Tuesday, February 14, 2012

Amalan terbaik........amalan yang dituntut bagi seorang mukmin.!

Bismillahirrrahmanirrahim....

Firman Allah dalam SurahAl-Mulk ayat 2 yang bermaksud....
"Allah menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji kamu, siapakah di kalangan kamu yang terbaik amalannya.  Dan dialah Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun."   

Sebenarnya dalam ayat ini kita diingatkan bahawa setiap masa dalam hidup ini adalah ujian belaka tidak kira bagaimanakah keadaan kita, sama ada susah atau senang, sibuk atau lapang...semuanya adalah ujian! Semua ini adalah untuk mendapatkan darjat insan yang terbaik amalannya.

Tapi , apakah yang di maksudkan dengan amalan yang terbaik itu?  Menurut seorang ulama Fudhail bin Iyadh amalan terbaik itu adalah amalan yang penuh dengan keikhlasan dan betul amalannya itu.
Kemudian beliau ditanya lagi.." Apakah yang dimaksudkan dengan penuh keikhlasan dan betul amalan itu ?" 
Beliau menjawab....
" Sesungguhnya Allah tidak menerima amalan yang tidak ada keikhlasan dan tidak betul. Sekiranya amalan itu betul tetapi pelaksanaannya tidak ikhlas, maka ia tidak di terima. Demikian juga jika pelaksanaannya ikhlas tapi tidak betul,  maka tidak juga diterima. Keikhlasan bermaksud dilakukan semata-mata kerana Allah SWT dan betul amalannya bermaksud mengikut amalan sunnah Rasulullah saw." 

Jadi sesaorang itu disukat dan dinilai dari  segi ilmu, iman dan amalan yang lahir dari keimanan tersebut. Dan amalan pula dinilai sejauhmana ia mencapai darjah amalan yang terbaik (ihsan) iaitu amalan penuh keikhlasan dan betul mengikut Sunnah Nabi saw.

Melakukan amalan yang terbaik sangat-sangat dianjurkan dalam Islam sebagaimana yang terdapat dalam ayat Quran surah Az-Zumar ayat 55 yang bermaksud. ...
" Hendaklah kamu mengikut sebaik-baik (panduan hidup) diturunkan kepada kamu semua daripada Allah SWT."

Firman Allah SWT lagi dalam Surah Az-Zumar ayat 17-18 yang bermaksud...
" Maka berilah berita gembira kepada hamba-hambaKu yang penuh perhatian mendengar perkataan-perkataan (perintah Allah). lalu mereka mengikuti sebaik-baiknya. Mereka itulah orang yang diberi hidayah oleh Allah SWT. Dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna."

Jadi persaingan sebenarnya bukanlah di antara amalan yang baik dan buruk, tetapi di antara yang baik dan lebih baik.

Sewajarnya orang-orang mukmin itu sentiasa berusaha melakukan yang terbaik dan berkualiti malah berprestasi tinggi kerana Allah SWT menuntut orang-orang mukmin melakukan sesuatu yang terbaik dalam semua perkara seperti yang dinyatakan dalam hadith Rasulullah saw yang bermaksud.....

 Daripada Syadad bin Aus bahawa Rasulullah saw telah bersabda, ' Sesungguhnya Allah SWT telah menentukan al-ihsan di dalam semua perkara..  Jika kamu membunuh, bunuhlah dengan cara  yang terbaik, dan jika kamu menyembelih, maka sembelihlah dengan cara yang terbaik. Tajamkanlah pisau sembelihan dan berilah kerehatan kepada binatang yang disembelih itu.'

Begitu telitinya ajaran Islam sehingga sampai nak sembelih binatang pun ada cara yang terbaik.  Jadi sebagai seorang mukmin, sewajarnya kita rasa terpanggil untuk sentiasa melaksanakan semua amalan dan semua perkara dalam bentuk yang terbaik.

Apa yang kita lakukan itu sebenarnya bukanlah untuk orang lain tetapi sebenarnya untuk diri kita sendiri sebagai persembahan dan bukti ubudiyyah kita kepada Allah SWT. Segala ibadah khusus kita seperti solat kita, puasa kita, haji kita...maupun ibadah umum kita seperti muamalah kita dengan keluarga, masyarakat dsbnya.......juga kena yang terbaik. Ini adalah kerana Allah hanya menerima dari kita amalan yang terbaik bukan amalan yang diibuat  sambil lewa dan acuh tidak acuh! 

Buktinya,  kita lihat pada sirah dua beradik Habil dan Qabil yang mempersembahkan qurban masing-masing kepada Allah SWT sebagai syarat siapa yang boleh berkahwin dengan kembar Qabil yang rupawan bernama Iqlima.  Siapa yang qurbannya diterima Allah SWT, dialah yang layak mengahwini Iqlima . Habil mempersembahkan pada Allah SWT binatang peliharaannya yang terbaik iaitu kambing yang gemuk dan sihat sementara Qabil pula mempersembahkan sekarung gandum yang busuk dan tidak elok di makan lagi.

Jadi sudah pastinya yang Allah terima adalah yang terbaik iaitu qurban Habil tadi!! Kejadian ini menimbulkan rasa irihati pada Qabil sehingga dia sanggup membunuh Habil kerana tidak dapat mengahwini Iqlima. Jadi berlakulah kes pembunuhan pertama dalam sejarah manusia.

Satu pengajaran bagi kita....usahakan supaya kita dapat lakukan yang terbaik dari diri kita, insyaAllah dan mohon kemampuan dan pertolongan dari Allah untuk itu.

Memang kita ini sering mengeluh,  merintih , tidak mampu itu dan ini......maka cubalah kita proseskan diri kita ini mempertingkatkan kemampuan kita dan memperbaiki amalan kita sama ada hubungan kita dengan Allah ataupun dengan manusia. 

InsyaAllah sematkan betul-betul dihati, segalanya yang kita buat ini bukannya untuk manusia tapi untuk diri kita sendiri sebagai bukti ubudiyyah kita padaNya. Jadi usahakan buat sesuatu amalan itu dengan cara yang terbaik...iaitu ikhlas keranaNya dan mengikuti syariatNya dan sunnah Rasul. 

Amalan terbaik ini bukanlah ikut penilaian manusia....nilaian manusia berbeza dari nilaian Allah.  Manusia hanya menilai secara fizikal sahaja, iaitu  produk yang dihasilkan berkualiti tinggi, standard mengikut piawaian tertentu, mencapai ISO tertentu. Apa yang terbaik disisi manusia belum tentu terbaik disisi Allah SWT. Nilaian Allah bukan setakat melihat kepada hasil yang terbaik sahaja, tapi proses kerja yang menghasilkannya, bermula dari niat yang betul dan mengikut cara yang betul.

Proses awal menghasilkan sesuatu kerja itu sangatlah dititik beratkan. Walaupun produk yang terhasil nampak sempurna dari segi fizikalnya, adakah ia sempurna dari segi perlaksanaannya sejak dari awal-awal lagi? Adakah semasa pelaksanaannya kita jaga kehendak syariatNya? Jika kita bekerja secara kumpulan,  di samping kita jaga niat masing-masing dan cara kerja kita, adakah kita jaga tali silaturrahim sesama sendiri?

Sebenarnya, bukanlah kita boleh ambil mudah untuk  nak dapatkan amalan yang terbaik ini.....kekadang kita terlupa  dan  terlalu menekankan natijah atau nak cepat siap dan terburu-buru  sehingga kita tertinggal  perkara-perkara asas yang sungguh penting ini..... 

Justru itu, sama-samalah kita muhasabah diri kita selalu......mudah-mudahan dengan izin Allah SWT kita sentiasa berwaspada dengan kerja-kerja yang kita lakukan agar kerja yang biasa kita buat itu jadi luarbiasa disisi Allah SWT...ia jadi amal soleh yang terbaik yang Allah terima!! InsyaAllah.

Ameen, Ya Rabbal Alamin.


Friday, January 27, 2012

Sudahkah kita laksanakan apa yang kita tahu dan faham tentang islam....?


Bismillahirrahmaanirrahim....

Alhamdulillah setinggi-tinggi  kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya jua dapat ku teruskan coretan di blogku ini setelah beberapa minggu 'berehat' seketika. Berehat dalam ertikata aku membuat refleksi diri tentang apa yang telah ku tulis selama ini.....walaupun tidak menulis namun sering ku ulang-ulangi membaca apa yang ku tulis selama ini.... sebenarnya pengulangan itu perlu dalam rangka muhasabah diri, sebenarnya masih banyak yang kita perlu perbaiki diri .Dirasakan kita ini lebih banyak bercakap, membaca, mengumpul ilmu dari kita mengamalkan apa yang kita faham! 

Ilmu yang hidup dan bermanfaat adalah ilmu yang di amalkan....tidak semestinya apa yang kita tahu itu semuanya kita sudah amalkan! Dalam kita melalui hidup ini....sebagai manusia disebabkan kekurangan kesungguhan diri, kemalasan diri, suka bertangguh.....kita lebih banyak bercakap dari beramal. Cakap selalunya tak serupa bikin! Perkara inilah yang perlu kita ambil berat dan proseskan dalam hati kita.....sejauhmana benar-benar kita sudah melaksanakan apa yang difahami tentang deen Allah ini. 

Sesungguhnya tanpa pertolongan dariNya, taufik dan hidayahnya sememangnya kita tak mampu buat apa-apa! Justru itu,  panjatkanlah  doa kita selalu padaNya agar Allah mencampakkan dalam hati kita ini rasa suka dan cinta pada apa yang dicintai Allah.....dan benci pada apa yang benciNya.  Kita mulailah dalam diri kita melakukan perkara atau amal yang kecil...walaupun nampak kecil tapi jika ada keikhlasan jiwa dalam melaksanakannya...maka ia jadi amal soleh.

Tarbiah diri di mulai dengan tarbiah hati yang memfokuskan pada melaksanakan sesuatu itu atas dasar yang betul dan ikhlas kerana Allah. Jangan setakat nak cepat sahaja menghabiskan sesuatu kerja.....tapi dalam melaksanakannya,  terlupa jiwa kita ketika itu berhubung dengan Allah. Mulai sesuatu dengan Bismillah dan akhiri ia dengan Alhamdulillah dan istighfar.........dan semasa melaksanakannya jaga niat kita sentiasa. Ku rasakan nak istiqamah dengan ini pun ...sukar juga, kadang-kadang kita nak cepat siap, kelam kabut.....akhirnya walaupun perkara ini nampak mudah sahaja, kita sering terlupa! Apatahlagi bila banyaknya kerja yang kita kena buat......

Keterikatan hati kita dengan Allah akan membantu kita melalui proses tarbiah ini dengan istiqamah...walaupun dengan keadaan jatuh bangun, lemah kemudian kembali kuat.....pada setiap keadaan kita perlu sentiasa kembali pada Allah menyerah diri padaNya! Dalam apa jua suasana kita tidak boleh pisahkan diri kita dari tarbiah Islam...jika kita berhajat untuk menghayati kesyumulannya dalam diri. Islam tidak mampu ditegakkan tanpa tarbiah!  

Sememangnya,  jika kita sedari sebenarnya kita ini sentiasa dalam kesibukan diri mentarbiah jiwa kita walaupun kita berada bersendirian mahupun bersama masyarakat.Tiada istilah kita tiada kerja nak buat, bosan dan sebagainya... Setiap detik dan masa seharusnyanya kita isi dengan perkara yang memberi manfaat pada deen islam, pada peningkatan diri sama ada dari sudut akli atau rohi. Setiap detik masa itu berharga sebenarnya! Namun perkara inilah yang sering kita terlalai dan terleka.....

Masa berlalu dan pergi, tidak menunggu kita. Suatu masa kita akan kembali padaNya. Teringat aku pada kawan baikku yang baru kematian suaminya.....yang kesedihan ditinggalkan, sentiasa merinduinya. Kubisikkan padanya,  suami yang dikasihi itu telah kembali ke kampung halaman yang abadi terlebih awal dari kita....kita juga akan mengikutinya entah bila,  mungkin cepat atau lambat...masanya pasti tiba. Jadi persediaan kita untuk itu, bagaimana? Itu yang sepatutnya kita takuti....bukanlah kita merintih menangis kepiluan berpanjangan kerana ditinggalkan. Hati mana yang tidak rasa  sedih menangisi insan  tersayang,  itu memang lumrah insan yang kehilangan dan kerinduan....tapi sedarilah kita akan menyusuli kemudian, hidup ini perlu diteruskan walau bagaimana berat jiwa ini! 

InsyaAllah semoga Allah memberikan kita kekuatan jiwa dalam melalui samudera kehidupan yang banyak ujian  ini....agar kita dapat melaluinya dengan tabah. Teringat ku akan lirik nasyid kumpulan Shoutul Harakah yang sering terngiang-ngiang di fikiranku....
  Mengharungi samudera kehidupan...
  Kita ibarat para pengembara...
  Hidup ini adalah perjuangan..
  Tiada masa untuk berpangku tangan...

 Setiap tetes peluh dan darah
 Tidak kan sirna di telan masa
  Segores luka dijalan Allah 
  Kan menjadi saksi pengorbanan...

Semoga kita tingkatkan kesungguhan kita mendalami dan menghayati islam dalam diri, keluarga dan masyarakat . Mudah-mudahan hati kita  gembira dan bahagia kerana mentaati Allah dan menjauhi laranganNya dan juga rasa sedih kerana memaksiatiNya. Amin.
Ku akhiri dengan rakaman video yang menyentuh hatiku....sama-sama kita saksikan semoga ia menyentuh jiwa kita bersama.






Wednesday, January 04, 2012

Persediaan kembali ke sekolah di tahun 2012...



Bismillahirrahmanirrahim......

Alhamdulillah, setinggi kesyukuran dipanjatkan kehadratNya, kerana dengan izinNya ku telah melangkahkan kakiku  ke tahun baru Masihi 2012, tahun baru yang mendatang dengan tugas dan tanggungjawabku sebagai pendidik...mendidik anak-anak bangsaku . Kan ku cuba  melaksanakan tugas ini sebaik mungkin.....difikiranku tersemat satu kata-kata ...untuk menjadi pendidik perlulah terdidik! Memang berat sebenarnya tanggungjawab ini....bukan setakat memberikan ilmu tapi sebenarnya perlu memberikan kefahaman tentang tanggungjawab kita sebagai insan yang dijadikan Allah...Namun bukanlah semudah itu, sebenarnya kita perlu menjadi contoh kepada anak didik kita dari segi sahsiah, akhlak yang dapat diikuti...

Esok adalah hari pertamaku ke sekolah pada tahun ini. Jadi perlu diiisi jiwa ini dengan matlamat yang jelas mengapa aku ke sekolah! Perlunya  sentiasa mendidik diri, memperbaiki segala kelemahan di tahun lepas.....bila ku kenangi, aduhai...kan  ku cuba tidak mengulangi kesilapan yang lepas...ya Allah bantulah aku yang lemah ini!! InsyaAllah mudah-mudahan dengan pertolongan dariNya ku dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan lebih baik, lebih sistematik......

Teringat kata-kata sahabat sewaktu taklimat semasa aku menghantar anakku mendaftar diri ke Tingkatan Satu di Sekolah Maahad Tarbiyah Islamiyah ........apa yang penting dalam mendidik anak-anak ini bukanlah setakat hanya menjadikan mereka cemerlang dalam akademik dengan banyaknya A tapi yang penting sekali mendidik mereka menjadi manusia yang tahu matlamat hidup mereka...apakah tujuan kehidupan ini, bukanlah setakat mainan belaka? Bukanlah matlamat pendidikan itu untuk melahirkan orang yang bijak pandai supaya dapat jadi doktor, jurutera, pensyarah dsbnya sahaja.... 

Realitinya sekarang masing-masing berlumba untuk mendapatkan banyaknya A dalam subjek tapi terlupa menekankan soal iman dan aqidah  yang menjadi teras dan tunjang diri.....akibatnya setelah mencapai kejayaan ada yang terbabas dari segi pergaulan, sahsiah diri bahkan aqidah juga !  Kita lihatlah apa yang berlaku sekarang kepada yang menjadi kebanggaan Malaysia suatu ketika dulu yang telah meraih 17 A dalam SPM 2005 ...seorang pelajar wanita yang sopan dan bertudung, tapi sekarang ni telah berubah sama sekali sahsiah diri! 

 Begitu juga ku dapat berita dari sahibahku seorang kaunselor di salah sebuah pusat pengajian tinggi.....seorang pelajar yang mendapat 10 A1 dalam SPM  yang sedang mengikuti foundation studies disebuah institusi.....telah murtad ke agama Kristian..., tidak diduga sama sekali oleh ibu bapanya kerana anaknya itu bukanlah tergolong dari yang suka bersosial, sahsiahnya baik dan dia solat! Gejala kemurtadan ini sudah berleluasa di Malaysia sekarang. Mana tidaknya, dakyah Kristian ini mencari mangsanya yang lemah iman, yang bermasalah, yang tidak pandai bersosial suka bersendirian...mereka ini didekati dengan kasihsayang, ambil berat, diberi bantuan...akhirnya terjebak! 

Di manakah silapnya pendidikan hari ini?
Pendidikan hari ini adalah pendidikan sekular yang memisahkan agama dari ilmu. Ilmu yang disampaikan begitu terpisah dari ilmu deen yang dapat mendidik jiwa mengenali siapakah pencipta manusia, makhluk seluruhnya dan segenap alam ini. Hati dan jiwa tidak diisi dengan keimanan pada Allah yang menyebabkan  jiwa itu kosong...dan kekosongan ini diisi dengan unsur-unsur negatif dan menyeleweng!

Ibubapa pulak sibuk bekerja mencari wang, dan biasanya lebih menekankan hal akademik anak sahaja......anak mesti dapat banyak A dalam peperiksaan untuk itu anak di hantar ke tuition hampir semua subjek. Anak-anak ditekankan supaya belajar, belajar dan belajar.....Ibubapa yang kaya pula hantar anak ke personal tuition yang mahal yang bayarannya lebih kurang Rm 40 sejam bagi satu subjek! Penekanan agama pula tidak dipentingkan......kenapa jadi begini? Bukankah dunia yang dikejar ini hanya sementara sahaja? Bahagiakah kita dengan pencapaian akademik semata.....tapi cetek dari segi agama? 

Perlulah sama-sama betulkan semula prioriti dalam hidup kita ini.....dunia yang dikejar akhirat jangan ditinggalkan. Lebih tepat lagi kejarlah akhirat maka dunia akan menyusuli kalian....! 

Sama-samalah kita memanjatkan doa ke hadratNya supaya tahun ini lebih baik dari tahun yang lepas.....usahakanlah  supaya ada peningkatan dalam diri dari segi hubungan dengan Allah dan Rasul, hubungan  dengan ibu bapa dan hubungan dengan masyarakat. Bukanlah semestinya banyak kita lakukan sekali gus tapi pertingkatkan sedikit demi sedikit tapi berterusan. Ini lebih baik dan berkesan dalam membentuk tabiat diri yang berkekalan, insyaAllah.

Thursday, December 22, 2011

Meraih hidayah Allah SWT...


Bismillahirrrahmanirrahim....

Alhamdulillah setinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah, kerana masih diberi kesempatan oleh Allah untuk meneruskan lagi sisa-sisa dan saki baki kehidupan ini, untuk terus kita dapat memperbaiki diri kita meningkatkan hubungan kita dengan Allah SWT, meningkatkan amal kita untuk kita bawa sebagai bekalan kita untuk kembali pada Allah SWT. Allah SWT masih lagi memberikan kita peluang untuk terus hidup, syukur padaNya, bukan untuk kita ambil mudah sahaja kita lalui jalan hidup ini sebagaimana kita suka....tapi kita kena lalui hidup ini sebagaimana yang Allah suka. Perlunya kita korbankan kesukaan hati kita untuk mendapatkan kesukaan Allah. Kita ini adalah hamba milikNya, maka sewajarnyalah kita perlu tunduk dan patuh kepada apa yang Allah perintahkan.  InsyaAllah,  semua itu adalah untuk manfaat kita juga kerana Allah tidak menjadikan setiap sesuatu itu dengan sia-sia....

Perlunya kita sentiasa memohon taufik dan hidayah dari Allah  ketika menelusuri kehidupan ini....kerana kita ini adalah manusia yang serba serbi lemah....kita tidak dapat menjangkau lebih dari apa yang tersembunyi dari kita! Manusia yang tiada mendapat taufik dan hidayahNya umpama orang  yang berjalan dalam kegelapan malam, setiap langkah yang diatur begitu cemas sekali penuh keraguan kerana ia tidak nampak apa yang ada di hadapannya. Dia meraba-raba dalam perjalanan, takut, cemas, tidak tenteram...takut terjatuh lubang , tersepak tunggul kayu dan macam-macam perkara bermain dalam fikiran. Hidupnya dalam kelemasan sebab tidak nampak jalan mana yang harus diikuti!

Orang yang tidak mendapat hidayah Allah ini walaupun kaya banyak harta, pangkat tinggi, gedung besar.....hidupnya tidak tenteram, malah menderita. Walau semakin kaya, semakin derita kerana banyak perkara dan barang yang harus dijagai, tak kurang juga takut pada perompak dan penyamun yang sentiasa mencari peluang. 

Begitu juga orang yang tidak mendapat hidayah Allah, akan mengejar pangkat , gelaran dan kemuliaan dunia. Seluruh hidupnya digunakan untuk tujuan ini sedangkan harta, gelaran, pangkat dan kemuliaan sebenarnya tidak berguna baginya untuk meraih hidayahNya.  Bagi orang yang jauh dari Allah, jauh dari al-Quran, jauh dari Islam, apa yang   Allah berikan kepadanya pasti akan membuat dirinya hina, tidak berguna dan menyusahkan dirinya. Hidupnya akan jadi tunggang langgang, tiada ketenangan.  Dia tidak tahu untuk apakah semua yang ada dalam hidupnya. Jiwanya terasa begitu kosong walaupun dia sudah ada segalanya!

Sebaliknya orang yang mendapat hidayah Allah SWT ini, ia berjalan di atas laluan yang terang benderang. Mantap dan yakinnya setiap langkah yang diatur menuju matlamat yang satu.  Matlamat mencari keredaan Allah!  Walaupun banyak rintangan dan ujian yang terpaksa dilalui dalam hidup dia dapat melepasinya dengan bantuan dan hidayahNya. Hatinya sentiasa terpaut erat dengan Allah dalam segenap suasana , susah senang kehidupan ini, tidak menjadikannya lalai dan leka!  Malah dapat meningkatkan lagi hubungannya dengan Allah.

Sama-samalah kita renungi ayat al-Quran surah Asy-Syams : 8-10 yang bermaksud....
" Dan Allah telah mengilhamkan kepada jiwa itu(jalan) kefasiqan dan ketakwaan. Sungguh beruntunglah orang yang mensucikan (jiwa) dan sungguh rugilah orang yang mengotorinya."

Jadi sebenarnya Allah telah memberikan kita pilihan untuk mengikuti jalan-jalan ini samada jalan takwa yang dipenuhi dengan hidayahNya atau jalan fasik yang menyesatkan dan mengotori  jiwa manusia.  Kita perlu sebenar mengikuti jalan takwa ini, kena kawal nafsu diri supaya tidak terjebak kejalan yang fasik. Allah beri kita kemampuan untuk memilih.......  Namun jika tersalah pilih jalan, maka rugi dan deritalah akibatnya.  Adakah itu yang kita kehendaki dalam hidup ini? 

Tiada siapa yang mau hidup derita di dunia....semuanya menginginkan kebahagiaan.  Namun kebahagiaan hakiki itu bukanlah terletak pada kekayaan yang melimpah ruah, harta, gelaran dan pangkat.....betapa ramai orang yang kaya didunia, tapi masih rasa kosong tidak bahagia. malah mereka mencari-cari arti kebahagiaan itu....namun hampa tidak diperolehi! Kebahagiaan bukan ukuran materialistik!

Jadi sebagai manusia lemah yang sangat perlukan bimbingan , hidayah Allah itu cukup penting kita raih dan mohon dariNya.  Kita perlulah mengikuti petunjuk jalan yang lurus yang terdapat dalam  Al-Quran supaya Allah menambahkan lagi hidayahNya pada kita, insyaAllah. Bila kita inginkan Allah menunjuki kita di atas jalanNya, perlunya ada keikhlasan hati dan bersungguh-sungguh mencari hidayah Allah. Caranya kita bersihkan jiwa kita, proseskan dan tarbiyah hati kita, dekati Islam dan Al-Quran, banyak bermunajat padaNya, lakukan amal soleh dan jauhi maksiat dalam diri......bukan hanya setakat menadah tangan mohon hidayah petunjukNya tapi diri masih bergelumang dengan maksiat, sikap acuh tak acuh dalam agama......!   

Firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 69  yang bermaksud...
" Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh di jalan Kami, maka akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami.  Dan sesungguhnya Allah bersama dengan orang yang berbuat baik."

Jadi,  soal hidayah bukan masalahnya, tapi perlunya ada kesungguhan diri dalam mencari hidayah Allah ini secara istiqamah disamping banyak memanjatkan doa padaNya supaya ditetapkan hati dalam iman dan Islam setelah mendapat cahaya hidayahNya. Usaha sebenarnya adalah muqaddimmah kepada hidayah Allah!

Langkah awal untuk mencari hidayahNya adalah dengan terus istiqamah mencari dan meningkatkan  ilmu sekuatnya, iaitu ilmu yang dapat meningkatkan hubungan dengan Allah SWT. Jadi, tiada hari yang dilalui bagi kita tanpa mencari ilmu, tiada hari juga tanpa bertambah amal dan tiada hari bagi kita kecuali kita membersihkan hati kita. InsyaAllah bila bertambahnya ilmu, maka bertambahnya iman, bila bertambahnya iman maka bertambah pula amal,  maka semakin tenanglah jiwa kita kerana hidayah dan cahaya  Illahi menerangi jiwa kita.

InsyaAllah, mudah-mudahan ilmu yang di amalkan menjadi ilmu yang bermanfaat untuk diri, keluarga dan masyarakat. Dengan keikhlasan untuk beramal dengan ilmu  tadi, maka tetaplah kita atas hidayahNya, dimana hidayah ini merupakan nikmat yang mahal dari Allah yang diberikan kepada hambaNya yang terpilih.  Jadi, kita jagailah hidayahNya dengan terus istiqamah beramal diatas jalanNya yang lurus.

Rujukan
Mencari ketenangan jiwa
KH Aa Gym

Saturday, December 10, 2011

Hisablah diri sebelum diri dihisabkan......!!



Bismillahirrahmaanirrahim....

Pada hari yang sukar itu (Hari Kiamat) dimana alam in akan hancur berantakan, sama-samalah kita renungkan ayat Al-Quran Surah Al-Haj (2) yang bermaksud...

" Lalailah semua wanita yang menyusui anaknya dari anak yang disusuinya dan gugurlah kandungan semua wanita yang hamil dan kamu lihat manusia mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk, tetapi azab Allah itu keras."

Di hari itu anak-anak kecil beruban dan manusia yang paling suci, para nabi dan rasul akan berseru dengan suara yang  hiba..." Ya Allah selamatkan aku, selamatkan aku....." Bumi akan terbelah, langit akan pecah, bintang jatuh berguguran dan sistem perjalanan alam tidak lagi normal. Kemudian manusia akan dikumpulkan dalam keadaan telanjang dan tidak berkhitan, masing-masing sibuk dengan hal diri sendiri, semuanya akan dikumpulkan di atas satu daratan. Pada hari itu matahari sejengkal dari  kepala, badan manusia dipenuhi keringat ; keringat yang menembus bumi sedalam tujuh puluh hasta dan membaluti tubuh sehingga ketelinga!!

Pada hari itu manusia dihisab dengan teliti oleh Allah yang Maha Teliti akan apa yang kita kerjakan diatas muka bumi semasa hayat kita. Tiada satupun yang tertinggal malah semuanya tercatat dalm buku catatan amal kita sehingga manusia sungguh terkejut dan berkata....

"Kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak pula yang besar melainkan mencatat semuanya? (surah Al-Kahfi:49)

Amalan sebesar zarrah pun kelak akan ditanyakan oleh Allah seperti dalam firmannya.....
"Sesiapa yang mengerjakan kebaikan sebesar zarrah pun niscaya ia akan melihat (balasannya). Dan siap yang mengerjakan kejahatan seberat zarrah pun, niscaya ia akan melihat (balasannya)pula."  (Surah Al-Zalzalah :7-8)

Itulah realitinya yang pasti akan berlaku dan dilalui oleh setiap diri yang bernama manusia. Tidak dapat lari darinya. Begitu telitinya Allah menghisab setiap amal sehingga sekecil-kecil amal manusia pun pasti diperlihatkan! Adakah kita sudah membuat persediaan menghadapinya? Telitikah kita dalam melaksanakan urusan kehidupan seharian kita....agar ia benar-benar menepati syariat Allah? 

Sama-sama pula kita renungi hadith Rasul ini yang bermaksud.....
" Dan kaki seorang hamba tidak dapat bergerak pada Hari Kiamat, sehingga dia  ditanya tentang empat perkara.  Tentang umurnya, untuk apa ia digunakan.  Tentang ilmunya yang mana saja ia telah amalkan. Tentang hartanya, bagaimana ia mendapatkannya dan sekaligus digunakan untuk apa.  Dan tentang tubuhnya untuk apa ia manfaatkan. " (Diriwayatkan oleh At-Tirmidzi)

Jadi, seluruh yang ada pada diri kita ini adalah amanah Allah, umur kita, ilmu kita , harta dan tubuh badan kita ini sewajarnya di pergunakan di atas jalan Allah.  Bagaimanakah jawapan kita nanti bila amanah ini tidak kita tunaikan sebaik-baiknnya? Pastinya kita tidak dapat menjawab untuk memberi alasan....alasan ketika itu sudah tidak diterima, yang pasti semua pancaindera kita malah kulit kita juga akan menjadi saksi atas segala perbuatan kita.  Tiada apa yang dapat kita sembunyikan nanti! Aduh! Boleh dibayangkan pemandangan yang sugguh gawat di Mahkamah Allah di hari hisab nanti! Penyesalan diri yang tidak ada tolok bandingnya......Nauzubillah!.

Tentang kesaksian organ dan pancaindera manusia dihari hisab itu, firman Allah dalam Surah Fushilat : 21 yang bermaksud....

" Dan mereka berkata kepada kulit mereka, "  Kenapa kamu menjadi saksi ke atas kami? Kulit mereka menjawab" Allah yang menjadikan segala sesuatu berbicara juga menjadikan kami berbicara."

Firman Allah juga dalam Surah An-Nuur :24 yang bermaksud....

"  Pada hari lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang telah mereka kerjakan."

Justru itu, bagi sesiapa yang ingin selamat di Hari Hisab dengan pelbagai pertanyaan dan kehinaan , sewajarnya mestilah menghisab diri sendiri di dunia sebelum dihisab di akhirat. Inilah yang di anjurkan oleh Allah kepada orang-orang yang beriman kepadanya seperti dalam firmanNya dalam Surah Al-Hasyr : 18 yang bermaksud...

" Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang di perbuatkannya untuk hari esok(akhirat)."

Para sahabat generasi Islam yang pertama ini sangat memahami dan mendalami maksud ayat di atas.  Contohnya Saidina Umar Al Khattab  berkata kepada rakyatnya....

 "Hisablah diri kalian sebelum kalian dihisab, timbanglah diri kalian sebelum kalian ditimbang dan bersiap sedialah menghadapi Hari Kiamat." 

Generasi sahabat ini  mempunyai tradisi menghisab diri masing-masing kerana mendalamnya rasa takut mereka  pada hari Hisab Allah nanti. Amir bin Abdullah yang pernah melihat dan bersahabat dengan sahabat Rasulullah saw mengatakan bahawa para sahabat berkata kepadanya bahwa orang yang paling beriman pada Hari Kiamat adalah orang yang sering menghisab dirinya.   Begitu juga dengan para tabiin mereka juga mengikuti jejak langkah para sahabat  dalam menghisab diri.

Para sahabat dan para tabiin serta ulama Islam , mereka ini hidup dengan sentiasa muhasabah dan menghisab diri sendiri dan mereka rasa bahagia dengan kedalaman iman di hati mereka.  Mereka tahu apakah kehendak Allah keatas mereka dan mereka mempratikkannya dalam hidup.  Mereka merupakan Al-Quran yang bergerak kerana mereka menterjemahkan perintah Allah ini dalam hidup.   Seorang sahabat Rasul umpama seribu orang kita atau mungkin lebih lagi!  Jadi dengan kualiti diri sebeginilah mereka memperoleh kejayaan di dunia dan diakhirat.  Dunia berada ditangan mereka tapi tidak dihati mereka.!
  
Jadi, jika kita inginkan kejayaan seperti mereka, sebenarnya kita tiada pilihan melainkan mengikuti jejak langkah mereka.  Mereka mempunyai jiwa yang penuh persediaan untuk kembali pada Allah, sentiasa dahagakan peringatan dari Allah dan sangat teliti dalam melalui kehidupan mereka sebagai hamba Allah. Ketakwaan dan keimanan yang mendalam inilah punca kejayaan diri mereka sama ada di dunia ataupun akhirat.

Begitu juga untuk diri kita ini.....kena suburkan iman dan takwa dihati, taati Allah dalam segenap perkara, bertaubat padaNya selalu di atas salah silap kita.....rendahkan jiwa padaNya.  InsyaAllah, mudah-mudahan Allah akan mengembalikam semula kegemilangan Islam nanti kepada umat Islam! 
Amin, Ya Rabbal Alamin

Rujukan
Taujih Ruhiyyah
Abdul Hamid Al-Bilali

Friday, December 09, 2011

Reflleksi diri dihujung tahun yang akan berlalu......



Bismillahirrahmanirrahim....

Setinggi-tinggi kesyukuran di panjatkan kehadrat Allah swt kerana dengan izinNya, dapat ku meneruskan lagi sedikit perkongsian diblogku ini setelah beberapa minggu berhenti seketika.....walaupun cuti, sebenar sibuk dengan kerja-kerja rumah dan lain-lain perkara yang perlu diuruskan. Alhamdulillah akhirnya dapat juga ku duduk sebentar menulis , membuat refleksi diri di tahun baru hijrah ini, mudah-mudahan dapat sama-sama dimanfaatkan, insyaAllah ......

Ya, tahun baru hijrah telah bermula diikuti dengan tahun baru masihi yang akan datang tidak lama lagi.  Cepat sungguh masa  berlalu , tahun 2011 ini  akan meninggalkan kita, banyaknya kenangan suka duka, pahit manis seperti kehilangan orang tersayang yang telah pergi meninggalkan kita , dugaan hidup yang melanda diri dan macam-macam lagi.... seharusnya semua itu menjadikan kita lebih tabah, sabar, pasrah dalam kehidupan yang singkat ini. Itulah lumrah hidup....ia dimulai dengan tangisan, dicelahi dengan tangisan dan diakhiri dengan tangisan.....tangisan orang tersayang yang akan menghantar kita ke kubur bila tiba saat dan ketikanya!

Justru itu, perlunya kita berhenti sejenak, bermuhasabah diri kita ini......apakah yang telah kulakukan di tahun hijrah lepas, sejauhmana kah aku telah membuat sesuatu yang bermanfaat untuk diriku, keluargaku dan orang lain? Apakah yang telah ku perbuat untuk akhiratku seperti perbaiki diri tingkatkan amal soleh, perbaiki hubungan dengan Allah dan orang lain? 

Bermacam-macam persoalan seharusnya kita fikirkan di benak fikiran kita...supaya kita melalui tahun baru ini dengan penuh kesedaran bahawa sebenarnya banyaknya kelemahan diri yang kena perbaiki,  banyak lagi perkara yang harus di perbuat......... 

Perlunya kita memperbaharui taubat kita setiap masa dan ketika, membersihkan hati dari noda-noda dan dosa-dosa yang kita lakukan sama ada disedari atau tidak.....Kita panjatkan doa padaNya serendah-rendah hati dan jiwa kita ini yang banyak kelemahan yang selalunya kita lalai dan alpa. Kadang-kadang diri merasakan seolah-olah kematian itu masih jauh lagi dari kita, hanya menimpa orang lain. Tapi hakikatnya.....it is just around the corner, lurking and waiting!! So beware and be prepared!

Beginilah kita setiap tahun baru perlunya kita peringatkan diri sendiri selalu.....menelusuri kehidupan ini dengan penuh perhatian pada jalan-jalan kehidupan yang seharusnya kita ikuti agar ia tidak tergelencong dari jalan yang lurus...namun jika terjadi jua, perlunya cepat-cepat kembali bertaubat supaya hati ini sentiasa hidup dan sensitif dengan peringatan Allah. 

Perlunya sentiasa suburkan rasa takut dalam hati kita padaNya, takut berbuat dosa yang mana walaupun kita bersendirian, kita sentiasa dibawah pandangan 'mata" Allah.  Allah Maha melihat apa yang kita perbuat malah  Allah Maha Mengetahui apa yang tersembunyi di sudut dan didalam lubuk jiwa kita. Jadi bersihkan hati kita selalu, ikhlaskan niat kita, buangkan semua prasangka buruk dalam hati kita. Ingatlah manusia itu di nilai Allah bukan dari segi fizikalnya tapi dari segi hatinya yang sejahtera (Qalbu salim).

Selalulah kita panjatkan doa dari sudut jiwa kita ini, bahawa kita sangat-sangat berhajatkan Allah, berhajatkan petunjuk dan hidayahNya.  Tanpa hidayahNya terumbang ambinglah kita, hilanglah pedoman melalui liku-liku hidup ini. Sebenarnya kekuatan diri kita hanya bila bersama Allah yang Maha Kuat dan Maha Perkasa. Dialah satu-satunya tempat kita bergantung harap dalam hidup ini, tempat kita mengadu seluruh kesusahan diri dan hati kita......hanya Allah sahaja yang dapat membantu kita!  

Yakinilah di hati Allah mendengar segala rintihan masalah kita....Dia Maha pengasih Lagi Maha Penyayang, menyayangi kita melebihi sayangnya ibu pada kita!  Kita ini adalah ciptaanNya dan segala yang diciptakanNya di alam ini adalah untuk  kita manfaatkan!  Maka sejauhmanakah kesyukuran kita?  Cukup ke setakat mengucap Alhamdulillah? 

Sama-samalah  kita renungkan hadis Qudsi ini.......

" Barangsiapa yang berpagi-pagi di dalam keadaan dukacita terhadap dunia, tidak akan bertambah hampir kepada Allah melainkan bertambah jauh.  Tidak akan bertambah di dunia melainkan keletihan. Tidak akan bertambah di akhirat melainkan azab. Allah akan mencampakkan rasa dukacita yang berterusan, kesibukan yang tiada kerehatan, kefakiran yang tiada ada kekayaan dan angan-angan yang memanjang ke dalam hatinya....

Wahai anak Adam! Setiap hari umurmu akan berkurangan sedangkan engkau tidak menyedarinya. Setiap hari Aku memberi rezeki padamu tetapi engkau lupa untuk memujiKu. Tidak cukup bagimu terhadap apa-apa yang sedikit. Tidak pula engkau merasa puas dengan yang banyak.

Wahai anak Adam! Tidak ketinggalan suatu rezekipun melainkan datang dariKu rezeki untukmu, tapi pada malam harinya Aku didatangi malaikatKu mempersembahkan amalan kejahatanmu padaKu.  Kamu memakan rezekiKu kemudian kamu membalasi dengan melakukan kedurhakaanmu kepada Ku.

Kamu memohon kepadaKu lalu Aku perkenankan permohonan itu. Kebaikan dariKu sentiasa mengalir padamu dan kejahatan daipadamu sampai padaKu. Sesungguhnya Aku adalah sebaik-baik penolong bagimu dan engkau adalah sejahat-jahat hamba padaKu. 

Engkau tanggalkan daripadaKu apa-apa yang Aku berikan kepadamu. Aku tutupkan kejahatan demi kejahatanmu. Aku malu terhadapmu tetapi engaku tidak punya rasa malu denganKu. Engkau melupaiKu dan mengingati selain daripadaKu.  Engkau merasa gerun dengan manusia tetapi engkau merasa aman terhadapKu. Engkau  merasa gentar dengan marah manusia tetapi merasa aman dengan kemurkaanKu." 


Begitulah realitinya kebanyakan manusia! Perlulah kita insafi siapa diri kita ....dijadikan dari setitis air mani yang hina, diberi pendengaran, penglihatan dan hati tetapi sangat sedikit dari kita betul-betul bersyukur padaNya!

Semoga peringatan ini berguna buat jiwa yang selalu lalai dan leka, kurang amalan, sedkitnya kesyukuran dan banyaknya dosa.... ......selalulah kita kembali padaNya memohon keampunan dariNya !!

Tuesday, November 22, 2011

Kesibukan yang tidak memberi manfaat (sambungan)......

Bismillahirrahmanirrahim....

Alhamdulillah setinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah SWT kerana dengan keizinanNya, dapat ku luangkan masa mengisi masa santaiku semasa pergi bercuti untuk menulis sedikit peringatan bagi diriku untuk di kongsikan bersama dengan pembaca-pembaca blogku ini, insyaAllah. Ya, sememangnya dua keadaan yang sering dilupai oleh manusia iaitu masa lapang/santai dan masa sihat dimana kita mengisikannya dengan perkara-perkara yang tidak ada hubungannya dengan Allah...kita sibuk dengan perkara-perkara yang kita rancangkan untuk di buat...tapi kita kurang berfikir bagaimanakah menggunakan masa-masa tersebut dengan optimum dengan perkara-perkara yang memberi manfaat kepada kita dari segi dunia dan lebih-lebih lagi akhirat kita! Termasuklah diriku ini....... sememangnya manusia ini lemah, lalai, leka, selalu lupa dan selalu tidak kisah!! Aduhai...bantulah aku ya Allah untuk memperbaiki diriku ini.....!!

Pada entri yang lepas, ku bicarakan tentang perkara kesibukan yang tidak memberi manfaat pada kita.....habisnya masa kita melakukan perkara tersebut, sehingga bertambahnya usia hari demi hari....sehingga sedar tidak sedar...kita sudah pun semakin tua dan berusia! Usia bertambah tapi amal di takuk lama, mungkin amal soleh belum mampu mengatasi amal yang tidak soleh! Inilah yang ditakuti....

Kecintaan pada dunia, panjang angan-angan dan suka menunda ibadah merupakan di antara sebab yang menyebabkan  masa kita hilang dengan sia-sia. Bila hilangnya masa , sebenarnya hilanglah kesempatan bagi kita membuat amal soleh dan hilangnya keberkatan dalam hidup. Tiadanya amal soleh maka tiadanya bekal untuk kita bawa pulang nanti menuju Allah. Bagaimana nanti perasaan kita bila kita pulang kepada Allah dengan tangan kosong, muflis dan miskin sedangkan orang beriman yang telah membuat persiapan membawa bekalan amal yang banyak?

Aduh.....pastinya penyesalan yang tidak terhingga  menyelubungi diri!!

Perkara ketiga yang mencuri masa , menyibukkan kita  disamping yang telah diperkatakan di atas dan dalam entri yang lepas adalah televisyen, computer, internet, vcd , alat-alat elektronik yang lain ....

Sungguh,  sebenarnya dunia mengalami bencana yang besar akibat penyalahgunaan alat-alat di atas kerana ia banyak menghabiskan masa dan melalaikan.  Kebanyakan manusia memiliki alat-alat tersebut termasuk umat Islam juga dengan alasan ia  mempunyai banyak manfaat sebagai media informasi, sebagai sarana menambah ilmu pengetahuan, sebagai hiburan kepada masyarakat , alat komunikasi , media massa dll.... Sememangnya alat-alat tersebut ada kesan positif dan negatifnya...tetapi yang negatifnya lebih banyak dan lebih terkesan dalam menpengaruhi jiwa jika tidak di awasi penggunaannya......  

Alat media elektronik  seperti iphone, itune, ipad, TV, VCD, computer internet banyak menghabiskan waktu kita menontonnya, melayarinya dimana  paparannya yang begitu menarik dan mengasyikkan, melekakan kita....sehingga berjam-jam kita terpaku didepannya sehingga ketagih dengannya! Benda-benda ini mengambil alih kehidupan sosial kita sehingga kita tidak rasa perlu mempunyai kawan.....kita jadi manusia individualistik yang tidak kisah orang! Inilah masalah yang semakin menjadi-jadi dalam dunia tanpa sempadan sekarang ini..

Hakikat ini diakui walaupun oleh musuh Islam iaitu seorang  Rabbi Yahudi   tentang impak negatif ini dalam surat khabar News Straits Time 22 Nov semalam..... penghasilan ipad, iphone, itune  berbagai i lagi,  sebenarnya  membina budaya masyarakat konsumer yang pentingkan diri sendiri, individualistik dan egosentrik.... Masyarakat berlumba-lumba ingin memilik gadget elektronik yang tercanggih dan terkini.....ada yang sanggup beratur berjam-jam dari awal pagi semasa pelancaran jualan gadget  terkini  hanya kerana ingin memiliki alat tersebut....dan menghabiskan banyak masa  dengannya dan kerananya. Sedangkan masa berharga itu sepatutnya digunakan bersama famili , untuk perkara-perkara yang lebih penting dan membina keyakinan diri! Kesannya akan menyebabkan ketidakbahagiaan dalam masyarakat dalam jangkamasa yang panjang.


Ledakan internet misalnya banyak menghasilkan siaran-siaran berunsur negatif , seperti mengugut, jenayah siber, pornografi dan banyak lagi yang mana sekiranya tidak dikawal akan menimbulkan masalah sosial di kalangan masyarakat. Kajian yang dijalankan oleh David S.Wall (2005) mendapati terdapat hubungan yang signifikan di antara penggunaan internet dengan masalah sosial yang berlaku dewasa ini......

Menyedari akan hal ini,  di manakah pendirian kita? Sebagai seorang Muslim kita tidak sepatutnya terikut-ikut dengan trend begini.... kembalilah kita kepada trend islamik yang menghargai masa, bersifat qanaah dan memanfaatkan sebaik mungkin segala yang ada pada kita, insyaAllah 

 Bukanlah salah memiliki alat tersebut tapi penggunaannya perlu untuk kebaikan dan, tidak melalaikan pemiliknya. Ini sebenarnya memerlukan pengawalan dalaman dan disiplin diri yang tinggi.  Yang perlu kita sedari sejauh mana  dengan memiliki alat-alat elektronik ia dapat meningkatkan hubungan kita dengan Allah, meningkatkan iman kita.....jika tidak ia jadi bencana pada kita! 

Renungilah kata kata ulamak Islam  Syeikh Hasan Ali-AnNadwi yang berkata.....

'Saat kejayaan adalah saat iman, dan saat keruntuhan adalah saat hilangnya iman. Sebagaimana iman menciptakan keajaiban di dalam jiwa, ia juga menulis cerita keajaiban di alam nyata. Gelora dalam jiwa pun menjelma menjadi prestasi-prestasi sejarah.'
S
Jika di dalam hati kita masih ada secebis iman,  rasa wara' dan takut pada Allah, kita tidak akan duduk berjam-jam di depan TV menonton  rancangan yang mempamirkan aurat lelaki dan perempuan, pergaulan bebas   tiada adab Islam, kita tidak akan melayari internet berjam-jam menonton you tube yang lucah dan download gambar pornografi, bermain video game berjam-jam sampai solat pun di saat-sat akhir dan tidak tidur malam, melayari laman sosial sehingga leka sampai tidak sedar masa .........! Semuanya melekakan  dan merugikan kita!

Bagaimana mungkin kita punya rasa wara dan takut pada Allah sedangkan perasaan hati kita sudah beku, hati kita keras dan kita lupa pada sabda Rasulullah saw yang bermaksud....

"  Kelak akan ada di umatku orang,orang yang menghalalkan zina, sutera, minuman keras dan alat-alat musik." HR Bukhari dan lain-lain...

" Hai Ali, Jagalah pandangan. Jagalah pandangan. Engkau hanya boleh melihat kali pertama dan tidak boleh kali keduanya. (HR Bukhari).

" Dan mata juga berzina dan bentuk zinanya ialah melihat orang yang bukan muhrimnya." (HR Bukhari).

Apabila kita tidak menjaga pandangan mata kita, perasaan iman akan membeku dan otomatik ia berkurang. Diantara mata dan hati ada jalan penghubung, jika pandangan mata tidak di jaga ia akan memberi kesan dihati. Benarlah kata pepatah dari mata turun kehati. Jika mata tidak dijaga pandangannya ia boleh merosakkan jiwa.  Dan jiwa yang rosak tidak layak menjadi tempat makrifatullah, cinta padaNya, bertaubat padaNya, damai dan bahagia dekat kepadaNya. Jiwa akan jadi gelap tiada sinar cahaya di dalamnya.

Sebaliknya menahan pandangan menghasilkan sinar cahaya dihati.  Hati-hati yang disinari cahaya, 'tetamu-tetamu' kebaikan akan datang dari semua arah sehingga dia dapat menghasilkan firasat yang jujur yang boleh membezakan antara kebenaran dan kebatilan. 

Salah seorang soleh berkata, ' Sesiapa yang menggunakan fiziknya untuk mengikuti sunnah, mengisi perasaan hatinya dengan perasaan selalu diawasi Allah, menahan pandangannya dari perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah, menjaga diri dari perkara-perkara yang syubhat dan makan makanan yang halal, maka firasatnya tidak meleset.'

Jadi perlunya kita menjaga diri kita, keluarga, anak-anak kita supaya tidak terjebak dalam dalam perkara yang melalaikan ini dan kesibukan diri yang tidak bermanfaat . Kita perlulah sentiasa di peringatkan akan hal ini dari masa kesemasa sebab fitrahnya manusia ini mudah lupa, lalai dan leka. Apabila kita terbabas, maka perbetulkanlah semula perjalanan hidup ini agar kita mengikuti jalanNya yang lurus yang akan menyampaikan kita pada kebahagiaan hidup yang abadi.

Sempena Tahun Baru Hijrah yang akan datang minggu hadapan, sama-samalah kita memohon kepada Allah SWT supaya memberikan kita selalu taufik dan hidayahNya, memandu kita berada di atas jalanNya, memberikan kita kekuatan untuk mendidik diri kita supa kita dapat berpegang teguh di atasa jalan Allah......  Mudah-mudahan di  tahun baru ini , kita akan terus berusaha menjadikannya lebih baik dari tahun yang lepas, insya Allah. 

Amin Ya, Rabbal Alamin.

Rujukan
Manajmen waktu wanita solehah.

Hakikat hidup ini...

Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...