Friday, December 31, 2010

Betulkan motivasi (pendorong) kita dalam beramal!

islam


Bismillahirrahmanirrahim...
  
      Dalam apa sahaja kerja yang kita lakukan, sama ada kecil atau besar mesti ada pendorong atau motivasi diri untuk melakukannya tak kiralah sama ada pendorong atau motivasi itu lemah atau kuat. Pelbagai jenis pendorong untuk melakukan sesuatu kerja itu dan ini, mungkin kerana harta benda, mencari populariti, pangkat, wanita dan bermacam-macam lagi...........
     Pendekata manusia sanggup bersusah payah untuk  berbuat apa sahaja, menyusun strategi dan tindakan untuk mendapatkan apa yang dicita-citakan atau untuk mencapai sesuatu matlamat. Memanglah dalam melakukan sesuatu kerja atau amal, faktor pendorong atau motivasi ini merupakan suatu faktor yang penting. Dengan adanya faktor motivasi ini , sesaorang akan bekerja lebih bersemangat , sanggup bersusah payah dan berkorban. Bila motivasi ini kuat , maka kuatlah amal dan sebaliknya lemahnya motivasi, kerja dibuat sambil lewa tidak bersemangat! Tak kiralah samada pendorong atau motivasi itu betul atau tidak , ia tetap mempengaruh setiap amalan kerja yang dilakukan.  
    Motivasi ini terdiri dari dua jenis samada motivasi luaran atau motivasi dalaman. Antara keduanya, motivasi dalaman sangatlah penting kerana ia adalah motivasi diri yang datangnya dari lubuk hati yang mempengaruhi tindakannya. Motivasi dalaman ini lebih kekal dan consistent berbanding motivasi luaran yang perlu selalu pada rangsangan luar dalam melakukan kerja. Bagi motivasi luaran ini, tanpa rangsangan dari luar, semangat sesaorang itu lemah, hasil kerja tidak optimum. Contohnya, sesaorang itu perlu selalu diingatkan, dinasihati, di motivasikan oleh orang lain untuk buat sesuatu kerja. Tanpanya, dia lemah dan tidak berdaya.  Hasil kerja dan pencapaian tidak seberapa. Namun bagi  orang yang ada motivasi dalaman atau self motivation ini, dirinya sentiasa bersemangat dalam kerja yang dibuat , selalu susun strategi dan tindakan sendiri untuk mencapai matlamat dirinya. Dia bersungguh-sungguh dalam kerja yang di buat, tidak buang masa, berdisiplin, tidak bergantung pada orang lain. Dengan demikian, orang sebegini selalunya berjaya dalam mencapai matlamatnya! 
     Bagi kita , self-motivation inilah yang sepatutnya  mendorong  kita sebagai seorang Muslim untuk beramal  mencari keredhaan Allah. Namun dorongan dalaman ini kenalah betul, hakiki dan abadi. Pendorong kita mestilah bebeza dari manusia lain. Kita adalah seorang Muslim yang perlu berbeza dari manusia lain dari segi  zahir dan batin kita. Rasa hati kita berbeza, pandangan hidup kita berbeza, akhlak kita berbeza, citarasa kita berbeza, nilai kita berbeza, tuturkata kita berbeza.....kita berbeza semua sekali dari bukan Muslim!
    Namun bila kita mengaku Muslim, tapi akhlak kita sama dengan yang bukan Islam, cakap kita  lucah dan merapu, perangai kita kasar........ apa ertinya pengakuan itu? Mengaku Muslim hanya pada mulut sahaja tapi sebenarnya kita masih belum betul-betul menjadi Muslim yang Allah kehendaki yang ada perbezaan yang bermula dari perbezaan dalam jiwa......iaitu iman pada Allah! Iman yang setipis kulit ari yang tidak mampu melakukan perubahan diri untuk berbeza dari yang bukan Muslim! Perlulah semak diri, perbetulkan niat , tingkatkan keikhlasan diri untuk kembali Allah.  Perbezaan hati kita,  diri dan syahsiah kita di dunia ini menentukan tempat kita juga berbeza di akhirat nanti! 
       Jadi,  pendorong seorang Muslim dalam kerja-kerjanya adalah dorongan iman pada Allah! Keyakinan yang ada didalam lubuk hati yang tersembunyi inilah merupakan pendorong yang kuat, gagah, istiqamah dan terjamin iltizamnya (komitmen). Pendorong yang lebih bersih, suci dan dirasai kenikmatannya dalam jiwa orang Mukmin.
    Dalam apa sahaja kerja yang dibuat, orang Mukmin sejati   bertindak  hanya atas  dorongan iman. Bekerja, mencari rezeki, belajar, berbuat baik pada orang lain, berumahtangga....apa sahaja,  semuanya atas dorongan iman. Tidak ada satu pun yang dibuat atas dorongan yang lain!  Disamping itu dia juga memperhatikan bagaimana cara dia melakukan sesuatu kerja itu.....yang selalu dipersoalkan ...........aku buat ni kerja ni ikut syarak ke atau tidak, dosa atau pahala?   Jiwanya akan rasa tenang apabila dia berada diatas landasan yang betul, sebaliknya rasa sesal, gelisah dan berdosa bila melakukan sesuatu yang tidak syarak! Jiwa sebegini  adalah jiwa yang hidup yang dalam dirinya ada cahaya petunjuk yang sentiasa membimbingnya diatas jalan yang lurus.  Tapi bila buat maksiat , tak rasa apa-apa, malah meremehkannya, jiwa ini sebenarnya dipenuhi selaput hitam yang mengeras , jiwanya  sakit dan mungkin hampir mati. Cepat-cepat ubatilah jiwa ini sebelum ia betul-betul dah mati!  
      Kekuatan dorongan dari dalam hati inilah sebenarnya merupakan kurniaan Allah kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Jiwa ini dari segi fitrahnya, ingin kembali pada Allah SWT. Ia ingin berhubung, merujuk pada Allah SWT dan inginkan juga kurniaanNya.  Manusia akan jadi kuat bila hatinya betul-betul berhubung dan berkeyakinan tinggi dengan Allah. Namun bila jiwa diselaputi dosa, halangan dan gangguan nafsu, ada tabir yang menutupi dan ia akan jadi lemah, tidak bermaya.  Namun tabir ini akan tersingkap bila disaat-saat manusia itu terdesak dan di timpa bencana dimana pada ketika itu seluruh pengharapan dan doa hanya ditujukan kepada Allah. Tapi bila Allah hilangkan bencana tadi, kembalilah ia ke keadaan asalnya tadi, ingkar dan kufur pada Allah SWT! Dia telah lupa akan doa dan pengharapannya tadi!  
   Disamping kekuatan dorongan hati tadi, akal juga jika diberikan haknya, benar-benar digunakan dan diberi kebebasan untuk mencari kebenaran, pasti ia dapat menemui kebenaran itu. Akal itu dari segi fitrahnya juga sentiasa berpihak kepada kebenaran dan menuju kepada Allah SWT. 
Rasulullah saw bersabda  dalam hadithnya, 
   " Allah tidak menjadikan sesuatu kejadian lebih mulia dari akal." Hadith Riwayat Tarmizi
 "Tidaklah beruntung sesaorang lelaki dengan mendapat satu pemberian sebagaimana beruntungnya dia mendapat nikmat akal yang membimbingnya kepada kebaikan dan menahannya dari kebinasaan." Hadith Riwayat Tarmizi.
   Gabungan dorongan dalaman hati dan akal yang membimbing menjadikan seorang mukmin itu sentiasa berada di atas landasan yang betul dengan izin Allah SWT. Hati dan akal itu adalah nikmat Allah yang tidak ternilai yang perlu dijaga supaya ia sentiasa hidup dan sihat selalu. Sepatutnya kita  menjaga hati dan akal lebih dari yang lain kerana bila rosak hati dan akal tidak bergunalah diri manusia itu. Dia  jadi tidak siuman dan jiwanya sentiasa tertekan! Tapi begitulah sifat manusia ini.....selalu  hanya menitikberatkan penjagaan dan penampilan luaran diri sahaja agar sentiasa bergaya , up to date dan segak selalu! Terlalu mementingkan menjaga imej diri dan suka pada pujian orang........tapi malangnya jiwa dan akalnya dibiarkan menderita sakit dan tidak tunaikan hak-haknya!
     Justru itu marilah kita sama-sama melihat apakah perkara utama yang kita perlu lakukan. Islam yang nak kita praktikkan adalah Islam yang syumul tapi dalam melaksanakan sesuatu amalan perlu melihat amalan-amalan yang perlu di beri keutamaan. Semua kerja-kerja Islam adalah penting, tapi ada yang terlebih penting dari yang penting. Ini yang kita kena dahulukan dulu. Contohnya pentingnya kita mempunyai iman yang mantap yang dapat menjadi dorongan diri untuk melakukan amal soleh yang Allah terima.
    Jadi semua kerja-kerja untuk menyemai, menumbuhkan iman, membajai dan menjaga iman adalah sangat penting, tidak boleh diabaikan dan tinggalkan. Walau apa yang kita buat , di tahap mana kita berada, perkara ini perlu dijaga. Hati dan akal perlu dijaga selalu, jangan abaikan ia. Setiap hari kita memberikan makanan dan minuman pada badan kita, tapi kita terlupa memberi makanan dan minuman pada akal dan jiwa kita.....jadi hati dan akal kelaparan dan kehausan selalu! Jadi kasihanilah akal dan hati kita.........jangan biarkan ia derita !

Rujukan
Sumber Tarbawi.

Thursday, December 30, 2010

10 perkara yang meraih kebahagiaan

islam
Bismillahirrahmanirrahim........

   Kunci kebahagiaan itu adalah satu kata, warisan agama itu adalah satu ungkapan, dan panji kemenangan itu adalah satu kalimat. Kata, ungkapan dan kalimat itu adalah Laa illaha illallah, Muhammadur rasulullah. 
   Kebahagiaan orang yang mengucapkannya di bumi ialah nanti di langit akan dikatakan kepadanya : " Engkau benar". 
   " Dan (nyatalah bahawa) yang membawa kebenaran(tauhid dan hukum agama ) serta ia ( dan pengikut-pengikutnya) mengakui kebenarannya (dengan mematuhi hukum-hukum Itu). Mereka itulah orang-orang yang bertakwa. (Az Zumar :13) 
   Kebahagiaan orang yang mengamalkan syahadah ini adalah jaminan bahawa ia akan selamat dari kebinasaan, cacat , cela dan neraka.
   "Dan (sebaliknya) Allah akan menyelamatkan orang -orang yang bertakwa (yang menjauhkan diri dari perbuatan syirik dan maksiat) dan mereka mendapat kemenangan besar(keredhaan Allah)."
  Kebahagiaan orang yang menyeru kepada sesama manusia supaya kembali menghayati kalimah syahadah adalah jaminan ia akan ditolong, dibantu dan akan dikatakan ucapan terimakasih kepadanya.
     " Dan sesungguhnya tentera Kami itulah yang pasti akan menang." ( As-Shaffat: 173).
    Kebahagiaan orang yang senang terhadap syahadah ini adalah jaminan akan diangkat, dimuliakan dan dihargai.
      " Padahal kekuatan itu hanya bagi Allah, bagi RasulNya dan bagi orang-orang Mukmin." ( Al- Munafiqun : 8)
   Pengucapan kalimah ini oleh Bilal bin Rabah, seorang hamba, telah memerdekakannya dan mengangkat darjatnya. Beliau merupakan salah seorang sahabat yang dijamin syurga.
" Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan kekafiran kepada cahaya iman." ( Al-Baqarah : 257)
     Sebaliknya penolakan kalimah ini oleh Abu Lahab al-Hasyimi, seorang pembesar Quraisy yang sangat angkuh menyebabkan ia mati dalam keadaan hina dina.
  " Dan sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka tiada seorangpun yang mampu memuliakanya." (Al- Hajj: 18)
    Kalimah syahadah ini adalah mukjizat yang telah  mendorong manusia dari tiada harga dan tiada nilai kepada puncak keimanan yang suci.  
    " Tetapi kami menjadikan Al-Quran itu cahaya, yang kami tunjuki dengannya siapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba kami." ( Asy- Syura: 52)
     Janganlah kita sekali-kali bangga dengan dunia yang kita miliki seperti harta, pangkat, rumah, sawah ladang, wanita, anak-anak, jika kita berpaling dari akhirat, seksa yang pedih dan kehinaan   sedia menunggu. Jika kita berbangga dengan anak dan keturunan dan harta kekayaan kita , semuanya adalah milik Allah yang merupakan pinjamanNya untuk kita. Ingatlah bahawa  perbuatan ini hanya akan menyebabkan kita sengsara dan merupakan satu kerugian dalam perjalanan kita menuju Allah, semua itu  akan menjadi laknat nanti di akhirat. 
    " Dan bukanlah harta benda kamu dan anak pinak kamu yang mendampingkan kamu disisi Kami walau sedikit pun, kecuali orang -orang yang beriman dan beramal soleh." (Saba:37) 
   Jadi kebahagiaan apabila kita merealisasikan kalimah syahadah ini dalam seluruh kehidupan kita sama ada kita susah atau senang, kaya atau miskin.....menggengam kalimah ini dalam apa jua keadaan walaupun terpaksa mengorbankan segalanya............! 
  Sepuluh perkara yang perlu diamalkan untuk meraih kebahagiaan.........
1.  Bangun diwaktu sahur untuk beristighfar...
    " Dan orang -orang yang beristghfar pada waktu sahur..." ( Ali-Imran: 17)
2.  Menyendiri untuk bertafakkur..
    " Dan mereka memikirkan tentang kejadian langit dan bumi..." ( Ali- Imran:191)
3.  Menjalin hubungan dengan orang yang soleh.
    " Dan jadikanlah diri mu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang beribadah pada Tuhan   mereka." ( Al- Kahfi: 28)
4.  Berzikir
    " Wahai orang-orang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah), ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan dan sebutan yang sebanyak-banyaknya." (Al- Mukminun :2)
5.  Solat dua rakaat dengan khusyuk.
     " Iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya." ( Al Mukminun :2)
6.  Membaca Al- Quran dengan penuh penghayatan.
     " Patutkan mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al- Quran?" ( An- Nisa : 82)
7.   Berpuasa pada hari yang sangat panas.
      " Meninggalkan makanan dan minuman dan syahwatnya kerana Aku " ( Hadith Nabi).
8.   Bersedekah secara sembunyi-sembunyi.
     " Hingga tangan kirinya tidak tahu apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya."( Hadith Nabi)
9.   Meringankan beban orang Islam.
     " Sesiapa yang meringankan beban kesusahan yang di alami oleh orang Islan di dunia, maka Allah akan melepaskannya dari kesusahaan di akhirat."( Hadith Nabi).
10.  Berlaku zuhud terhadap sesuatu yang sifatnya fana.    
       " Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan dan lebih kekal." (Al- A'la: 17)  

Rujukan
 La Tahzan




    

Wednesday, December 29, 2010

Berlalunya tahun 2010....bagaimana persediaan kita di tahun 2011?

Bismillahirrahmanirrahim.................

      Tahun 2010 sudah hampir sampai ke penghujungnya.....tiba pula tahun 2011. Tahun 2010 yang akan ditinggalkan yang penuh dengan kenangan pahit dan manis, suka dan duka...........Ku laluinya dengan langkah yang perlahan, meniti hari-hari yang berlalu merawat dan memproses jiwa ini supaya bangun kembali bersemangat .......there is light at the other end of the tunnel, insyaAllah!
    Rasanya begitu baru lagi aku mececah ke tahun 2010 .......seolah-olah peristiwa  yang terjadi hanya baru berlaku semalam....Masih segar dalam ingatan! Namun ku sedari hidup perlu diteruskan,  ada matlamat yang  lebih penting....menggarap redha illahi di sepanjang perjalanan kehidupan yang sebenarnya sangat singkat ini! Sangat sedikit dari kita ini yang akan  hidup sampai seratus tahun pun....bila tiba masanya kita pasti menghadapNya, dunia ini fana tapi akhirat itu forever, no ending,  infinity.......so be prepared for that in this world that we live in now! Kita hidup didunia ini untuk membuat persediaan diri untuk mati...... Maka janganlah bertangguh lagi dan jangan biarkan peristiwa semalam menghantui diri sentiasa......kata-kata ini memang senang di ucap dan ditulis tapi hanya Allah sahaja yang tahu betapa sukarnya untuk melaksanakannya! Kepedihan masih terasa walaupun ia telah berlalu pergi!   Ya Allah permudahkan kami melalui kehidupan yang banyak ujian ini dengan tabah, bantulah kami ya Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Jangan tinggalkan kami sendirian tanpa bimbinganMu! Tiada Tuhan yang ku sembah melainkan Engkau.
     Begitulah penghidupan ini, hari demi hari berlalu...... hari kelmarin di tinggalkan semakin jauh, begitu juga tahun ini  akan kita tinggalkan jauh pergi, benarlah ungkapan yang  mengatakan Yang jauh itu MASA , yang dekat itu MATI........maka menapaklah kita ke tahun baru dengan penuh pengharapan......Apa agaknya yang tersedia untuk kita? ujian yang berat ke, sedih, duka ke.....semuanya, insyaAllah akan kita lalui! Hari esok menanti kita......namun bagaimanakah persediaan diri? 
    Ada orang memulai tahun baru ini dengan azam baru, rumah baru, kereta baru... semuanya nak baru.....namun bila melangkah ke tahun baru, azam tinggal azam, yang baru tadi jadi lapuk....sikap dan akhlak masih sama....... .begitukah sepatutnya?
      Tahun baru Hijrah atau Masihi ini ......kita sama-sama sambut ia dengan istigfar dan taubat kita untuk tahun  ini yang akan berlalu...... istighfar di atas segala dosa dan kesalahan yang telah kita lakukan sama ada sengaja atau tidak, sedar atau tidak.....Kita perbaharui azam kita dengan doa yang kita panjatkan pada Allah SWT supaya membimbing kita berada di atas jalanNya yang lurus, membantu kita menghadapi segala mehnah dan ujian hidup ini, menambahkan iman dan takwa kita padaNya, membantu kita menjadi orang yang ikhlas beramal padaNya...... 
     Apa yang tersedia untuk kita perlulah sama-sama kita hadapi dengan optimistik, bersangka baik dengan Allah, tahun baru ini lebih baik dari yang lepas, insyaAllah! Namun bagi orang mukmin itu segalanya baik belaka, bila mendapat nikmat ia bersyukur, bila ditimpa mehnah dan ujian ia bersabar.....semuanya ada hikmah disebalik sesuatu kejadian. Segala ujian dan mehnah Allah itu sebenarnya  adalah sebagai kifarah dosa-dosa kita. Melalui istighfar dan taubat kita, terhapuslah dosa dan kesalahan kita, tertingkatlah iman dan amalan soleh kita, insyaAllah. Tiada yang Allah jadikan sesuatu itu percuma atau main-main saja!    
        Tinggalkan peristiwa semalam, kelmarin, tahun ini.....jangan di bawa ketahun hadapan. Sama-sama perbaiki diri, hati, akhlak dan sikap menjadi lebih baik.......Mohon bantuan Allah sentiasa, suatu yang tidak boleh kita tinggalkan, keperluan kita kepadaNya melebihi keperluan kita pada air di saat kita kehausan! Tanpa bantuan  Allah, sebenarnya kita tidak boleh kemana-mana....Allahlah sumber kekuatan diri kita bukan yang lain!  
    Sama-sama kita akhiri dengan doa Mathurat ini untuk kita renungi dan hayati..............   
 Ya Allah, kurniakanlah kami lisan yang lembut basah mengingati dan menyebut NamaMu, hati yang penuh segar mensyukuri nikmatMu, serta badan yang ringan menyempurnakan ketaatan kepada perintahMu......
 Ya Allah kurniakanlah kami iman yang sempurna, hati yang khusyuk, ilmu yang bermanfaat, keyakinan yang benar-benar mantap..............
  Ya Allah kurniakanlah kami cara hidup yang jitu dan unggul, selamat dari segala mara bahaya dan petaka.....
   Ya Allah, kami mohon kecukupan yang tidak sampai kami terpaksa meminta jasa orang lain......
   Ya Allah, berilah kami iman yang sebenarnya sehingga kami tidak gentar dan mengharap orang lain selain dari Engkau sendiri......
   Ya Allah, jangan Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri, walaupun sekadar sekelip mata atau kadar masa yang lebih mudah .....
 Ameen , Ya Rabbal Alamin......
  

Friday, December 24, 2010

Kata-kata hikmah untuk renungan jiwa..............

  • Istighfar membuka pintu yang terkunci, melapangkan hati nurani dan menghilangkan kesamaran. Istighfar adalah wang muka untuk mendapatkan rezeki dan pelincin untuk mendapatkan taufik.
  • Musibah kita adalah jika kita tidak berdaya menghadapi hari ini, sibuk dengan masa lalu, menangisi hari ini dan resah menghadapi hari esok. Lalu di manakah akal dan kebijaksanaan kita?
  • Jauhilah kegelisahan kerana ia adalah racun. Jauhilah kelemahan kerana ia adalah kematian. Jauhilah kemalasan kerana ia adalah kegagalan. Jauhilah pendapat yang ragu-ragu kerana ia adalah hayunan langkah yang buruk.
  • Barangsiapa yang memiliki agama yang membimbingnya, akal yang menunjukinya, perhitungan yang menjaganya dan rasa malu yang menghiasinya, maka dia telah menghimpun berbagai keutamaan.
  • Barangsiapa yang meremehkan teman, maka dia kehilangan wibawanya. Barangsiapa yang meremehkan ulama, dia kehilangan agamanya. Barangsiapa yang meremehkan Allah SWT maka dia kehilangan dunia dan akhiratnya.
  • Penyebab kegelisahan dan kekhuatiran adalah dunia dan bila berpaling dari Allah SWT.
  • Jangan memperkecilkan orang yang mempunyai baju yang compang camping dan berkasut usang, kerana boleh jadi dia berhati khusyuk, matanya sering menangis dan berjiwa besar.
  • Ilmu adalah sahabat sewaktu bersendirian, teman waktu terasing, penjaga waktu berkhalwat, petunjuk jalan, penolong waktu kesusahan dan bekal tabungan menghadapi kematian.
  • Maafkan semua orang sebelum tidur, bersihkan hatimu dengan memaafkan mereka sebanyak 7 kali dan mohon keampunan kepada Yang Maha Pengampun, nescaya anda akan menemui manisnya iman.
  • Barangsiapa yang meninggalkan perselisihan, menjauhi berbangga-bangga, selamat dari kedustaan, redha terhadap takdir dan menghindari diri dari hasad dengki , maka Allah SWT tidak akan meninggalkan hatinya.
  •  Boleh jadi urusan yang menyukarkan kamu adalah pada permulaannya sahaja dan menyenangkan kamu di akhirnya, sepertinya awan, awalnya kilat dan petir, akhirnya hujan yang menyenangkan kamu.
  • Semalam telah berlalu, hari ini adalah perantara hari esok, hari esok belum tentu ada, dan kita berada di ketika ini. Maka hendaklah kita taat padaNya, nescaya akan dapat bekal keberuntungan.
  • Kita memiliki dua mata, dua telinga, dua tangan, dua kaki, lidah, keimanan, Al-Quran dan keamanan. Oleh itu hendaklah kita mensyukurinya. Allah berfirman," Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan...? (S. Ar-Rahman:13)

Thursday, December 23, 2010

Rahsia dan pengertian takut pada Allah SWT.



Bismillahirrahmanirrahim....

      Ungkapan pembuka kalamullah yang mulia ini........ Bismillahirrahmanirrahim ......dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang telah diulang-ulang oleh  Rasulullah pada suatu malam ketika baginda solat malam yang  di saksikan oleh Abu Dzar.  Setiap kali membaca kalimah ini baginda menangis, kemudian membaca lagi, dan menangis....sehingga beberapa kali. Baginda Rasulullah saw adalah orang yang paling bertakwa dan paling takut pada Allah SWT sehinggakan  kalimah ini begitu dihayati dan     baginda menangis setiap kali membacanya. Kemudian dalam solat sunat baginda, beliau membaca," Celakalah bagi orang yang tidak mendapat rahmat Allah, demi Allah celakalah orang yang tidak mendapat  rahmat Allah."  Celaka yang dimaksudkan disini adalah mereka yang hatinya tidak takut pada Allah SWT. 
      Bandingkan dengan diri kita sekarang ini!  Pernahkah kita menyendiri dan berupaya menghayati bacaan Al-Quran atau menghayati solat kita sehingga bercucuran airmata kita? Adakah setiap kali kita solat, kita benar-benar merasai kita sedang berinteraksi dengan Rabb kita, berhubungan hati denganNya sehingga melahirkan kekhusyukan dan ketakutan yang mengalirkan air mata? Begitu juga bila kita sedang membaca ayat-ayatNya, adakah kita merasa sedemikian juga? Sebagai Muslim kita perlu menggali rahsia dan pengertian takut pada Allah SWT ini supaya kita tidak tergolong dikalangan mereka yang celaka yang tidak mendapat rahmat Allah SWT. Kita tidak mahu tergolong dikalangan mereka yang berani dengan Allah SWT; berani berbuat dosa sedangkan apa saja yang kita perbuat sebenarnya semuanya tidak terlepas dari pengetahuan dan penglihatan Allah SWT! Beraninya kita dengan Allah SWT kerana hati itu kosong dari rasa takut, kurang yakin dengan janji Allah SWT, jahil dan  jauh dari  hidayah dan rahmatNya yang mencampakkan rasa takut, iman dan takwa dalam jiwa!   
     Imam Ahmad telah meriwayatkan dalam kitab Az-Zuhd berkenaan Abu Bakar As-Shiddiq dan beberapa sahabat lagi yang memasuki kebun kurma milik seorang lelaki Ansar. Pada waktu itu buah kurma sedang masak dan buah-buahnya bergantungan didahan dihinggapi burung- burung. Sahabat-sahabat begitu gembira menyaksikan pemandangan tersebut kecuali Abu Bakar yang duduk sambil menangis! Sahabat-sahabat kehairanan dan kemudian bertanya," Wahai Khalifah Rasulullah, apakah gerangan terjadi kepadamu?" Beliau menjawab," Aku melihat burung-burung ini, betapa bahagianya ia. Ia hinggap di satu pohon, memakan buah-buahannya lalu terbang ke tempat air dan meminumnya. Selepas itu ia akan mati tanpa hisab dan azab. Oh! Andaikan aku seekor burung!Oh! Seandainya ibu ku tidak melahirkanku!" Mendengarkan jawapan itu,semua  sahabat-sahabat  turut menangis . 
   Hati-hati sahabat ini begitu sensitif dengan jawapan yang datangnya dari hati Abu Bakar yang diselubungi perasaan takut pada Allah SWT di mana Allah SWT akan meneliti dan menghisab seluruh amalan manusia tidak akan tertinggal satu apa pun!  Hati-hati mereka yang dipenuhi dengan cahaya iman yang mudah tersentuh bila diberi peringatan! Beginilah sepatutnya hati yang perlu kita miliki, hati yang bersih dalam keyakinan pada Allah, yang begitu sensitif dan selalu mengambil iktibar dari apa saja yang dilihat dan didengar di mana ia  mentarbiah jiwa mereka dan dikaitkan dangan kehidupan akhirat.!     
     Kita lihatlah reaksi sahabat ini! Saiyyidina Abu Bakar merupakan salah seorang sahabat Rasul yang dijanjikan syurga, meskipun Rasulullah telah memberitahu padanya tentang khabar gembira ini,  beliau tetap takut dan sentiasa menghisab dirinya dengan berkata,' Demi Allah , aku tidak akan merasa aman dari azab Allah, walaupun salah satu tapak kakiku disyurga dan satu lagi diluar syurga." Sebenarnya hanya orang yang rugi sahaja yang akan merasa aman dari seksa Allah SWT. Dan sesungguhnya orang  yang merasa aman dari seksa Allah SWT ini telah disesatkan dari ilmu dan pandangan batinnya yang telah di butakan!
       Seperti kata Ibnul Qaiyyim, " Betapa ramai orang yang mendirikan solat di barisan yang sama dan saling bergandingan, namun perbezaan antara solat-solat mereka adalah seperti jarak langit dan bumi." Ini adalah kerana ada sesetengahnya lalai dari solat dan ada sesetengahnya yang solat sebab dia takut akan ancaman Allah, takut berjumpa denganNya dan takut amal perbuatannya akan diperlihatkan dihadapanNya di akhirat nanti dan mengingati bahawa kelak pada hari kiamat nanti dia akan berdiri dihadapan Allah sepertimana dia berdiri sewaktu solat. Jadi dia melakukan solat dengan penuh khusyuk, takut dan harap pada Allah! Dalam satu hadith Rasulullah saw," Allah SWT tetap menghadap kepada hambaNya yang sedang solat selama dia tidak menoleh. Namun jika dia menoleh, maka Allah pun berpaling darinya." Jadi sama-samalah kita berlindung kepada Allah SWT agar hati kita tidak berpaling dalam solat sehingga menyebabkan Allah SWT berpaling dari kita. Sia-sialah solat kita, dan yang hanya kita dapati dari solat itu cuma penat lelah sahaja! Nauzubillah..
      Kata Ibnul Qayyim lagi," Orang beriman itu sentiasa memikirkan apa yang dilihatnya itu dengan apa yang akan dihadapi pada hari akhirat nanti. Waktu tidur dan berselimutnya ia teringat akan kubur. Ketika melihat pohon-pohon yang hijau, buah-buahan dan pelbagai kenikmatan, ia teringat akan syurga. Ketika melihat api, orang-orang yang diseksa dan dipenjara, dia teringat neraka Jahannam. Oleh kerana itulah ia terus berfikir tanpa henti-hentinya."  
   Ada empat perkara yang dapat menggetarkan hati mukmin yang perlu direnungkan supaya dapat melahirkan  rasa takut dan mengingatkannya akan janji Allah SWT dan perjumpaan denganNya iaitu...
  • menziarah kubur
  • mengingatkan kematian setiap masa
  • mengingati balasan Allah SWT amat pedih dan sesungguhnya seksaan Allah SWT itu tidak akan terlepas.
  • Sentiasa ingat bahawa Allah itu Maha Mendengar dan Maha Melihat apa yang kita perbuat. 
Begitu juga ada empat perkara yang boleh menghilangkan rasa takut pada Allah SWT dan dan berani berbuat dosa iaitu ....
  • lalai dari mengingati Allah SWT. Ada hati tapi tidak digunakan untuk memahami ayat-ayat Allah SWT. Ada telinga tapi tidak digunakan untuk mendengar seruan Allah SWT. Ada mata tapi tidak digunakan untuk melihat kebesaran ciptaan Allah SWT.
  • Melakukan maksiat yang mengeraskan dan mematikan hati. Bila hati sudah tertutup, ia merupakan tahap akhir dimana jiwa sudah mati dan ini  adalah satu musibah pada orang-orang kafir. Bila hati mengeras, disebabkan dorongan hawa nafsu yang menimpa hati orang-orang beriman dan orang-orang fasik.
  • melebihkan kesenangan duniawi dari kepentingan akhirat. Walau pun kesenangan duniawi ini diharuskan, tapi berlebih-lebihan menjadikan hati kurang takut pada Allah SWT. Ambillah setakat keperluan diri dan bukannya berlebih-lebih dalam dunia dari semua aspek hidup.
  • Menghabiskan waktu dengan aktiviti kurang dan tidak berfaedah, membuang masa atau mensia-siakan waktu yang diberi oleh Allah SWT .
Ciri-ciri takut yang dikehendaki oleh Allah SWT adalah.......
  • keadaan nampak dan yang tersembunyi adalah sama tiada beza antara keduanya. Segala amal yang zahir atau yang tersembunyi semuanya dilakukan atas dasar takwa pada Allah SWT, bukan atas sebab yang lain.
  • Ikhlas dan jujur pada Allah SWT pada setiap ucapan, perbuatan dan perilaku. 
  • Menyesali perbuatan buruk dan berbahagia dengan perbuatan baik
  • Hendaknya hari ini lebih baik dari hari semalam, dan hari esok lebih baik dari hari ini.
Jika setiap hari yang berlalu,  ia semakin rajin beribadah padaNya, ini menunjukkan ia jujur dan takut pada Allah SWT. Takut pada Allah SWT sebenarnya dapat mencegah bermaksiat padaNya, membayangkan dirinya sentiasa dalam pemerhatian Allah SWT, membayangkan diri bergelumang dalam siksaan neraka Jahannam dan merasa malu dengan Allah SWT akan amalannya yang dipersembahkan pada Allah SWT!

    Sebagai Muslim, kita perlu menyibukkan hati kita dan sentiasa memikirkan kehidupan akhir kita. Jangan biarkan jiwa kita kosong begitu saja dari mengingati Allah SWT dan hari akhirat yang dapat menimbulkan keinsafan dalam diri kita. Janganlah kita asyik dan leka dengan dunia yang melalaikan kita, yang menjauhkan hubungan hati kita dengan Allah SWT . Dalam kita berseronok pun perlu kita ingat pada Allah SWT. Pendek kata, setiap detik masa yang kita lalui di dunia ini sepatutnya diisi dengan amalan yang mendapat keredhaan Allah SWT. Kita perlu sentiasa berfikir macamana nak convert setiap detik masa ini menjadi pahala yang boleh kita bawa pulang nanti ke kampung akhirat yang kekal abadi.! Suburkan rasa takut pada Allah SWT sentiasa, hanya  Allah SWT sahajalah yang  sepatutnya kita takuti!    
         

Keutamaan takut dari dosa



Bismillahirrahmanirrahim....
   Bagi seorang mukmin dosa itu umpama  gunung yang akan menimpanya bila-bila masa sahaja manakala  bagi orang munafik atau fasik, dosa itu umpama seekor lalat yang menghinggapinya dan ia menepisnya begini dan begitu ataupun tidak menghiraukannya. Bagaimanakah rasa kita bila kita berbuat dosa? Adakah kita memandang remeh akan dosa yang kita lakukan dan berkata.....alah dosa kecil je tak pe lah, nanti bila kita ambil wuduk dan solat dan istighfar maka  hilanglah dosa itu! Seolah-olah kita begitu yakin benar akan terangkatnya dosa yang kita lakukan dengan sengaja.....yang kemudiannya mungkin kita ulangi lagi!! Perlunya kita perbetulkan konsep kita ini dan tidak memandang remeh dosa -dosa yang kita lakukan walaupun ianya hanya di kategorikan sebagai dosa kecil sahaja! Sama-samalah kita renungi firman Allah ini dalam surah A-Nur : 63 yang bermaksud............... 
    " ...Sebab itu hendaklah takut orang-orang yang melanggar perintahNya, bahawa mereka akan ditimpa fitnah(cubaan) atau akan ditimpa oleh azab yang pedih."
  Diceritakan dari suatu sirah Rasulullah saw mendatangi seorang pemuda yang hampir hendak meninggal dan baginda bertanya kepada pemuda tersebut, " Bagaimanakah keadaan engkau sekarang?"  Pemuda itu menjawab," Wahai Rasulullah , aku berharap kepada Allah dan aku takut akan dosaku." Rasulullah bersabda," Bila ada dalam hati sesaorang telah terkumpul dua hal itu (takut dan harap), tentu Allah akan memberi apa yang diinginkannya dan menghindarinya dari apa yang ia takuti."   
   Jadi berbuat dosa walaupun kecil, perlulah kita takuti dan hindarkan, namun sebagai manusia yang lemah jika kita terlanjur, perlulah merasai ketakutan dijiwa dan lantas segera bertaubat. 
Sesungguhnya Rasulullah pernah menyebut tentang tujuh golongan yang bakal mendapat naungan Allah pada hari akhirat nanti dan di antaranya....... seorang lelaki yang mengingat (akan seksa) Allah dalam kesunyian, lantas bercucuran airmatanya kerana takut akan kesalahan dan dosanya. 
     Dalam satu hadith , Rasulullah saw bersabda," Ada dua mata yang tidak akan disentuh api neraka iaitu mata yang menangis di tengah malam kerana takut pada Allah dan mata yang berjaga di jalan Allah."  Adakah kita berbuat demikian.....berjaga malam, bertahajjud memohon ampun dari Allah atas segala dosa? Namun kini yang sering dilakukan oleh ramai orang,  berjaga malam kerana nak tengok bola, berjaga malam kerana nak main game komputer sampai nak berhenti pun sayang, berjaga malam kerana melayari internet dan macam-macam sebab musabab untuk berjaga malam!.....pastinya setiap detik yang dilalui mengumpul angka-angka kosong pahala , mungkin juga mengutip dosa di sepanjang malam!! Bagi hati yang tidak takut pada Allah, mereka tidak akan rasa apa-apa berbuat demikian.....mudah-mudahan Allah memberi petunjuk dan hidayah kepada hati sedemikian!
       Jadi bagaimanakan bentuk takut yang merupakan keutamaan dan dengannya akan mencapai ketinggian, wara, takwa ,mujahadah dan muraqabah pada Allah? Perkara ini disebut dalam banyak hadis dan ayat Al-Quran diantara nya......
" Petunjuk  dan rahmat Allah bagi orang-orang yang takut kepada Tuhannya,"  (S. Al-A'raf :154)
" Allah redha kepada mereka dan mereka redha kepadaNya. (Syurga) itu untuk orang-orang takut pada Tuhannya." (S. Al-Bayyinah : 8)
" Dan takulah kepadaKu, jika kamu orang-orang yang beriman." (S. Ali Imran: 175)
" Hanya yang takut kepada Allah ialah ulama di antara hamba-hambanya. " (S. Al Fathir : 28)
        Apabila hati mengenali Allah dalam ertikata yang sebenarnya, inilah akan membuatkan rasa takut padaNya. Ketakutan dijiwa ini akan menyebabkan dia menjaga dirinya dari dosa, berusaha berbuat taat sentiasa, dan jiwanya selalu rasa gementar takut-takut tergelincir dari landasan yang telah di tetapkan.  Ketika merasai demikian, akan berguguranlah kesalahannya bagaikan daun-daun yang jatuh dari pohon yang kering!
   Jadi sama-samalah kita berusaha menanamkan rasa takut kita pada Allah dengan menambahkan ilmu kita dalam mengenali Allah dimana dengan ini akan tertingkatnya keimanan dan ketakwaan  kita pada Allah SWT. Kita lalui detik-detik kehidupan ini dengan penuh rasa sedar bahawa setiap amalan  yang kita buat, setiap nafas yang kita hela, setiap patah perkataan yang kita ucap, sebenarnya bukan lah ia berlalu begitu sahaja....semuanya akan minta di pertanggungjawabkan!  Setiap diri akan kembali padaNya, maka sementara kita masih bernyawa ini, buatlah persediaan sebelum terlambat!!

Sunday, December 19, 2010

Jalan-jalan menuju keikhlasan


Bismillahirrahmanirrahim....

     Orang-orang beriman yang terdahulu dari umat ini sangat mementingkan keikhlasan dan sangat mengharapkan agar sentiasa di peringatkan diri supaya sentiasa ikhlas. Ini adalah kerana sifat ikhlas itu tersangat penting kerana ia merupakan perintah Allah dan ia adalah merupakan syarat utama kehidupan sesaorang Muslim itu di terima atau diredhai oleh Allah SWT. Banyak firman Allah dalam  ayat-ayat Quran yang menyebut tentang ikhlas ini di antaranya, dalam surah Al-Bayyinah :5 yang bermaksud...
    " Padahal mereka tidak disuruh kecuali menyembah Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepadaNya."
Niat yang ikhlas adalah dari buah tauhid yang sempurna iaitu  mengesakan Allah dalam seluruh kehidupan. Seperti kata Imam As-Syahid Hasan Al-Banna tentang ikhlas ini , " Ikhlas ialah setiap akh Muslim mestilah mengharapkan keredhaan dan ganjaran pahala daripada Allah SWT sahaja. Semua perkataan, amalan dan jihadnya tidak memandang kepada sebarang keuntungan, kemenangan, kemegahan, gelaran, kemajuan atau kemunduran. Dengan itu ia menjadi tentera fikrah dan aqidah bukan tentera yang mengejar manfaat atau keinginan.."
        Jalan-jalan menuju  keikhlasan ini sangatlah sulit kerana rintangannya banyak berupa hawa nafsu,  dunia dan syaitan yang menggoda. Jalan-jalannya berliku dan memerlukan seorang hamba Allah itu mengikuti jalan-jalan dan panduan-panduan yang tertentu. Jalan-jalan tersebut adalah
  • Minta pertolongan dengan Allah SWT.
       Dalam kehidupan ini, seorang Muslim akan menempuh banyak rintangan dan ujian hidup. Jadi untuk dia menjadi  seorang yang ikhlas bukanlah mudah akibat kelemahan diri sendiri sama ada zahir atau batinnya. Disamping itu, godaan dunia, hawa nafsu dan syaitan sering menjadikan dirinya kecundang dalam ujian hidup ini,  maka sudah sewajarnyalah dia memohon pertolongan dari Allah SWT untuk membantunya menjadi seorang yang ikhlas.
       Meminta pertolongan dari Allah SWT perlulah    dengan penuh kerendahan hati, rasa lemah, fakir dan hina di hadapan Allah SWT. Merasakan kita ini sangat-sangat memerlukan Allah sentiasa dalam melayari kehidupan ini, kerana tanpa pertolongan dariNya kita sebenarnya tidak dapat melakukan apa-apa hatta mengerdipkan mata kita sekali pun! Segala sesuatu itu sebenarnya dibawah kekuasaan Allah! Firman Allah SWT dalam surah Al-Fathir :15 yang bermaksud...
    " Wahai manusia, kamulah yang berkehendakkan kepada Allah, dan Allah Dialah Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji."
    Jika Allah membiarkan kita, ini adalah kerana kita juga yang melupakan Allah ; kita akan jadi hamba pada nafsu, hamba pada dunia dan hamba pada syaitan! Sengsaralah hidup kita, sesaklah jiwa kita, tidak tenang dan sentiasa keluh kesah....  Namun bila kita kembali padaNya, sentiasa ingat padaNya, Allah akan menjadikan kita cinta pada iman dan ketaatan, benci pada dosa, kufur dan maksiat......
Firman Allah dalam Surah Al-Hujurat :47 yang bermaksud....
   " Tetapi Allahlah yang menjadikan kamu cinta pada keimanan dan menjadikan keimanan itu indah  di dalam hatimu dan menjadikan kamu benci pada kekafiran, kefasikan dan kedurhakaan." 
Dan lagi dalam Surah An-Nur : 21.....
  " Tetapi  Allahlah yang membersihkan sesiapa yang dikehendakinya. Dan Dia Maha Mendengar dan Maha Mengetahui."
  •  Mengakui nikmat Allah SWT yang banyak.
    Didalam semua kebaikan yang kita perolehi, kita perlu merasakan nikmat Allah SWT, kerana setiap kebaikan itu merupakan anugerah Allah SWT kepada hambaNya. Allah SWT telah memilih kita diantara jutaan  manusia dimuka bumi ini,   untuk menerima hidayah Islam yang merupakan  nikmatNya yang terbesar! Dia mengeluarkan kita dari kegelapan jahiliyyah kepada cahaya iman dan Islam. 
     Sewajarnya kita perlu merasa sangat bersyukur dan menghargainya dengan sepenuh hati kita dan melaksanakan tuntutan Islam dalam kehidupan ini. Sesungguhnya, sememangnya kita sekarang tenggelam dalam lautan nikmat Allah SWT yang tidak putus-putus pada diri kita.  Kesyukuran kita diatas nikmat Allah ini sebenarnya juga  di dorong dan ditolong oleh Allah SWT. Dalam surah Al-Ahqaf : 15 merupakan doa seorang hamba dalam membantunya untuk bersyukur..............
    " Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku.."
  •  Mengambil berat dalam usaha perbaiki diri dan persiapan diri.
     Ramai manusia merasakan dirinya lebih baik , lebih berilmu, lebih cekap,.........lebih segalanya .. dari orang lain. Lantas, mereka memandang orang lain dengan pandangan remeh, kecil,  dan hina. Dia merasa ego dan meninggikan dirinya, sukakan populariti, sedikit yang dibuat digembar-gemburkan pada orang........keikhlasannya  sudah tiada lagi pada Allah SWT!
     Jika ikhlas kepada Allah SWT , tidak perlu dihebahkan apa yang di perbuat  pada orang lain, sepatutnya disembunyikan terutama apabila tengah mendidik  dan membentuk diri. Dia tidak perlu pada populariti dan keributan bahkan ketenangan yang didambakan. Dia berhati-hati dan tidak tergesa-gesa dalam tindakannya untuk mendapatkan hasil yang baik.
     Seorang Muslim dalam fasa persiapan dan pembentukan diri umpama benih yang baik yang tertanam dalam tanah yang subur jauh dari sinar matahari. Benih tersebut berkembang tersembunyi dalam tanah sehingga ia matang dan kemudian muncul di permukaan bumi , insyaAllah bersedia menjadi pokok yang kuat! Namun benih yang dari awal lagi terdedah di atas bumi, terkena sinaran matahari yang terik, tidak boleh berkembang malah akhirnya ia mati sebelum sempat jadi pokok!
   Seorang Muslim hendaklah bersembunyi dengan kejahilannya agar amal dan keadaannya tidak tersebar. Dengan cara ini dia akan menutup pintu-pintu syaitan yang cuba merosakkan dirinya. Dia akan dapat banyak manfaat daripada orang yang mengajarnya kerana mereka menganggapnya masih jahil.  
   Selain dari itu,  dia lebih suka menolak kepimpinan lebih-lebih lagi bila persiapan diri tidak mencukupi. Namun jika hal ini tidak dapat di elakkan, hendaklah dia menjaga keikhlasannya. Semasa melaksanakan tugas kepimpinan, dia tetap menyukai dan menghayati sifat sebagai seorang tentera yang bekerja untuk Islam tanpa perlu ada keributan! Dia menerima tanggungjawab itu dengan penuh rasa takut dan bimbang  sehingga keadaannya seperti orang yang ditimpa musibah kerana dia sedar ini akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah SWT nanti! Ketakutan itu akan mendorongnya untuk....
1.  Selalu mohon pertolongan dengan Allah SWT
2. Sentiasa berfikir terhadap kerja-kerja atau langkah-langkahnya.
3. Selalu meminta pertimbangan orang-orang disekitarnya
4. Tidak berkeras dengan pendapat sendiri.
5. Tidak tergesa-gesa mengambil sesuatu keputusan
6. Selalu muhasabah dengan amalannya sama ada besar atau kecil..sehinggalah dia jadi pemimpin yang baik.
  • Merasa curiga dengan nafsu
       Sepatutnya kita harus rasa curiga dengan keikhlasan kita yang sering diganggu nafsu. Sebelum dan semasa melakukan amalan, telitilah keikhlasan kita, berusaha membersihkan niat dan memohon pertolongan dari Allah SWT. Setelah kita melakukan amalan kita, semaklah semula niat kita....kita akan ketahui sebenarnya jalan-jalan menuju keikhlasan ini bukanlah mudah......... Dihadapannya terbentang dunia dengan keindahannya, syaitan dengan rayuannya dan nafsu dengan kejahilan dan kerakusannya! Tidak ada orang yang akan sanggup menempuh jalan keikhlasan ini kecuali orang yang meminta pertolongan dari Allah SWT, meneliti hakikat ubudiyyah padaNya dan berjihad melawan hawa nafsunya.
   Semua manusia akan hancur kecuali orang-orang yang berilmu. Semua orang -orang yang berilmu akan hancur kecuali orang-orang yang beramal. Semua orang yang beramal akan hancur kecuali orang yang ikhlas. Dan semua orang yang ikhlas berada dalam bahaya dan ancaman yang besar yang bersiap sedia untuk menghancurkan keikhlasannya. 
    Penyakit-penyakit hati yang bercampur baur dengan ikhlas dan merosakkan niat dalam beramal lebih merbahaya dari penyakit tubuh badan.  Penyakit ini boleh menggugurkan pahala dan menjauhkan manusia dari jalan dakwah yang benar. Penyakit hati ini hanya boleh dibendung melalui tarbiyyah, iman dan takwa pada Allah SWT.  Tertegaknya Islam dengan adanya da'i yang ikhlas, murabbi dan pekerja yang ikhlas yang berpegang teguh pada prinsip dan sedia berkorban tanpa memikirkan manfaat duniawi! 

Rujukan 
Sumber tarbawi. 



Hakikat hidup ini...

Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...