Thursday, December 09, 2010

Peranan wanita dalam keluarga


Firman Allah dalam Surah Al-Hujurat :13 yang bermaksud.....
   " Hai manusia sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa  dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu disisi Allah  adalah yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal."

 Allah SWT telah menciptakan laki-laki dan wanita lengkap dengan kejadian dan fitrah masing-masing. Lelaki dan wanita dijadikan untuk saling lengkap melengkapi di antara satu sama lain dan merupakan pasangan yang serasi walaupun dari segi fizikal nya , kegemarannya dan perasaannya berbeza. Namun kemuliaan seorang insan itu bukanlah terletak sama ada dia adalah lelaki atau wanita tetapi terletak pada ketakwaan yang ada di jiwa. Baik lelaki mahupun wanita dapat mencapai darjat kemuliaan disisi Allah SWT asal dia bertakwa kepada Allah.
   Harga diri seorang wanita dan juga lelaki terletak sejauhmana dia memainkan peranan dan melaksanakan tugas dan tanggungjwabnya sesuai dengan fitrah kejadian yang telah Allah jadikan. Lelaki bertindak sebagai pelindung, pembimbing, pemberi nafkah dan pemimpin keluarga sementara  wanita pula menyempurnakan peranannya sebagai ibu kepada anak-anaknya  dan isteri kepada suami. Peranan wanita ini sangat penting dalam menentukan keharmonian dan kebahagiaan rumahtangga, masyarakat dan negara bahkan ada pepatah mengatakan " tangan yang menghayun buaian itu dapat menggoncangkan dunia". Kehancuran sebuah negara bermula dengan kehancuran akhlak wanitanya. Wanita yang merupakan tiang negara, apabila runtuh dan rosak tiang maka runtuh dan rosaklah negara itu! 
    Islam telah meninggikan martabat wanita yang mana dahulunya pada zaman jahililyyah wanita merupakan alat pemuas nafsu lelaki dan barang dagangan yang boleh dijual beli. Wanita tidak mempunyai hak bersuara, tidak diberi perhatian dan penghormatan yang sewajarnya. Kedatangan Islam telah mengubah segalanya dan memartabatkan wanita ketempat yang sepatutnya.   Dalam  satu hadith, pernah seorang sahabat bertanyakan kepada Rasulullah saw tentang hal ini. 
    Sahabat bertanya, "Ya Rasul, manakah yang harus saya penuhi penghormatannya? Rasulullah saw menjawab, "Ibumu. Sahabat bertanya lagi," Selepas itu, Ya Rasulullah? Rasulullah saw menjawab lagi, " Ibumu. Sahabat bertanya lagi," selepas itu? Rasullullah menjawab, "'Ibumu . Tanya sahabat lagi, "selepas itu? Jawab Rasulullah, " Ayahmu.
       Seorang ibu didahulukan dalam haknya berbanding ayah sebanyak tiga kali ganda. Ini adalah kerana besarnya pengorbanan seorang ibu yang telah mengandungkan, melahirkan, menyusukan, menjaga dan mendidik anak-anaknya yang mana jika seorang anak ingin membalas jasa ibunya dengan dunia ini, ia  tidak akan tertunai! Jadi sewajarlah ibu terdahulunya diberi penghormatan oleh anaknya berbanding ayah .Ini bukan bermakna ayah harus dikesampingkan! Seorang ayah yang juga merupakan seorang suami mendapatkan kehormatan dan ketaatan dari isterinya. Disinilah letaknya keindahan Islam. 
     Sebenarnya dalam Islam , wanita yang memiliki nilai hakiki adalah wanita solehah. Sabda Rasulullah dalam satu hadith yang bermaksud....
"Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah."
Contoh wanita solehah boleh didapati pada Sayyidatina Aisyah r.a yang terkenal dengan kecerdasannya, Siti Hajar yang merupakan lambang kemuliaan, tawakkal dan kesabaran, Siti Khadijah pendamping Rasulullah yang telah mengorbankan hartanya untuk Islam, pententeram jiwa Rasul, pendokong setia dan penguat semangat suaminya dalam perjuangan dakwah. Begitu terkesannya kesolehan Siti Khadijah di hati Rasulullah  sehingga namanya banyak disebut-sebut oleh Rasulullah walaupun dia telah wafat.
    Wanita solehah didunia ini adalah cahaya bagi keluarganya dan berperanan melahirkan dan mendidik generasi yang menjadi hamba hanya pada Allah SWT. Dia menjaga imannya, maruah diri agar tidak tercemar dan menyedari bahawa kemuliaan dirinya terletak pada kemampuannya menjaga diri. Dia mentaati Allah dan Rasulnya dan takut berbuat dosa. Kecantikan dirinya dipelihara dari mata-mata lelaki yang rakus dengan menutup auratnya secara sempurna dan berhati-hati dalam mempamerkan perhiasan luaran yang merupakan tabarruj yang dilarang dalam Islam. Tutur katanya dijaga supaya tidak menggoda dan meninggalkan kesan dalam jiwa lelaki yang bukan mahram yang mendengarnya.  Pendekata wanita solehah ini mempunyai hubungan hati yang kuat dengan Allah SWT dan sentiasa memperhatikan sikap dan tindak tanduknya tidak menimbulkan fitnah!
      Namun realiti hari ini wanita itu banyak menimbulkan fitnah. Auratnya tidak terjaga, tutur kata menggoda, pergaulan tanpa batas antara lelaki dan wanita, tabarruj yang berlebihan: kadang-kadang yang menutup aurat pun banyak unsur-unsur tabarruj. Kesukaan wanita pada perhiasan diri sangat sukar di tarbiyyah. Sesetengahnya bukan tidak tahu hukum hakam, tapi masih melakukannya...... Hanya iman yang teguh yang bertapak dijiwa muslimah yang membolehkan dia mengorbankan kesukaan dirinya  untuk mentaati Allah!  
     Jadi beruntunglah seorang lelaki yang mendapatkan pendamping dirinya seorang wanita solehah.Bukan setakat dapat menundukkan pandangan namun mempunyai teman hidup yang sentiasa mengingatkannya tentang hubungannya dengan Allah, tentang tugas dan tangggungjawabnya dalam dakwah dan tarbiyyah, membantunya di saat susah dan sama-sama berkongsi nikmat Allah dengan penuh kesyukuran! Jadi para pemuda janganlah sampai tersalah pilih pasangan hidup. Jika tersalah pilih, rumahtangga Muslim yang ingin dibina menjadi impian yang sukar dilaksana, banyak usaha-usaha dan pengorbanan perlu dibuat untuk mendidik  wanita sebegini.
       Pembinaan Baitul Muslim ini bukan hanya terletak dibahu lelaki sahaja malah ia adalah kolaborasi 
bersama antara lelaki dan wanita. Kedua-duanya saling memerlukan. Kekuatan yang dibina adalah kekuatan bersama. Kukuhnya sesuatu bangsa adalah kerana kukuhnya institusi keluarga. Bila institusi keluarga lemah dan cerai berai, tidak mengambil nilai Allah SWT dalam kehidupan maka lemah dan hancurlah bangsa tersebut.  
     Jadi,  bagi para wanita diluar sana, engkau umpama sekuntum bunga yang kembang mewangi, banyak lebah yang ingin menghisap madumu, maka awaslah, jagalah kehormatan dan maruah diri. Jangan gadaikan diri hanya kerana ucapan cinta yang belum tentu keikhlasannya, cinta nafsu yang menggoda yang mempunyai agenda tersendiri! Kemuliaanmu bukan boleh dijual beli dengan murah, tetaplah pendirianmu dalam menjaga nilai Allah. Jagalah Allah dihatimu, maka Allah akan menjaga dirimu, insyaAllah! Ingatlah wanita solehah itu adalah untuk lelaki yang solehah juga, dan penzina wanita itu adalah untuk penzina lelaki.
          Renungilah firman Allah ini dalam surah An-Nur ayat  26 yang bermaksud....
" Perempuan-permpuan yang keji andalah untuk lelaki yang keji dan lelaki yang keji adalah untuk perempuan yang keji pula,sedangkan perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik . Mereka itu bersih dari  apa yang dituduhkan orang. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki yang mulia." 
      Yakinlah dengan janji Allah ini. Apa yang Allah janji itu pasti benar, insyaAllah!

1 comment:

  1. asm
    Asal usul wanita dari tulang rusuk yang bengkok maka ia wajib diluruskan oleh lelaki...tetapi kalau lelaki sendiri tidak lurus tak mungkin mampu untuk meluruskan mereka. Maka bagi pihak lelaki, luruskan wanita denagn cara yang ditunjukkan oleh Allah kerana mereka dicipta sebegitu rupa. Didiklah mereka dengan panduan dari Allah, jangan cuba jinakkan mereka dengan harta, nanti mereka semakin liar, jangan hiburkan mereka dengan kecantikan, nanti mereka semakin menderita. Kenalkan mereka kepada Allah, zat yang kekal kerana disitulah puncanya.....

    Wanita yang lupa hakikat kejadiannya,pasti tidak terhibur dan menghiburkan. Tanpa ilmu, iman dan akhlak,mereka bukan sahaja tidak boleh diluruskan bahkan mereka pula yang membengkokkan. Sebodoh-bodoh perempuan pun boleh menundukkan sepandai-pandai lelaki.....

    Para lelaki pula jangan hanya mengharapkan ketaatan tetapi binalah kepimpinan. Pastikan sebelum memimpin wanita menuju Allah, pimpinlah diri sendiri dahulu , jinakkan diri dengan Allah, nescaya jinaklah segala-galanya di bawah pimpinan kita....

    rujukan: Abdul Aziz Ismail

    ReplyDelete

Hakikat hidup ini...

Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...