Wednesday, March 28, 2012

Hakikat hidup berkat dan tenang.....



Bismillahirrahmaanirrahim.....

Seringkali kita mendengar ungkapan " Kamu ni makan untuk hidup atau hidup untuk makan?" Jika diamat-amati betul-betul, sebenarnya ungkapan ini akan membuatkan individu rasa terpanggil untuk muhasabah diri tentang apakah matlamat kehidupan dalam alam raya ini.

Adakah matlamat hidup ini semata-mata untuk cari makan sehingga melanggar syarak semata-mata untuk memuaskan nafsu, mengenyangkan perut? Justru itu, kita ini hamba pada siapa....pada Allah atau hamba pada nafsu, syaitan pangkat, harta dan wanita?

Ada orang yang bergaji besar sehingga mencapai puluhan ribu ringgit sebulan tetapi tetap merasakan wangnya tidak cukup untuk menampung kehidupan diri dan keluarga , malah terpaksa meminjam wang dari rakannya yang lain yang gajinya kurang darinya.....? Kenapa berlaku sedemikian?

Mencari harta kekayaan itu merupakan satu keperluan dalam kehidupan, malah Islam menyuruh kita mencari kekayaan selama mana ia menepati kehendak Islam dalam memenuhi keperluan diri, keluarga, masyarakat dan ummah. Orang Muslim yang berharta dapat memanfaatkan hartanya di jalan Allah dan membantu mereka yang memerlukan. Alhamdulillah.

Harta merupakan satu kekuatan dalam Islam yang perlu dicari. Tapi perlu diingat dalam mencari harta kekayaan ini, janganlah terlalai dan terleka sehingga mengabaikan diri dalam mencari keperluan bekal untuk dibawa keakhirat. Sama-sama kita renungi surah Al-Qasas ayat 7 yang bermaksud......

" Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagianmu( keperluan dan bekalan) didunia."

Harta yang kita hendak cari dan kumpul semestinya hendaklah membawa keberkatan dalam hidup kita. Tiada ertinya harta yang banyak yang tidak berkat yang akan menjadi penyesalan dan kesedihan di kemudian hari. Bila ada keberkatan, harta atau rezeki yang sedikit  dirasakan banyak dan mencukupi.... Sebaliknya bila tiada keberkatan, walau harta banyak , sentiasa rasa tidak cukup, sempit dan susah! Yang mana satu realiti diri kita?

Sebagai seorang Muslim yang beriman pada Allah, perlu ada rasa keyakinan dihati bahawa segala harta yang diperolehi melalui jalan yang tidak diredai Allah tidak akan membawa keberkatan dan ketenangan. Malah hati sentiasa rasa susah.......sehingga ada jutawan sanggup bunuh diri sendiri, ada yang sanggup melakukan pekerjaan terkutuk, banyak masalah jiwa?

Keberkatan, ketenangan  dan kebahagiaan ini bukannya boleh kita beli di pasaraya........ia adalah satu anugerah Allah kepada hambaNya yang taat dan patuh pada perintahNya .  Anugerah ini juga hanya akan diberi kepada mereka yang mempunyai harta yang berkat . 

Jadi, dalam kita mencari makan untuk mengumpul harta....telitilah jalan-jalannya, adakah ia menepati syarak, tidak mengambil rasuah, tidak curi tulang semasa bekerja dengan majikan, tidak mengambil hak orang lain,  adakah dia jujur dan ikhlas dalam melakukan kerja kerana Allah bukan untuk membodek supaya naik pangkat cepat? Harta yang terkumpul dengan jalan yang syarak itu pula supaya lebih berkat....perlu ditunaikan hak-hak zakatnya dan sedekah.  

Janganlah mengumpul harta melalui jalan rasuah, jalan riba......kerana ia tergolong dalam dosa-dosa besar yang wajib dihindari. Kekayaan dari harta riba dan rasuah ini tidak berkat, menghakis ketenangan dan kebahagiaan serta membuahkan banyak masalah dan  kesedihan. Harta yang haram ini juga bila di gunakan untuk menyara keluarga...menjadikan keluarganya tidak 'menjadi'.....bermaksud susah terdidik dengan Islam, keras hati, akhlak yang buruk dan sebagainya....Malah daging yang tumbuh dari harta yang haram ini selayaknya dibakar denga api neraka!

Renungi firman Allah tentang perkara ini dalam surah Al-Baqarah :188 yang bermaksud...
"  Dan janganlah kamu makan ( atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian harta orang lain dengan berbuat dosa, pada hal kamu mengetahui."

Dalam satu hadis pula riwayat Ibnu Majah....." Laknat Allah ke atas pemberi dan penerima rasuah"

Laknat Allah pada pemberi dan penerima rasuah ini berlaku di dunia lagi bahkan di akhirat nanti mereka akan ditimpakan azab yang sungguh pedih dalam neraka. Kesenangan yang sementara di dunia mengundang kesusahan yang berpanjangan  di hari akhirat......Adakah ini yang kita mahu?

Semua persoalan di atas hanya iman di jiwa yang dapat menjawabnya. Betapa ramai masyarakat Muslim kita yang tahu tentang haramnya rasuah dan riba...tapi masih melakukannya. Malah mengatakan ruginya kita membeli barang contohnya kereta secara wang tunai yang banyak, lalu digunakan sistem pinjaman bank yang melibatkan riba untuk membeli kereta....jadi wang tadi boleh dilaburkan dalam bank, main saham yang tidak tentu halal haramnya dan dapat banyak keuntungan! Tapi awas untung di dunia tidak semestinya untung di akhirat, malah rugi ada!

Iman, rasa tawaduk dan warak pada Allah sahaja lah yang dapat menjaga diri kita  dari perkara-perkara yang diharamkan. Allahlah yang memberikan kekuatan jiwa untuk menolak yang haram ini....kerana apabila kita menjaga Allah, maka Allah akan menjaga kita. Bisikan dijiwa sentiasa ada rasa  takut untuk melanggar apa yang di haramkan olehNya. Dan hakikat inilah yang telah hilang dan terhakis di jiwa kebanyakan masyarakat Muslim sekarang.......iaitu di mana Allah dihati kita?

Jadi perlunya kita kembali semula secara syumul pada Allah bermula dengan kembalinya jiwa kita untuk benar-benar beriman pada Allah iaitu iman yang mampu menolak kebatilan.....bukan iman yang mandul yang merupakan ucapan kosong dibibir tapi ia tidak mendasari jiwa!  

InsyaAllah sama-samalah kita memohon kekuatan iman  padaNya, semoga Allah membersihkan hati kita, melapangkan jiwa dan memberikan kita ketenangan dan keberkatan dalam hidup ini..... dan hendaknya kita sentiasa istiqamah denganNya walau di mana kita berada . Amin  Ya Rabbal Alamin...

4 comments:

  1. Alhamdulillah.

    Sentiasa mendapatkan pengisian-pengisian rohani di sini. Mudah-mudahan perjalanan seorang hamba mencari ketenangan dan kebahagiaan tidak terjatuh di lembah kemusnahan.

    Terima kasih cikgu. Moga ada maknanya. Amin.

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah....sama-sama kita manfaatkan, insyaAllah

    ReplyDelete
  3. "kerana apabila kita menjaga Allah, maka Allah akan menjaga kita.."

    Syukur Allah memberi hidayah supaya saya sampai ke sini..
    Akan saya sentiasa ingatkan diri saya yg sentiasa lupa dan lalai ini..

    ReplyDelete
  4. Jazakallah..mohon share....tkasih

    ReplyDelete

Hakikat hidup ini...

Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...