Monday, February 03, 2014

Wasiat Allahyarham Prof Dr Abdul Karim Zaidan... utk renungan diri..!!

Bismillahirrahmanirrahim

Kepulangan Prof Dr Abdul Karim Zaidan ke rahmatullah merupakan satu kehilangan besar buat ummat Islam di seluruh dunia kerana beliau merupakan tokoh ilmuan Islam di abad ini yang menjadi rujukan banyak gerakan Islam di zaman ini. Buku beliau Usuluddakwah sering menjadi rujukan kami semasa di awal penglibatan dalam Islam. Semoga Allah merahmati beliau di atas jasa-jasanya yang besar pada Islam, di tempatkan rohnya bersama orang soleh dan diampuni segala dosa2nya. Wasiat beliau dibawah ini merupakan satu wasiat yang berguna untuk kita ikuti dan pegang di akhir zaman penuh fitnah dan mehnah ini. Satu demi satu kita dapati ulama Islam meninggalkan kita....smoga Allah sentiasa memimpin kita di atas jalan yang benar dan sentiasa dapat berpegang teguh di atas jalan yang hak, di atas sunnah Rasulullah saw, insyaallah. Ameen ya rabbal alamin.

WASIAT USTADZ 'ABDUL KARIM ZAIDAN, 1993


Kita mestilah melibatkan diri dalam jama'ah yang menjadikan tarbiyyah sebagai asas yang berpanjangan dan tidak berubah-ubah oleh masa. Jama'ah ini pada masa yang sama membina hubungan yang baik dengan jama'ah Islam yang lain, berasaskan ukhuwwah Islamiyyah yang umum. Kita mestilah memperkenalkan kepada mereka (jama'ah lain) bahawa kita adalah satu jama'ah yang mempunyai anggota dan manhaj.

Jama'ah ini berasaskan tarbiyyah ruhani dan penambahan ahlinya adalah berdasarkan da'wah fardiyyah. Dengan kata lain, kita mengikuti manhaj yang telah digariskan oleh Imam Hassan al Banna, apabila beliau berkata yang kita mahu membina individu muslim, keluarga muslim, dan masyarakat muslim. Apabila kita berbuat demikian, daulah Islam akan lahir dari masyarakat muslim itu sebagaimana buah yang keluar dari sebuah pohon. 

Pembentukan individu muslim pula berdasarkan kepada: 

Iman yang mendalam dalam hati, hubungan yang kuat dengan Allah melalui zikir yang berterusan, tilawah al Qur'an, solat malam, dan puasa sunat seperti tiga hari sebulan. 

Pengkajian Tafsir seperli Tafsir Ibnu Katsir atau ringkasannya (mukhtasar), Fi Zilaal oleh Sayyid Qutb. 

Pengkajian hadith seperti hadith empat puluh an Nawawiyyah. 

Pengkajian fiqih seperti Fiqh as Sunnah oleh Sayyid Sabiq kerana seorang muslim hendaklah mengetahui deen Islam dan perundangannya. Supaya dengan itu, apabila individu itu memperkatakan sesuatu tentang Islam, perkataannya tidak lari dari ilmu Islam. 

Pengkajian sirah seperti Sirah an Nabawiyyah oleh Abul Hassan an Nadawiyy dan Imtaa'a al Asma' Sirah al Makriziyy dalam bahasa Arab. 

Pengkajian rasail oleh Imam al Banna seperli Mu'tamar ke Lima, Risalah at Ta'alim, Usul 'Isyrin, dsb. 

Pengkajian beberapa buku dari al Maududi seperti Mabaadi' Islam (Asas-asas Islam), Syihaadatul Haqq (Penyaksian ke atas Kebenaran) dsb. 

Pengkajian buku oleh an Nadawiyy seperti Madza Khasaril 'Alam bi Inhitotil Muslimin (Kerugian Dunia Akibat Kemunduran Muslimin). 

Pengkajian buku oleh Sayyid Qutb seperti Mustaqbal Lihadza ad Deen (Masa Depan Islam), dsb. 

Wahai anakku, 

Saya mewasiatkan kamu supaya: 

Ikhlas kerana Allah semata-mata, bekerja untuk mencari keredhaanNya, bukan kepada penghormatan (sum'ah) dari manusia dan kedudukan atau jawatan di antara mereka. Amal yang dikerjakan secara rahsia lebih baik dari amal yang didedahkan. 

Mencapai makna ukhuwwah Islamiyyah yang sebenar di antara kamu dan saudara-saudara kamu dengan menubuhkan usrah di tempat kamu belajar atau menetap. 

Sentiasa menyoal diri kamu apakah yang telah kamu sumbangkan untuk da'wah kamu hari ini? Apakah kamu mampu untuk membawa seorang saudara baru ke dalam da'wah kamu? Jadikan slogan kamu dalam hal ini sebuah hadith: 

مَنِ اسْتَوَى يَوْمَاهُ فَهُوَ مَغْبُونٌ 
"Manistawaa yaumahu fahuwa maghbun" 

"Sesiapa yang dua harinya bersamaan (umpamanya tiada peningkatan di antara hari ini dan semalam), maka dia termasuk dalam golongan yang rugi." 

Maksudnya, seorang muslim hendaklah menjadikan amal solehnya lebih baik. dan meningkat dari hari ke hari. 

Apabila kamu hendak tidur, soallah diri kamu, apakah saya telah melakukan dosa? Adakah saya telah mencuaikan tanggungjawab da'wah? Jika kamu menjumpai kesalahan, mestilah kamu memohon ampun dan Allah. Kemudian bacalah al Qur'an setakat yang mampu, dan mengucap kalimah asy Syahadah sebelum tidur. Kamu mungkin mati dalam tidur kamu. Jika kamu dihidupkan kembali keesokkannya, hari itu adalah hari yang baru dan satu lagi peluang untuk kamu bekerja untuk da'wah dan apa sahaja yang disukai oleh Allah. 

Selalu mengingati hadith Rasulullah s.a.w.: 

عن أبي العباس عبد الله بْنِ عَبَّاسٍ قَالَ كُنْتُ خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا فَقَالَ:" يَا غُلاَمُ إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ احْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظْكَ احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَاعْلَمْ أَنَّ الأمة لَوْ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ وَلَوْ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ رُفِعَتْ الْأَقْلاَمُ وَجَفَّتْ الصُّحُفُ" رواه الترمذي ، وأحمد ، وصححه الألباني في صحيح الجامع برقم 

Dari ibnu 'Abbas r.a., Baginda telah bersabda: "Saya pernah berada di belakang Nabi s.a.w. pada suatu hari, maka beliau bersabda: "Hai anak Aku akan mengajar engkau beberapa kalimat: 'Jagalah Allah pasti Allah akan menjaga engkau. Jagalah Allah pasti engaku akan mendapatkanNya di hadapanmu. Jika engkau minta tolong, mintalah tolong kepada Allah. Ketahuilah, bahawa sesungguhnya jika bersatu ummat (manusia) untuk memberikan manfa'at padamu dengan sesuatu, nescaya tiadalah mereka dapat melakukan hal itu, kecuali dengan sesuatu yang telah ditentukan Allah pada mu, dan jika mereka bersatu untuk mencelakakan kamu dengan sesuatu, nescaya tiadalah mereka dapat mencelakakan kamu kecuali dengan sesuatu yang telah ditentukan oleh Allah padamu. Telah diangkat kalam dan telah kering lembaran-lembaran itu.'" 

Itulah nasihat yang juga ditujukan kepada saya dan juga kamu. 

(Wallahu'alam)





Unlike · · Share

Hakikat hidup ini...

Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...