Tuesday, April 24, 2012

Bawalah Al Quran dihati kita....


Bismillahirrahmanirrahim...

Sebuah artikel dari blog iluvIslam untuk renungan diri......semoga bermanfaat, insyaAllah.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: "Bacalah al- Quran kerana ia akan datang pada Hari Akhirat kelak sebagai pemberi syafaat kepada tuannya."

Riwayat Muslim

Pengajaran Hadis:
i) Al-Quran merupakan kalam Allah dan perlembagaan syariatnya yang kekal abadi. Allah telah menurunkannya kepada manusia sebagai panduan dalam mengharungi kehidupan agar dapat mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

ii) Membaca al-Quran merupakan satu ibadah yang boleh menghampirkan diri seseorang itu kepada Allah S.W.T. Pahalanya amat besar iaitu sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, ganjarannya satu kebaikan dan sepuluh ganjaran yang sama dengannya. Selain itu ia juga boleh meberikan syafaat di hari akhirat kelak.

iii) Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim ada menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :" Perumpamaan Mukmin yang membaca al-Quran adalah seperti limau yang mempunyai bau yang harum dan rasanya sedap. Manakala perumpamaan mukmin yang tidak membaca al-Quran pula adalah seperti tamar yang tidak ada bau tetapi rasanya manis dan sedap."

iv) Membaca al-Quran hendaklah dilakukan dengan beradab sebagai menghormati kalimah Allah di antaranya ialah seseorang itu hendaklah berada dalam keadaan suci (berwudhu') dan membacanya di tempat yang bersih, memulakan dengan membaca Ta'auwuz dan Basmallah, membaca dengan teliti dan perlahan, menjaga makhraj (bertajwid) serta memperelokkan suara sekadar termampu.

v) Pembacaan al-Quran yang paling baik ialah apabila difahami apa yang dibaca. Dengan ini barulah seseorang itu akan dapat merasai nikmatnya yang sebenar.

كَمَا أَرْسَلْنَا فِيكُمْ رَسُولاً مِّنكُمْ يَتْلُو عَلَيْكُمْ آيَاتِنَا وَيُزَكِّيكُمْ وَيُعَلِّمُكُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَيُعَلِّمُكُم مَّا لَمْ تَكُونُواْ تَعْلَمُونَ
Sebagaimana (Kami telah menyempurnakan nikmat Kami kepadamu) Kami telah mengutus kepadamu Rasul di antara kamu yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu dan menyucikan kamu dan mengajarkan kepadamu Al Kitab dan Al-hikmah (As Sunah), serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui
(Surah Al-Baqarah 2: Ayat 151)

InsyaAllah semoga Al-Quran sentiasa dihati.......tak baca sehari seolah-olah ada kekurangan pada hari itu.  Membaca kalamullah adalah penawar yang menenangkan jiwa ...

Ya Allah, jadikan hati ini mencintai Al-Quran.....Amin Ya Allah!

Sunday, April 22, 2012

Mujahadah adalah jalan kearah hidayah dan takwa padaNya.........


Bismillahirrahmanirrahim..

Islam telah menunjukkan kepada kita beberapa jalan yang boleh menyampaikan kita kepada takwa dan salah satu jalan tersebut adalah jalan mujahadah.  Ustaz Said Hawwa telah menjelaskan akan hakikat mujahadah ini.....
" Kita bermujahadah ini adalah untuk mendapatkan petunjuk daripada Allah SWT."

Jadi sebenarnya,  inilah tujuan mujahadah dalam diri kita agar petunjuk Allah SWT itu masuk kedalam hati kita. Mujahadah juga merupakan jalan untuk menambahkan lagi petunjuk dariNya.  Setelah kita diberi hidayah atau petunjuk dariNya , kita perlu meningkatkan lagi hidayah ini dengan mempertingkatkan mujahadah kita. 

Hidayah itu tidak datang begitu sahaja tanpa usaha kita. Dengan kata lain usaha itu adalah muqaddimah kepada hidayah Allah SWT. Hidayah Allah SWT pula merupakan muqaddimah kepada takwa dan muqaddimah untuk menjadi orang yang muttaqin iaitu orang yang benar-benar bertakwa. Hakikatnya takwa itu adalah anugerah Allah SWT kepada mereka yang benar-benar bermujahadah, bukannya boleh dibuat-buat atau berpura-pura bertakwa......! 

Untuk menjadi orang bertakwa atau menjadi orang yang baik bukannya hanya menggunakan  akal fikiran sahaja, sebaliknya ia sebenarnya mendapat petunjuk dari Allah SWT. Sepertimana firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat:69 yang bermaksud.....
"  Dan orang-orang yang berjihad untuk mencari keredhaan Kami benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah beserta orang yang berbuat baik."

Ayat-ayat di atas merupakan janji Allah SWT kepada mereka yang bermujahadah. Dan sesungguhnya Allah tidak akan pernah memungkiri janjiNya. 

Jadi jelaslah bahawa mujahadah, jihad dan takwa ini saling berhubungan antara satu sama lain. Manakan mungkin kita  mendapat hidayah dan takwa tanpa melalui jalan mujahadah! 

Bagaimanakah jalan mujahadah yang betul yang seharusnya kita lalui?

Untuk bermujahadah ini perlu melalui jalan yang betul bukan ikut saja jalan yang difikirkan betul. Tanpa mengikuti jalan yang betul, walaupun telah bermati-matian bermujahadah, masih tetap tidak mendapat bimbingan dan hidayah dari Allah SWT!  Jalan yang betul itu semestinyalah jalan yang telah dilaksanakan oleh baginda Rasulullah saw, bukannya jalan yang direka-reka sendiri mengikut akal fikiran dan hawanafsu kita sahaja! 

Dalam hal mujahadah ini Ustaz Said Hawwa ada menjelaskan  tentang titik tolak mujahadah ini, iaitu dimanakah kita harus bermula.....
" Kita mestilah bermula dari nokhtah iman kepada AllahSWT dan bermula dengan nokhtah mentauhidkan Allah SWT."

Jadi mujahadah yang betul mestilah bermula dengan mujahadah untuk beriman pada Allah SWT dan prinsip-prinsip keimanan yang lain secara total tanpa ragu-ragu . Hakikat iman ini mestilah diterima secara sedar dalam jiwa, dan dirasai dihati. Inilah permasalahan awal yang perlu diselesaikan dalam jiwa tanpa mengira waktu, tempat dan suasana.

Pada setiap masa dan ketika,  jiwa perlu sentiasa sedar, perlunya mentauhidkan Allah dalam apa juga keadaan, suasana, masa dan tempat! Perlu merasai kebesaran Allah walau dimana sahaja kita berada kerana Allahlah, Rabb kita yang Maha Mulia,  yang majadikan kita dari tiada dan memberikan kita segala nikmatNya didunia ini.  Maka sewajarnya, hanya Allahlah tempat tumpuan hati kita, tempat kita bergantung harap , Allahlah satu-satunya tempat ubudiah kita dalam hidup ini. Inilah dia jalan mujahadah iman yang sebenar yang telah dilalui oleh generasi sahabat dahulu, yang perlu kita juga melaluinya. 

Mujahadah iman yang benar ini akan dapat membentuk keperibadian diri yang sempurna, iaitu sahsiah Islam yang sebenarnya. Jika kita lihat kembali dalam sirah Rasulullah saw dan para sahabat baginda, telah berlaku perubahan yang sungguh besar dalam  masyarakat . Telah lahir generasi Islam yang benar-benar beriman kepada Allah SWT. Apabila mereka melakukan mujahadah ini, berlakunya perubahan yang menyeluruh dari kufur kepada Allah kepada benar-benar beriman padaNya, daripada jahiliyyah kepada Islam sepenuhnya! Pengembalian diri pada Islam akan menjadi total, bukannya samping-sampingan!  Itulah dia mujahadah yang betul yang merupakan  mujahadah peringkat pertama yang perlu dilaksanakan terlebih dahulu.

Setelah berlakunya proses mujahadah iman ini, maka barulah akan sampai kepada peringkat mujahadah yang kedua iaitu mujahadah melakukan semua semua  yang fardhu dan meninggalkan semua yang haram. Dengan kata lain, kita wajib  menyempurnakan  Islam yang minima dalam diri dengan melaksanakan semua yang difardhukan dan menjauhi semua yang dilarang oleh Allah atas dasar iman kita padaNya! Inilah tuntutan Islam kepada kita, wajibnya kita mentaati Allah SWT tanpa soal.

Diperingkat Islam minima  ini,  barulah sesaorang akan dapat melakukan ibadahnya dengan betul dalam pengertian ibadah yang sebenarnya seperti mendirikan solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, berzakat, menunaikan haji dan melaksanakan segal kerja amal-amal Islami. Semua ibadah yang dibuat tidak terpisah dengan hakikat melakukannya atas dasar iman dan ketaatan semata-mata pada Allah....bukan atas sebab yang lain!

Setelah sampai keperingkat yang kedua ini, maka insyaAllah peningkatan dirinya akan menjadi sesuatu yang cukup soleh. Dengan bertambahnya hidayah Allah kepada sesaorang, maka akan bertambah takwanya pada Allah SWT.  Seterusnya,  setelah benar benar bermujahadah melakukan amalan fardhu tadi  diikuti pula dengan bermujahadah  melakukan amalan-amalan sunat, maka peningkatannya akan menjadi semakin baik, hidayah Allah semakin bertambah dan ia menjadi  semakin mulia disisi Allah SWT, insyaAllah!  

Jadi proses mujahadah ini tidak boleh dicampuradukkan susunannya.....ia mesti dimulai dengan mujahadah iman, mujahadah menyempurnakan islam minima dalam diri iaitu melaksanakan segala yang fardhu dan diikuti mujahadah melakukan amalan yang sunat sunat. Ada dikalangan kita yang banyak melakukan amalan sunat tapi ada yang haram masih dibuat dan ada yang fardhu ditinggalkan! 

Tiada amalan yang lebih Allah sukai dan cintai melainkan yang fardhu! Jadi sempurnakanlah terlebih dahulu yang fardhu sebelum menitikberatkan yang sunat-sunat!  Tambahaan pula doa kita sukar Allah terima jika kita masih buat dosa dan maksiat, meskipun amalan sunat kita banyak. Jika kita berbuat dosa, bererti kita menderhakai Allah.....maka bagaimana Allah nak terima amalan yang bercampur aduk dengan dosa dan pahala dan segala doa yang kita panjatkan? Sama-samalah kita renung-renungkan......

Disamping itu, segala amalan fardhu dan sunat  yang dilakukannya bukan hanya untuk dirinya sahaja tapi dia juga berkewajipan mengajak orang lain- isteri, anak, keluarga, saudara mara, jiran,  masyarakat, kearah merealisasikan Islam dalam diri dengan melalui jalan mujahadah yang betul. 

Dalam rangka bermujahadah untuk memperbaiki diri sendiri, adalah  merupakan satu tuntutan Islam   mengajak orang lain sama. Dengan ini,  akan dapat membina masyarakat Islam yang kuat dengan kuatnya iman dan takwa pada Allah SWT.  Kekuatan masyarakat bukan dinilai dengan kekuatan fizikal sahaja tapi dengan kekuatan hatinya yang penuh bertakwa padaNya. 

Kekuatan takwa ini perlu terus dipelihara melalui proses mujahadah yang dapat membawa kepada hidayah Allah.  Tanpa mujahadah yang berterusan, lama kelamaan kekuatan akan hilang.....masyarakat akan lemah, kerana lemahnya iman dan takwa pada Allah SWT!

Mujahadah iman dan amal yang berterusan dapat menjaga iman dan takwa kita sentiasa berada ditahap yang kuat......melalui mujahadah ini Allah akan memberikan dan menambahkan kepada kita hidayahNya agar terus mantap berada di atas jalanNya, insyaAllah.  Jagalah Allah maka Allah akan menjaga kita!

Ingatlah, hidayah itu adalah anugerah yang sungguh berharga bagi kita melebihi segalanya! Tanpa hidayah Allah kita meraba-raba dalam kegelapan diri yang tiada petunjuk .....bencana bagi diri tanpa hidayahNya! Adakah itu yang kita mahu?

Jadi, sama-sama jom kita lakukan mujahadah yang betul ini.......tanamkan iman dalam diri, laksanakan sepenuhnya segala suruhan Allah dalam diri dan tingkatkan amalan sunat kita agar hidayah Allah terus menerus kita dapati insyaAllah.......

Mudah-mudahan Allah membantu kita untuk istiqamah dalm mujahadah ini, insyaAllah.

Rujukan
Sumber Tarbawi

Tuesday, April 17, 2012

Bersyukurlah... dengan kurniaanNya!


Bismillahirrahmaanirrahim..

Apakah yang diertikan dengan syukur ini? Bersyukur merupakan satu tindakan yang baik samada melalui perkataan memuji  atau perbuatan menghargai terhadap kebaikan yang diterima oleh sesaorang.  Ia tidak memadai dengan hanya membaca atau mengucap lafaz syukur tapi sebenarnya ia haruslah meliputi lisan , hati dan anggota badan.

Syukur dengan hati bermaksud menyedari dan menyakini bahawa semua nikmat dan kurnia yang diperoleh merupakan anugerah Allah SWT dan berasal dariNya.

Syukur dengan lisan bererti memuji Allah SWT sebanyak-banyaknya dengan ungkapan Alhamdulillah.

Syukur dengan perbuatan bererti taat beribadat padaNya dan menggunakan kurniaan itu untuk kebaikan. Solat sesaorang itu merupakan bukti rasa syukur pada Allah SWT. Begitu juga ibadah-ibadah yang lain semuanya dilakukan sebagai tanda kesyukuran hamba pada Tuhannya.  Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah saw di mana Saidatina Aisyah mendapati Rasulullah melaksanakan solat malam  tanpa henti-hentinya sehingga bengkak kaki baginda.  Lantas Aisyah bertanya tentang kesungguhan baginda menjalani ibadah tersebut. Rasulullah saw menjawab, " Tidakkah (pantas jika) aku menjadi hamba yang bersyukur?'

Kenapa manusia itu susah untuk bersyukur pada Allah SWT pada hal begitu banyaknya kurniaan Allah padanya? Malah banyaknya ucapan dan perbuatan kita ini yang mengandungi pengingkaran dan penafian terhadap nikmat Allah  SWT ini. Kita lihatlah diri kita sendiri.....apabila kita bangun dari tidur setiap pagi adakah kita mengukirkan senyuman dan mengucapkan Alhamdulillah kerana masih diberikan masa dan kesempatan untuk hidup hari ini dan seterusnya melakukan solat  subuh dengan khusyuk sebagai tanda kesyukuran kita? Atau adakah kita bermasam muka, malas nak bangun pagi, masih ingin diulit mimpi dan tidak segera menunaikan tanggungjawab kita padaNya? 

Ini baru satu aspek nak bangun pagi, belum lagi yang lain! Bagaimana agaknya kita meneruskan hari-hari yang berlalu? Sedar- sedar hari berganti hari  menjadi minggu,bulan dan tahun. Cepatnya masa berlalu! Sejauh mana kita sudah menzahirkan kesyukuran kita?

Sekiranya kita tidak dapat mensyukuri nikmat yang ada dalam genggaman kita, bagaimana kita dapat memperoleh sesuatu yang belum pasti?

Kadangkala ada di antara kita yang mudah lupa denga kesempatan yang telah Allah berikan kepada kita.  Kita sudah ada kerja tapi masih merungut, sudah diberikan makan, juga merungut, sudah ada pendapatan yang baik pun merungut....ada kereta, rumah, harta benda....masih ada yang tidak kena, masih kurang itu dan ini!  Memang manusia ini kebanyakannya tidak bersyukur!

Rasulullah menasihati kita untuk melahirkan kesyukuran dalam diri, lihatlah orang yang berada dibawah kita atau orang yang kurang  dari kita. Kita bersyukur kita masih boleh berjalan dengan tegap bila melihat ada orang yang tidak boleh berjalan kerana lumpuh atau kudung kaki. Kita bersuykur kerana masih boleh melihat, berbicara, mendengar dan sebagainya.....kerana ada orang yang telah buta, tuli dan bisu sejak lahir atau kerana penyakit. Semua nikmat-nikmat ini tidak ternilai harganya, kita akan hanya merasai betapa berharganya nikmat ini apabila kita telah kehilangannya!
Maka selalulah kita bersyukur.....alhamdulillah, alhamdulillah sebanyak-banyaknya!

Tapi dalam urusan amal kebajikan lihatlah orang yang diatas yang melebihi  kita...kerana kemuliaan sesaorang itu tidak diukur dari dunia yang dimiliki tetapi dari amal kebaikan yang dilakukan.

 Sama-sama kita renungi firman Allah ini dalam surah Al-Baqarah ayat 243 yang bermaksud.....
"  Sesungguhnya Allah mempunyai kurnia terhadap manusia tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur".

 Juga dalam surah Ibrahim ayat 7...
" Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur nescaya Aku tambahkan nikmatKu kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur maka sesungguhnya azabKu amatlah keras."

Jadi apabila kita bersyukur, Allah akan tambahkan nikmat dan kurniaanNya kepada kita. Hati yang bersyukur bukan sahaja kebajikan yang besar tapi sebenarnya ia induk bagi segala kebajikan. Nikmat yang disyukuri akan tetap bertahan tapi jika diingkari ia akan lari. Kebanyakan kita tidak mensyukuri apa yang sudah kita miliki tapi sering menyesali apa yang belum kita capai!  

Sebenarnya hati yang mudah dan selalu bersyukur ini adalah kurniaan Allah kepada hamba-hambaNya yang ikhlas hatinya. Sabda Rasulullah saw dalam satu hadith....
"Empat perkara siapa yang diberikannya bererti telah diberi keuntungan dunia dan akhirat iaitu lidah yang sentiasa berzikir, hati yang selalu bersyukur, badan yang selalu sabar dan isteri mukminah yang solehah."

Janganlah hendaknya kita hanya mula bersyukur bila kita  ditimpa sakit. Mulakan bersyukur sebelum kita sakit lagi dan selalulah menjenguk orang yang sakit agar hati kita dapat bersyukur dengan kesihatan yang Allah berikan. Bila kita sakit, walaupun kita berada di hospital mewah sekalipun, hati tetap tak rasa bahagia malah kita tenggelam dalam kesakitan yang dideritai. 

Hakikatnya manusia ini sering terpesona dengan nikmat yang diberi tapi selalu lupa dengan pemberi nikmat iaitu Allah SWT. Pelbagai nikmat menyebabkan manusia lupa diri, bermegah-megah dengannya....mereka lupa nikmat Allah itu cuma sementara sahaja dan ia adalah cubaan yang akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah nanti.  

Jadi, mulailah kita bersyukur dengan ikhlas dengan segala nikmat Allah yang tidak terhingga banyaknya dengan memanfaatkan segala nikmat itu untuk melakukan amal kebajikan, mentaatiNya dan berusaha selalu untuk menambahkankan amal kebaikan itu. Tinggalkan kufur nikmat dalam diri sebagaimana halnya  Qarun yang mengatakan dia diberi harta kerana ilmu yang ada padanya bukan atas sebab kurniaan Allah. Oleh kerana kufur nikmat ini,  Allah telah menenggelamkan Qarun dengan hartanya yang banyak sekali!  Begitu keras siksaan Allah pada orang yang tidak bersyukur padaNya!

Justru itu, marilah kita sama-sama bersyukur pada Allah SWT dengan sebenarnya-benarnya......syukur mata dengan melihat perkara yang dibenarkan sahaja, syukur telinga dengan mendengar apa-apa yang baik-baik seperti ayat-ayat Allah, zikrullah dan majlis ilmu. Begitu juga dengan syukur anggota badan yang lain, syukur harta benda dan sebagainya.....

Sama-sama kita memohon diberikan Allah lisan yang mudah berzikir, ilmu yang bermanfaat, hati yang khusyuk dan selalu bersyukur.........insyaAllah. 

Bagi diriku..........Syukur, Alhamdulillah kerana dapat sama-sama dapat berkongsi peringatan ini untuk sama-sama kita manfatkan, insyaAllah.  




Wednesday, April 04, 2012

Mencintai Rasulullah saw.......

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah setinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah SWT kerana dengan keizinanNya,  sekali lagi dapat ku membuat perkongsian pada kali ini tentang Rasulullah saw yang merupakan pesuruh Allah, Nabi kita yang mulia, yang mana beliau sangat mengasihi ummatnya sehingga di saat-saat akhir kewafatan baginda , kalimah umati, ummati masih dibibirnya yang mulia.

 Kasihnya dan perihatinnya Rasulullah ini pada umatnya sehingga di saat kewafatannya , beliau masih risaukan dan teringatkan umatnya. Adakah ingatan kita pada Rasulullah saw ini sebagaimana baginda ingat pada kita? Jika ia, berapa kali kita mengucap selawat pada beliau setiap hari dan sejauhmana sunnahnya telah kita ikuti?

Kenapa kita perlu ada rasa cinta pada Rasulullah saw ini? Jika kita lihat , kecintaan sahabat-sahabat pada Rasulullah saw melebihi kecintaan pada diri mereka sendiri. Mereka sanggup mengorbankan nyawa sendiri bahkan berkorban apa sahaja demi Rasulullah tercinta......Mengapakah mereka sangat-sangat mencintai baginda sehingga jika berpisah sekejap, tidak bertemu beliau , akan merasa kerinduan yang amat sangat? Kalau boleh mereka tidak mahu berpisah dengan baginda walaupun seketika! Begitulah kesan cinta yang melahirkan rasa rindu yang mendalam.

Tak kenal maka tak cinta. Itulah ungkapan yang sering kita dengar bagi orang yang bercinta. Sahabat-sahabat mencintai Rasulullah ini kerana mereka mengenali keperibadian Rasulullah yang sangat mulia, kasih sayangnya yang sungguh tinggi, keperihatinan baginda tiada tandingnya, kata-katanya yang sungguh memukau dan menyejukkan jiwa......Semua yang diucapkan dan yang dilaksanakan oleh Rasulullah dicontohi dan diikuti semua sekali. Setiap patah yang diucap akan di perhatikan dan dilaksanakan sebaik mungkin......

Semua ini sebenarnya adalah natijah dari didikan baginda terhadap sahabat-sahabatnya.....baginda mengajar dan mendidik sahabat-sahabatnya dengan Al-Quranul Karim yang penuh hikmah, menanamkan hakikat iman dan kecintaan yang mendalam pada Allah, merasai kebenaran Al-Quran yang datangnya dari Allah......Kecintaan pada Allah inilah yang melahirkan kecintaan pula kepada Rasulullah saw yang membawa risalah Allah sebagai panduan dalam kehidupan manusia.

Malahan tidak akan sempurnanya iman sesaorang selagimana dia tidak meletakkan kecintaannya kepada Rasul melebihi keluarganya, harta, isteri dan anaknya seperti yang diriwayatkan dalam sepotong hadith...

" Tidak sempurna iman sesorang sehinggalah dia mengasihiku lebih daripada kasih kepada dirinya, anaknya, hartanya dan manusia seluruhnya."

Cinta Allah dan Rasul merupakan syarat sempurnanya iman sesaorang.........maka para sahabat yang terdidik telah mencapai tahap kesempurnaan iman...sehingga tiada lagi yang paling mereka kasihi melainkan hanya Allah dan Rasul! MasyaAllah,  sungguh tinggi mertabat mereka....kita ini tiada apa-apa jika dibandingkan dengan mereka! Sungguh jauh sekali...betapa banyaknya kecintaan kita pada yang lain, harta dunia, wang ringgit, pangkat dan kedudukan, kemewahan dan kesenangan,  wanita......Atas sebab inilah kita tidak merasai bagaimana sebenarnya kemanisan dan kelazatan iman itu!

 Selagi mana ketiga syarat ini tidak kita penuhi iaitu Allah dan Rasul lebih kita cintai dari yang lain, mengasihi atau membenci sesaorang hanya kerana Allah dan tidak rela kembali kepada kekufuran sebagaimana tidak rela dicampakkan ke dalam api neraka , selagi itulah  kelazatan iman hanya tinggal angan-angan kosong sahaja.....Jiwa tidak mampu merasai kemanisan ini selagi ada cinta selain Allah dan Rasul!!

Jika kita benar-benar kasihkan baginda maka ikutilah baginda dengan penuh ikhlas, segera mengerjakan apa yang disukai dan dikasihi baginda dan menjauhi apa yang dibencinya. Sama-sama kita renungi ayat Quran dibawah ini surah  At-Taubah ayat 62..yang bermaksud

"  Mereka bersumpah kepada kamu dengan nama Allah untuk mencari keredaaanmu, pada hal Allah dan Rasulnya itulah yang lebih patut mereka cari keredaannya jika mereka itu orang-orang yang beriman."

Firman Allah lagi dalam surah al-Hujurat ayat 1-2 yang bermaksud....
" Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul, dan bertakwalah kepada Allah.  Sesungguhnya Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui."

Satu perintah dari Allah yang melarang orang Mukmin tidak mendahului Allah dan RasulNya jika kita benar-benar bertakwa padaNya.

Jadi... iman, takwa dan cinta.....sebenarnya perlu dibuktikan kesahihannya melalui amalan dan tindakan.  
bukan setakat dakwaan semata.  Kecintaan pada Allah dan Rasul adalah dengan mengikuti segala surahan dan menjauhi laranganNya. Kehidupan ini kita layari bukan mengikut apa yang kita sukai tapi apa yang Allah dan Rasul sukai.

 Jadi korbankanlah kesukaan diri kita ini supaya kita dapat merasai hakikat bagaimana sebenarnya manis dan lazatnya iman , takwa dan cinta pada Allah dan Rasul.  Indah dan lazatnya cinta Allah dan Rasul ini tiada tolok bandingnya bukan seperti cinta yang dinikmati oleh orang yang bercinta....yang disulami rasa derita, suka, sengsara, sakit dan sebagainya. Ia hanya boleh dirasai oleh orang benar-benar ikhlas dan terpilih dikalangan hambanya yang beriman.  Wallahualam.

Semoga Allah merahmati kita semua dan kita sama-sama berusaha untuk mendapatkan cinta Agung ini, insyaAllah!  Amin Ya Rabbal Alamin.   

11 KELEBIHAN ISTIGHFAR PADA ALLAH

Apabila dilihat makna di sebalik ungkapan ISTIGHFAR,  “Aku memohon keampunan dari Allah swt.” ; dapat dilihat bahawa ungkapan ini adalah s...