Wednesday, March 28, 2012

Hakikat hidup berkat dan tenang.....



Bismillahirrahmaanirrahim.....

Seringkali kita mendengar ungkapan " Kamu ni makan untuk hidup atau hidup untuk makan?" Jika diamat-amati betul-betul, sebenarnya ungkapan ini akan membuatkan individu rasa terpanggil untuk muhasabah diri tentang apakah matlamat kehidupan dalam alam raya ini.

Adakah matlamat hidup ini semata-mata untuk cari makan sehingga melanggar syarak semata-mata untuk memuaskan nafsu, mengenyangkan perut? Justru itu, kita ini hamba pada siapa....pada Allah atau hamba pada nafsu, syaitan pangkat, harta dan wanita?

Ada orang yang bergaji besar sehingga mencapai puluhan ribu ringgit sebulan tetapi tetap merasakan wangnya tidak cukup untuk menampung kehidupan diri dan keluarga , malah terpaksa meminjam wang dari rakannya yang lain yang gajinya kurang darinya.....? Kenapa berlaku sedemikian?

Mencari harta kekayaan itu merupakan satu keperluan dalam kehidupan, malah Islam menyuruh kita mencari kekayaan selama mana ia menepati kehendak Islam dalam memenuhi keperluan diri, keluarga, masyarakat dan ummah. Orang Muslim yang berharta dapat memanfaatkan hartanya di jalan Allah dan membantu mereka yang memerlukan. Alhamdulillah.

Harta merupakan satu kekuatan dalam Islam yang perlu dicari. Tapi perlu diingat dalam mencari harta kekayaan ini, janganlah terlalai dan terleka sehingga mengabaikan diri dalam mencari keperluan bekal untuk dibawa keakhirat. Sama-sama kita renungi surah Al-Qasas ayat 7 yang bermaksud......

" Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagianmu( keperluan dan bekalan) didunia."

Harta yang kita hendak cari dan kumpul semestinya hendaklah membawa keberkatan dalam hidup kita. Tiada ertinya harta yang banyak yang tidak berkat yang akan menjadi penyesalan dan kesedihan di kemudian hari. Bila ada keberkatan, harta atau rezeki yang sedikit  dirasakan banyak dan mencukupi.... Sebaliknya bila tiada keberkatan, walau harta banyak , sentiasa rasa tidak cukup, sempit dan susah! Yang mana satu realiti diri kita?

Sebagai seorang Muslim yang beriman pada Allah, perlu ada rasa keyakinan dihati bahawa segala harta yang diperolehi melalui jalan yang tidak diredai Allah tidak akan membawa keberkatan dan ketenangan. Malah hati sentiasa rasa susah.......sehingga ada jutawan sanggup bunuh diri sendiri, ada yang sanggup melakukan pekerjaan terkutuk, banyak masalah jiwa?

Keberkatan, ketenangan  dan kebahagiaan ini bukannya boleh kita beli di pasaraya........ia adalah satu anugerah Allah kepada hambaNya yang taat dan patuh pada perintahNya .  Anugerah ini juga hanya akan diberi kepada mereka yang mempunyai harta yang berkat . 

Jadi, dalam kita mencari makan untuk mengumpul harta....telitilah jalan-jalannya, adakah ia menepati syarak, tidak mengambil rasuah, tidak curi tulang semasa bekerja dengan majikan, tidak mengambil hak orang lain,  adakah dia jujur dan ikhlas dalam melakukan kerja kerana Allah bukan untuk membodek supaya naik pangkat cepat? Harta yang terkumpul dengan jalan yang syarak itu pula supaya lebih berkat....perlu ditunaikan hak-hak zakatnya dan sedekah.  

Janganlah mengumpul harta melalui jalan rasuah, jalan riba......kerana ia tergolong dalam dosa-dosa besar yang wajib dihindari. Kekayaan dari harta riba dan rasuah ini tidak berkat, menghakis ketenangan dan kebahagiaan serta membuahkan banyak masalah dan  kesedihan. Harta yang haram ini juga bila di gunakan untuk menyara keluarga...menjadikan keluarganya tidak 'menjadi'.....bermaksud susah terdidik dengan Islam, keras hati, akhlak yang buruk dan sebagainya....Malah daging yang tumbuh dari harta yang haram ini selayaknya dibakar denga api neraka!

Renungi firman Allah tentang perkara ini dalam surah Al-Baqarah :188 yang bermaksud...
"  Dan janganlah kamu makan ( atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian harta orang lain dengan berbuat dosa, pada hal kamu mengetahui."

Dalam satu hadis pula riwayat Ibnu Majah....." Laknat Allah ke atas pemberi dan penerima rasuah"

Laknat Allah pada pemberi dan penerima rasuah ini berlaku di dunia lagi bahkan di akhirat nanti mereka akan ditimpakan azab yang sungguh pedih dalam neraka. Kesenangan yang sementara di dunia mengundang kesusahan yang berpanjangan  di hari akhirat......Adakah ini yang kita mahu?

Semua persoalan di atas hanya iman di jiwa yang dapat menjawabnya. Betapa ramai masyarakat Muslim kita yang tahu tentang haramnya rasuah dan riba...tapi masih melakukannya. Malah mengatakan ruginya kita membeli barang contohnya kereta secara wang tunai yang banyak, lalu digunakan sistem pinjaman bank yang melibatkan riba untuk membeli kereta....jadi wang tadi boleh dilaburkan dalam bank, main saham yang tidak tentu halal haramnya dan dapat banyak keuntungan! Tapi awas untung di dunia tidak semestinya untung di akhirat, malah rugi ada!

Iman, rasa tawaduk dan warak pada Allah sahaja lah yang dapat menjaga diri kita  dari perkara-perkara yang diharamkan. Allahlah yang memberikan kekuatan jiwa untuk menolak yang haram ini....kerana apabila kita menjaga Allah, maka Allah akan menjaga kita. Bisikan dijiwa sentiasa ada rasa  takut untuk melanggar apa yang di haramkan olehNya. Dan hakikat inilah yang telah hilang dan terhakis di jiwa kebanyakan masyarakat Muslim sekarang.......iaitu di mana Allah dihati kita?

Jadi perlunya kita kembali semula secara syumul pada Allah bermula dengan kembalinya jiwa kita untuk benar-benar beriman pada Allah iaitu iman yang mampu menolak kebatilan.....bukan iman yang mandul yang merupakan ucapan kosong dibibir tapi ia tidak mendasari jiwa!  

InsyaAllah sama-samalah kita memohon kekuatan iman  padaNya, semoga Allah membersihkan hati kita, melapangkan jiwa dan memberikan kita ketenangan dan keberkatan dalam hidup ini..... dan hendaknya kita sentiasa istiqamah denganNya walau di mana kita berada . Amin  Ya Rabbal Alamin...

Friday, March 16, 2012

Mengapa iman menjadi lusoh?..



Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya dapat ku meneruskan sedikit perkongsian  buat kali ini tentang bagaimana memperbaharui iman  yang 
merupakan sumber kekuatan bagi diri kita. Sebagai manusia, setiap diri ada masanya kita kuat tapi adakalanya pula kita lemah, letih dan lesunya diri dalam mengharungi lautan kehidupan yang dipenuhi ujian ini.......

Teringatku akan kata-kata Ustaz Soleh yang merupakan salah seorang imam Masjid Putrajaya yang memberikan ceramahnya tentang bagaimana  perlunya memelihara iman kita semasa  di program ijtima yang ku hadiri baru-baru ini. Iman ini umpama pakaian yang kita pakai...makin lama kita pakai makin lusohlah ia. Kelusohan iman inilah yang menyebabkan kita letih lesu dalam mengharungi hidup ini.

Perlunya ada tindakan segera yang  kita lakukan untuk memperbaharuinya selalu. Jika tidak iman yang lusoh ini,  akan menjadi  semakin lusoh dan lama-kelamaan ditakuti ia akan sirna dari jiwa. Maka ketika ini bencanalah pada kita! Walaupun bab iman ini seringkali ku dengar dan diulang-ulang namun bercakap mengenainya sering menyentuh hatiku!  Apatahlagi bila Ustaz Soleh yang menyentuh mengenainya dengan nada yang begitu bersahaja dan susunan ayat yang rapi menyentuh hati......! Seolah-olah baru ku dengari dan tidak jemu mendengarnya.  Alhamdulillah.

Jadi apakah penyebabnya iman kita ini lusoh?

Diantara adalah....

1. Kita tinggalkan tilawah Al-Quran dalam rumah kita..
Rumah yang tidak dibacakan Al-Quran didalamnya umpama kuburan, sunyi sepi , tiada keberkatan dan kebajikan padanya. Al Quran yang dibaca perlulah dengan tadabbur yaitu kita memahami apa yang kita baca supaya maknanya meresap dalam hati kita , menyentuh hati kita , lantas kita dapat menghayatinya. Al- Quran ini merupakan Assyifa iatu penawar bagi jiwa yang lesu, lemah iman, dapat membersihkan jiwa yang kotor dan melembutkan hati manusia.....

Kita dekati Al-Quran  dengan hati kita supaya ayat-ayat Allah ini dapat menyentuh jiwa ini. Bukannya hanya setakat  nak baca cepat  tapi tak faham apa yang dibaca atau kerana mengejar nak khatam cepat  untuk mencontohi ulamak yang boleh habiskan 30 juzuk  dalam masa beberapa hari sahaja! Kita rancanglah masa kita supaya dapat menghabiskan  1 juzuk sehari, jka tak mampu  paling minima satu ain.....Apa yang penting adalah konsisten dalam bacaan.  Jangan biarkan hari berlalu tanpa kita membaca dan mentadabbur Al-Quran. 

Pesanan pada diri sendiri , jika kita boleh buka facebook hari-hari , baca surat khabar hari-hari atau baca blog hari-hari....masakan tak boleh baca Al-Quran hari-hari! Sebelum kita mulakan hari yang baru setiap pagi .....bacalah satu atau dua muka surat  Al-Quran sekurang-kurangnya.....yang hanya memakan masa lebih kurang  lima minit! Jadikan ia satu kemestian! Dan juga selepas setiap solat fardhu...usahakanlah.  Jadikan tilawatul Quran ini satu rutin harian, mudah-mudahan iman di hati kita dapat terjaga dan jiwa kita sentiasa segar.....sesegar pohon yang disirami air setiap pagi!

2. Kita tinggalkan zikrullah .....lantas iman cepat lusoh!
 Tanpa zikir padaNya, lama kelamaan  hati jadi mati. Hati yang mati tempat yang disukai oleh syaitan kerana dengan mudahnya syaitan dapat mempengaruhi jiwa dan menyelewengkan pemilik hati itu dari jalan yang sebenarnya.  Hati yang disirami dengan zikrullah mempunyai benteng yang kuat dari gangguan jin dan syaitan yang meresap dalam jiwa dan mengalir di dalam darah kita! Unsur-unsur jahat dan negatif ini perlu dijauhkan dari hati kita melalui benteng zikrullah. Biarlah lidah kita sentiasa basah menyebut namaNya, beristigfar padaNya, membaca selawat pada Rasulullah saw.....Pendekata jiwa kita perlu disibukkan dengan sentiasa mengingati Allah SWT.... dengan cara ini ketenangan sebenarnya dapat dirasai.

Di antara zikir-zikir yang dianjurkan adalah zikir Al-Mathurat susunan As-Syahid Imam Hasan Al-Banna yang mengandungi zikir-zikir Rasulullah saw dan doa-doa mathur yang dapat menjadi pendinding diri kita, insyaAllah. Menurut Ustaz Soleh,  sebaik-baiknya,  bacalah Al-Mathurat Kubra yang panjang sedikit,  2 kali sehari di waktu pagi dan petang.  Jika kurang berkesempatan, bacalah Al-Mathurat Sughra yang pendek sedikit.  Jika tidak berkesempatan juga, bacalah sekali sehari salah satu sama ada yang kubra atau yang sughra.  Yang pentingnya,  janganlah di tinggalkan zikir ini untuk merawat hati kita, melembutkan jiwa kita dan memohon segala doa yang baik-baik dalam kehidupan kita. Dan  bacalah dengan penuh penghayatan dengan memahami maknanya supaya ia meresap dalam hati kita.

Biarlah alunan zikrullah dan bacaan Al-Quran kita dengarkan di rumah kita...bukannya alunan muzik 
yang hiruk pikuk yang tiada hentinya sentiasa dipasang melalui corong radio, CD player atau TV!  Sebenarnya terlalu banyak sangat mendengar muzik memberi kesan pada jiwa.... hati kita jadi keras, tidak sensitif. Ada kajian yang telah dibuat tentang kesan muzik pada sebiji epal dimana epal ini membusuk dengan cepat apabila setiap hari didengarkan muzik.  Sebaliknya alunan Al-Quran yang di dengarkan setiap hari  menjadikan epal tersebut segar walaupun setelah 3 minggu disimpan!

Bayangkan kesan muzik ini pada hati kita apabila sejak kecil lagi kita didendangkan dengan muzik! Jadi tukarlah tabiat kita cintakan muzik kepada cintakan mendengar bacaan ayat-ayat suci Al-Quran! Ambillah Al-Quran ini sebagai penawar diri kita zahir dan batin...yang lebih utamanya ambil ia sebagai pegangan hidup kita!

Sebenarnya nak buang tabiat sukakan muzik ini bukannya senang, tambahan pula dari kecil kita sudah di dendangkan dengan muzik! Nak tidur dengar dulu muzik, bangun tidur pasang muzik...malah ada yang pasang terus menerus muzik kat telinga melalui walkmannya.....! Begitu jugalah dengan TV dan internet....ada yang pasang alat ini non stop sampai  tertidor pun. Dalam mendidik anak pula, nak bagi anak diam, pasang TV atau bagi main game internet or kat handfon  supaya ibu ayah dapat tenang dari ragam anak yang macam-macam. Tidak hairanlah bila dewasa nanti begitu obsesnya remaja malah orang dewasa sekarang dengan benda yang melalaikan ini.  Perlu buat sesuatu supaya kita yang mengatur dan menguasai hidup kita bukannya kita dikuasai! 

Bukanlah alat ini yang salah tapi penggunaannya yang keterlaluan sehingga menguasai kehidupan.  Malah aku terbaca dalam satu post di facebook ada yang mati kekejangan didepan komputer kerana terlalu letih selepas bermain game komputer! Seluruh masa dan kehidupan dibuang dengan sia-sia didepan komputer.
Adakah itu yang kita mahu?

3. Cinta dunia
Kecintaan yang keterlaluan pada dunia menyebabkan sesaorang itu lupa Allah dan seterusnya lupa diri dalam hidup ini. Apa yang dikejarnya hanyalah dunia  berupa pangkat, wang ringgit, harta, wanita dan macam-macam lagi.....Bagaimana iman tidak lusoh apabila hati hanya teringatkan hartanya, wang ringgitnya, projeknya, syarikatnya........? Ingatan pada Allah, akhirat dan kematian begitu jauh  atau sedikit sekali..... jika ada pun cuma cukup setakat buat yang fardhu sahaja , itupun touch n go, janji buat ! Tapi kesannya pada hati untuk lebih dekat pada Allah, untuk perbaiki diri tidak dirasai. Sedangkan sebagai Muslim yang beriman, dia sentiasa berusaha mempertingkatkan hubungan hati dengan Allah , macamana nak jadi orang muslim yang  lebih baik di sisi Allah, bukannya di sisi manusia dan mengharapkan pujian darinya.

Kecintaan pada dunia sebenarnya menolak hidayah Allah.....hatinya tidak rasa terpanggil untuk berlari menuju Allah. Kesibukannya dengan dunia merupakan bencana diri yang tidak disedari.  Orang sebegini sebenar dilupakan Allah sebagaimana dia melupakan Allah. Nauzubillah! Bila Allah lupakan kita.....siapa lagi tempat kita mengadu, minta tolong, yang memberikan kita rahmat dsbnya?


Sama-sama kita renungi ayat ini Surah Hud:15-16 yang bermaksud.....
" Barangsiapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, pasti kami berikan(balasan) penuh atas pekerjaan mereka di dunia (dengan sempurna) dan mereka di dunia tidak akan dirugikan.  Itulah orang-orang yang tidak memperoleh (sesuatu) diakhirat  kecuali neraka, dan sia-sialah di sana apa yang telah mereka usahakan (di dunia) dan terhapuslah apa yang telah mereka kerjakan." 

Apabila kita kejar dunia, maka dunialah yang kita dapat, itulah janji Allah seperti dalam ayat di atas.....tetapi  akan ketinggalan akhiratnya.  Segala apa yang diusahakan sia-sia tiada berguna disisi Allah SWT.  Jadi ulama sering mengingatkan kita tentang dunia ini yang akan kita tinggal pergi....maka awaslah! Penyakit cintakan dunia dan takutkan mati merupakan dua penyakit berat yang menimpa umat Islam di akhir zaman. Sekarang perkara ini sudah jadi satu kenyataan! 

Maka.....
Janganlah tertipu dengan dunia....
Kelak diri akan binasa...
Dunia ini tiada nilainya..
bagi mereka yang musafir berkelana..

Ambillah bekalan seadanya..
Jangan dikejari benda yang fana, 
Yang harus dan halal didunia
Akan dihisab setelitinya....
Yang haram jika diambil 
Akan diazab!

Berhati-hatilah kita
dengan tipudaya dunia i
Begitu ramai manusia kecundang
Tenggelam dalam kemewahan....
Leka dan lalai....... 
Sehingga apabila maut datang 
Menjemput diri ..
Masih lalai lagi!

Ketika itu....
Tiada guna penyesalan
Kita pasti menghadapNya
Sendiri, sendiri....

Jadi......
Apakah bekalan yang dibawa?  
Hanya kain kafan putih....
Dan amalan-amalan soleh
Itupun jika ada!

Nukilan
RAW




Tuesday, March 06, 2012

Membentuk keutamaan pada diri Mukmin - Sheikh Abdul Qadir Jailani



Bismillahirrahmanirrahim...

Orang Mukmin hanya berusaha untuk mencari bekalan menuju akhirat sementara orang kafir pula berusaha untuk mencari harta bagi kesenangan hidup di dunia.  Orang mukmin mencari bekal kerana mereka  menyedari mereka sedang berada  dalam satu perjalanan yang memadai dengan hanya berbekalkan sedikit harta dan menyediakan harta yang banyak untuk keperluan akhirat  yang kekal abadi. Mereka menyediakan untuk dirinya sekadar apa  yang dapat dijadikan bekal, bagaikan orang yang berkenderaan dengan sekadar apa yang boleh dibawanya.  Semua miliknya dipersiapkannya untuk hari akhirat. Segala hati dan cita-citanya digantungkan untuk hari akhirat dan memutuskan hatinya dari dunia.

Orang Mukmin menumpukan semua ketaatannya untuk Allah dan hari akhirat bukan untuk dunia dan penghuninya.  Seandainya mereka mempunyai makanan yang baik, akan diserahkannya kepada orang fakir miskin kerana dia menyedari bahawa di akhirat nati ia akan memakan makanan yang lebih baik dari itu.
Tujuan terakhir dari bagi seorang yang beriman , arif dan alim adalah keterdekatan kepada Allah SWT dan mengaitkan hatinya pada Allah SWT di dunia lagi sebelum akhirat. Mendekatkan diri pada Allah sejauh langkah hatinya dan sejauh pengembaraan batinnya.

Seperti kata-kata Luqmanul Hakim yang bijaksana kepada anaknya..
"  Wahai anakku..! Dunia ini adalah samudera, dan iman itu adalah perahunya. Angin haluan adalah ketaatan, sementara pantai itu adalah ibarat akhirat."

Begitulah sepatutnya kita melayari kehidupan dunia ini....perlu ada bahtera iman agar kita dapat mengemudikan hidup ini sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah untuk menuju destinasi akhirat yang kekal abadi!

Seperti kata-kata Abu Yazid  Al- Bustami....
" Sesaorang yang beriman dan arif tidak akan menuntut sesuatu dari Allah baik di dunia mahupun di akhirat.  Akan tetapi ia akan menuntut atau mencari  Tuhannya."

Mencari Tuhan bermaksud kembali pada Tuhan yang Maha Esa, kembali dan pasrah , diserahkan semua padaNya . Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah Az-Zumar ayat 54 yang bermaksud....
"Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu."

Satu ajakan dari Allah agar segala hati dikembalikan kepada pemiliknya yang sebenar kerana Allah hanya memandang pada hati yang pasrah, beriman, mengesakan Allah, ikhlas,  bertaqwa.... Hatilah yang memimpin jasad fizikal manusia, sementara seluruh anggota tubuh badan ini merupakan anggota pasukan dan pengikutnya. Jadi sibukkan jasad diri dengan ketaatan pada hukum Allah sementara sibukkan batin dengan Allah.

Barangsiapa yang benar-benar mengenalNya, maka dia akan merendahkan diri padaNya dan pada hambaNya yang soleh. Maka akan berlipat gandalah tekad dan usahanya, kesusahan dan tangisnya. Bertambah takut dan gementarnya pada Allah SWT dan banyaknya malu dan penyesalannya di atas tindakan yang telah berlalu dengan pelbagai kesalahannya. Jadi bertambahlah kewaspadaannya dan ketakutannya akan kehilangan sesuatu yang dimilikinya berupa ilmu pengetahuan serta keterdekatan pada Allah.  Hatinya sangat-sangat memahami dan merasai firman  Allah dalam surah Al Anbiya ayat 29 yang bermaksud...
" Dia (Allah)  tidak ditanya tentang apa yang dilakukanNya, tetapi merekalah yang akan ditanyai (tentang apa yang mereka lakukan)."

 Jadi beginilah yang sepatutnya apa yang dirasai oleh orang yang mengaku beriman pada Allah..bukan setakat dakwaan kosong sahaja tapi hatinya selalu berpaling dari Allah! Perlunya kita usahakan agar iman ini menetap dijiwa kita, mengenderaai batin dan fizikal kita dalam perjalanan singkat di dunia ini untuk kita melalui perjalanan jauh di hari akhirat nanti. Sedarilah dunia ini bukan matlamat kita tapi nun jauh disana akhirat yang abadi selamanya.  Maka sanggupkan kita mempertaruhkan sesuatu yang abadi dan kekal dengan yang sementara dan akan binasa?

Maka jadilah kita sebagai insan yang cerdik yang sentiasa ingat akan kemanakah kita akan ditempatkan nanti......semua ini bergantung pada usaha kita dan bagaimana kita mempergunakan umur kita di dunia ini!

Semoga Allah sentiasa merahmati kita dan menunjukkan kita jalan yang lurus. Ameen..Ya Rabbal Alamin.
Sama-sama kita sudahi dengan doa ini...
" Ya Tuhan Kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, serta peliharalah kami dari siksaan api neraka." 

Rujukan
Menjadi Kekasih Allah , Wasiat dan nasihat kerohanian
Syeikh Abdul Qadir Al- Jailani 

Bismillahirrahmaanirrahim 30 MENU LAZAT SEPANJANG RAMADHAN Jom Prepare! 1. Tilawah al Quran sejuzuk sehari paling kurang....