Friday, January 27, 2012

Sudahkah kita laksanakan apa yang kita tahu dan faham tentang islam....?


Bismillahirrahmaanirrahim....

Alhamdulillah setinggi-tinggi  kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya jua dapat ku teruskan coretan di blogku ini setelah beberapa minggu 'berehat' seketika. Berehat dalam ertikata aku membuat refleksi diri tentang apa yang telah ku tulis selama ini.....walaupun tidak menulis namun sering ku ulang-ulangi membaca apa yang ku tulis selama ini.... sebenarnya pengulangan itu perlu dalam rangka muhasabah diri, sebenarnya masih banyak yang kita perlu perbaiki diri .Dirasakan kita ini lebih banyak bercakap, membaca, mengumpul ilmu dari kita mengamalkan apa yang kita faham! 

Ilmu yang hidup dan bermanfaat adalah ilmu yang di amalkan....tidak semestinya apa yang kita tahu itu semuanya kita sudah amalkan! Dalam kita melalui hidup ini....sebagai manusia disebabkan kekurangan kesungguhan diri, kemalasan diri, suka bertangguh.....kita lebih banyak bercakap dari beramal. Cakap selalunya tak serupa bikin! Perkara inilah yang perlu kita ambil berat dan proseskan dalam hati kita.....sejauhmana benar-benar kita sudah melaksanakan apa yang difahami tentang deen Allah ini. 

Sesungguhnya tanpa pertolongan dariNya, taufik dan hidayahnya sememangnya kita tak mampu buat apa-apa! Justru itu,  panjatkanlah  doa kita selalu padaNya agar Allah mencampakkan dalam hati kita ini rasa suka dan cinta pada apa yang dicintai Allah.....dan benci pada apa yang benciNya.  Kita mulailah dalam diri kita melakukan perkara atau amal yang kecil...walaupun nampak kecil tapi jika ada keikhlasan jiwa dalam melaksanakannya...maka ia jadi amal soleh.

Tarbiah diri di mulai dengan tarbiah hati yang memfokuskan pada melaksanakan sesuatu itu atas dasar yang betul dan ikhlas kerana Allah. Jangan setakat nak cepat sahaja menghabiskan sesuatu kerja.....tapi dalam melaksanakannya,  terlupa jiwa kita ketika itu berhubung dengan Allah. Mulai sesuatu dengan Bismillah dan akhiri ia dengan Alhamdulillah dan istighfar.........dan semasa melaksanakannya jaga niat kita sentiasa. Ku rasakan nak istiqamah dengan ini pun ...sukar juga, kadang-kadang kita nak cepat siap, kelam kabut.....akhirnya walaupun perkara ini nampak mudah sahaja, kita sering terlupa! Apatahlagi bila banyaknya kerja yang kita kena buat......

Keterikatan hati kita dengan Allah akan membantu kita melalui proses tarbiah ini dengan istiqamah...walaupun dengan keadaan jatuh bangun, lemah kemudian kembali kuat.....pada setiap keadaan kita perlu sentiasa kembali pada Allah menyerah diri padaNya! Dalam apa jua suasana kita tidak boleh pisahkan diri kita dari tarbiah Islam...jika kita berhajat untuk menghayati kesyumulannya dalam diri. Islam tidak mampu ditegakkan tanpa tarbiah!  

Sememangnya,  jika kita sedari sebenarnya kita ini sentiasa dalam kesibukan diri mentarbiah jiwa kita walaupun kita berada bersendirian mahupun bersama masyarakat.Tiada istilah kita tiada kerja nak buat, bosan dan sebagainya... Setiap detik dan masa seharusnyanya kita isi dengan perkara yang memberi manfaat pada deen islam, pada peningkatan diri sama ada dari sudut akli atau rohi. Setiap detik masa itu berharga sebenarnya! Namun perkara inilah yang sering kita terlalai dan terleka.....

Masa berlalu dan pergi, tidak menunggu kita. Suatu masa kita akan kembali padaNya. Teringat aku pada kawan baikku yang baru kematian suaminya.....yang kesedihan ditinggalkan, sentiasa merinduinya. Kubisikkan padanya,  suami yang dikasihi itu telah kembali ke kampung halaman yang abadi terlebih awal dari kita....kita juga akan mengikutinya entah bila,  mungkin cepat atau lambat...masanya pasti tiba. Jadi persediaan kita untuk itu, bagaimana? Itu yang sepatutnya kita takuti....bukanlah kita merintih menangis kepiluan berpanjangan kerana ditinggalkan. Hati mana yang tidak rasa  sedih menangisi insan  tersayang,  itu memang lumrah insan yang kehilangan dan kerinduan....tapi sedarilah kita akan menyusuli kemudian, hidup ini perlu diteruskan walau bagaimana berat jiwa ini! 

InsyaAllah semoga Allah memberikan kita kekuatan jiwa dalam melalui samudera kehidupan yang banyak ujian  ini....agar kita dapat melaluinya dengan tabah. Teringat ku akan lirik nasyid kumpulan Shoutul Harakah yang sering terngiang-ngiang di fikiranku....
  Mengharungi samudera kehidupan...
  Kita ibarat para pengembara...
  Hidup ini adalah perjuangan..
  Tiada masa untuk berpangku tangan...

 Setiap tetes peluh dan darah
 Tidak kan sirna di telan masa
  Segores luka dijalan Allah 
  Kan menjadi saksi pengorbanan...

Semoga kita tingkatkan kesungguhan kita mendalami dan menghayati islam dalam diri, keluarga dan masyarakat . Mudah-mudahan hati kita  gembira dan bahagia kerana mentaati Allah dan menjauhi laranganNya dan juga rasa sedih kerana memaksiatiNya. Amin.
Ku akhiri dengan rakaman video yang menyentuh hatiku....sama-sama kita saksikan semoga ia menyentuh jiwa kita bersama.






Wednesday, January 04, 2012

Persediaan kembali ke sekolah di tahun 2012...



Bismillahirrahmanirrahim......

Alhamdulillah, setinggi kesyukuran dipanjatkan kehadratNya, kerana dengan izinNya ku telah melangkahkan kakiku  ke tahun baru Masihi 2012, tahun baru yang mendatang dengan tugas dan tanggungjawabku sebagai pendidik...mendidik anak-anak bangsaku . Kan ku cuba  melaksanakan tugas ini sebaik mungkin.....difikiranku tersemat satu kata-kata ...untuk menjadi pendidik perlulah terdidik! Memang berat sebenarnya tanggungjawab ini....bukan setakat memberikan ilmu tapi sebenarnya perlu memberikan kefahaman tentang tanggungjawab kita sebagai insan yang dijadikan Allah...Namun bukanlah semudah itu, sebenarnya kita perlu menjadi contoh kepada anak didik kita dari segi sahsiah, akhlak yang dapat diikuti...

Esok adalah hari pertamaku ke sekolah pada tahun ini. Jadi perlu diiisi jiwa ini dengan matlamat yang jelas mengapa aku ke sekolah! Perlunya  sentiasa mendidik diri, memperbaiki segala kelemahan di tahun lepas.....bila ku kenangi, aduhai...kan  ku cuba tidak mengulangi kesilapan yang lepas...ya Allah bantulah aku yang lemah ini!! InsyaAllah mudah-mudahan dengan pertolongan dariNya ku dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan lebih baik, lebih sistematik......

Teringat kata-kata sahabat sewaktu taklimat semasa aku menghantar anakku mendaftar diri ke Tingkatan Satu di Sekolah Maahad Tarbiyah Islamiyah ........apa yang penting dalam mendidik anak-anak ini bukanlah setakat hanya menjadikan mereka cemerlang dalam akademik dengan banyaknya A tapi yang penting sekali mendidik mereka menjadi manusia yang tahu matlamat hidup mereka...apakah tujuan kehidupan ini, bukanlah setakat mainan belaka? Bukanlah matlamat pendidikan itu untuk melahirkan orang yang bijak pandai supaya dapat jadi doktor, jurutera, pensyarah dsbnya sahaja.... 

Realitinya sekarang masing-masing berlumba untuk mendapatkan banyaknya A dalam subjek tapi terlupa menekankan soal iman dan aqidah  yang menjadi teras dan tunjang diri.....akibatnya setelah mencapai kejayaan ada yang terbabas dari segi pergaulan, sahsiah diri bahkan aqidah juga !  Kita lihatlah apa yang berlaku sekarang kepada yang menjadi kebanggaan Malaysia suatu ketika dulu yang telah meraih 17 A dalam SPM 2005 ...seorang pelajar wanita yang sopan dan bertudung, tapi sekarang ni telah berubah sama sekali sahsiah diri! 

 Begitu juga ku dapat berita dari sahibahku seorang kaunselor di salah sebuah pusat pengajian tinggi.....seorang pelajar yang mendapat 10 A1 dalam SPM  yang sedang mengikuti foundation studies disebuah institusi.....telah murtad ke agama Kristian..., tidak diduga sama sekali oleh ibu bapanya kerana anaknya itu bukanlah tergolong dari yang suka bersosial, sahsiahnya baik dan dia solat! Gejala kemurtadan ini sudah berleluasa di Malaysia sekarang. Mana tidaknya, dakyah Kristian ini mencari mangsanya yang lemah iman, yang bermasalah, yang tidak pandai bersosial suka bersendirian...mereka ini didekati dengan kasihsayang, ambil berat, diberi bantuan...akhirnya terjebak! 

Di manakah silapnya pendidikan hari ini?
Pendidikan hari ini adalah pendidikan sekular yang memisahkan agama dari ilmu. Ilmu yang disampaikan begitu terpisah dari ilmu deen yang dapat mendidik jiwa mengenali siapakah pencipta manusia, makhluk seluruhnya dan segenap alam ini. Hati dan jiwa tidak diisi dengan keimanan pada Allah yang menyebabkan  jiwa itu kosong...dan kekosongan ini diisi dengan unsur-unsur negatif dan menyeleweng!

Ibubapa pulak sibuk bekerja mencari wang, dan biasanya lebih menekankan hal akademik anak sahaja......anak mesti dapat banyak A dalam peperiksaan untuk itu anak di hantar ke tuition hampir semua subjek. Anak-anak ditekankan supaya belajar, belajar dan belajar.....Ibubapa yang kaya pula hantar anak ke personal tuition yang mahal yang bayarannya lebih kurang Rm 40 sejam bagi satu subjek! Penekanan agama pula tidak dipentingkan......kenapa jadi begini? Bukankah dunia yang dikejar ini hanya sementara sahaja? Bahagiakah kita dengan pencapaian akademik semata.....tapi cetek dari segi agama? 

Perlulah sama-sama betulkan semula prioriti dalam hidup kita ini.....dunia yang dikejar akhirat jangan ditinggalkan. Lebih tepat lagi kejarlah akhirat maka dunia akan menyusuli kalian....! 

Sama-samalah kita memanjatkan doa ke hadratNya supaya tahun ini lebih baik dari tahun yang lepas.....usahakanlah  supaya ada peningkatan dalam diri dari segi hubungan dengan Allah dan Rasul, hubungan  dengan ibu bapa dan hubungan dengan masyarakat. Bukanlah semestinya banyak kita lakukan sekali gus tapi pertingkatkan sedikit demi sedikit tapi berterusan. Ini lebih baik dan berkesan dalam membentuk tabiat diri yang berkekalan, insyaAllah.

Bismillahirrahmaanirrahim 30 MENU LAZAT SEPANJANG RAMADHAN Jom Prepare! 1. Tilawah al Quran sejuzuk sehari paling kurang....