Monday, February 28, 2011

Berzikirlah pada Allah dengan mengharapkan rahmatNya!

Bismillahirrahmanirrahim............

Firman Allah dalam Surah Al-Ahzab: 41-43 yang  bermaksud.............
 " Hai orang-orang beriman, Ingatlah (dengan menyebut nama) Allah sebanyak-banyaknya.  Dan bertasbihlah kepada Allah pada pagi hari dan petang. Dialah yang memberikan rahmat kepadamu dan  malaikat-malaikatNya (memohonkan ampunan untukmu) supaya Dia  mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya yang terang. Dan Dia Maha Penyayang kepada orang-orang beriman."

Ayat-ayat tersebut di atas merupakan merupakan satu panggilan dari Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang ditujukan khas kepada orang-orang yang beriman supaya mengingati Allah sebanyak mungkin supaya mendapat rahmat, ampunan dan petunjukNya.  Satu perintah dan saranan dari Allah kepada orang beriman ini supaya hati mereka sentiasa mengingati Allah dalam setiap masa dan keadaan sehingga mereka tidak lalai dan lupa.

 Sesungguhnya hati itu akan selamanya sentiasa rasa kosong , lalai dan lupa melainkan jika ia dihubungkan dengan Allah SWT, mengingatiNya dan menghiburkan diri denganNya. Ingatan sebegini pada Allah akan memberikan hati itu semangat baru, rasa tenang dan damai, mengenali dan mengetahui jalan dan manhaj yang perlu dikuti dan juga ia menyedari siapa dirinya dan apakah matlamat hidupnya didunia ini.  

Allah yang merupakan Pemberi Kurnia yang besar, sentiasa melimpahkan rahmat dan kasih sayangNya. sentiasa memberikan peringatan kepada hambaNya kerana sifat mereka yang amat lemah dan tidak berdaya, tidak memiliki apa jua kekuatan pun. Kekuatan hanya bila bersandarkan kepada Allah yang Maha Berkuasa!    

Dalam satu hadis Qudsi, Allah berfirman.......
" Barangsiapa yang mengingatKu dengan berzikir dalam dirinya, Aku pun akan mengingatnya dalam diriKu. Dan barangsiapa yang mengingatKu dalam kelompok, maka aku akan mengingatnya dalam kelompok yang lebih baik daripadanya." (Hadith Riwayat Bukhari)

Alangkah bahagia hati dan perasaan kita  bila Allah ingat akan kita! Suatu kebesaran dan penghormatan yanng tidak diboleh dibayangkan dan difikirkan oleh manusia. Siapalah kita manusia yang hina dan kerdil ini yang hanya merupakan setitik debu jika dibandingkan dengan alam raya milik Allah  yang luas ini! Namun betapa besarnya kurniaan Allah kepada hambaNya yang beriman yang sentiasa ingat padaNya.

 Bayangkan, Allah Pemilik Seluruh Alam mengingati kita yang sekecil debu, tidak punya apa-apa, yang sangat lemah ini bila kita ingat padaNya!!

Bayangkan pula jika di dunia ini bila kita dingati oleh bos kita, pembesar negeri atau yang lebih tinggi dari itu, perdana menteri atau raja yang memerintah!  Antara ramai manusia,  kita dingatinya. Tentulah kita rasa bangga, gembira diberikan penghormatan sedemikian. Inikan pula Allah yang merupakan Raja dari segala raja, Penguasa Alam ini, Pemilik kita yang ingat pada kita jika kita selalu ingat padaNya! Subhanallah, Allahu Akbar, Maha Peyantunnya Allah pada kita............tidak terungkap kata-kata selain segala pujian hanya milikNya jua!

Kasihsayang Allah kepada hambaNya yang beriman yang selalu ingat padaNya dengan mengeluarkan hambaNya dari kegelapan kepada cahaya. Cahaya Allah itu itu satu, berhubungan dan mencakupi atas segala sesuatu. CahayaNya menyinari hati , menerangi ruh-ruh, menunjukkan jalan menuju fitrah yang salimah iaitu jalan yang lurus dan terang yang mendamaikan jiwa. 

Kasihsayang Allah kepada hambaNya yang beriman yang selalu ingatnya padaNya dengan memberikan rahmat dan malaikatNya  sentiasa mendoakan dan memintakan keampunan dari Allah  akan dosa-dosa dan kesalahan mereka. Sesungguhnya,  kita sangat memerlukan ini, kerana kita manusia ini selalu berbuat dosa dan kesalahan, kita tidak dapat lari hakikat ini.  Manusia ini memang selalu lalai, lupa dan berbuat dosa!

Jadi apabila kita berzikir pada Allah dengan berdoa dan munajat, beristighfar dengan penuh keikhlasan hati Allah mendengar segala permohonan kita , menerima taubat dan menghapuskan segala kesalahan dan dosa kita.  Renungilah firman Allah ini..........
" Dan orang-orang itu apabila dia mengerjakan perbuatan keji atau menganiya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun kepadaNya terhadap dosanya.  Siapakah lagi yang akan mengampuni dosa selain Allah? Dan mereka tidak mengulangi lagi perbuatan yang buruk itu sedang mereka mengetahui. Balasan untuk orang seperti itu ialah ampunan dari Tuhan dan syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya, mereka kekal di dalamnya dan sangat baiklah balasannya bagi orang yang bekerja."  (Surah Ali-Imran: 135-136)

Firman Allah lagi yang bermaksud........
" Salam penghormatan kepada mereka (orang-orang Mukmin tu) pada hari mereka menemuiNya ialah Salam Dan Dia menyediakan pahala yang mulia bagi mereka." (Surah Al-Ahzab:44)

Pada hari akhirat nanti orang Mukmin itu akan selamat dan damai dari segala ketakutan, keletihan dan kepayahan yang menyelubungi. Mereka di sambut dengan salam penghormatan dari Allah yang dibawa oleh malaikat kepada mereka dari segala pintu.  Ucapan sambutan dan selamat dari sisi Allah yang Maha Tinggi yang menyediakan pahala yang mulia di atas semua amal yang telah dilakukan di dunia. 

Di akhirat adalah tempat menuai hasil sementara dunia pula tempat kita bertungkus lumus beramal mencari keredhaan Allah dalam hidup ini. Tidak akan dipersia-siakan amal kita walaupun sebesar zarah pun asal kita ikhlas pada Allah.  Sementara Allah masih memberikan kita peluang berada di dunia ini, masih bernafas lagi, inilah hakikat yang perlu kita sedari! 

Tiada kesusahan  seperti kesusahan hari akhirat!  Susah payah kita yang sedikit di dunia ini akan dapat menebus kesusahan dan kepayahan kita di akhirat nanti. Begitu  jua kesenangan sebenarnya adalah bila kita kembali pada Allah di akhirat nanti! Jadi janganlah kita tertipu dengan dunia dan segala kemewahan dan kesenangan yang sedikit itu.

Justru itu, jadilah  kita seorang manusia yang bijak, berwawasan jauh nun menjangkau hari akhirat memikirkan kesudahan kita nanti. Sesungguhnya apa yang ada di sisi Allah itu lebih baik dan abadi berbanding apa yang ada di dunia ini dan disisi manusia!!

Rujukan
Tafsir Fizilalil Quran (Syed Qutb)
111 Wasiat Rasulullah saw untuk wanita solehah.

Wednesday, February 23, 2011

Peringatan tentang tipu daya dunia....

Bismillahirrahmanirrahim.......

Rasulullah saw telah memperingatkan kita tentang  penyakit yang menimpa umatnya di akhir zaman iaitu takutkan mati dan cintakan dunia. Kedua-dua penyakit ini sebenarnya melemahkan tekad untuk mujahadah diri, tiada semangat juang untuk akhirat, sukakan kerehatan dan kesenangan dan selalunya suka mementingkan diri sendiri. Sebenarnya banyaknya peringatan dari Al-Quran dan Hadith Rasul tentang tipu daya dunia ini di antaranya......... 

Firman Allah yang bermaksud.....
" Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu lalai kerana harta benda dan anak-anak kamu dari mengingati Allah.  Barangsiapa yang berbuat demikian, maka mereka itulah orang yang merugi." 
( Surah Al- Munafiqun: 9)  

"Sesungguhnya harta bendamu dan anak-anakmu menjadi cubaan bagimu.  Disisi Allah pahala yang besar." ( Surah At-Taghabun : 15)

" Jangan sekali-kali.  Sesungguhnya manusia itu amat derhaka, kerana ia melihat dirinya telah kaya raya."  (Surah Al-Alaq: 6-7)

" Kamu telah dilalaikan oleh perlumbaan ( memperbanyakkan harta benda dan anak-anak)." 
(Surah At-Takaathur : 1)   

Sebagai Muslim, kita perlu sedar apakah matlamat hidup ini.....adakah kita hidup ini semata-mata untuk dunia  tanpa adanya tujuan tersirat untuk akhirat? Dalam kita mencari dunia kita, bekerja membanting tulang dari pagi ke petang kadang-kadang sampai ke malam samada di ofis ke, di sawah ladang ke, di syarikat besar ke.....adakah kita sentiasa  ingat  akan matlamat kita bekerja? Begitu juga dalam mengejar pangkat dan kedudukan, mengejar sijil dunia dengan degree kita , masters dan Phd kita.......apa tujuan kita belajar setinggi mungkin..... mendapat jawatan dan pangkat  tinggi , nak dapat kerja bagus, bergaji mahal di syarikat berprestij?  

Apa pun yang ada dalam fikiran kita, sebenarnya kita tidak boleh lari dari hakikat.........bekerjalah di dunia ini untuk mencari akhiratmu! Islam tidak melarang kita berusaha untuk dunia, menjadi kaya, berjawatan tinggi, berpendidikan tinggi.........semua itu adalah kekuatan yang perlu dicari...kekuatan yang perlu kita manfaatkan untuk kepentingan Islam, bukan hanya untuk diri dan keluarga sendiri sahaja, dan seterusnya dilalaikan dengan apa yang diperolehi, tidak ingat Allah dan sombong diri! Merasakan apa yang dia dapat adalah haknya yang mutlak dari titik peluh sendiri tanpa sedikit pun menyedari seluruh rezeki ini hanya datangnya dari Allah SWT yang dipinjamkan kepada manusia.
 Bila-bila masa Allah boleh tarik balik!

Rasulullah memperingatkan dalam hadithnya yang bermaksud......
" Gila harta dan kedudukan, kedua-duanya menumbuhkan kemunafiqan dalam hati bagai air menumbuhkan sayuran..."

Rasulullah pernah ditanyakan...." Siapakah umatmu yang terburuk?'  Baginda menjawab, " Orang-orang kaya."   Iaitu orang  kaya yang menumpukkan hartanya, bakhil dalam mengeluarkan zakat dan bersedekah, tidak peduli akan penderitaan orang lain sedangkan dia mampu menolong, sombong dan angkuh pada orang miskin dan berkedudukan rendah........

Rasulullah bersabda lagi.....
" Akan datang sesudahmu kaum kaum yang makan makanan yang terlazat, menunggang kuda yang terelok, mengahwini wanita yang tercantik, memakai pakaian yang terbaik, namun perut mereka tidak pernah kenyang, nafsu mereka tidak pernah puas juga.  Mereka memburu dunia pagi dan petang. Mereka jadikan dunia sebagai Tuhan. Lalu mereka patuhi perintahnya dan mereka perturutkan keinginannya."

Sebenarnya kita berada di zaman yang disebutkan Rasulullah itu! Di zaman ini, orang tidak mahu lagi memberi salam dan menyebarkan salam kecuali terpaksa, menziarahi orang sakit, menghantar jenazah dan menghormati orang tua, berlumba-lumba mengejar dunia........... Keadaan sebegini sebenarnya merobohkan Islam!

Pernah disuatu ketika seorang lelaki berkata pada Rasulullah, " Ya Rasulullah , aku tidak suka mati."  Rasulullah bertanya," Adakah kamu punya harta?" Lelaki itu menjawab," Ya."  Rasulullah berkata, 
" Dahulukan (Sedekahkanlah) harta mu. Sungguh,  hati orang mukmin bersamanya. Jika dia didahulukan (hartanya disedekahkan), tentu suka akan menyusul (suka mati) .  Jika disimpan sahaja (hartanya), ia pun suka tinggal bersamanya ( tidak suka mati). 

Rasulullah saw bersabda.......
"Ada tiga hal yang mengikuti manusia.  Yang pertama iaitu mengikuti sampai roh tercabut. Kedua , mengikutinya sampai ke kuburnya dan ketiga mengikutinya sampai ke padang Mahsyar. Yang hanya sampai sehingga nyawa tercabut adalah hartanya. Yang menghantarnya sampai ke kubur adalah keluarganya. Yang menghantarnya sampai ke padang Mahsyar adalah amalnya."

Seorang sahabat Rasulullah iaitu Salman Al-Farisi mengirimkan surat kepada Abu Darda memperingatkannya tentang harta ,"  Hai saudaraku, takutlah mengumpulkan harta yang tidak kamu syukuri, ku dengar Rasulullah bersabda.............
' Didatangkan pemilik dunia yang dibuatnya untuk taat akan harta yang ada di depannya. Di saat dia meniti titian Sirat, hartanya berkata  "Lalulah, kamu telah menunaikan hak Allah padaku." Kemudian di datangkan pula pemilik dunia yang tidak dibuatnya untuk taat akan harta yang ada di depannya.  Ketika dia meniti titian Sirat, hartanya berkata," Celaka , kamu tidak memberikan hak Allah kepada yang sepatutnya. " Demikianlah seterusnya sehingga dia meratap dan menjerit.'

Harta kita yang sebenarnya adalah harta yang dimanfaatkan di atas jalan Allah, bukan harta yang disimpan dan ditumpukkan . Harta tersebut  yang kita tidak belanjakan atas jalan Allah akan jadi musibah bagi kita nanti di akhirat dan ia akan melaknat kita! 

Sama-sama kita merenungkan hadith ini.....
" Ketika seorang hamba meninggal dunia malaikat berkata," Apa yang telah dia sedekahkan? Dan manusia pula bertanya, " Apa yang dia tinggalkan?"

Manusia sibuk menanyakan tentang harta yang ditinggalkan oleh simati pada saat kematiannya sedangkan malaikat menanyakan tentang harta yang dia sedekahkan yang akan dibawa pulang bersamanya ke akhirat!  Jadi amatlah rugi kita pulang kepada Allah dengan harta yang sedikit atau tiada langsung.....sedangkan didunia kita adalah orang yang kaya raya! Rasulullah berpesan pada kita supaya janganlah jadi hamba abdi kepada dunia  kerana sesiapa yang memuliakan dirham(wang/harta) akan dihinakan Allah!

Begitulah peringatan dari  Rasulullah kepada umat yang dicintainya.....supaya awas dengan tipu daya dunia ini.  Ramai orang boleh tahan sabar dengan ujian kesusahan dan penderitaan tapi hanya sedikit yang mampu bertahan dengan ujian harta dan kesenangan. Memang kejadian manusia itu Allah ciptakan dengan berbagai kelemahan .... salah satu nya bakhil dan kikirnya denga harta 'miliknya'!

Kesusahan dan penderitaan akan menjadikan diri manusia itu kuat dan cekal hatinya, tapi kesenangan akan menjadikan dia manja, lembik dan kurang daya ketahanan. Kesedihan dan kekecewaan akan menjadikan manusia itu patah semangat dan hilang kekuatan diri.  Jadi  jangan biarkan diri bergelumang dalam kesenangan dan kesedihan!! Binalah kekuatan diri.....Ingatlah Allah sentiasa bersama kita asal kita ikhlas, sabar dan redha akan segala ketentuanNya!

Rujukan
Penenang jiwa , Pengubatan dan Rawatan
Imam Al-Ghazali

Tuesday, February 22, 2011

Wasiat pertama dari Luqman Al-Hakim- Janganlah kamu menyengutukan Allah!

Bismillahirrahmanirrahim...

Allah berfirman melalui lisan Luqman yang bermaksud......
" Dan ingatlah ketika  Luqman berkata kepada anaknya semasa dia memberi nasihat kepadanya: 'Wahai anak kesayanganku, Janganlah kamu menyengutukan Allah(dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu satu kezaliman yang besar."  (Surah Luqman, 31:13)

Luqman yang merupakan seorang yang diberi Allah hikmah dan kebijaksanaan memberikan wasiat utama yang paling penting yang mesti di berikan oleh seorang bapa kepada anak kesayangannya iaitu janganlah sekali-kali sianak menyengutukan Allah yang merupakan satu kezaliman besar dan punca mendapat kecelakaan di dunia dan akhirat!

 Nasihat yang diberikan dengan penuh kasih sayang kerana.........melalui perasaan kasih sayang dari jiwa bapa inilah yang  membuatkan si anak memasang telinga dan seluruh jiwa raganya  untuk menerima nasihat ikhlas seorang ayah yang hanya menginginkan hanya kebaikan dari anaknya. 

Satu iktibar bagi kita apabila ingin menasihati anak atau sesiapa sahaja  perlunya ada rasa kasih sayang dalam diri dan pentingnya wujudnya jambatan hati yang menghubungkan jiwa supaya nasihat dapat diterima dengan baik .......bukannya terus menasihati dengan marah atau tanpa berfikir panjang atau melakukan sesuatu tindakan melulu sehingga akhirnya boleh merenggangkan hubungan, berkecil hati dsb...! Walaupun niat asalnya baik, namun jika diberi nasihat tanpa hikmah, maka natijah yang hajati tidak diperolehi....sebaliknya si anak atau saudara kita, sahabat kita semakin menjauhkan diri dari kita!! Tentu kita tidak inginkan sedemikian! 

 Tidak semua orang dapat menerima nasihat yang keras atau direct....jiwa manusia ini ada berbagai-bagai...... yang lembut, yang sensitif,  yang keras.......jadi perlunya berinteraksi dengan jiwa manusia itu dengan hikmah. Dan sebenarnya nasihat yang datangnya dari hati yang penuh kasih sayang tidak pernah ditolak oleh jiwa manusia!

Sebenarnya nasihat dan peringatan  yang datangnya dari hati akan masuk ke hati. Namun,  sebelum itu perlu ada persediaan jiwa  dari pemberi nasihat dan penerima nasihat. Yang memberi nasihat tidak boleh ada rasa ego atau tinggi diri dialah yang lebih baik, sementara yang menerima nasihat perlu ada kerendahan hati , mengakui kesilapan, insaf diri dan ingin memperbaiki diri dalam menerima nasihat dari orang lain.  Nasihat yang diberikan juga perlu berhikmah umpama menarik dengan teliti sehelai rambut dari tepung.......walaupun.rambut dapat di tarik keluar namun tepung tidak terusik! Begitu indahnya tarbiah Islam dalam menjaga hubungan sesama manusia walaupun dengan anak dan keluarga sendiri!

Nasihat  Luqman yang penuh kasih sayang kepada anaknya  supaya jangan mensyirikkan Allah dalam kehidupan kerana syirik adalah dosa terbesar di sisi Allah. Ia merosakkan rububiyyah Allah, menghina uluhiyyah Allah dan berburuk sangka dengan Allah.  Semua dosa lain diampun oleh Allah kecuali syirik dan perlu betul-betul bertaubat dengan taubat nasuha untuk melepaskan diri dari dosa syirik ini. Firman Allah tentang hal ini dalam surah An-Nisa : 48 yang bermaksud..........

" Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa (syirik) menyengutukanNya dan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya .  Dan sesiapa yang menyengutukan Allah, sesungguhnya dia telah melakukan satu dosa yang besar."

Menurut seorang ulama Syaikh Sulaiman bin Abdurrahman Al-Hamdan , orang yang bertauhid dan beriman dengan Allah harus takut dan sentiasa waspada tentang syirik, mengenali sebab-sebabnya, mediumnya dan jenis-jenisnya agar tidak terjatuhkan kedalam syirik tanpa disedari.

Seorang sahabat Rasulullah saw,  Hudzaifah bin Al-Yaman berkata, " Orang ramai bertanyakan kepada Rasulullah tentang kebaikan sedangkan aku bertanya tentang keburukan kerana saya khuatir kalau terjatuh kedalamnya." Ini disebabkan kejahilan boleh mengarah kepada kemungkaran dan kekufuran.  Sayyidina Umar Al-Khattab berkata tentang hal ini," Tali Islam akan terurai sedikit demi sedikit apabila orang yang berada dalam Islam tidak mengenali kejahiliyahan."

Syirik dalam kaitan dengan amal perbuatan umpama api dan kayu, ia memakan dan membakar amal! 
Syirik mengugurkan amal secara keseluruhannya tak kiralah ianya syirik kecil atau besar!  Jadi perlu adanya rasa takut dalam hati kita akan syirik yang sangat merbahaya ini. Antara sebab kenapa perlunya ada rasa takut ini adalah kerana....
  • Syirik adalah satu kezaliman dan dosa yang paling besar dan tidak terampun. Ia mengurangkan hak-hak Allah SWT dengan memberikan hakNya kepada yang lain selainNya lantas menyengutukanNya. Sedangkan Allah yang Maha Agung dan Maha Berkuasa tidak layak disamakan dengan yang makhluk  yang lemah yang tidak punya ada apa-apa kuasa! 
  • Hakikatnya seluruh urusan kehidupan ini dan perjalanan seluruh alam semesta ini berada di dalam tangan Allah SWT dan segala urusan kembali kepadaNya. Apa yang Allah kehendaki pasti terjadi manakala mana yang tidak dikehendakiNya tidak akan terjadi. Tiada sesiapa yang boleh menghalangi pemberianNya dan rahmatNya. Keyakinan sebeginilah perlu menghunjam di hati kita. Tanpa keyakinan ini atau kurangnya keyakinan ini, kita akan mudah tersasar dalam melayari bahtera kehidupan yang penuh pancaroba ini.............. 
  • Syirik merupakan kemuncak pembangkangan terhadap Rabb seluruh alam, angkuh dan sombong kepada Allah, tidak tunduk dan patuh padaNya. Tiada kebaikan pada seluruh alam kecuali dengan hanya tunduk dan patuh padaNya dan mengakui kekuasaanNya yang tiada tandingannya. Tanpa sifat tunduk dan patuh pada Allah, seluruh alam ini akan runtuh dan hancur! Bila tiada lagi tunduk dan patuhnya manusia pada Allah, di ketika itu akan berlakulah kiamat seperti sabda Rasulullah yang bermaksud........." Kiamat tidak akan berlaku sehingga dibumi ini tiada lagi menyebut Allah, Allah." (Hadith Riwayat Muslim)
Membuat tandingan selain Allah ini terbahagi 2 jenis iaitu yang pertama menjadikan tandingan berupa makhluk Allah  sebagi sekutuNya  dalam ibadah.  Dengan kata lain, terang-terang menyembah selain Allah sebagai Tuhan, seperti berhala, bulan bintang dan sebagainya....ini adalah syirik besar dan pelakunya akan kekal dalam neraka dan menerima azabNya. Ia hanya boleh diampun dengan bertaubat.

Yang kedua, adalah syirik kecil iaitu membuat tandingan selain Allah dalam ucapan seperti mengatakan, "Andaikata Allah dan saya menghendaki.........andainya bukan kerana alarm yang saya pasang ini, tentu pencuri akan masuk ke rumah.....andainya kalau tak makan ubat ini, tentu penyakitnya akan bertambah melarat! Sebenar segala sesuatu mestilah disandarkan hanya pada Allah sahaja, bukan pada sesuatu selain Allah. Memakan ubat dan pasang alarm hanya ikhtiar kita saja untuk mengelakkan sesuatu yang tidak diingini, tapi yang menentukan akan sesuatu kejadian itu hanya dengan izin Allah jua!! Jadi hati-hatilah dengan apa yang kita ucapkan...........

Rasulullah saw bersabda,'  Sesungguhnya yang paling aku takutkan terhadap kamu adalah syirik yang kecil.'  Para sahabat pun bertanya,' Apakan syirik yang kecil itu, ya Rasulullah?'  Rasulullah menjawab, ' Riya.'  Hati yang riya iaitu menunjuk- nunjuk dalam amal juga tergolong dalam syirik kecil. Pernah disabitkan oleh baginda syirik yang kecil ini kadang-kadang sukar dikesan umpama semut yang hitam yang berjalan diatas batu yang hitam dalam malam yang gelap gelita.  Jadi selalulah memohon bantuan dari Allah untuk menghidari diri kita dari penyakit hati yang merbahaya ini!

Walaupun sahabat-sahabat Rasulullah saw ini mempunyai keimanan yang kuat dan ilmu yang mantap, tetapi Rasulullah tetap khuatir jika syirik kecil ini menimpa sahabatnya.  Apatah lagi kita! Dengan iman setipis kulit ari, tidak mantap dan banyak ragu-ragu, ilmu yang sedikit .....sepatutnya kita perlu rasa sangat khuatir dan sangat takut syirik ini menimpa kita! Ia akan merosakkan seluruh amal kita yang tidak seberapa ini.......sehingga tiada apa lagi yang tinggal....kita muflis disisi Allah SWT!

Sebagai Muslim, kita perlu tahu dan faham sebenarnya iman dan aqidah tauhid adalah tunjang atau asas kepada bangunan Islam. Tanpa tunjang atau asas yang kukuh bangunan Islam akan goyang dan boleh runtuh.  Jadi semakin tinggi sesebuah bangunan itu kita nak bina,  semakin perlunya asas bangunan itu lebih kukuh. Begitu juga dengan bangunan Islam! Kukuhkan asasnya...... tingkatkan amal soleh, ajak kepada maaruf dan cegah kemungkaran, bina individu muslim, keluarga muslim, masyarakat Muslim, tegakkan daulah Islamiah........ Semua ini memerlukan kepada asas yang kukuh yang tertanam dijiwa....iaitu keimanan yang kuat pada Allah SWT. Inilah benteng diri yang kukuh dalam diri Muslim yang memampukan diri untuk bertahan menghadapi ujian Allah SWT.

Jadi perlu kita fahami untuk melakukan pembaikan diri, keluarga dan masyarakat..........mestilah dimulakan dengan menanamkan benih iman, menjaganya agar tidak rosak, memperkuatkannya setiap masa......dengan itu ia dapat mengubah hati manusia yang sebenarnya kadang-kadang lebih keras dari batu. Jalan untuk memperbaiki dan meningkat diri selain dari jalan akidah tauhid ini akan menemui jalan buntu, sukar, kasar,  banyak halangan , dan tidak mampu menghadapi godaan dunia yang hebat ini...........

Inlah satu-satunya jalan bagi mereka yang ikhlas,  ingin kembali kepada Allah... iaitu jalan dengan mengukuhkan  asas iman dengan mengenali Allah dengan pengenalan hati yang sebenarnya, mengenali nama dan sifat-sifatNya yang mulia, mengenali apakah perintah dan laranganNya......dan setelah itu memurnikan seluruh ketaatan dan ketundukan hanya pada Allah dan Rasul  semata-mata!  

Ayuh, marilah kita bangunkan hati kita atas dasar makrifatullah ini....nescaya bangunan Islam yang ingin kita bina dalam diri dan keluarga kita akan kukuh dan mantap.  Yakinilah, sebenarnya tiada jalan alternatif yang lain untuk sampai kepada keredhaan Allah, melainkan jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah tercinta!

Friday, February 18, 2011

Wasiat dari Rasulullah- Jauhilah perasaan buruk sangka!

Bismillahirrahmanirrahim.........

Sesungguhnya Muslim yang sejati tidak akan mudah bersangka buruk pada orang lain. Fikirannya tidak tergamak menyangka yang bukan-bukan pada orang lain sedangkan ia mungkin khayalannya sahaja dan orang tersebut tidaklah seperti yang disangkakan!

Firman Allah dalam surah Al-Hujurat ayat 12 yang bermaksud....
" Hai orang-orang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu adalah dosa."

Malah Rasulullah juga mengecam tentang prasangka buruk antara sesama Muslim dalam satu hadisnya yang bermaksud............
" Awaslah terhadap buruk sangka, kerana sesungguhnya sangkaan itu adalah perkataan yang paling bohong."   (Muttafaq alaihi)

Rasulullah melarang kita berburuk sangka dan menyuruh kita supaya memandang perbuatan lahir manusia sahaja tanpa menggantungkan diri pada prasangka. Ini adalah kerana tiada manusia yang dapat mengetahui rahasia yang tersembunyi di dalam hati sesaorang kecuali Allah SWT sahaja. Kita hanya boleh menghukum sesaorang berdasarkan kesalahan zahir yang nampak, tapi apa yang berada dalam hatinya perlu diserahkan kepada Allah untuk dihisab olehNya.

Sebenarnya sebagai seorang muslim yang bertakwa kepada Allah sewajarnya lah kita selalu berwaspada dari setiap patah perkataan yang kita ucapkan dan berfikir panjang sebelum menjatuhkan sesuatu keputusan dan  hukuman.  Kita hendaklah menjadikan firman Allah ini sebagai pedoman kita.....
"  Dan kamu janganlah mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya, sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati itu semuanya akan di minta di pertanggungjawabkan." (Surah  Al-Isra :36)

 Jadi sebagai Muslim sejati yang tunduk patuh pada petunjuk hidayah ini, kita tidak bercakap, tidak bertindak tanpa ilmu dan tidak menjatuhkan hukuman melainkan dengan keyakinan hati kita!

Kita sepatutnya rasa takut menuduh dan bersangka buruk pada orang lain kerana sebenarnya dalam diri kita sentiasa ada malaikat yang mengikuti kita dan mencatatkan segala tingkah laku kita zahir dan batin. Firman Allah yang bermaksud....
" Tiada suatu ucapan pun yang diucapkan melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir." (Surah Qaaf: 18)

Setiap patah perkataan kita akan dipertanggungjawabkan. Jadi,  perlu pertimbangkan sebelum kita mengeluar setiap patah perkataan, fikirkan adakah apa yang kita akan ucapkan itu mendapat keredhaan Allah atau mendapatkan kemurkaanNya. Dan selalunya, apa kita ucapkan itu sesuai dengan apa yang kita persangkakan! Jadi sekatlah ia dari awal-awal lagi dengan membuang prasangka buruk itu terlebih dahulu! Lebih baik banyak diam dari mengeluarkan kata-kata yang tidak tentu kesohehannya dan boleh menyakiti hati orang lain dan merenggangkan tali silaturrahim!  

Tapi kadang-kadang kita manusia ini cukup terburu-buru dalam cakap dan tindakan kita tanpa memikirkan implikasinya! Sesungguhnya terburu-buru itu dari syaitan, jadi biarlah lambat dan berhati-hati , asalkan kita selamat dari kemurkaan Allah SWT akibat tindakan kita. Bersihkan hati kita, jauhkan diri dari prasangka yang bukan-bukan sebab setiap prasangka itu akan membawa kepada malapetaka an dosa!  

Rujukan
111 wasiat Rasulullah saw untuk wanita solehah
Drs.Kasmuri Selamat

Thursday, February 17, 2011

Meresapi kebesaran Allah dalam diri.......

Bismillahirrahmanirrahim............

Saban hari , sebagai Muslim, kita sering menyebut kalimah Allahu Akbar, setidak-tidaknya dalam solat kita setiap hari. Namun,  adakah kalimah itu benar-benar meresapi dalam jiwa kita?  Atau cuma ucapan dibibir sahaja tapi tidak dirasai benar-benar hakikat sebenar kebesaran Allah tersebut di hati kita?

Inti pati atau ciri-ciri keimanan adalah merasakan kebesaran dan keagungan Allah SWT di dalam diri pada setiap masa dan ketika dan dalam semua keadaan. Pendekata tebal atau nipisnya iman bergantung pada apa yang kita rasa di jiwa  ini. Iman yang hidup dihati sahajalah yang akan mampu  melahirkan amal soleh yang hanya ditujukan kepada Allah SWT. Amal-amal soleh yang dilaksanakan seterusnya akan menambahkan pula keimanan dijiwa.! 

Sebagaimana yang ditegaskan oleh seorang sahabat Jundub al-Bajali, katanya..........
"Pada waktu muda, kami selalu menyertai Nabi. Kemudian kami belajar tentang iman terlebih dahulu sebelum mempelajari Al-Quran. Setelah selesai barulah kami mempelajari Al-Quran dan ternyata  iman kami dapat bertambah. Tetapi sekarang, kalian belajar tentang Al-Quran terlebih dahulu sebelum belajar tentang iman."

Jadi iman ini kena dipelajari iaitu memfokuskan usaha untuk mengetahui tatacara bagaimana menumpukan perhatian dan perasaan terhadap Allah dan mengetahui bagaimana proses memasukkan cahaya inti keimanan kedalam hati. Apabila iman sudah memasuki jiwa ia akan mampu mempengaruhi perasaan manusia, membentuk dasar-dasar keimanan dan seterusnya melaksanakan tuntutan keimanan tersebut. 

Sebaliknya hati yang tidak yakin dan tidak beriman dengan Allah akan menyebabkan si pemilik hati tersebut tidak rasa nikmat melakukan amal ibadah, amal  yang dibuat cukup minima, dibuat dengan rasa malas dan terpaksa sahaja! Begitu pentingnya keyakinan dan iman  dijiwa ini!  

Jadi semestinya, binalah dan tanamlah keyakinan dan iman dalam diri ini setiap masa.....Dalam melaksanakana sesuatu kerja atau amal   ibadah, sentiasalah kita memohon pertolonganNya, Allah berada di mana-mana, malah dekatnya  Allah pada kita lebih lagi dari dekatnya urat leher dalam badan kita! Renungi firman Allah ini dalam surah Qaf ayat 16 yang bermaksud.....
" Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya."

FirmanNya lagi dalam surah Al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud.....
" Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang aku (maka jawablah), Bahawasanya Aku dekat. Aku mengabulkan permhonan orang yang memohon apabila ia memohon kepadaKu. Maka laksanakanlah perintahKu dan berimanlah kepadaKu."  

Walaupun begitu dekatnya Allah dengan kita,  tapi ramai dari kita yang    merasakan Allah itu jauh malah ada yang tak rasa  atau lupa langsung akan keterdekatan Allah . Bila ini terjadi mereka akan sanggup melanggar perintah Allah, membuat maksiat malah angkuh dan sombong mempersendakan apa yang diperintahkan Allah.  Sebenarnya dalam hati sebegini ada hijab atau tabir yang menyelubungi jiwa sehingga hatinya jadi gelap, buta dan keras tidak mampu merasai kebesaran dan keagungan Allah, tidak takut padaNya! Nauzubillahiminzalik.....mohon perlindungan dari Allah akan hati sebegini....ini satu musibah besar pada kita!

Jadi kita sendirilah yang boleh menilai kedudukan hati kita.  Sensitif ke, takut ke.......semuanya berada dijiwa kita. Kita tahu punca segala kebahagiaan itu letaknya di hati..........dan hati yang paling bahagia bila ia merasai manis dan nikmatnya iman! Bagaimana rasanya ? Wallahualam....sesuatu yang sukar kita gambarkan dengan kata-kata..........ia adalah rasa yang Allah campakkan kedalam jiwa-jiwa mereka yang ikhlas bermujahadah padanya dengan sungguh-sungguh!

Sebenarnya kemanisan iman ini boleh dicapai melalui dua jalan.....
  • jalan musyahadah (memperhati dan mempersaksikan ).
 Dengan menyendiri, bertafakur memperhatikan keajaiban alam ini dan  segala isinya, insyaAllah  kita akan dapat merasakan kehebatan Allah SWT. Juga  di keheningan malam yang sepi menerusi tahajjud, munajat doa dan istigfar,   renungan akan hina dan kerdilnya diri ini dan membandingkannya dengan keagungan dan kebesaran Allah SWT, dapat meresapi kehebatan Allah SWT dalam diri.

Pandanglah  kejadian diri sendiri,  diluar diri kita seperti binatang, pokok dan tumbuhan yang berbagai jenis, kejadian siang dan malam, bulan dan bintang, alam cakerawala yang terbentang luas tidak bertepi ini dengan pandangan mata hati......supaya hati kita tersentuh dan merasai terlalu hebatnya kekuasaan dan kebesaran Allah SWT, tiada kata-kata yang boleh mengungkapkannya!! Dengan itu akan tertingkatnya iman dan takwa dijiwa kita padaNya!

 Bila tertingkatnya iman, hati akan bertambah khusyuk, lidah akan lancar dan basah berzikir pada Allah, badan akan ringan beribadah, usaha akan bertambah giat mencari ilmu Allah dan sentiasa berfikir bagaimanakah jalan untuk mencari keredhaanNya. Hati juga akan rasa benci melakukan kejahatan sepertimana benci dan  takutnya dicampakkan ke dalam api neraka. Di kala itu barulah jiwa akan merasai kelazatan dan kemanisan iman dan hubungan yang erat dengan Allah disebabkan keredhaan Allah pada diri kita. 

Namun bukan semudah itu untuk mendapatkannya! Proses musyahadah ini perlu kita jalankan secara konsisten sehingga ia menjadi satu kebiasaan yang mendarah daging dalam diri kita. Sehingga terasa benarnya dihati kita akan kebesaran dan kekuasaan Allah dan merasakan tiada sesuatu pun yang Allah jadikan di alam ini  secara sia-sia. Setiap sesuatu kejadian itu ada hikmah yang tersembunyi yang di luar kemampuan kita untuk memikirkannya! 
  • jalan muraqabah dan mendekatkan diri kepada Allah
Jalan muraqabah ini dilalui dengan melakukan semua amalan wajib dan ditambah dengan amalan-amalan sunat dengan kemampuan diri yang ada. Memperhatikan segala larangan dan suruhan Allah dengan teliti, berusaha melaksanakannya sebaik mungkin terutama yang bersangkutan hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia.

Pelaksanakan ibadah ini dengan khusyuk  dapat menghilangkan kesan kemaksiatan dan kelalaian dalam jiwa . Hati dihubungkan secara terus dalam ibadah -ibadah ini di mana dengan zikir, doa, istigfar, munajat padaNya dapat membina jambatan hati dengan Allah  sehingga hati merasakan begitu dekatnya dengan Allah, merasakan Allah mendengar segala rintihan dan rayuan, merasakan kehadiran Allah di mana jua! 

Jadi sebagai insan yang diselaputi dengan berbagai kelemahan diri, apabila hati kita jauh dengan Allah itulah punca segala permasalahan jiwa..............tiada ketenangan, sentiasa resah gelisah, tiada kekuatan. Jadi kembalikan ketenangan dijiwa ini dengan mengembalikan semula hati kepada PenciptaNya. Sebagaimana seorang anak kecil yang kehilangan ibunya, dia menangis dan merintih mencari-cari  di manakah ibunya ......tapi alangkah gembiranya hati sianak melihat wajah ibu tersayang, terus berlari kedalam dakapan ibu tidak mahu dilepaskan takut kehilangan semula !

Begitulah juga hati kita ini....... Hati kita sebenarnya merintih selalu kerana kehilangan Allah dalam sanubarinya....cuma kita sahaja yang tidak sedar. Justru itu, berlarilah kita kepada Allah...........disitulah terdapatnya cinta hakiki, ketenangan dan kebahagiaan abadi. Ingatlah di sebalik itu hanya kepura-puraan dan palsu belaka!!

Rujukan
Berdialog dengan Allah di keheningan malam

Monday, February 14, 2011

Bagaimana Islam membentuk keperibadian Rabbani dalam jiwa dan kehidupan manusia

Bismillahirrahmanirrahim...

Keperibadian seorang Muslim adalah keperibadian yang bersifat Rabbani di mana ianya lahir dalam jiwa dan kehidupannya. Ia bukan terbentuk secara kebetulan dan lahir begitu saja tapi perlu melalui kaedah dan jalan-jalan tertentu yang perlu ditempuh oleh mereka yang ingin kembali pada Islam . Jalan-jalan tersebut adalah.......
  • Melalui jalan Ibadah
Ibadah merupakan roh bagi kehidupan sepertinya roh yang ada di dalam jasad. Tanpa roh jasad akan mati dan tidak berguna dan tidak mampu menjalankan fungsinya.  Begitu juga ibadah, tanpanya tiada kehidupan yang sebenar, hilanglah fungsinya  dan jadilah kehidupan itu sia-sia dan tidak berguna. Melalui ibadah sama ada wajib atau sunnat,  setiap diri dan hati orang Mukmin dapat berhubung terus  dengan Allah SWT . 


Melalui jalan ibadah khusus seperti solat , puasa, zakat, haji dan umrah dapat mendidik  dan membersihkan jiwa kita supaya kita sedar sebenarnya hanya melalui jalan ibadah pada Allah SWT sahajalah kita akan dapat membentuk keperibadian yang Allah kehendaki dan seterusnya dapat melaksanakan tanggungjawab untuk mencapai kejayaan yang hakiki. Dengan melaksanakan ibadah-ibadah ini,  dapat mengangkat martabat kita sebagai insan ke tahap yang lebih tinggi  melalui mujahadah nafsu kita.  Matlamat akhirnya semua ibadah yang dilakukan itu semata-mata atas dasar taabud hanya pada Allah SWT bukan kerana sebab-sebab yang lain! Segala kepentingan diri di tolak tepi, semuanya dibuat hanya untuk Allah, kerana Allah dan di atas jalan Allah SWT!    

Namun perlu disedari bahawa melaksanakan ibadah sama ada wajib atau sunat  bukanlah setakat  menghubungkan kita dengan Allah hanya pada saat melakukan ibadah sahaja, selepas itu kita lepas bebas tiada hubungan dengan Allah dan boleh mengikuti kehendak hawa nafsu kita sahaja! Sama sekali tidak!! Ibadah itu berperanan menanamkan iman dihati, menanam takwa kepada Allah SWT setiap masa,  membentuk keperibadian Islam dalam seluruh aspek hidup, memberi bekalan supaya sentiasa ingat pada Allah apabila lupa, menguatkan azam dan tekad bila lemah dan menerangi kehidupan dengan cahaya petunjuk bila kegelapan menyelubungi......!

Islam tidak menyukai sesaorang Muslim itu  menjadi manusia Rabbani yang berhubung dengan Allah hanya ketika berada di masjid sahaja semasa rukuk, sujud padaNya tapi di luar masjid , di luar solat lain pula ceritanya......sikap double standard jelas kelihatan...dia berubah dari insan rabbani ke insan haiwani, yang mengikut kata hati dan menuruti hawa nafsu ! Begitu juga halnya bila datang bulan Ramadan......bulan barokah ini dengan penuh ghairah dan semangat,  diisi dengan ibadah dan ketaatan, tapi bila hilangnya bulan Ramadan.......hilanglah segala yang dibuatnya pada bulan mulia itu!! Seolah-olah hanya menyembah Allah hanya di bulan Ramadhan sahaja.. Diluar bulan Ramadhan dan semasa tidak melakukan ibadah, tenggelamlah ia dalam arus kehidupan materialistik sebagaimana tenggelamnya orang-orang yang lalai!

Sebagai seorang Muslim apa yang dikehendaki dari kita adalah sentiasanya kita ada hubungan dengan Allah dimana sahja kita berada, di masjid, di jalanraya, di tempat kerja, di setiap bulan tak kira bulan Ramadhan ke atau tidak, malah di semua tempat dan keadaan. Ingatlah pesan Rasulullah kepada kita yang bermaksud.....
" Bertakwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada" (Hadith Riwayat Tarmizi).

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 115 yang bermaksud....
"Dan kepunyaan Allah lah timur dan barat, maka kemana kamu menghadap disitulah Allah.  Sesungguhnya Allah maha Luas(RahmatNya) lagi Maha Mengetahui." 
  • Melalui jalan akhlak
Islam yang datangnya dari Allah membawa sekali tatacara bagaimana kita melalui kehidupan di dunia ini dengan sistem akhlak Islam. Bagi  kita yang mengaku Muslim, akhlak kita perlulah mencontohi akhlak yang dibawa oleh Rasulullah yang lengkap dari segi kehidupan individu, keluarga dan masyarakat. Pendidikan akhlak ini perlu berjalan dalam diri sejak kita bangun tidur di pagi hari sehinggalah kita tidur semula nanti di malamnya. 

Bangunnya kita dari tidur, bila menghadap makanan, memasuki tandas malah dalam hubungan suami isteri pun ada akhlak Islam yang perlu dijaga. Dari perkara yang sekecil-kecilnya sehingga perkara yang besar, semua ini ada dalam Islam bagaimana kita sepatutnya berakhlak. Tiada satupun yang tertinggal. Lengkap dan sempurna.  Begitulah sepatutnya dalam kehidupan kita sebagai seorang yang mengaku Muslim, kita tidak pernah lupa pada Allah pencipta kita, tidak pernah lalai dalam hubungan dengan Allah malah sentiasa rasa dekat dan jinak denganNya.  Inilah keperibadian Rabbani yang sentiasa bersama dimana jua...... Dapatke kita didik diri kita sedemikian rupa? Usahakanlah secara istiqamah..................ingatlah tiada amalan yang Allah cintai melainkan yang kita buat secara istiqamah walaupun sedikit! 
  • Melalui jalan pendidikan dan pembentukan
Jalan ketiga untuk memantapkan keperibadian Rabbani inilah yang paling berkesan.  Pendidikan awal sepatutnya bermula dari rumah lagi oleh ibu bapa kemudian disekolah oleh para pendidik atau guru dimana  di kedua tempat inilah bermulanya penanaman peribadi Rabbani ke dalam hati dan fikiran anak-anak yang sedang membesar  itu.
 Pendidikan Islam yang dijalankan dirumah perlu berkesinambungan di sekolah. Jadi adalah sangat penting sekolah mana yang kita pilih untuk anak kita berada. Bukannya menghantar anak kita ke sekolah yang   hanya mengejar dan menekankan kecemarlangan akademik semata-mata  tanpa menitikberatkan akhirat dan sahsiah yang baik! Apa ertinya anak kita berjaya di dunia tapi akhiratnya.....? Sakit jiwa dan letih kita dibuatnya nanti menangani masalah demi masalah dari anak kita akibat tersalah didikan dari kita dari awal lagi!

Asalnya anak-anak ini umpama kain yang putih bersih, jadi bergantunglah kepada kedua ibubapanya yang memberikan coraknya!!  Corak Islamik ke , campur aduk atau yang non- Islamik? Umpamanya bagai  seorang pelukis di mana kertas lukisannya  ditangan, berus, pensil warna juga di tangan.....maka terpulang kepada idea si pelukis itu untuk membuat corak lukisan yang dihajati.! 

Jadi begitu pentingnya juga ibu bapa itu mempunyai idea, pemikiran dan perbadi Islamik untuk mencorakkan keperibadian Islamik dalam diri anak-anak! Tanggung jawab bapa sebagai ketua keluarga cukup besar dalam menentukan hala tuju pendidikan keluarganya. Sesungguhnya seorang bapa atau suami lebih bertanggungjawab terhadap pendidikan roh anak isterinya, tidak melalaikan tanggungjawab pendidikan ini dan lepas tangan menyerahkan sepenuhnya pendidikan ini kepada si isteri.  Seorang isteri adalah sebagai pembantu yang setia yang menguruskan hal anak-anak tapi pemantauan, perhatian dari suami sangat-sangat di perlukan. Kelalaian dan kealpaannya membawa kerosakan yang lebih dahsyat dari kelaparan dan maut iaitu kematian roh atau hati keluarganya! 

Ingatlah pesan Rasulullah saw yang bermaksud....
" Setiap orang adalah penggembala dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap gembalaannya."
(Hadith Riwayat Muslim dan Bukhari)

Sebenarnya pendidikan anak-anak ini perlu bermula sejak awal lagi....iaitu sejak awal pemilihan jodoh isteri atau suami! Bermula dengan pasangan suami isteri yang soleh inilah akan seterusnya melahirkan zuriat yang soleh....Jadi perhatikan siapa yang ingin kita jadikan calon isteri atau suami kita....bukanlah berdasarkan nafsu semata-mata! Pilihlah mereka yang beragama mengatasi ciri-ciri yang lain seperti cantik, berharta, keturunan dan sebagainya............
Sama-samalah kita renungi  Firman Allah dalam surah At-Tahrim ayat 6 yang bermaksud.....
" Hai orang-orang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintah."

Sempena bulan Maulidur Rasul yang mulia ini, sama-sama kita mengorak langkah kita mendidik diri kita dengan keperibadian Islam seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah tercinta. Bagindalah ikutan dan contoh kita, maka cintailah beliau melebihi yang lain kerana itu sebenarnya bukti kesempurnaan iman kita pada Allah dan Rasul! Dari saat ini, mulailah dengan langkah pertama kita.........insyaAllah!




Saturday, February 12, 2011

Meresapi hari kebesaran akhirat dan perjalanan menujunya!

Bismillahirrahmanirrahim...

Kehidupan kita di dunia ini tidak kekal,  hanya sementara waktu  sahaja. Setiap diri kita sebenarnya saban hari menanti giliran kita untuk di panggil pulang kepada Allah sama ada kita sedari atau tidak. Siang dan malam yang silih berganti........memendekkan masa kita di dunia dan mendekatkan  kita dengan hari terakhir kita menghirup udara dunia ini...! Aduh...... jika difikir-fikirkan takutnya kita menghadapi hari itu......apa yang akan ku bawa pulang nanti? Di mana kah tempat ku nanti?

Dunia ini dengan segala keindahannya adalah dunia yang menipu dan kita juga sering tertipu. Kesenangannya dan kesusahannya adalah sementara dan palsu belaka. Kesenangan yang dikecapi mungkin menjadi bala dan cubaan bagi kita. Kesusahannya pula mungkin membawa rahmat bagi kita. Akhirat jua lah sebenarnya tempat kita mengecapi kesenangan dan kebahagiaan yang 100% total begitu juga kesusahannya juga 100% total! Menyedari hal ini , apa perlunya kita tenggelam dalam dunia yang palsu? 

Hakikat yang perlu kita sedari, carilah bekalan sebanyak mungkin untuk perjalanan kita yang sangat jauh dan panjang nanti.  Takut-takut bila  bekalan yang kita cari dan kumpulkan habis di perjalanan akhirat kita , bolehkah kita medapatkan bekalan  tersebut semula? Sesuatu yang mustahil  terjadi kerana ketika itu kita sudah pun kembali kepadaNya!

 Di dunia ini,  apabila kita tertinggal barang keperluan, dokumen penting semasa dalam perjalanan balik kampung atau bila bermusafir, kita boleh berpatah balik atau jika kereta kita kehabisan minyak, kita boleh berhenti  mengisi minyak dan membeli barang keperluan.....Tapi boleh ke kita berpatah balik  ke dunia , setelah memulakan perjalanan akhirat kita  dari detik kematian kita untuk menambah bekalan akhirat kita? Itu tidak mungkin terjadi!! Itulah yang seharusnya setiap masa kita fikirkan, supaya kita sentiasa ingat siapa diri kita di dunia ini hanyalah umpama musafir lalu yang singgah sebentar meneruskan perjalanan menuju destinasi akhirat kita!

 Seringkali dalam melayari kehidupan dunia ini , kita kadang-kadang terlupa matlamat kita yang sebenarnya. Kita terleka dan tersasar dari jalan yang lurus namun dengan kasih sayang dan rahmat  dari Allah SWT, Dia  sering memberikan kita peringatan demi peringatan dalam bentuk ujian agar kita kembali ke pangkal jalan,  kembali ke dalam pangkuan Allah SWT.  Bagi yang sedar,  Alhamdulillah, akan tertingkatnya iman dan takwa, bertambahnya amal soleh dan komitmen dengan Islam. Namun ramai juga yang masih tidak sedar-sedar, malah makin jauh dari Allah kerana menganggap semua itu lumrah dunia tiada kaitan dengan cubaan itu sebagai peringatan dari Allah! Alangkah butanya mata hati itu, tidak merasai dan mengambil iktibar darinya!!

Jadi mengingati mati itu sesuatu yang sangat di anjurkan dimana ia  membolehkan kita menukar arah haluan hidup kita menuju  haluan yang betul. Sebenarnya ada tiga kategori  manusia dalam menghadapi kematian ini...........
  • Kategori pertama apabila mereka teringat akan mati, hatinya terasa lapang dan sukahati. Mereka adalah orang yang benar-benar berilmu, penuh iman didada akan Allah dan hari akhirat. Mereka telah mencapai makrifat terhadap Allah dan ini adalah makam tertinggi yang dimiliki para wali Allah.
  • Kategori kedua adalah orang yang teringat akan mati hatinya menjadi kecut , takut dan gementar.  Mereka adalah orang-orang kafir yang tidak sanggup berjumpa dengan Allah SWT, Meraka umpama binatang liar kepunyaan sesaorang yang apabila tuannya ingin mengambil dan menangkapnya, ia cuba melarikan diri tetapi dapat juga ditangkap secara paksa. Kematian mereka amat menghinakan.
  • Kategori ketiga  adalah orang yang merasa dukacita dan takut akan kematian. Tetapi apabila sudah mati dia merasa sukacita kerana dapat menikmati dan mengecapi alam akhirat yang lebih kekal dan lebih baik dari alam dunia yang penuh dengan kesusahan dan kesengsaraan.  Jika di beri pilihan tidak mahu kembali lagi hidup kedunia setelah mati.  Ibarat golongan ini seperti bayi yang lahir ke dunia dari perut ibunya yang menangis ketika dilahirkan. Tapi setelah mengecapi alam dunia yang lebih baik dan nyaman dari perut ibunya, ia tidak mahu kembali  ke perut ibunya meskipun diberi pilihan. Manusia yang termasuk dalam golongan ini adalah golongan Mukmin biasa .
Jadi usahakan lah diri kita termasuk dalam kategori ketiga sekurang-kurangnya. Kita berlumba-lumbalah mencari bekal akhirat kita, berlumba-lumba berbuat kebaikan dan meminimakan kesalahan dan dosa kita. Sesungguhnya jalan ke syurga itu dipenuhi onak dan duri , penuh kesusahan perlu bermujahadah selalu, manakala jalan ke neraka itu dipenuhi dengan keinginan syahwat yang hina dan bisikan syaitan yang menyesatkan. Buatlah pilihan yang betul semasa kita masih ada kesempatan lagi hidup di dunia ini. Awas, jangan tersilap pilih!

Penuhilah dada kita dengan iman dan ilmu kerana orang jahil semuanya binasa kecuali orang yang berilmu. Tapi orang yang berilmu semuanya binasa kecuali yang beramal. Namun semua yang beramal akan binasa melainkan yang ikhlas. Untuk mencapai darjah keikhlasan, perlu banyak berjuang dan bermujahadah. Ibarat untuk mencapai keikhlasan ini seperti orang yang mendakit bukit, perlu ada semangat , tekad dan azam yang kuat , tidak mudah putus asa  untuk sampai ke puncak.

Selalulah minta bantuan dari  Allah SWT  kerana dengan izinNya memampukan kita untuk beramal. Tanpa taufik dan hidayah Allah sebenarnya kita akan tenggelam dalam dunia yang melekakan. Perlulah kita sentiasa sangat-sangat bersyukur padaNya yang  memberikan kita nikmat iman dan Islam ini. Dan lahirkanlah kesyukuran ini dalam bentuk ketaatan yang tidak berbelah bagi akan segala perintahNya!

Rujukan
Berdialog dengan Allah di keheningan malam
Khairul Ghazali

Hakikat hidup ini...

Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...