Thursday, June 30, 2011

Kembalikan rasahatimu pada Allah....

Bismillahirrahmanirrahim....

Ubudiyyah hanya pada Allah SWT semata-mata merupakan salah satu dari  rukun pertama dalam aqidah Islam  yang di jelmakan dalam pengakuan kita yang bermaksud Tiada illah yang disembah melainkan Allah SWT.......dan menerima pengakuan ini dari Rasulullah saw melalui persaksian bahawa Muhammad itu benar-benar pesuruh Allah.  

Hati yang benar-benar beriman pada Allah dan hati yang muslim adalah hati yang menjelmakan hakikat di atas. Bukan setakat itu sahaja, apa sahaja yang berkaitan dengan asas-asas keimanan dan rukun Islam juga perlu direalisasikan dalam hidup ini. Keimanan pada Allah dan Rasul, Malaikat dan kitabullah, hari akhirat, qada dan qadar Allah, mendirikan solat, puasa, zakat, haji, melaksanakan hukum Allah sperti hukum hudud, qisas dan ta'zir, halal haram muammalat dan undang-undang dan arahan keislaman......semuanya tertegak atas dasar ubudiyyah pada Allah. Tiada satu pun yang tertinggal..yang mana semua ini diterima oleh Rasulullah dari Allah SWT. 

Pengakuan kalimah tauhid ini merupakan satu kaedah atau manhaj yang sempurna yang mengambil Islam secara keseluruhannya...bukannya Islam dalam bentuk serpihan atau terpisah-pisah. Tertegaknya manhaj ini dalam diri individu Muslim merupakan satu kemestian di mana setelah itu barulah tertegak masyarakat Muslim.......Ia mestilah tertegak dengan sendirinya tanpa ada campur aduk atau kompromi dengan manhaj -manhaj lain. Jika tidak,  maka tidak betullah hakikat ubudiyyah pada Allah yang menuntut bahawa illah itu semata-mata hanya Allah sahaja!   

Jadi dalam seluruh hidup ini......hakikat ini perlu kita tegakkan dalam diri dan seluruh kehidupan kita, dari perkara yang sekecil-kecil hinggalah perkara yang sebesar-besarnya.......semua sekali termasuk juga segala rasahati kita ini perlu kita selaraskan dengan apa yang diredhai oleh Allah! Apabila kita mengaku tiada illah atau sembahan selain Allah.....tuntutannya adalah hanya nilai Allah sahaja yang semestinya kita ambil dalam hidup ini. Nilai nafsu, nilai manusia, nilai masyarakat...semuanya perlu diketepikan! Yang hanya ada adalah nilai Allah sahaja.......  

Namun boleh ke kita laksanakan jika dalam hati masih ada rasa sayang dan cinta pada nilai selain Allah ini??
Memangnya sukar nak buang dan ketepikan apa yang kita sayangi dan cintai....tapi kita ada pilihan lainkah jika berhajat nak mengambil nilai Allah , kembali padaNya dan berhajat pada keredaanNya? Nilai Allah ini adalah nilai termahal dan tertinggi yang sebenarnya perlu kita junjung dalam diri kita. Perlunya kita korbankan segalanya untuk Allah SWT...............,itulah sebenarnya jalan yang seharusnya kita ikuti jika kita kata kita nak berubudiyyah semata-mata kerana Allah SWT!   

Disinilah perlunya ada kekuatan diri dan keikhlasan hati untuk melaksanakannya......walaupun pahit untuk menelannya, namun setiap yang pahit itu adalah ubat sebenarnya....perlunya bersabar menelan ubat yang pahit ini sehinggalah tiada lagi dirasai kepahitannya...malah akhirnya Allah akan memberikan natijahnya yang merupakan kemanisan iman!

Sebagai manusia biasa, tentulah sukar bagi kita untuk bersabar .....sabar dengan kerenah orang lain, malah perlulah lebih sabar dengan kerenah diri sendiri yang perlu diproses, yang banyak kelemahan dan kemahuan! Kadang-kadang terasa letihnya dan sukarnya kita nak jinakkkan hati kita, nak istiqamahkan diri kita agar berada di atas landasan Islam yang lurus....kerana banyaknya godaan dari luar dan dalam diri kita , dunia yang melalaikan, hawanafsu yang cuba mempengaruhi kita!

Disinilah perlunya kita memohon kekuatan dari Allah SWT...hanya Dialah yang boleh membantu  kita dalam hal ini......Hanya padaNya tempat kita bergantung harap dalam hidup ini....bukan bergantung pada yang lain seperti suami kita, anak kita, ibubapa atau sahabat dan kawan-kawan kita atau sesiapa sahaja.......Mereka boleh memberikan sokongan namun sebenarnya bantuan dani sokongan dari Allahlah itulah yang terbaik dan yang sebenarnya kita dambakan!! 

Kita sebagai manusia, mungkin kita rasa nak berkongsi rasahati kita dengan manusia...tetapi sebenarnya perlulah terlebih dahulu kita berkongsi rasahati dan mengadu pada Allah....hanya Dia yang boleh membantu kita kerana Allah Maha Mengetahui segala isi hati kita..... dan yang sebenarnya memberi ketenangan pada jiwa kita!

Selalunya manusia suka dan silap menilai dan sering memberikan pandangan dan nasihat yang kurang tepat.....apapun mengadu dan kembali pada Allah terlebih dahulu dari pada mengadu pada manusia itu adalah penyelesaian yang terbaik!!

Seperti diri sendiri, orang lain juga ada kelemahan masing-masing.....tapi perlunya kita cuba fokuskan kekuatan bersama untuk dimanfaatkan.  Segala kelemahan itu perlu sama-sama diperoses bukan diperbesar-besarkan sehingga menjadi satu isu yang hangat diperbincangkan! 

Begitu uniknya hati manusia ini.....ia boleh jadi hati yang lembut, baik dan bersih ataupun ia juga boleh jadi hati yang busuk, keras dan kasar!  Semua ini bergantung sejauhmana hati ini dikembalikan berhubung dengan Allah SWT.  Semakin hati itu dihubungkan dengan Allah......semakin lembut, baik dan bersihlah ia!! 

Jadi , sama-samalah kita  memproses dan memperbaiki diri kita untuk memiliki hati yang Allah suka......iaitu hati yang paling bersih, paling lembut dan paling cekal.....iaitu paling bersih dalam keyakinannya, paling lembut dengan sahabatnya dan paling cekal dalam beragama...kerana dengan hati inilah kita akan menghadap kehadratNya nanti, insyaAllah!!

Thursday, June 23, 2011

Sebaik-baik akhlak seorang mukmin

Bismillahirrahmanirrahim....

Dari Syaikh Ibnu Athaillah yang bermaksud.......
" Sebaik-baik akhlak seorang mukmin adalah orang yang sentiasa sibuk menunaikan hak-hak Allah, yang bermakna menjauhi semua laranganNya dan melaksanakan semua perintahNya, tanpa berangan-angan untuk mendapatkan pahala dari amalan yang dilakukannya itu.  Tugas seorang hamba hanyalah beribadah dan mengabdi diri padaNya bukan kerana adanya syurga dan bukan pula takut pada neraka....Tetapi adalah semata-mata kerana Allah SWT."

Ini bersesuaian dengan ikrar kita setiap hari pada Allah sewaktu solat kita yang berbunyi....
"Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah semata-mata kerana Allah Tuhan sekelian alam."

Untuk kita sentiasa mengingati Allah dalam semua hal dan keadaan dan menjadikan Allah matlamat seluruh hidup dan mati kita sebagaimana ikrar kita tersebut perlulah kita melakukan beberapa amalan iaitu....
  • Sentiasa mengucapkan Bismillah
Sentiasa mengucapkannya apabila memulakan sesuatu pekerjaan. Melalui pengucapan tersebut bermakna kita mengakui akan kebesaran dan kekuasaan Allah SWT dan selanjutnya menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah atas berhasil atau tidak berhasilnya sesuatu pekerjaan yang dilakukan itu.

Ucapan ini juga menghasilkan kesan psikologi iaitu mendatangkan rasa aman, lebih yakin, penuh harapan akan kejayaan pekerjaan tadi.... Sabda Rasulullah saw yang bermaksud..
"  Setiap pekerjaan yang tidak dimulai dengan Bismillah, maka ia akan terputus."  Bermakna terputus dari keberkatan Allah dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan.
  • Sentiasa mengucapkan tahmid
Selepas melakukan sesuatu pekerjaan hendaklah kita mengucapkan tahmid atau memuji Allah SWT ataupun bersyukur di atas kurniaNya yang diberikan kepada kita kerana dengan izinNya kita dapat melakukan pekerjaan tersebut dan menyelesaikannya dengan baik dengan lafaz.....Alhamdulillahi rabbil alamin... segala puji bagi Allah Tuhan sekelian alam. 

Tanpa pertolongan dari Allah kita tidak akan mampu berbuat apa-apa untuk menyelesaikan urusan pekerjaan kita walaupun ia kelihatan sangat mudah. Kita bertahmid memuji Allah dengan lisan kita tapi kita mensyukurinya  dengan lisan, hati dan perbuatan kita. Itulah bezanya antara tahmid dan syukur yang perlu kita ketahui dan menghayatinya. Ucapan tahmid ini hendaklah sentiasa kita ucapkan pada setiap selesainya sesuatu pekerjaan ataupun tidak, sama ada ia membawa keberuntungan ataupun tidak.  
  • Sentiasa beristighfar
Sebagai manusia yang lemah ini, kita tidak pernah sunyi dari berbuat kesilapan dan dosa sama ada  sengaja ataupun tidak. Jadi sewajarnyalah kita selalu mengucapkan istighfar memohon keampunan dari Allah di atas segala dosa dan kesalahan, kelalaian dan kesilapan yang dilakukan.  Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam firmanNya dalam surah Ali Imran ayat 135 yang bermaksud....
" Dan orang-orang yang terlanjur  melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, hendaklah mereka segera mengingati Allah dan memohon ampun diatas dosa yang mereka lakukan."
  • Mengucapkan InsyaAllah bila berjanji.
Dalam pergaulan sehari-hari, adakalanya ktia berjanji dengan sahabat dan rakan taulan kita, maka dalam
berjanji janganlah memberikan kepastian tetapi ucapkanlah InsyaAllah. Seringkali kita telah mengatur atau merancangkan sesuatu rancangan dengan teliti, tetapi di luar kemampuan dan perhitungan kita , apa yang di rancang itu tidak menjadi kenyataan..... Ini ditegaskan oleh Allah dalam firmanNya yang bermaksud...
" Dan mereka merancang, Allah juga merancang dan Allahlah sebaik-baik perancang."

Rancangan Allah tidak pernah gagal tetapi rancangan manusia sentiasa gagal kerana manusia hanya berusaha tapi Allahlah yang menentukan. Oleh sebab itu bila berjanji ucapkanlah InsyaAllah sebab masa yang akan datang itu bukan di tangan kita tapi di tangan Allah!
  • Membiasakan diri mengucapkan hauqalah
 Hauqalah adalah ucapan Laa haula walaa quwwata illaa billaa hil 'aliyyil 'azim yang bermaksud tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.   Ucapan ini merupakan pengakuan dari seorang hamba Allah bahawa makhluk itu tiada kemampuan, daya dan upaya, tiada kekuatan dan tiada kuasa melainkan dengan Allah SWT.  

Seperti kata Luqmannul  Hakim, kehidupan ini adalah bagaikan lautan samudera yang berombak dan sentiasa bergelora,  jadi dalam menghadapi hidup ini, perlunya kita memperkuatkan diri dan memperteguhkan jiwa kita agar hati kita tidak kecut dan gusar dengan selalunya kita mengucapkan hauqalah.
  • Mengembalikan sesuatu kepada Allah
Setiap manusia tidak mampu menghindarkan diri daripada ketentuan yang sudah digariskan oleh Allah SWT baik ketentuan dalam bentuk kurnia atau dalam bentuk musibah.  Oleh itu, jika sesuatu musibah  berlaku pada kita , kembalikannya pada Allah dengan mengucapkan Innaa lillahi wainna ilahi raji'un yang bermaksud sesungguhnya kita  adalah milik Allah dan sesungguhnya kita semua akan kembali padaNya. Dengan ucapan ini akan mengurangkan penderitaan yang kita alami dan seterusnya menimbulkan sikap redha dijiwa kita terhadap sesuatu yangmenimpa kita, insyaAllah.
  • Mempunyai landasan dan asas yang kukuh
Agar sesuatu binaan  atau bangunan itu boleh berdiri kukuh, tidak mudah runtuh dan goyah walaupun dilanda badai dan taufan yang kuat, perlulah ia mempunyai asas yang kukuh.

Begitu juga kita manusia ini,  agar dirinya tidak mudah goyah atau berubah pendirian diri dan tahan menghadapi godaan, semestinya kita mempunyai landasan dan asas yang kuat dalam diri iaitu perlunya diri berpegang teguh dengan kalimah syahadatain iaitu mengakui tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

 Kita perlunya berpegang teguh dengan kalimah ini dalam seluruh aspek kehidupan kita walau  dalam apa juga keadaan dan suasana. Kalimah ini merupakan paksi kehidupan seorang Mukmin dimana ia merupakan hakikat perhambaannya yang total pada Allah SWT dan dia mengikuti jalan yang dibawa oleh Rasulullah untuk merealisasikan hakikat ini. Bukan hanya setakat mengucap kalimah syahadah ini di bibir sahaja tapi tidak mendasari jiwa dan dibuktikan oleh perbuatan.

Mukmin yang sejati merasai hakikat hubungan jiwa yang erat dengan Allah dan inilah yang membentuk akhlak dirinya. Apa yang dirasai dijiwa, diucapkan oleh lisan dan dilaksanakan dalam perbuatan. Segala ucapan-ucapan yang diamalkan   diatas tidak bermakna jika hanya merupakan  mainan bibir sahaja, tidak memahami apa yang diucap dan tidak menghayati maksudnya dalam kehidupan. 

Sebagai manusia seharusnya kita melayari kehidupan ini berpandukan kepada apa yang telah disarankan oleh Allah dan Rasul, supaya dengan ini kita merasai segala sesuatu yang kita lalui ini merupakan ujianNya yang sebenarnya hendak melihat siapakah di antara manusia ini yang lebih baik amalnya di dunia ini. 

 Jadi setiap ujian dan dugaan yang mendatang seharusnya menyedarkan diri kita, menjadikan kita lebih peka tentang siapa diri kita, dan bagaimana kita menghubungkan segala sesuatu dengan kehendak Allah SWT.  Dengan ini , insyaAllah kita akan dapat melayari kehidupan ini dengan penuh rasa redha dan bersyukur kepadaNya! 

Rujukan
Kaifiyat  mempertajamkan hati dalam mengenal Allah
Syaikh Ibnu 'Athaillah Al-Sukandari
  


Saturday, June 18, 2011

Tinggalkanlah sesuatu yang tidak bermanfaat bagi kita!

Bismillahirrahmanirrahim.....

Daripada sabda Rasulullah saw yang bermaksud....
" Adalah termasuk kebaikan Islam sesaorang, yakni dia meninggalkan apa yang tidak bermanfaat baginya."

Sesaorang yang baik dan teguh keislamannya akan melakukan sesuatu yang bermanfaat baginya. Dia akan menyibukkan dirinya dengan perkara-perkara yang mendapat keredaan Allah SWT. Dan diantara kesibukan yang paling utama  yang perlu dilaksanakan adalah membersihkan hati , yang sebenarnya merupakan sesuatu yang fardhu atau wajib. Mensia-siakan perkara-perkara  yang fardhu akan menjejaskan ibadah yang sunat. Contohnya kebersihan anggota badan jadi tidak bermanfaat pada diri jika hati tidak bersih. Dan  cara untuk membersihkan hati kita adalah dengan mengamalkan segala isi Al Quran. Al-Quran perlu sentiasa dekat di jiwa kita , membacanya, mentadabburnya dan mengamalkannya.......!!

Apabila hati kita bersih dan terjaga, anggota badan akan terjaga dan bersih  dari melakukan perkara-perkara yang dosa dan maksiat. Hati yang bersih akan dipenuhi dengan ketauhidan dan keimanan pada Allah, tawakkal, yakin, taufiq, ilmu dan dekatnya dengan Allah SWT.

Apabila hati telah bersih dan suci, ia akan dapat  mendengar seruan Allah SWT dari segenap penjuru.  Hatinya dapat mendengarkan panggilan dari setiap para Nabi dan Rasul, para siddiqin dan para wali.  Hatinya akan hidup bila ia  dekat pada Allah SWT dan kematian bagi hati bila menjauh dari Allah SWT. Dia akan rasa puas dan redha akan segala sesuatu yang diberikan oleh Allah SWT dan tidak mengharap pada makhluk Allah SWT dalam memenuhi keperluannya.

Apabila hati seorang hamba telah sampai kepada Allah SWT, dia tidak akan menemui kesulitan untuk dekat pada Allah dan berbisik padaNya serta menjadi orang yang terpercaya di sisiNya serta tidak berkeinginan untuk kembali selain kepadaNya. Hati hanya akan mampu sampai ke tingkatan ini dengan melakukan semua yang fardhu, bersabar dalam meninggalkan yang haram, syubhat dan kesenangan.......Meninggalkannya semata-mata kerana Allah SWT, memerangi jiwa dari hawa nafsu dan syaitan dan kosong jiwa dari segala pujian dan cacian manusia, pemberian atau penolakan dan sebagainya....pendekata hatinya  bergantung hanya pada Allah sahaja...!!

Begitulah hakikat hati yang ingin kita miliki.......hanya akan didapati dengan melalui usaha yang berterusan memproses jiwa, membuang segala sifat mazmumah dan menggantikannya denga sifat mahmudah. Menyedari bahawa  keperluan membersihnya sesuatu yang wajib......sebab segalanya terletak di jiwa, iman takwa, tawakkal, redha.....dan hati inilah yang kita nak bawa pulang kepadaNya, jasad fizikal ini akan musnah dan hancur bila tiba saat kematian nanti.  

Perjalanan hidup ini sebenarnya merupakan perjalanan hati kita menujuNya yang mana setiap detik semakin hampir...... bagaimanakah persediaan kita?? Sejauhmana kesedaran di jiwa kita tentang hakikat ini.......begitu jugalah usha kita.

 Semoga Allah memberikan kita kesedaran yang tinggi , taufik dan hidayahNya untuk terus berada di atas jalanNya yang lurus ini.......Amin!!

Rujukan
Wasiat dan Nasihat kerohanaian
Syeikh Abdul Kadir Al-Jailani

Friday, June 17, 2011

Catatan perjalanan umrah di Makkatul Mukarramah

Bismillahirrahmanirrahim....

Tawaf mengelilingi Kaabah
Alhamdulillah setelah menziarahi kota suci Madinah, rombongan jemaah bergerak dengan bas dari hotel menuju ke Bir Ali untuk miqat umrah disitu sebelum bertolak ke Mekah pada lebih kurang pukul 3.00 pm hari Sabtu 4 Jun 2011. Jauh Mekah dari Madinah lebih kurang 400 km dan perjalanan memakan masa beberapa jam juga.Alhamdulillah dengan izin Allah, segalanya berjalan lancar dan dalam perjalanan berhenti solat jamak maghrib dan isya di sebuah tempat untuk berhenti rehat dan solat. Cuma apa yang diperhatikan tempat kemudahan solat di sini agak kecil  dan tandas pula kekurangan air. Maka terpaksa menunggu giliran agak lama juga untuk solat kerana beberapa buah bas lain yang sama tujuan pun berhenti disini. Maka ramai juga orang lain berhenti juga disini untuk solat......Kesabaran menanti giliran masing-masing sangat-sangat diperlukan.

Oleh kerana sudah berada dalam ihram, maka pantang larang ihram juga harus di jaga. Namun ada juga jemaah terutamanya wanita yang kurang menjaga auratnya walaupun dalam ihram........mungkin sudah terbiasa berbuat sedemikian sewaktu keadaan biasa. Sedangkan masalah aurat ini bukanlah hanya perlu dijaga dengan teliti semasa ihram....bahkan pada setiap masa dan ketika,  lebih lebih bagi kaum wanita. Mendedahkan aurat ini hukumnya haram tak kiralah masa ihram atau tidak!! 

Suasana malam di Masjidil Haram
Alhamdulillah, lebih kurang pukul 10.30 pm bas  pun sampai ke Hotel penginapan di kota suci Mekah yang mana hotel ini terletak tidak berapa jauh dari Masjidil Haram lebih kurang 10 minit perjalanan sahaja.  Dari tingkap bilk hotel sudah dapat melihat menara Masjid yang tinggi itu. Setelah mengangkat beg dan makan malam, maka rombongan kami pergi bersama-sama ke Masjidil Haram melakukan umrah pertama di Mekah.

Kami bertalbiyah dan penuh khusyuk bergerak ke Masjidil Haram di bawa oleh Mutawif umrah kami.
Kami memasuki pintu 79 iaitu Babul Al Malik Fahd dengan bacaan doa memasuki masjid. Berdebarnya hati ku dapat menjejak masuk ke Masjidil Haram kali ini, insyaAllah setelah sekian lama akhirnya pada kali kedua ini aku dapat memasuki semula ke masjid ini sebagai tetamu Allah lagi....Syukur ya Allah aku datang semula dengan izinMu! Tiada kata yang dapat ku ucapkan apabila melihat rumah Mu melainkan....Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar .....Walillahilhamd....!! 

MasyaAllah, ramai juga manusia sedang bertawaf, maka aku dan suami melangkah kaki menuju Hajarul Aswad untuk memulakan tawaf umrah. Laungan zikir, tasbih, tahmid berkumandang.....bersahut-sahutan tanpa hentinya dari jemaah manusia yang tawaf.  Sebaknya hati dan bercucurannya airmata mengelilingi Kaabah ini, berdoa dan berzikir tanpa henti-henti memohon ampunan dosa.....sehingga akhirnya dapat menyelesaikan tawaf lebih kurang sejam juga. Berhampiran Hajarul Aswad dan Makam Ibrahim selalunya terpaksa bersesak-sesak disini......perjalanan agak lambat kerana manusia yang ramai ...! Melihat keadaan  begini aku terfikir, berpeluangkah aku untuk mengucup Hajarul Aswad?  

Setelah berdoa di depan Multazam, solat sunat tawaf di belakang Makam Ibrahim serta solat sunat di belakang Hijr Ismail, kami pun  meminum air zam-zam dan berdoa dan menuju ke Bukit Safa untuk memulakan Sai Umrah.  Kakiku sudah keletihan, lututku semakin sakit dan badan penat kerana perjalanan jauh tadi dari Madinah....namun ku berdoa semoga Allah memberikan kekuatan hati untuk meneruskan sai ini, insyaAllah!

 Alhamdulillah, dengan melangkah perlahan-lahan, suamiku mengiringiku sama-sama membaca doa di setiap perjalanan sai.....insyallah setelah hampir dua jam barulah selesai sai tadi pada pukul 2.30 am,  hampir tiga jam sejak bermula tawaf tadi. Alhamdulillah, selesailah ibadah umrah ini.....mudah-mudahan dengan setiap langkah yang diayun semasa tawaf dan sai, Allah akan mengampunkan segala dosa yang banyak ini, menghapuskan segala kesalahan dang menggantikannya dengan kebaikan, insyallah. Itulah yang di harapkan sepanjang perjalanan menunaikan ibadah ini......setiap detik dan masa memanjatkan doa, berzikir, mohon ampun dari Mu Ya Allah Tuhan yang Maha Pengasih!

Ku perhatikan dalam mengerjakan ibadah ini, kekuatan semangat melebihi kekuatan fizikal. Ku lihat orang tua yang tidak bermaya dipimpin anaknya menapak perlahan-lahan mengerjakan sai, dan selesai sai,  si anak mengucup dahi bapanya yang terbaring keletihan memberikan semangat. Ada juga yang mengendong anak kecil semasa sai dan tawaf.  Sewaktu kami selesai tawaf umrah kelima pada waktu tengahari yang panas, ku lihat seorang lelaki tua yang capik kakinya yang berjalan perlahan, selangkah kita bersamaan tiga langkahnya, selesai tawaf dengan peluh membasahi kain ihramnya......Terharunya hati kami melihatnya, suamiku bangun dan memeluk dan mengucup lelaki tua tersebut......!!  Allahu Akbar....begitulah tingginya semangat ibadah manusia pada Allah, tak kira panas macam mana pun, pasti ada manusia yang tawaf mengelilingi Kaabah.

Dari hotel menuju ke Masjidil Haram
Aku  terfikir untuk mencuba tawaf pada waktu tengahari  yang panas suhunya ketika itu iaitu  42  C, kerana selalunya orang tidak ramai pada waktu itu.  Pada awalnya ku ingat bahangnya sama macam diluar Masjidil Haram, tapi masyaAllah...... semasa tawaf tidak ku rasakan bahang kepanasan seperti diluar masjid, malah dapat dihabiskan tawaf dalam masa setengah jam sahaja ! Lantai marmar tempat bersujud itu tidak sepanas seperti yang di sangkakan! Walaupun peluh menitik membasahi tubuh, namun ada angin yang bertiup yang menyejukkan diri. Itulah rasanya rahmat Allah yang diberikan, pada mereka yang bertawaf...........Wallahualam.

Namun aku agak terkejut dengan adanya orang mengambil upah untuk membantu jemaah mengucup Hajarul Aswad. Pada umrah ketiga yang kami buat , apabila hampir selesai tawaf pusingan ke 7, aku didatangi seorang wanita berbahasa Indonesia yang bertanya" Ibu mau kucup Hajarul Aswad tak, boleh di bantuin?"

Sememangnya sepanjang tawaf,  aku berdoa agar dapat mengucup Hajarul Aswad, menyentuh dan berpaut di Kaabah dan berdoa di Mutazam dan solat serta doa dalam Hijir Ismail. Aku  hanya menganggukkan kepalaku kerana memang itu niat ku tadi.  Wanita tadi bersama 3 orang lagi rupanya berpakat membantu kami untuk mengucup hajarul aswad , menjadi benteng agar aku dan suami tidak di himpit semasa mencium hajarul aswad. Sukarnya memasukkan kepala kedalam ruang Hajarul Aswad di letakkan kerana ramainya orang berebut-rebut, tapi akhir dapat mencium sedikit sahaja......Mujurlah tidak tercium apa-apa bauan....

Setelah selesai, wanita tadi mengikuti  kami keluar......dan dia  minta hadiah diatas apa yang dilakukan. Aku terkejut kerana tidak tahu menahu pasal ini....nak tolong pun minta hadiah? Aku nyatakan kami tidak bawa banyak wang untuk umrah ini,  dan sebolehnya tolong sahaja ikhlas kerana Allah bukannya minta duit untuk itu! Kalau minta duit...tidak ikhlas dan tidak dapat apa-apa ganjaran disisi Allah. Akhirnya aku hanya menyumbangkan wang sedikit wang sahaja sebagai hadiah penat lelahnya bukannya 400 Riyal sebagaimana yang diminta!! MasyaAllah, dalam melakukan ibadahpun ambil kesempatan cari duit! Semoga Allah memberikan taufik dan hidayahNya kepada orang sedemikian yang sudah tersasar dari matlamat asal ibadah kepada Allah!

Seperkara lagi yang ku perhatikan semasa sai dan tawaf ada juga jemaah menjawab dan bercakap dengan telefon...sepatutnya khusyuk beribadah umpama dalam solat , tiada lain yang kita ucapkan kecuali, zikir, zikir , doa dan sentiasa berdoa agar Allah mengampunkan dosa kita! Dan perbuatan  tadi iaitu  percakapan dan deringan telefon menganggu konsentrasi orang lain!! Begitu juga semasa menunggu waktu solat fardhu...Sepatutnya masa menunggu digunakan untuk baca Quran , berzikir ataupun solat sunat, bukannya bercakap dengan telefon atau bersembang- sembang sahaja.

Aktiviti sedemikian sepatutnya diminimakan bila berada di masjid. Kita beriktikaf didalamnya, jadi biarlah apa yang kita buat itu jadi ibadah yang sebenarnya yang diterima Allah sebagai amal soleh.  Melakukan solat di Masjidil Haram pahalanya adalah 100,000 kali ganda lebihnya dari solat di masjid lain. Ruginya kita jika kita membuang kesempatan sebegini.......!!

Kurasakan dalam melakukan ibadah apa pun, keikhlasan hati kerana Allah, kekhusyukan melakukannya dan mengikut syariat  yang telah ditetapkan adalah perlu kita ambil berat agar ibadah kita Allah terima dan tidak sia-sia di sisi Allah. Kualiti ibadah yang dibuat perlu dijaga bukan hanya mengejar kuantiti sahaja......dan buat lah sesuatu itu berdasarkan kemampuan diri, insyallah.

Setiap langkah yang di ayun, setiap zikir dan tasbih serta doa yang dipanjatkan perlulah datangnya dari hati yang ikhlas yang merasai hakikat hubungan hati dengan Allah SWT. Merasai kebesaran dan keagungan Allah pada setiap laungan takbir yang di ucapkan.....merasakan kekerdilan dan kehinaan diri apabila kita bersujud di hadapan rumah Allah.....lantas menitiskan air mata betapa kita ini,  banyaknya tidak mensyukuri nikmatNya, banyaknya hak Allah yang tidak tertunaikan, banyaknya dosa yang kita buat, seringnya kita melupakan Allah dalam melayari kehidupan ini, sibuknya kita dengan dunia dan kurangnya kita dengan akhirat kita, banyaknya tanggungjawab yang masih belum tertunai............aduh panjangnya senarai tidak mampu dituliskan...........!!  

Memang sepatutnya kita perlu meminta ampunan dosa dari Allah banyak-banyak semasa melakukan ibadah umrah atau haji yang merupakan kemuncak ibadah kita pada Allah yang memerlukan banyak pengorbanan dari kita dari semua aspek!! Bukannya  hanya datang dengan niat nak  memohon hajat yang terbuku di hati agar di tunaikan.......sebagai sampingan , insyaAllah tidaklah salah tapi bukannya matlamat utama!

Yang lebih utamanya, setelah melakukan ibadah ini mudah-mudahan tertingkatnya iman dan takwa, terhapusnya dosa, dan dapat memberikan sumbangan lebih untuk maslahah islam dan ummah, insyaAllah.
Segala yang buruk dalam diri dapat ditinggalkan dan dihiasi dengan akhlak yang mulia, insyaAllah!

Mudah-mudahan Allah memberikan kekuatan hati dan kemampuan diri untuk berubah menjadi yang lebih baik......semua itu sebenarnya bukanlah boleh datang sekelip mata dan berubah dengan drastik....tetapi perlu diproses jiwa dengan proses keimanan yang berterusan dan istiqamah.  Mohon taufik dan hidayah dariNya jua agar sentiasa berada di atas jalanNya yang lurus!! Kita ini hanya manusia yang lemah yang sangat-sangat memerlukan bantuan dan bimbingan Allah dalam segenap langkah kehidupan ini.......

Amin Ya Rabbal Alamin......

Wednesday, June 15, 2011

Catatan perjalanan ziarah ke Madinatul Munawwarah..

Bismillahirrahmanirrahim.........

Setinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya, dapat menulis sedikit perkongsian tentang perjalanan ke tanah suci Mekah dan Madinah.Suatu perjalanan umrah dan ziarah yang mengisi jiwa dan perasaan, merasai sendiri pengalaman ke sana lagi sejak kali  pertama dahulu mengunjungi tanah suci pada tahun 2003 sewaktu mengerjakan haji. Terujanya perasaan hati sewaktu mula menaiki pesawat Saudi Air pukul 3pm  dari KLIA yang terus ke Madinah setelah berhenti sebentar di Riyadh.

 Sepanjang perjalanan ku melontarkan pandangan keluar tingkap melihat kepulan awan bagaikan kapas putih yang terapung dengan pelbagai bentuknya.....Subhanallah,  sungguh cantiknya pemandangan! Saujana mata memandang...begitu luasnya alam ciptaan Tuhan, terasa pesawat yang ku naiki itu bergerak begitu perlahan di atas kepulan awan yang luas terbentang di bawah umpama permaidani putih walaupun lajunya mencecah 900 km sejam! Terasa bagaimana kerdilnya kita manusia ini....menaiki pesawat yang terbang sungguh tinggi di awan biru....................
Subhanallah Walhamdulillah Walaailaahaillah Wallahuakbar.....itulah  kata yang mampu  kuucapkan...
Selamatkan perjalanan ini, yaAllah menuju destinasinya.........!

Alhamdulillah, akhirnya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Madinah lebih kurang pukul sembilan malam kemudian berbaris ke bahagian immigresen, menunggu hampir sejam juga untuk cop  immigresen.
Terus ke bahagian bagasi untuk mengambil bag kami ...tiba-tiba datang pekerja Bangladesh kat situ bergegas membawa trolley dan mengangkat beg kami dan terus menolak ke bahagian checking dan menolaknya ke bas yang sedang menunggu... ....ingatkan nak tolong saja.., rupa2nya minta duit 50 Riyal untuk servisnya menolak trolley yang tidak sampai 10 m pun!! Tapi suamiku nak beri 5 Riyal sahaja! Dia tak mau terima.....tapi suami beri juga , take or leave it!

Kemudian baru Ustaz yang menguruskan kami itu beritau, lain kali tolak sendiri sahaja....bukan kita tak nak tolak sendiri tapi dia datang bergegas memaksa kita gunakan servisnya, kita ingat tidak ada apa-apa! 

Didalam bas pula sementara menunggu bas bergerak ke hotel, ada beberapa peniaga kad kredit naik untuk menjual kad prepaid.....tapi seorang kawan yang sama pergi sekali menasihatkan lebih baik beli kat sekitar hotel nanti lebih murah harganya.....

Masjid Nabawi yang indah.....
Suasana malam di Masjid Nabawi.... 

Akhirnya kami sampai ke hotel lebih kurang pukul sepuluh setengah malam untuk berehat dan kemudiannya makan malam di sana....dan berehat dihotel . Setelah solat jamak  maghrib dan isha, kami pun berehat dan tidur ...esok kena bangun awal sebab subuh pukul 4 pagi..... MasyaAllah hampir terlepas subuh berjemaah  di masjid Nabawi kerana hanya terbangun pukul 4 pagi..........akibat keletihan disepanjang perjalanan!  Sempat masuk   berjemaah di tahyat akhir. Alangkah ruginya jika terlepas kerana solat di Masjid Nabawi bersamaan dengan 1000 kali pahala berbanding di masjid lain. Perlu diusahakan supaya setiap waktu solat di Masjid Nabawi dan ditambah dengan solat-solat sunat lain! Mudah-mudahan Allah memberi kekuatan dan kemampuan, insyaAllah!

Di dalam Masjid Nabawi..
 
Mimbar ....dibelakangnya Raudhah

Disepanjang 3 hari disini ku lihat ramainya manusia mengunjungi masjid Nabawi, setiap waktu solah  penuh sehingga ke perkarangan luar, tapi tidak lah sesesak musim haji, Namun ke masjid perlulah awal untuk mendapatkan tempat di saf hadapan, jika tidak sukarnya untuk masuk kedalam dan mencari ruang kosong kerana sudah di penuhi manusia. Mereka datang dengan berkerusi roda, bertongkat, tua , muda, yang capik semuanya ada......kita yang sakit lenguh lutut ini...terasa aduh........tiadanya alasan bagiku untuk tidak ke mesjid setiap waktu dan berusaha untuk datang awal setiap kali, insyaAllah!  

Perkuburan Baqi' dibelakang tembok bersebelahan Masjid Nabawi
  Selama 3 hari di Madinah diisi dengan progam solat jemaah, qiyamulail di masjid , ziarah makam Rasulullah saw dan perkuburan Baqi' dan juga ziarah sekitar kota Madinah. Walaupun sekitar Madinah cuacanya sangat panas di waktu tengahari sekitar 40 C, tapi ia tidak menghalang jemaah dari menunaikan solat di masjid setiap waktu dan berziarah. Setelah datang beribu batu jauhnya, insyaallah cuaca sebegini tidak mematahkan semangat yang tinggi untuk beribadah dan menziarahi Rasulullah saw........

Masjid Quba di Madinah

 Di Ladang Kurma bersebelahan pasar kurma...

Kurma muda di pokoknya...  

Semasa berziarah ke makam Rasulullah dan Raudah di Masjid Nabawi, terpaksa menunggu giliran seawal 7 pagi dan hanya selesai sekitar 9 pagi.....ramainya orang dari pelbagai bangsa menunggu gilirian masing- masing dan dibahagikan ikut kumpulan bangsa.... Alhamdulillah aku dapat memasuki Raudah dan menziarahi  makam Rasulullah sebanyak dua kali, walaupun bersesak-sesak, dilangkahi kepala ketika solat dan ditolak,  Allah bagi kelapangan jua untuk solat sunat dan berdoa di sana, insyallah berdoa akan segala hajat di hati dan hajat yang dikirimkan orang, menyampaikan salam pada Baginda Rasul. 

 Syukur kerana ziarah kedua ke Raudah agak lama juga lebih setengah jam, jika tidak selepas satu solat sunat...terus di suruh keluar!! Satu ziarah yang sungguh syahdu,  menitiskan airmata dapat menjejakkan kaki  berada dekat dengan Rasulullah  tercinta dan para sahabatnya......Bila lagi aku akan di beri kesempatan semula ?? Semoga Allah panjangkan umur dan di murahkan rezeki, insyaAllah!

Cuma ku terfikir perluke bersesak-sesak, bertolak-tolak sesama muslim bahkan ada yang tersepit dihimpit, nak solat pun susah....? Begituke sepatutnya sikap sebagai muslim .....Rasanya melihat keadaan sebegini, tentu Rasulullah saw merasa sedih dengan sikap orang Islam yang sedemikian yang tidak menghiraukan orang lain...ada yang tua, tidak bermaya dan membawa anak kecil pula??

Orang ramai diatas salah sebuah bukit kecil di hadapan Jabal Uhud,
 tempatnya pasukan pemanah semasa perang Uhud
Pada hari kedua  di Madinah kami dibawa ziarah ke  perkuburan syuhada di Bukit Uhud. Di bukit Uhud ini terasa sebak dijiwa mengenangkan ramainya para syuhada gugur kerana kesilapan pemanah yang turun dari dua bukit kecil untuk merebut harta rampasan perang walaupun sudah dilarang oleh Rasulullah....Disinilah Sayyidina Hamzah dibunuh dan dilapah hatinya oleh Hendon.....Rasulullah pula cedera dan patah beberapa batang giginya. Kurasakan aura disini begitu sayu dan menyebakkan sehingga menitiskan air mata mengenangkan pengorbanan para syuhada mempertahankan Islam sehigga ke titisan darah yang terakhir........ 

Ustaz  yang menjadi mutawif kami membacakan doa dan kami mengaminkannya......Bersemadilah semua para syuhada dengan tenang dan bahagia disisi Allah SWT kerana pengorbanan jiwa dan ragamu untuk Islam!!

Kemudian kami berkunjung ke masjid Quba, yang merupakan masjid pertama yang dibina oleh Rasulullah dengan tangannya setelah berhijrah ke Madinah. Setelah solat sunnat tahiyyatul masjid di sini, kemudian  di bawa pula ke pasar kurma. Aku bersama suami membeli kurma Nabi iaitu kurma ajwa yang banyak khasiatnya terutamanya mengelakkan dari terkena sihir jika dimakan sebanyak 7 biji bersama air zam-zam. Dan juga melihat pokok kurma yang sedang berbuah di sekitar pasar kurma yang rupanya seperti pelepah pokok kelapa sawit. Sepasang suami isteri membeli buah zuriat dan kurma muda yang dikatakan ada khasiatnya bagi pasangan yang belum lagi berjaya mendapatkan zuriat.....Wallahualam, segalanya semua adalah dengan izin Allah juga!

Bersama rombongan jemaah untuk umrah ke Mekah 

Hari ketiga tibalah masanya kami bertolak ke Mekah selepas zuhur melalui Bir Ali untuk miqat umrah disana. Di pagi hari lagi sudah berkemas barang dan pergi ziarah wida' di makam Rasulullah. Terasa sayu di hati kerana terlalu sekejap berada di Madinah ini, masih belum puas lagi mengunjungi masjid Nabawi  dan berada dekat dengan Rasulullah saw.

InsyaAllah...kami akan datang semula mengunjungimu, Ya Rasulullah, kami akan datang semula!. Sebaknya rasa hati  ini menyelubungi diri ketika bas mula berangkat meninggalkan Rasulullah saw dan  kota suci Madinah ini yang didalamnya ada masjid Nabawi yang sungguh indah ini......!!

(Bersambung......)

Wednesday, June 01, 2011

Mencari Allah di jiwa ini....

Bismillahirrahmanirrahim....

Alhamdulillah dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan keizinanNya dapat ku coretkan sedikit peringatan diri beberapa jam sebelum ku berangkat ke tanah suci menunaikan umrah dan ziarah.  Alhamdulillah, setelah sekian lama kunjungan pertamaku kesana, baru sekarang Allah izinkan ku kesana semula....semoga insyallah segala yang dilakukan diterima Alah dan menjadi amal soleh yang dapat dijadikan bekalan nanti. 

 Ku sedari dalam hidup ini , walaupun kita merancang , buat pelan lebih awal, namun segalanya dengan ketentuan dan izinNya jua.....Jika Allah tidak mengizinkan sesuatu, tentu ada hikmah disebaliknya, begitu segala yang berlaku tidak terlepas dari ketentuanNya. Ada hikmah  disebaliknya...kita manusia tidak dapat menjangkaunya dengan akal kita....perlunya kita redho dan pasrah dalam hidup ini!.  

Bersangka baik dengan Allah dapat menenangkan fikiran dan hati kita....segala kesedihan, kedukaan yang di alami adalah kerana kealpaan dan kelalaian kita yang kurangnya berhubung dengan Allah dan berjayanya syaitan memasuki hati kita dan membisikkannya  dalam jiwa kita.  Sebabnya jiwa yang sentiasa berhubung dengan Allah akan rasa tenang selalu, tiada resah gelisah......cahaya Allah menyinari jiwa yang sentiasa ingat padaNya!

Jadi perlunya kita sentiasa mencari dimana Allah dalam hati kita, sejauhmana kita mengambil nilai-nilai Allah dalam hidup ini. Ruginya kita apabila hilang Allah di jiwa! Kita akan tersasar jauh dari hidayahNya.....dan segala macam masalah jiwa akan kita hadapi! Sakitnya hati dan perasaan ketika itu........

Namun apabila kita mencari ubatnya dengan kembali pada Allah, membersihkan hati dengan taubat, mengisi jiwa dengan zikir, maka insyaAllah , dengan rahmat dan kasih sayangNya ketenangan dirasai semula......ketenangan yang tidak boleh didapati dengan cara yang lain! Itulah fitrah jiwa yang Allah jadikan...."ingatlah,  dengan hanya mengingati Allah jiwa akan jadi tenang." Itu janji Allah yang sungguh benar!! Perlunya ada kesabaran dan istiqamah dalam usaha kita itu sebelum kita dapat merasakannya.......

Semoga dengan pemergian ke tanah suci ini.....dapat lagi meningkatkan iman dan amal dihati, membersihkan jiwa dan perasaan , meningkatkan hubungan hati dengan Allah SWT, menyembuhkan segala penyakit zahir dan batin........dan yang terutamanya,  Allah mengampunkan segala dosa yang banyak ini!!

Amin...Ya Rabbal Alamin...

Labbaikallahumma labbaik, labbaikala syariii....kalakalabbaik....
Innal hamda wannikmata, lakawal mulk,   laa syarii...kalak

HambaMU datang menyambut panggilanMu, Ya Allah, HambaMu datang menyambut panggilanMu. Sesungguhnya segala pujian , nikmat dan kerajaan adalah kepunyaanMu dan tiada sekutu bagi Mu! 

Mohon maaf banyak2 kepada yang mengenali diri ini di atas segala salah dan silap, keterlanjuran kata  dan perbuatan....semoga Allah mengampuni segala dosa! Amin

Bismillahirrahmaanirrahim 30 MENU LAZAT SEPANJANG RAMADHAN Jom Prepare! 1. Tilawah al Quran sejuzuk sehari paling kurang....