dan lain-lain lagi...Namun penyesalan kita tidak berguna di akhirat nanti jika kita tersesat jalan di dunia ni !

Perjalanan kehidupan ini pun begitulah.......tanpa petujuk Allah kita akan meraba-raba mencari jalan kehidupan yang sebenarnya yang boleh membawa kepada kebahagiaan hakiki. Hati yang berhajat mencari kebenaran akan sentiasa berusaha......dan insyaAllah dengan keikhlasan yang ada dalam dirinya....Allah akan memberi taufik dan hidayahnya bertemu dengan kebenaran yang dicari!!

Sama-sama kita renung Firman Allah dalam surah Ali-Imran (190-191) yang bermaksud......
     "Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya siang dan malam terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal. Iaitu orang-orang  yang  mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi lalu berkata," Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau ciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau. Maka peliharalah kami dari azab neraka."  

Ketika ayat-ayat ini diturunkan Rasulullah saw menangis dan berkata kepada Bilal bin Rabah, " Ayat ini diturunkan kepadaku dan celakalah bagi orang yang membacanya tapi tidak merenunginya!!"
Kita perlu gunakan akal kita untuk berfikir tentang kehebatan penciptaan Allah pada diri kita dan alam semesta yang terbentang luas.....Maha Berkuasanya Allah dan begitu halus, sangat hebat dan begitu telitinya ciptaanNya!! Ini mencetuskan rasa kedaifan diri dihadapan kekuasaan Allah lantas beriman denganNya!  Inilah yang berlaku kepada segelintir saintis  Barat yang ikhlas mencari kebenaran dalam  mengkaji tentang fenomena alam dan kehidupan.

Betapa ramainya orang yang hidup, tapi sebenarnya mereka tidak hidup. Mereka makan  dan minum tapi hakikatnya mereka mati! Ini disebabkan buta hati mereka  tidak mengenal siapa pencipta mereka dan tidak mengikuti jalan kebenaran. Mereka hidup umpama binatang ternak yang hanya hidup untuk mengisi perut dan melampiaskan syahwat mereka.  Hidupnya sesaorang adalah bila hatinya hidup dan  ia tertuju pada Allah, hidup bersama Allah, dan menghabiskan umur untuk ubudiah pada Allah.

Firman Allah lagi dalam surah Al-An'am (122) yang bermaksud.....
    " Apakah orang-orang yang sudah mati, kemudian  dia  Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, dan dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang yang keadaannya berada dalam gelap gelita yang sekali-kali tidak dapat keluar dari nya?"  


Inilah hakikat kehidupan orang yang mati hatinya yang berada dalam kegelapan demi kegelapan sehingga  tidak nampak di mana jalan keluar.Bila hati sudah keras dan mati, hidayah Allah tidak datang, jadi tenggelamlah ia dalam arus kemaksiatan sehingga dia rasa seronok berada di situ. Nauzubillahi minzalik, minta dijauhkan Allah dari keadaan demikian!

Sebagaimana perjalanan kehidupan pertama kita semasa kita dilahirkan oleh ibu kita dalam keadaan bersih dan suci dari dosa......begitulah juga pengharapan kita bila kembali pada Allah....

   Kamu lahir dalam keadaan menangis tersedu-sedu
   Sementara orang disekitarmu tersenyum gembira
   Maka lakukan perbuatan baik
   Agar kamu tersenyum gembira
   Ketika mereka menangisi kematian mu!

Kembalinya kita tersenyum gembira menghadap Allah kerana kita menemui kebahagiaan sebenar di akhirat sana yang tiadak ada bandingannya dengan apa yang ada di dunia ini!

Sunday, August 22, 2010

Bagaimana nak memperkuatkan hubungan dengan Allah......?.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah (214) yang bermaksud......
     "  Ataukah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum datang kepadamu (cobaan) seperti yang dialami oleh orang yang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan diguncang (dengan berbagai cobaan) sehingga rasul dan orang-orang beriman bersamanya berkata ," Bilakah datang pertolongan Allah?"  Ingatlah pertolongan Allah itu dekat."
       Dalam kita melalui kehidupan dunia yang banyak godaan ini seringkali kita tergelincir dari landasan yang telah ditetapkan oleh Allah. Kadang-kadang kita rasa kuat hubungan dengan Allah dan selalunya kita rasa lemah............sehingga kelemahan ini mempengaruhi sikap dan tindak tanduk kita seharian! Bila ini berlaku kita rasa gelisah dan tidak tenang....perlu cepat-cepat cari ubat supaya penyakit ini tidak berlarutan! 
       Terdapat dua jalan utama untuk kita menguat dan mengeratkan hubungan dengan Allah SWT.
Jalan pertama adalah melalui jalan kefahaman, berfikir dan beramal. Kita perlu mentadabbur dan mempelajari ayat-ayat Al-Quran dan Hadith-hadith Nabi yang soheh dengan sedaya upaya kita, mengamatinya berulang-ulang, sehingga kita benar-benar faham dan merasai apa yang dibaca. Mengulang-ulang dalam membina kefahaman merupakan tuntutan tarbiah yang dapat melahirkan keberkesanan.  Seterusnya berusaha sedaya upaya mengamalkannya dalam kehidupan seharian kita.
     Apa yang kita fahami dari Al-Quran dan Hadith, kita bandingkan dengan amalan seharian yang kita dah perbuat selama ini. Adakah apa yang kita lakukan dalam hidup kita ini selaras dengan Al-Quran dan Hadith? Apakah kekurangan-kekurangan dan kelemahan-kelemahan diri yang masih ada pada kita? Sekadar mana kita memperelokkan realiti diri dan kehidupan kita selaras dengan Al-Quran dan Sunnah , sekadar itu pulalah hubungan kita dengan Allah dan Rasul! Penghayatan diri dengan Al-Quran dan Sunnah  melambangkan keterikatan hubungan kita dengan Allah, bukannya terletak pada tingginya ilmu kita tapi tidak diamal dan dihayati!
        Jalan kefahaman dan berfikir ini tidak akan kekal lama jika kita tidak beramal dengan ikhlas. Maknanya semua amalan yang kita buat mestilah kerana Allah semata-mata,mengharapkan redonya sahaja,  tanpa mengirakan keuntungan dunia, samada di waktu kita susah atau senang , sibuk atau lapang, sunyi atau terang, seorang diri atau bersama orang ramai..........kita tetap istiqamah dengan nilai islam walau dalam keadaan apa sekali pun....mestipun dalam keadaan tertekan!  Inilah yang sukar......
       Kita mungkin mampu terikat dengan islam dalam keadaan kita senang, seorang diri....tapi bila Allah uji dengan sedikit susah, tekanan.........kita teruji dan tidak mampu bertahan....kita larut dalam arus suasana sekeliling kita....kita berkompromi dengan nilai tidak islamik! Pada ketika ini kita boleh nilai sendiri tahap mana iman dan hubungan kita dengan Allah! Jadi perlu pertingkatkan lagi usaha kita, mujahadah diri untuk mengambil nilai Allah dalam diri dan kehidupan seharian kita. Sentiasa perihatin dan sensitif akan nilai-nilai Allah di hati kita.......yang mana nilai ini bukan tinggal dihati sahaja tapi kena diterjemahkan dalam seluruh kehidupan! Kita perlu masuk kedalam kehidupan secara islamik ini secara menyeluruh..............bukan sebahagian-sebahagian mengikut selera dan kehendak kita! Mana yang kita suka kita ambil, mana yang tidak setuju ditinggalkan.....ini bukan yang islam dan Allah kehendaki  sebenarnya.
        Allah menghendaki kita menyerahkan secara total semua urusan hidup ini mengikut kehendakNya.....cara kita berfikir, cara kita bertindak, cara kita menyelesaikan masalah,cara kita berhubung.......semuanya nya...... Baru betullah konsep ubudiah kita pada Allah...... tiada tuhan yang disembah melainkan Allah! Jika kita ambil nilai lain dalam hidup kita.......nilai itu jadi illah atau tuhan/sembahan kita.....bukan Allah!  Realiti umat islam sekarang ... masih ada illah /sembahan di hati berupa hawa nafsu yang menguasai diri..... nilai Allah dikesampingkan! Kesannya ubudiah tidak murni pada Allah, aqidah tercemar dan kita tiada kekuatan diri, senang terjebak dalam maksiat  walaupun banyak ilmu.......!  Dalam hati seorang muslim tidak boleh ada ubudiah selain Allah sahaja...! 
      Firman Allah  dalam surah Al-Mukminun (117) yang bermaksud .....
     " Dan barangsiapa yang menyembah tuhan yang lain disamping Allah, pada hal tidak ada satu dalil pun baginya tentang itu, maka sesungguhnya diperhitungkan disisi Tuhannya. Sesungguhnya orang-orang kafir itu tidak beruntung."
        Meninggalkan larangan Allah hanya atas desakan iman sahaja bukan atas desakan duniawi. Kita tutup aurat kita dengan betul dan ikut syarak bukan kerana kekasih, suami atau tunang suruh, kita tidak menghampiri zina bukan kerana ibubapa kita larang, kita buat kebaikan bukan nak di puji atau dikatakan dermawan atau baik.......tapi kita buat semua itu atas dasar taat kita pada Allah semata-mata. Dasar inilah yang dapat menjadikan kita istiqamah dengan tindakan kita......walaupun sudah putus kasih, walaupun ibubapa tiada bersama kita, walaupun kita dicaci  atau di hina orang! Inilah jalan untuk meningkatkan hubungan kita dengan Allah dan inilah jalan orang yang bertakwa!
         Jalan kedua untuk mempertingkatkan hubungan dengan Allah adalah jalan memperelokkan amalan-amalan kita. Kita tingkatkan amalan-amalan kita dengan cara mengamalkan keutamaan-keutamaan, perkara-perkara fadzilat-fadzilat dan perkara sunat yang merupakan amalan yang dicintai Allah.  Dalam masa yang sama, perkara-perkara makruh kena jauhi kerana ia dibenci oleh Allah SWT. Kita juga tidak boleh pandang remeh atau ringan terhadap perkara-perkara yang mendatangkan maslahah walaupun kecil.
     Pendekata kita perlulah menjadi orang yang ringan beramal dalam pelbagai aspek yang melibatkan pengorbanan  masa, usaha, fikiran, perasaan, harta malah jiwa sekalipun! Disamping itu kita perlu  sentiasa berhati-hati agar dalam jiwa kita tidak tumbuh perasaan sombong, ujub, lupa diri apabila kita melakukan pengorbanan-pengorbanan ini.
      Segala lintasan-lintasan hati sebegini perlu di proses.......perlu merasakan pengorbanan yang kita buat masih terlalu sedikit berbanding dengan tanggungjawab-tanggungjawab  yang Allah taklifkan kepada kita yang perlu kita laksanakan. Kita hanya memohon kekuatan dari Allah agar memampukan kita melaksanakan tanggungjawab deen ini!  Tanpa bantuan dari Allah kita tidak mampu nak buat apa pun.!
   Sama-sama kita renungi ayat ini Surah Thaha (111-112).....
   "Dan tunduklah semua muka (dengan berendah diri)  kepada Tuhan yang hidup kekal lagi sentiasa mengurus(makhlukNya).  Dan sesungguhnya telah merugilah orang-orang yang berbuat kezaliman. Dan barangsiapa yang mengerjakan amal-amal yang soleh dan dia dalam keadaan beriman, maka ia tidak akan khuatir akan perlakuan tidak adil terhadapnya dan tidak pula akan pengurangan haknya." 

Wednesday, August 18, 2010

Hakikat takwa

        Di bulan Ramadhan yang mulia ini kita mendidik diri kita melaksanakan ibadah puasa dengan sungguh-sungguh dengan matlamat akhir kita dihujungnya mendapatkan takwa disisi Allah SWT. Justru itu perlunya kita memahami apakah yang dikatakan takwa itu............        
      Dari kata-kata Umar bin Abdul Aziz...
    "Bukanlah takwa  itu melakukan solat malam, puasa di waktu siang, dan menggabungkan kedua-duanya, tetapi takwa itu ialah melaksanakan apa yang difardhukan oleh Allah dan meninggalkan apa yang diharamkanNya. Jika disertai amal, maka hal itu adalah kebaikan kepada kebaikan."
     Suatu hari Saiyidina Umar r.a pernah bertanya kepada Ubai b. Kaab akan takwa, "Apakah yang di maksudkan tentang takwa ,ya Ubai." Kata Ubai," Tidakkah engkau pernah melalui satu jalan yang banyak duri?"  Jawab Umar, "Ya , saya pernah."   Kata Ubai, " Apakah yang engkau buat?"  Kata Umar, "Saya angkat kain dan saya berhati-hati melangkah." Kata Ubai, " Itulah takwa".
    Jadi takwa itu adalah satu bentuk pengawasan diri terhadap perkara-perkara yang diperintahkan dan di larang oleh Allah SWT. Untuk sampai ke peringkat ini, sesaorang itu perlulah melalui jalan iman dan memahami benar-benar ajaran islam terutama perkara-perkara yang fardhu dan wajib difahami. Tanpa melalui jalan ini hakikat takwa tidak mampu dicapai kerana kejahilannya tentang islam akan menyebabkan ia tergelincir kedalam perkara-perkara yang dilarang oleh Allah. Dia tidak mengambil nilai Allah dalam kehidupannya. Jadi untuk itu iman pada Allah mesti ditanam dalam jiwa insan terlebih dulu, justru itu ia akan dapat melaksanakan tuntutan Allah dalam dirinya dengan mudah, insyaAllah.
   Takwa juga adalah neraca yang dapat membezakan antara baik dan buruk, hak dan batil. Orang-orang yang bertakwa kepada Allah akan dimurahkan rezeki, dibuka atau diberi jalan keluar akan segala kesusahan oleh Allah dan menyebabkan pintu syurga Allah terbuka luas untuknya.
    Apabila sesaorang insan itu takutkan Allah, ia akan melahirkan takwa padaNya. Ketakutan kita padaNya menyebabkan kita mematuhi dan mendampingi Allah SWT dalam semua urusan. Orang yang paling takut pada Allah adalah orang yang mengenali Allah. Dan Rasulullah adalah orang yang paling mengenali dan paling takut pada Allah.   
    Apabila sesaorang itu takutkan Allah, maksiat dihindari, hatinya  berjaga-jaga selalu,takut tergelincir dari landasan yang telah di tetapkan Allah  dan Allah mencampakkan dalam jiwa  orang yang bertakwa ini  rasa berani dan izzah (mulia) dengan iman dan islam yang di anuti. Dia menyakini islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi dari islam. Itulah hakikat jiwa yang bertakwa yang rasa mulia dan tinggi kerana membawa risalah Allah dalam kehidupan. Dia tidak segan silu dalam memperkatakan kebenaran. Dan Allah juga mencampakkan rasa takut musuh-musuh Allah kepadanya.  
     Sabda Rasulullah , "  Sesiapa yang takut pada Allah, maka semua yang lain akan takut padanya. Tapi sesiapa yang takut pada selain Allah,  maka dia akan takut kepada selain Allah."
     Takutnya sesaorang pada Allah akan menyebabkan dia dapat mengawal nafsu syahwatnya dan meninggalkan maksiat keranaNya. Akhlaknya dapat di perbaiki, sifat-sifat mazmumah dalam diri dapat di hilangkan seperti ujub, riya, takabbur.......dan lahirlah dalam dirinya rasa khusyu dan tawadhu'.........Hatinya jadi bersih dan suci, jiwanya luhur, dan matanya mudah mengalirkan airmata, dan tangannya jadi pemurah....!!
   Rasulullah saw pernah memohon dalam doanya tentang mata yang mudah menangis kerana Allah.
   "  Ya Allah kurniakanlah kepadaku   kedua mata yang mudah mengeluarkan airmata, yang mana lelehan    airmata itu adalah kerana takut padaMu sebelum lelehan darah."
Ini adalah kerana diharamkan neraka menjamah mata orang yang selalu menangis kerana Allah!
       Orang yang takut pada Allah sentiasa sedar,bahawa Allah sentiasa memerhatikannya, tiada tempat yang terselindung dari pengawasan dan penglihatan Allah!!Dia tidak rasa selamat dan aman dari azab dan tindakan Allah pada dirinya jika dia melakukan maksiat padaNya........tapi bila jiwa tiada iman pada Allah, maka tiada takut padaNya......ketika itu syaitanlah sahabat karibnya .....maka tergelincirlah diri ke kancah maksiat!
    Firman Allah dalam surah Az-Zukhruf (36) yang bermaksud...............
    " Barangsiapa yang tidak ingat pada Ar-Rahman (Allah), maka Kami akan adakan baginya syaitan, maka syaitan itu sebagai teman karibnya."
       Jadi kita sebenarnya di tuntut untuk memelihara takwa ini dalam diri kita kerana takwa ini dapat menjaga kita...  Wasiat Rasulullah kepada Abu Dzar Al Ghifari yang meminta nasihat Rasulullah...
    "  Hendaklah kamu bertakwa kepada Allah , sesungguhnya dia(takwa) adalah segala-galanya."
 Kemudian Abu Dzar meminta sedikit lagi nasihat dari baginda....
    Jawab Rasulullah saw, " Hendaklah kamu membaca Al Quran. Sesungguhnya ia (membaca Al Quran) itu adalah cahaya di dunia dan simpanan di akhirat."    
    Sahabat- sahabat Rasulullah saw sangat-sangat mengambil berat tentang membaca Al Quran terutama di bulan Ramadhan, rumah mereka kedengaran seperti bunyi lebah kerana membaca Al-Quran.  Tentang membaca Al-Quran, Ibnu Taimiyah ada menegaskan......
    "Sesiapa yang tidak membaca Al-Quran, bermakna dia meninggalkan Al-Quran, Sesiapa yang membaca tanpa tadabbur, bermakna dia hijrah meninggalkan Al-Quran. Dan sesiapa tadabbur tanpa mengamalkan Al-Quran, bermakna di juga hijrah meninggalkan Al-Quran."
      Jadi ilmu, iman dan amal dalam islam perlu berjalan serentak dalam kehidupan kita......dengan ini kita dapat melaksanakan tuntutan Allah dalam diri kita sebagai  hamba Allah... Kita dijadikan oleh Allah bukanlah sia-sia dan untuk main-main belaka tapi hanya untuk ubudiah padaNya.....dengan itu kita akan mendapat kebahagian hidup di dunia dan di akhirat......Matlamat akhir kita bukan dunia yang fana ini....jadi kita kenalah bermujahadah untuk akhirat yang kekal abadi....
Kesusahan yang sedikit yang kita alami didunia ini tidak dapat dibandingkan dengan kesusahan besar di akhirat nanti!  







Sunday, August 15, 2010

Ikhlas ke kita......??

      Keikhlasan hati dalam melakukan sesuatu.....sebenarnya sukar diukur secara fizikalnya...kerana keikhlasan itu letaknya di hati....tiada siapa yang mengetahui melainkan Allah SWT. Mungkin kita kata kita ikhlas dalam memberi pertolongan....tapi betul ke? Sebenarnya amat sukar menentukan keikhlasan kerana mungkin pada awalnya kita ikhlas.....tapi setelah kita buat timbul pulalah rasa tak ikhlas..bagaimana? Keikhlasan  yang sebenarnya tidak mengharapkan apa-apa dari manusia meskipun pujian...ia hanya mengharap redo Allah di atas semua kerja-kerja yang dilakukan.....!
      Pertolongan yang ikhlas akan menyentuh hati manusia dan orang yang ikhlas dicintai oleh Allah SWT. Amal yang tidak ikhlas akan tertolak meskipun pada zahirnya ia banyak berbuat kebajikan.....sebaliknya walaupun amal itu nampak kecil pada pandangan manusia...seperti membuang duri di jalan, senyuman pada saudara muslim lain ..........jika ikhlas dibuat kerana Allah semata-mata, ia lebih bagus dan di terima Allah! Oleh itu keikhlasan kita perlu dijaga sentiasa.......sebelum kita berbuat sesuatu, kena jaga niatnya , semasa kita sedang berbuat dan selepas melakukan amalan kita...! Yang pentingnya kita  terus berusaha untuk menjaga keikhlasan kita......dan yang nak menilai ikhlas atau tidak itu hak Allah! Tidak boleh kita berhenti dalam memproses ikhlas ini dengan tidak berbuat apa-apa...jika tidak ikhlas tak payah lakukan!Konsep ini salah....kerana tiada mujahadah diri di sini!! 
   Orang yang ikhlas tidak pernah kecewa hatinya jika apa yang dilakukan tidak disebut atau dipuji orang kerana dia mengharapkan hanya balasan di akhirat sahaja. Hatinya tenang, tidak terkecewa atas hinaan orang lain.
      Orang yang ikhlas tidak rindu akan dipuja , jadi sebutan atau ikutan orang. Samada dia di puja atau di caci sama saja..Hanya pujian Allah yang diharapkan bukan manusia!
       Orang yang ikhlas tidak membezakan samada amal itu besar atau kecil.....semua amal itu sama saja jika ia dibuat kerana Allah.........pertolongan kecil yang dibuat jika ikhlas kerana Allah lebih bernilai disisiNya! Kisah seorang perempuan  yang membantu seekor anjing yang kehausan dengan bersusah payah mengambil air dari telaga dengan sepatunya...dibalas Allah dengan syurga kerana keikhlasannya kerana Allah!
    Firman Allah dalam surah Al-Zalzalah (7-8) yang bermaksud............
   "Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan sebesar zarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula, dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarrah pun, nescaya dia akan melihatnya pula. "
      Jadi perlu kita rasa takut dengan segala amal yang kita perbuat samada kecil atau besar, ikhlas atau tidak.... semuanya tidak terlepas dari pengetahuan dan penilaian Allah SWT!! Sahabat-sahabat generasi Al Quran menangis bila membaca ayat ini kerana ketakutan sebab amal sebesar zarrah pun Allah ambil kira!! Bagaimana kita manusia yang lemah ni tak buat silap dan salah selalu?.....Jadi ketakwaan yang ada dalam diri mereka menyebabkan mereka lebih berhati-hati dalam tindakan ..... takut tersasar!
      Tapi kita bagaimana?.....Kita selalu pandang ringan akan dosa-dosa kecil yang kita buat...sedangkan dosa-dosa ini menjadi racun dalam badan kita dan melemahkan kita!  Dosa-dosa kecil yang dilakukan berterusan akan jadi dosa besar ! Dosa -dosa ini menambahkan titik-titik hitam dalam hati kita dan menjadikan hati kita tidak sensitif dengan ayat-ayat Allah dan hati kita keras dengan peringatan Allah. Ini lah yang menyebabkan kita selalu terhindar dari rahmat Allah!!Orang yang beriman memandang dosa kecil tu  berat apatah lagi dosa besar dan berusaha menghindarinya!
      Orang yang ikhlas tidak hanya membantu kelompoknya atau kawannya sahaja. Tiada sifat assobiyah di sini. Sesiapa yang memerlukan pertolongan hatta orang bukan islam pun di bantu......kerana Rasulullah  itu didatangkan sebagai rahmat untuk seluruh alam. Semua mahluk Allah berhak mendapat bantuan jika kesempitan...bukan di pandang sepi saja kerana bukan urusan kita!!
      Orang yang ikhlas itu tidak memandang pada kedudukan , pangkat, harta, semua manusia ini  sama sahaja disisi Allah kecuali mereka yang bertakwa.....Manusia sering membezakan yang lain kerana darjat, status dan keturunan. Tapi disisi Allah ....yang mulia hanya yang bertakwa! Pakaian takwa ini lah yang mahal nilainya pada Allah......dan takwa inilah yang kita nak didik dalam jiwa kita...
      Keikhlasan dalam beramal akan memberikan rasa nikmat ,bahagia, seronok dan puas pada sesaorang dalam amalannya....dia senang membantu orang, dia senang melakukan amal ibadah, dia senang memberi sedekah......pendekata segala yang di perbuat bukan dengan rasa berat hati.......semua senang, puas dan bahagia selalu! Keikhlasan terpancar di wajahnya dan dalam tindakannya.....semua yang dicurahkan tiada diungkit-ungkit atau  disebut-sebut! Tiada keikhlasan namanya jika sesuatu yang dibuat dalam keadaan marah-marah, merungut-rungut, keluh kesah, tinggi suara, sambil lewa, tiada kesungguhan, malas dan separuh hati!
      Memang sukarlah sebenarnya kita nak sampai ke darjat keikhlasan yang sebenarnya! Tapi kita kenalah berusaha selalu, memohon doa pada Allah  supaya kita tergolong di kalangan orang yang mukhlis (ikhlas hati). Amalan kita hanya baru jadi amal soleh jika kita buat nya ikhlas kerana Allah dan amal yang di buat mengikut syarak......... menderma diniatkan kerana Allah tapi dari hasil judi  atau lain-lain sumber haram bukan dikira amal soleh!!
       Kita nak jadikan setiap hari amalan-amalan yang kita buat,  dari perkara yang sekecil-kecilnya hingga ke perkara yang besar.......kita buat ikhlas kerana Allah. Kena pasang niat yang betul  dan luruskannya sebelum berbuat sesuatu......dan berterusan menjaga keikhlasan sehingga selesai kita perbuat...... Takut-takut Allah tidak terima amalan kita....dan bila kita kembali pada Allah, amal soleh yang kita sangka kita banyak perbuat itu.........ditolak.....dan kita muflis disisiNya!!!Nauzubillah.
      Jadi di bulan puasa yang mulia ini, sama-sama kita bersihkanlah hati kita dengan bertaubat, istigfar selalu, supaya jiwa kita lebih dekat dengan Allah , lebih ikhlas padaNya dalam apa saja yang kita buat...........sehingga kita dapat didik diri kita jadi...........pure in heart, pure in mind, pure in understanding and pure in actions!!
      Ya Allah berilah maaf pada kami, ampunilah kami. rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir!! Ameen, ya Rabbal Alamin. 

Hakikat hidup ini...

Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...