Thursday, July 24, 2014

Tazkirah Ramadan....Dunia adalah ancaman atau peluang


Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah setinggi rasa syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya dapat kucoretkan sedikit peringatan buat diri yang lemah ini dan dikongsikan bersama dengan pembaca blog. Mudah-mudan sedikit peringatan ini dapat menyentuh jiwa kita yang paling dalam dan menberikan kesan untuk kita mengambil tindakan seterusnya dalam kehidupan yang semakin singkat ini. Biarlah apa yang kita baca bukan setakat mengisi akal fikiran sahaja tapi ia dapat menjadi ilmu yang bermanfaat dalam hidup ini. 

Alhamdulillah, dihujung minggu yang lepas ku berkesempatan menghadiri satu tazkirah yang mengingatkan diri ini tentang hakikat dunia yang sedang dilalui ini. Dunia yang kita diami ini boleh berupa peluang atau ancaman dalam kehidupan kita? Bagaimana boleh berlaku sedemikian?

 Kita sedari sebenarnya dunia ini adalah tempat kehidupan sementara yang akan hilang…....ia laksana mimpi indah yang ada dalam tidur bila terjaga dari tidur , akan hilanglah segala keindahan dan keseronokannya. Ia juga umpama lautan dalam yang ramai orang akan karam........ yang menyelamatkannya adalah takwa yang ada dijiwa. Ia juga umpama perempuan tua yang buruk rupa parasnya serta buruk akhlaknya....... yang akan dibenci diakhirat nanti. Pendekata dunia ini adalah kesenangan yang menipu, hiburan yang sesia, kenikmatan yang sekejap!!

 Dek kerana dunia, didapati banyak aktiviti kehidupan terhenti, umapamanya Piala Dunia Bola baru2 ni….....hanya kerana permainan 90 minit yang entah apa matlamatnya, aktiviti kehidupan terhenti!! Malah ada yang sanggup bersengkang mata jam 3-4 pagi untuk menonton piala dunia ni.....tapi tak sanggup bersengkang mata untuk tahajjud malam mengejar akhirat yang lebih hebat ganjarannya , lebih baik dan lebih kekal berbanding dunia yang fana ini!

 Sebenarnya itulah tipu daya dunia, tarikannya lebih kuat dari akhirat.....semua ini ada kaitan dengan iman dan keyakinan dalam hati! Iman yang lemah senang dikuasai jiwanya oleh dunia dan isinya.....dan inilah realiti kebanyakan umat Islam sekarang!

Allah SWT memperingatkan kita tentang dunia dalam Surah Muhammad :36

Ingatlah bahawa kehidupan dunia hanyalah ibarat permainan dan hiburan…jika kamu beriman dan bertakwa, Allah akan memberi kamu pahala amal kamu, dan Dia tidak meminta kepada kamu harta benda kamu (melainkan untuk memberi kamu barang yang lebih baik daripadanya)

 Iman dan takwa merupakan aset berharga seorang manusia kerana dengannya dia mampu berjalan menelusuri ranjau kehidupan dunia dengan matlamat yang jelas, langkah kaki yang mantap menuju kejayaan hidup yang sebenarnya....mendapat redo Allah dunia dan akhirat dan diberi ganjaran syurga yang sungguh nikmat!! Bukan ini yang sepatutnya yang kita kejari...??

Kita diperingatkan Allah lagi dalam Surah Luqman :33

Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan Kamu, dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah.

Di hari akhirat nanti tiada yang dapat menolong kita hatta ibu, ayah, anak isteri kita...masing-masing sibuk dengan urusan diri sendiri yang rumit...........sibuk dengan nasib diri untuk dihisab, melalui titian sirat, segala amal disingkapkan, dosa pahala dibentangkan..... gawat sungguh keadaan ketika itu!! Ketika itu tiada yang dapat menolong kita kecuali amal soleh yang kita buat di dunia dahulu.....apa yang kita usaha itulah yang kita dapat, dunia tempat kita bercucuk tanam , akhirat tempat menuai hasil!

Amal kebaikan yang kita tanam di dunia itulah syafaat akhirat buat kita...betapa berharganya ia di ketika itu !!

Justru itu, bersusah-susah dan berpenat-penatlah didunia membuat kebaikan.....supaya dapat berehat di hari akhirat. 

Hadith Rasul juga ada mengatakan bahawa dunia adalah penjara bg mukmin dan syurga bagi kafir.

Sesiapa yang kasihi dunia , ia akan mudaratkan akhiratnya dan sesiapa yang kasihkan akhirat ia akan mudaratkan dunia (Hadith riwayat Ahmad dn Ibnu hibban).

Kedahsyatan hura hara hari akhirat itu di gambarkan Allah dalam Surah Annaziat :46 yang bermaksud.....

Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang (yang bersalah merasa) pada masa melihatnya: Seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja.

Terlalu dahsyatnya suasana pada hari itu sehingga dirasakan hidup di dunia itu hanya sebentar sahaja...sekadar sepetang atau sepagi!!

Itulah realiti yang Allah gambarkan yang perlu kita yakini...segalanya benar belaka dan pasti akan berlaku. Setiap diri kita menunggu giliran masing-masing memasuki pintu gerbang kematian....laluan pertama menuju hari akhirat!

Maka tanyai diri...adakah kita cukup bersedia melaluinya? Rasa kecutnya perutku memikirkan saat yang akan tiba!! Semoga Allah mengurniakan kita husnul khatimah dan dipermudahkan segalanya bagi kita dunia dan akhirat. Ameen.

Dalam Surah Almukminun 113-114 juga menerangkan tentang singkatnya kehidupan di dunia ini berbanding akhirat yang kekal abadi, seolah-olah hidup didunia itu hanya sebentar sahaja....kita cuma singgah sekejap disini mengambil bekalan sebelum pulang ke kampung akhirat yang abadi selamanya......

  Perlu fahami dan menghayati beberapa perkara semasa hidup di dunia ini…

1. Fikirkan kebesaran Allah…lihatlah seluruh alam dan sentiasa berfikir tentang kebesaran dan kekuatan Allah, pencipta yang Maha Agung dengan segala macam nikmat diberikan untuk seluruh makhlukNya. Renungan ini dapat mendekatkan diri kita dengan Allah SWT dan merasakan kekurangan dan kekerdilan diri di hadapan Allah SWT lantas dapat merendahkan hati kita padaNya , hati tunduk dan patuh atas segala perintah dan laranganNya, sentiasa berusaha memperbaiki diri untuk mendapatkan redoNya.

Cuba kita fikirkan, jika orang buat baik dengan kita, beri kita hadiah, ambil berat tentang kita, sayangi dan cintai kita, tentu kita suka dan gembira sesangat.....kita akan sentiasa ingat orang tersebut dan sebut pasalnya selalu.....

 Apatah lagi bila difikirkan setiap masa dan ketika , Allah buat baik dengan kita, jagai kita, kasihi dan sayangi kita melebihi ibu bapa kita, beri kita begitu banyak nikmat tidak terhitung banyaknya…....adakah kita berterima kasih padaNya??

Sepatutnya kita sebagai hamba Allah , menjadi hamba yang bersyukur pada Allah , selalu kita ingat pada Allah, menyebut-nyebut namaNya selalu, cintai dan kasihi Allah, sentiasa mencari redoNya dalam hidup ini, sanggup berjihad dan berdakwah dijalan Allah untuk mengajak manusia kembali pada Allah, tunduk dan patuh pada perintahNya.....bukankah itu sebenarnya sifat seorang hamba yang berterimakasih pada segala apa yang Allah limpahkan kepada kita??

Justru itu , jangan kita dilalaikan dengan kehidupan dunia, jangan kita lihat dunia hanya sebagai tempat untuk kita bekerja mencari rezeki sahaja, tempat untuk berseronok-seronok sahaja…tapi ianya adalah tempat kita mengabdikan diri pada Allah, tempat untuk kita menzahirkan kesyukuran kita, tempat singgah sekejap untuk mencari bekalan akhirat sebenarnya........!! 

2. Sama-sama kita renungi Surah Al-Qasas ayat 77 yang bermaksud.....

Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan".

Dalam ayat ini juga Allah SWT melarang kita berbuat kerosakan di dunia.....segala yang ada itu adalah amanah dari Allah untuk dijaga dan dipelihara. Namun apa yang kita lihat realiti hari ini kerosakan demi kerosakan berlaku dalam semua aspek....yang paling parah rosaknya nilai kemanusiaan sejagat dimana manusia sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai matlamat diri.

Lihatlah realiti dunia hari ini bila pimpinan dunia dipegang oleh orang yang tidak beriman pada Allah....mereka jadi broker pada kerosakan,kejahatan, penindasan, hilangnya sifat kemanusiaan, sanggup membunuh,merompak hak orang lain.......

 Untuk menyelesaikan masalah kemanusiaan ini.....perlu kembali pada Allah, mengambil Al-Quran sebagai panduan hidup, menyerahkan seluruh hidup ini dibawah tadbir Allah......!!!
  
Jangan jadikan Islam umpama kereta bomba atau ambulans, saat kecemasan baru nak panggil untuk minta tolong, pada ketika lain tak kisah pun!  Jadikan Islam sebagai satu-satunya penyelesaian dalam kehidupan ini...bukan di masa susah sahaja!

3. Perlu lihat dunia sebagai peluang dalam kehidupan…ia umpama taman yang hijau......siapa yang mencari rezeki halal dan menginfaqkannya kejalan Allah…diberi pahala dan akan masukkan kedalam syurga.....

Jadi rebut peluang sementara masih bernyawa!

Dunia akan jadi ancaman pada kehidupan...jika dunia kuasai kita. Kita akan jadi lemah, tenggelam dalam keseronokan dunia yang menipu.....ia akan membawa kita jauh tersasar dari matlamat hidup sebenarnya iaitu mendapatkan keredaan Allah SWT

Dunia akan jadi ancaman bagi kita jika kita terpesona degn gaya hidup org kafir.....nak glamor dan popular, suka hiburan dan kemewahan, santai-santai.....Kita akan seronok dengan dunia sehingga kita lupa akhirat. seolah-olah dunia ini adalah segalanya!  

Perlulah kita mempersiapkan diri kita dalam menelusuri kehidupan dunia ini.....

1. Bersikap zuhud dalam hidup, tiada sifat cinta dunia dan benci mati. Letak dunia ditangan dan iman dihati

2. Kita hanyalah seorag musafir pengembara di dunia fana ini, tidak duduk lama di satu tempat, jadi tidaklah sibuk nak kumpul harta, bawa barang sekedarnya setakat keperluan diri sebelum kembali pada Allah SWT

3. Janganlah kita dilalaikan oleh kehidupan dunia,tiada apa yang kita miliki, segalanya milik Allah jua, jadi kita perlu melaksanakn tuntutan Allah SWT.

4. Panggilan menuju Allah atau kematian itu sungguh dekat….sekarang ramai orang mati tanpa di beri peringatan sakit terlebih dulu......contohnya orang mati disebabkan accident, mati sebab strok, sesak nafas dan sebagainya.....sekejap sahaja sudah terkorban walhal semalamnya masih sibuk dengan dunia!!

Perlu berusaha untuk sediakan bekalan mati, untuk meraih takwa di jiwa yang merupakan pakaian diri orang yang beriman pada Allah SWT. Takwa ini penting untuk menjaga diri kita terjerumus ke dalam dosa dan maksiat....ia menjadikan sesaorang itu berhati-hati agar tidak melanggar perintah Allah. Inilah sebenarnya tujuan puasa Ramadan yang sedang kita lalui ini.

Perlu fahami makna puasa itu….ia adalah suatu yang syumul dalam kehidupan……Melaksanakan puasa bererti kita berjihad melawan hawa nafsu kita, mendidik diri dengan sifat-sifat yang mulia seperti murahati, empati, mensyukuri,berdisiplin, sabar,ikhlas, menepati masa....dan banyak lagi. Madrasah Ramadan ini jika dilalui dengan betul dan bersungguh-sungguh...akan melahirkan insan yang bertakwa yang berakhlak mulia, insan yang dapat meletakkan Allah pada makam yang sewajarnya.....!!

Jadi Ramadan kini sudah tiba di penghujungnya....mudah-mudahan kita dapat melaluinya dengan jayanya, smoga di ampunkan dosa2 kita dan dibebaskan kita dari api neraka, dan kita seolah-olah dilahirkan semula suci dari dosa!

Ya Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...terimalah segala amal kami...

Masukkan kami dikalangan orang-orang yang beriman dan bertakwa pada Mu. Pimpinilah kami kejalan yang lurus dan rahmatilah seluruh kehidupan kami. Janganlah hendaknya Ramadan ini, merupakan Ramadan yang terakhir buat kami......

Ameen Ya Rabbal Alameen

Friday, July 04, 2014

Tazkirah Ramadan 2014.....Ramadan bulan al-Quran....





Bismillahirrahmanirrahim
 
 
Semalam telah kita lalui  Jumaat pertama Ramadan 2014....Ramadan Kareem Ramadan AlMubarak diucapkan kepada pembaca blog semua...dan di doakan mudah-mudahan Ramadan kali ini jauh lebih baik dari yang sebelummya.Ameen.
 
Alhamdulillah telah seminggu kita berada dalam būlan puasa ini...berada dalm fasa pertama Ramadan...cepatnya masa berlalu, sejauh mana kita dah isikan masa-masa yang berlalu? Sama-sama kita muhasabah diri, mana yang lemah diperbaiki, mana yang kurang ditingkatkan...!
 
Sebenarnya bulan Ramadan ini merupakan bulan perasaan dan rohani.....bulan untuk mendidik hati dan roh kita supaya lebih sensitif, lebih empati, lebih pemurah .... Ia juga merupakan saat yang paling baik untuk menghadapkan seluruh hati kita pada Allah SWT, beribadah menyendiri denganNya, bermunajat merintih mohon keampunan dariNya....
 
Ia juga saat yang paling baik untuk muhasabah diri, meneliti keaiban dan kelemahan diri....kemudian perbaiki diri, perbaiki  hati ..... semuanya itu di laksanakan dalam rangka menjaga hubungan hati Allah SWT. Dengan kata lain....Bulan Ramadan ini adalah bulan tarbiyah yang mendidik diri secara intensif dan berkesan untuk melahirkan insan yaang bertakwa. Dengan takwa inilah merupakan bekalan insan mukmin untuk menjalani kehidupan dunia mengikut jalan dan ketetapan yang telah digariskan oleh Allah SWT.
 
Bulan Ramadan adalah bulan Al Quran ....bulan untuk kita mendekati Al Quran secara, intensif.....perbanyakkan interaksi dengannya dalam setiap kesempatan yang ada. Interaksi ini merupakan interaksi hati dan jiwa yang mentadabbur AlQuran , memahami isi kandungannya, kemudian berusaha melaksanakan segala tuntutannya....bukan hanya setakat membaca dan mengkhatamkannya! Barulah Al Quran itu mampu mendidik jiwa-jiwa yang ingin kembali pada Allah...
. Sabda Rasulullah dalam satu hadisnya yang bermaksud..
 
"Puasa dan Al-Quran itu akan memberikan syafaat kepada hamba di hari kiamat. Puasa akan berkata" Ya Rabbi, aku telah menghalangnya dari makan dan syahwat maka perkenankanlah aku memberikan syafaatnya untuknya.". Sedangkan Al-Quran akan berkata " Ya Rabbi, akau telah menghalanginya dari tidur di malam hari,maka perkenankan aku memberikan syafaat untuknya." maka Allah memperkenankan  keduanya memberi syafaat. (HR Ahmad dan Daruquthni).
 
Melalui pelaksanaan puasa dan mendekati Al-Quran ini hendaknya dapat meningkatkan lagi hubungan kita dengan Allah SWT. Hubungan yang kuat dengan Allah yang memberikan kesan yang mendalam pada jiwa dan perasaan inilah sepatutnya menjadi cita-cita tertinggi seorang mukmin di dunia dan akhirat. Inilah yang kita nak garap dalam pelaksanaan puasa. Jadi sewajarnya kita berusaha  setiap malam agar hati kita menyatu dengan Allah pada bulan yang mulia ini.  
 
Sesungguhnya puasa yang kita sedang laksanakan ini  merupakan satu ibadah yang dikhususkan oleh Allah  untuk diriNya sendiri......
 
" Semua amalan anak Adam adalah untuknya, kecuali puasa. Ia adalah untukKU dan Aku akan memberikan balasannya."(HR Bukhari & Muslim)
 
Istimewanya puasa kerana hanya Allah sahaja yang mengetahui siapa yang benar-benar berpuasa atau tidak, dalam keadaan bersendirian atau bersama orang ramai.  Tiada manusia yang dapat mengagak kesahihan puasa sesaorang kerana ia adalah ibadah rahasia seorang hamba dengan Tuhannya. Mungkin sesaorang boleh berpura-pura puasa di hadapan manusia.....tapi Allah Maha mengetahui apa yang dilakukan semasa bersendirian.  Melalui puasa , sebenarnya ia dapat mendidik jiwa manusia agar ikhlas pada Allah dan merasai pengawasan Allah terhadap dirinya sentiasa.
 
Dalam ibadah puasa terdapat banyak larangan yang perlu dijauhi....sesaorang itu perlu menahan diri dari pelbagai keinginan yang sebelum itu diharuskan baginya seperti makan minum, menunaikan hajat bersama isteri dan lain-lain....Semua itu dilakukan atas dasar melaksanakan perintah Allah. Jadi perlunya kita bersungguh-sungguh untuk mentaati Allah dalam bulan yang mulia ini.....
 
Bulan Ramadan merupakan bulan istimewa, satu anugerah Allah kepada kita.....dibuka pintu-pintu kebaikan dan ditutup pintu-pintu kejahatan.
 
Dalam satu hadis yang bermaksud....
" Jika bulan Ramadan datang, pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup, syaitan-syaitan dibelenggu, kemudian seorang penyeru berseru,  Wahai pencari kebaikan, kemarilah.Wahai pencari kejahatan berhentilah!".(HR Thabrani)
 
Setiap hari dan setiap malam dalam bulan Ramadan merupakan masa-masa berharga dan penuh kemuliaaan yang diberikan oleh Allah...supaya yang berbuat baik menambah kebaikannya,yang berbuat jahat mencari kurnia Allah sehingga Allah mengampuni mereka dan menjadikan mereka hamba-hamba yang dicintai dan didekatkan kepada Allah SWT.
 
JUSTRU ITU...
Kita yang merupakan pendosa ini, yang menzalimi diri sendiri dengan tidak melaksanakan ketaatan sepenuhnya pada Allah....berusaha dengan giat mengintai-gintai pintu keampunan Allah dengan banyak bertaubat untuk bersihkan hati nurami kita dari karat-karat dosa yang sekian lama melekat dijiwa....
Kita serahkan jiwa sepenuh hati pada Allah....melalui madrasah Ramadan untuk mempersiapkan rohani supaya mantap melalui ibadah solat tarawikh, solat tahajjud, qiyamullail dan zikrullah,  memanfaatkan setiap detik masa melakukan amalan soleh, menyuburkan amalan sedekah, menyambung tali silaturrahim  dan banyak lagi....
 
Pendekata...apa sahaja yang kita buat segalanya untuk meningkatkan akaun amal soleh kita mengurangi akaun amal yang mungkar....
 
Mohon kekuatan dari Allah jua untuk kita dapat melalui Ramadan ini dengan jayanya...dengan beroleh sijil takwa , diampunkan dosa2 dan dibebaskan dari api neraka bila berakhirnya bulan yang barokah ini!! Ameen...ya Rabb.
 
 
 
 
 

Monday, June 30, 2014

Tazkirah Ramadan.....Tingkatan Puasa yang perlu kita capai..

Bismillahirrahmanirrahim…
 Alhamdulillah setinggi-tinggi rasa syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya dapat bertemu kembali  dalam coretan blogku ini di hari yang mulia dalam bulan mulia penuh barokah ini, bulan Ramadan. Bersyukur ku ke hadrat Allah azzawajjalla kerana di pertemukan semula dengan Ramadan ini setelah setahun menghilang....dan kini muncul semula dengan membawa sejuta rahmat sejuta barokah kepada seluruh alam. Semoga Ramadan kali ini lebih baik dari tahun lepas...perbaiki diri dari kelemahan-kelemahan yang menguasai diri, tingkatkan amalan diri, khusyukkan hati dalam menjalani ibadah......dengan itu hubungan jiwa dengan Allah lebih indah dan terkesan.!!
 
Perlu rasai di jiwa bulan in merupakan satu anugerah dari Allah kepada kita untuk mendapatkan keampunan dari Allah akan segala dosa-dosa kita....sehingga apabilanya terlaksananya ibadah puasa ini kita umpama seorang bayi yang baru dilahirkan...suci bersih dari dosa!! Itulah matlamat puasa Ramadan Karem sebenarnya.
 
Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan pada Allah, Allah akan ampunkan segala dosa kita iaitu segala dosa2 kecil…kecuali dosa2 besar yang perlu bertaubat nasuha…Puasa yang dilakukan benar-benar kerana Allah…Allah sendiri yang bagi ganjarannya, tidak ternilai hanya Allah yang mengetahuinya. Ini disebabkan orang mukmin sanggup meninggalkan segala kehendak nafsu dan syahwatnya hanya semata-mata kerana Allah SWT, maka selayaknya Allah yangmembalasnya!!
Bagi orang yang berpuasa…Allah beri 2 kegembiraaan
 
1. Gembira ketika berbuka puasa….
Setelah berpuasa sepanjang siang hari...gembiranya hati orang mukmin dikala berbuka untuk menghilangkan lapar dahaga......nikmatnya menghadapi makanan yang tersaji, alhamdulillah di atas kurniaanNya. Begitulah Islam mendidik kita untuk makan bila lapar...barulah kita dapat menghargai dan besyukur pada Allah yang telah memberikan kita rezeki dariNya.

Namun disaat kita berbuka kita berfikirlah sejenak…bagaimana ada org lain yang tidak ada makanan langsung untuk berbuka..jadi dengan berpuasa , kita sendiri merasai bagaimana rasa lapar dan dahaga orang susah yang tidak ada makanan. Dengan itu dapat mendidik hati kita rasa belas dan ihsan pada mereka dan bersedia menghulur bantuan yang diperlukan..

 2.. Gembira bertemu Allah nanti…
 Diakhirat nanti inilah saat yang ditunggu -tunggu oleh orang Mukmin untuk bertemu dengan Allah Rabbuljalil..Rabb yang Maha Mulia, yang Maha Indah, dengan segala sifat kesempurnaanNya..tidak dapat dibayangkan oleh akal dan tidak dapat  dicapai   oleh pancaindera manusia yang terbatas...
Masyaallah itulah nikmat agung yang hanya oleh berikan kepada orang beriman sahaja di akhirat nanti...!!! Semoga kita mukmin semua dapat bertemu dengan Allah kelak...Ameen ya Rabbalalamin...
 
Ibadah puasa merupakan ibadah rahsia antara hamba dengan Rabbnya…hanya Allah sahaja yang mengetahui sejauhmana kita telah melaksanakan ibadah ini di saat kita bersama orang ramai atau ketika sendirian. Melalui puasa dapat mendidik diri kita merasai pengawasan Allah walau dimana jjua kita berada dan pada ketika bilapun. Dengan ini rasa keikhlasan diri padaNya dapat di pupuk, begitu juga sifat takwa dapat di tanam dalam hati...

Justru itu , sebenarnya puasa dapat menjadi mujadalah untuk jiwa......latihan untuk kekentalan jiwa....supaya ia di latih dengan sifat sabar, ikhlas takwa, empati, ihsan, pemurah dan banyak lagi...   .

 Selain itu , melaksanakan ibadah puasa dan ibadah-ibadah lain seperti solat terawih, tahjjud, witir, hajat dan lain-lain lagi dalam bulan Ramadan dapat membersihkan hati kita ..lantas dapat buka hijab antara kita dengan Allah. Dengan itu , senang buat kebaikan, bersedekah, beristighfar, lembut hati, timbangrasa, sabar.....

 Sebenarnya puasa ada 3 kedudukan..
1. Puasa Umum
Puasa yang hanya menahan perut dari makan dan minum dan menahan syahwat kemaluan sahaja. Puasa begini tahap yang paling rendah dimana apa yang di dapati hanya lapar dan dahaga sahaja.Manfaat puasa tidak dapat dilaksanakan dalam diri.

2. Puasa khusus
Selain dari makan dan minum, menjaga syahwat kemaluan , seluruh pancaindera juga di jaga dari perkara-perkara yang dilarang seperti menjaga mulut/lidah dari mengumpat, menjaga mata dari melihat perkara yang haram, menjaga telinga dari  mendengar perkara yang haram, menjaga kaki dari melangkah ketempat yang haram , menjaga tangan dari mengambilyang bukan haknya..
Inilah puasa minima yang seharusnya dicapai oleh orang mukmin....bukan hanya dapat lapar dan dahaga. Melalu pusa khusus ini dapat melatih diri meninggalkan segala yang di haramkan oleh Allah....

3. Puasa Khusus al Khusus
Puasa sebegini merupakan puasa tingkatan tertinggi...puasa para Nabi dan Rasul dan para solehin...
Bukan hanya setakat menjaga dan menahan dari makan dan minum, menjaga seluruh pancaindera , bahkan  menjaga hati dari keinginan yang buruk, lintasan jiwa yang tidak soleh, menjaga fikiran dari perkara yang haram....
Pendekata ia adalah puasa zahir dan batin ......fizikal dan jiwa  dilatih dan  dijaga supaya ia sentiasa tunduk dan patuh di atas egala perintah Allah SWT....segala yang subhat dan makruh ditinggalkan untuk menjaga jiwa supaya sentiasa bersih....

Terdapat 6 perkara untuk sempurnakan puasa ....
(untuk  tingkatan puasa yang khusus dan inilah minima  yang perlu kita capai…)

1. Jaga pandangan dari yang haram…pandangan pertama di maafkan, pandangan kedua dan seterusnya……dosa. Jadi perlu elakkan untuk jaga hati kita dari dicemari…

 2. Tidak bercakap atau buat perkara yang tidak berfaedah……seperti cakap kosong, melalaikan dsbnya.... isi masa terluang dengan banyak berzikir pada Allah, membaca Quran, meningkatkan ilmu dengan baca buku2 agama dll….

3. Jangan bercakap tentang perkara yang haram…contohnya mengumpat ,mengadu domba, fitnah dsbnya..

4. Tahan anggota –anggota badan dari melakukan dosa ..contohnya makan benda yang haram, mencuri, memukul orang,  juga tinggalkan yang syubhat dan makruh…

5. Tidak berlebihan ketika berbuka dengan makanan yang halal…supaya tidak membazir. Jangan penuhkan perut dengan makanan. Tiada tempat yang paling di benci oleh Allah melainkan perut yang penuh diisi dengan makanan.

 6. Hendaklah timbulkan dalam hati rasa takut puasa kita Allah tidak terima dan berharap puasa kita diterima oleh Allah SWT...

Amaran dari Rasulullah saw..
Sesiapa yang berbuka puasa Ramadan pada siang hari bukan kerana rukhsah (kelonggaran yang dibenarkan seperti sakit), walaupun kita ganti puasa itu, tak sama kalau kita puasa selama setahun….
Begitu besar nilai puasa Ramadan itu...walau di ganti tidak sama nilainya!!

 Jadi marilah kita sama-sama  menjaga puasa kita bukan hanya setakat menahan lapar dan dahaga sahaja…..tingkatkan agar sekurang kurangnya puasa khusus dapat kita capai, insyaaAllah....
Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk terus istiqamah dalam menunaikan ibadah kita sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini...

Ameen Ya Rabbal  alamin...

 

Monday, May 12, 2014

Dimana DIA di hatiku?



Di hatiku masih ada dua cinta yang bergolak dan berbolak-balik. Antara cinta ALLAH dan cinta dunia sedang berperang dengan begitu hebat dan dahsyat sekali.

Kalau kau tanyakan aku, "Adakah DIA di hatimu?"

Aku hanya mampu menjawab, "Aku seorang insan yang sedang bermujahadah agar ada DIA di hatiku. Aku belum sampai ke tahap mencintai-NYA tetapi aku yakin aku telah memulakan langkah untuk mencintai-NYA."


Justeru, kerana belum ada DIA di hatiku, hidupku belum bahagia, belum tenang, dan belum sejahtera. Aku akan terus mencari. Aku yakin ALLAH itu dekat, pintu keampunan-NYA lebih luas daripada pintu kemurkaan-NYA.

Selangkah aku mendekat, seribu langkah DIA merapat. Dan akhirnya... aku yakin... suatu saat nanti, akan ada DIA di hatiku dan di hatimu jua.

Dan kita akan terus mengemis kasih...

- Ustaz Pahrol Mohd Juoi [Di Mana Dia Di Hatimu?]

Mujahadah Cinta

Thursday, April 03, 2014

Mengapa kita diuji.......Ustaz Pahrol



Mengapa Allah menguji kita?

Apabila diuji dengan kesakitan, perpisahan, kegagalan, kemiskinan... terdetiklah rasa , "Apakah Tuhan sayangkan aku?Kenapa aku diuji sebegini berat sekali?"

Kenali Tuhan yang mengujimu !

Tanpa kita sedari kita sudah mempersoalkan kuasa Tuhan, padahal kita hanyalah hambaNya. Hamba tidak berhak menyoal, sebaliknya hamba akan disoal. Namun, itulah kelemahan manusia. Kita sering alpa dan terlupa.

Paling malang, manusia kerap terlupa dirinya hamba. Terutama ketika diuji. Sebab itu Allah mengajar kita kalimah 'istirja' setiap kali diuji.

ان لله و إن اليه راجعون

"Kami milik Allah, kepadaNya kami akan dikembalikan"

Ya, inilah kalimah yang mengingatkan bahawa kita milik Tuhan, Tuhan layak menguji kita dan kita layak diuji. Jangan sesekali menolak apalagi 'mengamuk' apabila diuji. Kita hanya hamba...

Namun, untuk meringankan kepedihan ujian yang menimpa, hendak kita mengenal Allah yang memberi ujian itu, Kenallah sifat ilmu, kasih-sayang dan belas ihsan Allah yang Maha Hebat. Sebagai hamba , ilmu kita terbatas, ilmu Allah yang Maha Luas. Kasih sayang kita cuma seraut, kasih sayang Allah selaut. Orang yang mengenal Allah, akan mencintaiNya. Bila sudah cinta, kuranglah derita diuji. Bukankah cinta itu buta?

Orang yang mengenal kasih sayang Allah punya keyakinan bahawa keputusan (takdir) Allah itu yang memberikan yang terbaik. Allah Maha Pengasih dan Penyayang, tidak memberi sesuatu yang buruk untuk hambaNya. Justeru, hamba yang baik tidak akan berburuk sangka terhadap Allah dengan merasakan apa yang ditakdirkanNya (ujian) itu ialah sesuatu yang tidak baik.

Yakinlah bahwa semua ketentuan Allah itu adalah baik. Ujian itu pasti ada kemuslihatan yang tersembunyi untuk setiap kita. Pilihan Allah untuk kita adalah yang terbaik, cuma kita tidak tahu atau belum mengetahuinya. Bila berlaku nanti, barulah kita tersedar, Ya Allah, mujur Kau takdirkan begitu. Kata arifbillah (orang yang mengenal Allah):

"Sekiranya kita merasakan kasih sayang Allah itu terpisah apabila Dia menguji kita, itu petanda tumpulnya akal, butanya mata hati"

Di antara hikmah ujian, seseorang akan dapat menambah tumpuan dan tujuannya untuk menjadi hamba Allah. Yang mana selama ini, jalan itu disekat oleh hawa nafsu. Sebab ujian bertentangan dengan kehendak, keinginan nafsu dan syahwat manusia. Nafsu yang buas dan liar untuk melakukan maksiat itu tidak suka pada sakit, rugi, miskin dan lain-lain. Lalu apabila diuji, nafsu itulah yang terdesak, tidak senang dan ingin segera terlepas daripada ujian itu.


Jadi, apabila nafsu terdesak, hati dan akal akan terbuka. Inilah jalan kebaikan, kerana ajakan untuk melakukan kejahatan akan turut tertahan, kerana nafsu itu sangat mengajak pada kejahatan. Ujian itu sesungguhnya akan melemahkan nafsu, menghilangkan kekuatannya serta batalkan kudratnya. Bila nafsu lemah, manusia tidak akan jatuh ke lembah dosa - mengejar keseronokan dunia sehingga melupakan batasan syariat.


Ujian juga menimbulkan rasa taat kepada Allah. Hati tidak dapat tidak mesti bersabar. Hati akan terdidik untuk redha dan tawakal. kerana Qada dan QadarNya mesti berlaku. Manusia akan lebih dekat dengan agama, kepentingan akhirat dan cinta kepada Allah. Hikmah ini walaupun sebesar zarah tetapi apabila melekat di hati kebaikannya lebih tinggi dari amal lahiriah walaupun sebesar gunung. Inilah kebaikan di sebalik kepahitan ujian. Justeru Allah berfirman :

".... Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan sesuatu itu merosakkan kamu. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak tahu"
(Surah al-Baqarah : 216)

Ujian itu menghapuskan dosa dan kesalahan terhadap Allah seperti bahan pencuci membersihkan kain yang kotor. Nabi Isa pernah berkata, "Belum dikatakan seseorang itu kenal Allah, sebelum ia bergembira dengan musibah dan penyakit ke atas dirinya, kerana berharap supaya dihapuskan kesalahannya"

Bila kita benci dengan ujian, ertinya kita belum kenal Allah dan (kerana) tidak faham itulah cara (kaedah) Allah mengampunkan dan membersihkan dosa-dosa kita. Ya, seolah-olah orang yang benci diuji itu tidak suka dibersihkan daripada dosa-dosa atau apakah dia merasa tidak berdosa? Sebaliknya apabila kita gembira (menerima dengan baik) ujian itu, kerana yakin bahawa yang datangkan ujian itu juga daripada Allah., kita bukan sahaja berikhtiar (berusaha) untuk menghilangnya tetapi juga berusaha untuk mendapatkan hikmahnya.

Rasulullah SAW bersabda, "Barangsiapa yang dikehendaki Allah pada seseorang itu kebaikan, makan Allah akan cuba dengan ujianNya"

Jadi apabila diuji, terimalah dengan baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada takdir Allah yang tiada hikmahnya. Orang-orang soleh bila diuji, hikmah-hikmah ujian akan mendekatkan mereka kepada Allah. Tapi bagi tidak suka atau benci diuji, tidak akan dapat melihat hikmah kerana akal dan hatinya melihat sesuatu hanya selari dengan nafsunya sahaja.

Ingatan para hamba kepada Allah akan bertambah dengan ujianNya. Itu petanda Allah pilih dia untuk diuji. Dan bila diuji, bertambah pulalah ingatan hamba kepada Allah. Oleh itu, tiada jalan keluar melainkan tiga langkah ini apabila diuji iaitu...

1) Kuatkan Iman, pupuk kesabaran, mantapkan keyakinan menghadapi ujian itu dengan segera mendekatkan diri kepada Allah.

2) Cuba serapkan rasa di dalam hati Kehendak (pilihan) Allah mengandungi hikmah yang baik jika diterima penuh keinsafan dan kesabaran.

3) Berbaik sangka dengan Allah dengan cara menyedari (mencari) hikmah. Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untuk kita.

Ya, Allah timpakan ujian yang besar, untuk 'membesarkan' kita. Ingat itu. Justeru, ahli yang bijaksana sering berkata... Pemimpin yang besar itu dikenali melalui ujian yang dihadapinya. Semakin besar tahap kepimpinannya, maka semakin besarlah ujian yang Tuhan sediakan untuk 'membesarkan' lagi pengaruh kepimpinannya.

Dan setiap kita adalah pemimpin. Sekurang-kurangnya pemimpin buat diri sendiri. Jadi, kita pasti diuji ! Justeru apabila diuji jangan katakan

"Apakah aku tersisih?"

sebaliknya, katakan.......

"Aku sudah terpilih!"

"Apabila kira redha atas sesuatu yang mengecewakan kita, maka percayalah Allah akan menggantikan kekecewaan itu dengan sesuatu yang tak dijangka"

"Anehnya orang beriman, apabila diuji dia bersabar, apabila diberi kesenangan dia bersyukur"


Duhai hati, bersabarlah........ 
Sesungguhnya hidup ini fana...
Kesakitan dan kepedihan yang di rasai itu...
Hanya sebentar cuma...

Kuatkan hati tabahkan jiwa...
Biar berderai airmata...
Biar lelah menyapa..
Namun mengalah tiada jua...

Mengadulah padaNya...
Itulah kekuatan jiwa...
Berserah dan bergantung harap padaNya!! 

RAW 2/4/14

Monday, February 03, 2014

Wasiat Allahyarham Prof Dr Abdul Karim Zaidan... utk renungan diri..!!

Bismillahirrahmanirrahim

Kepulangan Prof Dr Abdul Karim Zaidan ke rahmatullah merupakan satu kehilangan besar buat ummat Islam di seluruh dunia kerana beliau merupakan tokoh ilmuan Islam di abad ini yang menjadi rujukan banyak gerakan Islam di zaman ini. Buku beliau Usuluddakwah sering menjadi rujukan kami semasa di awal penglibatan dalam Islam. Semoga Allah merahmati beliau di atas jasa-jasanya yang besar pada Islam, di tempatkan rohnya bersama orang soleh dan diampuni segala dosa2nya. Wasiat beliau dibawah ini merupakan satu wasiat yang berguna untuk kita ikuti dan pegang di akhir zaman penuh fitnah dan mehnah ini. Satu demi satu kita dapati ulama Islam meninggalkan kita....smoga Allah sentiasa memimpin kita di atas jalan yang benar dan sentiasa dapat berpegang teguh di atas jalan yang hak, di atas sunnah Rasulullah saw, insyaallah. Ameen ya rabbal alamin.

WASIAT USTADZ 'ABDUL KARIM ZAIDAN, 1993


Kita mestilah melibatkan diri dalam jama'ah yang menjadikan tarbiyyah sebagai asas yang berpanjangan dan tidak berubah-ubah oleh masa. Jama'ah ini pada masa yang sama membina hubungan yang baik dengan jama'ah Islam yang lain, berasaskan ukhuwwah Islamiyyah yang umum. Kita mestilah memperkenalkan kepada mereka (jama'ah lain) bahawa kita adalah satu jama'ah yang mempunyai anggota dan manhaj.

Jama'ah ini berasaskan tarbiyyah ruhani dan penambahan ahlinya adalah berdasarkan da'wah fardiyyah. Dengan kata lain, kita mengikuti manhaj yang telah digariskan oleh Imam Hassan al Banna, apabila beliau berkata yang kita mahu membina individu muslim, keluarga muslim, dan masyarakat muslim. Apabila kita berbuat demikian, daulah Islam akan lahir dari masyarakat muslim itu sebagaimana buah yang keluar dari sebuah pohon. 

Pembentukan individu muslim pula berdasarkan kepada: 

Iman yang mendalam dalam hati, hubungan yang kuat dengan Allah melalui zikir yang berterusan, tilawah al Qur'an, solat malam, dan puasa sunat seperti tiga hari sebulan. 

Pengkajian Tafsir seperli Tafsir Ibnu Katsir atau ringkasannya (mukhtasar), Fi Zilaal oleh Sayyid Qutb. 

Pengkajian hadith seperti hadith empat puluh an Nawawiyyah. 

Pengkajian fiqih seperti Fiqh as Sunnah oleh Sayyid Sabiq kerana seorang muslim hendaklah mengetahui deen Islam dan perundangannya. Supaya dengan itu, apabila individu itu memperkatakan sesuatu tentang Islam, perkataannya tidak lari dari ilmu Islam. 

Pengkajian sirah seperti Sirah an Nabawiyyah oleh Abul Hassan an Nadawiyy dan Imtaa'a al Asma' Sirah al Makriziyy dalam bahasa Arab. 

Pengkajian rasail oleh Imam al Banna seperli Mu'tamar ke Lima, Risalah at Ta'alim, Usul 'Isyrin, dsb. 

Pengkajian beberapa buku dari al Maududi seperti Mabaadi' Islam (Asas-asas Islam), Syihaadatul Haqq (Penyaksian ke atas Kebenaran) dsb. 

Pengkajian buku oleh an Nadawiyy seperti Madza Khasaril 'Alam bi Inhitotil Muslimin (Kerugian Dunia Akibat Kemunduran Muslimin). 

Pengkajian buku oleh Sayyid Qutb seperti Mustaqbal Lihadza ad Deen (Masa Depan Islam), dsb. 

Wahai anakku, 

Saya mewasiatkan kamu supaya: 

Ikhlas kerana Allah semata-mata, bekerja untuk mencari keredhaanNya, bukan kepada penghormatan (sum'ah) dari manusia dan kedudukan atau jawatan di antara mereka. Amal yang dikerjakan secara rahsia lebih baik dari amal yang didedahkan. 

Mencapai makna ukhuwwah Islamiyyah yang sebenar di antara kamu dan saudara-saudara kamu dengan menubuhkan usrah di tempat kamu belajar atau menetap. 

Sentiasa menyoal diri kamu apakah yang telah kamu sumbangkan untuk da'wah kamu hari ini? Apakah kamu mampu untuk membawa seorang saudara baru ke dalam da'wah kamu? Jadikan slogan kamu dalam hal ini sebuah hadith: 

مَنِ اسْتَوَى يَوْمَاهُ فَهُوَ مَغْبُونٌ 
"Manistawaa yaumahu fahuwa maghbun" 

"Sesiapa yang dua harinya bersamaan (umpamanya tiada peningkatan di antara hari ini dan semalam), maka dia termasuk dalam golongan yang rugi." 

Maksudnya, seorang muslim hendaklah menjadikan amal solehnya lebih baik. dan meningkat dari hari ke hari. 

Apabila kamu hendak tidur, soallah diri kamu, apakah saya telah melakukan dosa? Adakah saya telah mencuaikan tanggungjawab da'wah? Jika kamu menjumpai kesalahan, mestilah kamu memohon ampun dan Allah. Kemudian bacalah al Qur'an setakat yang mampu, dan mengucap kalimah asy Syahadah sebelum tidur. Kamu mungkin mati dalam tidur kamu. Jika kamu dihidupkan kembali keesokkannya, hari itu adalah hari yang baru dan satu lagi peluang untuk kamu bekerja untuk da'wah dan apa sahaja yang disukai oleh Allah. 

Selalu mengingati hadith Rasulullah s.a.w.: 

عن أبي العباس عبد الله بْنِ عَبَّاسٍ قَالَ كُنْتُ خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا فَقَالَ:" يَا غُلاَمُ إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ احْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظْكَ احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَاعْلَمْ أَنَّ الأمة لَوْ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ وَلَوْ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ رُفِعَتْ الْأَقْلاَمُ وَجَفَّتْ الصُّحُفُ" رواه الترمذي ، وأحمد ، وصححه الألباني في صحيح الجامع برقم 

Dari ibnu 'Abbas r.a., Baginda telah bersabda: "Saya pernah berada di belakang Nabi s.a.w. pada suatu hari, maka beliau bersabda: "Hai anak Aku akan mengajar engkau beberapa kalimat: 'Jagalah Allah pasti Allah akan menjaga engkau. Jagalah Allah pasti engaku akan mendapatkanNya di hadapanmu. Jika engkau minta tolong, mintalah tolong kepada Allah. Ketahuilah, bahawa sesungguhnya jika bersatu ummat (manusia) untuk memberikan manfa'at padamu dengan sesuatu, nescaya tiadalah mereka dapat melakukan hal itu, kecuali dengan sesuatu yang telah ditentukan Allah pada mu, dan jika mereka bersatu untuk mencelakakan kamu dengan sesuatu, nescaya tiadalah mereka dapat mencelakakan kamu kecuali dengan sesuatu yang telah ditentukan oleh Allah padamu. Telah diangkat kalam dan telah kering lembaran-lembaran itu.'" 

Itulah nasihat yang juga ditujukan kepada saya dan juga kamu. 

(Wallahu'alam)





Unlike · · Share

Tuesday, December 17, 2013

Beriman tanpa ragu-ragu...



Bismillahirrahmaanirrahim...

Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya dapat sekali lagi ku coretkan peringatan buat diri ini dan perkongsian bersama pembaca blog sekelian. Mudah-mudahan apa yang di tuliskan ini dapat dimanfaatkan dan disebarluaskan, insyaaAllah.

Sama-sama kita renungi firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat ayat 15 yang bermaksud...

" Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasulnya dan kemudian mereka tidak ragu-ragu, mereka berjihad dengan harta benda dan jiwa raga mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar."

Dari ayat di atas jelaslah kepada kita siapakah orang yang beriman itu dan ciri-cirinya....iaitu mereka yang ada iman yang tidak ada sedikitpun keraguan dijiwa, berkeyakinan yang bulat padu pada Allah dari hati, dibenarkan oleh lisan dan dibuktikan dengan amalan!!

Hatinya benar-benar yakin dan percaya pada Allah dan RasulNya, tiada ada rasa ragu, tidak ada rasa tidak puas hati ,  tidak ada rasa tidak layak atau was-was terhadap sistem Allah SWT atau hukum-hukum Allah. 

Iman sebeginilah yang mampu melahirkan jihad yang sebenarnya iaitu jihad dengan hartabenda bahkan jiwanya sanggup diserahkan di atas jalan Allah SWT.  Segala apa yang ada pada dirinya hanya untuk Allah dan kerana  Allah semata-mata.....Pendekata lautan sanggup direnangi, daratan sanggup ditempuhi demi Allah dan Rasulnya yang tercinta!! MasyaAllah hebatnya pengaruh iman yang bulat dan tidak ragu-ragu ini....sehingga segalanya jadi mudah dan kecil, tidak ada apa-apa walaupun manusia mungkin nampak susah dan impossible!

Iman yang tidak ragu-ragu ini akan merasai satu kepuasan, mantap dan tetap tidak berbelah bagi dan mendesak diri untuk tunduk dan patuh melaksanakan setiap perintah Allah dan menjauhi laranganNya dalam diri , keluarga dan masyarakat. 

Dia tidak akan rasa senang dan tenang bila perintah Allah dilanggar dan larangan Allah tidak dihiraukan. Rasa sedih menyelubungi hati bila memaksiatiNya dan gembira bila mentaatiNya. Inilah tanda iman sudah bertahta dijiwa dan apa yang dirasai akan disepadukan dalam kehidupan dan amalan seharian.

Itulah dia iman yang hakiki, iman yang benar yang tidak sabar-sabar lagi untuk beramal dan berjuang......tidak pernah mencari alasan untuk tidak turut serta dalam medan jihad. Inilah dia iman yang hidup segar dan sihat dalam jiwa insan yang benar-benar beriman tanpa ragu-ragu!!

Maka semaklah diri kita sendiri...sejauhmanakah iman yang benar ini sudah bertahta dalam jiwa? Sejauhmanakah pengorbanan kita diatas jalanNya....sudahkah apa yang kita yakini dan rasai itu dijelmakan dalam kehidupan kita? Apakah sama apa yang kita cakap dengan apa yang kita perbuat? Jika masih ada pertentangan antara apa yang ada di dalam hati dengan amalan kita....maka itulah yang di namakan nifaq.

Iman orang yang nifaq ini adalah iman yang lemah, iman yang tidak mantap senang berbolak balik. Perlakuan dan amalannya bercampur baur antara kemaksiatan dan ketaatan dan ia akan disiksa dan diberi pahala sesuai dengan amalannya. Sifat nifaq ini adalah tercela kerana ia adalah ciri orang munafiq yang di murkai dan dilaknati Allah SWT.

Dalam satu hadis Rasulullah tentang nifaq ini yang bermaksud...

" Ada empat hal yang jika terdapat pada diri seseorang, maka ia menjadi seorang munafiq sejati, dan jika terdapat padanya salah satu dari sifat tersebut, maka ia memiliki satu karakter kemunafikan hingga ia meninggalkannya: 1) jika dipercaya ia berkhianat, 2) jika berbicara ia berdusta, 3) jika berjanji ia memungkiri, dan 4) jika bertengkar ia melewati batas.”

Realiti masyarakat Islam sekarang, sebahagian besar praktik hidup  berjalan tanpa dipandu oleh iman yang benar. Mengapakah terjadinya demikian ? Kemungkinan syahadah yang diucap hanya di mulut tapi tidak masuk dan meresap ke dalam ke hati. Ini menyebabkan apa yang diucap tidak sama dengan yang diamalkan...dengan kata lain cakap tak serupa bikin! Itulah tanda iman yang palsu  atau lemah.

Justru itu, terjadinya amalan yang berlawanan dengan ajaran Allah SWT. Sedangkan sepatutnya antara amalan jahiliyyah dan Islam tidak pernah ada kompromi. Islam dan jahilyyah  tidak boleh bersekutu, saling bermusuhan antara satu sama lain.

Jadi, dalam hati orang mukmin hanya ada satu kecintaan sahaja natijah dari iman yang benar, mantap dan tidak ragu-ragu...iaitu cintakan Allah, cintakan Rasul dan kebenaran!  Bagaimana mungkin hati itu cinta pada Allah dan Rasul jika masih banyak kecintaan pada dunia, cintakan apa yang disukai nafsu, cintakan jahiliyyah ? Memang dalam hati itu tidak akan terkumpul dua kecintaan ini serentak! Kena pilih salah satu....! Orang Mukmin pastinya akan memilih cinta Allah dan Rasul sementara orang fasik , munafik dan kafir akan memilih jahiliyyah, hawa nafsu dan dunia.

Jika sesaorang itu mengaku beriman tapi dia tidak menolak jahiliyyah malah berseronok dengan jahilyyah, diam membatu bila keluarga sendiri terlibat dalam jahiliyyah, ini menunjukkan imannya sudah lemah tidak berfungsi lagi dan hatinya sudah dihinggapi penyakit.

Jiwa yang lemah iman ini perlu segera bangkit  semula agar ia bertenaga kembali untuk melawan dan menolak jahiliyyah.... jika tidak ditakuti lama kelamaan jiwa tersebut semakin lemah hingga hati itu mati. Satu musibah besar bila hati itu mati terlebih dulu dari jasad...berjalannya ia di muka bumi Allah ini seperti mayat hidup yang tidak bernilai disisi Allah!

Jahiliyyah ini mesti dilawan dengan iman supaya ia tunduk di bawah telunjuk iman. Janji Allah bahawa iman dan kebenaran pasti menang dengan izinNya cuma ia menuntut jihad dan pengorbanan, kesabaran dan istiqamah berada di atas jalan iman sama ada dalam keadaan susah atau senang. Hanya senya orang yang benar imannya adalah mereka yang beriman dengan Allah dan RasulNya tanpa ragu-ragu, sedia berkorban dan berjihad hartabenda bahkan jiwa raganya untuk Allah!!

Sesungguhnya perjalanan kehidupan orang-orang beriman ini bukanlah ditaburi dengan bunga dan permaidani merah tapi di penuhi dengan keringat,  airmata dan darah, jihad dan pengorbanan yang berterusan menentang jahiliyyah.....banyak halangan yang merentasi perjalanan itu...maka perlunya kita memelihara diri kita agar sentiasa berada di atas landasan yang benar menuju kepada matalamat yang satu agar mendapat kejayaan sebenar di sisi Allah! Hanya bila kita berada di atas jalan Allah yang benar kita akan sentiasa mendapat pertolonganNya, rahmatNya, keredaanNya....itulah janji Allah bahawa Dialah penolong dan pelindung orang-orang yang beriman dan bertakwa...!!

Hasbunallah wani'mal wakeel wani'mal maula wani'mannasir....

Sumber  Tarbawi
  

Hakikat hidup ini...

Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...