Thursday, December 23, 2010

Rahsia dan pengertian takut pada Allah SWT.



Bismillahirrahmanirrahim....

      Ungkapan pembuka kalamullah yang mulia ini........ Bismillahirrahmanirrahim ......dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang telah diulang-ulang oleh  Rasulullah pada suatu malam ketika baginda solat malam yang  di saksikan oleh Abu Dzar.  Setiap kali membaca kalimah ini baginda menangis, kemudian membaca lagi, dan menangis....sehingga beberapa kali. Baginda Rasulullah saw adalah orang yang paling bertakwa dan paling takut pada Allah SWT sehinggakan  kalimah ini begitu dihayati dan     baginda menangis setiap kali membacanya. Kemudian dalam solat sunat baginda, beliau membaca," Celakalah bagi orang yang tidak mendapat rahmat Allah, demi Allah celakalah orang yang tidak mendapat  rahmat Allah."  Celaka yang dimaksudkan disini adalah mereka yang hatinya tidak takut pada Allah SWT. 
      Bandingkan dengan diri kita sekarang ini!  Pernahkah kita menyendiri dan berupaya menghayati bacaan Al-Quran atau menghayati solat kita sehingga bercucuran airmata kita? Adakah setiap kali kita solat, kita benar-benar merasai kita sedang berinteraksi dengan Rabb kita, berhubungan hati denganNya sehingga melahirkan kekhusyukan dan ketakutan yang mengalirkan air mata? Begitu juga bila kita sedang membaca ayat-ayatNya, adakah kita merasa sedemikian juga? Sebagai Muslim kita perlu menggali rahsia dan pengertian takut pada Allah SWT ini supaya kita tidak tergolong dikalangan mereka yang celaka yang tidak mendapat rahmat Allah SWT. Kita tidak mahu tergolong dikalangan mereka yang berani dengan Allah SWT; berani berbuat dosa sedangkan apa saja yang kita perbuat sebenarnya semuanya tidak terlepas dari pengetahuan dan penglihatan Allah SWT! Beraninya kita dengan Allah SWT kerana hati itu kosong dari rasa takut, kurang yakin dengan janji Allah SWT, jahil dan  jauh dari  hidayah dan rahmatNya yang mencampakkan rasa takut, iman dan takwa dalam jiwa!   
     Imam Ahmad telah meriwayatkan dalam kitab Az-Zuhd berkenaan Abu Bakar As-Shiddiq dan beberapa sahabat lagi yang memasuki kebun kurma milik seorang lelaki Ansar. Pada waktu itu buah kurma sedang masak dan buah-buahnya bergantungan didahan dihinggapi burung- burung. Sahabat-sahabat begitu gembira menyaksikan pemandangan tersebut kecuali Abu Bakar yang duduk sambil menangis! Sahabat-sahabat kehairanan dan kemudian bertanya," Wahai Khalifah Rasulullah, apakah gerangan terjadi kepadamu?" Beliau menjawab," Aku melihat burung-burung ini, betapa bahagianya ia. Ia hinggap di satu pohon, memakan buah-buahannya lalu terbang ke tempat air dan meminumnya. Selepas itu ia akan mati tanpa hisab dan azab. Oh! Andaikan aku seekor burung!Oh! Seandainya ibu ku tidak melahirkanku!" Mendengarkan jawapan itu,semua  sahabat-sahabat  turut menangis . 
   Hati-hati sahabat ini begitu sensitif dengan jawapan yang datangnya dari hati Abu Bakar yang diselubungi perasaan takut pada Allah SWT di mana Allah SWT akan meneliti dan menghisab seluruh amalan manusia tidak akan tertinggal satu apa pun!  Hati-hati mereka yang dipenuhi dengan cahaya iman yang mudah tersentuh bila diberi peringatan! Beginilah sepatutnya hati yang perlu kita miliki, hati yang bersih dalam keyakinan pada Allah, yang begitu sensitif dan selalu mengambil iktibar dari apa saja yang dilihat dan didengar di mana ia  mentarbiah jiwa mereka dan dikaitkan dangan kehidupan akhirat.!     
     Kita lihatlah reaksi sahabat ini! Saiyyidina Abu Bakar merupakan salah seorang sahabat Rasul yang dijanjikan syurga, meskipun Rasulullah telah memberitahu padanya tentang khabar gembira ini,  beliau tetap takut dan sentiasa menghisab dirinya dengan berkata,' Demi Allah , aku tidak akan merasa aman dari azab Allah, walaupun salah satu tapak kakiku disyurga dan satu lagi diluar syurga." Sebenarnya hanya orang yang rugi sahaja yang akan merasa aman dari seksa Allah SWT. Dan sesungguhnya orang  yang merasa aman dari seksa Allah SWT ini telah disesatkan dari ilmu dan pandangan batinnya yang telah di butakan!
       Seperti kata Ibnul Qaiyyim, " Betapa ramai orang yang mendirikan solat di barisan yang sama dan saling bergandingan, namun perbezaan antara solat-solat mereka adalah seperti jarak langit dan bumi." Ini adalah kerana ada sesetengahnya lalai dari solat dan ada sesetengahnya yang solat sebab dia takut akan ancaman Allah, takut berjumpa denganNya dan takut amal perbuatannya akan diperlihatkan dihadapanNya di akhirat nanti dan mengingati bahawa kelak pada hari kiamat nanti dia akan berdiri dihadapan Allah sepertimana dia berdiri sewaktu solat. Jadi dia melakukan solat dengan penuh khusyuk, takut dan harap pada Allah! Dalam satu hadith Rasulullah saw," Allah SWT tetap menghadap kepada hambaNya yang sedang solat selama dia tidak menoleh. Namun jika dia menoleh, maka Allah pun berpaling darinya." Jadi sama-samalah kita berlindung kepada Allah SWT agar hati kita tidak berpaling dalam solat sehingga menyebabkan Allah SWT berpaling dari kita. Sia-sialah solat kita, dan yang hanya kita dapati dari solat itu cuma penat lelah sahaja! Nauzubillah..
      Kata Ibnul Qayyim lagi," Orang beriman itu sentiasa memikirkan apa yang dilihatnya itu dengan apa yang akan dihadapi pada hari akhirat nanti. Waktu tidur dan berselimutnya ia teringat akan kubur. Ketika melihat pohon-pohon yang hijau, buah-buahan dan pelbagai kenikmatan, ia teringat akan syurga. Ketika melihat api, orang-orang yang diseksa dan dipenjara, dia teringat neraka Jahannam. Oleh kerana itulah ia terus berfikir tanpa henti-hentinya."  
   Ada empat perkara yang dapat menggetarkan hati mukmin yang perlu direnungkan supaya dapat melahirkan  rasa takut dan mengingatkannya akan janji Allah SWT dan perjumpaan denganNya iaitu...
  • menziarah kubur
  • mengingatkan kematian setiap masa
  • mengingati balasan Allah SWT amat pedih dan sesungguhnya seksaan Allah SWT itu tidak akan terlepas.
  • Sentiasa ingat bahawa Allah itu Maha Mendengar dan Maha Melihat apa yang kita perbuat. 
Begitu juga ada empat perkara yang boleh menghilangkan rasa takut pada Allah SWT dan dan berani berbuat dosa iaitu ....
  • lalai dari mengingati Allah SWT. Ada hati tapi tidak digunakan untuk memahami ayat-ayat Allah SWT. Ada telinga tapi tidak digunakan untuk mendengar seruan Allah SWT. Ada mata tapi tidak digunakan untuk melihat kebesaran ciptaan Allah SWT.
  • Melakukan maksiat yang mengeraskan dan mematikan hati. Bila hati sudah tertutup, ia merupakan tahap akhir dimana jiwa sudah mati dan ini  adalah satu musibah pada orang-orang kafir. Bila hati mengeras, disebabkan dorongan hawa nafsu yang menimpa hati orang-orang beriman dan orang-orang fasik.
  • melebihkan kesenangan duniawi dari kepentingan akhirat. Walau pun kesenangan duniawi ini diharuskan, tapi berlebih-lebihan menjadikan hati kurang takut pada Allah SWT. Ambillah setakat keperluan diri dan bukannya berlebih-lebih dalam dunia dari semua aspek hidup.
  • Menghabiskan waktu dengan aktiviti kurang dan tidak berfaedah, membuang masa atau mensia-siakan waktu yang diberi oleh Allah SWT .
Ciri-ciri takut yang dikehendaki oleh Allah SWT adalah.......
  • keadaan nampak dan yang tersembunyi adalah sama tiada beza antara keduanya. Segala amal yang zahir atau yang tersembunyi semuanya dilakukan atas dasar takwa pada Allah SWT, bukan atas sebab yang lain.
  • Ikhlas dan jujur pada Allah SWT pada setiap ucapan, perbuatan dan perilaku. 
  • Menyesali perbuatan buruk dan berbahagia dengan perbuatan baik
  • Hendaknya hari ini lebih baik dari hari semalam, dan hari esok lebih baik dari hari ini.
Jika setiap hari yang berlalu,  ia semakin rajin beribadah padaNya, ini menunjukkan ia jujur dan takut pada Allah SWT. Takut pada Allah SWT sebenarnya dapat mencegah bermaksiat padaNya, membayangkan dirinya sentiasa dalam pemerhatian Allah SWT, membayangkan diri bergelumang dalam siksaan neraka Jahannam dan merasa malu dengan Allah SWT akan amalannya yang dipersembahkan pada Allah SWT!

    Sebagai Muslim, kita perlu menyibukkan hati kita dan sentiasa memikirkan kehidupan akhir kita. Jangan biarkan jiwa kita kosong begitu saja dari mengingati Allah SWT dan hari akhirat yang dapat menimbulkan keinsafan dalam diri kita. Janganlah kita asyik dan leka dengan dunia yang melalaikan kita, yang menjauhkan hubungan hati kita dengan Allah SWT . Dalam kita berseronok pun perlu kita ingat pada Allah SWT. Pendek kata, setiap detik masa yang kita lalui di dunia ini sepatutnya diisi dengan amalan yang mendapat keredhaan Allah SWT. Kita perlu sentiasa berfikir macamana nak convert setiap detik masa ini menjadi pahala yang boleh kita bawa pulang nanti ke kampung akhirat yang kekal abadi.! Suburkan rasa takut pada Allah SWT sentiasa, hanya  Allah SWT sahajalah yang  sepatutnya kita takuti!    
         

No comments:

Post a Comment

Hakikat hidup ini...

Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...