Sunday, December 19, 2010

Jalan-jalan menuju keikhlasan


Bismillahirrahmanirrahim....

     Orang-orang beriman yang terdahulu dari umat ini sangat mementingkan keikhlasan dan sangat mengharapkan agar sentiasa di peringatkan diri supaya sentiasa ikhlas. Ini adalah kerana sifat ikhlas itu tersangat penting kerana ia merupakan perintah Allah dan ia adalah merupakan syarat utama kehidupan sesaorang Muslim itu di terima atau diredhai oleh Allah SWT. Banyak firman Allah dalam  ayat-ayat Quran yang menyebut tentang ikhlas ini di antaranya, dalam surah Al-Bayyinah :5 yang bermaksud...
    " Padahal mereka tidak disuruh kecuali menyembah Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepadaNya."
Niat yang ikhlas adalah dari buah tauhid yang sempurna iaitu  mengesakan Allah dalam seluruh kehidupan. Seperti kata Imam As-Syahid Hasan Al-Banna tentang ikhlas ini , " Ikhlas ialah setiap akh Muslim mestilah mengharapkan keredhaan dan ganjaran pahala daripada Allah SWT sahaja. Semua perkataan, amalan dan jihadnya tidak memandang kepada sebarang keuntungan, kemenangan, kemegahan, gelaran, kemajuan atau kemunduran. Dengan itu ia menjadi tentera fikrah dan aqidah bukan tentera yang mengejar manfaat atau keinginan.."
        Jalan-jalan menuju  keikhlasan ini sangatlah sulit kerana rintangannya banyak berupa hawa nafsu,  dunia dan syaitan yang menggoda. Jalan-jalannya berliku dan memerlukan seorang hamba Allah itu mengikuti jalan-jalan dan panduan-panduan yang tertentu. Jalan-jalan tersebut adalah
  • Minta pertolongan dengan Allah SWT.
       Dalam kehidupan ini, seorang Muslim akan menempuh banyak rintangan dan ujian hidup. Jadi untuk dia menjadi  seorang yang ikhlas bukanlah mudah akibat kelemahan diri sendiri sama ada zahir atau batinnya. Disamping itu, godaan dunia, hawa nafsu dan syaitan sering menjadikan dirinya kecundang dalam ujian hidup ini,  maka sudah sewajarnyalah dia memohon pertolongan dari Allah SWT untuk membantunya menjadi seorang yang ikhlas.
       Meminta pertolongan dari Allah SWT perlulah    dengan penuh kerendahan hati, rasa lemah, fakir dan hina di hadapan Allah SWT. Merasakan kita ini sangat-sangat memerlukan Allah sentiasa dalam melayari kehidupan ini, kerana tanpa pertolongan dariNya kita sebenarnya tidak dapat melakukan apa-apa hatta mengerdipkan mata kita sekali pun! Segala sesuatu itu sebenarnya dibawah kekuasaan Allah! Firman Allah SWT dalam surah Al-Fathir :15 yang bermaksud...
    " Wahai manusia, kamulah yang berkehendakkan kepada Allah, dan Allah Dialah Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji."
    Jika Allah membiarkan kita, ini adalah kerana kita juga yang melupakan Allah ; kita akan jadi hamba pada nafsu, hamba pada dunia dan hamba pada syaitan! Sengsaralah hidup kita, sesaklah jiwa kita, tidak tenang dan sentiasa keluh kesah....  Namun bila kita kembali padaNya, sentiasa ingat padaNya, Allah akan menjadikan kita cinta pada iman dan ketaatan, benci pada dosa, kufur dan maksiat......
Firman Allah dalam Surah Al-Hujurat :47 yang bermaksud....
   " Tetapi Allahlah yang menjadikan kamu cinta pada keimanan dan menjadikan keimanan itu indah  di dalam hatimu dan menjadikan kamu benci pada kekafiran, kefasikan dan kedurhakaan." 
Dan lagi dalam Surah An-Nur : 21.....
  " Tetapi  Allahlah yang membersihkan sesiapa yang dikehendakinya. Dan Dia Maha Mendengar dan Maha Mengetahui."
  •  Mengakui nikmat Allah SWT yang banyak.
    Didalam semua kebaikan yang kita perolehi, kita perlu merasakan nikmat Allah SWT, kerana setiap kebaikan itu merupakan anugerah Allah SWT kepada hambaNya. Allah SWT telah memilih kita diantara jutaan  manusia dimuka bumi ini,   untuk menerima hidayah Islam yang merupakan  nikmatNya yang terbesar! Dia mengeluarkan kita dari kegelapan jahiliyyah kepada cahaya iman dan Islam. 
     Sewajarnya kita perlu merasa sangat bersyukur dan menghargainya dengan sepenuh hati kita dan melaksanakan tuntutan Islam dalam kehidupan ini. Sesungguhnya, sememangnya kita sekarang tenggelam dalam lautan nikmat Allah SWT yang tidak putus-putus pada diri kita.  Kesyukuran kita diatas nikmat Allah ini sebenarnya juga  di dorong dan ditolong oleh Allah SWT. Dalam surah Al-Ahqaf : 15 merupakan doa seorang hamba dalam membantunya untuk bersyukur..............
    " Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku.."
  •  Mengambil berat dalam usaha perbaiki diri dan persiapan diri.
     Ramai manusia merasakan dirinya lebih baik , lebih berilmu, lebih cekap,.........lebih segalanya .. dari orang lain. Lantas, mereka memandang orang lain dengan pandangan remeh, kecil,  dan hina. Dia merasa ego dan meninggikan dirinya, sukakan populariti, sedikit yang dibuat digembar-gemburkan pada orang........keikhlasannya  sudah tiada lagi pada Allah SWT!
     Jika ikhlas kepada Allah SWT , tidak perlu dihebahkan apa yang di perbuat  pada orang lain, sepatutnya disembunyikan terutama apabila tengah mendidik  dan membentuk diri. Dia tidak perlu pada populariti dan keributan bahkan ketenangan yang didambakan. Dia berhati-hati dan tidak tergesa-gesa dalam tindakannya untuk mendapatkan hasil yang baik.
     Seorang Muslim dalam fasa persiapan dan pembentukan diri umpama benih yang baik yang tertanam dalam tanah yang subur jauh dari sinar matahari. Benih tersebut berkembang tersembunyi dalam tanah sehingga ia matang dan kemudian muncul di permukaan bumi , insyaAllah bersedia menjadi pokok yang kuat! Namun benih yang dari awal lagi terdedah di atas bumi, terkena sinaran matahari yang terik, tidak boleh berkembang malah akhirnya ia mati sebelum sempat jadi pokok!
   Seorang Muslim hendaklah bersembunyi dengan kejahilannya agar amal dan keadaannya tidak tersebar. Dengan cara ini dia akan menutup pintu-pintu syaitan yang cuba merosakkan dirinya. Dia akan dapat banyak manfaat daripada orang yang mengajarnya kerana mereka menganggapnya masih jahil.  
   Selain dari itu,  dia lebih suka menolak kepimpinan lebih-lebih lagi bila persiapan diri tidak mencukupi. Namun jika hal ini tidak dapat di elakkan, hendaklah dia menjaga keikhlasannya. Semasa melaksanakan tugas kepimpinan, dia tetap menyukai dan menghayati sifat sebagai seorang tentera yang bekerja untuk Islam tanpa perlu ada keributan! Dia menerima tanggungjawab itu dengan penuh rasa takut dan bimbang  sehingga keadaannya seperti orang yang ditimpa musibah kerana dia sedar ini akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah SWT nanti! Ketakutan itu akan mendorongnya untuk....
1.  Selalu mohon pertolongan dengan Allah SWT
2. Sentiasa berfikir terhadap kerja-kerja atau langkah-langkahnya.
3. Selalu meminta pertimbangan orang-orang disekitarnya
4. Tidak berkeras dengan pendapat sendiri.
5. Tidak tergesa-gesa mengambil sesuatu keputusan
6. Selalu muhasabah dengan amalannya sama ada besar atau kecil..sehinggalah dia jadi pemimpin yang baik.
  • Merasa curiga dengan nafsu
       Sepatutnya kita harus rasa curiga dengan keikhlasan kita yang sering diganggu nafsu. Sebelum dan semasa melakukan amalan, telitilah keikhlasan kita, berusaha membersihkan niat dan memohon pertolongan dari Allah SWT. Setelah kita melakukan amalan kita, semaklah semula niat kita....kita akan ketahui sebenarnya jalan-jalan menuju keikhlasan ini bukanlah mudah......... Dihadapannya terbentang dunia dengan keindahannya, syaitan dengan rayuannya dan nafsu dengan kejahilan dan kerakusannya! Tidak ada orang yang akan sanggup menempuh jalan keikhlasan ini kecuali orang yang meminta pertolongan dari Allah SWT, meneliti hakikat ubudiyyah padaNya dan berjihad melawan hawa nafsunya.
   Semua manusia akan hancur kecuali orang-orang yang berilmu. Semua orang -orang yang berilmu akan hancur kecuali orang-orang yang beramal. Semua orang yang beramal akan hancur kecuali orang yang ikhlas. Dan semua orang yang ikhlas berada dalam bahaya dan ancaman yang besar yang bersiap sedia untuk menghancurkan keikhlasannya. 
    Penyakit-penyakit hati yang bercampur baur dengan ikhlas dan merosakkan niat dalam beramal lebih merbahaya dari penyakit tubuh badan.  Penyakit ini boleh menggugurkan pahala dan menjauhkan manusia dari jalan dakwah yang benar. Penyakit hati ini hanya boleh dibendung melalui tarbiyyah, iman dan takwa pada Allah SWT.  Tertegaknya Islam dengan adanya da'i yang ikhlas, murabbi dan pekerja yang ikhlas yang berpegang teguh pada prinsip dan sedia berkorban tanpa memikirkan manfaat duniawi! 

Rujukan 
Sumber tarbawi. 



2 comments:

  1. asm
    Allah menolong kita di sebabkan keikhlasan kita...berbuat sesuatu amalan hanya sanya kerana Allah..tidak untuk yang lain..dan Allah berjanji untuk menolong kita dan kita kena yakin..."Jika Allah mahu menolong kamu, tidak ada sesiapa yang dapat mengalahkan kamu. Jika Allah membiarkan kamu, tidak ada sesiapa yang dapat menolong kamu kecuali Allah [ Ali Imran:160]

    Jadi buat lah pilihan nak Allah tolong atau di biarkan..jadi perlu ikhlas dan hanya harapkan reda Allah..cuba laksanakan....

    ReplyDelete
  2. emm..kene slalu muhasabah diri ini..

    ReplyDelete

Hakikat hidup ini...

Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...