Untuk mendapat kesedaran dan kefahaman Islam yang sebenar bukanlah hanya melalui pembacaan atau setakat menghadiri kuliah atau ceramah umum sahaja. Apa yang akan diperolehi cuma setakat kefahaman yang ilmiah sahaja tapi ia tidak mampu bertahan lama. Dalam suasana yang teruji, mudah kecundang dan tidak dapat istiqamah. Hanya melalui kefahaman yang mendalam dan kesedaran Islam yang sebenar sahaja yang membolehkan sesaorang itu menghadapi mehnah dan ujian dengan pendirian yang teguh beristiqamah dengan apa yang diyakini dijiwa.
Untuk sampai kepada kefahaman dan kesedaran sebegini perlunya melalui satu proses tau'iyah dan tarbiyah yang panjang memakan masa yang lama dan bersifat terus menerus.
Pada peringkat awalnya, sebagai Muslim apa yang perlu kita jalani adalah proses tau'iyah iaitu satu proses untuk mendapatkan ilmu pengetahuan yang betul tentang apa itu Islam atau konsep Islam yang sebenar melalui sumber-sumber yang muktabar.....iaitu ayat-ayat suci AlQuran yang ditafsir oleh oleh ulama-ulama tafsir yang jelas kefahaman mereka terhadap Islam, jihad mereka terhadap menegakkan Deen Allah SWT dan mereka iltizam dengan Islam dalam apa jua suasana yang mereka hadapi.
Disamping itu, kefahaman Islam ini , kita cuba fahami melalui hadis-hadis Rasulullah saw dan sirahnya, sejarah dan sirah para sahabat Rasulullah yang telah menerima proses tau'iyah dan tarbiyyah terus dari tangan Rasulullah saw. Memahami Islam dari sumber yang soheh cukup penting agar kefahaman kita tentang Islam tidak bercampur aduk; Islam yang kita fahami sama seperti Islam yang disampaikan oleh baginda Rasul kepada sahabat-sahabatnya terdahulu. Jadi sangat penting pada peringkat awal mendapat kefahaman Islam ini, segala rujukan, pembacaan kita mestilah di teliti agar apa yang kita fahami tidak lari dari Islam sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul. Jadi di atas kefahaman yang soheh ini lah kita dapat bergerak di atas jalan yang lurus menuju kepada keredaan Allah!
Jadi apa sahaja bentuk kefahaman dan jalan yang tidak mengikut sunnah Rasulullah dalam dakwah dan tarbiyyah ini tidak akan sampai kepada satu cita-cita murni untuk melahirkan satu ummah Islamiyyah yang memahami Islam diatas dasarnya yang soheh, iltizam dan intizam dengan Islam dalam akhlak dan semua aspek hidup.
Seorang Muslim yang komitted, kefahamannya mendalam dan soheh, kesedaran Islamnya tinggi, jihad dan pengorbanannya jelas......semua itu adalah natijah proses tau'iyah dan tarbiyyah Islam yang mampu menggetarkan jiwa, menanamkan iman dan takwa yang hidup dalam hati nurani! Jiwanya yang sentiasa memandang ke alam baqa, sentiasa memikirkan apakah kesudahannya selepas menempuh perjalanan hidup yang jauh.....kemanakah destinasi akhirnya? Neraka atau syurgakah? Kejahilannya tentang kesudahan tempat kembalinya membuatkan ia sentiasa dalam keadaan takut dan harap pada Allah SWT. Takut akan azab Allah dan sentiasa berharap mendapat rahmatNya setelah melaksanakan ketaatan padaNya. Bukannya harapan yang kosong dari orang yang lalai dan mencuaikan perintahNya!
Sesungguhnya kefahaman yang mendalam dan soheh serta kesedaran Islam yang sebenarnya inilah yang kurang didapati dalam masyarakat Islam sekarang, bahkan dikalangan orang yang berilmu tinggi pun tidak memilikinya! Betapa ramai ulama yang berkelulusan tinggi masters dan Phd, sepatutnya mereka ini mampu memberikan dan menjalankan proses tau'iyah dan tarbiyyah ini.....namun realitinya tidaklah begitu! Walaupun ilmu penuh didada, bibir dan lidah fasih menghafaz dan menghuraikan.....namun apa yang difahami hanya berlegar di akal dan tidak mendasari jiwa dan menggetarkan perasaan. Apa yang difahami lain dari apa yang diamalkan dalam realiti hidup!
Setiap orang Muslim sangat berhajat pada bentuk kefahaman dan kesedaran Islam yang sebenarnya lebih-lebih lagilah bagi mereka yang mengajak manusia ke jalan Allah! Kefahaman dan kesedaran ini adalah anugerah dan kurniaan Allah kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Jadi dalam kita mendekati dan memahami Islam kita perlu sentiasa berdoa kepadaNya agar Allah memberikan kita kefahaman dan kesedaran deen yang sebenarnya! Kefahaman sebegini adalah cahaya yang mana kita dapat membezakan antara hak dan batil, antara petunjuk dan kesesatan, memberikan kekuatan jiwa dan ketenangan hidup, membuatkan hati sentiasa terpaut dengan akhirat dan tidak cintakan dunia!
Kita sepatutnya tidak hanya berpuashati setakat melaksanakan ibadah khusus sahaja tanpa memahami Islam dalam konteks yang sebenarnya. Sewajarnya lah kita berusaha mendapatkan ilmu yang benar, keyakinan yang mantap .............yang mana diatasnya kita berada di atas jalan yang lurus menuju Allah dalam setiap detik masa yang berlalu!
No comments:
Post a Comment