Monday, July 30, 2012

Tazkirah Ramadhan 2012.....Betulkan yang biasa dan biasakan yang betul!

Bismillahirrahmanirrahim....

Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya kita berada di bulan yang mulia ini, melaksanakan ibadah puasa yang ditaklifkan keatas kita....mudah-mudahan Allah SWT merahmati kita, insyaAllah.  Ya, kita sudah hampir melewati fasa pertama puasa (10 ramadhan yang pertama) iaitu fasa rahmat dan akan memasuki fasa kedua iaitu fasa keampunan (10 ramadhan kedua).

 Cepatnya masa berlalu...masyaAllah sudah 10 ramadhan berpuasa! Bagaimanakah kita telah menjalani puasa kita di fasa pertama itu? Sama-samalah kita muhasabah diri kita...sejauh mana kita telah berjaya mengawal seluruh pancaindera diri kita, meningkatkan amalan kita, sedekah dan infaq kita dan menyibukkan diri kita dengan Al Quran?? 

Jika masih banyak lagi kekurangan...sama-sama kita mohon keampunan dari Allah SWT. Giatkan lagi usaha kita dan betulkan yang biasa  dan biasakan diri dengan yang betul dalam diri dan keluarga !  Segala kekurangan, tabiat-tabiat  diri yang kurang baik....perlu dibuang, gantikan dengan yang lebih baik......Perlunya kita mengganggap Ramadhan ini adalah peluang untuk berubah kearah yang lebih baik!   Segala amalan biasa yang kita buat ketika berbuka puasa, ketika sahur dan disepanjang bulan Ramadhan kita betulkan agar ia menepati sebagaimana yang sepatutnya, insyaAllah. 

Lalui Ramadhan ini dengan hati yang hidup iaitu hati yang merasai  sensitif dengan apa yang kita perbuat 
walaupun perkara kecil....semua yang dilihat, didengar dan  dirasai dijiwa menjadi bahan tarbiah untuk meningkatkan hubungan kita dengan Allah, untuk kita menjadi hamba yang lebih baik disisi Allah!!

Sebagai insan yang lemah, kita tidak dapat lari dari berbuat kesilapan dan dosa, dihati kita bertekad untuk mengawal dan mentarbiah diri dalam apa jua suasana....namun kadang-kadang kita kecundang juga bila berada dalam suasana tertekan dan tegang. Mohon keampunan juga dari Allah SWT diatas segala kesilapan yang dibuat.! Memang tabiat lama masih belum berjaya kita proses. Nak tukar dan ubah diri perlu ada kekuatan iaitu kekuatan hubungan dengan Allah.!

Justru itu.  dibulan Ramadhan yang mulia dan barokah ini,  untuk kita meningkatkan  kekuatan hubungan kita dengan Allah  adalah dengan meningkatkan iman dan taqwa dihati melalui tadabbur Al-Quran setiap masa yang terluang. Menyibukkan diri sentiasa dengan Al-Quran adalah diantara amalan yang afdol dibulan ini. Dikala nafsu telah lemah akibat disempitkan laluannya dengan puasa...peringatan Al-Quran akan senang meresap dijiwa bila dibaca dan dihayati. 

Hati yang diresapi Al-Quran akan jadi lebih sensitif. Semuanya kerana jiwa tersebut telah jadi bersih dan lembut!  Inilah dia mukjizat Al-Quran. Sebagaimana Al-Quran telah dapat melembutkan hati Saidina Omar yang keras sehingga apabila ia mendengar ayat Quran yang dibacakan oleh adiknya Fatimah , begitu jugalah ia juga boleh melembutkan hati kita !

Janganlah kita terlalu ghairah nak cepat mengkhatam Quran tanpa memahami  makna disebalik ayat yang kita baca....memang setiap huruf yang kita baca pahalanya digandakan, namun adakah setakat itu sahaja yang kita hajati? Sepatutnya setiap ayat yang dibaca kita fahami  untuk kita hayati dan meningkatkan kesedaran dijiwa supaya jiwa kita merasai setiap panggilan Allah, setiap suruhan dan laranganNya, merasai kebesaran Allah, merasai takut akan siksa dan azabNya dan gembira dan suka dengan pahala dan nikmat syurgaNya?

Jadi fokus kita adalah pada sekeping hati yang perlu merasai semua ini. Hati yang tidak ada rasa sebegini adalah hati yang mati yang tidak  akan mampu berfungsi untuk menjadi hamba Allah dalam ertikata yang sebenarnya! Kita hanya ingin meraih setakat pahala bacaan sahaja, tapi kita mengabaikan sesuatu yang sangat penting yang perlu kita perbaiki, bersihkan dan pertingkatkan iaitu hati kita! Sedangkan pandangan Allah kepada manusia bukan terletak pada fizikalnya tapi pada hatinya yang salimah.

Selalunya kita dengari peringatan dari hadith Rasulullah saw ini.....Allah tidak memandang pada rupa wajahmu, tapi Allah memandang pada hatimu. Adakah kita berusaha untuk menjadikan hati kita ini tempat tumpahnya pandangan Allah? Atau kita biarkan saja hati kita begitu......memang saya macam ni atau macam tu?  

Jadi dibulan ini....satu kesempatan yang sangat baik untuk kita berusaha bermujahadah mengekang nafu, memperbaiki  hati yang telah lama kita biarkan.....
Matlamat akhirnya....kita nak proses hati kita jadi hati yang bersih , lembut dan sensitif, perlunya usaha yang berterusan walaupun Ramadhan telah berakhir nanti...

InsyaAllah sama-sama kita mohon kekuatan, petunjuk hidayah dari Allah supaya kita sentiasa berada diatas landasan yang lurus yang menuju ke matlamat akhirnya mencari keredhaan Allah dalam hidup ini. 
Itulah jalan yang benar, jalan yang seharusnya kita ikuti.......

Buat renungan diri...
Pandangan mata selalu menipu
Pandangan akal selalu tersalah
Pandangan nafsu selalu melulu
Pandangan hati itulah yang hakiki
jika....hati itu bersih!



No comments:

Post a Comment

Hakikat hidup ini...

Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...