Monday, May 12, 2014

Dimana DIA di hatiku?



Di hatiku masih ada dua cinta yang bergolak dan berbolak-balik. Antara cinta ALLAH dan cinta dunia sedang berperang dengan begitu hebat dan dahsyat sekali.

Kalau kau tanyakan aku, "Adakah DIA di hatimu?"

Aku hanya mampu menjawab, "Aku seorang insan yang sedang bermujahadah agar ada DIA di hatiku. Aku belum sampai ke tahap mencintai-NYA tetapi aku yakin aku telah memulakan langkah untuk mencintai-NYA."


Justeru, kerana belum ada DIA di hatiku, hidupku belum bahagia, belum tenang, dan belum sejahtera. Aku akan terus mencari. Aku yakin ALLAH itu dekat, pintu keampunan-NYA lebih luas daripada pintu kemurkaan-NYA.

Selangkah aku mendekat, seribu langkah DIA merapat. Dan akhirnya... aku yakin... suatu saat nanti, akan ada DIA di hatiku dan di hatimu jua.

Dan kita akan terus mengemis kasih...

- Ustaz Pahrol Mohd Juoi [Di Mana Dia Di Hatimu?]

Mujahadah Cinta

Thursday, April 03, 2014

Mengapa kita diuji.......Ustaz Pahrol



Mengapa Allah menguji kita?

Apabila diuji dengan kesakitan, perpisahan, kegagalan, kemiskinan... terdetiklah rasa , "Apakah Tuhan sayangkan aku?Kenapa aku diuji sebegini berat sekali?"

Kenali Tuhan yang mengujimu !

Tanpa kita sedari kita sudah mempersoalkan kuasa Tuhan, padahal kita hanyalah hambaNya. Hamba tidak berhak menyoal, sebaliknya hamba akan disoal. Namun, itulah kelemahan manusia. Kita sering alpa dan terlupa.

Paling malang, manusia kerap terlupa dirinya hamba. Terutama ketika diuji. Sebab itu Allah mengajar kita kalimah 'istirja' setiap kali diuji.

ان لله و إن اليه راجعون

"Kami milik Allah, kepadaNya kami akan dikembalikan"

Ya, inilah kalimah yang mengingatkan bahawa kita milik Tuhan, Tuhan layak menguji kita dan kita layak diuji. Jangan sesekali menolak apalagi 'mengamuk' apabila diuji. Kita hanya hamba...

Namun, untuk meringankan kepedihan ujian yang menimpa, hendak kita mengenal Allah yang memberi ujian itu, Kenallah sifat ilmu, kasih-sayang dan belas ihsan Allah yang Maha Hebat. Sebagai hamba , ilmu kita terbatas, ilmu Allah yang Maha Luas. Kasih sayang kita cuma seraut, kasih sayang Allah selaut. Orang yang mengenal Allah, akan mencintaiNya. Bila sudah cinta, kuranglah derita diuji. Bukankah cinta itu buta?

Orang yang mengenal kasih sayang Allah punya keyakinan bahawa keputusan (takdir) Allah itu yang memberikan yang terbaik. Allah Maha Pengasih dan Penyayang, tidak memberi sesuatu yang buruk untuk hambaNya. Justeru, hamba yang baik tidak akan berburuk sangka terhadap Allah dengan merasakan apa yang ditakdirkanNya (ujian) itu ialah sesuatu yang tidak baik.

Yakinlah bahwa semua ketentuan Allah itu adalah baik. Ujian itu pasti ada kemuslihatan yang tersembunyi untuk setiap kita. Pilihan Allah untuk kita adalah yang terbaik, cuma kita tidak tahu atau belum mengetahuinya. Bila berlaku nanti, barulah kita tersedar, Ya Allah, mujur Kau takdirkan begitu. Kata arifbillah (orang yang mengenal Allah):

"Sekiranya kita merasakan kasih sayang Allah itu terpisah apabila Dia menguji kita, itu petanda tumpulnya akal, butanya mata hati"

Di antara hikmah ujian, seseorang akan dapat menambah tumpuan dan tujuannya untuk menjadi hamba Allah. Yang mana selama ini, jalan itu disekat oleh hawa nafsu. Sebab ujian bertentangan dengan kehendak, keinginan nafsu dan syahwat manusia. Nafsu yang buas dan liar untuk melakukan maksiat itu tidak suka pada sakit, rugi, miskin dan lain-lain. Lalu apabila diuji, nafsu itulah yang terdesak, tidak senang dan ingin segera terlepas daripada ujian itu.


Jadi, apabila nafsu terdesak, hati dan akal akan terbuka. Inilah jalan kebaikan, kerana ajakan untuk melakukan kejahatan akan turut tertahan, kerana nafsu itu sangat mengajak pada kejahatan. Ujian itu sesungguhnya akan melemahkan nafsu, menghilangkan kekuatannya serta batalkan kudratnya. Bila nafsu lemah, manusia tidak akan jatuh ke lembah dosa - mengejar keseronokan dunia sehingga melupakan batasan syariat.


Ujian juga menimbulkan rasa taat kepada Allah. Hati tidak dapat tidak mesti bersabar. Hati akan terdidik untuk redha dan tawakal. kerana Qada dan QadarNya mesti berlaku. Manusia akan lebih dekat dengan agama, kepentingan akhirat dan cinta kepada Allah. Hikmah ini walaupun sebesar zarah tetapi apabila melekat di hati kebaikannya lebih tinggi dari amal lahiriah walaupun sebesar gunung. Inilah kebaikan di sebalik kepahitan ujian. Justeru Allah berfirman :

".... Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan sesuatu itu merosakkan kamu. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak tahu"
(Surah al-Baqarah : 216)

Ujian itu menghapuskan dosa dan kesalahan terhadap Allah seperti bahan pencuci membersihkan kain yang kotor. Nabi Isa pernah berkata, "Belum dikatakan seseorang itu kenal Allah, sebelum ia bergembira dengan musibah dan penyakit ke atas dirinya, kerana berharap supaya dihapuskan kesalahannya"

Bila kita benci dengan ujian, ertinya kita belum kenal Allah dan (kerana) tidak faham itulah cara (kaedah) Allah mengampunkan dan membersihkan dosa-dosa kita. Ya, seolah-olah orang yang benci diuji itu tidak suka dibersihkan daripada dosa-dosa atau apakah dia merasa tidak berdosa? Sebaliknya apabila kita gembira (menerima dengan baik) ujian itu, kerana yakin bahawa yang datangkan ujian itu juga daripada Allah., kita bukan sahaja berikhtiar (berusaha) untuk menghilangnya tetapi juga berusaha untuk mendapatkan hikmahnya.

Rasulullah SAW bersabda, "Barangsiapa yang dikehendaki Allah pada seseorang itu kebaikan, makan Allah akan cuba dengan ujianNya"

Jadi apabila diuji, terimalah dengan baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada takdir Allah yang tiada hikmahnya. Orang-orang soleh bila diuji, hikmah-hikmah ujian akan mendekatkan mereka kepada Allah. Tapi bagi tidak suka atau benci diuji, tidak akan dapat melihat hikmah kerana akal dan hatinya melihat sesuatu hanya selari dengan nafsunya sahaja.

Ingatan para hamba kepada Allah akan bertambah dengan ujianNya. Itu petanda Allah pilih dia untuk diuji. Dan bila diuji, bertambah pulalah ingatan hamba kepada Allah. Oleh itu, tiada jalan keluar melainkan tiga langkah ini apabila diuji iaitu...

1) Kuatkan Iman, pupuk kesabaran, mantapkan keyakinan menghadapi ujian itu dengan segera mendekatkan diri kepada Allah.

2) Cuba serapkan rasa di dalam hati Kehendak (pilihan) Allah mengandungi hikmah yang baik jika diterima penuh keinsafan dan kesabaran.

3) Berbaik sangka dengan Allah dengan cara menyedari (mencari) hikmah. Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untuk kita.

Ya, Allah timpakan ujian yang besar, untuk 'membesarkan' kita. Ingat itu. Justeru, ahli yang bijaksana sering berkata... Pemimpin yang besar itu dikenali melalui ujian yang dihadapinya. Semakin besar tahap kepimpinannya, maka semakin besarlah ujian yang Tuhan sediakan untuk 'membesarkan' lagi pengaruh kepimpinannya.

Dan setiap kita adalah pemimpin. Sekurang-kurangnya pemimpin buat diri sendiri. Jadi, kita pasti diuji ! Justeru apabila diuji jangan katakan

"Apakah aku tersisih?"

sebaliknya, katakan.......

"Aku sudah terpilih!"

"Apabila kira redha atas sesuatu yang mengecewakan kita, maka percayalah Allah akan menggantikan kekecewaan itu dengan sesuatu yang tak dijangka"

"Anehnya orang beriman, apabila diuji dia bersabar, apabila diberi kesenangan dia bersyukur"


Duhai hati, bersabarlah........ 
Sesungguhnya hidup ini fana...
Kesakitan dan kepedihan yang di rasai itu...
Hanya sebentar cuma...

Kuatkan hati tabahkan jiwa...
Biar berderai airmata...
Biar lelah menyapa..
Namun mengalah tiada jua...

Mengadulah padaNya...
Itulah kekuatan jiwa...
Berserah dan bergantung harap padaNya!! 

RAW 2/4/14

Monday, February 03, 2014

Wasiat Allahyarham Prof Dr Abdul Karim Zaidan... utk renungan diri..!!

Bismillahirrahmanirrahim

Kepulangan Prof Dr Abdul Karim Zaidan ke rahmatullah merupakan satu kehilangan besar buat ummat Islam di seluruh dunia kerana beliau merupakan tokoh ilmuan Islam di abad ini yang menjadi rujukan banyak gerakan Islam di zaman ini. Buku beliau Usuluddakwah sering menjadi rujukan kami semasa di awal penglibatan dalam Islam. Semoga Allah merahmati beliau di atas jasa-jasanya yang besar pada Islam, di tempatkan rohnya bersama orang soleh dan diampuni segala dosa2nya. Wasiat beliau dibawah ini merupakan satu wasiat yang berguna untuk kita ikuti dan pegang di akhir zaman penuh fitnah dan mehnah ini. Satu demi satu kita dapati ulama Islam meninggalkan kita....smoga Allah sentiasa memimpin kita di atas jalan yang benar dan sentiasa dapat berpegang teguh di atas jalan yang hak, di atas sunnah Rasulullah saw, insyaallah. Ameen ya rabbal alamin.

WASIAT USTADZ 'ABDUL KARIM ZAIDAN, 1993


Kita mestilah melibatkan diri dalam jama'ah yang menjadikan tarbiyyah sebagai asas yang berpanjangan dan tidak berubah-ubah oleh masa. Jama'ah ini pada masa yang sama membina hubungan yang baik dengan jama'ah Islam yang lain, berasaskan ukhuwwah Islamiyyah yang umum. Kita mestilah memperkenalkan kepada mereka (jama'ah lain) bahawa kita adalah satu jama'ah yang mempunyai anggota dan manhaj.

Jama'ah ini berasaskan tarbiyyah ruhani dan penambahan ahlinya adalah berdasarkan da'wah fardiyyah. Dengan kata lain, kita mengikuti manhaj yang telah digariskan oleh Imam Hassan al Banna, apabila beliau berkata yang kita mahu membina individu muslim, keluarga muslim, dan masyarakat muslim. Apabila kita berbuat demikian, daulah Islam akan lahir dari masyarakat muslim itu sebagaimana buah yang keluar dari sebuah pohon. 

Pembentukan individu muslim pula berdasarkan kepada: 

Iman yang mendalam dalam hati, hubungan yang kuat dengan Allah melalui zikir yang berterusan, tilawah al Qur'an, solat malam, dan puasa sunat seperti tiga hari sebulan. 

Pengkajian Tafsir seperli Tafsir Ibnu Katsir atau ringkasannya (mukhtasar), Fi Zilaal oleh Sayyid Qutb. 

Pengkajian hadith seperti hadith empat puluh an Nawawiyyah. 

Pengkajian fiqih seperti Fiqh as Sunnah oleh Sayyid Sabiq kerana seorang muslim hendaklah mengetahui deen Islam dan perundangannya. Supaya dengan itu, apabila individu itu memperkatakan sesuatu tentang Islam, perkataannya tidak lari dari ilmu Islam. 

Pengkajian sirah seperti Sirah an Nabawiyyah oleh Abul Hassan an Nadawiyy dan Imtaa'a al Asma' Sirah al Makriziyy dalam bahasa Arab. 

Pengkajian rasail oleh Imam al Banna seperli Mu'tamar ke Lima, Risalah at Ta'alim, Usul 'Isyrin, dsb. 

Pengkajian beberapa buku dari al Maududi seperti Mabaadi' Islam (Asas-asas Islam), Syihaadatul Haqq (Penyaksian ke atas Kebenaran) dsb. 

Pengkajian buku oleh an Nadawiyy seperti Madza Khasaril 'Alam bi Inhitotil Muslimin (Kerugian Dunia Akibat Kemunduran Muslimin). 

Pengkajian buku oleh Sayyid Qutb seperti Mustaqbal Lihadza ad Deen (Masa Depan Islam), dsb. 

Wahai anakku, 

Saya mewasiatkan kamu supaya: 

Ikhlas kerana Allah semata-mata, bekerja untuk mencari keredhaanNya, bukan kepada penghormatan (sum'ah) dari manusia dan kedudukan atau jawatan di antara mereka. Amal yang dikerjakan secara rahsia lebih baik dari amal yang didedahkan. 

Mencapai makna ukhuwwah Islamiyyah yang sebenar di antara kamu dan saudara-saudara kamu dengan menubuhkan usrah di tempat kamu belajar atau menetap. 

Sentiasa menyoal diri kamu apakah yang telah kamu sumbangkan untuk da'wah kamu hari ini? Apakah kamu mampu untuk membawa seorang saudara baru ke dalam da'wah kamu? Jadikan slogan kamu dalam hal ini sebuah hadith: 

مَنِ اسْتَوَى يَوْمَاهُ فَهُوَ مَغْبُونٌ 
"Manistawaa yaumahu fahuwa maghbun" 

"Sesiapa yang dua harinya bersamaan (umpamanya tiada peningkatan di antara hari ini dan semalam), maka dia termasuk dalam golongan yang rugi." 

Maksudnya, seorang muslim hendaklah menjadikan amal solehnya lebih baik. dan meningkat dari hari ke hari. 

Apabila kamu hendak tidur, soallah diri kamu, apakah saya telah melakukan dosa? Adakah saya telah mencuaikan tanggungjawab da'wah? Jika kamu menjumpai kesalahan, mestilah kamu memohon ampun dan Allah. Kemudian bacalah al Qur'an setakat yang mampu, dan mengucap kalimah asy Syahadah sebelum tidur. Kamu mungkin mati dalam tidur kamu. Jika kamu dihidupkan kembali keesokkannya, hari itu adalah hari yang baru dan satu lagi peluang untuk kamu bekerja untuk da'wah dan apa sahaja yang disukai oleh Allah. 

Selalu mengingati hadith Rasulullah s.a.w.: 

عن أبي العباس عبد الله بْنِ عَبَّاسٍ قَالَ كُنْتُ خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا فَقَالَ:" يَا غُلاَمُ إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ احْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظْكَ احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَاعْلَمْ أَنَّ الأمة لَوْ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ وَلَوْ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ رُفِعَتْ الْأَقْلاَمُ وَجَفَّتْ الصُّحُفُ" رواه الترمذي ، وأحمد ، وصححه الألباني في صحيح الجامع برقم 

Dari ibnu 'Abbas r.a., Baginda telah bersabda: "Saya pernah berada di belakang Nabi s.a.w. pada suatu hari, maka beliau bersabda: "Hai anak Aku akan mengajar engkau beberapa kalimat: 'Jagalah Allah pasti Allah akan menjaga engkau. Jagalah Allah pasti engaku akan mendapatkanNya di hadapanmu. Jika engkau minta tolong, mintalah tolong kepada Allah. Ketahuilah, bahawa sesungguhnya jika bersatu ummat (manusia) untuk memberikan manfa'at padamu dengan sesuatu, nescaya tiadalah mereka dapat melakukan hal itu, kecuali dengan sesuatu yang telah ditentukan Allah pada mu, dan jika mereka bersatu untuk mencelakakan kamu dengan sesuatu, nescaya tiadalah mereka dapat mencelakakan kamu kecuali dengan sesuatu yang telah ditentukan oleh Allah padamu. Telah diangkat kalam dan telah kering lembaran-lembaran itu.'" 

Itulah nasihat yang juga ditujukan kepada saya dan juga kamu. 

(Wallahu'alam)





Unlike · · Share

Tuesday, December 17, 2013

Beriman tanpa ragu-ragu...



Bismillahirrahmaanirrahim...

Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya dapat sekali lagi ku coretkan peringatan buat diri ini dan perkongsian bersama pembaca blog sekelian. Mudah-mudahan apa yang di tuliskan ini dapat dimanfaatkan dan disebarluaskan, insyaaAllah.

Sama-sama kita renungi firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat ayat 15 yang bermaksud...

" Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasulnya dan kemudian mereka tidak ragu-ragu, mereka berjihad dengan harta benda dan jiwa raga mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar."

Dari ayat di atas jelaslah kepada kita siapakah orang yang beriman itu dan ciri-cirinya....iaitu mereka yang ada iman yang tidak ada sedikitpun keraguan dijiwa, berkeyakinan yang bulat padu pada Allah dari hati, dibenarkan oleh lisan dan dibuktikan dengan amalan!!

Hatinya benar-benar yakin dan percaya pada Allah dan RasulNya, tiada ada rasa ragu, tidak ada rasa tidak puas hati ,  tidak ada rasa tidak layak atau was-was terhadap sistem Allah SWT atau hukum-hukum Allah. 

Iman sebeginilah yang mampu melahirkan jihad yang sebenarnya iaitu jihad dengan hartabenda bahkan jiwanya sanggup diserahkan di atas jalan Allah SWT.  Segala apa yang ada pada dirinya hanya untuk Allah dan kerana  Allah semata-mata.....Pendekata lautan sanggup direnangi, daratan sanggup ditempuhi demi Allah dan Rasulnya yang tercinta!! MasyaAllah hebatnya pengaruh iman yang bulat dan tidak ragu-ragu ini....sehingga segalanya jadi mudah dan kecil, tidak ada apa-apa walaupun manusia mungkin nampak susah dan impossible!

Iman yang tidak ragu-ragu ini akan merasai satu kepuasan, mantap dan tetap tidak berbelah bagi dan mendesak diri untuk tunduk dan patuh melaksanakan setiap perintah Allah dan menjauhi laranganNya dalam diri , keluarga dan masyarakat. 

Dia tidak akan rasa senang dan tenang bila perintah Allah dilanggar dan larangan Allah tidak dihiraukan. Rasa sedih menyelubungi hati bila memaksiatiNya dan gembira bila mentaatiNya. Inilah tanda iman sudah bertahta dijiwa dan apa yang dirasai akan disepadukan dalam kehidupan dan amalan seharian.

Itulah dia iman yang hakiki, iman yang benar yang tidak sabar-sabar lagi untuk beramal dan berjuang......tidak pernah mencari alasan untuk tidak turut serta dalam medan jihad. Inilah dia iman yang hidup segar dan sihat dalam jiwa insan yang benar-benar beriman tanpa ragu-ragu!!

Maka semaklah diri kita sendiri...sejauhmanakah iman yang benar ini sudah bertahta dalam jiwa? Sejauhmanakah pengorbanan kita diatas jalanNya....sudahkah apa yang kita yakini dan rasai itu dijelmakan dalam kehidupan kita? Apakah sama apa yang kita cakap dengan apa yang kita perbuat? Jika masih ada pertentangan antara apa yang ada di dalam hati dengan amalan kita....maka itulah yang di namakan nifaq.

Iman orang yang nifaq ini adalah iman yang lemah, iman yang tidak mantap senang berbolak balik. Perlakuan dan amalannya bercampur baur antara kemaksiatan dan ketaatan dan ia akan disiksa dan diberi pahala sesuai dengan amalannya. Sifat nifaq ini adalah tercela kerana ia adalah ciri orang munafiq yang di murkai dan dilaknati Allah SWT.

Dalam satu hadis Rasulullah tentang nifaq ini yang bermaksud...

" Ada empat hal yang jika terdapat pada diri seseorang, maka ia menjadi seorang munafiq sejati, dan jika terdapat padanya salah satu dari sifat tersebut, maka ia memiliki satu karakter kemunafikan hingga ia meninggalkannya: 1) jika dipercaya ia berkhianat, 2) jika berbicara ia berdusta, 3) jika berjanji ia memungkiri, dan 4) jika bertengkar ia melewati batas.”

Realiti masyarakat Islam sekarang, sebahagian besar praktik hidup  berjalan tanpa dipandu oleh iman yang benar. Mengapakah terjadinya demikian ? Kemungkinan syahadah yang diucap hanya di mulut tapi tidak masuk dan meresap ke dalam ke hati. Ini menyebabkan apa yang diucap tidak sama dengan yang diamalkan...dengan kata lain cakap tak serupa bikin! Itulah tanda iman yang palsu  atau lemah.

Justru itu, terjadinya amalan yang berlawanan dengan ajaran Allah SWT. Sedangkan sepatutnya antara amalan jahiliyyah dan Islam tidak pernah ada kompromi. Islam dan jahilyyah  tidak boleh bersekutu, saling bermusuhan antara satu sama lain.

Jadi, dalam hati orang mukmin hanya ada satu kecintaan sahaja natijah dari iman yang benar, mantap dan tidak ragu-ragu...iaitu cintakan Allah, cintakan Rasul dan kebenaran!  Bagaimana mungkin hati itu cinta pada Allah dan Rasul jika masih banyak kecintaan pada dunia, cintakan apa yang disukai nafsu, cintakan jahiliyyah ? Memang dalam hati itu tidak akan terkumpul dua kecintaan ini serentak! Kena pilih salah satu....! Orang Mukmin pastinya akan memilih cinta Allah dan Rasul sementara orang fasik , munafik dan kafir akan memilih jahiliyyah, hawa nafsu dan dunia.

Jika sesaorang itu mengaku beriman tapi dia tidak menolak jahiliyyah malah berseronok dengan jahilyyah, diam membatu bila keluarga sendiri terlibat dalam jahiliyyah, ini menunjukkan imannya sudah lemah tidak berfungsi lagi dan hatinya sudah dihinggapi penyakit.

Jiwa yang lemah iman ini perlu segera bangkit  semula agar ia bertenaga kembali untuk melawan dan menolak jahiliyyah.... jika tidak ditakuti lama kelamaan jiwa tersebut semakin lemah hingga hati itu mati. Satu musibah besar bila hati itu mati terlebih dulu dari jasad...berjalannya ia di muka bumi Allah ini seperti mayat hidup yang tidak bernilai disisi Allah!

Jahiliyyah ini mesti dilawan dengan iman supaya ia tunduk di bawah telunjuk iman. Janji Allah bahawa iman dan kebenaran pasti menang dengan izinNya cuma ia menuntut jihad dan pengorbanan, kesabaran dan istiqamah berada di atas jalan iman sama ada dalam keadaan susah atau senang. Hanya senya orang yang benar imannya adalah mereka yang beriman dengan Allah dan RasulNya tanpa ragu-ragu, sedia berkorban dan berjihad hartabenda bahkan jiwa raganya untuk Allah!!

Sesungguhnya perjalanan kehidupan orang-orang beriman ini bukanlah ditaburi dengan bunga dan permaidani merah tapi di penuhi dengan keringat,  airmata dan darah, jihad dan pengorbanan yang berterusan menentang jahiliyyah.....banyak halangan yang merentasi perjalanan itu...maka perlunya kita memelihara diri kita agar sentiasa berada di atas landasan yang benar menuju kepada matalamat yang satu agar mendapat kejayaan sebenar di sisi Allah! Hanya bila kita berada di atas jalan Allah yang benar kita akan sentiasa mendapat pertolonganNya, rahmatNya, keredaanNya....itulah janji Allah bahawa Dialah penolong dan pelindung orang-orang yang beriman dan bertakwa...!!

Hasbunallah wani'mal wakeel wani'mal maula wani'mannasir....

Sumber  Tarbawi
  

Tuesday, November 05, 2013

Bermulanya Tahun Hijrah 1435....!



Bismillahirrahmanirrahim....
Alhamdulillah,  petang tadi apabila malam mula melabuhkan tirainya, matahari mula menyembunyikan dirinya...dengan laungan azan maghrib maka bermulalah Tahun Hijrah yang baru! Saban tahun silih berganti....inilah yang kita sambut setiap tahun dengan Cuti Awal Muharram dan Sambutan Maal Hijrahnya!
Lazimnya , di akhiri tahun lepas dengan bacaan doa akhir tahun  dan di awali dengan doa awal tahun......



Kita mengakhiri tahun hijrah yang lepas dengan penuh kepedihan dihati....peristiwa yang menimpa umat Islam di seluruh dunia terutama di Syria, Palestin, di Mynmar, di Mesir.....meruntun jiwa kita di separuh tahun hijrah lepas. MasyaAllah, betapa setiap hari kita dihidangkan dengan berita-berita yang menyayat  hati dan menyedihkan jiwa kita, terpukul rasanya dihati,  kita hanya menjadi penonton sepi melihat umat Islam di sana dibunuh, disiksa, dirogol, disembelih tanpa rasa ihsan....tiada nilainya atau harga nyawa manusia, seolah-olah mereka pembunuh ini dirasuk syaitan yang dahagakan darah dan airmata,   membunuh membabi buta tanpa mengira usia!! Hanya  airmata yang mengalir lebat setiap kali melihat peristiwa yang disebarkan dan doa yang berterusan yang mampu dipanjatkan kehadrat Illahi agar Allah membantu mereka.

 Ampunilahlah kami, ya Allah ! Apa daya kami disini selain doa yang berterusan agar ditabahkan jiwa di kuatkan iman umat Islam disana menanggung dugaan yang maha hebat itu! Tabahlah kalian menentang penindasan musuh-musuh Islam, juga musuh Allah, cukuplah Allah sebagi pelindung dan Dialah sebaik-baik pelindung dan pemelihara! Semoga kejayaan sentiasa bersama kalian para mujahideen yang berjuang dijalan Allah! Allah sentiasa bersamamu!!

 Iktibar bagi kita umat Islam seluruh dunia....dekatkanlah hubungan kita dengan Allah, tingkatkan iman dan takwa dijiwa, perkemaskan dan perbaiki diri kita supaya diri terhias dengan syahsiah Islam, sebolehnya jauhi diri dari maksiat, jangan terleka dengan perangkap-perangkap Yahudi yang ingin melemah dan melalaikan kita dengan agenda halus mereka melalui hiburan-hiburan di media elektronik seperti TV atau internet! Pengembalian kita pada Islam sebenarnya menakutkan musuh Islam kerana mereka tahu  disitulah letaknya kekuatan  kita. 

Apabila saf-saf jemaah diwaktu subuh sudah dipenuhi....disitulah ukuran kekuatan umat Islam! Jadi... ayuh para pemuda Islam....jadilah pendokong agama Allah, campakkan selimut pagimu, bingkas bangun dan sahutlah panggilan azan setiap pagi! Mulai setiap hari dengan nama Allah, berzikir dan bertasbih memmbesarkan Allah, maka dengan itu Allah akan memenangkan kita dan memberikan kita kejayaan, kita tidak lagi dikerumuni oleh musuh Islam seperti orang lapar mengerumuni makanan! Tega ke kita melihat apa yang berlaku sekarang pada umat Islam?? Tanyai hati kecilmu lagi....tegakah kita melihat semua itu? Aduh...pedih dan sedih yang tidak tergambarkan! 

Mulai tahun baru hijrah ini dengan tekad dan semangat, tahun ini lebih baik dari tahun lepas!  Hijrahkanlah hati kita agar dekat lagi hubungan kita dengan Allah, berhijrahlah kita dari akhlak yang tidak baik kepada yang baik dan jika sudah baik menjadi bertambah baik lagi. Inilah konsep sebenarnya penghayatan hijrah kita!

Perlulah buat perancangan rapi untuk tahun baru hijrah ini untuk mecapai matlamat diri....apa yang ingin di capai tahun ini? Senaraikan perancangaan dan buat action plan untuk dunia kita, lebih-lebih lagi akhirat kita. Seterusnya,  teruskan melangkah untuk mencapai matlamat itu tanpa meninggalkan doa pada Allah supaya Allah memberikan kita kekuatan dan  kemampuan diri melaksanakannya! Setiap usaha, setiap langkah yang di ayun....mesti diiringi doa yang berterusan kerana pada Allahlah terletak segala pergantungan jiwa!! Disisi Allahlah tersimpan segala perbendaharaan langit dan bumi, segala sesuatu adalah milikNya. 

Semoga hari-hari depan adalah hari-hari yang memancarkan sinar bagi kebangkitan semula umat Islam agar kembali berpegang teguh pada deen Allah ini. Sebenarnya kitalah yang sangat-sangat perlukan Islam, kita sangat-sangat perlukan Allah dalam hidup ini....... 

Tanpa Allah, kita bukan siapa siapa...we are nothing without Allah!! Disitulah punca kekuatan kita, kejayaan kita, kemuliaan umat Islam!!

Sunday, October 27, 2013

Konsep perubahan menurut Islam


Bismillahirrahmaanirrahim...

Salah satu daripada sifat -sifat Islam ialah ia bersifat merubah. Bila kita mengaku Muslim kita perlu mengubah diri kita menjadi Muslim seperti yang dikehendaki oleh Allah. Dan perubahan tersebut bersifat kulli atau menyeluruh bukan hanya perubahan separuh atau sebahagian sahaja (juz'iyy). Kita perlu sebenarnya mengubah diri kita secara keseluruhannya Islam...Islam di hati dan dalam tindakan, samada seorang diri, berkeluarga atau masyarakat sehingga semua sekali Islam. Ini sesuai dengan ajakan Allah kepada kita dalam surah Al-Baqarah ayat 208 yang bermaksud...

" Hai orang-orang yang beriman masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan dan janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaitan.  Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu."

Islam sebenarnya tidak reda berkompromi dengan jahiliyyah dimana campur aduk antara Islam dan jahliyyah adalah tertolak sama sekali.  Manhaj  atau cara Rasulullah menghadapi jahilyyah adalah dengan melakukan perubahan....terutamanya perubahan dari segi perhambaan atau ubudiyyah perlu hanya senya kepada Allah SWT semata-mata.

Pernah Rasulullah saw di datangi orang kafir Quraish supaya baginda berkompromi dengan mereka dari segi ubudiyyah ini.....iaitu mereka menyuruh baginda menyembah tuhan mereka selama sebulan dan sebagai balasan orang kafir Quraish ini akan menyembah Allah pula selama sebulan! Tapi Allah dengan tegas menurunkan firmanNya dalam Surah Al- Kafirun ayat 1-6 yang menolak campuraduk dalam ubudiyyah ini....

"Katakanlah : Hai orang-orang kafir. Aku tidak menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu pula bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah. Untukmu agamamu dan untukku agamaku."

Penolakan ini adalah tegas dan total tiada kompromi sama sekali!

Satu pengajaran dalam hidup kita supaya inilah sepatutnya kita laksanakan dalam kehidupan kita....penyembahan yang total kepada Allah tanpa ada sedikitpun campuraduk dengan jahliyyah. Semua adat-adat yang baik dalam masyarakat yang tidak bercanggah dengan ubudiyyah kepada Allah bolehlah dikekalkan sebaliknya jika adat tersebut bercanggah perlulah dihapuskan. Adat-adat yang di anjurkan dalam Islam yang belum wujud dalam masyarakat hendaklah di hidupkan.  Dengan kata lain amalan sunnah Rasulullah dijadikan sebagai satu cara hidup kita.!!  

Sebenarnya adalah menjadi satu kewajipan yang penting bagi seorang Muslim atau kaum Muslimin bersiap siaga dengan pelbagai kekuatan diri untuk melakukan perubahan dan menghadapi pelbagai cabaran zaman.

Kenapakah perlunya pada perubahan ini?

Ada banyak sebab diantaranya....
  • tuntutan syarak
  • melepaskan umat islam daripada kehinaan dan kecelakaan akibat tamadun Barat
  • Tamadun Barat dan Timur telah bangkrap
  • hancur leburnya teras-teras Islam seperti aqidah dan amalan asas  Islam seperti solat
  • untuk mencapai kesempurnaan ibadah dan ubudiyyah pada Allah dalam praktik hidup secara keseluruhan
Perubahan yang perlu dilakukan mestilah menepati ciri-ciri yang dikehendaki dalam Islam iaitu...
  • berasaskan aqidah tauhid kepada Allah
perubahan ini perlu betul matlamatnya kerana Allah dan wasilahnya adalah wasilah yang syarak menepati roh Islam
  • perubahan yang menyeluruh
perubahan yang meliputi semua aspek kehidupan manusia yang bukan berasaskan metode rekaan manusia tapi hanya merujuk pada matlamat dan jalan Allah sahaja. Persiapan yang menyeluruh perlu untuk melakukan perubahan yang menyeluruh.
  • perubahan bersifat rahmah dan kasih sayang
perubahan  tidak terbina atas paksaan, kezaliman dan penindasan bahkan ia terbina diatas kemuliaan, rahmah dan kasihsayang.

Tujuan dari perubahan Islam yang menyeluruh ini sebenarnya untuk mencapai kesempurnaan amal itu.  Amal.  yang sempurna bukan dinilali dari segi hasil kerjanya sahaja bagus tapi proses melakukan amal itu perlu juga di perhatikan. Setiap amal itu mesti di mulai dengan niatnya yang benar kerana Allah dan penyempurnaan amal tersebut seperti yang dikehendaki oleh Allah tanpa ada sedikitpun campur aduk dengan nilai yang tidak syarak.

Yang kita kehendaki adalah penilaian Allah dalam kesempurnaan amal yang di lakukan.  Jadi sebenarnya setiap kerja yang kita perbuat sama ada kecil mahupun besar....perlu di teliti proses pelaksanaannya dari awal lagi, kita bukan hanya mementingkan natijah sahaja!!

Apapun disini titik tolak kepada setiap perubahan...dimulai dengan perubahan jiwa yang melahirkan perubahan rasahati, perubahan tindakan dan amalan...perlulah di atas titik tolak yang betul yang lahir dari kefahaman dan kesedaran yang benar, barulah perubahan yang dilakukan itu berkekalan dan istiqamah. Yang nak mantain perubahan ini adalah keimanan dan taqwa yang di proses yang tahan melalui ujian dan dugaan yang mendatang. 

Thursday, October 17, 2013

Tazkirah Aidil Adha....pengorbanan hati!


Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah setinggi rasa syukur ku panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya, akhirnya dapat ku duduk sejenak, meluangkan sedikit masa untuk membuat sedikit coretan di sini setelah sekian lama aku berhenti sejenak...sejak Aidil fitri yang lepas! Aduh...betapa aku ingin menulis  namun disebabkan kekangan masa yang ada...atau mungkin juga dek kelemahan diri mengatur dan mencari masa terluang untuk berkongsi sedikit peringatan.... ..!

Banyak peristiwa berlaku sebulan dua ini....diantaranya, aku menerima ahli baru dalam keluargaku...kini aku sudah mendapat gelaran baru...sebagai ibu mertua! Alhamdulillah setelah bertahun merancang, maka dengan izin Allah anak sulungku sudah pun berkahwin....begitulah ketentuan Allah tentang jodoh ni, kita hanya merancang, namun segalanya Allah yang menentukan. Kekadang lain yang kita rancang, lain pula yang jadi....masyaAllah,  semua itu tersembunyi hikmah yang tidak kita ketahui!!  Sebagai hamba Allah, kita hanya mampu bertawakkal dan pasrah padaNya.....Allahlah sebaik-baik perancang dan Maha Mengetahui apa yang terbaik bagi kita!! Kita perlu berlapang dada seluas lautan dan alam buana , dan bersangka baik dengan Allah di atas segala apa yang terjadi pada diri kita....

Segala yang berlaku adalah tarbiyyah untuk diri....
Kepahitan dan kesedihan yang dilalui mengajar kita erti sabar dan reda.....
Kegembiraan yang dinikmati mengajar kita erti syukur......
Segala yang berlaku semua itu baik belaka...
Tiada satu pun yang sia-sia!!

Interaksi diri dengan semua permasalahan kehidupan merupakan interaksi jiwa, bagaimana seharusnya kita bawa jiwa kita ini, adakah kita menuruti hawa nafsu diri dan masih mempunyai sifat mazmumah yang merajai hati.....??

Ku rasai banyak lagi yang kita kena laksanakan proses membersihkan dalaman diri kita....kekadang walaupun luaran mampak cantik dan bersih belum tentu dalaman kita sebegitu! Kita hiasi fizikal kita dengan pakaian yang cantik dan up to date tapi kita lupa dan tak kisah hiasi hati kita dengan apa yang Allah suka!!

Ya....itulah sebenarnya yang bermakna buat dunia dan akhirat kita...yaitu apa yang Allah suka! Kita kena korbankan apa yang kita suka untuk apa  yang Allah suka.Sebagai contoh, sifat perempuan memang  suka berhias diri dan  tabarruj, tapi Allah suka kita bersederhana di luar dengan menutup aurat yang betul, tapi berhias di rumah untuk suami! Tapi adakah kita kisah apa yang Allah suka...??

Disinilah sebenarnya terletak kerelaan jiwa kita mengorbankan kesukaan kita untuk Allah. Nilai pengorbanan sebenarnya terletak pada sejauhmana sayang kita pada sesuatu itu. Nilai pengorbanan itu semakin tinggi bila sayang semakin tinggi juga....kerana jiwa terpaksa melakukan mujahadah yang pahit! Mujahadah yang menuntut kesabaran yang tinggi untuk istiqamah berpegang pada prinsip. Mampukah kita buat begitu??

Sematkan dijiwa ...kemampuan dan kekuatan itu dari Allah jua. Kita kena mencari jalan-jalan untuk mendapatkan kekuatan dan kemampuan diri dengan Allah. Kita perlu selalu mendekatkan diri dengan Allah melalui jalan ibadah dan zikir kita, melalui pembacaan buku-buku  yang dapat menyentuh jiwa, melalui pembacaan dan penghayatan Al-Quran, berbuat baik pada manusia, banyak bersedekah, bergaul dengan orang-orang yang soleh....dan banyak lagi....satu senarai panjang yang boleh kita buat!

Apapun...langkah pertama itu penting, biarlah bermula dengan yang sedikit tapi istiqamah dari buat banyak tapi tidak istiqamah. Terlebih penting lagi...segala usaha yang kita laksanakan kena iringi dengan doa kerana itulah senjata mukmin yang ampuh! Bawalah senjata ini kemana jua dan panjatkan doa padaNya dalam apa jua suasana. Dengan cara ini kita dapat menjalin hubungan yang erat dengan Allah dan dekat dengan Allah selalu!

Ingati selalu pesanan dari Allah buat manusia yang selalu lupa,  tanda kasih sayang Allah pada kita...
"Ingatlah pada Allah , hanya dengan mengingati Allah jiwa akan jadi tenang..." 
Itulah sebenarnya kebahagiaan yang nak dicari ..ketenangan jiwa yang sebenarnya! 

Wallahualam....setakat inilah yang termampu  untuk coretan jiwa kali ini, insyaaAllah.
Segala yang benar itu  sohehlah dari Allah tapi yang banyak silap itu dari diri ini.
Mohon ampun dari Allah di atas segala dosa-dosa dan mohon maaf  dari semua yang mengenali diri ini di atas segala salah silap yang sengaja dan tidak disengajakan. Itulah dia hakikat diri yang tidak sempurna dan banyak kelemahan. Astaghfirullahal  'azim.


Hakikat hidup ini...

Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...