Sebagai seorang Muslim, kita tidak boleh berpuas hati dengan diri sendiri malah perlulah sentiasa memperbaiki dan mempertingkatkan diri sehinggalah kita menjadi seorang Muslim yang soleh. Namun penghayatan Islam yang syumul perlu dalam semua aspek hidup untuk menjadi Muslim yang soleh sebenarnya. Tanpa penghayatan ini, gelaran Muslim yang soleh tidaklah bermakna tapi hanyalah dakwaan semata-mata. Inilah yang di suruh oleh Allah SWT dalam firmanNya surah Al Baqarah: 208 yang bermaksud...
" Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam sepenuhnya, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan, Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu."
Menjadi Muslim yang soleh merupakan matlamat kita sebenarnya apabila melalui proses tarbiyyah Islam di mana semua aspek roh, akal, jasmani di didik dan di proses sehingga melahirkan natijah yang menyeluruh yang merangkumi semua fakulti insan. Berikut merupakan ciri-ciri yang harus dimiliki agar sesaorang Muslim dapat menjadi seorang Muslim yang soleh.
1. Aqidah yang sejahtera(salimah)
Muslim yang soleh perlulah mempunyai kekuatan aqidah, hubungan dan keyakinan yang kuat dengan Allah SWT. Kekuatan inilah yang membebaskan dirinya dari syirik kepada Allah SWT: dia meninggalkan illah-illah selain Allah berupa harta, pangkat , wanita dan lain-lain... Allah sahajalah merupakan satu-satunya sembahan dalam dirinya, dan kerana keyakinannya hanya pada Allah SWT maka semua urusan hidupnya dikembalikan padaNya. Perasaan takut yang dirasai dalam jiwanya menyebabkan dia rasa di awasi selalu
seperti dalam firman Allah SWT dalam Surah Al-Hadid ayat 4 yang bermaksud......
"...dan Dia bersama kamu di mana sahaja kamu berada dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan."
Aqidah dalam dirinya aqidah yang sejahtera, bersih dan suci dari syirik dan nifak.
2. Ibadah yang soleh.
Seorang Muslim yang soleh mempunyai niat yang ikhlas dalam amalan , yang mana niat ini sentiasa dijaga dan amalan yang dibuat mengikut syarak supaya segala amalannya adalah ibadah padaNya. Ibadahnya adalah mengikut dalil-dalil yang soheh dan dia meninggalkan amalan-amalan yang bid'ah atau berbau bi'dah. Keikhlasaan merupakan perkara utama yang perlu disemak dalam jiwa sebelum, semasa dan setelah melakukan sesuatu amalan. Tanpa ikhlas, tiada ibadah yang soleh!
3. Akhlak yang mantap
Rasulullah saw adalah contoh yang terbaik bagi seorang Muslim dalam keperibadian dan akhlaq yang mulia. Sikap Ar-Rasul yang terbaik ini samada kepada lawan atau kawan, tidak menzalimi manusia, haiwan atau persekitaran, sangat lembut dan perihatin pada orang lain, sangat bertakwa pada Allah......pendekata pada diri Rasulullah itu terkumpul sifat-sifat kesempurnaan seorang manusia! Jika seorang Muslim itu mempunyai akhlak yang buruk, maka buruk juga lah ibadah pada Allah. Sewajarnya sebagai Muslim,hati mesti ikhlas, akhlak mesti baik maka ibadah jadi soleh.
4. Tubuh badan yang kuat
Tubuh badan yang kuat memudahkan seorang Muslim menjalankan tugas dan tanggungjawab yang berat.
Jadi pemakanan perlu dijaga dan senaman mesti di laksana supaya kesihatan tubuh badan terpelihara. Makanan yang baik, halal dan seimbang perlu di ambil kira. Kerja-kerja dakwah yang berat dapat dipikul oleh Muslim yang kuat; kuat aqidah, baik akhlak, kuat ibadah, kuat dan sihat tubuh badan. Seorang Muslim yang kuat dan sihat lebih utama dan lebih dikasihi Allah dari Muslim yang lemah dan selalu sakit.
5. Pemikiran yang terdidik dan matang
Akal adalah wadah ilmu, jadi akal seorang Muslim yang soleh perlulah sentiasa diasah selalu dengan pengisian ilmu yang bermanfaat. Medan dakwah dan tarbiah memerlukan Muslim yang berilmu, jadi penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang adalah sangat perlu untuk menghadapi cabaran-cabaran musuh Islam yang sentiasa menyerang. Tambahan pula dalam era sekarang , di zaman yang mencabar ini, ketinggian pemikiran atau intelektualisme amat di perlukan.
6. Teratur (sistematik) dalam urusan atau kerja
Muslim yang soleh harus bekerja secara teratur yang mana hasil kerjanya terbaik dan berkualiti disertai niat yang ikhlas tadi. Sifat ihsan dalam bekerja haruslah diamalkan sehingga mampu menghasilkan yang terbaik. Jika kerjanya tidak teratur, tunggang-langgang, hasil kerjanya tidak berkualiti dan ini mungkin akan menghilangkan kepercayaan orang lain terhadap dirinya dan kerja yang dilakukan. Lebih-lebih lagilah di dalam kerja-kerja dakwah dan tarbiyyah, seorang muslim itu adalah contoh yang diperhatikan oleh masyarakat. Kerja dakwah dan tarbiah yang berkualiti mempunyai pengaruh dan kesan yang besar dalam menghasilkan hasil yang berkualiti juga.
7. Menguasai diri sendiri
Muslim yang soleh mampu menguasai diri, dapat bersabar ketika susah, bersyukur sewaktu senang dan bila menerima nikmat Allah SWT. Dia tenang dalam melaksanakan tanggungjawabnya lebih-lebih lagi tanggungjawab dakwah yang mencabar, sentiasa optimis dengan kejayaan dakwah dan pertolongan Allah SWT dalam kerja-kerja yang dilakukannya kerana Allah SWT semata-mata. Hatinya sentiasa takut pada Allah dan mengharap pada pertolongan Allah SWT . Penguasaan diri diperolehi melalui proses yang berterusan; dia sentiasa memperbaiki diri dalam masa yang sama mengajak orang lain!
8. Menjaga waktu dengan baik.
Seorang Muslim yang soleh mampu menjaga masanya agar tidak terbuang begitu sahaja, setiap detik masa diperhatikan dan diisi dengan amal yang soleh. Rasulullah saw mengingatkan kita supaya jangan buang masa atau melengah-lengahkannya .......
" Jika engkau berada pada waktu petang, maka janganlah engkau menunggu waktu pagi, dan jika engkau berada pada waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu waktu petang, dan pergunakanlah waktu sihatmu sebelum waktu sakit dan pergunakanlah waktu hidupmu sebelum waktu mati." (Riwayat Imam Bukhari)
Manusia sering tertipu dengan nikmat sihat dan masa lapang mereka dan tidak mempergunakannya untuk meningkat iman dan takwanya. Sebaliknya kedua-dua nikmat yang berharga ini di salahgunakan dan seringkali terbuang begitu sahaja. Detik detik waktu adalah kehidupan, jadi mensia-siakan waktu bererti mensia-siakan kehidupan. Jadi waktu perlu digunakan dengan cara yang paling effisien dan berkesan. Sebenarnya kweajipan kita lebih banyak dari waktu yang kita ada, jadi perlu merancang waktu kita setiap hari bagaimana ia digunakan.
9. Mampu bekerja sendiri (berdikari)
Seorang Muslim yang soleh boleh berdikari, tidak perlu banyak bergantung pada orang lain. Pergantungannya banyak hanya pada Allah SWT dalam semua urusannya, sentiasa berdoa , bertawakkal dalam melaksanakn kerja-kerjanya. Dalam usaha mencari nafkah, dia tidak suka meminta-minta, selalu berusaha sendiri bagi menanggung diri dan dan orang-orang dibawah tanggungannya. Menyakini bahawa rezeki itu adalah dari Allah dan sentiasa berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal dan baik.
10. Bermanfaat pada orang lain.
Islam diturunkan sebagai rahmat pada seluruh alam begitu juga kedatangan Rasulullah saw. Jadi orang muslim yang soleh juga perlu sedemikian juga...menjadi rahmat pada orang lain. Bermanfaat untuk diri sendiri, bermanfaat pada orang lain dan persekitaran. Dapat menyampaikan dakwah pada orang lain supaya kembali pada Allah dan mentarbiyyah diri, keluarga dan masyarakat supaya terikat dengan Islam. Inilah dia sebenarnya Muslim yang terbaik.....kebaikan bukan hanya untuk diri sendiri tapi ia mengalir keluar pada persekitaran yang di diaminya. Tiada guna dia hanya boleh jaga diri saja tapi membiarkan keluarga dan masyarakat.
Kesimpulannya sepuluh ciri-ciri Muslim yang soleh ini merupakan satu keperluan lebih-lebih lagi sekarang dalam rangka kita nak menyampaikan dakwah pada masyarakat dalam suasana yang mencabar dan sofistikated ini ....... Dalam suasana Islam yang dagang ini, kita kehilangan contoh peribadi Muslim yang praktik. Nak memperkatakan dan mengajak pada Islam bukan setakat teori semata-mata, tapi yang lebih berkesan adalah melalui sahsiah Muslim yang soleh. Jadi itulah sebenarnya matlamat kita melalui tarbiyyah ini....
Dihujung perjalanan kehidupan ini......dalam apa saja yang kita buat.......kita hanya mengharap keredhaan Allah SWT sahaja, bukan redha manusia! Perjalanan yang dilalui bukanlah ditaburi bunga-bunga dan permaidani merah....tapi menuntut pengorbanan dari kita! Sanggupkah kita melaluinya yang mana ganjarannya sangat mahal iaitu syurga? Jadi sama-samalah kita renung-renungkan.....
asm
ReplyDeleteInilah hajat kita untuk kita menjadi muslim yang taat pada perintah Allah, juga pada Anak-anak kita, kawan-kawan kita. Untuk mendapat ikhtiraf sebagai hamba Allah yang soleh ini perlukan kepada keikhlasan,pengorbanan dan kesungguhan di dalam mendidik hati kita untuk terikat dengan keimanan pada Allah SWT. Jadi ayuh, masa sudah banyak berlalu dan terbuang...kini kit aperlu bangun untuk muhasabah dan kembali kepada Allah SWT dengan mengikut petunjuk Rasullulah SAW dalam semua aspek...