Friday, November 12, 2010

Islam adalah satu Nikmat!

       Diantara nikmat kurniaan Allah yang paling besar yang Allah SWT berikan kepada manusia adalah Islam itu sendiri. Nikmat Islam ini merupakan satu anugerah dari Allah kepada orang-orang tertentu yang terpilih sahaja. Jadi kita perlu merasai sungguh bertuah  bahawa  Allah pilih kita di kalangan  ramai manusia  untuk menerima nikmat Islam ini. Kita perlu menghargai nikmat pemberian Allah ini lebih dari kita menghargai pemberian orang kepada kita yang mana kita akan sentiasa menyebut-nyebut dan mensyukuri jasa dan pemberian mereka sehingga kadang-kadang sampai ke tahap memuja-muji dan sanggup berkorban untuk membalas jasa! Sepatutnya lebih-lebih  lagi pengorbanan dan penghargaan kita pada Allah., sumber pemberi segala nikmatNya kepada manusia!!
       Apabila kita mengambil Islam sebagai sistem yang mengatur hidup , kita akan dapati diri kita tidak pernah bersendirian dalam mengharungi hidup ini malah sentiasa diliputi dengan petunjuk dan hidayah Allah SWT. Apabila kita ada masalah, Allah lah tempat pertama kita mengadu dan merintih, memohon pertolongan, taufik dan hidayahNya. Ketenangan jiwa melalui hubungan ini dapat dirasakan, kita mampu semula menghadapi realiti hidup ini dengan yakin dan tabah! Segala kekusutan dapat di rongkai, simpulan dapat di buka dengan penyelesaian dari Allah! Apa yang penting, kita berhajatkan pada penyelesaian Islam.....yang sebenarnya satu-satunya jalan terbaik bagi manusia untuk menyelesaikan segala masalah...............
       Melalui Islam kita dapat bezakan mana halal mana haram, mana baik atau mana buruk, bagaimana kita perlu bercakap sebagai seorang muslim, bagaimana pandangan hidup seorang muslim......pendek kata tiada satupun tertinggal! Hal ini tidak terdapat dalam sistem hidup lain. Jadi, alangkah indahnya cara hidup sebagai seorang Muslim! Kita tidak perlu pening kepala memikirkan, mencari jalan  bagaimana  caranya untuk  mengharungi hidup ini.  Semuanya teratur, sempurna dan syumul! Inilah dia hakikat nikmat yang sebenarnya.  Adakah kita benar-benar merasai Islam ini satu nikmat?  Jika ya, bagaimana kita membuktikannya?
      "Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? (Surah Ar-Rahman:16)
Satu pertanyaan Allah yang diulang-ulang sebanyak 31 kali dalam surah ini supaya kita benar-benar memikirkan nikmatNya, mensyukurinya, merasainya dalam kalbu kita lantas menginsafi siapa diri kita!   Pertanyaan yang mengugah jiwa kita dimana kita sedikit pun tidak mampu menafi atau mendustakan  segala kurniaan Allah kepada manusia. Hanya hati yang hidup akan merasa tersentuh dengan pertanyaan yang diulang-ulang berpuluh kali ini!
       Sebenarnya Allah pilih kita berada dalam Islam bukanlah secara kebetulan saja, contohnya  kita dilahirkan dalam keluarga Muslim. Allah pilih kita untuk kita terima Islam ini untuk  meyakininya dan menjelmakan dalam praktik hidup kita sehingga terpancar kesempurnaan syahsiah Islam dalam diri kita. Ini satu tuntutan yang kita tidak boleh abaikan! 
      Kesemua nikmat-nikmat Allah yang ada disekeliling kita dan pada diri kita,  kita perlu yakini sungguh-sungguh ia hanya datang dari Allah sahaja. Segalanya milik Allah SWT dan sudah sepatutnya kita pergunakan nikmat-nikmat tersebut untuk mencari keredaan Allah SWT. Jalan menuju Allah hanya satu saja, tapi jalan kufur itu banyak dan bersimpang siur. Perlu kenali kedua-dua jalan ini supaya kita berwaspada dan tidak tersesat kearah jalan kufur. Kadang-kadang jalan kesesatan ini di hiasi indah, sesuai dengan nafsu diri yang menarik hati! Diri kita tidak boleh hilang pertimbangan dan mengambil jalan singkat untuk menyelesaikan masalah kita! Masalah kita tidak akan selesai dan tidak pernah akan selesai jika ambil jalan yang salah.........satu tindakan yang salah akan diikuti dengan yang lain yang salah  juga!!
      Kepada Allahlah kita mohon taufik dan hidayahNya dalam apa saja yang kita buat. Kita manusia lemah ini sebenarnya tidak mampu menilai mengikut penilaian  akal kita yang singkat. Hanya dengan rahmat dan kurniaNya jua memampukan kita mendapat pandangan yang luas dalam hidup ini. Jadi sentiasa jagailah hubungan kita dengan Allah supaya Allah menjaga kita!!

Thursday, November 11, 2010

Berusahalah menambahkan iman kita!

     Tabiat manusia memang selalu mudah lupa.   Lupa siapa dirinya, lupa pada matlamat kewujudannya di dunia, lupa bhawa dunia ini adalah tempat ujian hidup dan sering lupa pada Allah SWT.  Bila lupa, maka hawanafsu akan mencelah dalam diri, melaksanakan keinginan yang tidak terbatas, dunia akan mengambil kesempatan bersolek mempamerkan diri di hadapan manusia dan syaitan akan menemukan kawasan yang subur untuk menggoda dan menjerumuskan manusia kelembah kehinaan! 
   Bila selalu lupa, ini akan mengurangkan kadar iman di jiwa, dan menarik hati untuk melaksanakan keinginan hawanafsu. Setiap kali iman lemah , akan menimbulkan kesan negatif pada sikap......pemarah, sensitif yang tidak kena tempat, keluh kesah, merungut dan maacam-macam lagi....!
   Menjadi satu keperluan diri supaya sentiasa jiwa diperingatkan selalu agar tidak lupa.....jadi iman dapat disuburkan kembali, jiwa jadi kuat semangat ,ada daya penggerak..........Usaha-usaha dan jalan kearah menyuburkan jiwa suatu yang amat penting!
   Tidak dapat dinafikan lagi,  dengan melakukan ketaatan pada Allah boleh menampal kekurangan iman,  sentiasa dapat menjaga hati supaya sentiasa waspada serta memadamkan api dosa yang membara dan menghindari kelalaian jiwa!
   Dari Ans bin Malik r.a , Rasulullah bersabda yang bermaksud....
   " Sesungguhnya Allah adalah Raja, yang dalam setiap waktu solat Dia selalu berseru, "Wahai Anak Adam, bangunlah kamu menuju apa yang telah kamu nyalakan, maka padamkanlah ia."
    Solat yang dilaksanakan dengan penuh khusyuk dan tawaddhu' dapat memadamkan dosa yang telah dibuat, membersihkan jiwa dan meningkatkan iman.
  " Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang  beriman iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya. "  (Surah Al Mukminun :1-2)
   Jadi bila kita solat dengan lalai, malas, nak cepat saja sebab kejar masa, macamana nak khusyuk? 
Solatnya tidak dirasakan indah dan menenangkan jiwa kerana kurang atau tiada penghayatan dalam solat! Solat begini tidak boleh menyuburkan iman, sia-saja...apa yang dapat penat lelah! Jadi perhatikanlah solat kita selalu......sebenarnya ia lebih penting dari yang lain! Kena tarbiyyah diri supaya sentiasa jaga solat,......tunaikan di awal waktu sedapat yang boleh! Apa yang kita hajati adalah keberkatan Allah.....sama-samalah kita usahakan!!
     Selain itu zikir kita yang disertai dengan ketakutan dan kepatuhan di hati dapat meningkatkan iman dijiwa. 
    "  Sesungguhnya apabila disebut nama Allah, maka gementarlah hati." (Surah Al-Anfal: 2 ) 
Gementar jiwa sebab takut dan mengenali Allah sebagai Rabb dan illah kita, dengan segala sifat kesempurnaannya, bukan hanya ucapan bibir saja!
       Pendekata apa saja amal taat dan ibadah semuanya adalah cahaya penerang dan sumber menambahkan keimanan. Namun nak mencapai hakikat ini bukanlah mudah! Iman yang nak disuburkan dijiwa adalah iman yang hidup subur yang menjadi pendorong kuat diri  sepertimana hidup suburnya pohon. Setiap hari pohon itu membesar, disirami air dan cahaya, dibajai supaya subur dan gemuk dan dijagai supaya tidak ada perosak pokok!  Pohon kecil membesar dengan baik dan menghasilkan buah yang baik dan cantik! Begitu jugalah iman itu......natijah iman terhasil dari usaha menumbuhkan iman, meningkatkannya dan menjagainya! Ia akan lemah dan layu bila dibiarkan begitu saja oleh tuannya......akhirnya pohon iman boleh layu dan mati. 
   Justru itu......perhatian diri kita pada perkara yang terpenting dalam hidup ini mesti kita ambil berat. Ramai orang meremehkan hal ini.....dan mereka  selalu ditimpa keluh kesah dalam diri. Marilah kita ingat memperingati diri supaya jangan jadi manusia lupa diri.......kita takut bila kita lupa pada Allah di dunia, Allah akan melupakan kita di akhirat nanti! Aduh...sungguh berat hal ini...disaat kita sangat-sangat berhajatkan pada pertolongan Allah.......Allah lupakan kita! Nauzubillahi minzaalik!! Sebelum terlambat, wajarlah kita perbetulkan diri kita.   

Sunday, November 07, 2010

Setelah melakukan ketaatan, beristighfarlah.......

      Selama ini  apa yang kita fahami apabila kita berbuat dosa, perlunya kita istighfar dan memohon ampun dari Allah kerana kita telah menzalimi diri sendiri dengan berbuat dosa. Kita perlu cepat-cepat bertaubat dari dosa dan berazam tidak akan melakukannya lagi kerana takutkan azab dan kemurkaan Allah SWT. Melengahkan diri dari bertaubat dari dosa sangat bahaya sebab kita tidak tahu bila kita akan dipanggil pulang oleh Allah SWT. Dengan bertaubat dapat membersihkan diri kita dari dosa.
      Namun beristighfar juga dituntut setelah kita melakukan ketaatan contohnya setelah kita solat, puasa dan semasa kita mengerjakan haji....pendekata setelah selesai melakukan apa sahaja ibadah pada Allah kita juga perlu beristighfar dan memohon ampunan dari Nya. Kenapa perlu demikian?
     Sebenarnya berapa banyak atau besarnya pun amalan yang kita lakukan, dengan amalan itu sahaja tidak dapat menyelamatkan kita dari api neraka atau pun dengan amalan itu kita beroleh syurga! Sebanyak manapun amalan yang kita lakukan, ia tidak mampu jadi penyelamat bagi kita. Kita sebenarnya diselamatkan dari neraka atau dimasukkan kesyurga hanya kerana rahmat dan kurniaan Allah semata-mata! Amalan itu hanya menjadi asbab saja bukanlah semata-mata disebabkan kerana kita banyak beramal, maka kita beroleh syurga.....
     Sebenarnya Allah mempunyai hak ke atas kita iaitu hak untuk ditaati dan hak untuk disyukuri segala nikmatNya. Setiap nikmat yang Allah kurniakan kepada hambaNya mempunyai harga yang tinggi nilainya..........
Firman Allah dalam Surah An-Nahl: 78 yang bermaksud......
     " Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati agar kamu bersyukur." 
      Segala nikmat pendengaran, penglihatan dan hati yang Allah kurniakan kepada kita wajib disyukuri yang mana kesyukuran ini merupakan ibadah padaNya. Sebagai membuktikan ubudiyyah kita pada Allah, kita mestilah menggunakan nikmat  ini sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah iaitu dalam rangka ketaatan padaNya. Kita gunakan telinga kita untuk mendengar ayat-ayat Allah,  menggunakan mata kita untuk melihat kebesaran Allah dan lantas dengan itu hati kita tunduk, patuh, beriman dan bertakwa padaNya! Inilah dia hakikat kesyukuran padaNya!
      Seandainya seorang hamba Allah itu berusaha untuk menghitung nikmat dan kurnia Allah padanya, nescaya tidak akan mampu membalas nikmat dan kurniaan itu walau dengan apa pun meskipun bersujud sepanjang hayat!! Jika di akhirat nanti Allah menagih haknya tadi pada kita untuk di penuhi.....nescaya akan binasalah kita. Kita tidak mampu memenuhi semua hak Allah pada kita!!
Sama-sama kita renungilah firman Allah ini....
        "Kemudian kamu pasti akan ditanya pada hari itu tentang nikmat (yang kamu megah-megahkan di dunia itu)."  (Surah At-Takaathur :8)
     Jadi, jika Allah menanyakan pada kita tentang segala nikmat dan kurniaanNya pada kita dan Allah menagih hakNya untuk dipenuhi.....sedangkan kita insan lemah ini tidak mampu melakukannya, sungguh tidak mustahil, kita akan masuk neraka! Ini  adalah kerana seluruh amalan kita akan tidak boleh memenuhi hak Allah itu kerana ia terlalu besar untuk dipenuhi! Tiada sesiapa pun termasuk para rasul, nabi, syuhada dan shiddiqin boleh berbuat demikian.  Semuanya tidak mempunyai harapan kecuali hanya setelah mendapat keampunan dari Allah SWT! Segala amalan yang kita buat adalah sebagai penebus dosa  atau meminta ampunan dariNya bukannya  untuk mendapatkan syurga sebagai gantinya! 
    Kita sebagai hamba Allah, perlu merasakan betapa kerdil dan kecilnya amal yang kita lakukan, merasa hina dan  takut seandainya amalan kita tidak diterima oleh Allah SWT walaupun kita sudah melakukan semaksima yang mungkin. Setelah beramal, sewajarlah kita beristighfar banyak-banyak  dan merasai semua amalan kita itu sebenarnya  tidak layak jika di jajarkan dengan Keagungan dan Hak Allah kepada kita.  Dalam melakukan apa jua amalan, apa yang kita harapkan adalah RedhaNya semata-mata!
Firman Allah yang bermaksud.....
     " Dan supaya aku dapat  melaksanakan amal soleh yang Engkau redhai.."( Surah Al-Ahqaf:15)
    "  Dan selalulah memohon keampunan diwaktu pagi sebelum fajar."  (Surah Az-Zariyat:18)
    Apa yang paling utama yang  kita harapkan dari Allah SWT adalah keampunanNya keatas kita, yang merupakan insan yang lemah yang banyak berbuat dosa, kurang mensyukuri NikmatNya yang tidak terhingga banyaknya pada kita, tidak mampu memenuhi HakNya ke atas kita.........
Setelah mendapat keampunan ini barulah kita mengharapkan kurniaNya, rahmat dan kasihsayangNya  pada  kita...
    Justru itu, perlulah kita meneliti, merenungi dan mensyukuri nikmat Allah ini, memohon keampunan dari Allah dengan istighfar yang banyak dan memperbanyakkan zikir "Laa illaha illa anta subha naka inni kun tuminazzholimiin yang bermaksud "Tiada tuhan selain engkau , Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berbuat zalim."
      Sememangnyalah kita manusia ini banyak menzalimi diri kita dalam penghidupan yang sementara dan banyak ujian ini..........!!
     Ya Allah tunjukkilah kami kejalan yang lurus , dan masukkanlah kami di kalangan orang-orang yang beriman dan bertaqwa padaMu.  Ameen Yaa Rabbal 'Aalamiin!
     
 Photobucket

Saturday, November 06, 2010

Antara iman dan hawa nafsu

    Hawa nafsu adalah merupakan kecenderungan terhadap sesuatu baik berupa cinta pada nafsu(syawat atau keinginan) merasa lebih hebat, benci terhadap kesusahan, tak suka dikritik.....  
      Hawa nafsu itu adalah sama dengan iman di mana kedua-duanya merupakan perasaan yang tertanam dalam hati. Jadi sebenarnya perasaan manusia itu terbahagi dua iaitu antara iman dan nafsu. Keinginan hati  di pengaruhi oleh  faktor akal dan penguasaan salah satu dari iman dan nafsu ini.  Jika nafsu lebih kuat  dari iman dan pertimbangan akal , jadi nafsu akan menang dan mempengaruhi keinginan hati.     Sebaliknya apa pertimbangan akal dan iman lebih kuat dari nafsu, ia akan juga mempengaruhi keinginan hati. Pendekata nafsu dan iman ini sering berlaku pertembungan dan pertentangan dalam mempengaruhi hati. Yang kuat akan jadi pemenang dan menentukan sesuatu keputusan.
      Contohnya apabila kita ingin belajar, tapi hawa nafsu menginginkan kita tidur, berehat, bermalas-malasan.....Pada ketika ini berlaku pertembungan antara pertimbangan akal, iman dan nafsu.....akal dan iman kita mengatakan kita perlu belajar kerana inginkan kejayaan, mendapatkan kelulusan yang baik; mana yang lebih kuat  akan menang dalam pertembungan perasaan ini....dan seterusnya keputusan akan diambil! 
      Begitu juga bila kita perlu bangun untuk solat subuh; hawa nafsu menginginkan kita terus tidur kerana mata mengantuk.....tapi  bila motivasi iman pada Allah menguasai hati...... menyebabkan kita akan bingkas bangun dan terus melaksanakan solat tersebut.  
     Motivasi diri yang baik dan tinggi hendaklah di suburkan selalu dalam diri  supaya ia dapat mempengaruhi nafsu kita dalam membuat keputusan!  Hal ini ditegaskan oleh Rasulullah s.aw dalam sabdanya....
      "Seorang hamba itu tidak  dikatakan beriman ketika ia berzina, tidak dikatakan beriman ketika mencuri dan tidak dikatakan beriman ketika ia membunuh."
  Iman tercabut dari jiwa ketika sesaorang itu melakukan maksiat; pada ketika ini hawa nafsu telah menang dan menguasai diri, iman dalam hatinya telah kalah dan hilang! Begitu kuat nya pengaruh hawa nafsu atas perasaan ketika melakukan perbuatan tersebut.
      Justru itu, sebenarnya, amal-amal anggota tubuh badan kita menunjukkan apa yang ada di dalam hati; baik berupa iman atau hawa nafsu. Tingkat ketaatan dan amal baik yang dilakukan menunjukkan kadar iman dalam jiwa. Bila sesaorang itu bersikap teguh dan istiqamah dalam amal baiknya, ia merupakan bukti atas kuatnya iman yang dimiliki. Sebaliknya bila sesaorang itu lalai dan sering melakukan maksiat menunjukkan kuatnya hawa nafsu dan lemahnya iman dijiwa.
    Jadi kita perlu kenali diri kita....di tahap mana iman dijiwa.  Kelemahan diri ini perlu kita perbaiki dengan menundukkan hawa nafsu dengan iman. Perlu cari jalan-jalan untuk suburkan iman dijiwa. Jangan rela kita dikuasai oleh hawa nafsu yang sifatnya sentiasa mengajak kita kearah kejahatan.   
  

Friday, November 05, 2010

Konsep kejayaan dari kacamata Islam

      Konsep kejayaan Islam yang sebenarnya adalah mengikut apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Kejayaan disisi Allah adalah berbeza dengan konsep -konsep kejayaan yang sering dilaung-laungkan oleh Deen bukan Islam. Realiti masyarakat menilai kejayaan apabila mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam, mendapat pangkat yang tinggi, berjaya mendidik anak sehingga hampir kesemua anak-anak berjaya ke menara gading dan kemudian berjawatan tinggi, menjadi ushawan yang kaya raya......pendekata penilaian kejayaan adalah dari segi material belaka!
    Kejayaan sebenar ukurannya ukhrawi.....sejauhmana ia menepati kehendak-kehendak Allah dalam kehidupan ini. Walaupun berjaya dari segi material, tapi bila kejayaan tidak seiring dengan apa yang Allah kehendaki, ia tertolak.....walaupun ia berjaya memiliki dunia sekalipun!
    Firman Allah dalam Surah Al-Hujurat :15 yang bermaksud........
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah orang yang beriman kerana Allah dan Rasulnya kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka dijalan Allah.  Mereka itulah golongan yang benar."
     Hakikat kejayaan adalah apabila beriman hanya pada Allah dan Rasul tanpa ragu-ragu sedikit pun terhadap risalah Allah yang di bawa oleh Rasulullah. Ini dibuktikan melalui pengorbanan harta, tenaga, masa, bahkan  jiwa dan raga sekalipun. Keimanan yang bukan hanya ucapan di bibir sahaja tetapi terbukti dengan tindakan! Inilah dia iman yang Allah akui sebagai iman yang benar.
      Firman Allah lagi dalam Surah Al- Maidah: 100 yang bermaksud......
" Katakanlah tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyak yang buruk itu menarik hatimu, maka bertaqwalah kepada Allah hai orang-orang yang berakal agar kamu mendapat kejayaan."
       Apabila  akal seorang Muslim itu mengikut telunjuk taqwa, dan dia dapat membezakan antara yang baik dan buruk, dan tidak mengikuti yang buruk itu meskipun ia banyak dan menarik hati......inilah dia kejayaan! Dengan taqwa yang ada dihatinya,  dia mampu menjaga dirinya agar tidak tergelincir kepada yang dimurkai Allah. Orang yang beriman dan bertakwa ini tetap istiqamah  di atas jalan Islam yang lurus dan mendapat keberuntungan disisi Allah. Keyakinan mereka mantap dan tidak goyah walaupun mereka berada di tengah-tengah Deen yang bukan Islam yang menguasai masyarakat. Keperibadian mereka mempengaruhi masyarakat dan mereka tidak terpengaruh oleh masyarakat!
     "  Mereka itulah orang-orang yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhannya dan mereka itulah orang-orang yang beruntung."  (Surah Al- Baqarah:5)
      Kejayaan juga bermaksud apabila iman yang betul yang di bentuk  di jiwa mampu melahirkan ukhuwwah sejati sesama Muslim. Ukhwwah atas dasar iman ini adalah satu ikatan hati yang teguh di mana melangkaui batas-batas bangsa, geografi, sejarah.....
    " Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara. Kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat." (Surah Al-Hujurat:10)
     Ikatan iman ini lebih kuat dari ikatan darah....kerana hati-hati mukmin disatukan atas nama Allah. Iman yang sebenarnya melahirkan ukhuwwah....di mana setinggi-tinggi ukhwwah adalah mendahulukan sahabat semuslim lebih dari diri sendiri. Hakikat ini dibuktikan dalam sirah para sahabat generasi Al-Quran terdahulu yang merasai kemanisan iman dan ukhuwwah ini......mereka melebihkan dan mendahulukan sahabat walaupun diri sendiri sangat memerlukan! Begitulah pengaruh iman yang benar pada jiwa yang pasrah pada Allah! Adakah diri kita sanggup berbuat sedemikian? Iman yang ada di hati kita sahajalah yang akan menjawab persoalan ini!!
      Kejayaan juga adalah apabila Muslim yang dibentuk imannya dapat melahirkan akhlak terbaik, mengajak kepada yang maaruf  al-Akbar dan mencegah mungkar al-Akbar pada diri , keluarga dan masyarakat. Firman Allah dalam surah Ali-Imran:10 yang bermaksud.......
     " Kamu adalah ummah yang terbaik yang dilahirkan di tengah umat manusia dan kamu menyeru kepada yang maaruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman pada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, dan di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik."
       Mungkar Al-Akbar adalah kejahatan yang paling besar  iaitu apabila manusia mengambil illah lain selain Allah SWT dalam kehidupan. Dalam kehidupan, nilai yang di ambil bukan nilai Allah, neraca hidup bukan neraca Allah.....mereka mengambil hawa nafsu dan syaitan sebagai illah atau sembahan yang diikuti. Apa yang Allah suruh dipandang sepi....tidak dihiraukan! Inilah dia mungkar yang perlu dibentras dari jiwa habis-habis dan diganti dengan maaruf al-Akbar iaitu kembali kepada ubudiyyah hanya pada Allah dalam setiap aspek hidup!. Ini memerlukan kepada proses tarbiyyah yang berterusan, kesungguhan dan istiqamah dalam memproses diri supaya dapat membuang semua sekali unsur-unsur syirik ini! Inilah dia kejayaaan yang sebenarnya!
       Persediaan jiwa yang betul perlu ada jika ingin kembali pada Allah iaitu jiwa yang  ikhlas yang menyerahkan hatinya untuk diproses dengan tarbiyyah islam  yang akan melahirkan iman yang sebenarnya, kesedaran dan kefahaman islam yang bersih. Kesedaran dan kefahaman Islam yang  mendasari jiwa  inilah yang membuatkan ia bingkas bangun dan melaksanakan tuntutan Allah dengan segera tanpa ragu-ragu. Dia sanggup mengorbankan segala-galanya untuk Allah! Hari ini umat Islam bukannya kekurangan masjid sebagai tempat ibadah, tapi kekurangan hati-hati yang bersedia menerima Islam yang syumul sebagai pedoman hidup. Hati yang hingga  benar-benar melahirkan iman yang menjadi pancaran utama yang mencetuskan amal dan tindakan!    
     Sebagai muslim inilah yang perlu kita sedari apakah tuntutan Islam pada diri kita.  Segala pandangan dan neraca hidup kita perlu kita selarikan dengan Islam. Nilai yang kita ambil, nilai Islam, rujukan kita adalah rujukan Islam. Barulah benar pengakuan diri kita sebagai Muslim , bukan hanya pada nama sahaja. Islam kita bukannya Islam warisan dari datuk nenek kita..... pendekata jika apa yang kita warisi yang bercanggah perlu diperbetulkan......  supaya selaras dengan kefahaman Islam yang sebenarnya!!

Wednesday, November 03, 2010

Bagaimana Seorang Muslim mengelola waktu....



    Sebagai seorang Muslim sepatutnya kita tahu bagaimana kita mengelola dan memanfaatkan waktu.... iaitu  apa yang sepatutnya  dilakukan oleh hati dan anggota tubuh kita. Aktiviti hati dan anggota tubuh badan ini perlulah dilaksanakan dengan kesungguhan supaya setiap apa yang dilakukan diterima oleh Allah SWT. Seorang ulama berkata bahawa pembahagian waktu sesaorang itu hanya ada empat sahaja, iaitu waktu nikmat, cobaan, taat dan maksiat. Dan sebenarnya pada setiap waktu itu, Allah mempunyai hak terhadap kita, iaitu ubudiyyah kita padaNya. Jadi penggunaan waktu kita mestilah dalam rangka menunaikan hak Allah ini.....bukan digunakan untuk yang lain!
     Barangsiapa yang menggunakan waktunya untuk ketaatan, maka tugasnya ialah mengakui nikmat Allah pada dirinya yang telah menunjukinya jalan kearah ketaatan dan membimbingnya untuk mengerjakan ketaatan.
     Barangsiapa yang waktunya adalah nikmat, maka tugasnya adalah bersyukur dan itulah sebenarnya kebahagiaan hati dengan Allah SWT.
     Barangsiapa yang waktunya adalah maksiat, tugasnya adalah segera bertaubat dan beristighfar.
     Barangsiapa  waktunya adalah cobaan atau ujian maka tugasnya adalah sabar dan redha.
Sebagai Muslim penggunaan waktu kita mestilah effektif dan produktif. Perlu mengusahakan seluruh waktu agar di penuhi dengan amal-amal soleh. Muhasabah diri kita, aturlah amal-amal kita, wirid-wirid kita di siang dan malam hari. Buatlah kesibukan tertentu disetiap waktu dan jangan campuradukkan dengan kesibukan lain yang tidak bermanfaat dan utamakan amal-amal untuk akhirat. Dengan cara itu keberkatan pengunaan waktu dapat diperhatikan dan umur kita terpelihara dari sia-sia.
    Umur kita adalah modal kita. Jadi jangan mensia-siakan waktu  seperti haiwan ternak yang tidak tahu apa yang perlu dikerjakan setiap waktu kecuali makan dan di paksa bekerja. Sensitiviti diri tentang waktu ini sebenarnya tidak disedari kecuali oleh orang yang dibimbing oleh Allah SWT untuk menjaga umurnya dari sia-sia.Orang yang bodoh dan tertipu adalah orang yang amal perbuatannya hilang tanpa manfaat,berasa senang hati kerana hartanya bertambah setiap hari tapi tidak disedari umurnya makin berkurang setiap masa. Sepatutnya apa yang kita senangi adalah bertambahnya ilmu, iman dan amal soleh bukan yang lain!!  
   Firman Allah dalam surah Al-Kahfi:46 yang bermaksud....
" Dan amal-amal yang kekal dan soleh lebih baik di sisi Tuhanmu dan lebih baik dijadikan harapan." 
Amal soleh ini adalah teman kita sewaktu berada didalam kubur nanti bila kita ditinggalkan oleh anak-anak ,suami atau isteri, harta, kaum kerabat dan sahabat handai kita. Apabila kita beriman pada Allah,  mengenaliNya, mempercayai janjiNya dan  merasakan umur kita ini pendek tidak wajar bagi kita melalaikan umur yang pendek ini. Isilah masa kita dengan zikrullah. Firman Allah SWT yang bermaksud.....
    "Dan sebutlah nama Tuhanmu pada pagi dan petang. Dan disebahagian malam, maka sujudlah kepadaNya dan bertasbihlah kepadaNya pada bahagian panjang pada malam hari. 
(Surah Al-Insan:25-26)
    Dari ayat di atas jalan menuju kepada Allah SWT adalah mengawasi waktu kita dan mengisinya dengan wirid-wirid secara rutin.
     Firman Allah lagi dalam surah Al-Furqan :62 yang bermaksud......
    " Dan Dia yang menjadikan malam dan siang silih berganti bagi orang yang yang ingin mengambil pelajaran atau orang yang ingin bersyukur."
Jadi pergantian malam dan siang adalah untuk manusia mengerjakan sesuatu yang ia tidak kerjakan sebelumnya. Bagi kita , sebagai Muslim setiap masa ada agenda tertentu yang hendak kita penuhi dengan aktiviti yang semuanya menjurus untuk kebaikan dunia dan akhirat kita.
     Dalam kita mencari penghidupan dunia janganlah lupa aktiviti untuk penghidupan akhirat sehingga sehari yang berlalu itu kosong dari mengingati dan mensyukuri nikmat Allah! Kita terlalu sibuk sehingga masa untuk solat dilewat-lewatkan atau tiada langsung, wirid harian contohnya membaca Al-Mathurat tidak sempat dibuat, istighfar harian kita pun terlupa...apatah lagi solat-solat sunat! Jika  dibuat  pun, ala touch n go sahaja, asal buat tapi kesannya sangat minima dihati dan tidak dapat meningkatkan keimanan pada Allah!       Apa yang ada dalam fikiran kita...nak siapkan project paper, kertas kerja  yang berlambak-lambak, meeting demi meeting yang mana semua itu  tidak habis-habis.....!! Semua ini melalaikan kita dari mengingati Allah. Kita tunda-tundakan sesuatu yang sangat penting yang menentukan kemana tempat kita diakhirat nanti. Jadi perlulah bijak mengurus masa supaya dalam kesibukan pun, kita ada ruang waktu untuk Allah; jadi masa yang digunakan lebih barokah. Inilah sebenarnya yang sepatutnya yang bermain-main dalam fikiran kita sentiasa.........  
    Dari Ibnu Al-Jauzi rahimahullah berkata," Setiap orang harus tahu kehormatan  dan nilai waktunya. Ia tidak boleh membuang sedikitpun waktunya dalam hal-hal lain selain ibadah dan ia harus menabung perkataan dan perbuatan yang mulia. Niatnya dalam perbuatan baik mestilah sentiasa ada tanpa sedikit pun berkurang dan kelemahan fizikalnya tidak menghalangi dia dari beramal...."
   Pesanan Luqmanul Hakim kepada anaknya," Anakku, bergaullah dengan orang-orang yang berzikir pada Allah, Jika engaku mempunyai ilmu, engkau boleh memanfaatkan ilmu mu itu. Jika engkau tidak berilmu, mereka akan mengajarimu. Jika rahmat dan rezeki turun kepada mereka, engkau turut mendapatkannya. Janganlah engkau bergaul dengan orang yang tidak berzikir pada Allah. Jika engkau bodoh, mereka akan membuatmu kian bodoh. Jika engkau berilmu, engkau  tidak dapat mengambil manfaat dari ilmumu itu. Jika kutukan dan kemurkaan Allah datang kepada mereka, engkau turut terkena getahnya."
    Pergaulan kita dengan orang lain perlulah di perhatikan kerana pengaruh kawan dapat membawa kita pada kelalaian dan pembaziran masa. Perlu kurangi dan hindari bergaul dengan mereka-mereka yang tidak memberi manfaat kepada kita! Kawan-kawan yang tidak baik ini hanya akan membuatkan kita rakus pada dunia, meremehkan maksiat, lupakan akhirat dan melemahkan semangat ibadah kita.   
    Jika kita terpaksa bergaul dengan mereka kerana keperluan yang terdesak, maka beruzlahlah hati kita dari mereka. Walaupun zahirnya kita bersama mereka kerana terpaksa, namun hati kita tidak bersama. Memang sukar nak jaga hati dalam suasana tidak soleh, tapi akan jadi mudah bagi orang-orang yang diberi kemudahan bagi Allah yang mana hatinya dipenuhi dengan rasa cinta yang jujur, selalu berzikir dengan lidah dan hati serta menjauhi maksiat. Perlu usahakan agar pertemuan itu menjadi pertemuan yang tidak mendorong kepada maksiat dan mungkar. Beruzlah dalam suasana sebegini  merupakan satu keperluan dalam rangka hendak menjaga agama , kehormatan dan hati agar tidak dicemari.
      Ada yang mengatakan, punca  kebaikan itu adalah taubat, ubudiyyah, zuhud dan istiqamah. Disamping itu mengurangi makan, kurang bicara kecuali zikir pada Allah, kurangi tidur sebab amal perbuatan terhenti dengannya dan beruzlah atau asingkan diri/hati dari perkara-perkara tidak bermanfaat. 
     Al-Abbas bin Al-Hasan  al-Alawi berkata," Ketahuilah otak tidak kuasa menampung semua hal, justru itu fokuskanlah pada hal-hal yang urgen. Hartamu tidak dapat membuat kaya pada semua orang, maka khususkanlah untuk orang-orang yang benar. Kedermawanan tidak boleh menjangkau semua orang, maka cukupkanlah ia untuk orang-orang baik. Waktu siangmu tidak mampu memenuhi segala keperluanmu, maka  gunakanlah waktu dan keperluanmu untuk bekerja dan istirehat."  
     Diantara tanda-tanda keburukan pada sesaorang adalah bila ia mensia-siakan waktu. Para ulama terdahulu selalu berusaha keras mendaki dari satu keadaan ke satu keadaan yang lebih baik. Mereka berkata," Siapa yang harinya sekarang sama seperti semalam, ia rugi. Siapa yang harinya sekarang lebih buruk dari semalam, ia terkutuk." Mereka pergunakan masa untuk menambah ilmu, beramal soleh, melawan hawa nafsu, memberi bantuan kepada orang lain.......setiap masa ada sahaja kerja yang dibuat....mereka menganggap kufur nikmat dan durhaka pada waktu jika ia berlalu tanpa dimanfaatkan!  
     Ibnu Al-Jauzi menggunakan masanya dengan baik dengan banyak membaca dan menulis buku. Beliau telah membaca lebih dua puluh ribu buku dan menulis karya ilmiah hampir tiga ratus empat puluh judul. Beliau tidak pernah berhenti mencari ilmu dan menulis sendiri dengan tangannya dua ribu jilid buku! Bayangkan kegigihan beliau berbuat demikian di zaman yang bukan seperti kita yang ada kemudahan komputer dan mesin cetak!
     Al- Hajaj pernah berkata," Jika sedetik dari umur sesaorang berlalu tanpa ia gunakan untuk ibadah, sungguh ia layak sedih berpanjangan hingga hari kiamat." Ucapan Hajaj ini selaras dengan sabda Rasulullah saw yang bermaksud.....
   "Penghuni syurga tidak pernah sedih sebesar kesedihan mereka keatas waktu yang berlalu dari mereka tetapi mereka tidak berzikir pada Allah azzawajalla di dalamnya."
    Kesedihan ini berpunca dari kelalaian mereka semasa berada di dunia yang tidak memaksimakan penggunaan waktu untuk zikir pada Allah. Bagaimana pula orang yang mensia-siakan waktunya dan detik-detik umurnya ? Tentulah teramat sedih lagi sehingga mengigit jari memikirkan hal itu! Diwaktu itu lembaran-lembaran amal terbentang luas.......tapi lembarannya kosong dari amal soleh!! 
     Jadi bagi kita yang Allah bagi lagi kesempatan hidup ini, perlu mencontohi generasi sahabat, generasi Tabiin dan orang-orang sesudah mereka dalam semangat mereka menjaga waktu. Kita perlu berpegang pada petunjuk mereka untuk kita meraih sukses dalam kehidupan dunia dan akhirat. Semoga Allah membimbing kita dalam apa sahaja yang dapat memperbaiki agama dan dunia kita. 

Rujukan buku
Tips manajemen waktu wanita Muslimah
Ilham Muhammad Ibrahim

Monday, November 01, 2010

Bagaimana cara menambah keimanan melalui Al-Quran

         Barangkali ada sesaorang telah berkata," Aku telah banyak membaca Al-Quran tetapi aku tidak merasakan perubahan dan nikmat keimanan yang aku peroleh daripadanya." Keadaan ini terjadi apabila Al-Quran dibaca tanpa pemahaman makna dan berinteraksi jiwa dengan Al-Quran. Sedangkan apabila kita membaca Al-Quran, seharusnya ia dapat mengubah persepsi jiwa kita dan dapat diambil manfaat darinya dan seterusnya dapat meningkatkan keimanan kita melaluinya.  Perlu ada kesungguhan, kesabaran,  kegigihan dan ketekunan untuk mendekati Al-Quran untuk tujuan ini lebih-lebih lagi bagi orang yang baru melangkah ke arah ini.
        Pembacaan Al-Quran perlulah di sertai pemahaman, penghayatan akal dan proses interaksi jiwa dan gerak hati  supaya hati jadi lebih sensitif dan merasai akan setiap ayat-ayat yang dibaca. Perlu tanamkan azam, setiap kali kita membaca Al-Quran, tujuan kita adalah untuk memahami apa yang dibaca dan berusaha merasakan pengaruhnya dalam hati kita.
         Ibnu Mas'ud pernah berkata," Janganlah kamu mempercepatkan bacaan Al-Quran tanpa adanya tadabbur seperti membaca syair. Janganlah kamu melagukan Al-Quran tanpa aturan, seperti kurma  basah dan buruk, yang berguguran ketika pelepahnya digoyang.  Berusahalah untuk menemui keajaibannya, gerakkanlah hatimu dengannya, jangan sampai perhatian kamu hanya tertuju ke akhir surah (kerana ingin mempercepatkan bacaan)." 
       Interaksi jiwa yang betul dengan Al Quran akan menggetarkan jiwa sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Zumar:23 yang bermaksud......
"Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik(iaitu) Al-Quran yang serupa(mutu ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, gementar kulit orang-orang yang takut kepada Tuhannya, kemudian menjadi tenang , kulit dan hati mereka untuk mengingati Allah."
     Ada beberapa cara (atas ketentuan Allah SWT) untuk meningkatkan interaksi dan penguasaan Al- Quran terhadap jiwa dan perasaan kita.
  • Menyibukkan diri dengan Al- Quran.
Iaitu memberikan waktu yang cukup lama setiap hari, konsisten dalam mendampinginya pada sebarang masa dan keadaan. Maknanya,  tentukan waktu untuk ini, contohnya sejam  atau dua jam sehari secara terus menerus. Apabila ditentukan waktu berinteraksi ini contohnya selama satu jam terus menerus untuk mendampingi Al-Quran, ia lebih baik dan berkesan dari membaca Al- Quran berkali-kali  dalam sehari tapi dalam waktu yang terpisah-pisah. Lebih-lebih lagi jika kita mula-mula berjinak-jinak dengan Al-Quran. Ini adalah kerana perasaan manusia memerlukan masa yang relatifnya agak lama untuk mengintegrasikan Al Quran dalam hati dan perasaan. Peruntukkan masa yang pendek tidak mencukupi untuk interaksi jiwa yang positif dan efektif dengan Al-Quran. Menyibukkan diri dengan Al-Quran perlulah dilakukan terus menerus, berkesinambungan setiap hari, untuk memberi kesempatan agar ayat-ayat yang di baca meresap dalam diri, kesannya sedikit demi sedikit dapat diserap sehingga dapat mendekatkan jiwa dengan Allah dan menambahkan keimanan padaNya. 
  • Persiapan mental
Persiapan mental untuk menghadapi dan memahami Al-Quran memainkan peranan penting dalam proses integrasi dengannya.  Pertemuan dengan Al-Quran ini perlulah dilakukan di tempat yang tenang, jauh dari keramaian dan kebisingan dan dikerjakan pada waktu kita tidak merasa letih atau mengantuk. Dengan kata lain kita perlu menyepi bersama-sama Al-Quran untuk mempercepatkan proses interaksi. Suasana begini akan dapat mendorong  kita untuk menangis , berdoa, meratap dan merendahkan diri semasa kita berinteraksi dengan Al-Quran. Dalam suasana yang tenang, sunyi dan damai ini, pengaruh Al-Quran akan lebih berkesan dan membekas dijiwa.
  • Persiapan hati
 Persiapan hati bermaksud persiapan hati untuk menghadapi Al-Quran, persiapkan perasaan dan menumpukannya untuk mendengarkan maksud-maksud yang terkandung dalam Al-Quran. Setelah mentelaah dan menghayati Al-Quran, ia dapat mengubah rasa hati kita dari keras dan jumud kepada lembut dan mudah peka. Rasulullah saw menerangkan dalam hadisnya cara kita berinteraksi dengan Al-Quran yang bermaksud....
" Sesungguhnya Al-Quran itu diturunkan dalam keadaan dukacita. Jika kamu membacanya, maka menangislah. Jika kamu tidak menangis , maka kamu akan dibuatnya menangis."  
Cara-cara mempersiapkan hati 
i.  Manfaatkan waktu-waktu ketika perasaan boleh berinteraksi secara alami dan jika pada ketika itu ia membaca Al-Quran akan memberi kesan positif dan mempercepatnya proses interaksi jiwa dengannya.
Kisah Umar Al-Khattab ketika memeluk Islam: jiwanya tersentuh ketika melihat darah mengalir diwajah saudara perempuan, Fatimah. Pada ketika itu beliau mendengar bacaan Al-Quran, lantas hatinya terbuka dan terus memeluk agam Islam. 
ii.  Sebelum membaca Al-Quran, berusahalah untuk mempengaruhi perasaan walaupun dalam jangka masa beberapa minit. Contohnya mengingatkan kematian, mendengar nasihat dan membaca buku-buku yang boleh menyentuh perasaan. Persiapan hati  sebelum membaca Al-Quran ini perlu dititikberatkan untuk kesan lebih positif. Jangan ditinggalkan wasilah ini.
  • Membaca Al-Quran dengan Tartil dan Suara yang Indah
Dengan bacaan yang benar (tepat mengucapkan makhraj huruf sesuai dengan kaedah tajwid), suara yang lunak dan bagus serta membaca dengan perlahan dan tenang dapat mempertingkatkan proses interaksi dengan Al-Quran. Seperti kata Al-Zubaidi: " Suara yang bagus akan menambah bacaan menjadi lebih baik. Jika bacaan dihiasi dan diperindah dengan suara yang bagus, maka akan ada daya penarik bagi hati untuk mendengarkan, memusatkan fikiran dan perhatian serta menghayatinya."
  • Memahami apa yang dibaca
Pemahaman dan penghayatan penting untuk berinteraksi dengan Al-Quran. Kita perlu meyakini bahawa kita mampu memahami dan  berinteraksi dengan Al-Quran yang berbahasa Arab, bahasa yang boleh dan mudah difahami dan dipelajari.  Interaksi jiwa dengan Al-Quran ini sebenarnya tidak memerlukan pemahaman yang mendalam.Interaksi jiwa ini bersifat relatif, ia tidak memerlukan adanya satu keistimewaan tertentu. Walaupun kadang-kadang pemahaman sesaorang akan sesuatu ayat sangat terbatas, akan tetapi ia masih boleh terpengaruh dan berhasil mewujudkan kesan yang besar pada jiwa.
  • Pengambilan makna ayat secara umum
Apabila membaca Al-Quran perlu wujudnya kesinambungan dan tidak memotong-motong bacaan, supaya jiwa dapat berinteraksi dengan ayat Al-Quran secara berterusan. Jiwa perlu diberi kesempatan untuk meresapi maksud ayat Al-Quran dan seterusnya mempengaruhi jiwa sedikit demi sedikit supaya hati jadi lebih sensitif. Jika kita menghadapi kesulitan memahami satu atau dua kalimat dalam satu ayat maka memadai mengambil erti yang umum sahaja. Setelah selesai kita membaca Al-Quran,  bolehlah merujuk kepada kitab tafsir untuk mengetahui makna yang susah difahami.
  •  Pengulangan ayat yang memberikan pengaruh di dalam hati
Pengulangan bacaan ayat-ayat Al-Quran ini sebenarnya penting semasa kita berinteraksi dengannya. Melalui pengulangan ini jiwa akan lebih merasai dan menghayati apa yang dibaca dan lantas menggerakkan perasaan dan seterusnya menambahkan keimanan. Berusahalah mengulang-ulang ayat yang dapat memberi pengaruh dalam jiwa sepertimana sahabat-sahabat Rasulullah saw yang mengulang-ulang satu ayat berkali kali sepanjang malam sehingga pagi menjelang! Mereka iringi dengan doa dan tangisan untuk menghayati ayat tersebut didalam jiwa mereka....dan seterusnya menyakini dan melaksanakan tuntutan ayat tersebut!
  • Serasikan hakikat keimanan yang telah terhasil, memberi fokus padanya, berinteraksi dan menghayatinya dalam beberapa waktu.
Fokus diberikan pada apa yang telah di baca dan di yakini  dari bacaan Al-Quran untuk dihayati dan dilaksanakan dalam kehidupan. Segala usaha yang disertai dengan amal akan menambahkan keimanan didalam hati. Ia akan mampu merubah sikap dan memperbaiki sikap dan perangai sesaorang agar menjadi lebih baik dan positif.
    Apabila kita mendekati dan membaca Al-Quran, sebenarnya kita sedang berinteraksi dengan Kalamullah yang Agung dan Mulia, yang mana akan memberi kesan pada jiwa, penawar kepada jiwa yang luntur iman. Al- Quran ini mempunyai peranan yang penting sebagai sumber penghasil keimanan yang tidak dapat ditandingi oleh wasilah lain. InsyaAllah, melalui Al-Quran dasar-dasar keimanan dapat di bina di dalam hati seluas dan sedalam yang mungkin. 
     Sebenarnya kita menzalimi diri kita sendiri apabila kita tidak memberikan hak-hak Al-Quran untuk membangunkan dasar-dasar keimanan dalam hati kita dan tidak meluangkan masa dan kesempatan untuk berinteraksi dengan Al-Quran yang merupakan Mukjizat Allah! Mukjizat yang boleh meningkatkan keimanan kita , membersihkan hati kita dan mengingatkan kita tentang hakikat kehidupan di dunia dan akhirat. Juga kita menzalimi diri kita bila kita hanya setakat memperbanyakkan bacaan Al-Quran, memperindahkannya tanpa tadabbur dan menghayatinya.
     Jadi sewajarnyalah kita memperbaiki interaksi kita dengan Al-Quran supaya ia dapat memberikan kesan yang lebih mendalam dalam jiwa kita ....menjadikan Sahabat generasi Al-Quran yang pertama sebagai contoh kita dalam penghayatan Al-Quran. Mereka merupakan Al-Quran yang berjalan ditengah-tengah masyarakat jahiliyah, yang meningggikan kalimah Allah di mana sahaja mereka berada! Al- Quran ini sepatutnya dekat dihati kita selalu, petunjuk sepanjang jalan kehidupan kita....
Perbanyakkanlah membaca dan mentadabbur Al-Quran yang dapat memberikan cahaya dalam hati kita  
ini.....Ajaklah diri kita dan keluarga  kita ...kembalilah pada Al-Quran.!

Rujukan Buku
Peranan dan Kekuatan Al-Quran dalam memantapkan keimanan
Majdi  Al-Hilali

Hakikat hidup ini...

Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...