Monday, December 06, 2010

Kebersihan satu tuntutan!


    

Bismillahirrahmanirrahim........

   Firman Allah dalam Surah Al- Baqarah ayat 222 yang bermaksud....
" ....sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang menyucikan dirinya."
   Menyucikan atau membersihkan diri kita zahir dan batin merupakan satu tuntutan dari Allah SWT kerana dengan penyucian inilah kita dapat mencapai darjat kemuliaan disisi Allah SWT.  Suci zahir dan batin semasa kita menunaikan solat lima waktu.....suci hati, suci pakaian, suci tempat solat semuanya perlu diperhatikan. Melalui wuduk yang diambil kita mensucikan fizikal kita yang merupakan syarat sah solat kita. Khusyuknya solat yang kita buat bergantung pada kesucian hati kita....jika hati tidak bersih suci inilah yang menjadikan kita lalai dan tidak tenteram dalam solat, fikiran kita melayang entah kemana? Kita terlupa berapa rakaat kita  dah solat!
      Jadi suci hati dan tubuh badan kita merupakan jambatan kepada kesempurnaan ibadah kita. Bahkan prinsip kesucian ini juga perlulah diterapkan dalam kehidupan kita keseluruhannya; rumahtangga kita, pergaulan, berniaga, bekerja ,belajar dan lain-lain lagi. Disemua tempat dan keadaan kita dituntut mengamalkan prinsip kesucian ini. Jauhkan diri kita dari berlaku zalim, dusta, menipu, rasuah, khianat, mengadu domba, mengumpat, bermuka-muka dan banyak lagi.... Inilah hakikat kehidupan yang bersih suci bagi orang Mukmin ini. Kesucian hatinya melahirkan kesucian tindakan dan amalan kehidupannya. Apa yang ada dijiwa akan lambat laun  dizahirkan keluar. Tidak dapat disimpan didalam hati!
     Kita sebagai Muslim perlu melatih diri kita untuk sentiasa hidup suci bersih zahir dan batin yang merupakan satu tuntutan dalam Islam dan amalan yang disukai Allah SWT. Islam yang kita nak bina dalam diri kita perlu di asaskan diatas kesucian diri. Muhasabah diri dan selalu bertaubat dapat mensucikan hati.  Tapi semua ini bergantung pada kesungguhan diri kita dan betapa serius dan tingginya tekad kita untuk melaksanakan tuntutan ini. Kita perlu mulai dengan diri kita terlebih dahulu....melatih diri supaya bersih hati, bersih lisan, bersih sikap dan tindakan!  
   Hati kita dibersihkan dari sifat-sifat mazmumah terkeji, lisan kita dibersihkan dari cakap cakap kotor, lucah  dan tidak senonoh,  amalan dan tindakan kita dibersihkan dari yang tidak syarak dan menyakiti hati orang lain. Setiap kali kita berbicara yang kotor, raut wajah akan jadi buruk dan tidak berseri. Tapi bicara yang baik dihiasi senyuman akan menyerikan wajah walaupun raut rupanya sederhana sahaja! Menurut kajian sebuah senyuman, menarik tujuh belas otot muka sementara wajah yang berkerut ,masam dan marah memerlukan tiga puluh dua otot. Kemarahan akan menjadikan wajah cepat berkedut dan tua!   
   Apabila hati selalu di bersihkan, ia makin peka dan sensitif. Peka dan sensitif dengan kekurangan diri sebagai hamba Allah, peka pada peluang untuk beramal lebih, peka untuk menambahkan ilmunya...peka dan sensitif dengan ayat-ayat Allah , tuntutan dan laranganNya. Hati yang sentiasa dibersihkan umpama cermin yang dibersihkan selalu, bersinar berkilat dan dapat dijadikan cermin diri dan juga orang lain. Tiada satu kotoran pun terpalit padanya. Sebaliknya hati yang kotor yang jarang dibersihkan umpama cermin yang kotor, penuh debu ,tidak dapat membalikkan cahaya dan dijadikan cermin diri. Jadi susah nampak kelemahan diri sendiri, asyik menyalahkan orang lain, sentiasa mencari alasan.... 
    Manusia yang berjiwa kotor inilah yang sering melanggar larangan Allah SWT, tidak pernah rasa dirinya banyak dosa, tidak pernah rasa bersalah dan punyai kekurangan. Dirinya sentiasa saja betul , orang lain tu salah belaka! Kehidupan sebegini sebenarnya jauh dari kemuliaan dan kebahagiaan yang dicari! 
     Pada diri Rasulullah saw itu terkumpul  kesucian diri zahir dan batin. Contoh peribadinya yang bersih hati, bersih tubuh, bersih lisan, bersih fikiran. Tutur katanya penuh makna jauh dari sia-sia. Sikap dan penampilan diri sentiasa rapi, bersih dan bersahaja. Setiap kali berwuduk Rasulullah saw bersugi, begitu juga selepas makan dan apabila hendak tidur. Rasulullah tekun memelihara kebersihan dirinya disamping kebersihan batinnya setiap masa. 
  Dalam kehidupan kita yang singkat ini, perlunya kita menitikberatkan kesucian diri zahir dan batin. Lebih-lebih lagi kemurnian dan kesucian ubudiyyah kita pada Allah SWT.  Hati kita dibersihkan dari menyembah illah lain selain Allah SWT. Inilah kerja full-time kita. Kerja-kerja yang menuntut pengorbanan diri. Kita melaksanakan tarbiyyah diri untuk kita berhijrah dari satu keadaan yang kurang baik ke keadaan lebih baik lagi....Tanpa usaha dan tarbiyyah yang berterusan , kesucian jiwa susah dicapai yang mana ini akan mempengaruhi amalan dan tindakan! Perlunya sentiasa bertaubat dari dosa-dosa kita yang mengotori jiwa kita, yang menjauhkan kita dari rahmat dan hidayah Allah SWT.
   Salam Maal Hijrah 1432 buat semua pembaca blog, semoga tahun baru hijrah  ini membuka lembaran baru buat kita dalam memperbaiki diri kita, membulatkan tekad kita mencari redha Allah dalam kehidupan kita. Segala kesilapan kita, keterlanjuran kita di sisi Allah kita kesali semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita yang telah lalu insyaAllah.
   Ya Allah bantulah kami dalam mengharungi kehidupan ini, pimpinlah kami di atas jalanMu yang lurus, berikan kami taufik dan hidayahMu dalam semua amalan dan tindakan kami. Jangan tinggalkan kami kerana kami sangat-sangat memerlukanMu ya Allah.!!
Ameen.. 

Rujukan 
Mencari ketenangan jiwa
Aa Gym.

2 comments:

  1. asm

    Semoga kita dapat laksanakan apa sesuatu yang berat ini....bersih hati, bersih kefahaman dan bersih dalam tindakan kita...

    ReplyDelete
  2. sama2 lah kita menyucikan diri kita agar menjadi lebih baik drp sebelum ini

    HABAT

    ReplyDelete

Hakikat hidup ini...

Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...