Monday, December 06, 2010

Kebersihan satu tuntutan!


    

Bismillahirrahmanirrahim........

   Firman Allah dalam Surah Al- Baqarah ayat 222 yang bermaksud....
" ....sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang menyucikan dirinya."
   Menyucikan atau membersihkan diri kita zahir dan batin merupakan satu tuntutan dari Allah SWT kerana dengan penyucian inilah kita dapat mencapai darjat kemuliaan disisi Allah SWT.  Suci zahir dan batin semasa kita menunaikan solat lima waktu.....suci hati, suci pakaian, suci tempat solat semuanya perlu diperhatikan. Melalui wuduk yang diambil kita mensucikan fizikal kita yang merupakan syarat sah solat kita. Khusyuknya solat yang kita buat bergantung pada kesucian hati kita....jika hati tidak bersih suci inilah yang menjadikan kita lalai dan tidak tenteram dalam solat, fikiran kita melayang entah kemana? Kita terlupa berapa rakaat kita  dah solat!
      Jadi suci hati dan tubuh badan kita merupakan jambatan kepada kesempurnaan ibadah kita. Bahkan prinsip kesucian ini juga perlulah diterapkan dalam kehidupan kita keseluruhannya; rumahtangga kita, pergaulan, berniaga, bekerja ,belajar dan lain-lain lagi. Disemua tempat dan keadaan kita dituntut mengamalkan prinsip kesucian ini. Jauhkan diri kita dari berlaku zalim, dusta, menipu, rasuah, khianat, mengadu domba, mengumpat, bermuka-muka dan banyak lagi.... Inilah hakikat kehidupan yang bersih suci bagi orang Mukmin ini. Kesucian hatinya melahirkan kesucian tindakan dan amalan kehidupannya. Apa yang ada dijiwa akan lambat laun  dizahirkan keluar. Tidak dapat disimpan didalam hati!
     Kita sebagai Muslim perlu melatih diri kita untuk sentiasa hidup suci bersih zahir dan batin yang merupakan satu tuntutan dalam Islam dan amalan yang disukai Allah SWT. Islam yang kita nak bina dalam diri kita perlu di asaskan diatas kesucian diri. Muhasabah diri dan selalu bertaubat dapat mensucikan hati.  Tapi semua ini bergantung pada kesungguhan diri kita dan betapa serius dan tingginya tekad kita untuk melaksanakan tuntutan ini. Kita perlu mulai dengan diri kita terlebih dahulu....melatih diri supaya bersih hati, bersih lisan, bersih sikap dan tindakan!  
   Hati kita dibersihkan dari sifat-sifat mazmumah terkeji, lisan kita dibersihkan dari cakap cakap kotor, lucah  dan tidak senonoh,  amalan dan tindakan kita dibersihkan dari yang tidak syarak dan menyakiti hati orang lain. Setiap kali kita berbicara yang kotor, raut wajah akan jadi buruk dan tidak berseri. Tapi bicara yang baik dihiasi senyuman akan menyerikan wajah walaupun raut rupanya sederhana sahaja! Menurut kajian sebuah senyuman, menarik tujuh belas otot muka sementara wajah yang berkerut ,masam dan marah memerlukan tiga puluh dua otot. Kemarahan akan menjadikan wajah cepat berkedut dan tua!   
   Apabila hati selalu di bersihkan, ia makin peka dan sensitif. Peka dan sensitif dengan kekurangan diri sebagai hamba Allah, peka pada peluang untuk beramal lebih, peka untuk menambahkan ilmunya...peka dan sensitif dengan ayat-ayat Allah , tuntutan dan laranganNya. Hati yang sentiasa dibersihkan umpama cermin yang dibersihkan selalu, bersinar berkilat dan dapat dijadikan cermin diri dan juga orang lain. Tiada satu kotoran pun terpalit padanya. Sebaliknya hati yang kotor yang jarang dibersihkan umpama cermin yang kotor, penuh debu ,tidak dapat membalikkan cahaya dan dijadikan cermin diri. Jadi susah nampak kelemahan diri sendiri, asyik menyalahkan orang lain, sentiasa mencari alasan.... 
    Manusia yang berjiwa kotor inilah yang sering melanggar larangan Allah SWT, tidak pernah rasa dirinya banyak dosa, tidak pernah rasa bersalah dan punyai kekurangan. Dirinya sentiasa saja betul , orang lain tu salah belaka! Kehidupan sebegini sebenarnya jauh dari kemuliaan dan kebahagiaan yang dicari! 
     Pada diri Rasulullah saw itu terkumpul  kesucian diri zahir dan batin. Contoh peribadinya yang bersih hati, bersih tubuh, bersih lisan, bersih fikiran. Tutur katanya penuh makna jauh dari sia-sia. Sikap dan penampilan diri sentiasa rapi, bersih dan bersahaja. Setiap kali berwuduk Rasulullah saw bersugi, begitu juga selepas makan dan apabila hendak tidur. Rasulullah tekun memelihara kebersihan dirinya disamping kebersihan batinnya setiap masa. 
  Dalam kehidupan kita yang singkat ini, perlunya kita menitikberatkan kesucian diri zahir dan batin. Lebih-lebih lagi kemurnian dan kesucian ubudiyyah kita pada Allah SWT.  Hati kita dibersihkan dari menyembah illah lain selain Allah SWT. Inilah kerja full-time kita. Kerja-kerja yang menuntut pengorbanan diri. Kita melaksanakan tarbiyyah diri untuk kita berhijrah dari satu keadaan yang kurang baik ke keadaan lebih baik lagi....Tanpa usaha dan tarbiyyah yang berterusan , kesucian jiwa susah dicapai yang mana ini akan mempengaruhi amalan dan tindakan! Perlunya sentiasa bertaubat dari dosa-dosa kita yang mengotori jiwa kita, yang menjauhkan kita dari rahmat dan hidayah Allah SWT.
   Salam Maal Hijrah 1432 buat semua pembaca blog, semoga tahun baru hijrah  ini membuka lembaran baru buat kita dalam memperbaiki diri kita, membulatkan tekad kita mencari redha Allah dalam kehidupan kita. Segala kesilapan kita, keterlanjuran kita di sisi Allah kita kesali semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita yang telah lalu insyaAllah.
   Ya Allah bantulah kami dalam mengharungi kehidupan ini, pimpinlah kami di atas jalanMu yang lurus, berikan kami taufik dan hidayahMu dalam semua amalan dan tindakan kami. Jangan tinggalkan kami kerana kami sangat-sangat memerlukanMu ya Allah.!!
Ameen.. 

Rujukan 
Mencari ketenangan jiwa
Aa Gym.

Sunday, December 05, 2010

Sepuluh Wasiat Dari Imam As-Syahid Hassan Al- Banna

1.Apabila mendengar azan, bangunlah bersembahyang dengan serta merta walaubagaimana keadaan sekali pun.
2. Bacalah Al- Quran, tatapilah buku-buku ilmu, pergilah ke majlis-majlis ilmu dan amalkanlah zikrullah dan janganlah membuang masa dalam perkara yang tiada memberi faedah.
3. Berusahalah untuk bertutur dalam Bahasa Arab kerana Bahasa Arab yang betul itu ialah satu-satunya syiar Islam.
4. Janganlah bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran yang kosong itu tiada memberi apa-apa jua kebaikan.
5. Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang dan tenteram.
6. Janganlah banyak bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan sungguh-sungguh dalam setiap perkara.
7. Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring itu suatu resmi yang sia-sia malah menyakiti hati orang.
8. Jauhilah daripada mengumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan dan janganlah bercakap melainkan apa-apa yang memberi kebaikan.
9. Berkenal-kenalanlah dengan setiap Muslim yang ditemui kerana asas gerakan dakwah kita ialah berkenal-kenalan dan berkasih sayang.
10. Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak dari masa yang ada pada kita, oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah perlaksanaannya.

BACALAH, RENUNGILAH, DAN AMALKANLAH.................

Makrifatullah sebagai landasan hidup


Bismillahirrahmanirrahim

     Secara fitrahnya semua manusia memiliki keinginan yang sama....diantaranya memiliki kecenderungan untuk mencintai dirinya, kesempurnaan  serta mencintai kewujudannya. Dia juga ada kecenderungan untuk membenci hal-hal yang boleh menghancurkan, menidakkan, mengurangkan atau memutuskan  kesempurnaan itu. Orang yang berharta dan berpangkat, mempunyai ruang pejabat yang luas, sentiasa dipuji, memiliki pengaruh dan kekayaan yang melimpah ruah akan takut jika takdir merubahnya menjadi miskin, lemah, bangkrap dan terasing.  Begitulah dia tabiat manusia, kecintaannya yang banyak ini pasti akan musnah jika   dia mencintai selain dari Allah SWT.
    Seharusnya keinginan untuk kebahagiaan duniawi, membuatkan kita berfikir bahawa  segalanya adalah milik Allah SWT, bukannya milik kita! Kekhuatiran tentang tentang keinginan, semestinya membuatkan kita berharap dan berlindung dengan Allah SWT dengan mengamalkan apa yang Allah sukai. Jadi, segala kelebihan yang ada pada diri sepatutnya menjadi jalan untuk kita lebih mencintai Allah SWT. Sebagai Muslim selayaknya kita memahami, bahawa keindahan cinta yang hakiki adalah apabila kita mencintai Allah SWT. Dan asas utama yang perlu dibangunkan dalam diri untuk mencapai cinta tersebut adalah dengan mengenal Allah SWT (makrifatullah).
     Dengan makrifatullah, ia merupakan bekalan untuk meraih prestasi hidup  setinggi-tingginya; sebaliknya tanpa makrifatullah, tidak mungkin seorang Muslim memiliki keyakinan dan keteguhan dalam hidup. Makrifatullah adalah pengarah yang meluruskan orientasi hidup Muslim. Disini kita menyedari, hidup ini bukannya untuk sesiapa melainkan hanya untuk Allah SWT! Jika sesaorang hidup dengan menegakkan prinsip makrifatullah, insyaAllah alam semesta ini akan Allah tundukkan untuk melayaninya. Dengan bantuan dari Allah SWT inilah kita akan beroleh kemudahan dalam setiap urusan yang dihadapi. 
     Dengan makrifatullah, revolusi peribadi  kearah perbaikan diri dapat dilaksanakan. Dengan kata lain, perubahan dahsyat dan hakiki ini boleh terjadi ketika sesaorang mempunyai keyakinan peribadi yang sangat kuat kepada Allah SWT. Dengan kekuatan iman, seorang yang pengecut boleh jadi pemberani atau sipemalas berubah jadi bersemangat. Perubahan positif  yang cepat ini kuncinya terletak pada keyakinan yang kuat pada Allah SWT! Lihat sahajalah bagaimana keyakinan yang kuat ini mampu merubah peribadi Saidina Umar Al-Khattab yang pemarah dan ganas yang sanggup menguburkan anaknya hidup-hidup kepada seorang yang pemurah hati dan penyantun. Begitu juga halnya dengan seorang wanita di zaman Rasulullah yang bernama Khansa r.a. yang mana ketika kerabatnya meninggal dunia beliau meratapnya dengan emosi kesedihan yang amat sangat sehingga dia menangis pilu, merobek-robek baju dan memukul-mukul dada. Tetapi setelah mendapat hidayah Allah, emosinya dapat dikawal. Malah kali ini beliau memberi dan mengobarkan semangat juang dan  jihad kepada empat orang anak lelakinya supaya pergi berjihad dan mendapat syahid dijalan Allah. Lalu anak-anaknya pergi bertempur dengan semangat luar biasa dan mereka gugur syahid satu persatu. Kali ini Khansa r.a bukan menerima kematian anak-anaknya dengan kesedihan malah bersyukur kerana menjadi ibu kepada syuhada!
      Justru itu sesiapa pun yang tidak mempunyai asas makrifatullah dalam diri , sukar baginya untuk memperoleh ketenangan, kebahagiaan dan kejayaan yang hakiki. Semakin kita mengenal Allah SWT, semakin kecil nilai makhluk. Semakin kita mengerti betapa besarnya penghargaan dari Allah SWT, makin tidak bererti penghargaan yang kita terima dari makhluk.
     Disaat kita merasakan betapa sempurnanya balasan dari Allah SWT, betapa besarnya balasan dari makhluk, ianya tidak setanding dengan harga dan balasan dari Allah SWT. Makin dekatnya penglihatan Allah terhadap kita, semakin tidak penting pentingnya pengawasan makhluk.
     Sesiapapun yang mengenal Allah tidak akan pernah kecewa dengan perbuatan Allah SWT. Hal-hal seperti ini akan lambat laun akan membina kita menjadi peribadi-peribadi yang ikhlas. Insan-insan yang hanya bergantung harap pada Allah SWT.. Maka kekuatan untuk lebih maju, mulia dan bermartabat itu hanya boleh dicapai dengan keyakinan pada Allah SWT. Kekuatan keyakinan memang begitu dahsyat sehingga dengan izin Allah SWT, setiap kebaikan yang diingini oleh seorang muwahid(orang yang bertauhid) akan diberikan oleh Allah SWT di depan matanya.
     Maka semua puncak  ketenangan, kebahagiaan, perubahan, kedamaian dan kejayaan itu berkait rapat dengan tingkat keyakinan kepada Allah SWT. Oleh itu berapa pun bayaran, tenaga, waktu, atau apa pun yang kita korbankan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT seharusnya tidak perlu kita risaukan sebab pengorbanan itu tidak sebanding dengan maslahat yang kita akan terima.
        Dalam ilmu mengenal Allah SWT, ada cara-cara supaya keyakinan itu berada di atas landasan yang betul sehingga tidak menjadi alasan untuk kemaksiatan dan kelemahan. Jangan sampai keyakinan bahawa Allah Maha Pemberi Rezeki dan Allah Maha Kaya menyebabkan kita tidak gigih  dan lalai mencari rezeki kita. Juga keyakinan bahawa  Allah Maha Pengampun membuatkan kita mengambil mudah dan ringan terhadap perbuatan dosa. 
     Seharusnya kita lebih seimbang kerana dalam mengingati Allah kita kadangkala lebih cenderung mengingati balasan dan  kerasnya siksaanNya. Jika dengan mengingati demikian mampu menghindari kita dari berbuat dosa, ianya sangatlah bagus. Namun kita harus ingat pengampunan Allah SWT ternyata sedemikian dahsyat dan hebat, Allah mendahulukan kasih sayangNya dari kemarahanNya! 
    Mudah-mudahan dengan huraian ringkas ini dapat memacu kita lebih mengenali Allah SWT Yang Maha Dekat dengan kita dan Maha Menyayangi kita. Sehingga kita semakin merasakan kekuatan perubahan dan dahsyatnya revolusi , baik untuk diri, keluarga mahupum masyarakat dengan tertegaknya asas makrifatullah, asas kekuatan dan asas keyakinan pada Allah!

Petikan dari buku
Mencari Ketenangan Jiwa
KH Abdullah Gymnastiar

Tuesday, November 30, 2010

Menegakkan Sistem Allah dalam kehidupan!



Bismillahirrahmanirrahim..

     Sesunggguhnya,  apa yang kita lihat di sekeliling kita, peraturan sistem jahiliyyah telah menjauhkan dan memisahkan di antara kehidupan dunia dan kehidupan akhirat.  Kedua-duanya seolah-olah terasing dan tidak bercampur. Begitu juga dalam kehidupan beragama dan bernegara. Memerintah negara dan hidup beragama juga terpisah, masing-masing tersendiri dengan sistemnya. Bagaimanakah sepatutnya?
    Sebenarnya tidak ada dalam tasawwur Islam,  sesaorang itu harus meninggalkan atau membelakangkan kehidupan dunia untuk mendapatkan kebahagiaan akhirat. Di atas kehidupan dunia inilah kita membina landasan kehidupan kita di akhirat! Tanpa dunia, tidak sempurnalah akhirat kita. Dunia ini adalah ladang akhirat!
    Sistem Allah ini bukanlah sekadar sistem aqidah imaniyyah dan taqwa yang semata-mata berada di hati dan perasaan sahaja. Tapi Sistem Allah ini perlulah ditegakkan di dalam diri dan realiti  kehidupan dimana dengan tertegaknya sistem Allah ini, semua manusia akan merasai nikmat berada didalamnya, insyaAllah!
   Segala usaha yang dibuat  untuk memakmurkan bumi dan penduduknya sehingga tercapainya kebahagiaan dan  kesenangan hidup di dunia adalah wasilah atau jalan yang boleh mencapai kepada keredhaan Allah dan diberi pahala di akhirat nanti. Namun semua ini  tidak akan mungkin terjadi  tanpa tertegaknya Sistem Allah. 
      Di dalam Sistem Allah ini, segala amal adalah ibadah; manusia itu adalah khalifah Allah yang ditugaskan untuk memakmurkan bumi ini sejajar dengan apa yang diperintahkan oleh Allah. Di anggap menderhakai Allah dan mengabaikan tanggungjawab jika tugas memakmurkan, menyuburkan bumi serta menggunakan segala sumber alam dan kemudahan yang diciptakan tidak dilaksanakan dengan sebaiknya mengikut syariatNya.
    Dengan tertegaknya sistem Allah, ikatan antara individu dan Allah SWT dapat terjalin dengan sekukuhnya melalui syiar yang didirikan. Segala amalan fardhu yang dibuat adalah untuk memperbaharui janji dengan Allah supaya manusia berada dalam Sistem Allah dan menyerahkan dirinya secara total untuk Allah. Segala urusan kehidupan adalah untuk mengikrarkan kemuliaan sistem Allah dan mengagungkan kekuasaanNya. Segala yang dilaksanakan adalah selaras dengan tuntutan iman dan takwa yang merupakan dasar amal yang dilaksanakan. Melalui iman dan takwa inilah melayakkan sesaorang mendapat keberkatan dari Allah seperti dalam firmanNya dalam Surah Al-A'raf : 96 yang bermaksud....
  "  Dan jika penduduk sebuah kota beriman dan bertaqwa, pastilah Kami limpahkan kepada mereka barokah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan ayat-ayat Kami, maka Kami siksa mereka akibat perbuatan mereka." 
     Sebenarnya  kehidupan dalam keimanan, ketakwaan, ubudiyah pada Allah dan mendirikan syariatNya melalui sistem Allah adalah untuk kepentingan hidup manusia itu sendiri, bukannya untuk Allah SWT yang bersifat Maha Kaya yang tidak memerlukan apa-apa dari manusia dan seluruh alam ini! Allahlah yang Maha Mengetahui bahawa sebenarnya tiada penyelesaian, kebaikan dan kejayaan kecuali berada di bawah sistemNya sahaja. Sistem ciptaan manusia tidak mampu menyelesaikan permasalahan manusia sejagat..... Allah yang manjadikan manusia, Allah juga lah yang memciptakan sistem terbaik yang manusia perlu ikuti yang boleh menyelesaikan semua masalah !
    Sebagai Muslim, kita wajib  menyakini bahawa sistem Allah adalah sistem yang terbaik yang tiada cacat celanya yang mesti dikuti dalam hidup ini. Kita serahkan diri kita tanpa ragu-ragu untuk Allah, sentiasa berusaha bernaung di bawah sistem Allah ini dalam seluruh kehidupan kita. Kita  perlu  menegakkan sistem Allah ini dalam diri sendiri terlebih dahulu sebelum ia boleh tertegak dalam negara. Setiap aspek dalam kehidupan dunia kita tidak terpisah dengan akhirat kita di dalam sistem Allah ini.
   Segala usaha-usaha dakwah dan tarbiah diri dan masyarakat sebenarnya adalah untuk mencapai matlamat dekat ini iaitu tertegaknya daulah Islamiah yang mana di dalamnya berjalan hukumah dan syariat Allah sepenuhnya. Ini merupakan satu kewajipan bagi setiap individu Muslim melaksananakan usaha-usaha ini dalam batas-batas kemampuan yang ada pada diri masing-masing lebih-lebih lagi dalam suasana Islam yang ghurbah atau asing dalam realiti masyarakat kini.
    Penggabungan diri dalam satu jemaah merupakan satu tuntutan dan kehendak Allah dalam menghayati Islam. Penghayatan Islam dalam bentuk jamaah lebih berkesan untuk merubah dan menyusun semula masyarakat kita.  Dan masyarakat yang dicita-citakan adalah masyarakat yang hanya menerima keputusan dari Allah SWT dan berubudiyyah semata-mata padaNya. Ini lah cara hidup yang lurus yang tidak diketahui oleh majoriti  manusia kini.
   Sama-samalah kita berdoa agar kita  hidup dalam Islam , menghirup ketenangan dan keheningan udara Islam dan mati juga dalam suasana Islam. Begitu juga anak cucu kita dan generasi yang akan datang. Tiada kehidupan ini melainkan berada dalam Islam. Perlu yakini bahawa masa depan ditangan Islam!
Ameen, Ya Allah!
 Rujukan Sumber Tarbawi.

Pintu-pintu kemasukan syaitan ke dalam jiwa dan cara menghindarinya.....


       Untuk menghadapi mehnah dan ujian hidup ini, dalam diri kita perlu ada bentang pertahanan untuk melawan segala hasutan dan bisikan syaitan yang sentiasa menggoda manusia. Namun bila kita  semakin menjauh dari Allah, hati semakin lama semakin keras, cahaya atau nur Allah yang menyinari jiwa semakin malap dan akhirnya padam.  Hati manusia akan mati dan apabila  benteng pertahanan diri dan kekuatannya  telah runtuh, maka pintu  masuk kejahatan dan penyelewengan terbuka luas , syaitan kembali menjadi teman karibnya sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Mujadilah : 19 yang bermaksud....
     "Syaitan telah menguasai mereka lalu menjadikan mereka lupa mengingati Allah, mereka itulah golongan syaitan. Ketahuilah bahawa sesungguhnya golongan syaitan  itulah golongan yang merugi."  
    Jadi lupanya sesaorang pada Allah dalam hidupnya kerana syaitan telah menguasai hatinya akibat kelalaian diri yang membuka luas pintu-pintu kemasukan syaitan dalam dirinya.....Jadi perlulah kita mengetahui apakah pintu-pintu ini dan berusaha menutup pintu-pintu ini supaya kita dapat menghalang godaan syaitan dalam diri kita dari awal-awal lagi.....
    Menurut para solihin, ada sepuluh pintu dari mana syaitan itu masuk ke dalam diri manusia.   
1. Tamak dan buruk sangka -  hadapi dengan menaruh kepercayaan dan berpada dengan apa yang ada.
2.  Cintakan kehidupan dunia dan panjang angan-angan- hadapi dengan perasaan takut terhadap kedatangan maut yang boleh berlaku dengan tiba-tiba. 
3.  Cintakan rehat dan kemewahan- hadapi ia dengan keyakinan bahawa segala nikmat itu akan hilang dan balasan buruk pasti menanti.
4.  Kagum terhadap diri sendiri (ujub)- hadapi dengan rasa terhutang budi dengan Allah dan takut akan akibat yang buruk.
5.  Memandang rendah pada orang lain dan tidak menghormati mereka- Hadapi dengan mengenali hak-hak mereka dan menghormati secara wajar.
6.  Hasad dengki- hadapi ia dengan sifat qanaah (berpada-pada) dan redha terhadap kurniaan Allah pada makhluknya
7.  Riya dan sukakan pujian orang lain pada dirinya- hadapi ia dengan sifat ikhlas dalam semua kerja yang dilakukan 
8.  Bakhil atau kedekut-  hadapi dengan menyedari apa yang ada di sisi manusia akan  binasa, manakala yang kekal itu adalah yang ada disisi Allah.
9.  Takabbur (besar diri)-hadapi ia dengan rasa tawaddhu' pada Allah.
10. Tamak haloba- hadapi ia dengan mempercayai ganjaran yang ada disisi Allah SWT dan tidak tamak dengan apa yang ada disisi manusia.

 Selain dari itu untuk menghindari dari bisikan dan godaan syaitan ini,  dalam apa sahaja yang dilakukan  mulailah ia dengan mengingati Allah, semasa ia makan, minum, berpakaian, menyikat rambut.....pendekata dalam semua perkara  disebut nama Allah dengan membaca Bismillahirrahmanirrahim... Syaitan tidak akan menyertai sesaorang yang memulakan sesuatu kerjanya dengan nama Allah. 

Ada juga beberapa cara yang boleh dilakukan untuk menjadi benteng dalam diri dalam menghadapi godaan dan bisikan syaitan....
  • Janganlah makan terlalu kenyang meskipun menghadapi makanan yang halal dan baik.
Rasulullah mengingatkan kita dalan satu hadisnya yang bermaksud...
" Sesungguhnya syaitan itu berjalan dalam tubuh anak Adam itu mengikut perjalanan darah. Oleh itu sempitkanlah pintu masuknya dengan kelaparan."
Disamping itu juga ,Allah juga tidak menyukai sifat berlebih-lebihan dalam sesuatu perkara meskipun halal.
FirmanNya dalam surah Al-A'raf : 31 yang bermaksud...
"  Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap(memasuki) mesjid, makan dan minumlah, dan janganlah kamu berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan."
  • Membaca Al-Quran, berzikir mengingati Allah dan memohon keampunan seperti yang disuruh oleh Rasulullah dalam sabdanya.....
         " Sesungguhnya syaitan itu meletakkan belalainya keatas hati anak Adam, maka jika ia mengingati Allah syaitan pun lari darinya, sekiranya ia melupakan Allah , maka syaitan akan mengunyah hatinya."
  • Tidak tergopoh gapah dalam sebarang pekerjaan kerana tergopoh gapah itu dari syaitan dan berhati-hati itu dari Allah SWT. Perancangan awal perlu supaya dapat melaksanakan sesuatu kerja dengan teratur dan tenang, tidak membuat kerja disaat-saat akhir yang mengundang sifat terburu-buru atau gopoh gapah ini.
 Sebagai Muslim, sebenarnya kita perlulah mengikuti cara-cara yang dianjurkan dalam Islam untuk menangani masalah godaan syaitan ini. Kita tidak mahu syaitan ini jadi pendamping kita, menggoda kita, membisikkan rasa was-was dijiwa dan menyesatkan kita.  Syaitan ini adalah musuh utama dalam diri kita yang kita tidak nampak oleh mata kasar kita.  Namun pada setiap masa dan ketika, syaitan sentiasa berusaha tanpa henti dan penat lelah untuk menjalankan misinya. Hal ini perlulah kita sedari, dan kita tidak boleh lalai dan leka dalam kehidupan kita yang sentiasa dibayangi oleh musuh Allah dan musuh kita yang ghaib ini.  Justru itu selalulah ingat pada Allah supaya segala aktiviti harian kita sentiasa disertai penyertaan Allah bukan penyertaan syaitan! Sentiasa memohon perlindungan dari Allah akan syaitan yang direjam ini. Apa yang kita hajati adalah keberkatan Allah dalam semua kerja-kerja kita!

Sunday, November 28, 2010

Jadikan Islam cara hidup kita!

     Islam yang kita anuti ini bukanlah setakat kepercayaan di hati, amalan ritual yang dibuat dalam masa dan keadaan tertentu......ia adalah adden atau satu cara hidup yang wajib kita hayati dan ikuti secara berterusan
sehinggalah berlakunya hari Qiamat nanti. Setiap sesuatu dalam tatacara hidup ini telah digariskan oleh Islam secara terperinci......tugas kita hanya melaksanakannya dalam diri , keluarga dan masyarakat! Komitmen kita terhadap tuntutan Islam bukanlah bermusim, perlu pada  setiap masa dan ketika. Cara hidup Islam ini sebenarnya Allah turunkan melalui Rasul  bukan untuk kaum tertentu sahaja tapi ia sejagat, untuk seluruh umat manusia. Sesiapa yang tidak menerima Islam sebagai cara hidupnya, bersedialah menerima balasan dan azab dari Allah seperti dalam firmanNya dalam surah Al-Fathir ayat 39 yang bermaksud.....
     "Dialah Allah yang telah menjadikan kamu sebagai khalifah. Maka sesiapa yang kufur ingkar(terhadap  perintah Allah) maka balasan disebabkan kekufuran itu akan menimpa diri."

Islam yang datangnya dari Allah ini bertujuan untuk menyelamatkan manusia dan mengeluarkannya dari kegelapan kesesatan menuju kepada cahaya petunjuk Allah SWT. Ustaz Said Hawa dalam kitabnya Al-Islam menjelaskan sekiranya Islam hilang dan dipinggirkan,  manusia tanpa Islam ini akan rosak nilai dan neraca kehidupan mereka. Apa yang halal diharamkan dan sebaliknya. Manusia hilang tempat rujukan yang benar dan tetap kerana Islam sajalah satu-satu kebenaran yang datangnya dari Allah yang bersih dari sebarang penyelewengan. Frman Allah dalam surah Al-Baqarah: 147 yang bermaksud...
   "Kebenaran itu datangnya dari Tuhanmu , maka janganlah sekali-kali kamu termasuk dikalangan mereka yang ragu-ragu."
  
      Secebis keraguan di jiwa mesti dibuang kerana inilah yang akan menjadi duri dalam daging akibatnya penyerahan diri tidak total, selalu mempersoalkan tentang kebenaran Islam, ragu-ragu untuk mengambil nilai Islam dalam hidup, tidak mau berjihad.............akhirnya akan mengugat keyakinan dan keimanan di dalam jiwa! Apabila sesaorang merasa ragu dengan Islam dan menolaknya , dia hilang sesuatu yang sangat berharga dan mahal yang tidak dapat ditebus dengan apa jua pun di dunia ini! Ini adalah kerana Islam adalah nikmat terbesar yang Allah kurniakan kepada sesaorang. Pemberian dan kurniaan yang mahal dan berharga inilah yang perlu dijaga melebihi kita menjaga harta benda yang sangat kita sayangi!
     Kehilangan Islam dalam diri dan kehidupan sepatutnya kita tangisi seperti kita menangisi kehilangan orang yang kita sayang malah lebih dari itu. Ini adalah kerana hanya Iman dan Islamlah yang akan dapat menebus diri kita sewaktu kita menghadap Allah nanti. Firman Allah dalam surah As-Syuaara ayat 88-89 yang bermaksud....
" Pada hari Akhirat, harta benda dan anak pinak tidak dapat memberi pertolongan sesuatupun kecuali orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera( daripada kufur, syirik, munafik dsb..)"   
       Jadi deen Islam ini wajib dipelihara dalam diri , melaksanakannya dalam semua urusan hidup dan jangan biarkan ia hilang dalam masyarakat dan ummah.  Juga janganlah kita menjadi seperti Bani Israel yang beriman pada sebahagian kitabnya dan kufur pada bahagian yang lain.....Jika tidak perhatikanlah bagaimana hebatnya siksaan Allah dalam Al-Quran seperti firmanNya surah Al Baqarah ayat 85.....
    " Patutkah kamu beriman dengan sebahgian kitab Allah dan kufur pula pada sebahagian yang lain.  Maka tiadalah balasan terhadap orang yang melakukan demikian dikalangan kamu melainkan hina di dunia dan pada hari Qiyamat nanti mereka akan ditolak kedalam azab siksa yang sangat berat. (Ingatlah) bahawa Allah sekali-kali tidak lalai terhadap apa yang kamu lakukan." 
      Segala keraguan dan kelalaian kita akan mengundang padah pada kita....... sama ada di dunia lebih-lebih lagi di akhirat nanti! Kita sebenarnya tidak merasai hakikat bagaimana hidup dibawah naungan Al- Quran yang merupakan satu kenikmatan......seperti yang dirasai oleh sahabat generasi Al- Quran dan mereka-mereka yang menyerahkan seluruh hidupnya untuk Allah!  Apa yang kita rasai hanyalah sedikit cebisan nikmat Islam tersebut bukannya total......bagaimana kita nak rasai sedangkan dalam diri masih banyak yang reserve...tidak diserahkan sepenuhnya untuk Islam! Sudah tentulah apa yang kita rasai berbeza dari mereka yang benar-benar merasai nikmatnya Iman dan Islam itu.
     Menyerahkan diri kita untuk Allah dan Islam samalah seperti kita membuat pelaburan. Namun pelaburan pada Allah dan hari akhirat ini tidaklah sama dengan pelaburan dunia. Di dunia bila kita melabur, ada risiko samada untung atau rugi. Namun pelaburan dengan Allah dan hari akhirat tidak pernah rugi, malah sentiasa dapat keuntungan.....malah  keuntungannya yang berlipat kali  ganda pulak tu! Untuk itu, cuba kita sama-sama fikirkan bagaimanakah kita hendak melaburkanlah masa kita, tenaga kita, wang ringgit kita, harta kita malah diri kita  untuk Allah dan meningkatkannya dari masa kesemasa? Ingatlah segala keuntungannya akan kembali pada kita semula!
      Bila keyakinan ini meresap dijiwa.....ketenangan akan kita rasai bila kita memberikan apa yang ada pada kita di atas jalan Allah. Sebenarnya apa yang  ada disisi kita akan luput, tapi yang berada disisi Allah itulah yang akan kekal. Jadi tolaklah segala keraguan kita, gantikan dengan keyakinan hati yang mantap berada terus di atas jalanNya yang lurus. Mohonlah selalu padaNya untuk memantapkan jiwa kita. Sebenarnya tiada pilihan kita dalam hidup ini melainkan berada dibawah naungan Islam. Itulah satu-satunya cara hidup yang Allah redha untuk manusia!  

Rujukan Sumber tarbawi.

Saturday, November 27, 2010

Rancanglah masa cuti kita....!!

    Di saat ini,  sekolah dan  beberapa universiti sudah pun bercuti.....masing-masing pelajar dan guru tentulah sibuk merancang cuti masing-masing ..., anak-anak sibuk mengajak ibu-bapa pergi bercuti, balik kampung, shopping baju sekolah, tuition bagi pelajar untuk tahun depan, menghadiri kem hafazan, kem anak soleh...........macam-macam perancangan yang telah dibuat dan dilaksanakan. Sebenarnya,  perancangan tersebut merupakan satu keperluan di masa cuti ni dengan aktiviti yang bermanfaat, jika tidak ia akan diisi dengan aktiviti yang merugikan kita....seperti asyik melekat depan TV, komputer atau game dan sebagainya....
    Bila berada depan TV atau komputer, perlulah dihadkan masa dengannya. TV umpamanya menyediakan pelbagai rancangan masa cuti sekolah, namun perlu pilhlah rancangan yang sesuai dan dalam kawalan ibubapa.  Jika tidak, TV lah yang mendidik anak-anak kita. Selain dari itu apabila berada di depan TV dan komputer,  masa  berlalu  tanpa  disedari, ia melekakan..........akhirnya solat lewat, kerja lain tertangguh, ketagih sehingga  tak boleh berhenti! Itulah cabaran masa kini....anak-anak muda,  remaja bahkan kadang-kadang orang dewasa tidak mampu menjaga masa dengan baik kerana aktiviti yang dibuat begitu asyik dan melalaikan..... 
     Ketagihan terhadap sesuatu itu akan menyebabkan kita dikuasainya bukan kita yang sepatutnya menguasai diri dan kehidupan kita. Kalau hal begini berterusan bagaimana kita hendak membina kekuatan diri? Bagaimana kita nak membuat persediaan awal, contohnya mengulangkaji pelajaran untuk peperiksaan tahun hadapan?  Lebih-lebih lagi membina kekuatan diri sebagai seorang Muslim yang perlu melawan arus jahiliyyah yang menghanyutkan?  Kelekaan dan sikap tidak apa inilah yang perlu dibuang dari diri, ia menghalang sesaorang bergerak kehadapan!
     Dengan cuti yang masih banyak berbaki ini , gunakanlah ia dengan bijak, jika tidak rugilah kita sepertimana firman Allah  dalam surah Al-Asr yang bermaksud...............
 "Demi masa, sesungguhnya manusia itu, berada dalam kerugian, melainkan orang-orang yang  beriman dan beramal soleh  dan yang saling berpesan dengan kebenaran dan yang saling berpesan dengan kesabaran."
   Dari surah ini , jadi yang memampukan diri kita menjaga masa kita adalah iman yang ada dijiwa, yang mana dengan iman inilah membolehkan  kita  menguasai diri  dan mengelola masa kita dengan baik. Apabila kita menjaga iman kita, bererti kita menjaga seluruh kehidupan kita! Semua aktiviti yang kita lakukan adalah rugi belaka disisi Allah melainkan  aktiviti yang menjurus kepada amal soleh. Akitiviti  yang tidak bercampur dengan unsur-unsur maksiat yang niat melakukannya adalah kerana Allah. Jadi barulah segala aktiviti yang  kita buat dapat   kita tukar dari amal biasa kepada amal luarbiasa yang dapat pahala! 
    Justru itu agenda harian kita  perlulah bermula sebelum subuh lagi dikuti dengan selepas subuh dan setelah matahari terbit sehinggalah matahari terbenam kembali.. ....
      Mulailah hari kita dengan solat malam bertahajjud jika mampu, memohon ampun, berdoa dan zikir pada Allah supaya hari yang akan dilalui dapat dijalani dengan sempurna, insyaAllah.  Selalunya hari-hari  yang tidak dimulai dengan solat dan zikir ini tiada barakah padanya dan kita dapati pada hari tersebut berlalu tidak sempurna dan banyak diisi dengan kelalaian ! Jadi usahakan lah supaya setiap hari yang berlalu itu tidak dibazirkan begitu sahaja! Marilah kita sama-sama menjaga masa kita..........  
     Mohon kekuatan dari Allah jua untuk melaksanakan segala tuntutanNya dalam hidup yang singkat ini. Kita ini sebenarnya tiada sekuat mana melainkan  apabila kita bergantung pada Allah SWT. Allahlah sumber kekuatan diri kita dalam mengharungi hidup yang banyak ujian ini....
   Tiada Tuhan selain Engkau , Ya Allah , dan sesungguhnya kami terdiri dari orang-orang yang zalim.....!!
      

Hakikat hidup ini...

Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...