Tuesday, September 11, 2012

Tanda hati sudah mati....


Bismillahirrahmanirrahim

Tertarikku dengan satu artikel yang ku baca dari satu blog untuk pengisian hati dan dikongsikan bersama. Walaupun sering ku baca tentang permasalahan ini, tapi setiap kali ia dapat juga jadi peringatan diri. Pengulangan adalah perlu untuk tarbiah diri agar dapat sentiasa diingatkan tentang perkara yang penting ini.

Ia adalah berkenaan dengan hati....satu wadah atau tempat samada ia akan jadi mulia atau celaka. 

Apabila kita menilai tentang diri sesaorang...yang kita nilai adalah  hatinya samada baik atau buruk. Sebenarnya apa yang dicetuskan dalam tindakan berasal dari hati....kita tidak dapat berpura-pura kerana semua yang ada di hati akan dizahirkan bila tiba masa dan ketika yang sesuai!

Begitulah juga penilaian Allah terhadap kita....Allah tidak memandang pada rupa fizikal diri tapi Allah memandang apa yang ada dalam hati kita! 
Hati sebagaimana juga manusia...boleh jadi sakit, hidup sejahtera ataupun mungkin mati.

Apa yang di fokuskan disini adalah tentang matinya hati...satu keadaan yang gawat kerana pemilik hati yang mati umpama bangkai bernyawa....fzikalnya masih hidup tapi hatinya sudah mati!! Apalah ertinya sebuah kehidupan yang dimiliki oleh orang yang mati hatinya! Setiap detik hidupnya tiada matlamat hakiki, hanya menjalani hidup sebagaimananya binatang yang menunggu-nunggu saat kematian sebenar!
Ya Allah ...jauhilah kami dari hati yang mati ini!!  

Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara sebab atau tanda-tanda hati mati ialah :

  • Mengaku kenal Allah swt, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya
  • Mengaku cinta kepada Rasulullah saw, tetapi mengabaikan sunnah baginda
  • Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya
  • Memakan nikmat-nikmat Allah swt, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya
  • Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya
  • Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya
  • Mengaku adanya siksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya
  • Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya
  • Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri
  • Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil
Mengapakah hati boleh mati??
  • Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah.
Hidup ini penuh dengan ujian. Setiap kita mengalami ujian hidup yang berbeza sesuai dengan tahap kemampuan masing2. Allah uji kita dengan sakit, dengan kehilangan harta benda dan orang yang disayangi, diuji dengan kesusahan dan keperitan hidup, diuji dengan masalah dalam rumahtangga dan keluarga, diuji dengan musibah yang menimpa.....1001  permasalahan yang melanda!

Bagaimanakah kita menghadapi segala ujian ini? 
Hati yang mati dan sakit tenat tidak akan mampu dan tahan ujian hidup....akan cepat putus asa, gelabah hingga tahap maksimum sehingga sanggup mengambil jalan singkat dengan membunuh diri sendiri....! Maka berakhirlah sebuah episod kehidupan didunia...tapi diakhirat? Belum tentu lagi selamat dari azab dan masalah di sana!!  Orang yang mengambil jalan singkat ini sudah hilang pertimbangan diri...terlalu emosional dan menuruti hawa nafsu yang ekstrem.
  • Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani sewajarnya.
Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak makan dan tidak minum, begitulah juga hati. Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya.

Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri. Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan bersihkannya dengan cara banyak mengingati Allah ( berzikir ).

Firman Allah:

(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan “zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia. (Al-Rad, Ayat 28)

Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara :

“Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan,
Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu,
Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu,
Dan dosa-dosa yang silam di sulami dengan taubat kepada Zat yang Memiliki mu.”

Sudah seringkali diperingatkan tentang hal di atas....sejauhmana kita sudah amalkan? Maka selalulah kita bertafakur menyendiri dan muhasabah segala amalan. Kadang kita terlalu sibuk sehingga tak sempat buat, sering bertangguh-tangguh.....tapi hakikatnya kematian datang tidak bertangguh! Ayuh sama-sama kita lakukannya dengan istiqamah walaupun sedikit. 

Hati merupakan tempat yang lembut, tempat bertapaknya rahmat, kasih sayang dan lain-lain. Apabila kita mengisi hati kita dengan banyak zikrullah, nescaya ia memenuhi hati dengan rahmat dan kasih sayang. Hati yang dipenuhi kasih sayang inilah hati yang hidup yang dapat menjalani kehidupan ini dengan jiwa yang tenang sentiasa ada hubungan dengan Allah walaupun selalu teruji! Inilah dia hati yang salimah yang kita inginkan.   Sejauhmana kita mendidik hati kita dengan iman dan takwa, sejauh itulah lembut dan sejahteranya hati itu! 

Hati merupakan anggota yang menentukan segala permasalahan hidup. Jika ia dimakmurkan dengan keyakinan dan iman, sudah tentu segala anggota akan mengikut dengan penuh keimanan. Untuk kita melihat betapa kuat, kuasa dan luasnya hati dengan keimanan, Allah Taala menjelaskannya dalam Surah az-Zumar ayat 23 yang bermaksud:

“Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab Suci itulah hidayat petunjuk Allah; Allah memberi hidayat petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayat petunjuk kepadanya.”

Itulah petunjuk Allah, dengan kitab itu Dia menunjukkan siapa yang yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang disesatkan Allah, maka tidak ada seorang pun pemberi petunjuk baginya.

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:

“Ketahuilah bahawa pada jasad terdapat segumpal darah, apabila elok nescaya eloklah seluruh jasad dan apabila rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah bahawa itulah hati.”

Kalaulah begitu, hati merupakan tempat cahaya keyakinan dan keimanan. Sebagaimana iman boleh bertapak dalam hati, begitu juga kekerasan dan kekufuran juga boleh bertapak dalam hati. 

Hati yang lupa untuk berzikrullah akan menjadi keras, kenapa? . Kerana hatinya terikat dengan dunia dengan segala macam perhiasannya. Jadi ia akan mengejar dunia tanpa memikirkan batas-batas yang ditetapkan sehingga sanggup berlaku zalim dan bertindak dengan kekerasan.

Hati yang tidak berhubung dengan Allah, maka ia berhubung denga hawa nafsu dan syaitan.....maka jadilah ia teman yang setia pada bisikan nafsu dan syaitan ini. Segala tindak tanduknya, didorong oleh kedua unsur ini. 

Sedangkan peringatan Allah, menegaskan bahawa musuh utama manusia adalah syaitan yang sentiasa mengajak manusia pada jalan kejahatan.  Maka perlakukanlah ia sebagai musuh....jangan turuti langkah-langkah syaitan. 

Cari jalan dalam diri kita bagaimana hendak menepis bisikan dan tipu daya syaitan ini. Mintalah selau pertolongan dengan Allah untuk menghindari diri syaitan ini...
Hanya Allah sahaja yang boleh membantu kita.....!

Tuesday, September 04, 2012

20 Amalan murah rezeki



Bismillahirrahmanirrahim...

 Murah rezeki yang sering disalahertikan hanya dari segi material sahaja berupa harta dan wang ringgit, namun murah rezeki sebenarnya mencakupi bidang yang lebih luas lagi....berupa perkara fizikal dan bukan fizikal. Contohnya rezeki mempunyai anak , isteri atau suami yang soleh, anak yang pandai dan cerdik, kebahagiaan dalam hidup, lapang dada, dipermudahkan urusan, rumah yang lapang dan kenderaan yang baik, umur yang barokah, kesihatan tubuh badan dan macam-macam lagi......

Dan setelah Allah mengurniakan kita rezeki,  seringkalinya manusia ini terlupa untuk bersyukur, bangga diri dengan status dan pangkat yang ada, memandang rendah pada orang lain.....sedangkan semuanya bukan milik kita! Apa sangatlah yang hendak kita banggakan sedangkan diri kita ini pun milik Allah! Dan sepatutnya rezeki yang Allah beri digunakan diatas jalanNya bukan ikut kata hati...semua ini aku yang punya, jadi berbelanja  sesuka hatiku!

Amalan-amalan dibawah ini menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat.

Diantaranya:

1. Menyempatkan diri beribadah walau sesibuk manapun diri.
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:


“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah .a.)


2. Memperbanyak istighfar memohon ampunan dosa 
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.:


“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas .a.)


3. Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:


“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.”(Riwayat at-Tirmizi)


4. Sentiasa ingat Allah
Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya:


“(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-ra’d: 28)


5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda:

“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)

Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:


“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)


6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:

“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)

7. Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:


“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…”(Riwayat Muslim)


8. Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.

9. Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata:


“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”


10. Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.

11. Menjalin silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda:


“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)


12. Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda s.a.w. bersabda:


“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)


13. Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:


“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas .a.)


14. Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah .

15. Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi:


“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)


16. Bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:


“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7)


Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)

17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.

Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.

Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya ‘Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.

18. Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.

19. Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)

Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.

20. Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah . Firman-Nya:

“Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya) .”(At-Thalaq: 3)

Nabi s.a.w. bersabda:


“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.”(Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab .a.)


Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3)

Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah , lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.

Rujukan blog MyIbrah






Saturday, August 18, 2012

Salam Perpisahan Ramadhan Al-Mubarak.....!

Bismillahirrahmanirrahim...





Setiap yang bermula , pastikan berakhir....... 
Setiap pertemuan, pasti ada perpisahan.......
Setiap yang hidup , pasti akan mati.....
Dalam kegembiraan ada kesedihan....

Maka kita sudah pun sampai ke penghujung Ramadhan.....
Bulan mulia ini akan melabuhkan tirainya...
Mengundur diri buat seketika....
Meninggalkan kita dalam suka dan duka...
Menyambut hari lebaran yang akan menjelma!

Bagaimanakah diri kita ?
Sudah ditarbiahkah nafsu diri?
Bersediakah menghadapi hari-hari yang menanti?
Atau diri cuma melalui Ramadhan sebagai satu tradisi?

Hanya iman dan takwa dihati...
Yang dipupuk dan dididik di sekian hari..
Yang mampu menjawab segala persoalan ini..!

Nukilan 
RAW

Marilah sama sama kita renungi Rangkaian kata-kata perpisahan dengan Ramadhan dari Ibnu Rajab sebagai peringatan diri

Wahai hamba Allah, bulan Ramadhan telah bersiap-siap untuk berangkat.
Tidak ada lagi yang tersisa kecuali saat-saat yang singkat.
Barangsiapa yang telah melakukan kebaikan selama ini, hendaklah ia menyempurnakannya.

Barangsiapa yang malah sebaliknya, hendaklah ia memperbaikinya dalam waktu yang masih tersisa. Karena ingatlah amalan itu dinilai dari akhirnya.
Manfaatkanlah malam-malam dan hari-hari Ramadhan yang masih tersisa,
Serta titipkanlah amalan sholih yang dapat memberi kesaksian kepadamu nantinya di hadapan Al Malikul ‘Alam (Sang Penguasa Hari Pembalasan).
Lepaskanlah kepergian (bulan Ramadhan) dengan ucapan salam yang terbaik:
"Salam dari Ar-Rahman (Allah) pada setiap zaman.
Atas sebaik-baik bulan yang hendak berlalu.
Salam atas bulan di mana puasa dilakukan.
Sungguh ia adalah bulan yang penuh rasa aman dari Ar-Rahman.
Jika hari-hari berlalu tak terasakan.
Sungguh kesedihan hati untuk tak pernah hilang."

Selamat jalan Ramadhan.
Semoga Allah memudahkan kita bersua kembali dan moga amalan kita pun diterima di sisi Allah.

[Lathoif Al Ma’arif, hal. 380-382]

Monday, August 13, 2012

Monday, August 06, 2012

Tazkirah Ramadhan 2012....Melepasi fasa kedua Ramadhan kali ini...!!

Bismillahirrahmanirrahim....

Alhamdulillah....dengan izin Allah jua kita masih berada di bulan Ramadhan al Mubarak ini, sudah pun melepasi separuh Ramadhan, menuju dengan pantas sekali ke penghujung Ramadhan!  Tidak lama lagi berakhirnya Ramadhan .  Sudah ke kita mencapai target kita di awal Ramadhan dulu dari segi ibadah kita, Quran kita,  sedekah kita dan lain-lain lagi? InsyaAllah sama-sama kita pertingkatkan lagi usaha kita dalam hari-hari yang berbaki ini. InsyaAllah sama-sama kita berdoa ,  mudah-mudahan Allah pertemukan kita dengan  Malam yang lebih baik dari seribu bulan iaitu malam Lailatul Qadar . Ameen Ya Allah

Dibulan yang mulia ini, salah satu amalan yang dianjurkan  bagi kita adalah perlunya kita banyak berdoa dengan doa yang mathur dan lebih-lebih lagi doa keampunan dosa dan di bebaskan dari api neraka. Tapi adakah kita sedari segala doa dan harapan itu hanya sia-sia sahaja bila kita tidak mengambil berat akan perkara yang sungguh penting ini sebelum doa kita dimakbulkan? 

Pernah ke kita menyoal  diri kita balik kenapa doa yang dipanjatkan  tidak makbulkan, walaupun kita sering berdoa dari hati sehingga mengalirkan air mata? Sebenarnya tidak ada yang menghalang doa  termakbul melainkan ia datangnya dari diri kita sendiri......!!

Sama-sama kita renungkan nasihat dari Ibnu Athailah ini...

"Jangan menuntut pada Allah kerana terlambatnya permintaan yang engkau telah panjatkan kepadaNya.  Engkau hendaklah memperbetulkan dirimu. Tuntutlah atas dirimu  supaya tidak terlambat dalam melaksanakan kewajipanmu terhadap Allah."  

Jadi terhalangnya doa bukan kerana Allah tidak mahu memberi....... sifat Allah itu Maha Pemurah dan Maha mengabulkan doa!  Sebab utama sebenarnya ada pad diri kita sendiri.....iaitu tidak bersungguh-sungguhnya kita dalam memenuhi hak-hak Allah SWT seperti menunaikan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya....dengan kata lain menunaikan segala yang diwajibkan keatas kita. 

Maka, muhasabahlah diri kita dibulan yang mulia ini.....

Sudah betulkah ibadah kita pada Allah, solat kita , puasa kita?
Ibadah kita ikut syarak ke.?
atau kehidupan kita masih bercampur aduk dengan yang haram dan syubhah.....?
Sudah menyeluruhkah atau sudah total ke pengharapan kita pada Allah SWT?
Sudah bersungguh-sungguhkah kita dalam ketaatan  padaNya?

Adakah kita tergolong dalam golongan orang yang mencintai masjid, menjaga solat dan tepat waktu, 
suka bertahajjud  qiamulail, rajin bersedekah, suka tolong orang, berzikir dan beristighfar selalu 
dan melakukan amalan soleh yang lain?

Jika masih belum dan banyak kekurangan.......hanya perlu salahkan diri sendiri bila tidak  termakbulnya doa yang dipanjatkan! Bagaimana akan datangnya pertolongan Allah jika diri sendiri kurang kesungguhan dalam menunaikan kewajipan-kewajipan yang utama?

Sama-sama kita renungi dan hayati Hadith Qudsi ini......
"Tidaklah seorang hamba mendekatkan diri kepada Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai dari apa-apa yang telah aku wajibkan padanya.Dan hambaKu itu selalu mendekatkan diri kepadaKu dengan nawafil ( perkara-perkara sunnah di luar yang fardhu) sehingga Aku mencintainya. Jika Aku mencintainya, maka Aku jadi pendengarannya yang ia gunakan untuk mendengar, Aku jadi penglihatannya yang ia gunakan untuk melihat, Aku menjadi tangannya yang ia gunakan untuk memukul dan menjadi kakinya untuk ia berjalan. Jika ia meminta kepadaKu niscaya aku berikan dan jika ia minta perlindungan dari Ku niscaya Aku lindungi."  (HR Bukhari)

Jelaslah dari hadith ini bahawa kunci datangnya pertolongan Allah, dimakbulkan doa,  terbukanya pintu-pintu rezeki dan rahmat , ilmu dan segala kebaikan  adalah terletak pada keimanan dan ketakwaan dijiwa serta kesungguhan dalam melaksanakan amalan yang dicintai Allah SWT.

Diriwayatkan dalam hadith-hadith Rasul....bagaimana Allah membukakan pintu langit, pintu syurga dan pintu rahmatNya seluas-luasnya dan ditutup pintu neraka serta dirantaikan syaitan yang mengganggu manusia di bulan Ramadhan yang barokah ini. Jadi sepatutnya kita ambil kesempatan yang singkat selama sebulan ini  untuk meraih rahmat dan keampunan dari Allah SWT......sangatlah rugi kita persia-siakan kerana ia hanya datang setahun sekali!  Kemungkinan ini juga adalah Ramadhan yang terakhir kita.....tidak tentu kita akan bersua denganya lagi di tahun hadapan!!

Jadi perlunya kita tingkatkan kesungguhan beribadah dalam diri seiring doa yang kita panjatkan kepadaNya . Kita melaksanakan ibadah puasa ini dengan sepenuh kemampuan diri ditambah dengan ibadah-ibadah lain. Kita seharusnya tidak berpuas hati dengan hanya menahan lapar dahaga dan melaksanakan amalan biasa yang kita buat di bulan-bulan lain. Bulan Ramadhan ini bulan yang istimewa, jadi ibadah dan amalan kita juga perlu istimewa juga.

Setiap hari kita perlu pasangkan niat....hari ini amalan ku akan lebih baik dari semalam.  Semalam mungkin ada yang tertinggal tak sempat buat, mata tidak dijaga pandangan, terlepas tahajjud, bangun subuh lewat atau mungkin subuh terlepas, tidak baca Quran dan sebagainya....maka hari ini kita bertekad untuk menebus semula yang dah terlepas dan tertinggal itu......., insyaAllah.

Beginilah sepatutnya setiap hari.....cuba mancari-cari di mana kurang dan silap amalan diri serta mencari ruang dan peluang perbaiki diri selalu.... Sentiasa hati kita memohon doa dan beristighfar di atas keterlanjuran kita melalui kehidupan sehari hari ini.....

Apapun....masa akan terus berjalan dan berlalu dengan pantas tanpa menunggu kita. Kita seharusnya seiring dengan masa yang berjalan pantas ini.  Jika kita leka sebentar...kita dapati kita akan ketinggalan dalam meraih rahmatNya yang sangat luas dibulan ini....Segala amalan soleh kita akan dilipatgandakan pahalanya dari biasa....satu peluang yang baik menambah bekalan untuk kita bawa pulang kehadratNya nanti.

Sebagaimana hebatnya promosi Megasale untuk shopping raya...sebenar bulan Ramadhan ini lagi lebih hebat promosi pahala ibadah yang dilipatgandakan !! Kalau ada jualan murah raya yang menguntungkan kita pasti ramai yang berpusu-pusu, berebut-rebut untuk shopping disitu.  Tapi malangnya promosi pahala ibadah yang berganda-ganda dibulan ini......tidak ramai yang berebut-rebut mendapatkannya. Ini dibuktikan dengan saf solat tarawikh yang semakin lengang bila tiba ke penghujung Ramadhan. Hanya semangat yang membara diawal Ramadhan tapi ianya semakin luntur bila semakin berlalunya hari-hari dalam bulan Ramadhan ini.

Saban tahun inilah senario yang berlaku.  Kenapakah terjadinya begini....? Dimanakah anak-anak muda yang gagah, yang dapat mengisi saf-saf yang kekosongan ini? Dimanakah anak-anak muda yang menpunyai kesedaran Islam yang dapat membela masa depan Islam yang tercalar? Tidak luluhkah hati kita melihat umat Islam ditindas, di sembelih, dibakar, disiksa diserata dunia....contohnya di Palestin, di Syria, di Myanmar, di Kashmir...???

 Disaat para mujahidin berjuang di medan jihad dengan darah, nyawa dan airmata mempertahankan negara dan maruah Islam di sana.....pemuda-pemudi kita leka depan komputer, ketagih internet, tv,game,  bola dan macam-macam lagi racun dan jarum Yahudi yang ingin menghancurkan umat Islam!! Sampai bila kita harus leka dan tidur ini.......??

 Jadi tingkatkan kesedaran kita sekarang ini juga.....perbaiki diri kita, pisahkan diri dari jarum Yahudi ini, sibukkan diri dengan membelek Quran dan Hadith, Islam tidak akan tertegak dalam masyarakat selagi Islam  tidak tertegak dalam diri sendiri!!

Selagi saf-saf masjid masih lengang di waktu Subuh, maka janganlah kita impikan kebangkitan Islam itu. Ini menunjukkan sebenarnya mujahadah diri untuk bersegera bangun menyahut panggilan Allah itu sangatlah penting....tanpanya kita hanya mengira angka-angka kosong bilangan Muslim yang boleh berjuang menegakkan Islam dalam diri!!

 Disaat ini betapa banyaknya bilangan umat Islam di serata dunia...mencecah bilion orang.....tapi ia umpama buih-buih dilautan yang senang dibawa arus deras, tiada tujuan!! Jadi jangan biarkan diri kita tergolong dalam buih-buih yang tidak berguna ini!!

Jadi sama-samalah kita bina kekuatan diri....untuk maslahat Islam dan sebenarnya semua ini adalah untuk kebaikan diri sendiri juga!
  


Monday, July 30, 2012

Tazkirah Ramadhan 2012.....Betulkan yang biasa dan biasakan yang betul!

Bismillahirrahmanirrahim....

Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya kita berada di bulan yang mulia ini, melaksanakan ibadah puasa yang ditaklifkan keatas kita....mudah-mudahan Allah SWT merahmati kita, insyaAllah.  Ya, kita sudah hampir melewati fasa pertama puasa (10 ramadhan yang pertama) iaitu fasa rahmat dan akan memasuki fasa kedua iaitu fasa keampunan (10 ramadhan kedua).

 Cepatnya masa berlalu...masyaAllah sudah 10 ramadhan berpuasa! Bagaimanakah kita telah menjalani puasa kita di fasa pertama itu? Sama-samalah kita muhasabah diri kita...sejauh mana kita telah berjaya mengawal seluruh pancaindera diri kita, meningkatkan amalan kita, sedekah dan infaq kita dan menyibukkan diri kita dengan Al Quran?? 

Jika masih banyak lagi kekurangan...sama-sama kita mohon keampunan dari Allah SWT. Giatkan lagi usaha kita dan betulkan yang biasa  dan biasakan diri dengan yang betul dalam diri dan keluarga !  Segala kekurangan, tabiat-tabiat  diri yang kurang baik....perlu dibuang, gantikan dengan yang lebih baik......Perlunya kita mengganggap Ramadhan ini adalah peluang untuk berubah kearah yang lebih baik!   Segala amalan biasa yang kita buat ketika berbuka puasa, ketika sahur dan disepanjang bulan Ramadhan kita betulkan agar ia menepati sebagaimana yang sepatutnya, insyaAllah. 

Lalui Ramadhan ini dengan hati yang hidup iaitu hati yang merasai  sensitif dengan apa yang kita perbuat 
walaupun perkara kecil....semua yang dilihat, didengar dan  dirasai dijiwa menjadi bahan tarbiah untuk meningkatkan hubungan kita dengan Allah, untuk kita menjadi hamba yang lebih baik disisi Allah!!

Sebagai insan yang lemah, kita tidak dapat lari dari berbuat kesilapan dan dosa, dihati kita bertekad untuk mengawal dan mentarbiah diri dalam apa jua suasana....namun kadang-kadang kita kecundang juga bila berada dalam suasana tertekan dan tegang. Mohon keampunan juga dari Allah SWT diatas segala kesilapan yang dibuat.! Memang tabiat lama masih belum berjaya kita proses. Nak tukar dan ubah diri perlu ada kekuatan iaitu kekuatan hubungan dengan Allah.!

Justru itu.  dibulan Ramadhan yang mulia dan barokah ini,  untuk kita meningkatkan  kekuatan hubungan kita dengan Allah  adalah dengan meningkatkan iman dan taqwa dihati melalui tadabbur Al-Quran setiap masa yang terluang. Menyibukkan diri sentiasa dengan Al-Quran adalah diantara amalan yang afdol dibulan ini. Dikala nafsu telah lemah akibat disempitkan laluannya dengan puasa...peringatan Al-Quran akan senang meresap dijiwa bila dibaca dan dihayati. 

Hati yang diresapi Al-Quran akan jadi lebih sensitif. Semuanya kerana jiwa tersebut telah jadi bersih dan lembut!  Inilah dia mukjizat Al-Quran. Sebagaimana Al-Quran telah dapat melembutkan hati Saidina Omar yang keras sehingga apabila ia mendengar ayat Quran yang dibacakan oleh adiknya Fatimah , begitu jugalah ia juga boleh melembutkan hati kita !

Janganlah kita terlalu ghairah nak cepat mengkhatam Quran tanpa memahami  makna disebalik ayat yang kita baca....memang setiap huruf yang kita baca pahalanya digandakan, namun adakah setakat itu sahaja yang kita hajati? Sepatutnya setiap ayat yang dibaca kita fahami  untuk kita hayati dan meningkatkan kesedaran dijiwa supaya jiwa kita merasai setiap panggilan Allah, setiap suruhan dan laranganNya, merasai kebesaran Allah, merasai takut akan siksa dan azabNya dan gembira dan suka dengan pahala dan nikmat syurgaNya?

Jadi fokus kita adalah pada sekeping hati yang perlu merasai semua ini. Hati yang tidak ada rasa sebegini adalah hati yang mati yang tidak  akan mampu berfungsi untuk menjadi hamba Allah dalam ertikata yang sebenarnya! Kita hanya ingin meraih setakat pahala bacaan sahaja, tapi kita mengabaikan sesuatu yang sangat penting yang perlu kita perbaiki, bersihkan dan pertingkatkan iaitu hati kita! Sedangkan pandangan Allah kepada manusia bukan terletak pada fizikalnya tapi pada hatinya yang salimah.

Selalunya kita dengari peringatan dari hadith Rasulullah saw ini.....Allah tidak memandang pada rupa wajahmu, tapi Allah memandang pada hatimu. Adakah kita berusaha untuk menjadikan hati kita ini tempat tumpahnya pandangan Allah? Atau kita biarkan saja hati kita begitu......memang saya macam ni atau macam tu?  

Jadi dibulan ini....satu kesempatan yang sangat baik untuk kita berusaha bermujahadah mengekang nafu, memperbaiki  hati yang telah lama kita biarkan.....
Matlamat akhirnya....kita nak proses hati kita jadi hati yang bersih , lembut dan sensitif, perlunya usaha yang berterusan walaupun Ramadhan telah berakhir nanti...

InsyaAllah sama-sama kita mohon kekuatan, petunjuk hidayah dari Allah supaya kita sentiasa berada diatas landasan yang lurus yang menuju ke matlamat akhirnya mencari keredhaan Allah dalam hidup ini. 
Itulah jalan yang benar, jalan yang seharusnya kita ikuti.......

Buat renungan diri...
Pandangan mata selalu menipu
Pandangan akal selalu tersalah
Pandangan nafsu selalu melulu
Pandangan hati itulah yang hakiki
jika....hati itu bersih!



Tuesday, July 24, 2012

Menjalani Ramadhan bukan sekadar adat tahunan!

Bismillahirrahmanirrahim...

Bak kata pepatah....

Dunia itu adalah racun, maka zuhud itu adalah ubatnya.
Harta itu adalah racun, maka zakat itu adalah ubatnya.
Perkataan yang sia-sia itu adalah racun, maka zikir itu adalah ubatnya.
Seluruh umur itu adalah racun, taat itu adalah ubatnya.
Seluruh tahun itu adalah racun, Ramadhan itu adalah ubatnya!!

Ramadhan datang sebagai penawar bagi diri yang kelesuan dengan mehnah ujian kehidupan.! 
Justru itu sewajarnya kita bergembira dan bersyukur dengan kedatangan bulan yang mulia yang penuh barokah ini.  Tidak seharusnya terlintas dihati kita ini, ianya sebagai satu beban  untuk melaksanakan amal soleh dalam keadaan berpuasa pulak tu dan lagi...... perlu menahan lapar dahaga dan hawa nafsu! 

Sebenarnya bulan ini adalah bulan latihan intensif bagi diri.....mensucikan hati nurani kita agar dengan hati yang bersih ini kita dapat menghubungkan jiwa kita dengan Allah,  merasai panggilan Allah sebagai orang yang beriman yang siap siaga melaksanakan suruhan Allah persis seorang askar yang patuh menyahut panggilan melaksanakan tugas mempertahankan negara!

Walaupun matlamat akhirnya cukup murni....kenapa  ramai yang kecundang dalam menghayati hakikat puasa yang sebenarnya? Di siang hari di bulan puasa hanya menahan lapar dan dahaga, bila tiba malam lain pula ceritanya. Nafsu yang dikekang tadi....sudah lepas bebas, belum pun habis bulan puasa! Nafsu dijamu sepuas-puasnya dengan makanan yang enak, sudah jadi pesta makanan menjamu selera!!

Hakikatnya ramai tidak faham dan tidak sedar akan tuntutan puasa ini dalam diri.  Sebenarnya dibulan ini tidak kira siang atau malam perlunya kita mengekang nafsu diri kita mengikut yang disyariatkan....
dan keadaaan ini kita teruskan di bulan-bulan yang lainnya. Janganlah jadikan ibadah puasa ini sebagai adat tahunan setahun sekali.....yang ditunggu bukan bulan puasa tapi hari raya Aidil Fitri! Dari sebelum bulan puasaa lagi dah buat persediaan nak beraya, sibuk shopping itu ini, sehinggakan melaksanakan ibadah puasa ini hanya sebagi rutin sahaja.....setakat tahan lapar dahaga tidak lebih dari itu! Alangkah ruginya kita jika itulah  kita lakukan selama ini!!

Kita sepatutnya kurangkan makan kita, kurangkan bercakap yang tidak perlu, kurangkan pembaziran, kurangkan tidor kita...tapi tambahkan amal ibadah kita ; solat fardu ditambahkan dengan solat sunat, tahajjud, tarawih, witir, taubat, tasbih, hajat dsbnya.., tingkatkan bacaan Quran kita sekurang-kurang sejuzuk sehari,  tadabbur dan tadarrus Quran, tingkatkan sedekah kita dari segi wang ringgit , masa dan tenaga kita digunakan untuk jalan Allah......Kita jaga mata dari melihat perkara yang haram , begitu juga  telinga, mulut , kaki tangan dan yang pentingnya hati kita.

Sebenarnya kita kena menjadikan nafsu diri kita tunduk dibawah telunjuk iman yang ada di dada....segala nilai yang kita pegang perlu selari dengan nilai Allah, nilai syarak........bukan ikut ego sendiri, logik akal masing-masing!

Dibulan yang mulia kita di galakkkan perbaharui iman kita dengan banyak menyebut kalimah tauhid, perbanyakkan istighfar  untuk membersihkan jiwa kita dan memperbanyakkan doa mohon ampunan dosa supaya  dibebaskan dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga ! Inilah sebenarnya yang wajar kita pohon dari Allah dan kita maksimakan amal soleh kita agar doa kita Allah makbulkan.

Mudah-mudahan dengan kesungguhan diri dan keikhlasan hati melaksanakan ibadah puasa sejak hari pertama hinggalah ke akhir Ramadhan, Allah mengizinkan kita bertemu dengan satu malam yang lebih baik dari seribu bulan, malam yang penuh keberkatan iaitu malam Lailatul qadar....... ini satu anugerah yang tidak terhingga dari Allah! 

MasyaAllah.... mudah-mudahan Allah izinkan bertemu dengan malam  keberkatan itu! Ameen. 


Hakikat hidup ini...

Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...