Sunday, August 28, 2011

Tazkirah Ramadhan..........menyambut Aidul Fitri dan merayakannya sbg orang yang bertakwa!




Bismillahirrahmanirrahim....

Alhamdulillah telah hampir sebulan kita berpuasa, Ramadhan kini telah sampai ke penghujungnya ! InsyaAllah, sehari lagi kita akan merayakan Aidul Fitri....hari kemenangan bagi orang yang berpuasa, hari kemenangan bagi orang yang bermujahadah melawan hawa nafsunya dan selayaknya mendapat ijazah takwa.....yang merupakan natijah ibadah puasa itu sendiri.

Bagi kita, perlunya bermuhasabah diri..... layakke kita berhari raya....... puasa  kita tahun ini,  telah benar-benar ke kita melakukan mujahadah hawa nafsu, mempergiatkan ibadah kita dan terus menerus mendekati Al-Quran selalu? Jika ya, Alhamdulillah dan bersyukurlah kita di atas kemampuan kita melaksanakan tuntutan ibadah puasa ini. Jika tidak, sama-samalah kita beristighfar dan berusaha semampu mungkin, meneruskan ibadah-ibadah yang kita lakukan di bulan puasa ke bulan-bulan lain......sebagai persediaan kita untuk bulan Ramadhan yang akan datang. Kita perlu berazam dan membuat persediaan lebih awal lagi....supaya kita dapat menebus segala kekurangan yang dilakukan pada bulan puasa kali ini!  

Di hari lebaran ini, perlunya kita mengetahui bagaimana caranya orang yang bertakwa merayakannya supaya kita dapat meniru dan menjaga adab-adab berhari raya yang sepatutnya. Bukannya seperti realiti masyarakat yang beraya dengan menuruti hawa nafsu, seolah-olah membalas dendam sebab di bulan puasa banyak yang dilarang! Dengan pesta makanan rumah terbukanya, pergaulan bebasnya, dengan rancangan TV yang tersasar dari landasan syarak dan macam-macam lagi....

Walaupun kita belum mencapai hakikat takwa yang sebenarnya dan kita masih lagi belajar cara puasa orang yang bermujahadah, kita tumpang gembira merayakan hari kemenangan orang yang bertakwa ini.......Mungkin kita rasa sedih puasa kita masih ada kekurangannya di sana sini, tapi sama-sama rasa kita bergembira merayakannya......dengan cara orang yang bertakwa!

Antara sunnah merayakan hari raya ini mengikut Rasulullah saw adalah........

1.  Bertakbir, bertahmid dan bertasbih membesarkan Allah SWT.

Sejak matahari terbenam pada hari terakhir  Ramadhan ( bermulanya 1 Syawal pada maghribnya) sehingga solat sunnat Aidul fitri di pagi raya, di sunnatkan bertakbir, bertahmid dan bertasbih kepada Allah SWT.

Dengan bertakbir, bertahmid dan bertasbih,  kita membesar dan mengaungkan Allah SWT dan juga kita menyedari bahawa kemampuan kita melaksanakan ibadah puasa ini adalah dengan taufik dan hidayah dari Allah SWT jua.Alhamdulillah, hanya dengan izinNya juga , kita dapat berada menghirup udara Ramadhan, berpuasa dan melaksanakan ibadah-ibadah seperti qiyamulalil, solat tarawih , zikir dan membaca, tadarrus dan tadabbur Al-Quran di bulan mulia ini..... 

Dengan itu,  kita melahirkan rasa kesyukuran hati,  dengan rasa khusyuk dan tawaddhu', kerdil, hina, miskin dan jahil diri, kita mengagung dan  membesarkan Allah SWT dengan sepenuh keagungan setelah berjaya dan tamat melakukan ibadah puasa sebulan penuh. Sama-samalah kita renungi Firman Allah SWT dalam Surah Al Baqarah ayat 185 yang bermaksud.....

"Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangan (sebulan Ramadhan) dan kamu mengagungkan Allah (dengan bertakbir raya) atas petunjuk Nya yang di anugerahkan kepada kamu agar kamu menjadi orang yang bersyukur....."

2. Mandi sunat Aidulfitri, memakai pakaian yang indah dan harum-haruman, serta makan dan minum sebelum pergi solat raya.

Pada pagi hari raya , seharusnya kita membersihkan diri dengan mandi sunat di pagi raya, memakai pakaian yang terbaik, indah dan berwangi-wangian.  Semua ini di atas tanda kesyukuran kerana telah berjaya melaksanakan  ibadah puasa. Disunatkan juga makan dan minum sebelum pergi menunaikan solat Aidul Fitri seperti sabda Rasulullah saw dalam satu hadis diriwayatkan oleh Ibnu Majah,

Daripada Abu Hurairah,  Rasulullah saw bersabda "  Al-Saum adalah hari kamu berpuasa, Al-Fitri adalah hari kamu berbuka dan Al-Adha itu adalah hari kamu menyembelih binatang." 

Jadi pada 1 Syawal diharamkan berpuasa dan diwajibkan berbuka dengan makan dan minum tapi bukan dengan cara yang berlebih-lebihan dan berlakunya pembaziran. Makannya orang yang bertakwa dengan keluarga dan sahabat handai secara berjemaah dalam suasana penuh ceria dan ukhuwwah penuh kasih sayang.  

Tradisi kita yang berlebih-lebihan dalam penyediaan juadah hari raya perlu diperbetulkan kerana ini bukanlah sifat orang yang telah mendapat sijil takwa setelah sebulan bermujahadah diri dengan berpuasa! Alangkah pelik dan tidak wajarnya kita  setelah berjaya menahan diri dan mengawal nafsu di bulan Ramadhan, tiba- tiba bila datangnya  Syawal, terus nafsu yang telah berjaya dikawal itu, lepas bebas, membalas dendamnya..............  makanan yang disediakan terhidang sehingga tidak muat meja dan kemudian menyumbat kedalam perut makanan sepenuh-penuhnya apabila pergi beraya dari satu rumah ke satu rumah terbuka.........! Jadi, puasa yang telah dijalani tidak berjaya melahirkan insan bertakwa!

3. Menunaikan zakat fitrah sebelum solat raya

Orang yang bertakwa akan menunaikan bayaran zakat fitrah untnuk diri dan keluarganya. Pembayarannya boleh dilakukan sejak awal Ramadhan lagi, tetapi waktu paling afdhal adalah pada pagi raya selepas solat subuh sebelum solat raya didirikan.  Hadith Rasulullah saw daripada Ikrimah, daripada Ibnu Abbas berkata baginda saw,


" Sesiapa yang menunaikan zakat fitrah sebelum solat raya, ia zakat yang diterima dan sesiapa yang menunaikannya selepas solat raya ia adalah sedekah biasa (Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Al-Hakim) 

Orang yang bertakwa sangat perihatin akan nasib insan lain yang susah, fakir miskin, anak yatim dan asnaf zakat yang lain..... melalui zakat tersebut yang diagih-agihkan kepada mereka,  kegembiraan menyambut raya diraikan bersama. 

Melalui zakat, ia akan membersihkan kekurangan, kecacatan dalan lain-lain pencemaran semasa menunaikan ibadah puasa seperti perbuatan yang sia-sia tidak berfaedah di samping menjadi habuan kepada fakir miskin.

4. Solat sunat Hari Raya Aidul Fitri

Semua orang tidak kira muda, tua, miskin dan kaya termasuk juga wanita yang sedang haid disunatkan menghadiri perhimpunan tahunan raya ini iaitu solat Aidil Fitri ini. Semua orang dapat sama-sama bertakbir, bertahmid dan bertasbih memuji kebesaran dan keagungan Allah SWT, mendengar khutbah, berzikir serta mengaminkan doa imam. Inilah cara orang bertakwa meraikan hari kemenangan melawan hawa nafsu dalam diri. Bukannya dengan cara yang lain yang melanggar syarak.

Kita lihat ada masyarakat umat Islam meraikan raya ini dengan berpesta, berparti dengan pergaulan bebas, tidak menutup aurat bagi wanita, dihidangkan dengan lagu-lagu dan nyanyian yang dilarang dan berbagai kemungkaran lagi.... mereka yang tidak layak menyambut raya ini beraya lebih sakan dan melampau dari orang yang bertakwa! Roh Ramadhan itu cuba dibunuh seawal 1 Syawal lagi!  Malah sudah jadi satu budaya dimana ramai yang terjebak dalam dosa dan mungkar ini.  Kegembiraan mereka melebihi kegembiraan orang yang bertakwa.....

Renungilah sabda Rasulullah ini....
 "  Sesiapa yang ketawa ketika melakukan dosa, dia akan masuk neraka dalam keadaan menangis." (Riwayat Abu Naim)

5. Melakukan ibadah terus menerus pada Allah

Sekalipun Ramadhan telah berakhir, namun roh Ramadhan perlu diteruskan  sehingga ke sebelas bulan yang lain.  Satu petanda amalan yang diterima Allah adalah timbulnya dorongan untuk terus melakukan ibadah selepas menyelesaikan satu ibadah. Orang yang bertakwa tidak akan menghentikan ibadahnya sebaik Ramadhan berakhir, malah mereka akan terus istiqamah melakukannya.......

Kita sama-sama renungi satu hadith Rasulullah daripada Abu Umamah, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud....
"  Sesiapa yang mengerjakan amal ibadat pada malam Raya (Aidil Fitri dan Aidil Adha) dengan mengharapkan keredaan Allah SWT semata-mata , hatinya tidak mati (pada hari kiamat) sebagimana matinya hati (orang yang kafir dan ingkar )pada hari itu." (Riwayat Ibnu Majah)

Jadi marilah kita sama-sama meraikan hari kemenangan itu dengan penuh ketakwaan pada Allah, menjaga adab-adabnya supaya segala amal yang kita buat diterima oleh Allah sebagai amal soleh .  Alangkah ruginya setelah sebulan berpuasa...apa yang kita dapat hanya lapar dan dahaga bukannya Takwa sebagaimana yang sepatutnya!

Setelah kita melakukan satu amalan ibadah , sama-samalah kita perbanyakan istighfar  kita sebagai memohon ampun di atas segala kekurangan dan kelemahan yang dilakukan.  Mudah-mudahan Allah menerima segala amal kita, insyaAllah!

Amin Ya Rabbal Alamin...

Rujukan
Majalah Solusi Edisi Ramadhan (Isu 34)

No comments:

Post a Comment

Hakikat hidup ini...

Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...