Sunday, August 28, 2011

Tazkirah Ramadhan..........menyambut Aidul Fitri dan merayakannya sbg orang yang bertakwa!




Bismillahirrahmanirrahim....

Alhamdulillah telah hampir sebulan kita berpuasa, Ramadhan kini telah sampai ke penghujungnya ! InsyaAllah, sehari lagi kita akan merayakan Aidul Fitri....hari kemenangan bagi orang yang berpuasa, hari kemenangan bagi orang yang bermujahadah melawan hawa nafsunya dan selayaknya mendapat ijazah takwa.....yang merupakan natijah ibadah puasa itu sendiri.

Bagi kita, perlunya bermuhasabah diri..... layakke kita berhari raya....... puasa  kita tahun ini,  telah benar-benar ke kita melakukan mujahadah hawa nafsu, mempergiatkan ibadah kita dan terus menerus mendekati Al-Quran selalu? Jika ya, Alhamdulillah dan bersyukurlah kita di atas kemampuan kita melaksanakan tuntutan ibadah puasa ini. Jika tidak, sama-samalah kita beristighfar dan berusaha semampu mungkin, meneruskan ibadah-ibadah yang kita lakukan di bulan puasa ke bulan-bulan lain......sebagai persediaan kita untuk bulan Ramadhan yang akan datang. Kita perlu berazam dan membuat persediaan lebih awal lagi....supaya kita dapat menebus segala kekurangan yang dilakukan pada bulan puasa kali ini!  

Di hari lebaran ini, perlunya kita mengetahui bagaimana caranya orang yang bertakwa merayakannya supaya kita dapat meniru dan menjaga adab-adab berhari raya yang sepatutnya. Bukannya seperti realiti masyarakat yang beraya dengan menuruti hawa nafsu, seolah-olah membalas dendam sebab di bulan puasa banyak yang dilarang! Dengan pesta makanan rumah terbukanya, pergaulan bebasnya, dengan rancangan TV yang tersasar dari landasan syarak dan macam-macam lagi....

Walaupun kita belum mencapai hakikat takwa yang sebenarnya dan kita masih lagi belajar cara puasa orang yang bermujahadah, kita tumpang gembira merayakan hari kemenangan orang yang bertakwa ini.......Mungkin kita rasa sedih puasa kita masih ada kekurangannya di sana sini, tapi sama-sama rasa kita bergembira merayakannya......dengan cara orang yang bertakwa!

Antara sunnah merayakan hari raya ini mengikut Rasulullah saw adalah........

1.  Bertakbir, bertahmid dan bertasbih membesarkan Allah SWT.

Sejak matahari terbenam pada hari terakhir  Ramadhan ( bermulanya 1 Syawal pada maghribnya) sehingga solat sunnat Aidul fitri di pagi raya, di sunnatkan bertakbir, bertahmid dan bertasbih kepada Allah SWT.

Dengan bertakbir, bertahmid dan bertasbih,  kita membesar dan mengaungkan Allah SWT dan juga kita menyedari bahawa kemampuan kita melaksanakan ibadah puasa ini adalah dengan taufik dan hidayah dari Allah SWT jua.Alhamdulillah, hanya dengan izinNya juga , kita dapat berada menghirup udara Ramadhan, berpuasa dan melaksanakan ibadah-ibadah seperti qiyamulalil, solat tarawih , zikir dan membaca, tadarrus dan tadabbur Al-Quran di bulan mulia ini..... 

Dengan itu,  kita melahirkan rasa kesyukuran hati,  dengan rasa khusyuk dan tawaddhu', kerdil, hina, miskin dan jahil diri, kita mengagung dan  membesarkan Allah SWT dengan sepenuh keagungan setelah berjaya dan tamat melakukan ibadah puasa sebulan penuh. Sama-samalah kita renungi Firman Allah SWT dalam Surah Al Baqarah ayat 185 yang bermaksud.....

"Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangan (sebulan Ramadhan) dan kamu mengagungkan Allah (dengan bertakbir raya) atas petunjuk Nya yang di anugerahkan kepada kamu agar kamu menjadi orang yang bersyukur....."

2. Mandi sunat Aidulfitri, memakai pakaian yang indah dan harum-haruman, serta makan dan minum sebelum pergi solat raya.

Pada pagi hari raya , seharusnya kita membersihkan diri dengan mandi sunat di pagi raya, memakai pakaian yang terbaik, indah dan berwangi-wangian.  Semua ini di atas tanda kesyukuran kerana telah berjaya melaksanakan  ibadah puasa. Disunatkan juga makan dan minum sebelum pergi menunaikan solat Aidul Fitri seperti sabda Rasulullah saw dalam satu hadis diriwayatkan oleh Ibnu Majah,

Daripada Abu Hurairah,  Rasulullah saw bersabda "  Al-Saum adalah hari kamu berpuasa, Al-Fitri adalah hari kamu berbuka dan Al-Adha itu adalah hari kamu menyembelih binatang." 

Jadi pada 1 Syawal diharamkan berpuasa dan diwajibkan berbuka dengan makan dan minum tapi bukan dengan cara yang berlebih-lebihan dan berlakunya pembaziran. Makannya orang yang bertakwa dengan keluarga dan sahabat handai secara berjemaah dalam suasana penuh ceria dan ukhuwwah penuh kasih sayang.  

Tradisi kita yang berlebih-lebihan dalam penyediaan juadah hari raya perlu diperbetulkan kerana ini bukanlah sifat orang yang telah mendapat sijil takwa setelah sebulan bermujahadah diri dengan berpuasa! Alangkah pelik dan tidak wajarnya kita  setelah berjaya menahan diri dan mengawal nafsu di bulan Ramadhan, tiba- tiba bila datangnya  Syawal, terus nafsu yang telah berjaya dikawal itu, lepas bebas, membalas dendamnya..............  makanan yang disediakan terhidang sehingga tidak muat meja dan kemudian menyumbat kedalam perut makanan sepenuh-penuhnya apabila pergi beraya dari satu rumah ke satu rumah terbuka.........! Jadi, puasa yang telah dijalani tidak berjaya melahirkan insan bertakwa!

3. Menunaikan zakat fitrah sebelum solat raya

Orang yang bertakwa akan menunaikan bayaran zakat fitrah untnuk diri dan keluarganya. Pembayarannya boleh dilakukan sejak awal Ramadhan lagi, tetapi waktu paling afdhal adalah pada pagi raya selepas solat subuh sebelum solat raya didirikan.  Hadith Rasulullah saw daripada Ikrimah, daripada Ibnu Abbas berkata baginda saw,


" Sesiapa yang menunaikan zakat fitrah sebelum solat raya, ia zakat yang diterima dan sesiapa yang menunaikannya selepas solat raya ia adalah sedekah biasa (Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Al-Hakim) 

Orang yang bertakwa sangat perihatin akan nasib insan lain yang susah, fakir miskin, anak yatim dan asnaf zakat yang lain..... melalui zakat tersebut yang diagih-agihkan kepada mereka,  kegembiraan menyambut raya diraikan bersama. 

Melalui zakat, ia akan membersihkan kekurangan, kecacatan dalan lain-lain pencemaran semasa menunaikan ibadah puasa seperti perbuatan yang sia-sia tidak berfaedah di samping menjadi habuan kepada fakir miskin.

4. Solat sunat Hari Raya Aidul Fitri

Semua orang tidak kira muda, tua, miskin dan kaya termasuk juga wanita yang sedang haid disunatkan menghadiri perhimpunan tahunan raya ini iaitu solat Aidil Fitri ini. Semua orang dapat sama-sama bertakbir, bertahmid dan bertasbih memuji kebesaran dan keagungan Allah SWT, mendengar khutbah, berzikir serta mengaminkan doa imam. Inilah cara orang bertakwa meraikan hari kemenangan melawan hawa nafsu dalam diri. Bukannya dengan cara yang lain yang melanggar syarak.

Kita lihat ada masyarakat umat Islam meraikan raya ini dengan berpesta, berparti dengan pergaulan bebas, tidak menutup aurat bagi wanita, dihidangkan dengan lagu-lagu dan nyanyian yang dilarang dan berbagai kemungkaran lagi.... mereka yang tidak layak menyambut raya ini beraya lebih sakan dan melampau dari orang yang bertakwa! Roh Ramadhan itu cuba dibunuh seawal 1 Syawal lagi!  Malah sudah jadi satu budaya dimana ramai yang terjebak dalam dosa dan mungkar ini.  Kegembiraan mereka melebihi kegembiraan orang yang bertakwa.....

Renungilah sabda Rasulullah ini....
 "  Sesiapa yang ketawa ketika melakukan dosa, dia akan masuk neraka dalam keadaan menangis." (Riwayat Abu Naim)

5. Melakukan ibadah terus menerus pada Allah

Sekalipun Ramadhan telah berakhir, namun roh Ramadhan perlu diteruskan  sehingga ke sebelas bulan yang lain.  Satu petanda amalan yang diterima Allah adalah timbulnya dorongan untuk terus melakukan ibadah selepas menyelesaikan satu ibadah. Orang yang bertakwa tidak akan menghentikan ibadahnya sebaik Ramadhan berakhir, malah mereka akan terus istiqamah melakukannya.......

Kita sama-sama renungi satu hadith Rasulullah daripada Abu Umamah, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud....
"  Sesiapa yang mengerjakan amal ibadat pada malam Raya (Aidil Fitri dan Aidil Adha) dengan mengharapkan keredaan Allah SWT semata-mata , hatinya tidak mati (pada hari kiamat) sebagimana matinya hati (orang yang kafir dan ingkar )pada hari itu." (Riwayat Ibnu Majah)

Jadi marilah kita sama-sama meraikan hari kemenangan itu dengan penuh ketakwaan pada Allah, menjaga adab-adabnya supaya segala amal yang kita buat diterima oleh Allah sebagai amal soleh .  Alangkah ruginya setelah sebulan berpuasa...apa yang kita dapat hanya lapar dan dahaga bukannya Takwa sebagaimana yang sepatutnya!

Setelah kita melakukan satu amalan ibadah , sama-samalah kita perbanyakan istighfar  kita sebagai memohon ampun di atas segala kekurangan dan kelemahan yang dilakukan.  Mudah-mudahan Allah menerima segala amal kita, insyaAllah!

Amin Ya Rabbal Alamin...

Rujukan
Majalah Solusi Edisi Ramadhan (Isu 34)

Friday, August 26, 2011

Berlalunya Ramadhan, menjelangnya Aidul Fitri......




B ismillahirrahmanirrahim....

Ramadhan akan berlalu pergi......
Pergimu membawa bersama 
Seribu keberkatan... seribu rahmat
Membawa bersama keampunan dari dosa
Dan pembebasan api neraka
Untuk insan mujahid terpilih!

Terpilihkah aku untuk itu..?
Mudah-mudahan insyallah.....
Itulah harapan dan doaku!

Ku insafi ya Allah....
Banyaknya dosaku...
Kurangnya amalku..
Lemahnya semangat dan tekadku...
Turun naiknya imanku!

Namun aku insan lemah dan kerdil ini
Akan sentiasa berharap
Pada ihsanMu, ya Allah...
Pada Rahmat dan Kasih sayangMu... 
Hanya Engkaulah Tuhanku
Satu-satunya tempat ku bergantung harap!

Campakkanlah hidayahMu dihati ini...
Berikanlah diriku  kesabaran yang baik...
Pimpinilah jiwa ini dijalanMu yang lurus..
Akan ku cuba mengikutinya..
Sekuat dan semampu yang mungkin
Menyusuri onak dan duri-duri kehidupan
Yang sering menyakitkan!

Menjelangnya Adilfitri ini....
Kuiringi dengan kesedihan...
Dengan berlalunya Ramadhan
Kusambut Adilfitri ini....
Dengan  doa dan harapan...
Agar semua amalku..... 
Engkau terima ya Allah....
Tuhanku Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang!

Akhir kalam....
Kepada pembaca blog semua, 
Diucapkan.......
Takabbalallah minna wa minkum!
Semoga Allah menerima amal kami dan amal kamu......
Maaf Zahir dan Batin.... 
Semoga Allah kasih pada kita semua!
Amin........Ya Rabbal Alamin.

Thursday, August 25, 2011

Tazkirah Ramadhan... mencari lailaltul qadar


Bismillahirrahmanirrahim..........


Alhamdulillah setinggi kesyukuran kita sama-sama panjatkan kehadrat Allah SWT, kerana dengan izinNya, kita telah melalu Ramadhan tahun ini sehinggalah telah pun sampai ke penghujung Ramadhan....iaitu sepuluh malam terakhir dimana salah satu harinya akan ada satu malam yang penuh barokah dan rahmat yang lebih baik dari seribu bulan iaitu Lailatul Qadar. 

Malam Lailatul-Qadar sunat dicari, kerana malam ini merupakan suatu malam yang diberkati serta mempunyai kelebihan dan diperkenankan doa oleh Allah S.W.T. Malam Lailatul-Qadar adalah sebaik-baik malam mengatasi semua malam termasuk malam Jumaat. Bagaimana persediaan kita untuk mencari malam ini? Adakah kita telah melipatkan gandakan ibadah kita, berusaha berjaga malam dan berdoa agar bertemu dengan malam ini?

Allah S.W.T. berfirman dalam Surah Al-Qadr 97: Ayat 3. 

Maksudnya: " Malam Lailatul - Qadar lebih baik daripada seribu malam "

Sewajarnya kita  menghidupkan malam Lailatul-Qadar dengan mengerjakan ibadah kerana ia adalah lebih baik daripada beribadah pada seribu bulan yang tidak ada Lailatul-Qadar seperti sabda Nabi s.a.w.:

Maksudnya: " Sesiapa menghidupkan malam Lailatul-Qadar kerana beriman serta
mencari pahala yang dijanjikan akan mendapat pengampunan daripada dosa-dosa yang telah lalu " 

Diriwayatkan daripada Saiyidatina Aisyah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. apabila tiba 10 hari terakhir bulan ramadhan, Baginda menghidupkan malam-malamnya dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya.

 Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan: Maksudnya: " Rasulullah s.a.w. berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh  akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam-malam lain. " Malam Lailatul-Qadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil bulan Ramadhan.

 Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya: " Carilah malam Lailatul-Qadar pada sepuluh akhir bulan Ramadhan dalam malam ganjil. " Pendapat yang terkuat mengikut para ulama' bahawa malam Lailatul Qadar terkena pada malam 27 Ramadhan.

 Menurut Abu Ka'ab katanya, "Demi Allah sesungguhnya ibn Mas'ud telah meyakinkan bahawa malam Lailatul-Qadar jatuh dalam bulan Ramadhan manakala Lailatul-Qadar pula terjatuh pada malam 27, akan tetapi dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya." 

Daripada Riwayat Mu'awiyah:

Maksudnya: " Bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda dalam malam lailatul-qadariaitu malam ke-27. "

Riwayat ini disokong oleh pendapat Ibn Abbas yang mengatakan bahawa surah Al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu terjatuh kepada dhamir(hia) yang kembalinya kepada Lailatul-Qadar.

Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah Hadith daripada Ibn Umar r.a yang berbunyi:
Maksudnya: " Sesiapa yang mencari Lailatul-Qadar, carilah kamu malam Lailatul-Qadar pada malam yang ke-27. "

Aisyah r.a. bertanya kepada Rasulullah, katanya, "Ya Rasulullah s.a.w. andainya aku mendapati malam Lailatul-Qadar, apakah doa yang patut aku bacakan? Rasulullah s.a.w. berdoa dengan doa:




Maksudnya: " Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, oleh itu berilah  keampunan-Mu untukku. "


Pahala beribadah berganda-ganda pada malam tersebut....kerana malam itu nilaiannya lebih baik dari seribu bulan, lebih kurang 83 tahun...mungkin umur kitapun tak sampai sebanyak itu  dan pahala ibadah kita pun tak mungkin sebanyak itu seumur hidup kita....


Pada setiap kali raya kita selalu mengharapkan bonus dari majikan kita sebab nak beraya ni...sangat sukanya kita bila bonus di beri itu berganda-ganda!


Tapi Allah SWT dengan rahmat dan KasihsayangNya kepada kita,  menyediakan kita jalan untuk mendapatkan bonus beribu kali ganda untuk pahala amal ibadah kita ! Bagi pencari akhirat, ini merupakan durian runtuh boleh diusahakan setiap tahun...... kerana kita nak kutip bekal yang banyak untuk dibawa pulang kelak! Jadi sepatutnya kita sangat suka, berlumba-lumba dan tamakkan bonus pahala ini......melebihi segalanya!

Jadi, marilah sama-sama kita usahakan mencari malam ini, perlunya kita tingkatkan mujahadah diri, lebih-lebih lagi di penghujung Ramadhan yang lumrahnya diisi dengan berbagai kesibukan....sibuk nak beli baju raya, sibuk persiapkan rumah, sibuk nak balik kampung, sibuk bakar lemang, ketupat , kueh raya dll....kesibukan di siang hari menyebabkan keletihan di malamnya...jadi lenalah tidurnya diwaktu malam, maka terlepaslah berjaga malam dengan qiyamulalil.......terlepaslah malam lailatul Qadar!!  

Ramadhan hanya tinggal beberapa hari lagi....selalunya di fasa akhir ini ramailah yang kecundang, tidak memanfaatkan sebaiknya sepuluh hari terakhir Ramadhan. Maka pecutan terakhir perlu kita buat, supaya Ramadhan tidak pergi begitu sahaja.....nak tunggu setahun lagi baru ia datang lagi, dan belum tentu kita akan berjumpanya lagi! Mungkin Ini merupakan Ramadhan terakhir kita, hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.

Dibulan ini, kita dengar ada sahabat, rakan taulan kita, saudara mara kita....bagi diriku ibu mertua ku telah dipanggil pulang menghadapNya , dibulan mulia ini.....cukup menginsafkan kita, sebenarnya kita semua ini sedang menanti giliran kita......

Jadi , tingkatkanlah persediaan bekalan kita di tempat persinggahan kita yang sementara ini....destinasi akhir kita pasti datang jua, insyaAllah!


Sumber rujukan 
Blog Jais.



Tuesday, August 16, 2011

Tazkirah Ramadhan...Beriman kepada Allah yang Maha Mengawasi Lagi Maha Dekat.



Bismillahirrahmanirrahim.........

Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Dekat dengan hamba-hambaNya dan Dia meliputi semuanya. Tiada suatu apa pun yang tersembunyi daripadaNya, baik  di dasar laut mahupun di atas puncak gunung. Semua yang tersembunyi adalah nyata bagiNya dan yang ghaib adalah nampak disisiNya.

Sebagai seorang Muslim, pentingnya kita beriman dengan sifat Allah Yang Maha Dekat dan Maha Mengawasi ini. Apabila hati merasai betapa dekatnya Allah pada kita dengan keyakinan yang mantap , kita akan benar-benar merasakan pengawasan Allah yang terus menerus pada kita. Ini akan mendorong sesaorang hamba itu bersifat malu, tetap istiqamah pada perintahNya dan mencari kebenaran dalam segenap urusannya.  Dia juga akan merasa aman dan tenang kerana merasai keterdekatan Allah SWT dengannya.  Firman Allah  begitu dirasai dalam jiwanya yang mengubati kesedihannya...........

"  Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita." (surah At-Taubah: 40)

Disamping itu, dia juga tidak takut bersendirian; malah dia menjadikan Allah teman dekatnya, menuangkan kerinduan kepadaNya dan meminta semua keperluan padaNya. Ini akan menguatkan lagi hubungan antara hamba dengan Khaliqnya berasa dekat denganNya sehingga ke tahap ihsan iaitu menyembah dan berkomunikasi dengan Allah SWT seolah-olah dia melihat Allah SWT!

Jadi, bagaimanakah caranya kita seharusnya beriman dengan sifat Allah yang Maha Mengawasi, Maha Melihat dan Maha Dekat dengan kita? 

Didalam Al Quran banyak menerangkan tentang hakikat sifat Allah yang perlu kita imani ini. Kita perlu membaca Al-Quran, merenung-renungkannya  iaitu tentang hakikat dan pengertian  keterdekatan Allah pada hambanya........
  1. Allah itu sangat dekat dengan semua hambaNya
" Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya dan Kami lebih dekat kepadanya dari urat lehernya." (Surah Qaf : 16)

Allah sangat dekat pada manusia melebihi kedekatan urat leher manusia dan Dia mendengar segala doa dan seruan manusia walaupun berupa bisikan hati atau dalam bentuk rahsia sekalipun.

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, (jawablah) bahawasenya Aku mengabulkan permohonan orang yang bermohon kepadaKu.  Maka laksanakanlah perintahKu dan beriman kepadaKu." (Surah Al-Baqarah :186)

Bila jiwa merasai hakikat ini....maka hati dapat diluruskan dan semua  anggota akan mengikuti kata hati dari segi amalan dan perbuatannya.

2.  Allah SWT meliputi semua ciptaanNya dan KebersamaanNya dengan hamba-hambaNya

Keakraban dan kedekatan Allah ini dengan semua ciptaanNya  dijelaskan dalam firmanNya dalam surah Al- Mujadilah : 7 yang bermaksud....

" Tiada perbicaraan rahsia antara tiga orang melainkan Dialah yang keempatnya. Dan tiada (perbicaraan antara ) lima orang melainkan Dialah yang keenamNya. Dan tidak (pula) perbicaraan antara (jumlah) yang kurang dari itu atau lebih banyak melainkan Dia ada bersama mereka di manapun mereka berada.  Kemudian Dia memberitahu kepada mereka dihari kiamat apa yang telah mereka kerjakan.  Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala sesuatu."   

3.  Allah sentiasa Mengawasi semua makhluk ciptaanNya

Renungilah firman Allah dalam surah An-Nisa' : 1 yang bermaksud......


" Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu."

Allah SWT juga Maha menyaksikan segala perbuatan yang kita perbuat seperti dalam firmanNya dalam surah Yunus : 61....

"  Kamu tidak berada dalam satu keadaan dan tidak membaca suatu ayat Al-Quran dan kamu tidak mengerjakan suatu pekerjaan melainkan Kami menjadi saksi atasmu di waktu kamu melakukannya."  

Jadi tidak mungkin bagi makhluk Allah SWT itu bersembunyi di tempat yang tidak dilihat oleh Allah SWT sebagaimana yang disebut dalam firmanNya dalam surah Luqman :61 yang bermaksud....


"Luqman berkata," Hai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi dan berada dalam batu atau dilangit atau dibumi, nescaya Allah akan mendatangkannya (membalasinnya).  Sesungguhnya Allah Maha Halus Lagi Maha  Mengetahui."

Sesungguhnya Allah SWT Maha Melihat akan kita, ketika kita ketawa, menangis, makan atau minum , solat apa saja yang kita perbuat sama perbuatan baik ataupun  mungkar .  Ini dinyatakan dalam firmanNya dalam surah As-Syuara' : 217-219 yang bermaksud...

" Dan bertawakkallah kepada Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang. Yang melihat kamu ketika kamu (berdiri) solat.  Dan (melihat pula) perubahan gerak badanmu di antara orang-orang yang sujud."

4.  Allah mengetahui sesuatu yang Ghaib dan yang Nyata  

Tiada apapun yang tersembunyi dari sisiNya sebagaimana yang difirmankanNya dalam surah Al-Anam : 59 yang bermaksud...


"Di sisi Allahlah kunci-kunci semua yang ghaib, tiada yang megetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang ada di daratan dan dilautan, dan tiada sehelai daun yang gugur melainkan Dia mengetahunnya, dan tidak jatuh sebutir bijipun dalam kegelapan bumi, dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering melainkan tertulis dalm kitab yang nyata (Lauh Mahfuzh)."

 Allah Maha Mengetahui apa yang tersembunyi di dalam jiwa seperti dalam  firmanNya surah Ghafir: 19 yang bermaksud...

"  Dia mengetahui (pandangan) mata yang khianat dan apa yang disembunyikan oleh hati."

Segala rahsia yang kita sembunyikan dalam jiwa tampak nyata bagi Allah SWT, maka mustahil kita mampu menyembunyikan apa-apa dariNya sperti dalam firmanNya dalam surah  Al-Mulk : 13 yang bermaksud...

" Dan rahsiakanlah perkataanmu atau lahirkanlah, sesungguhNya Dia Maha Mengetahui segala isi hati. " 

5. Allah itu Maha Mendengar

Pendengaran Allah meliputi seluruh suara, bahasa yang bermacam-macam dan keperluan yang pelbagai. 
Tiada yang berbeza atau samar bagi Allah SWT. Bahkan Allah Maha mendengar pada semua tahap kebisingan dengan bahasa yang berbeza, semua itu tidak menghalang pendengaranNya. Dia tidak mencampuradukkan tuntutan dengan banyaknya masalah, tidak bosan dengan kerumitan yang datang silih berganti yang dilakukan oleh sesiapa yang mempunyai keperluan.

Perhatikan dan renungilah firman Allah ini dalam surah Az-Zukhruf :80 yang bermaksud...

" Apakah mereka menyangka bahawa Kami tidak mendengar rahsia dan bisikan-bisikan mereka?  Sebenarnya (Kami Mendengar) , dan utusan-utusan (malaikat-malaikat) kami sentiasa mencatat disisi mereka."

6.  Penghisaban Allah SWT terhadap amalan-amalan hamba-hambaNya

Walaupun ilmu dan pengawasan  Allah meliputi segalanya, namun Allah tetap akan menghisab amalan manusia sebagaimana yang difirmankanNya dalam surah l-Mujadilah: 6 yang bermaksud....

" Allah mengumpulkan (mencatat) amalan perbuatan itu padahal mereka telah melupakannya. Dan Allah Maha Menyaksikan Segala sesuatu."

Allah menghisab amalan dan memberikan balasan yang sesuai dengan amal masing-masing. Kebaikan  akan dibalas kebaikan manakala kejahatan dibalas siksaan dan azab yang pedih, atau Dia memaafkan sesiapa yang dikehendakiNya  didunia dan diakhirat. 

7.  Keterdekatan dan kebersamaan Allah dalam pelaksanaan amalan yang dilakukan oleh manusia.

Dalam apa sahaja yang diperbuat, sesungguhnya Allah tidak pernah meninggalkan manusia. Banyak contoh-contoh dalam Al-quran menceritakan tentang hal ini seperti kisah Nabi Zakaria yang mengadu pada Allah tentang masalah dirinya yang sudah tua, mempunyai isteri yang mandul dan  yang tidak punya waris (Surah Maryam :3-6).  Allah SWT mendengar dan kemudian menjawab doa nabi Zakaria pada ayat yang berikutnya.(Surah Maryam : 7)  

Begitu juga dengan kisah Fira'un dengan rancangan jahatnya pada Nabi Musa, Allah mengetahuinya dan memberitaunya pada Nabi Musa supaya keluar dari negara Mesir untuk menyelamatkan diri dari Firaun
 ( Surah Ad-Dukhan : 23-24) 
Allah juga menceritakan tentang keadaan orang Munafik pada Rasulullah saw (Surah Ali Imran ayat 154) dan juga keadaan para isteri baginda (Surah At-Tahrim : 3)

Banyak lagi contoh-contoh dalam Al-Quran yang menunjukkkan ilmu Allah meliputi segala sesuatu
sama ada zahir atau batin, tersembunyi atau nyata......manusia tidak boleh lari dari 'pandangan mata' Allah SWT walau dalam apa juga keadaan ,  masa  dan tempat. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui segala-galanya, Maha Dekat dan Maha Mengawasi setiap apa yang dilakukan oleh manusia. 

Keimanan kita pada sifat Allah ini membuatkan kita sentiasa waspada diri bahawa kita tidak dapat lari daripadaNya, kita rasa  sentiasa  di awasi, takut berbuat dosa dan selalu ingin perbaiki diri.  Apabila kita merenung-renungkan selalu ayat -ayat Quran tentang hakikat ini, mudah-mudahan dengan izin Allah,  maka keimanan berdasarkan sifat Allah ini benar-benar tertanam dalam hati, menambahkan lagi keimanan dan merasakan pengawasan Allah pada diri.

Keimanan sebeginilah sebenarnya kita hajati yang dapat mengawal kita dari tergelincir dari landasan yang lurus. Iman sebegini perlulah melalui proses yang istiqamah dalam hidup di mana pada setiap aspek kehidupan kita kita sentiasa merasakan kehadiran Allah SWT. Kita perlu bermujahadah melawan hawa nafsu kita selalu,  dalam rangka nak bina hubungan yang erat dengan Allah. Tanpa mujadah annafs sebenarnya sukar kita nak ketepikan kepentingan diri dan nafsu dan ambil nilai Allah dalam kehidupan.

Tanpa melalui proses tarbiyah diri, maka apa yang kita hajati sebenarnya umpama mengejar fatamorgana di padang pasir ; dari jauh nampak seperti air namun bila dihampiri hampa belaka! 

Rujukan 
Peranan dan Kekuatan Al-Quran dalam memantapkan keimanan.
Dr. Majdi Al-Hilali

Friday, August 12, 2011

Tazkirah Ramadhan......ikutilah apa yang dibawa oleh ArRasul saw!



Bismillahirrahmanirrahim.....

Alhamdulillah setinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah  SWT kerana dengan keizinanNya jua, kita dapat seterusnya melangkah masuk ke fasa kedua Ramadhan iaitu fasa keampunan dengan ayunan langkah yang masih terus bersemangat melaksanakan tuntutan Allah, bukan setakat ibadah puasa sahaja malah meningkatkan lagi ibadah-ibadah sunat kita seperti melakukan tarawih, qiyamulail, zikir, doa  dan istighfar kita.......

Lazimnya bila semakin lama kita berpuasa, semakin kuranglah jemaah di surau dan masjid untuk tarawih, bilangan saf kian menyusut, .....!  Dimana istiqamah kita, baru separuh jalan,  belum pun sampai ke 10 malam terakhir, sudah rasa pancit dan  letih? Sewajarnya  kita perlu sentiasa menyuburkan semangat kita, meningkatkan lagi mujahadah kita hari demi hari sehinggalah tiba ke sepuluh malam terakhir.....setiap hari ada peningkatan dalam amal kita, pembacaan dan  tadabbur Al-Quran seiring dengan puasa yang dijalankan! 

Jika dirasakan semangat diri semakin berkurang, janganlah dituruti sangat kehendak hawa nafsu .....basahi diri dengan wudhu selalu dan dekati Al-Quran dan bacalah buku-buku atau peringatan yang berguna untuk membangkitkan semula motivasi diri . Juga kurangkan tidur yang berlebihan disiang hari......ini sebenarnya menyebabkan kita letih dan tidak bermaya dimalamnya dan susah untuk qiyamullail! Seperkara lagi  masa terluang diwaktu siang atau malamnya  kita janganlah kita isi dengan perkara-perkara yang lagha dan sia-sia seperti menonton rancangan TV yang tidak sesuai  , disitu tak terjaganya mata dan telinga kita lantas ia akan mempengaruhi jiwa kita dan melunturkan semangat ibadah kita. Lihatlah rancangan bercorak keagamaan seperti Tanyalah Ustaz , rancangan Tazkirah dsbnya...  

Juga lakukan amalan ibadah sunnah yang biasa dilazimi Rasulullah saw setiap hari seperti zikir mathuratnya setiap pagi dan petang, zikir pada setiap tempat dan keadaan  dan melakukan solat-solat sunnat  dan banyak lagi........kerana ini sebagai bukti kecintaan kita pada Allah SWT dan Rasulullah saw. 

Seperti kata Zun Nun Misri.....
"Salah satu tanda cinta sesorang kepada Allah saw ialah mutabaah (mengikuti) kekasihNya (Rasulullah) dalam akhlaq, perbuatan, perintah dan sunnah-sunnahnya. 

 Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 31 yang bermaksud....
" Katakanlah, jika kamu benar-benar mencintai Allah SWT maka ikutilah aku, pasti Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang."

Lebih-lebih lagi di fasa kedua Ramadhan, untuk mengharapkan maghfiroh Allah, perlulah lakukan amalan-amalan yang disukai Allah dimana dengannya akan diampunkan dosa-dosa kita! 

Sesungguhnya tinggi rendahnya kedudukan seorang mukmin diukur dengan kekuatan ittiba'(mengikuti) sunnah Rasul, ertinya banyaknya sunnah Rasul yang di buatnya, semakin tinggilah dan terhormatlah kedudukannya disisi Allah SWT.

Sama-sama kita renungkan, bagaimanakah agaknya kita rasakan bila kita kehilangan sesuatu milik kita yang kita sayangi, seperti harta dan wang ringgit kita lebih-lebih lagi jika kehilangan orang tersayang seperti anak, isteri atau suami kita......tidak diketahui dimana mereka berada, mungkin diculik, tersesat dsbnya.... Aduh..... tentu jiwa tidak keruan, sedih pilu, mencari kesana kemari bagai orang gila, iklankan dalam media massa, usahakan apa sahaja untuk menemui kembali mereka.........   Jiwanya tidak akan tenang dan puas  sehingga dapat menemui semula! 

Tapi........adakah sama kita rasai dengan banyaknya hilang sunnah-sunnah  Rasul ini dalam  kehidupan kita? Kita kurang peduli, tidak bersusah payah untuk mengamalkannya semula dalam kehidupan seharian kita! Ini adalah kerana dalam hati tidak sama rasa kasih dan sayang kita seperti kita sayang kepada harta, wang ringgit dan orang kesayangan kita.  Kita lebih sayangkan perkara-perkara ini dari Allah dan Rasul! Sedangkan sebagai orang Muslim Mukmin kita sepatutnya mengasihi Allah dan Rasul melebihi segala yang ada didunia ini! Sukarnya kita nak lakukan ini.........jika tiada keterikatan hati yang erat dengan Allah dan Rasul.

Sesungguhnya,  pengagungan kita pada perkara materialistik dan duniawi melebihi pengagungan kita kepada apa yang di bawa oleh Allah dan RasulNya! Inilah sebenarnya musibah yang melanda kehidupan kita sekarang ini. Jikalaulah dengan mengamalkan sunnah ini diberi ganjaran wang yang lumayan ......tentulah ramai orang bersemangat melakukannya. Namun ganjaran dari Allah yang ghaib, tak nampak di mata berupa pahala yang lebih besar , balasan syurga yang penuh nikmat  dan dijauhkan dari api neraka  tidak menarik minat.......kerana tebalnya kecintaan manusia pada tarikan dunia yang melalaikan! Itulah penyakit kita umat Islam di akhir zaman ini .........cintakan dunia dan takutkan mati!

Jadi,  perlunya kita betulkan rasahati kita ini terlebih dahulu......kita perlu cari jalan bagaimana kita nak tanam cinta kita pada Allah dan Rasul ini? Seperti kita tanam pokok, untuk ia hidup subur, perlulah dari benih yang baik, ditanam di tanah yang subur, disirami air, dibajai dan djagai ia supaya ia hidup membesar subur dan akhirnya mengeluarkan hasilnya . Begitulah juga perlunya kita tanamkan benih-benih keimanan ditempat yang subur iaitu di dalam hati yang bersih supaya ia membesar subur menjadi pohon iman dan seterusnya membuahkan hasil atau natijahnya iaitu kecintaan pada Allah dan Rasul! 

Justru itu,  barulah dengan  jiwa yang mencintaiNya,  dapat melaksanakan segala tuntutanNya dan menjauhi segala laranganNya.........matlamat dirinya hanya mencari keredhaan  Allah SWT sahaja dalam hidup ini! Setiap usaha yang dilaksanakan dan setiap langkah yang di aturnya..........semuanya kearah mencari keredaanNya.

Inilah pegangan yang paling tepat untuk dijadikan benteng seorang Muslim yang melayari sebuah kehidupan
pada akhir zaman yang penuh dengan fitnah. Setiap episod kehidupan kita manusia ini dipenuhi pelbagai ujian, satu demi satu ia akan mendatangi kita sejak kita kecil sehinggalah kita kembali kepadaNya. Pada setiap episod kehidupan kita, ada suka dan duka ,ada  bahagia  atau celaka, ada sedih dan pilu, ada masa sihat atau sakit, ada gembira, kecewa............itulah lumrah kehidupan! Semua ini umpama ujian atau peperiksaan dalam realiti kehidupan yang ada gagal atau lulusnya dalam ujian tersebut. 

Apa yang penting pada setiap episod  itu  kita akan lulus ujian  jika kita kaitkan semuanya dengan ketentuan Allah dan menanganinya mengikut apa yang digariskan olehNya.! Kita melayari hidup ini supaya  segalanya mengikut acuan atau sibghah Allah........

Renungilah firman Allah dalam surah Al Baqarah ayat 138 yang bermaksud.....
" Sibghah Allah, dan siapakah yang lebih baik sibghahnya daripada Allah? Hanya kepadaNya , kami menyembah."

Namun bila kita mengikuti jalan lain, acuan lain dalam kehidupan ini, menangani segala permasalahan hidup ini ikut nafsu kita....sebenarnya kita gagal dalam ujian tersebut!  Akibat kegagalan ini pasti cukup menyiksakan dan memeritkan jiwa........walaupun kita punya gedung mewah dan harta yang banyak! Tiada ketenangan abadi dalam hidup ini walaupun kita cuba membelinya dengan kemewahan ......!!

Firman Allah dalam surah Al-A'la ayat 16-17 yang bermaksud......
" Tetapi kamu memilih kehidupan dunia, sedangkan kehidupan akhirat itu lebih baik dan lebih kekal." 

Satu kerugian yang pasti bila kita menggadai akhirat yang kekal abadi dengan dunia yang sementara!  Semua ini berlaku akibat butanya mata hati yang tidak nampak jalan kebenaran. Hati yang buta kerana diselaputi dosa demi dosa yang dilakukan.....sehingga ia tidak nampak jalan!  Nauzubillahi minzaalik!  

Jadi,  perkara yang wajib dilakukan oleh setiap hamba Allah dalam menjalani kehidupan ini adalah mengikuti semua yang diperkatakan oleh Allah melalui  Rasulullah saw. Melaksanakan keseluruhan syariat Islam tanpa ada satupun yang tertinggal.  Firman Allah dalam surah Al Baqarah :108 yang bermaksud....

"  Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu kedalam Islam secara keseluruhannya (mematuhi segala hukum-hukum Islam) dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan,  Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu."

Mudah-mudahan Allah membantu kita melayari kehidupan ini dengan berbekalkan taufik dan hidayah dariNya. Kita sama -sama berdoa Allah sentiasa menunjuki kita kearah jalanNya yang lurus di setiap liku-liku ini.  Sama-sama kita serah dan pasrahkan jiwa kita kepadaNya.  Hanya kepadaNyalah tempat kita bergantung dalam hidup ini!!

Amin ...Ya Rabbal Alamin..

Tuesday, August 09, 2011

Tazkirah Ramadhan...perbaharuilah iman kamu!

Bismillahirrahmanirrahim...

Rasulullah saw mengatakan orang mukmin itu sungguh beruntung walau dalam apa keadaan sekali pun....seperti dalam hadis Rasulullah yang bermaksud...
"  Sungguh pelik urusan orang mukmin itu, semua perkara baginya baik belaka, semua ini tidak didapati oleh orang lain melainkan orang mukmin : Jika dia mendapat kesenangan dia bersyukur, maka itu baik baginya, dan jika dia ditimpa kemudharatan dia bersabar, maka itu baik baiknya." 

Sungguh ajaib! Tapi itulah realitinya orang mukmin itu. Siapakah yang dimaksudkan dengan orang mukmin itu?  Adakah semua orang Islam itu tergolong sebagai orang mukmin iaitu orang yang benar-benar beriman padaNya? Ada juga orang Islam yang fasik, tidak menunaikan perintah Allah, berbuat dosa menzalimi diri sendiri......Adakah kita ni tergolong ke di kalangan orang mukmin yang di maksudkan oleh Rasulullah itu....?

Kita sendiri boleh menilai diri kita sebenarnya....kerana orang mukmin itu ada ciri-cirinya sebagaimana yang diterangkan dalam surah Al Mukminun ayat 1 hingga 9....ada surah khusus tentang orang mukmin ini!
Di antara ciri-ciri  orang mukmin yang diterangkan dalam Al Quran adalah .......
  1. Orang yang khusyuk dalam solatnya
  2. Orang yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang tidak berguna
  3. Orang yang menunaikan zakat
  4. Orang yang memelihara kemaluannya (kecuali pada isteri dan hamba sahaya yang dimiliki)
  5. Orang yang memelihara amanat-amanat dan janji-janji
  6. Orang yang memelihara solatnya.
Walaupun hanya ada 6 ciri yang disebutkan tapi sebenarnya ia mencakupi skop yang luas .....untuk memiliki kesemua ciri-ciri tersebut bukanlah semudah yang ditulis dan dibicarakan! Perlunya kita mempunyai ilmu untuk mengetahui dengan lebih jelas lagi akan setiap perincian ciri-ciri di atas........

Sebenarnya sifat-sifat di atas menggambarkan peribadi seorang mukmin ditingkat yang paling tinggi yang mendekatkannya dengan tingkatan akhlak Rasulullah saw yang telah dididik oleh Allah dengan didikan yang paling baik sehingga Rasulullah ini adalah sebaik-baik makhlukNya yang mempunyai akhlak yang sungguh mulia. Ini dperakui oleh Allah dalam surah al-Qalam :4 yang bermaksud....

"Sesungguhnya kamu(Rasulullah) benar-benar berbudi pekerti yang agung."

Sifat -sifat ini mempunyai nilai yang istimewa yang akan mempengaruhi kehidupan sesaorang   yang mengakui Muslim sama ada secara individu, masyarakat dan seluruh umat manusia amnya.  

Orang mukmin adalah orang-orang yang beriman pada Allah dengan hakikat keimanan yang sebenarnya  yang mana  mereka yang mempunyai hati yang merasai keagungan dan kebesaran Allah SWT dalam diri mereka dan ubudiyyah mereka semata-mata kepada Allah dalam segenap kehidupan, jiwanya pasrah dan pergantungan hati hanya pada Allah! Iman yang di dakwa bukan setakat ucapan bibir sahaja tapi datangnya dari hati.......sepertimana sabda Rasulullah saw dalam satu hadithnya tentang hakikat iman ini.........
" Iman itu bukanlah angan-angan, tapi apa yang terpahat di hati, dibenarkan olah lisan dan dibuktikan dalam amalan"

Keimanan pada Allah inilah yang melahirkan kekhusyukan hati. Kekhusyukan hati pada Allah adalah pada kemuncaknya bila mereka menunaikan solat padaNya. Hati yang khusyuk padaNya melahirkan kekhusyukan  pada segenap anggota tubuhnya, isyarat dan gerakan dalam solatnya.  

Semasa solat, roh mereka tenggelam dalam keagungan dan kebesaran Allah SWT.......maka segala kesibukan dunia hilang dari fikiran, malah hati ketika itu hanya sibuk denganNya. Sibuk dan tenggelam dalam perasaan menghadap Allah Azzawajalla, sibuk memohon pertolongan padaNya, sibuk mempersaksikan hanya pada Allah semata-mata,  hanya merasai kehadiran Allah sahaja dalam hati.......segala yang lain adalah kecil dan tidak bermakna!

Tapi bagi kita umat islam sekarang ni..........jauhnya kita  dari hakikat khusyuk solat yang sebenarnya......di masa solatlah,  kita teringat macam-macam selain Allah.... kunci hilanglah, kerja tak siaplah, ada appoinment, meeting dsb... sehingga kita tidak khusyuk dan mempercepatkan solat kita! Solat ni umpama solat touch n go saja.....kurang membekas dijiwa, solat tidak dapat mencegah diri dari berbuat maksiat dan mungkar,  solat tidak dapat mendidik diri jadi lebih baik, lebih sabar, bertimbang rasa dan sebagainya.....

Semua terjadi kerana hakikat solat tidak diterjemahkan dalam kehidupan kita!  Kita mengaku kita menyembah Allah....tapi dalam realiti hidup ini kita menyembah hawanafsu kita, pangkat, harta dunia sehingga sanggup berkorban untuk ini..!Tapi kita tidak sanggup berkorban untuk Allah, tidak sanggup menempuh jalan menuju Allah , kita ambil apa yang sesuai dengan hawa nafsu kita dan tinggalkan yang lain yang tidak sesuai.  Kita tidak jadi hamba kepada Allah sepenuhnya!

Jika inilah yang kita lakukan ....kita bukanlah tergolong dikalangan orang mukmin yang bakal mewarisi syurga firdaus yang akan kekal didalamnya.  Kita tidak tergolong dikalangan orang yang beruntung yang disebutkan oleh Allah dalam ayat pertama surah Al- Mukminun tadi.

Jadi sebenarnya, "high time" bagi umat Islam dewasa ini perlu bermuhasabah diri sendiri dan keluarga serta masyarakat amnya,  bagaimana iman di jiwa mempengaruhi kehidupan masing-masing......... Kepincangan merealisasikan iman ini melahirkan kepincangan dalam masyarakat seperti yang kita lihat sekarang ini.  Contohnya,  ramai juga orang Islam yang jaga solatnya , tapi tak jaga pergaulan bebas dengan bukan mahram, tak jaga aurat sesempurnanya, tak jaga tutur bicara, tak jaga hubungan sesama Muslim, tak jaga amanah yang diberi..........semua ini akibat tak jaga hubungan hati dengan Allah dan tak jaga hak Allah!!

Kita perlu tanyai diri masing-masing.....
  • Sejauhmanakah keikhlasan hatiku nak kembali pada Allah?
  • Sejauhmanakah mujahadah diri dah kita buat jika kita  benar-benar ikhlas ingin kembali padaNya? 
  • Puas dan tenangkah hati kita dengan kehidupan kita sekarang ini......yang mungkin banyak yang tidak selaras dengan kehendak Allah?
  • Setakat mana kita telah bersyukur dengan segala nikmat kurniaan Allah pada kita?
Sebenarnya terlalu banyak persoalan perlu bermain dibenak hati kita......semua ini menentukan hidup matinya, bahagia celakanya kita nanti di akhirat kelak! Persoalan akhirat ini bukan persoalan yang main-main......  Kesusahan, kesakitan dan bencana didunia adalah sementara, tapi kesusahan, kesakitan serta bencana akhirat adalah kekal abadi selamanya! Jadi mana satu pilihan kita?

Tuntutan dan kewajipan islam itu cukup banyak, lebih banyak dari masa yang kita ada.....tapi selagi hakikat ubudiyah kita pada Allah tidak jelas, solat kita tidak akan khusyuk......dan kelima-lima ciri yang seterusnya sukar dicapai.   Disinilah kita lihat realiti umat Islam sekarang .... yang menuruti hawa nafsu mereka, sukar berzakat , berjihad dan mengorbankan harta di atas jalan Allah, melakukan perzinaan walaupun dah tua, uban di kepala sudah penuh dan beristeri pulak tu , pecah amanah dan rasuah menjadi-jadi  dikalangan pihak yang berkuasa..........semua ini akibat hilangnya peranan  iman didada!

Jadi dibulan Ramadhan yang mulia dan penuh barokah ini.....lakukanlah muhasabah diri, sama-sama kita beristighfar diatas segala keterlanjuran kita pada Allah dan manusia lain, bertaubat padaNya, kembali kepangkal jalan menuju semula pada Allah, mohon taufik dan hidayahNya.......

Bersabarlah kita semasa menuju dan mendekatkan diri pada Allah.....kerana ujian-ujian  yang datang sebenar adalah ujian keikhlasan kepada hati kita sejauh mana kita ini benar-benar ingin kembali padaNya.

Ingatlah akan perkara ini....Allah sentiasa bersama-sama dengan orang yang sabar! Jangan kita cepat mengharap pada natijah untuk merasai hakikat hubungan hati yang sebenarnya dengan Allah, kita cepat putus asa bila kita tak rasa apa-apa, kita rasa biasa saja.........  

Apa yang penting, kita lakukan usaha mendidik diri yang berterusan,  berusaha menjauhkan diri dari segala perkara yang mungkar , berusaha meningkatkan hubungan hati kita dengan Allah dengan mendekati Al-Quran, bersahabat dengan orang yang soleh, menghadiri usrah, halaqah-halaqah ilmu, ceramah-ceramah agama yang dapat membuka hati dan minda kita apakah sebenarnya matlamat hidup ini...........

Janganlah kita hidup bersendirian, tidak bergaul dengan orang Islam yang lain, hanya dengan keluarga kita sahaja, lingkungan kaum kerabat sahaja....kerana peringatan dari Rasul , "...kambing yang bersendirian akan di makan serigala ....." bermaksud kita akan hanyut dalam arus jahiliyyah dunia yang semakin mencabar ini jika kita bersendirian tidak bersama jamaah Muslim.

Jamaah itu adalah kekuatan dan keberkatan, kita sebenarnya dituntut bersama mengikatkan diri dalam jemaah Islam yang menjalankan tarbiyyah Islam untuk membentuk peribadi Muslim Mukmin dan menjalankan proses takmil wal istikmal (lengkap melengkapi antara satu sama lain). Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat terdahulu, dimana pembentukan peribadi Muslim ini bukan dijalankan bersendirian tapi secara kolektif bersama jamaah Muslim yang dipimpin oleh Rasulullah saw. 

Dengan tarbiyyah Islamiyyah harakiah inilah lahirnya peribadi-peribadi agung sahabat-sahabat Rasulullah seperti Abu Bakar, Umar, Ali dan ramai lagi...Mereka-mereka ini umpama bintang-bintang dilangit...bersinar gemerlapan menjadi contoh terbaik disepanjang zaman dari segi ketakwaan , kesungguhan dan kerendahan hati pada Allah..... 

Inilah contoh yang kita nak ikuti dalam kehidupan yang sementara ini, entah berapa lama lagi tinggal hayat kita di dunia ini....... !!

Rujukan
Tafsir Fi zilalil Quran...
Syed Qutb.

Sunday, August 07, 2011

Tazkirah Ramadhan......mohonlah keampunan dosa disepanjang bulan ini!!



Bismillahirrahmanirrahim....

Alhamdulillah setinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah SWT kerana dengan izinNya kita telah memasuki bulan Ramadhan yang mulia di mana pada hari ini sudah 7 hari kita berpuasa.....kita sedang berada dalam fasa pertama iaitu  rahmat (10 Ramadhan yang pertama) kemudian diikuti fasa kedua iaitu  maghfiroh -keampunan (10 Ramadhan yang kedua) dan fasa ketiga iaitu di bebaskan dari api neraka (10 Ramadhan yang terakhir)........

Di dalam satu hadis menyebut :

شَهْرُ رَمَضَانَ أَوَّلُهُ الرَّحْمَةُ وَأَوْسَطُهُ المَغْفِرَةُ وَآخِرُهُ عِتْقٌ مِنَ النَّارِ
Maknanya : Bulan Ramadhan, awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya keselamatan daripada api neraka.

Bagaimanakah kita telah menjalani ibadah puasa selama 7 hari ini?  Hendaknya setiap hari yang berlalu kita isikan dengan amal-amal soleh , menjaga diri kita zahir dan batin dari melakukan perbuatan yang sia-sia dan maksiat..... 


Hendaknya setiap detik masa, setiap saat dan setiap jam kita lalui setiap hari ,  kita isikan dengan istighfar kita padaNya diatas segala dosa kita, kita berzikir padaNya sehingga lisan kita lembut basah sentiasa mengingatiNya, membaca Al-Quran dan mentadabburnya pada setiap ruang dan kesempatan........

Hendaknya kita memperbanyakkan doa kerana doa orang yang berpuasa tergolong dalam tiga golongan doa orang yang tidak di tolak oleh Allah SWT. Dan masa yang afdol untuk berdoa adalah bila hendak berbuka puasa dan di waktu sahur.....


Sibukkan masa kita dengan banyak berdoa bila menghampiri waktu berbuka, bukannya sibuk di pasar Ramadhan, sibuk memasak juadah berbuka, sibuk tengok TV, berbual kosong dan lain-lain....
Perlu sibuk ketika itu dengan membaca Quran, membaca zikir Mathurat, beristighfar dan berdoa....


Begitu juga sebelum bersahur, sibukkan diri dengan solat tahajjud dan solat taubat, beristighfar, membaca Al-Quran dan berdoa..... 

Apa agaknya doa yang kita nak minta dari Allah? Nak kaya, sihat, lulus periksa, dapat jodoh dan macam-macam lagi untuk maslahat dunia kita.....mungkin itu yang terlintas di fikiran kita.  Seharusnya doa yang kita minta sepatutnya bersangkutan dengan akhirat kita dahulu.....kemudian baru dikuti dengan yang lain-lain.......

Kita lihatlah apa yang Rasulullah saw telah ajarkan kepada Saidatina Aishah tentang doa di bulan Ramadhan ini......

Saidatina Aishah bertanya pada Baginda Rasul saw apakah yang harus beliau lakukan bila berjumpa dengan malam Lailatul Qadar.  Rasulullah berkata berdoalah dengan meminta keampunan dari dosa....." Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang sangat suka mengampunkan dosa, maka ampunkanlah dosa-dosaku..."

Jadi itulah doa yang sentiasa perlu kita panjatkan selalu padaNya....kita ini adalah manusia yang lemah, banyak lalai dan leka, selalu menuruti hawa nafsu,.selalu buat dosa sama ada kita sedari atau tidak!   Bukankah keampunan Allah ini yang  sangat-sangat  kita dambakan lebih-lebih lagi dibulan puasa Ramadhan di mana doa tidak di tolak? Kita akan kembali juga pada Allah suatu hari nanti, namun bukan dengan dosa-dosa yang tidak terampun oleh Nya yang mengiringi kita!! Amat rugilah orang yang melalui bulan Ramadhan tapi dosanya tidak diampunkan oleh Allah dan dibebaskan dari api neraka!! 

Kita lihat juga satu kisah yang boleh kita ambil contoh untuk di ikuti......kisah seorang Tabiin soleh dan zuhud bernama Uwais al- Qarni yang hidup dizaman Rasulullah dan para sahabatnya tapi tidak pernah bertemu dengan Baginda Rasul saw.
Inilah kisahnya.......


"Rasulullah SAW pernah berpesan kepada Saidina Umar r.a. dan Saidina Ali k.w.: “Akan lahir di kalangan Tabiin seorang insan yang doanya sangat makbul. Namanya Uwais al-Qarni dan dia akan lahir di zaman kamu. Kamu berdua pergilah mencari dia. Dia akan datang dari arah Yaman, dia dibesarkan di Yaman. Dia akan muncul di zaman kamu, carilah dia. Kalau berjumpa dengan dia minta tolong dia berdoa untuk kamu berdua.”



Saidina Umar dan Saidina Ali lalu sama-sama menanyakan kepada Rasulullah SAW: “Apakah yang patut saya minta daripada Uwais al-Qarni, ya Rasulullah?”

Rasulullah SAW menjawab: “Mintalah kepadanya agar dia berdoa kepada Allah agar Allah ampunkan dosa-dosa kalian."



Memang benarlah kata-kata Rasulullah SAW, Uwais al-Qarni akhirnya muncul di zaman Saidina Umar dan Saidina Ali. Mereka memang menunggu dan mencari kabilah-kabilah yang datang dari Yaman ke Madinah, akhirnya bertemu juga dengan Uwais al-Qarni. Pada pandangan mata kasar, tidak mungkin dia orang yang Rasulullah SAW maksudkan kerana di kalangan orang awam, Uwais dianggap sebagai seorang yang kurang waras.


Uwais Al-Qarni adalah seorang yang berpenyakit sopak, badannya putih, yakni putih penyakit yang tidak digemari. Walaupun dia seorang berpenyakit sopak, dia adalah seorang yang soleh yang amat mengambil berat tentang ibunya yang uzur dan lumpuh. Dia telah begitu tekun untuk mendapatkan keredhaan ibunya. Bapa dia meninggal dunia ketika dia masih kecil lagi. Beliau berpenyakit sopak sejak dilahirkan dan ibunya menjaganya sampai beliau dewasa.



Suatu hari ibunya memberitahu kepada Uwais bahawa dia ingin untuk mengerjakan haji. Dia menyuruh Uwais supaya berikhtiar agar dia dapat membawanya ke Mekah untuk menunaikan haji. Sebagai seorang yang miskin, Uwais tidak berdaya untuk mencari perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang pergi menunaikan haji dari Yaman ke Mekah perlu menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang di atasnya ‘Haudat’. Haudat ialah sebuah rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi panas matahari dan hujan, selesa namun perbelanjaannya mahal. Uwais tidak mampu untuk menyediakan yang demikian. Beliau tidak memiliki unta dan juga tidak mampu untuk membayar sewa.


Pada suatu hari, ibu Uwais yang semakin uzur berkata kepada anaknya: “Anakku, mungkin ibu dah tak lama lagi akan bersama dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji.”



Uwais mendapat suatu ilham. Dia membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan sudah habis menyusu. Dia membuat sebuah rumah kecil di atas sebuah ‘Tilal’ iaitu sebuah tanah tinggi (rumah untuk lembu itu di atas bukit). Apa yang dia lakukan, pada petang hari beliau akan mendukung anak lembu untuk naik ke atas Tilal. Pagi esoknya beliau akan mendukung lembu itu turun dari Tilal tersebut untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia memberi lembu itu makan. Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang mengatakan beliau kurang waras.

Memang pelik, membuatkan rumah untuk lembu di atas bukit, kemudian setiap hari mengusung lembu, petang dibawa naik, pagi dibawa turun bukit. Namun sebenarnya jika dilihat di sebaliknya, Uwais seorang yang bijak. Lembu yang asalnya hanya 20kg, selepas enam bulan lembu itu sudah menjadi 100kg. Otot-otot tangan dan badan Uwais pula menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu seberat 100kg turun dan naik bukit setiap hari.

Selepas lapan bulan, apabila sampai musim haji, rupa-rupanya perbuatannya itu adalah satu persediaan untuk dia membawa ibunya mengerjakan haji. Dia telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke Mekah dengan kedua tangannya. Di belakangnya dia meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang lebih ringan. Dia membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Mekah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan senang sahaja. Dan dia juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Mekah.

Setelah pulang semula ke Yaman, ibunya bertanya: “Uwais, apa yang kamu doakan sepanjang kamu berada di Mekah?”

Uwais menjawab: “Saya berdoa minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa ibu”.
Ibunya bertanya lagi: “Bagaimana pula dengan dosa kamu?”

Uwais menjawab: “Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga. Cukuplah ibu redha dengan saya, maka saya juga masuk syurga."
Ibunya berkata lagi: “Ibu inginkan supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini."

Uwais berkata: “Saya keberatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah, macam saya tidak bersyukur dengan Allah Ta’ala."
Ibunya menambah: “Kalau ingin masuk ke syurga, mesti taat kepada perintah ibu. Ibu perintahkan engkau berdoa."

Akhirnya Uwais tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Uwais lalu berdoa seperti yang diminta oleh ibunya supaya Allah menyembuhkan putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu. Namun kerana dia takut masih ada dosa pada dirinya, dia berdoa: “Tolonglah ya Allah! Kerana ibuku, aku berdoa hilangkan yang putih pada badanku ini melainkan tinggalkanlah sedikit.”

Allah SWT lalu menyembuhkan serta merta, hilang putih sopak di seluruh badannya kecuali tinggal satu tompok sebesar duit syiling di tengkuknya. Tanda tompok putih kekal pada Uwais kerana permintaannya, kerana ini (sopak) adalah anugerah, maka inilah tanda pengenalan yang disebut Rasulullah SAW kepada Saidina Umar dan Saidina Ali: "Tandanya kamu nampak di belakangnya ada satu bulatan putih, bulatan sopak. Kalau berjumpa dengan tanda itu, dialah Uwais al-Qarni."

Tidak lama kemudian, ibunya meninggal dunia. Dia telah menunaikan kesemua permintaan ibunya. Selepas itu dia telah menjadi orang yang paling tinggi martabatnya di sisi Allah. Saidina Umar dan Saidina Ali dapat berjumpa dengan Uwais dan seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW, mereka meminta supaya Uwais berdoa agar Allah SWT berkenan mengampuni semua dosa-dosa mereka berdua.

Ketika Uwais al-Qarni berjumpa Saidina Umar dan Saidina Ali, beliau berkata: “Aku ini datang dari Yaman ke Madinah kerana aku ingin menunaikan wasiat Rasulullah SAW kepada kamu iaitu supaya kamu berdua berjumpa dengan aku." Maka Uwais pun telah mendoakan untuk mereka berdua.

Setelah itu Saidina Umar, yang ketika itu memegang jawatan Khalifah, bertanya kepadanya: "Anda hendak pergi ke mana?” “Kufah”, jawab Uwais. Saidina Umar bertanya lagi: “Mahukah aku tuliskan surat kepada Gabenor Kufah agar melayanimu?” Uwais menjawab: “Berada di tengah-tengah orang ramai sehingga tidak dikenali lebih aku sukai.” (HR Muslim)

Demikianlah kisah Uwais Al-Qarni yang amat taat dan kasih kepada ibunya. Seorang Wali Allah yang tidak terkenal di bumi, tetapi amat terkenal di langit.

Itulah satu kisah seorang hamba Allah yang soleh yang sangat taat kepada ibu, menghormati dan  sentiasa mencari keredaan ibunya ...kerana disitulah terletak keredaan Allah padanya. Doanya sangat makbul sehingga Rasulullah berwasiat pada Saidina Umar dan Ali supaya berjumpa dengan Uwais dan mohon agar Uwais memohon kepada Allah  SWT supaya mengampunkan dosa-dosa mereka. Rasulullah tidak menyuruh memohon doa yang lain melainkan keampunan dosa sedangkan Saidina Umar dan Saidina Ali telah dijamin syurga. Satu iktibar bagi kita apa sebenarnya yang paling  perlu dan utama dalam doa kita!!

Jadi.....hendaklah sentiasalah kita panjatkan doa memohon keampunan dosa dari Allah selalu, tak kiralah apakah ibadah yang kita buat, samada solat kita, puasa kita, haji dan umrah kita, zikir kita ......semua ibadah yang kita buat banyak terselit doa-doa meminta keampuan ini...menunjukkan betapa pentingnya perkara ini.  Memang sebenarnya kita ini banyak dosa dan siapakah yang akan mengampunkan dosa kita selain Allah? 

Jadi sama-sama kita usahakan supaya setiap detik masa pada  hari-hari di bulan Ramadhan ini.....tidak biarkan ia kosong, tidak di manfaatkan......


Walaupun pada zahirnya kita melakukan kerja duniawi seperti berkerja mencari nafkah,  belajar menuntut ilmu...dan lain-lain lagi..... sewajarnya hati kita tidak lupa padaNya, sentiasa berzikir dan beristighfar pada  Allah. 

Kita cuba mempertingkatkan amalan kita.....,bukan semakin kurang malah bertambah setiap masa sehinggalah sampai kepenghujung Ramadhan merupakan kemuncak ibadah kita padaNya! Kita cubalah lakukan secara istiqamah  amalan -amalan tersebut setiap hari.......dan mohon bantuan dari Allah agar memampukan kita melaksanakannya, insyaAllah!

Amin ya Rabbal Alamin....


Tuesday, August 02, 2011

10 Tips bagaimana menjalani kehidupan di bulan Ramadhan






Tips Ramadhan yang kurasakan berguna bagi kita untuk direnung-renungkan......dan dimanfaatkan.  Artikelnya dari i luv islam dan diterjemahkan untuk kita sama-sama dapat cuba menghayatinya..


Apabila tibanya bulan Ramadhan yang Mubarak ini, kita perlulah bersedia agar kita mendapat keuntungan yang maksimum dalam bulan ini.  Bagi kebanyakan orang , Ramadhan datang dan pergi. Sebenarnya sangat sedikit orang yang benar-benar mendapat keberuntungan dari bulan yang barokah ini. Para ulama menasihati kita agar kita jalani kehidupan kita sebagaimana kita jalaninya  dalam bulan Ramadhan.  Dengan itu seharusnya kita perlu menjalani  Ramadhan ini dengan sebaik-baiknya. Untuk mendapatkan setitis manfaat dari apa yang diperkatakan, kita sama-sama teliti 10 tips yang berguna untuk tujuan ini.. 

1.  Disiplin diri

Kebanyakan orang mampu berlapar dari makan dan minium serta menahan nafsu seksual dari pasangan masing-masing semasa siangnya Ramadhan. Namun demikian satu tahap disiplin diri perlu ada untuk melakukan kebaikan dan mecegah kemungkaran dan kemaksiatan. 


Satu disiplin diri yang perlu dibina yang boleh mengubah kehidupan sesaorang. Contohnya bila kita bangun sahur, bertahajjudlah terlebih dulu dengan bangun awal sedikit, kemudian membaca Quran, seterusnya bersahur dan menunggu waktu solat subuh. Dalam menunggu solat subuh perbanyakkan doa dan istighfar. Inilah disiplin diri yang dikehendaki kita tanamkan dalam diri dan cuba kita laksanakannya dengan istiqamah di sepanjang Bulan Ramadhan dan bulan-bulan yang seterusnya......

2. Ibadah 

Ramadhan  adalah bulan ibadah di mana Allah hendak menyedarkan kita apakah matlamat kehidupan kita dan mengapa kita dijadikan Allah. Allah menciptakan kita hanya senya untuk berubudiyyah padaNya sahaja bukan pada yang lain. Seluruh penghidupan kita ini adalah untuk Allah segala apa yang kita lakukan adalah sebagai persembahan kita yang tulus ikhlas kepadaNya. 

Di bulan yang mulia ini, perlunya kita mendekatkan diri kita dengan Al Quran iaitu meluangkan masa kita dengan Al-Quran , membaca serta mentadabbur seluruh Quran itu sekurang-kurang sekali dalam bulan ini. Kemungkinan kita tidak berkesempatan menghabiskan tafsirnya dalam bulan ini, tapi boleh ditangguhkan sehingga selepas Ramadhan.

 3. Merasai penderitaan mereka yang susah.

Semasa berpuasa kita merasai bagaimana lapar dan dahaganya mereka yang susah. Dengan itu kita akan bersyukur dengan apa yang Allah kurniakan kepada kita dan menyedari sebenarnya sedikit sumbangan kita kepada fakir miskin ini memampukan mereka  mengecapi Ramadhan dan Hari Eid dengan hati gembira kerana adanya orang yang perihatin. 


 Disamping itu, agar puasa orang lain memberi manfaat kepada kita, perlunya kita banyak bersedakah dengan menyediakan makan dan minum bagi orang yang berbuka puasa. Pahala puasa orang yan kita beri makan dan minum ini dapat kita nikmati tanpa mengurangi sedikit pun pahala mereka.

4. Terikat dengan Quran

 Ramadhan  adalah bulan di mana Al-Quran diturunkan.. Jadi Ramadhan adalah bulan Al- 
Quran. Sangat-sangat penting bagi kita untuk menwujudkan hubungan yang erat di mana sahaja kita berada dengan Al-Quran. Bacalah Quran di setiap kesempatan yang terluang.

Bagi kita orang kebanyakan yang bukan hafiz, kita perlu membaca Quran sekurang-kurangnya satu juzuk sehari, lebih kurang 20 muka surat (10 helai sejuzuk) dengan ini dapatlah menghabiskan 30 juzuk al-Quran sebulan Ramadhan. Jika kita dapat melakukan lebih lagi, alhamdulillah, itu lagi baik.. 

Disamping itu , perlu juga memahami isi kandungan Al-Quran : membaca Al Quran, melihat terjemahannya dan membaca juga komentarinya..Cubalah lakukannya setiap hari.  Seluruh 30 juzuk komentari ini mungkin tidak dapat dihabiskan dalam sebulan Ramadhan, namun satu perancangan telah ada dan sedang dibuat untuk menghabiskanya sepanjang tahun nanti, insyaAllah.... . Juga , cubalah menghafal surah-surah pendek seperti Al Mulk, Surah al- Kahfi, Yasin, Waqiah dan Sajdah serta surah dari juzuk 30. 

5. Mujahadah 

Ramadhan  adalah bulan mujahadah dan pengorbanan.  Ia adalah satu bulan di mana Allah menghendaki masa kita, kesihatan kita, dan seluruh jiwa raga kita diserahkan kepadaNya . Dibulan-bulan yang lain  kita sibuk dengan kehidupan dunia kita .....hanya sebulan ini kita perlu melatih diri kita  benar-benar menyerahkan seluruh kehidupan kita untuk Allah, mengekang hawa nafsu kita untuk Allah SWT! Kita korbankan masa tidur kita, keinginan syahwat kita, hajat kita, wang ringgit kita untuk Allah. 

Kebiasaannya kita hidup dengan kemewahan,  makan minum dengan sekenyangnya, berbelanja ikut keinginan hati, santai, banyak rehat....... ambil masa sejenak,  dalam sebulan ini kita bertafakur dan muhasabah diri.......adakah ini tujuan hidup kita? Bak kata pepatah Inggeris, "No pain, no gain,” bermaksud..... Tiada pengorbanan atau kesakitan maka tiadalah keberuntungan. Jumlah pengorbanan dan  mujahadah  yang kita lakukan dalam bulan ini , Allah akan beri ganjaran di hari akhirat nanti.  Berkorbanlah untuk Allah dan lihatlah nanti apa yang Allah akan sediakan untuk kita kelak!! 

6.Doa’

 Dalam memperhambakan diri pada Allah. satu perkara yang penting adalah hendaknya kita selalu berdoa kepada Allah SWT.  Sepanjang bulan ini, Allah akan memakbulkan dan menerima doa kita. Amatlah rugi kita tidak menggunakan peluang ini untuk meminta kepada Allah akan segala keperluan kita. Dalam berdoa, letakkan prioriti doa untuk   diri sendiri, keluarga, masyarakat dan ummah Islam amnya.


Semasa berdoa, mohonlah kebaikan hidup di dunia, lebih-lebih lagi untuk akhirat kita. Berdoa ini bukanlah semata-mata kita inginkan semua hajat kita Allah makbulkan, tapi sebenanyanya berdoa ini adalah sebagai tanda kehambaan kita padaNya, rasa bergantung harap kita pada Allah dalam seluruh kehidupan kita. Itulah sebenarnya tujuan utama kita berdoa dengan sebanyak mungkin.  


Diantara perkara yang Allah suka adalah,  menjawab segala doa  hambaNya yang  berdoa kepadaNya. Sebaik-baiknya,  berdoalah dengan sungguh-sungguh yang datangnya dari hati yang ikhlas  sehingga mengalirkan air mata. Air mata yang menitis  kerana Allah ini dinilai tinggi olehNya.  Jadi , bersihkan lah hati kita dengan banyak beristighfar dan berdoa  dengan bermandikan airmata keinsafan. Mudah-mudahan roh kita dapat dibersihkan dan ianya bersinar dengan air mata yang di tumpahkan kerana Allah......



7. Sahabat yang soleh


Ramadhan adalah satu bulan untuk memaksimumkan amal soleh dan dan mencegah diri dari melakukan apa jua perbuatan keji dan maksiat. Dengan berada bersama-sama rakan atau sahabat yang baik dan soleh dapat membolehkan kita mencapai matlamat ini. Keuntungan yang minima yang kita perolehi bila bersama sahabat yang soleh ini kita akan terhindar dari melakukan maksiat dan dosa dimana dengan ini membolehkan kita kemudiannya menjadi hamba Allah yang sebenarnya. Ini berdasarkan hadith riwayat Tarmizi di mana Nabi  saw memegang tangan Abu Hurairah sambil berkata...
" Wahai Abu Hurairah, jauhkan diri dari segala kemungkaran dan engkau akan menjadi hamba Allah yang sebenarnya.  "
Jadi manafaat yang minima  boleh didapati apabila   kita bersama orang yang bersama Allah adalah kita juga tergolong dikalangan mereka....Bukankah ini yang terbaik untuk kita?  

8 Bersyukur 

Rahsia untuk meningkatkan dan menggandakan sesuatu adalah dengan bersyukur. Untuk memastikan kita bertemu lagi dengan bulan Ramdhan pada tahun hadapan adalah perlunya kita bersyukur dan menghargai Ramadhan pada tahun ini. Sebenarnya kesyukuran ini perlu kita lakukan dalam semua aspek, walaupun pada benda atau perkara yang kita pandang remeh dan kecil atau perkara yang kita  "take things for granted".

 Kita bersyukur kita mempunyai iman, mempunyai Islam dan kita adalah ummah yang terbaik disisi Allah SWT. Jadi sebagai melahirkan kesyukuran kita, segala sesuatu yang ada pada diri kita digunakan di atas jalan Allah semata-mata. Allah mempunyai kurnia dan rahmatnya yang tidak terhingga kepada sesiapa yang mensyukuriNya. Ramadhan adalah salah satu kurniaan, rahmatNya: jadi untuk kita benar-benar menghargai kurniaan Allah ini, kita mestilah menjalani kehidupan kita sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT.  Mudah-mudahan diakhirnya nanti ...kita akan memperoleh sesuatu yang cukup berharga dalam diri iaitu taqwa!



9. Mengikuti sunnah.: 


Sesiapa yang mencintai akan dicintai.  Itu adalah asas kasih sayang. Allah mengakui bahawa Rasulullah itu adalah kekasihNya.  Jadi jika kita mengikuti apa yang dibawa oleh Rasulullah dengan mengikuti sunnahnya, maka kita juga akan mendapat kasih sayang Allah. Jadi dalam bulan Ramadhan ini kita berbuatlah sesuatu amal itu dengan cara yang terbaik dan cara terbaik adalah dengan mengikuti sunnah Rasulullah saw.

10.  Istiqamah

 Imam Junaid Al-Baghdadi (RA) berkata,  “Istiqamah itu adalah lebih hebat dari 1000 keajaiban..” 
Janganlah kita terlalu memberatkan diri di awal Ramadhan, fikir dan rancangkanlah satu rutin harian yang boleh kita lakukan secara istiqamah dibulan ini. Perlu kita sedari bahawa sebenarnya amalan yang paling Allah suka adalah amalan yang istiqamah walaupun sedikit.

Juga, perlunya kita bersyukur selalu pada Allah kerana dengan izinNya kita dapat melakukan amal soleh, dapat menghindarkan diri kita dari berbuat maksiat dan juga  kerana kita boleh beristiqamah dengan amalan kita . Jadikanlah amalan di bulan Ramadhan ini bukan terhenti setelah berakhirnya bulan ini, malah juga mampu diteruskan di sebelas bulan yang akan datang.  Shaikhul Imam-Hasan Kandehlawi (RA) said, “ Sesiapa yang kehidupannya sama seperti yang dia buat di bulan Ramadhan,  kematian akan menjemput mereka sepertimana kedatangan hari Eid bagi orang yang berpuasa."

Jadi marilah sama-sama kita berdoa padaNya, agar Allah menerima semua amalan baik kita, dan menutup serta mengampuni segala kesalahan, kelemahan dan dosa-dosa kita, insyaAllah.  Amin..ya rabbal alamin..

Rujukan...
i luv islam

11 KELEBIHAN ISTIGHFAR PADA ALLAH

Apabila dilihat makna di sebalik ungkapan ISTIGHFAR,  “Aku memohon keampunan dari Allah swt.” ; dapat dilihat bahawa ungkapan ini adalah s...