Sunday, October 27, 2013

Konsep perubahan menurut Islam


Bismillahirrahmaanirrahim...

Salah satu daripada sifat -sifat Islam ialah ia bersifat merubah. Bila kita mengaku Muslim kita perlu mengubah diri kita menjadi Muslim seperti yang dikehendaki oleh Allah. Dan perubahan tersebut bersifat kulli atau menyeluruh bukan hanya perubahan separuh atau sebahagian sahaja (juz'iyy). Kita perlu sebenarnya mengubah diri kita secara keseluruhannya Islam...Islam di hati dan dalam tindakan, samada seorang diri, berkeluarga atau masyarakat sehingga semua sekali Islam. Ini sesuai dengan ajakan Allah kepada kita dalam surah Al-Baqarah ayat 208 yang bermaksud...

" Hai orang-orang yang beriman masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan dan janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaitan.  Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu."

Islam sebenarnya tidak reda berkompromi dengan jahiliyyah dimana campur aduk antara Islam dan jahliyyah adalah tertolak sama sekali.  Manhaj  atau cara Rasulullah menghadapi jahilyyah adalah dengan melakukan perubahan....terutamanya perubahan dari segi perhambaan atau ubudiyyah perlu hanya senya kepada Allah SWT semata-mata.

Pernah Rasulullah saw di datangi orang kafir Quraish supaya baginda berkompromi dengan mereka dari segi ubudiyyah ini.....iaitu mereka menyuruh baginda menyembah tuhan mereka selama sebulan dan sebagai balasan orang kafir Quraish ini akan menyembah Allah pula selama sebulan! Tapi Allah dengan tegas menurunkan firmanNya dalam Surah Al- Kafirun ayat 1-6 yang menolak campuraduk dalam ubudiyyah ini....

"Katakanlah : Hai orang-orang kafir. Aku tidak menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu pula bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah. Untukmu agamamu dan untukku agamaku."

Penolakan ini adalah tegas dan total tiada kompromi sama sekali!

Satu pengajaran dalam hidup kita supaya inilah sepatutnya kita laksanakan dalam kehidupan kita....penyembahan yang total kepada Allah tanpa ada sedikitpun campuraduk dengan jahliyyah. Semua adat-adat yang baik dalam masyarakat yang tidak bercanggah dengan ubudiyyah kepada Allah bolehlah dikekalkan sebaliknya jika adat tersebut bercanggah perlulah dihapuskan. Adat-adat yang di anjurkan dalam Islam yang belum wujud dalam masyarakat hendaklah di hidupkan.  Dengan kata lain amalan sunnah Rasulullah dijadikan sebagai satu cara hidup kita.!!  

Sebenarnya adalah menjadi satu kewajipan yang penting bagi seorang Muslim atau kaum Muslimin bersiap siaga dengan pelbagai kekuatan diri untuk melakukan perubahan dan menghadapi pelbagai cabaran zaman.

Kenapakah perlunya pada perubahan ini?

Ada banyak sebab diantaranya....
  • tuntutan syarak
  • melepaskan umat islam daripada kehinaan dan kecelakaan akibat tamadun Barat
  • Tamadun Barat dan Timur telah bangkrap
  • hancur leburnya teras-teras Islam seperti aqidah dan amalan asas  Islam seperti solat
  • untuk mencapai kesempurnaan ibadah dan ubudiyyah pada Allah dalam praktik hidup secara keseluruhan
Perubahan yang perlu dilakukan mestilah menepati ciri-ciri yang dikehendaki dalam Islam iaitu...
  • berasaskan aqidah tauhid kepada Allah
perubahan ini perlu betul matlamatnya kerana Allah dan wasilahnya adalah wasilah yang syarak menepati roh Islam
  • perubahan yang menyeluruh
perubahan yang meliputi semua aspek kehidupan manusia yang bukan berasaskan metode rekaan manusia tapi hanya merujuk pada matlamat dan jalan Allah sahaja. Persiapan yang menyeluruh perlu untuk melakukan perubahan yang menyeluruh.
  • perubahan bersifat rahmah dan kasih sayang
perubahan  tidak terbina atas paksaan, kezaliman dan penindasan bahkan ia terbina diatas kemuliaan, rahmah dan kasihsayang.

Tujuan dari perubahan Islam yang menyeluruh ini sebenarnya untuk mencapai kesempurnaan amal itu.  Amal.  yang sempurna bukan dinilali dari segi hasil kerjanya sahaja bagus tapi proses melakukan amal itu perlu juga di perhatikan. Setiap amal itu mesti di mulai dengan niatnya yang benar kerana Allah dan penyempurnaan amal tersebut seperti yang dikehendaki oleh Allah tanpa ada sedikitpun campur aduk dengan nilai yang tidak syarak.

Yang kita kehendaki adalah penilaian Allah dalam kesempurnaan amal yang di lakukan.  Jadi sebenarnya setiap kerja yang kita perbuat sama ada kecil mahupun besar....perlu di teliti proses pelaksanaannya dari awal lagi, kita bukan hanya mementingkan natijah sahaja!!

Apapun disini titik tolak kepada setiap perubahan...dimulai dengan perubahan jiwa yang melahirkan perubahan rasahati, perubahan tindakan dan amalan...perlulah di atas titik tolak yang betul yang lahir dari kefahaman dan kesedaran yang benar, barulah perubahan yang dilakukan itu berkekalan dan istiqamah. Yang nak mantain perubahan ini adalah keimanan dan taqwa yang di proses yang tahan melalui ujian dan dugaan yang mendatang. 

No comments:

Post a Comment

Hakikat hidup ini...

Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...