Thursday, January 13, 2011

Penting dan wajibnya kita mengajak kepada yang maaruf dan mencegah mungkar!


iman
Bismillaahirrahmaanirrahiim....

Mengajak orang ramai kepada yang maaruf dan mencegah kepada yang mungkar merupakan satu kewajiban sekarang bagi setiap yang mengaku Muslim. Ini sebenarnya merupakan satu tugas dan tanggungjawab kenabian yang di tuntut untuk kita melaksanakannya supaya masyarakat memahami Islam yang sebenarnya dan membawa mereka kearah kesejahteraan hidup yang abadi. Satu tugas yang perlu dipikul bersama dan bukan diletakkan di atas bahu golongan tertentu sahaja! Sedangkan kita hanya mampu berdiam diri dan berpeluk tubuh, menjadi pemerhati sahaja terhadap apa yang berlaku di depan mata kita, seolah-olah itu bukan tanggung jawab kita! Satu kefahaman yang perlu diperbetulkan. Setiap diri Muslim akan di pertanggungjawabkan.....!!  Ingatlah pesan Rasul yang mengatakan sampaikan darinya walaupun satu ayat!

Sama-samalah kita renungi pesan Luqman Al-Hakim kepada anaknya di dalam surah Luqman:17 tentang tanggungjawab ini...............
   " Hai anakku, dirikan solat, suruhlah yang maaruf dan cegahlah mungkar dan sabarlah terhadap apa yang menimpamu. Sesungguhnya hal yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah)."

Luqman Hakim adalah seorang yang soleh lagi bertakwa pada Allah, beliau bukanlah seorang Nabi atau Rasul....... namun Al-Quran memetik pesanannya kepada anaknya untuk kita ikuti dan contohi..... 
Begitu juga firman Allah lagi yang menerangkan tentang ciri-ciri umat Islam dalam surah Ali-Imran :27 yang bermaksud.....
     " Kamu adalah sebaik-baik umat yang ditampilkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada yang maaruf dan mencegah kepada yang mungkar dan kamu beriman kepada Allah."

Keimanan yang ada di jiwa bukanlah iman yang statik yang hanya tinggal di jiwa tapi ia mendesak pemiliknya melakukan dakwah mengajak kepada kebaikan dan melarang kebaikan. Belum mantaplah    lagi iman kita jika kita tidak mampu mangucapkan perkara kebaikan dan melarang kemungkaran walau sepatah perkataan pun! Selemah-lemah iman adalah bila kita benci pada kemungkaran dan menolaknya di hati jika kita tidak mampu mengubahnya dengan lisan dan tangan (kekuasaan) kita! Tiada iman selepas itu apabila kita berkompromi dengan kemungkaran dan tidak menolaknya dengan hati kita. Hati yang ada iman di dalamnya akan merasa benci, jijik dan pedih jiwanya melihat manusia berbuat mungkar. 

Inilah yang disabdakan oleh Rasulullah saw dalam hadithnya Riwayat Muslim....
   "Barangsiapa di antara kamu melihat satu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah ia mengubah dengan lidahnya. Sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah dia mengubah dengan hatinya. Yang sedemikian itu adalah selemah-lemah iman."

Justru itu, mengajak kepada maaruf dan mencegah kemungkaran ini,  tidak boleh kita pandang sepi dan ringan, kerana kelak kecelakaan akan menimpa pada seluruh umat manusia jika kemungkaran ini dibiarkan terus merebak. Apabila kemungkaran dibiarkan bermaharajalela tanpa sebarang usaha untuk membendungnya, tunggulah bala Allah yang akan menimpa seluruh umat!

Realitinya hari ini di negara kita......berleluasanya seks bebas  dikalangan remaja, orang dewasa dan orang tua, jenayah rogol, sumbang mahram.........yang mengakibatkan pembuangan bayi tidak berdosa, rasuah, rompak , mencuri, minum arak, berjudi........dan banyak lagi! Aduhai, teruknya masyarakat Islam  sekarang kini sudah ketandusan iman yang mampu mencegah diri dari kemungkaran! Betapa kita  akan dipersoalkan oleh Allah nanti akan peranan kita untuk mencegahnya!

Sebenarnya banyaknya kerja yang perlu kita lakukan; tugas kita sebenarnya lebih banyak dari masa yang ada jika kita menyedarinya! Kita sebagai seorang Muslim akan mendapat dosa jika membiarkan kemungkaran berlaku didepan mata tanpa sebarang tindakan dan percubaan untuk mencegahnya.  Kecualilah jika kita tidak mampu atau dibimbangi akan membawa kemudharatan kepada diri kita bila kita cuba mencegah kemungkaran itu!

Inilah tugas umat Islam yang terdiri dari individu-individu Muslim yang wajib memainkan peranan masing-masing untuk menyebar luaskan Islam kedalam masyarakat manusia hari ini sama ada kepada masyarakat Muslim atau bukan Muslim. Usaha-usaha dakwah ini perlu dijalankan dengan apa cara sekalipun, kita fikirkanlah sendiri bagaimanakah caranya kita boleh menyampaikan mesej Islam ini. Gunakanlah kreativiti kita, sumbangkan masa , tenaga dan wang ringgit kita untuk menolong agama Allah. Barangsiapa yang menolong agama Allah, nescaya Allah akan menolongnya di dunia dan akhirat. Dan sebenarnya pertolongan dari Allahlah yang sangat-sangat kita perlukan didunia ini lebih lebih lagi diakhirat. 

 Jadi tingkatkanlah kesedaran dan kefahaman Islam kita untuk kita menyambut seruan illahi ini. Sebenarnya tiada seruan sepenting seruan illahi! Islam yang diturunkan oleh Allah ini adalah rahmat bagi seluruh alam, jadi sebar luaskan Islam kepada seluruh umat manusia, apa yang Allah nilai bukanlah natijahnya, tapi apakah usaha kita, sumbangan kita memadamkan kebakaran yang menimpa umat ini. Hidayah dan natijah itu  di tangan Allah.......kita hanya disuruh menyeru manusia dan berdakwah kepada mereka! 

Wednesday, January 12, 2011

Didik anak elak kehancuran umat

myMetro | Minda: Didik anak elak kehancuran umat
 Satu artikel yang bagus untuk perkongsian bersama........

Tiada siapa yang dapat menafikan bahawa anak adalah rezeki dan kurniaan Allah yang tidak ternilai. Kehadiran zuriat membawa kebahagiaan yang sukar ditafsirkan. Bagaimanapun, dalam kegembiraan menyambut kelahiran zuriat ini, ibu bapa perlu menyedari zuriat mereka ini dianugerahkan seiring dengan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah.


Dalam al-Quran, Allah memperingatkan bahawa anak menjadi ujian bagi manusia selain pangkat dan harta. "Sesungguhnya harta kamu dan anak-anak kamu adalah fitnah (ujian/cubaan bagi kamu). Dan sesungguhnya Allah di sisi-Nya ada ganjaran yang besar.” (Al-Anfal: 28)

Anak-anak menjadi ujian kepada ibu bapa kerana tanggungjawab ibu bapa bukan semata-mata memberi makan dan membesarkan bahkan dididik untuk mengenal Allah. Ibu bapa diberikan amanah untuk mendidik anak-anak mereka supaya terbentuknya generasi muda yang soleh dan solehah yang mampu bertahan menghadapi gelombang syahwat di tengah masyarakat moden dan global kini.

Tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak menjadi satu keutamaan sehingga ibu bapa akan ditanya di akhirat kelak mengenai apa yang mereka lakukan terhadap anak-anak iaitu amanah yang diberikan kepada mereka. Kepada pasangan suami isteri, kelahiran anak bermakna terbentuklah suatu keluarga. Melalui keluarga, ibu bapa menjadi tunggak untuk memelihara, memandu dan mengarah mereka ke arah kesejahteraan.

Keperluan memelihara dan mewujudkan ketenteraman serta kesejahteraan dalam keluarga adalah signifikan kerana dalam sebuah masyarakat, keluarga merupakan benteng pertahanan paling awal. Bermula daripada keluarga terbentuk generasi demi generasi yang akan membentuk dan mewarisi masa depan suatu bangsa. Sama ada baik atau buruk, kukuh atau rapuh, mulia atau hina sesuatu masyarakat itu ditentukan oleh unit-unit keluarga yang membentuknya. Tidak berlebihan kalau dikatakan bahawa keluarga adalah gambaran awal dalam menilai kualiti sesuatu bangsa.

Ketika meningkat dewasa, bimbingan, panduan dan sokongan keluarga menjadi sangat penting kepada remaja kerana dalam masa pertumbuhan ini, remaja mengalami perubahan besar yang sangat pantas dari sisi fizikal, pemikiran dan akal. Dalam waktu ini, remaja mula mengambil risiko dan menguji had dan batasan. 


Pada peringkat ini mereka mula bergerak dari dunia yang berpusatkan kepada keluarga kepada sebuah komuniti.Perubahan yang dialami remaja ini dan dalam mereka mula mencari identiti sendiri inilah terletaknya peranan ibu bapa. Ibu bapa perlu mengawasi dan mengendalikan diri remaja agar keghairahan jiwa muda mereka tetap berjalan mengikut syariat.

Ibu bapa perlu mengikut perintah Allah dan menjalankan amanah seperti yang dituntut oleh Allah.    “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat yang kasar keras, yang tidak menderhakai (perintah) Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (At-Tahrim: 6) 


Hakikatnya, ibu bapalah yang menentukan keimanan anak-anak kerana pada asalnya setiap anak berada dalam fitrah Islam dan iman sehinggalah mereka didatangi oleh pengaruh luar termasuk bimbingan dan didikan ibu bapa mereka. Tiada seorang pun yang dilahirkan kecuali dilahirkan pada fitrah (Islamnya). Kedua-dua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi (Bukhari dan Muslim).

Umum mengetahui masyarakat hari ini lebih cenderung dengan tingkah laku yang bersifat materialistik. Ibu bapa hari ini mencari harta dan mengejar kekayaan sehingga mengabaikan pengawasan terhadap anak-anak.

Dalam satu kajian oleh sarjana Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) mengenai Masalah Sosial dan Hubungannya dengan Institusi Keluarga di Penempatan Felda: Perspektif Tempatan, (2010), kalangan remaja menuding jari kepada ibu bapa dan berpendapat ibu bapalah yang menjadi punca utama penurunan nilai moral mereka. Ibu bapa dikatakan terlalu mementingkan material sehingga anak-anak tidak diberikan atau mendapat pendidikan agama yang minimum.

Kajian juga mendapati ibu bapa di Felda tidak terlalu mengambil berat mengenai salah laku anak-anak mereka.Kenyataan itu tidak boleh dipandang ringan oleh setiap ibu bapa di negara ini. Sudah sampai masanya ibu bapa memikirkan sama ada orientasi kehidupan yang diamalkan mereka selama ini terjalin pada landasan betul atau hanya menjurus kepada kekeliruan sehingga menyebabkan kepincangan sosial apabila anak-anak meningkat remaja. Kita kadang kala keliru melihat cara dan konsep yang diamalkan oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak.

Contoh paling ketara ialah apabila ibu bapa tidak lagi mengajak anak-anak beriadah di taman permainan atau di tepi pantai tetapi lebih terdorong untuk mengajak anak-anak beriadah di kompleks membeli-belah. Amalan ini secara tidak langsung menggambarkan ibu bapa mengajar anak-anak mereka waktu senggang dan kebahagiaan bersama keluarga perlu dipenuhi dan dilingkungi oleh wang ringgit serta kebendaan. 


Ibu bapa membenarkan anak-anak merokok, bergaul bebas dan berseronok di kelab semata-mata untuk menunjukkan betapa mereka memahami diri anak mereka dan begitu ‘sporting’ terhadap mereka. Natijahnya, ibu bapa perlu menyedari bahawa tujuan Allah menciptakan manusia ialah hanya untuk beribadah kepada-Nya.

Dalam hal ini, ibu bapa perlu disedarkan masa depan anak-anak bukan hanya berorientasikan kejayaan dunia semata-mata bahkan juga kejayaan akhirat. Perlu disedari peranan dan tanggungjawab ibu bapa sangat mustahak dalam mencorakkan peribadi anak-anak dan membendung sebarang permasalahan sosial di kalangan mereka ketika remaja. 


Ibu bapa perlu menginsafi bahawa keruntuhan akhlak di kalangan remaja bukan remeh tetapi sebenarnya membawa akibat sangat besar terhadap bangsa. Kekeliruan dan salah didikan ibu bapa terhadap anak-anak ini bukan hanya menyebabkan mereka terjebak dalam kancah maksiat, tetapi hakikatnya boleh membawa kepada kehancuran bangsa. Hancurnya sesuatu bangsa kerana dosa dan kejelekan ini telah dibuktikan oleh Allah melalui kisah Nabi Luth.

Dalam kisah ini, Allah memperlihatkan bahawa kesudahan bagi orang-orang yang melakukan maksiat hanyalah kebinasaan dan kehinaan yang abadi. 
   “Dan kami turunkan kepada mereka hujan (batu) maka lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berdosa itu.” (Al-Araf 84).
Sebagai ibu bapa yang mementingkan kebahagiaan dan kejayaan anak-anak, tidak mungkin kita sanggup mencampakkan anak-anak kita ke lembah kehinaan dan kebinasaan.

Penulis ialah pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Melaka.

Islam bukan warisan!

Bismillahirrahmanirrahim....

Ramai di antara umat islam sekarang berpuas hati mengakui menganut Islam. Malah ada yang marah  jika  dipersenda-sendakan dari segi agamanya. Namun adakah cukup setakat pengakuan dan nama sebagai seorang Muslim, ibubapa Muslim keturunan Muslim? Ada juga yang Muslim tapi perangai dan tingkahlaku lebih teruk dari non-Muslim. Nama Islam pun dah ditukar dari nama Khadijah menjadi Kathy, Salim dieja Saleem, Mariam jadi Mary dan sebagainya.........

Macam-macam ragam dan gaya umat Islam sekarang! Lebih menyedihkan identiti Islam pada diri sudah mula terhakis dan meniru-niru gaya ala Barat dalam kehidupannya....merokok, minum arak, pergaulan bebas, clubbing dan macam-macam lagi, tak kira lelaki perempuan sekarang ini sama sahaja.......Apa dah jadi dengan umat Islam sekarang ni? Lebih-lebih lagi remaja yang sedang meningkat naik.....mereka tiada hala tuju dalam hidup! Ibubapa ni sudah ke menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam mendidik anak-anak mereka atau mereka terbiar terus dalam arus kehidupan dunia yang mencabar, banyak pengaruh negatif ini? Waspadalah, kita akan dipersoalkan tentang ini!

Islam ini bukanlah warisan yang diturunkan dari ibubapa kepada anak seperti kita wariskan harta pusaka pada mereka. Al-Quran juga bukanlah semata-mata warisan dari Rasulullah saw. Bukan sekadar cukup memberikan nama Islam pada anak, menghantarnya ke sekolah belajar ilmu akademik dan agama......dan mereka dapat keputusan baik dalam pelajaran ,jadi dengan itu  ibu bapa berpuashati dengan prestasi anak!  Apa yang kita lihat adalah luaran sahaja......pendidikan roh anak-anak ada ke kita laksanakan? Sejauhmana kita telah mendidik  anak untuk memahami tentang deen Islam ini atau kita hanya bergantung pada guru agama disekolah saja untuk memberikan kefahaman Islam pada anak kita? Apa yang kita usahakan itulah yang kita dapat, insyaAllah! Jadi, janganlah salahkan orang lain bila anak kita bermasalah bila mereka sudah meningkat remaja, sebenarnya kita ada saham dalam pembentukan diri dan akhlak anak-anak!

Walaupun kita menghantar anak-anak kita ke sekolah agama pun sebenarnya, itu tidak menjamin anak-anak ini akan terikat dengan Islam. Apa yang mereka dapati hanyalah ilmu-ilmu Islam yang mengisi ruang-ruang pemikiran, belum tentu rohani mereka terikat dengan Islam! Islam sebenarnya bukanlah setakat mengisi pemikiran sahaja, tapi apa yang difahami perlu dipraktikan dan teruji dalam medan yang sebenarnya! Kefahaman yang sebenarnya hanya didapati setelah melalui proses tarbiah yang mana disinilah akan membuktikan apa yang benar-benar di fahami di jiwa!

Banyak berita yang kita dengar sejak kebelakangan ini kes buli membuli di sekolah agama berasrama penuh sehingga ada yang menyebabkan kematian. Pelajar yang mempelajari agama Islam sanggup melakukan perbuatan sedemikian. Apa yang dipelajari tidak meresap dijiwa, tarbiah diri tidak berjalan dan syahsiah Islam tidak terbentuk.  Mana mungkin bilangan ustaz dan ustazah yang sedikit mampu mentarbiah anak-anak yang ramai di sekolah ini......Yang ada kesedaran sendiri, hajat pada Islam, boleh berdikari,  mungkin mampu mengikuti tarbiah.....bagaimana anak-anak yang ada masalah yang perlu lebih perhatian........?  

Sikap ibubapa yang mempunyai anak bermasalah terus menghantar anak ini ke sekolah asrama untuk membendung akhlak mereka, namun, di sana mereka akan lebih terbiar jika ibubapa lepas tangan! Walau apapun, tarbiah anak itu ditangan kita, dan anak-anak adalah tanggungjawab kita, jadi sekalipun menghantar  mereka ke mana pun, kita masih perlu terus menjalankan tanggungjawab kita! 

Kita mendidik diri kita dengan Islam supaya jadi contoh pada anak-anak dalam melaksanakan Islam. Mana mungkin anak kita menghormati kita jika kita sendiri terbabas! Masakan ketam boleh menyuruh anaknya berjalan lurus! Jadi kita perlulah mempamerkan contoh yang baik bagi anak-anak kita dalam semua aspek. Apa yang anak nampak kita buat, itulah yang akan mereka ikut. Sebenarnya anak kita adalah bayangan diri ibubapa itu sendiri. 

Bukanlah sukar sekarang ini nak pastikan anak-anak dapat straight A's dalam UPSR, PMR, SPM......Banyak kelas tuisyen sana sini boleh kita hantar anak kita.., kelas tambahan, online internet untuk interaktif tuisyen seperti score A dll lagi..... Tapi sukarnya nak pastikan anak kita ni terikat dan comitted dengan Islam lebih-lebih lagi dalam dunia tanpa sempadan yang mencabar ini di mana pengaruhnya sudah masuk sehingga ke bilik tidur dan ruang tamu kita! 

Baru-baru ini kita dkejutkan dengan berita dua orang gadis sunti bawah umur yang dijumpai oleh ibunya sendiri di dalam bilik tidur di rumah sendiri , tidur berpelukan dengan kekasih mereka! Tergamam tidak terkata! Begitulah ibubapa sendiri tidak mengenali anak sendiri dan tidak mampu mengawal mereka sehingga sanggup berbuat maksiat dibawah bumbung rumah ibubapa mereka. Ibubapa yang masih mempunyai anak remaja perlulah mengawal pergaulan anak-anak lengkapkan mereka dengan kefahaman deen Islam di mana mereka boleh menilai syarak dan takut berbuat dosa!
Longgarnya pendidikan Islam dari awal lagi semenjak mereka masih anak-anak lagi, mengundang  masalah  apabila mereka remaja nanti.!

Masalah diatas mungkin berlaku pada orang lain, tapi jika kita lalai dan leka, tidak mustahil suatu hari nanti mungkin ia boleh menular pada diri kita, rumah kita, anak-anak kita! Nauzubillahiminzaalik.....terkedu kita dibuatnya.  Ya Allah jauhkanlah kami dari musibah ini!  

Masyarakat sudah semakin tenat, tenat kerana mengenepikan Islam sebagai satu cara hidup yang menyelamatkan kita dari kehancuran .......Jadi ubat kepada masalah demi masalah  masyarakat sekarang yang kita nampak semakin teruk ini......hanya satu......ambillah deen Islam sebagai satu cara hidup yang menyeluruh. Jadilah kita Muslim yang comitted dalam semua aspek...... Itulah satu-satunya penyelesaian untuk umat manusia yang dilanda krisis nilai yang teruk!

Tuesday, January 11, 2011

Tanda-tanda lemahnya iman dan hubungannya dengan Allah.

Bismillahirrahmanirrrahim...

Tabiat iman dan hubungan dengan Allah SWT kadang-kadang kuat dan kadang-kadang lemah. Sebagai Muslim perlunya kita memahami tanda lemahnya iman dan hubungan dengan Allah SWT ini . Dengan ini kita dapat menyemak diri kita dan beramal dengan sesuatu yang berlawanan dengan tanda kelemahan iman ini agar iman di jiwa dapat terus terpelihara, InsyaAllah. Di antara tanda-tandanya adalah.....
  • Melakukan kederhakaan dan amalan dosa
Didalam melakukan amalan kederhakaan ini, ada yang membuatnya secara terus menerus dan ada yang melakukan berbagai-bagai amalan kederhakaan. Jika terus menerus melakukan dosa, ia akan jadi kebiasaan yang sukar ditinggalkan, hati jadi keras dan seterusnya merasai kesan buruk dari dosa ini. Akhirnya dia akan sanggup buat dosa secara terang-terangan sehingga dia termasuk di dalam golongan orang yang tidak mendapat perlindungan dari Allah SWT.
  • Merasakan adanya kekerasan dan kekakuan di hati
Perasaan hati yang keras dan kaku ini ini umpama batu yang keras yang hampir mustahil boleh diusik dan dipengaruhi oleh sesuatu apa pun. In berlaku kerana ia lupa (untuk berzikir) pada Allah SWT. Hati yang keras ini tidak mampu dipengaruhi nasihat ataupun kematian. Bila melihat orang yang mati terbujur kaku, mengiringi jenazah ke kuburan dan mengangkatnya masuk ke liang kubur, senario ini sedikit pun tidak menyentuh hati dan menginsafkan dirinya. Seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku, biasa saja..... Firman Allah dalam surah Al-Baqarah:74 yang bermaksud....
    " Kemudian setelah itu, hatimu menjadi keras seperti batu bahkan lebih keras lagi..."
Mohonlah perlindungan dari Allah dari hati yang kaku keras ini.....
  • Tidak tekun dan hilang khusyuk dalam beribadah
Semasa solat, membaca Al-Quran, berzikir, berdoa selalu hilang tumpuan diri. Ia tidak menyemak dan memikirkan makna-makna doa dan ayat-ayat Al- Quran yang baca. Membacanya dan melakukannya sebagai rutin harian yang membosankan. Tidak ada rasa nikmat melaksanakan ibadah. Padahal Allah tidakk menerima doa dan ibadah yang dibuat ala kadar dan tidak bersungguh.  Renungilah hadith dari riwayat Tarmizi ini yang bermaksud.....  
   " Tidak akan diterima doa dari hati yang lalai  dan main-main."
  • Malas melakukan amal taat dan meremehkan ibadah.
 Orang yang lemah imannya, melakukan ibadah ini sekadar aktiviti fizikal yang hatinya kosong tanpa roh ibadah itu sendiri. Inilah sifat orang munafik dalam firman Allah dalam surah An-Nisa: 142 yang bermaksud.....
  " Dan apabila mereka berdiri untuk solah, mereka berdiri dengan malas."
Orang yang lemah imannya  selalu meremehkan dan tidak memperhatikan ibadahnya. Termasuk dalam meremehkan ibadah ini bila tidak peduli tanda-tanda kebaikan dan masa yang tepat dalam melakukan ibadah. Contohnya  sengaja melewatkan dan selalu qada solat, menunda-nunda pelaksanaan haji sedangkan sudah ada kemampuan, mundur dari medan peperangan, hanya duduk di rumah dan suka menangguh-nangguhkan untuk ikut solat berjamaah.....  Orang sebegini perasaannya tidak tersentuh bila ia tertidur sehingga meninggalkan solat. Begitu juga dalam melakukan solat sunat rawatib dan zikir wirid.  Dia malas dan tidak berusaha memperbaiki dirinya untuk meningkatkan amal ibadahnya. 
Gambaran ini bertentangan dengan orang-orang yang Allah gambarkan dalam firmanNya surah Al-Anbiya: 90 yang bermaksud....
   " Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam(mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyuk kepada Kami."
  •   Dadanya sesak dan terbelenggu
Orang yang lemah imannya akan merasakan seolah-olah wujud beban yang berat menghimpit dirinya. Ia cepat resah dan gelisah kerana suatu masalah yang remeh dan hatinya jauh dari rasa lapang. Ini berlaku kerana ia menuruti hawa nafsunya dan tidak menguatkan keazamannya untuk bersabar. Renungilah Hadith Rasul yang mensifati iman sebagai berikut.....
  " Iman itu adalah kesabaran dan kelapangan hati."
  • Hatinya tidak tersentuh dengan ayat-ayat Al-Quran
Hati yang lemah iman tidak akan tersentuh dengan janji, ancaman, perintah, kisah kiamat dan lain-lain lagi di dalam Al-Quran. Ia akan jadi bosan dan malas untuk mendengar dan membaca ayat-ayat Al-Quran. Ia tidak berusaha supaya dirinya berhubung secara terus dengan Al-Quran. Sekiranya ia membuka dan membaca Al-Quran pun, isi kandungannya tidak diberi perhatian.
  • Lalai dari mengingati Allah dalam berzikir dan berdoa.
Berzikir satu pekerjaan yang berat dan susah baginya. Jika ia mengangkat tangan untuk berdoa , secepat itu juga dia menelangkupkan tangan dan menamatkan doanya. Allah SWT menyifatkan sebagai orang munafik dalam surah An-Nisa: 142 yang bermaksud....
 " Dan mereka tidak menyebut Allah kecuali hanya sedikit sekali."
  • Tidak tergugah dengan tanggungjawab untuk beramal demi kepentingan Islam.
Orang yang lemah iman tidak berusaha untuk menolong menyebarkan Islam dan menolongnya. Ini berbeza dari keadaan sahabat Rasulullah saw. Seorang sahabat yang baru memeluk Islam iaitu Ibnu Amar r.a terus berganjak melakukan dakwah kepada kaumnya. Namun majoriti umat Islam dizaman ini suka duduk diam dirumah, bersenang-lenang dengan keluarga, bersantai-santai dihujung minggu, shopping, melancung dan sebagainya......tidak memilik tanggungjawab untuk melakukan dakwah meskipun telah sekian lama menjadi Muslim. Sedangkan menyebarkan dakwah Islam zaman di mana Islam adalah ghurbah (asing) ini bukan lagi merupakan fardhu kifayah....
 Renungi pesan Rasulullah  saw ini," Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat...."  

Jadi sama-samalah kita bertindak dan bersikaplah dengan perkara-perkara yang berlawanan dengan tanda-tanda kelemahan iman tadi.... Membiarkan diri dalam kelemahan merupakan satu dosa dan mengundang musibah pada diri. Maka selalulah berusaha memperbaiki diri, bermujahadah melawan hawa nafsu dalam meningkatkan iman dijiwa dan mempertingkatkan amal islami kita. Semua yang kita lakukan ini adalh untuk diri sendiri dan bukan untuk orang lain.....Selalul memohon kekuatan dari Allah untuk terus istiqamah di atas jalanNya!

Monday, January 10, 2011

Janganlah mencari kekurangan dan keaiban orang lain!

Bismillahirrahmanirrahim.....
Diantara sifat individu yang paling buruk yang perlu kita jauhi dari diri kita adalah mencari-cari kekurangan dan keaiban orang lain dan merasa senang hati jika orang lain tergelincir melakukan sesuatu yang tidak baik dan mendapat musibah. Sifat tersebut merupakan tanda buruknya jiwa dan lemahnya akal sesaorang. Bagi kita yang ingin menasihati diri sendiri, sebenarnya diri sendiri mempunyai  aib dan kekurangan yang cukup banyak akan membuatkan diri kita cukup sibuk dan tidak punya masa untuk mengintai-intai kekurangan dan keaiban orang lain!

Kita mestilah selalu memerhatikan diri sendiri. Periksa dan carilah kekurangan dan aib diri, perbaiki segala kelemahan  dan kekurangan diri sendiri. Sibukkan diri dengan perkara-perkara yang bermanfaat seperti menambah ilmu, membaca dan cuba menghafaz Al-Quran, berzikir dan istighfar yang boleh membersihkan jiwa dan menambah iman. Ini lebih baik dari berbual-bual kosong dan tidak mendatangkan faedah, menyebarkan aib orang lain dan suka bergossip perkara-perkara yang tidak pasti kebenarannya. Perkara ini kerap berlaku di waktu santai di tempat kerja, jika berkumpulnya dua tiga orang, tidak sah jika tidak cakap pasal orang.  Perlu manfaatkan masa kita dengan cara yang lebih baik dan produktif, berbincang dengan cara yang membina dan tidak kutuk orang!  

Selalunya balasan akan sesuai dengan perbuatan, jadi jika kita suka menyingkap kekurangan dan keaiban orang lain, suatu hari nanti keaiban dan kekurangan kita sendiri pula akan di singkap dan dihebahkan pula. Tapi barang siapa yang yang menutup aib dan kekurangan saudara seMuslimnya, maka Allah juga akan menutup keaiban dan kekurangan  diri kita. Barangsiapa yang melindungi dan menjaga kehormatan orang Mukmin, maka Allah SWT akan mentakdirkan sesaorang untuk menjaga dan melindungi dan menjaga kehormatan dirinya sebagai balasan yang setimpal diatas kebaikan yang ia telah lakukan! Maka awaslah, balasan Allah itu sangat cepat. Allah Maha Mengetahui apa yang tersimpan dilubuk hati kita.

Kita bekerja, belajar ni matlamat kita satu saja nak cari redo Allah, jadi jaga hati, jaga niat, jaga tuturkata, jaga akhlak supaya tidak terbabas........ Bukanlah mencapai matlamat itu suatu yang tersangat penting bagi kita sehingga matlamat menghalalkan cara. Dapat naik  pangkat atau   cemerlang dalam kerjaya bukannya  dengan pijak kepala orang atau bodek bos! Biarlah apa yang dibuat tu benar-benar dengan usaha dan jalan yang betul! Yang penting apa yang kita buat tu Allah redo, biarpun hasil kerja kita itu,  kita tidak canang atau hebahkan. Lambat laun segala kebaikan yang dibuat itu dengan sendiri akan di ketahui orang!    

Sunday, January 09, 2011

Binalah hubungan yang pertama dan utama iaitu hubungan dengan Allah!

Bismillahirrahmanirrahim....
      Alhamdulillah di panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana masih diberi kemampuan oleh Allah SWT untuk terus dapat menulis blog ini buat peringatan diri dan perkongsian bersama.....Minggu pertama persekolahan  yang agak sibuk sedikit membuatkan ku tidak punya banyak masa untuk menulis....namun  dirasakan perlu di peringatkan hati ini, mencari-cari ruang-ruang  dalam kesibukan untuk tazkirah diri.......

Begitulah kita sering disibukkan dengan dunia kita, kerja kita, urusan diri dan keluarga kita...sehinggakan kita kadang-kadang leka dan lalai sehingga menjejaskan hubungan kita dengan Allah SWT.....hubungan yang sebenarnya perlu sentiasa kita jaga dalam apa juga keadaan; sibuk ke, lapang ke, senang atau susah! Kelekaan dan kelalaian ini lantas membawa padah pada kita.....syaitan yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk melemahkan jiwa dan membisikkan kejahatan dijiwa....syaitan yang tidak pernah lalai dalam tugasnya menyesatkan manusia dari jalan yang lurus! Perlulah lebih berwaspada lagi di tahun ini.......
 
   Dunia pekerjaan ini di mana kita berinteraksi dengan ramai manusia, bermacam ragam dan perangai, ada yang lemah lembut, ada yang kasar, berdiplomasi, ada yang suka mencari kelemahan orang lain, ada yang suka mengarah saja, ada yang ambil kesempatan namun ditengah-tengah ramai insan ada yang baik agamanya, bagus tutur bicaranya..... orang sebeginilah yang perlu kita dampingi dan dekati untuk menjaga iman dijiwa kita.....supaya hubungan kita dengan Allah SWT dapat kita pelihara dan dijaga dari anasir-anasir luar yang merosakkan...!

 Sahabat yang baik dan soleh ini adalah umpama permata yang berkilau ditengah-tengah timbunan barangan tidak berharga! Namun kadang-kadang kita tersilap langkah juga....ikut serta dalam perbincangan yang lagha dan tidak berfaedah, malah mengutip dosa-dosa kering saja! Mohon keampunan juga dari Allah SWT di atas segala keterlanjuran kita,  manusia yang lemah ini!

 Dalam kehidupan ini, kita perlulah membina hubungan hati kita dengan Allah dengan beriman kepadaNya,  menjalin hubungan hati atas dasar keyakinan yang teguh pada  Allah yang merupakan  satu tanggungjawab  terbesar kepada kita supaya kita sentiasa menghubungkan diri dan kehidupan kita dengan Allah Yang Maha Esa,  tempat bergantungnya sekelian makhluk, tempat kita menyerahkan seluruh diri dan hati kita supaya kembali pada Allah SWT. Segala sesuatu datangnya dari Allah SWT. Begitu juga segala sesuatu adalah milik Allah SWT jua.

Hubungan dengan Allah ini adalah hubungan pertama dan utama yang perlu benar-benar kita rasai  dan mesti lahir dari dalam jiwa kita. Hubungan yang besar dan luas, seluas alam raya ini yang terjalin di antara hamba dan Khaliq. Hubungan kita dengan Allah SWT yang meresap dihati  dan sebati sehingga ke lubuk jiwa sehinggalah melahirkan keberkesanan didalam kenyataan hidup kita. Setiap amalan yang terpancar mestilah lahir di atas hakikat hubungan dengan Allah SWT ini! Dan sebenarnya inilah titik permulaan hidup manusia!!

Di dunia ini kita sibuk menjalin hubungan dengan manusia lain: dengan bos kita , rakan kita, suami isteri, anak-anak kita.....bukannya tidak boleh,  malah di tuntut..... namun kita sering terlupa menjalin dan menjaga hubungan pertama kita dengan Allah SWT sentiasa. Kita sibuk mengukuhkan ikatan hati dengan orang lain, tapi kita terlupa mengukuhkan ikatan hati dengan Allah SWT! Perlu kita sedar tiada ikatan hati sebenarnya jika tiada ikatan hati dengan Allah SWT yang perlu kita  jalin terlebih dahulu. Baiknya hubungan kita dengan manusia ini bergantung sejauh mana baiknya ikatan atau hubungan kita dengan Allah SWT!

Bila Allah SWT menjadi landasan utama hubungan kita dengan manusia, maka tiada kepentingan diri disini..... pertolongan dan budi baik yang diberi bukan untuk diminta balasan ataupun ucapan terimakasih....tapi ikhlas kerana Allah SWT! Sukarnya untuk melaksanakannya, tapi itu bukanlah sesuatu yang mustahil bila ada iman dan takwa di jiwa. Dalam apa sahaja yang dibuat, cetusan hati yang pertama...aku buat ini kerana Allah SWT! Noktah! Tiada apa-apa yang dituntut dari manusia...........

 Allah SWT jadikan kita manusia ini dalam keadaan serba lemah dan kekurangan,  tidak mampu menyelami rahsia diri sendiri dan rahsia alam ini.....apa tah lagi yang ghaib dan tersembunyi! Tapi dengan kasih sayang , rahmat dan kurniaan Allah SWT, kita dipermudahkan olehNya untuk berhubung dengan kebenaran yang hakiki,  dengan Allah yang Maha Esa! Allah mengutuskan para Rasul yang membawa peringatan dan berita gembira. Para Rasul yang dapat menyelamatkan manusia dari kegelapan kesesatan kepada cahaya kebenaran. Para Rasul yang diutuskan untuk  menerangkan hakikat kewujudan manusia dan menegakkan kedaulatan Allah SWT dimuka bumi ini.  Firman Allah SWT dalam surah Al- Mukmin: 64-65 yang bermaksud.......

" Allah lah yang menjadikan bumi bagi kamu tempat menetap dan langit sebagai atap, dan membentuk kamu lalu membaguskan rupa kamu dan memberikan kamu rezeki dengan sebahagian yang baik-baik, Yang demikian itu adalah Allah Tuhan mu, Maha Agung Allah, Tuhan Semesta Alam. Dialah Yang Hidup Kekal, Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia.; maka sembahlah Dia dengan memurnikan ibadah kepadaNya. Segala Puji bagi Allah Tuhan semesta Alam." 

Inilah hakikat seruan dan laungan setiap para Nabi dan Rasul yang datang silih berganti......
Dengan limpah kurnia Allah SWT, sebenarnya meyakinkan kita bahawa hubungan kita dengan Allah SWT ini merupakan suatu  keperluan yang sangat dharuri (dihajati). Tanpa terjalinnya hubungan dengan Allah SWT ini, kita umpama ikan yang dikeluarkan dari air.........akhirnya ikan itu mati. Hidup ini akan rasa kosong, sesat, hampa jiwa, tidak bahagia , rugi tanpa hubungan dengan Allah SWT yang menciptakan kita. Begitulah perlunya kita dan berhajatnya kita pada Allah SWT!

Menyedari hakikat inilah kita perlu buat pilihan untuk menerima keseluruhan apa yang di sarankan oleh Allah SWT kepada kita agar segala hubungan hati kita, pemikiran kita, tingkahlaku kita sentiasa lahir daripada hubungan yang fitrah ini.Perlu kita semai dan tanamkan di segenap ruang hati dan sanubari kita supaya hubungan dengan Allah SWT ini sentiasa jelas, akrab dan yakin selalu, insyaAllah!  Inilah matlamat hidup orang beriman!

Rasa hati kita perlu di sebatikan dengan kehendak-kehendak Allah SWT. Yang baik adalah apa yang Allah kata baik, dan yang buruk adalah apa yang Allah kata buruk. Untuk itu kita kena didik dan latih hati kita untuk menyukai apa yang Allah suka dan membenci apa yang Allah benci. Biasakan diri kita berinteraksi dengan apa yang Allah suka dan menjauhi apa yang Allah larang. Kita suka berada dalam suasana yang Islamik yang dapat memudahkan diri kita mendekati Allah SWT, jadi hati sentiasa rasa insaf dan sedar selalu dan takut berbuat dosa!

Jadi dalam ketika mana pun, bila kita berhubung dengan manusia perlu mewujudkan interaksi yang soleh dan Islamik. Kita sentiasa berusaha untuk berpegang pada nilai iman dan takwa, tidak lupa akan hakikat bahawa  diri kita ini adalah hamba hanya pada Allah SWT sahaja!

Namun untuk merealisasikan hakikat ubudiyyah ini  dalam seluruh kehidupan ,sebenarnya perlu  pada persediaan jiwa kita; iaitu jiwa yang jelas hubungan hatinya dengan Allah SWT. Contoh sebeginilah yang dapat kita lihat pada diri Rasul dan para sahabatnya. Setiap nilai dalam kehidupan ini dihubungkan dengan Islam dan syarak  sehingga ianya sebati dijiwa dan lahir dalam tingkahlaku mereka. Kekuatan hubungan dengan Allah menjadi tenaga yang kuat untuk menggerakkan hati dan perasaan, pemikiran dan tingkahlaku supaya sejajar dengan syarak!  Kekuatan hubungan ini juga menjadi tenaga penggerak yang mencorakkan kehidupan dengan sibghah (celupan) Allah walau di tempat sunyi atau gelap, seorang diri atau di khalayak ramai sama ada susah atau senang!  

Jadi bagi kita yang ingin kembali menghubungkan hati dengan Allah, perlulah melalui proses pendidikan yang sama yang dilalui oleh para sahabat Rasul dalam mendidik iman mereka. Mereka adalah contoh kita dalam keyakinan  pada Allah, cara mereka berfikir, rasa hati mereka, tingkahlaku mereka......Kita perlu mendekati dengan didikan Al-Quran sebagaimana mereka mendekatinya,, perlu merasai sebagaimana yang mereka rasai, perlu meyakini sebagaimana yang mereka yakini........sehingga seluruhnya selaras dengan kehendak Allah SWT! Itulah contoh kita yang unggul,  sahabat  Generasi Al-Quran Yang Unik!

Inilah jalanNya yang lurus yang menyampaikan kita kepada matlamat yang suci iaitu menerima kedaulatan Allah SWT tanpa berbelah bagi dan tidak menyengutukan Allah dengan yang lain. Inilah jalan aqidah yang murni, ibadah yang shoheh dan amal yang soleh.....! Binalah hubungan kita sentiasa dengan Allah.....kerana putusnya hubungan hati kita dengan Allah bererti kita berhubung dengan hawa nafsu, berhubung dengan jahiliyyah! Natijahnya, lahirlah tindakan berdasarkan hawa nafsu dan jahiliyyah!  

Wednesday, January 05, 2011

Dunia ini adalah gelanggang ujian!

  
Bismillahirrahim..........
   Sebagai Muslim kita perlu merasai dalam jiwa kita bahawa beradanya kita di atas dunia ini sebagai seorang hamba Allah yang sedang menghadapi ujian di mana dengan melalui ujian ini kita dapat menguatkan keyakinan kita pada Allah dan juga menyakini bahawa semua hamba Allah pasti akan kembali padaNya . Dunia ini adalah tempat  amalan tanpa hisab tapi di akhirat nanti adalah tempat hisab tanpa amal. Firman Allah SWT dalam surah Al-Kahfi : 7 yang bermaksud......
   "Sesungguhnya kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, agar Kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang terbaik perbuatannya."
     Dunia ini adalah gelanggang ujian dalam beribadah pada Allah SWT yang ghaib pada waktu semua manusia ini bebas memilih, hawa nafsu berkuasa mendapatkan apa yang diingininya dan pada saat jiwa manusia benci akan segala macam tugas ibadah!
    Beradanya kita didunia ini dengan bermacam kurniaanNya  pada diri kita; Allah SWT memberikan kita harta, kesihatan,  pangkat , banyak anak dan sebagainya........... Begitu juga Allah SWT mencegah pemberianNya itu pada sesetengah manusia dan mendatangkan musibah padanya seperti miskin, sakit, selalu malang, dukacita, tiada anak, kesulitan, banyak masalah........ Semua manusia menerima rezeki dan pemberian Allah mengikut ukuran masing-masing yang telah ditetapkan, sama ada banyak atau sedikit! Allah Maha Mengetahui hikmah di sebalik setiap pemberian dan pencegahan!
     Tujuan pemberian supaya bersyukur dan dan tujuan pencegahan pemberian supaya redha dan bersabar......
Barangsiapa yang diberi nikmat dan kurniaan dunia seperti harta dll..... tetapi tidak mahu bersyukur pada Allah SWT, dia dianggap gagal menjalani ujian ini.  Barangsiapa yang tidak diberikan kurniaan dan dicegah pemberian seperti anak, diberikan kesusahan dan kesulitan......, kemudian dia redha dan sabar maka dia telah lulus dan berjaya dalam ujian ini. 
      Seorang hamba yang soleh akan menerima segala macam pemberian Allah ini dengan memahami dan menghayati ayat Al-Quran Surah An- Naml : 40 yang bermaksud........
    " Ini termasuk kurniaan Tuhanku untuk mengujiku, apakah aku bersyukur atau mengingkari( akan nikmatNya). Dan barangsiapa yang bersyukur, maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) diri sendiri."    
     Namun bagi yang mengingkari untuk bersyukur di atas pemberianNya itu,  dia menyangka dia mendapatnya di atas ilmu  dan usahanya sendiri lantas merasa sombong dengannya. Dia tidak mengetahui dan menyedari bahawa segala pemberian itu adalah ujian belaka.  Hal ini dijelaskan oleh Allah dalam firmanNya yang bermaksud....
   " Sesungguhnya aku diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku." ( Surah al-Qashash:78)
  " Sebenarnya itu adalah ujian, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui."( Surah Az-Zumar: 49)
Allah SWT mengingatkan kepada kita bahawa tiada seorang pun yang benar-benar memiliki nikmat dunia ini. Segala pemberian akan dikembalikan kepadaNya, kita akan keluar dari alam dunia ini sama seperti kita pertama kali masuk kedalamnya, tidak punya apa-apa! Segalanya milik Allah jua, segala yang ada pada kita dikembalikan pada Allah SWT seperti dalam firmanNya surah Al-Baqarah: 156 yang bermaksud....
     " Sesungguhnya kita adalah milik Allah, dan hanya kepadaNyalah kita semua kembali.." 
Namun ada sebilangan manusia mempersoalkan perbezaan pemberian ini pada mereka.................
  • Mengapa ada perbezaan pemberian?
  • Manakah lebih baik, miskin atau kaya?
  • Mana lebih baik ada anak ke tidak?
      Namun yang penting dalam menjawab persoalan ini adalah   mereka yang lebih baik disisi Allah SWT adalah mereka yang lulus ujian tadi. Orang kaya yang bersyukur lebih baik dari orang miskin yang tidak redha dan tidak bersabar. Orang yang tiada anak  yang sabar dan redha lebih baik dari orang yang punya anak ramai tapi tidak mensyukuri pemberian itu. Yang penting disini adalah sikap kita terhadap segala yang Allah SWT tentukan ke atas diri kita, sama ada nikmat pemberian atau pencegahan. Segalanya adalah untuk menguji sikap kita terhadap ketentuan Allah, sebagai bukti ubudiah kita padaNya, menyerah pasrah pada ketentuanNya, redha akan Allah sebagai Tuhan yang mengatur segala kehidupan kita.......Jadi tidak kiralah sama ada miskin atau kaya, susah atau senang, yang mulia disisiNya adalah yang bertakwa dan beriman pada Nya!  Renungilah sikap buruk manusia seperti yang di terangkan dalam ayat Al-Quran  surah Al-Fajr:17-18 yang bermaksud..................
     " Adapun apabila Tuhan mengujinya lalu dimuliakanNya dan diberiNya kesenangan, maka dia berkata," Tuhanku telah memuliakanku.", Adapun apabila Tuhannya mengujinya dan membatasi rezekinya, maka dia berkata," Tuhanku telah menghinaku." Sekali-kali tidak (demikian)."
     Jadi, bagaimanakah sikap kita?? Janganlah kita terlalu gembira dengan kurniaanNya dan jangan pula terlalu bersedih diatas musibah dan kesusahan yang menimpa. Apa yang penting adalah kita perlu mengetahui dan menentukan bagaimana sikap dan tindakan kita bila teruji.............perbanyakkanlah senyumanmu........... sebagai  tanda hati yang redha dan bersyukur padaNya!  
Ya Allah berilah kami kelapangan jiwa dan ketenangan hati  dalam melalui hidup ini.....
Berilah kami kesabaran menempuh dugaan hidup, kesyukuran di atas nikmatMuu..........
Ameen. 
        
Rujukan
Dr. Majdi Al-Hilali
Peranan dan Kekuatan Al-Quran dalam memantapkan keimanan.

Hakikat hidup ini...

Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...