Tuesday, April 26, 2011

Benteng dan keselamatan amal yang dilakukan.....



Bismillahirrahmanirrahim....

Jam di tangan ku menunjukkan hampir pukul 12 malam....mataku agak mengantuk, namun masih banyak lagi kerja yang belum siap....kertas soalan peperiksaan yang perlu ku siapkan secepat mungkin! Untuk menghilangkan mengantukku, aku membelek-belek buku-buku yang baru ku beli dari Pesta Buku di PWTC Ahad lepas...agak banyak juga buku yang dibeli tempoh hari. Juga banyaknya buku yang dijual.....aku teruja melihat semua buku yang dijual terutama buku-buku agama yang berbagai-bagai tajuk! Ahamdulillah ramai juga masyarakat Islam Malaysia yang turut membeli buku-buku agama ini menunjukkan kecintaan kepada meningkatkan ilmu yang semakin bertambah! Cuma aku agak rimas dan kurang senang  kerana kesesakan untuk masuk ke toko buku, agak ramai orang, nak pilih buku tu bersesak sedikit.....terutama bila nak bayar terpaksa beratur panjang! 

Aku teringat akan kata kata seorang ulama Indonesia Aa Gym yang berceramah di TV Oasis di suatu pagi ketika aku sedang sibuk bersiap-siap untuk pergi mengajar ke sekolah yang berhampiran dengan rumahku ................
" Pembentukan masyarakat Muslim bermula dari individu-individu Muslim. Untuk membentuk diri menjadi individu Muslim perlulah berilmu.....banyak mengkaji tentang ilmu Islam, tapi mempunyai ilmu yang banyak sahaja  tidak cukup  jika ilmu tidak diamalkan, ilmu itu jadi manfaat apabila kita melaksanakan tuntutan ilmu iaitu wajib di amalkan. Namun ilmu yang di amalkan tidak bermakna disisi Allah jika tidak ikhlas kerana Allah.  Untuk mendapatkan keikhlasan dihati ini, perlunya kita membersihkan hati kita.....mengambil berat tentang amalan hati kita......jika tidak rosak dan sia-sialah segala amalan kita. Kita perlu membangunkan hati kita dengan mengisinya dengan iman ! " 

Kata-kata Aa Gym ini begitu terkesan dihatiku.....sering terngiang-ngiang di telingaku! Sebenarnya susah nak ikhlas ni! Apabila kita berniat sahaja untuk mengikhlaskan diri , ada sahaja ujian yang datang yang menganggu keikhlasan kita. Sebenarnya topik tentang ikhlas ini  yang sering ku ulang-ulang membacanya, supaya benar-benar memahami apakah maksud keikhlasan yang sebenarnya......dan topik ini juga yang sering dibincangkan dalam usrahku.... 

Dari buku Tanbihul Ghafilin,  kata-kata seorang bijaksana....
 " Orang yang ikhlas itu ialah orang yang menyembunyikan perbuatan kebaikannya sebagaimana ia menyembunyikan kejahatannya". 
Ia tidak ingin manusia tahu amal baiknya.....kerana ditakuti riya' yang akan mencemarinya. Namun kadang-kadang syaitan sering membisikkan dihati untuk menghebahkannya....jadi lebih baik banyak berdiam diri dari berkata yang tidak berfaedah. Menurut seorang ulama sembilan bahagian ibadah itu terletak dalam diam!  Sebenarnya diam kita itu lebih bermanfaat.....banyaknya kita bercakap biasanya banyak silapnya, kadang-kadang pada awalnya cakap perkara biasa sahaja......namun diakhiri dengan bercakap-cakap pasal hal orang...!   Kita mengutip dosa kering sahaja apabila memperkatakan hal orang yang tiada kaitan dengan kita. Astagfirullahalazim.....ampunilah aku Ya Allah kerana terjebak dalam hal ini....bukan niat di hati berbuat demikian, tapi kadang-kadang bila berbincang dengan kawan-kawan....kita terheret sama!

Menurut Saidina Ali....Tanda riya itu ada empat, malas jika bersendirian, tangkas jika dihadapan orang, menambah amalnya jika di puji dan mengurangi amalnya jika dicela.  Dan setiap amal itu sebenarnya perlu ada benteng untuk menjaganya dari rosak. Benteng amal itu pula ada tiga iaitu.....
  • Harus merasai pelaksanaan   amalan yang dibuat itu sebenarnya adalah dengan taufik dan hidayah dari Allah, bukan semata-mata dengan usaha sendiri belaka! Rasahati sebeginilah yang     mematahkan sifat ujub atau sombong diri dengan amal yang dilakukan.
  • Harus mengharapkan keredhaan Allah semata-mata dengan segala amalan yang kita perbuat. Tidak boleh ada sedikit pun mengharapkan keredhaan yang selain Allah SWT. Rasahati sebegini dapat mematahkan hawa nafsu dalam diri kita.
  • Harus mengharap pahala dari Allah untuk menghilangkan rasa tamak, rakus dan riya. Amal yang kita buat tidak mengharapkan apa-apa dari manusia walaupun ucapan terima kasih!  Hatta jika ita dicaci atau dipuji orang.....tidak memberi kesan pada jiwa kita dalam melaksanakan amal yang dibuat.
Apabila ada ketiga-tiga benteng amal ini dalam hati kita, maka amal itu akan jadi ikhlas kerana Allah, semata-mata mengharapkan keredhaanNya sahaja.

Untuk menjamin keselamatan amal itu.....ia perlu kepada ilmu kerana amal tanpa ilmu, banyak salahnya. Ia juga perlu pada niat, sabar dan ikhlas. Setiap amal itu bergantung pada niat sesaorang, tapi niat yang tulus ikhlas itu yang terpenting disamping sabar melakukan amal itu. Kesabaran dituntut supaya amal yang dibuat itu baik , sempurna dan tidak terburu-buru.  Jadi dalam berbuat sesuatu amalan itu, renungkan sejenak perkara ini.....kadang kadang kita terlupa, nak cepat siap sahaja! Ruginya dan penatnya kita, apa yang dibuat sia-sia sahaja tidak diterima Allah....mungkin bos kita atau orang lain puji kita, tapi apalah maknanya pujian manusia! Pujian manusia hanya menyuburkan riak dihati...sepatutnya kita hanya berharap pujian Allah semata!  Kadang-kadang pujian manusia ini tidak ikhlas, mempunyai maksud yang tersembunyi.......maka sentiasa awaslah dengan pujian.  

Mudah-mudahan Allah berikan kita ilmu yang bermanfaat , membantu kita untuk ikhlas padaNya selalu, memberikan jiwa kita jiwa yang khusyuk menyembah Allah dengan penuh rasa rendah diri dan rasa fakirnya kita dihadapanNya.......

Ya Allah bantulah kami untuk taat dan ikhlas padaMu.......Amin Ya Allah perkenankanlah!   


  •   

1 comment:

  1. asm

    Cuba kita semua amalkan amalkan di dalam kehidupan

    abu yazid

    ReplyDelete

Hakikat hidup ini...

Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...