Tuesday, April 17, 2012

Bersyukurlah... dengan kurniaanNya!


Bismillahirrahmaanirrahim..

Apakah yang diertikan dengan syukur ini? Bersyukur merupakan satu tindakan yang baik samada melalui perkataan memuji  atau perbuatan menghargai terhadap kebaikan yang diterima oleh sesaorang.  Ia tidak memadai dengan hanya membaca atau mengucap lafaz syukur tapi sebenarnya ia haruslah meliputi lisan , hati dan anggota badan.

Syukur dengan hati bermaksud menyedari dan menyakini bahawa semua nikmat dan kurnia yang diperoleh merupakan anugerah Allah SWT dan berasal dariNya.

Syukur dengan lisan bererti memuji Allah SWT sebanyak-banyaknya dengan ungkapan Alhamdulillah.

Syukur dengan perbuatan bererti taat beribadat padaNya dan menggunakan kurniaan itu untuk kebaikan. Solat sesaorang itu merupakan bukti rasa syukur pada Allah SWT. Begitu juga ibadah-ibadah yang lain semuanya dilakukan sebagai tanda kesyukuran hamba pada Tuhannya.  Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah saw di mana Saidatina Aisyah mendapati Rasulullah melaksanakan solat malam  tanpa henti-hentinya sehingga bengkak kaki baginda.  Lantas Aisyah bertanya tentang kesungguhan baginda menjalani ibadah tersebut. Rasulullah saw menjawab, " Tidakkah (pantas jika) aku menjadi hamba yang bersyukur?'

Kenapa manusia itu susah untuk bersyukur pada Allah SWT pada hal begitu banyaknya kurniaan Allah padanya? Malah banyaknya ucapan dan perbuatan kita ini yang mengandungi pengingkaran dan penafian terhadap nikmat Allah  SWT ini. Kita lihatlah diri kita sendiri.....apabila kita bangun dari tidur setiap pagi adakah kita mengukirkan senyuman dan mengucapkan Alhamdulillah kerana masih diberikan masa dan kesempatan untuk hidup hari ini dan seterusnya melakukan solat  subuh dengan khusyuk sebagai tanda kesyukuran kita? Atau adakah kita bermasam muka, malas nak bangun pagi, masih ingin diulit mimpi dan tidak segera menunaikan tanggungjawab kita padaNya? 

Ini baru satu aspek nak bangun pagi, belum lagi yang lain! Bagaimana agaknya kita meneruskan hari-hari yang berlalu? Sedar- sedar hari berganti hari  menjadi minggu,bulan dan tahun. Cepatnya masa berlalu! Sejauh mana kita sudah menzahirkan kesyukuran kita?

Sekiranya kita tidak dapat mensyukuri nikmat yang ada dalam genggaman kita, bagaimana kita dapat memperoleh sesuatu yang belum pasti?

Kadangkala ada di antara kita yang mudah lupa denga kesempatan yang telah Allah berikan kepada kita.  Kita sudah ada kerja tapi masih merungut, sudah diberikan makan, juga merungut, sudah ada pendapatan yang baik pun merungut....ada kereta, rumah, harta benda....masih ada yang tidak kena, masih kurang itu dan ini!  Memang manusia ini kebanyakannya tidak bersyukur!

Rasulullah menasihati kita untuk melahirkan kesyukuran dalam diri, lihatlah orang yang berada dibawah kita atau orang yang kurang  dari kita. Kita bersyukur kita masih boleh berjalan dengan tegap bila melihat ada orang yang tidak boleh berjalan kerana lumpuh atau kudung kaki. Kita bersuykur kerana masih boleh melihat, berbicara, mendengar dan sebagainya.....kerana ada orang yang telah buta, tuli dan bisu sejak lahir atau kerana penyakit. Semua nikmat-nikmat ini tidak ternilai harganya, kita akan hanya merasai betapa berharganya nikmat ini apabila kita telah kehilangannya!
Maka selalulah kita bersyukur.....alhamdulillah, alhamdulillah sebanyak-banyaknya!

Tapi dalam urusan amal kebajikan lihatlah orang yang diatas yang melebihi  kita...kerana kemuliaan sesaorang itu tidak diukur dari dunia yang dimiliki tetapi dari amal kebaikan yang dilakukan.

 Sama-sama kita renungi firman Allah ini dalam surah Al-Baqarah ayat 243 yang bermaksud.....
"  Sesungguhnya Allah mempunyai kurnia terhadap manusia tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur".

 Juga dalam surah Ibrahim ayat 7...
" Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur nescaya Aku tambahkan nikmatKu kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur maka sesungguhnya azabKu amatlah keras."

Jadi apabila kita bersyukur, Allah akan tambahkan nikmat dan kurniaanNya kepada kita. Hati yang bersyukur bukan sahaja kebajikan yang besar tapi sebenarnya ia induk bagi segala kebajikan. Nikmat yang disyukuri akan tetap bertahan tapi jika diingkari ia akan lari. Kebanyakan kita tidak mensyukuri apa yang sudah kita miliki tapi sering menyesali apa yang belum kita capai!  

Sebenarnya hati yang mudah dan selalu bersyukur ini adalah kurniaan Allah kepada hamba-hambaNya yang ikhlas hatinya. Sabda Rasulullah saw dalam satu hadith....
"Empat perkara siapa yang diberikannya bererti telah diberi keuntungan dunia dan akhirat iaitu lidah yang sentiasa berzikir, hati yang selalu bersyukur, badan yang selalu sabar dan isteri mukminah yang solehah."

Janganlah hendaknya kita hanya mula bersyukur bila kita  ditimpa sakit. Mulakan bersyukur sebelum kita sakit lagi dan selalulah menjenguk orang yang sakit agar hati kita dapat bersyukur dengan kesihatan yang Allah berikan. Bila kita sakit, walaupun kita berada di hospital mewah sekalipun, hati tetap tak rasa bahagia malah kita tenggelam dalam kesakitan yang dideritai. 

Hakikatnya manusia ini sering terpesona dengan nikmat yang diberi tapi selalu lupa dengan pemberi nikmat iaitu Allah SWT. Pelbagai nikmat menyebabkan manusia lupa diri, bermegah-megah dengannya....mereka lupa nikmat Allah itu cuma sementara sahaja dan ia adalah cubaan yang akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah nanti.  

Jadi, mulailah kita bersyukur dengan ikhlas dengan segala nikmat Allah yang tidak terhingga banyaknya dengan memanfaatkan segala nikmat itu untuk melakukan amal kebajikan, mentaatiNya dan berusaha selalu untuk menambahkankan amal kebaikan itu. Tinggalkan kufur nikmat dalam diri sebagaimana halnya  Qarun yang mengatakan dia diberi harta kerana ilmu yang ada padanya bukan atas sebab kurniaan Allah. Oleh kerana kufur nikmat ini,  Allah telah menenggelamkan Qarun dengan hartanya yang banyak sekali!  Begitu keras siksaan Allah pada orang yang tidak bersyukur padaNya!

Justru itu, marilah kita sama-sama bersyukur pada Allah SWT dengan sebenarnya-benarnya......syukur mata dengan melihat perkara yang dibenarkan sahaja, syukur telinga dengan mendengar apa-apa yang baik-baik seperti ayat-ayat Allah, zikrullah dan majlis ilmu. Begitu juga dengan syukur anggota badan yang lain, syukur harta benda dan sebagainya.....

Sama-sama kita memohon diberikan Allah lisan yang mudah berzikir, ilmu yang bermanfaat, hati yang khusyuk dan selalu bersyukur.........insyaAllah. 

Bagi diriku..........Syukur, Alhamdulillah kerana dapat sama-sama dapat berkongsi peringatan ini untuk sama-sama kita manfatkan, insyaAllah.  




No comments:

Post a Comment

Hakikat hidup ini...

Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...