Monday, March 28, 2011

Perlunya rasa mulia dan tinggi dengan iman di hati.......

Bismillahirrahmanirrahim.........

Firman Allah dalam Surah Ali-Imran ayat 139 yang bermaksud...........
" Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah kamu bersedih hati , padahal kamu adalah orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang-orang beriman."

Dalam ayat di atas menggambarkan bagaimanakah sepatutnya perasaan hati dan sikap orang yang beriman terhadap peristiwa dan masalah-masalah yang dihadapinya dalam kehidupan ini. Memang kehidupan manusia ini tidak akan sunyi dari menghadapi ujian demi ujian, lepas satu demi satu, tidak akan habis-habis.......sehinggalah kita menghadap Allah SWT nanti!

Namun demikian, walau apa pun ujian hidup itu, sebagai orang beriman yang mempunyai darjat yang tinggi disisi Allah, kita sepatutnya mempunyai  pegangan atau pendirian yang berteraskan iman dalam menghadapi setiap  realiti, setiap nilai dan setiap jenis manusia....... iaitu sentiasa kuat , tidak cepat putus asa atau bersedih hati dengan suasana atau keadaan yang menimpa!    

Sebagai orang beriman, kita seharusnya memiliki perasaan agung dan mulia ini supaya mampu menghadapi dengan seluruh tenaga akan   sesuatu keadaan yang menyeleweng dari panduan iman, nilai yang tidak bersumberkan iman, adat resam yang bercanggah dengan iman, undang-undang yang tidak merealisasikan tuntutan iman dan segala macam bentuk realiti hidup yang tidak serasi dengan iman !

Seringkali kita berhadapan dengan  dilemma dalam kehidupan...........nak ikut nilai syarak atau nilai nafsu, nak memperkatakan kebenaran atau berdiam diri.........apa yang  dipilih bergantung pada kekuatan dalaman diri sejauhmana sanggup menghadapi akibat dari pilihan yang di buat atau tindakan yang diambil. Jangan hendaknya kita berasa lemah dan tidak bermaya jika tindakan yang kita ambil itu benar dan  atas dasar yang betul.  Kuatkan hati kita........berani kerana benar dan takut kerana salah!!  

Juga kita tidak sepatutnya bersedih hati dengan tindakan yang kita ambil akan mengakibatkan kita dicaci dihina dan disisih  oleh masyarakat yang tidak faham dan cuma mementingkan nilai duniawi semata-mata. Walaupun semua manusia tidak menyukai kita, apa yang penting bagi kita adalah keredhaan Allah SWT semata-mata. Janganlah kita mencari keredhaan manusia dengan kemurkaan Allah!

 Apa yang dirasai oleh orang beriman itu bukanlah setakat suatu rasa hati yang membuak-buak dijiwa, tapi ia adalah satu rasahati yang hidup berasaskan kebenaran yang hakiki yang datangnya dari Allah yang Haq dan Maha Hidup. Apabila  berada dalam suasana kehidupan dunia yang  melalaikan yang  tidak mengambil nilai Allah dalam kehidupan dari segi cara berfikir, tindakan dan amalan, sebagai orang yang beriman, kita   merasa sedih dan sebak jiwa melihat kemungkaran berleluasa dan mungkin akan berasa lemah semangat untuk menanganinya!

 Justru itu ,  Allah  menurunkan ayat di atas sebagai satu arahan kepada orang beriman ini supaya tidak
sepatutnya rasa lemah dan sedih.........sepatutnya dia rasa kuat dan  tabah menghadapi cabaran hidup! Jika mereka rasa lemah dan selalu sedih.....bagaimanakah mereka hendak menyahut cabaran menjalankan tugas-tugas dakwah yang merupakan satu tuntutan Allah keatas orang mukmin? Tugas memikul tanggungjawab itu perlu pada jiwa yang cekal ,tabah , kuat dan tidak mudah putus asa.
Allah mengarahkan diri mukmin itu agar bangun.....perkuatkan diri dengan persiapan dalaman yang kuat....jangan suka merintih dan rasa lemah...!

Sebenarnya situasi hati yang rasa sedih dan lemah itu akan menggembirakan musuh Allah iaitu syaitan yang akan sentiasa membisikkan di jiwa rasa tidak mampu dan berdiam diri   .........sedangkan kemampuan dan kekuatan itu sebenarnya datang dari Allah! Perlunya kita menyandarkan sebenarnya bahawa segala kekuatan itu milik Allah bukan diri kita!

Sesungguhnya Allah mengiktiraf bahawa orang beriman itu adalah orang yang paling mulia dan paling tinggi darjatnya melebihi semua raja-raja di dunia ini! Jadi apabila berhadapan dengan pemerintah dan penguasa yang sombong dan angkuh ini, angkatlah muka,  berjalan tegaklah......kita  lebih mulia dan tinggi kerana kita beriman pada Allah!

Ingatlah...... Allahlah pemilik kekuasaan alam buana ini....Dia memberi kekuasaan kepada sesiapa yang dikehendaki dan merampas kekuasaan itu dari sesiapa yang dikehendaki. Allah juga berkuasa memuliakan dan menghinakan sesiapa yang dikehendakiNya.

Juga ingatlah....... ditangan Allahlah segala kebaikan dan kekayaan. Sesungguhnya Allah berkuasa berbuat apa sahaja terhadap apa sahaja.  Lihatlah apa yang berlaku  dalam realiti politik dunia sekarang....pergolakan di Timur Tengah dimana tumbangnya kuasa diktator di Mesir , bergolaknya  Libya, Tunisia, Yemen, Bahrain, Syria........semua itu berlaku dengan ketentuan dan izin Allah! InsyaAllah, sama sama kita berdoa pada suatu hari nanti akan  tertegaknya khilafah Islamiyyah.....masa depan itu ditangan Islam!

Kita lihat bagaimana sikap orang Mukmin di zaman Nabi saw  walaupun bilangan sedikit, ditindas  sehingga terpaksa berhijrah untuk pertama kalinya   ke negeri Habsyah untuk mendapatkan perlindungan disana. Apabila disuruh tunduk sujud sebagai tanda hormat kepada Raja Najashi...... Sayyidina Jaafar bin Abi Talib berkata dengan penuh yakin dan mulia diri..."Kami adalah golongan yang hanya tunduk sujud kepada Allah bukan manusia.........! Rasa tinggi darjat dan mulia diri dengan iman dan Islam menyebabkan beliau mampu berkata demikian walaupun dihadapan seorang raja negeri tempat ia meminta perlindungan....! Sebenarnya bukan mudah bagi kita nak berkata demikian, lebih-lebih lagi jika ada hajat dihati...... ....jika kita berada di tempat yang sama hanya dengan iman yang kuat di dada yang memampukan mengatakan sedemikian.!

Kita lihat pula sikap Al Mughirah bin Syu'bah RA ketika beliau di ajak berunding oleh Rustam, Panglima Tentera Farsi yang juga anak Raja Farsi ketika itu. Al-Mughirah yang merasa mulia dan tinggi darjatnya dengan iman dan   Islam dalam dirinya,  terus masuk kedalam khemah raja yang di hias indah  dan  terus duduk di atas kerusi Raja, untuk berunding semasa  peperangan Al-Qadisiyyah! Tidak ada protokol yang seharusnya diikuti kerana disisi Allah manusia itu sama sahaja! Tindakan beliau menyebabkan dia diheret, di caci dan disumpah seranah oleh pegawai Raja yang terkejut dengan cara Al-Mughirah tersebut.....!

Beliau merasa mulia dan tinggi darjat sebagai seorang Mukmin,  tidak menundukkan diri atau rasa lemah malah beliau mengatakan dengan berani bahawa dengan  sikap mereka tersebut pasti akan kalah dalam peperangan ini kerana tidak ada seorang pemerintah yang boleh bertahan lama dengan cara hidup dimana satu golongan menjadikan Tuhan golongan  yang lain.......tambahan pula dengan sikap biadap pada tetamu yang dijemput sendiri untuk berunding.....tapi diperlakukan sedemikian rupa! Sesungguhnya Islam tidak mengajar penganutnya bersikap demikian....orang Islam menghormati tetamu walau siapa pun dia lebih-lebih lagi tetamu yang dijemput!

Sebagai orang yang mengaku beriman, walaupun berada dalam suasana yang bukan Islamik, dimana konsep hidup, nilai dan pegangan hidup bertentangan dengan Islam,  kita perlu tetap berpegang teguh pada Islam, menilai sesuatu menurut kacamata Islam, merasa mulia dan tinggi dengan Islam yang dibawa. Kita tidak sanggup menggadaikan nilai Islam dalam diri kita untuk memuaskan hati orang lain. Malah dalam hati kita sepatutnya ada rasa kasihan belas melihat cara hidup masyarakat yang rosak, bercelaru, tiada ketenangan dan kebahagiaan hakiki, dan berazam  untuk berbuat sesuatu  bagi mengajak masyarakat kearah kebenaran dan kemuliaan Islam .

Disamping itu juga, walau dalam apa jua keadaan, kebenaran perlu tetap dipertahankan, kerana tiada lagi sesudah kebenaran itu selain kesesatan belaka......maka segala pengorbanan untuk mempertahankan kebenaran itu merupakan jihad di jalanNya yang ganjarannya adalah syurga!

Semua yang diperkatakan di atas.....merupakan rasahati sebenar seorang Muslim yang beriman pada Allah.....kuat , teguh,  tinggi dan mulia diri dengan risalah Islam yang dibawa.  Bagi kita yang mengaku Muslim yang beriman .........sejauhmanakah rasa hati kita jika dibandingkan  dengannya? Mungkin jauh lagi sebenarnya......apa yang kita rasa cuma cebisan kecil sahaja yang kadang-kadang tengelam timbul! Sebenarnya banyak lagi kekurangan diri kita ini.....!! Kita tidak akan mampu berhadapan dengan dunia yang mencabar ini selagi kekuatan dalaman diri tidak diusahakan....

Justru itu,kita perlu proseskan semula diri kita dengan proses tarbiyyah iman yang menghidupkan jiwa, yang menggetarkan perasaan, yang membina kekuatan diri supaya mampu menghadapi apa sahaja cabaran ......tanpa tarbiyah kita tidak dapat mencapai matlamat yang ingin dicapai.

Seperti kata Imam Hasan Al-Banna .....Tarbiyyah bukanlah segala-galanya tapi segala-galanya dapat dicapai dengan tarbiyyah! Sebagaimana sahabat Rasulullah melalui proses tarbiyah imaniyyah ini untuk menjadi seorang Mukmin yang sebenarnya , maka begitu jugalah kita.......jika kita ingin mendapatkan natijah serupa seperti mereka!! 

Friday, March 25, 2011

Wasiat kedua Luqmanul Hakim...........Berbaktilah kepada kedua ibu bapa!

Tangisan anak-anak ini mengimbau kisah lama ku.....tanpa kasih ibu dan hanya secebis kasih ayah...

Bismillahirrahmanirrahim.........

Sama-samalah kita renungi firman Allah ini dalam surah Luqman ayat 14 yang bermaksud....
'Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungkan dengan menanggung kelemahan demi kelemahan, dan tempoh menceraikan susunya adalah dalam masa dua tahun, Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu dan (ingatlah) kepada Aku jualah tempat kembali.'

Menurut Sayyid Qutub perintah kepada si anak untuk berbuat baik kepada ibu dan bapanya banyak diulang-ulang dalam Al-Quran dan juga dari wasiat-wasiat Rasulullah saw.Ini menunjukkan betapa besarnya tanggungjawab seorang anak kepada ibubapanya yang telah bersusah payah mendidik dan membesarkan anak-anaknya lebih-lebih lagi ibunya yang terpaksa menanggung kepayahan demi kepayahan sejak mengandungkan sehinggalah si anak mampu berdikari mengurus diri sendiri.

Kelemahan dan kesusahan yang ditanggung yang sebenarnya bukanlah suatu bebanan yang ringan.....!
Semasa mengandung, selalunya  ibu   tidak boleh makan beberapa bulan kerana asyik muntah dan loya...badan sangat lemah , pening dan selalu rasa nak pitam, badan rasa melayang, berbulan-bulan tidak dapat tidur lena kerana kandungan yang semakin membesar, badan yang semakin berat  setiap hari............

Sehinggalah saat melahirkan, sakitnya sukar digambar dan diucapkan.......tidak tertanggung rasa sakitnya selama beberapa jam berterusan macam nak putus pinggang setiap kali! Dikala itu nyawa dihujung-hujung rasanya...... terlalu sakit, hanya Allah sahaja dalam ingatan ketika itu! Namun sejurus melahirkan, alangkah gembiranya menyambut kelahiran anak yang dikandung selama 9 bulan......segala kesakitan lepas,  hilang melihat wajah anak tersayang! Dipeluk cium bertalu-talu.........inilah dia anak yang dikandung dahulu.......sungguh comel dan menyejukkan jiwaku! Berbaloilah segala penderitaanku, bisik hati kecil seorang ibu! Syukur ya Allah, anakku selamat.....ini anugerahMu ya Allah, aku redho menanggung segala penderitaan!

Namun ia tidak berhenti disitu......menyusu, membesarkan dan mendidik anak bukanlah suatu perkara yang mudah.... era tidur yang tidak lena berlanjutan  sehinggalah beberapa bulan lagi....memenuhi segala tuntutan si anak kecil yang tidak tahu kepenatan siibu berjaga siang dan malam......dimasa sihat lebih-lebih lagi di waktu sakit! Namun demi kasih sayang pada sianak....semua itu kecil belaka, kebajikan anak perkara utama! Itu baru seorang anak...bagaimana ibu yang mempunyai anak yang ramai, rapat-rapat pula?.....Apa yang dialami ditanggung hingga bertahun-tahun lamanya memerlukan kesabaran yang amat tinggi! 

Memang Allah Maha Mengetahui penderitaan siibu dan memberikan penghormatan yang tinggi kepada ibu melebihi bapa.  Berbakti kepada ibu lebih utama berbanding bapa.......3 kali ganda melebihi bapa!
Renungilah Hadis Rasulullah saw ini yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah,
" Sesaorang menziarahi Rasulullah saw lalu berkata,' Wahai Rasulullah, siapakah yang paling berhak aku lakukan dengan baik? Beliau menjawab, 'Ibumu.' Dia bertanya, "Lalu siapa?' Beliau menjawab,' Ibumu.' Dia bertanya,' Lalu siapa?  Jawab Rasulullah lagi,'  Ibumu.' Dia bertanya lagi, 'Lalu siapa?'Rasulullah menjawab, ' Lalu bapamu."    

Satu hadis juga pernah menyatakan apabila ibu dan bapa memanggil anak secara serentak, maka sahutlah panggilan ibumu terlebih dahulu! Ini adalah kerana siibu lebih banyak menanggung sendiri apa yang tidak ditanggung oleh si bapa........lemahnya semasa mengandung, sakitnya bersalin,  jenuhnya menyusui anak, banyaknya kasih sayang , tumpuan, layanan yang diberikan......satu senarai panjang boleh ditulis tentang pengorbanan seorang ibu!!

 Sewajar dan semestinya anak mensyukuri Allah dan mensyukuri ibunya ........berilah layanan yang sebaik-baiknya dan terbaik mendahului bapa dalam segala aspek! Sebenarnya,  sebesar manapun bakti seorang anak kepada  ibunya,  tidak akan boleh terbalas segala apa yang telah dilakukan oleh seorang ibu! Jangan sakiti hatinya atau meninggikan suara, turutilah kemahuannya selagi ia dalam batas-batas syarak........sematkan dihati keredhaan Allah terletak pada  redhanya seorang ibu!

Satu lagi  hadis Rasulullah saw diriwayatkan oleh Thalhah bin Muawiyah.......
" Aku menziarahi Rasulullah lalu aku berkata,' Wahai Rasulullah, aku ingin berjihad dijalan Allah.' Rasulullah bertanya,' Ibumu masih hidup?' Aku menjawab,' Ya.' Rasulullah menjawab,' Tataplah kakinya, disanalah syurga.'

Tataplah kakinya disini bermaksud tunduklah, dekatilah,, rawat serta layanilah ibu kerana disana ada syurga. Dengan sebab keredhaannya, si anak akan mendapatkan nikmat dari Allah yakni syurga!

Berbakti kepada ibu bapa merupakan salah satu amalan yang disukai Allah. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Masud, 
Aku bertanya kepada Nabi saw,'Amalan apa yang paling disukai Allah?' Baginda menjawab.'Solat pada waktunya.' Aku bertanya, ' Apa lagi?' Baginda menjawab, ' Berbakti kepada kedua-dua ibu bapa. ' Aku bertanya lagi,' Apa lagi?' Baginda menjawab,' Jihad di jalan Allah."

Bakti kepada ibubapa merupakan amalan kedua paling disukai Allah selepas solat dan ia  melebihi jihad dijalanNya! Besarnya pengorbanan mereka disisi Allah sehingga Allah meletakkan amalan bakti kepada ibubapa ini  selepas solat dan selepas mensyukuriNya! Berbakti dan berbuat baik kepada ibu bapa ini adalah satu ibadah disisi Allah dan ganjarannya adalah syurga Allah. 

Sedangkan memandang wajah ibu dan ayah dengan penuh kasih sayang mendapat pahala disisiNya, apatah lagi bila berbakti pada mereka! Letakkanlah potret ibu dan ayah  di dompet kita, pandangilah selalu disamping potret anak isteri atau suami kita! Kenangi jasa dan bakti mereka, jangan jadi kacang lupakan kulit atau seperti umpama kisah siTenggang anak derhaka yang sanggup membuang ibunya!

Jadi rebutlah peluang ini selagi mereka masih hidup......tiada gunanya memeluk dan mencium mereka disaat mereka sudah jadi mayat. Juga tiada gunanya selalu menziarahi pusara mereka setelah mati sedangkan dimasa hidup jarang sekali! 

Terimalah ibu atau ayah kita seadanya, mereka juga adalah manusia biasa yang banyak kelemahan. Maafkan segala kesalahan dan kesilapan ibu ayah kita, rendahkan diri kita pada mereka.  Janganlah disebabkan kesilapan mereka dahulu samada kecil atau besar , kita sanggup melupakan jasabakti mereka semasa kita masih kecil dan sewaktu kita susah.  Jika itupun susah untuk  dikenang, ingatlah,  melalui kedua ibu ayah kitalah lahirnya kita kedunia ini, menikmati kehidupan sekarang ini. 

 Sukar ke kita menjadi hamba yang bersyukur kepada Allah dan kedua mereka? Jadi sama-samalah kita renungi dan muhasabah diri......cukup ke baktiku kepada kedua orang tua ku? Cukup ke hanya setakat menghantar wang bulanan sebagai pengganti diri, menelefon sekali sekala........terlalunya sibuk aku sampai tak sempat nak jenguk mereka? Ingatlah sewaktu kita kecil tidak tahu mengurus diri, ibu kita tidak pernah rasa begitu sibuk tak sempat nak urus anak, dirinya sangup tidak terurus asalkan anak terurus ..... cukup kenyang, cukup tidur, sihat tidak diganggu walaupun oleh seekor nyamuk! 

Perihatinkah kita pada kedua ibubapa  terutama ibu kita sebagaimana perihatinnya mereka kepada kita? Adakah kita uruskan mereka diwaktu mereka sedang sakit, lemah , tua  dan tidak berdaya? Ibu kita menjaga kita sewaktu kecil dengan harapan kita hidup lama ......, tapi bila ibu ayah kita tua dan sakit, samakah apa yang dirasai...? Betullah kata pepatah, seorang ibu dapat menjaga 12 orang anak  yang banyak kerenah tetapi 12 orang anak belum tentu dapat menjaga hanya seorang ibu yang sudah tua , lemah,  sakit dan banyak kerenah!   

Berbakti kepada kedua ibubapa itu hukumnya wajib dan menderhakai , menyakiti dan mencela mereka hukumnya haram dan berdosa besar. Tidak ada orang yang mengingkari keutamaan berbakti kepada kedua ibubapa ini selain orang yang tercela disisi Allah!  Nauzubillahimin zaalik! Dalam satu hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr bin Al-Ash yang bermaksud.....
"Termasuk dosa besar adalah sesaorang mencela kedua ibu bapanya." 
Kemudian mereka bertanya,' Wahai Rasulullah bagaimanakah sesaorang mencela kedua ibu-bapanya?  Rasulullah menjawab,'Ya sesaorang mencela bapa orang lain lalu orang itu balik mencela bapanya: sesaorang itu mencela ibu orang lain lalu orang itu mencela balik ibunya."

Dalam satu hadis Riwayat At-Tarmidzi dan Abu  Daud yang bermaksud...
"Ibnu Umar (anak kepada Umar) berkata, ' Aku mempunyai seorang isteri dan aku mencintainya tetapi Umar membencinya. Umar berkata kepadaku, ' Ceraikan dia.' namun aku enggan menceraikan isteriku.  kemudian Umar menziarahi Rasulullah saw dan menceritakan hal itu kepada baginda.  Setelah itu Nabi pun bersabda kepadaku, ' Ceraikanlah dia."

Hadis ini menunjukkan redha kedua ibu bapa lebih utama dariapda redha isteri. Adakah kita mampu berbuat demikian jika ia berlaku pada kita?  Namun perlulah diingat ketaatan kita pada kedua ibubapa kita selagi ia tidak melanggar syarak.....tiada taat kepada mereka dalam maksiat dan dosa dan menyekutukan Allah!

Jadi berilah masa untuk ibu ayah kita, jangan kerana kesibukan kita, kita terlepas pandang hal ini. Sebagai suami janganlah turuti segala kemahuan isteri kita atau   kita dahulukan isteri  melebihi ibu kita....ingatlah kisah seorang sahabat Nabi yang sukar untuk mengucap di saat kematiannya disebabkan ibunya berkecil hati kerana dia mendahulukan isterinya.....  

 Sebagai isteri bantulah suami kita menjadi anak yang soleh, menjaga maslahat ibu bapanya, jangan halangi suami kita, bermasam muka bila suami ingin berbakti kepada mereka.......dalam apa sahaja yang kita buat di dunia ini matlamat akhir kita adalah untuk mencari keredhaan Allah!

Sama-samalah kita berdoa untuk ibu ayah kita dan bersyukur diatas semua kasih sayang dan pengorbanan mereka. Ingatlah ada mereka yang tidak pernah merasai kasih sayang seorang ibu  atau ayah atau kedua-duanya sekali.....begitu mereka mendambakan kasihnya ibu dan kasihnya ayah...namun semuanya telah ditentukan oleh Allah, mereka kehilangannya semasa kecil!  Kita cukup bertuah jika masih lagi mempunyai ibu dan bapa kita! Tidak dapat dibayangkan perasaan hati takala kita kehilangan kasih ibu dan ayah! Sebenar kita manusia ini hanya menghargai sesaorang hanya setelah kita kehilangan mereka.......itulah sifat manusia yang selalu lalai dan lupa ....always take things for granted!!



Jadi bersyukurlah kepada Allah yang menjadikan kita dan bersyukurlah kepada kedua orang tua kita yang banyak bersusah payah kerana kita!!

Saturday, March 19, 2011

Mengambil iktibar dari bencana gempa dan tsunami......



Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah setinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah SWT kerana dengan izinNya dapat bersama-sama berkongsi peringatan yang berguna buat diri yang selalu lalai dan lupa ini. Sesungguhnya peringatan itu sangat penting bagi menghidupkan hati-hati kita yang sering tenggelam dalam arus kehidupan dunia yang melekakan kita sehingga selalunya kita tidak sempat duduk sebentar berfikir dan merenung sejenak tentang apakah yang telah kita perbuat dalam hari-hari yang telah dilalui.  Lebih-lebih lagi dalam kesibukan kita mengurusi hidup ini, sebenarnya perlu ambil masa sejenak menghubungkan hati kita dengan Allah SWT. 

Lalainya kita dan sibuknya kita dengan dunia ini memberi padah pada hati kita. Sepertimana pokok dan tanaman memerlukan air setiap hari untuk ia hidup segar dan subur begitu jugalah hati ini. Jadi perlulah selalu menyirami hati nurani kita dengan ayat-ayat Allah, zikrullah dan peringatan yang berguna setiap hari supaya jiwa ini segar dan bersemangat menghadapi hari-hari yang berlalu yang ternyata selalunya menguji jiwa kita samada diwaktu senang atau susah. 

Hakikatnya ujian kesenangan lebih melalaikan kita dari Allah! Apabila senang kita mudah santai , leka dan tenggelam dalam nikmatnya sehingga kita lupa hakikat bagaimanakah mensyukuri nikmat Allah yang diberikankan kepada kita.  Apabila Allah menghilangkan kedukaan dan kesusahan yang melanda jiwa, selalunya jiwa mudah melupakan apa yang pernah ia pohonkan kepada Allah untuk menghilangkan segala kesedihannya! Lupa bagaimana begitu pasrah dan tulusnya jiwa menghadap Allah dengan penuh harap semasa dilanda kesusahan.  Disaat itu hanya Allahlah tempat kita bergantung harap sepenuhnya! Dimasa itu begitu banyaknya doa kita padaNya, dekatnya hati kita pada Allah, banyaknya airmata kita yang dicurahkan.............tapi selepas Allah hilangkan segala kesusahan, samakah apa yang dirasai? 

Sepatutnya Allah tidak kita lupakan di masa kita senang dan susah! Jiwa seorang Muslim Mukmin sepatutnya sama saja  tidak kira masa dan ketika. Sentiasa mensyukuri apa yang Allah berikan, redha akan segala ketentuanNya, sabar menghadapi ujian hidup tidak kira ujian senang ataupun susah. Malah hati itu sentiasa terpaut erat dengan Allah! Inilah yang perlu kita proseskan dalam jiwa. Ramai manusia mampu melepasi ujian kesusahan tapi hanya sedikit yang berjaya dalam ujian kesenangan. Sepatutnya dimasa senang kita  lebih bersyukur!

 Bandingkan kehidupan kita disini dengan tempat lain yang ditimpa bala bencana seperti gempabumi, tsunami, peperangan dan lain-lain lagi......Allah belum lagi menguji kita dengan keadaan seperti itu....jadi di masa sekarang ini kita perkuatkan diri kita, buat persediaan-persediaan untuk kita meningkatkan iman dan takwa kita kerana kita tidak tahu dan tidak boleh meneka apa yang akan berlaku di masa hadapan kita.  Esok adalah suatu yang tidak pasti! Yang pasti adalah hari ini, jadi manfaatkan sebaik mungkin masa sekarang kerana kita berada di dalamnya.....apa yang kita usahakan itulah yang kita dapat, insyaAllah!


Suasana bencana yang menimpa dunia sekarang ini, terkini bencana gempa dan tsunami di Jepun, diikuti dengan ancaman radiasi reaktor nuklear yang rosak dan bocor, menyedarkan kita betapa rapuhnya kehebatan teknologi manusia berbanding dengan kekuasaan Allah! Apa yang dibangunkan oleh manusia bertahun-tahun hilang dalam sekelip mata sahaja........rumah , bangunan tinggi, hartabenda....sehingga mencecah berbilion ringgit kerugiannya! 


Teknologi canggih Jepun yang mampu menahan bangunan tinggi  dari ranap terus akibat  gempa, namun benteng tinggi di tepi laut tidak mampu menahan arus tsunami deras yang datang tinggi menggunung lebih 10m  yang datang mengganas dalam sekelip mata. Apabila berhadapan dengan kekuasaan Allah, manusia ini sungguh lemah, tidak berdaya! Bolehkah dan mampukah kita menyombongkan diri kita dihadapan Allah? Sekelip mata ribuan nyawa hilang......di telan arus tsunami ... kemudian ruh-ruh ini menghadap Allah Rabbul Jalil....apa yang boleh di persembahkan kehadapanNya melainkan amal soleh padaNya??

Seluruh alam ini adalah milik Allah, Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Apabila Allah menghendaki sesuatu berlaku, maka jadilah ia, dan kita sepatutnya membuat introspeksi diri secara mendalam dan seterusnnya menginsafi diri apakah hikmah disebalik sesuatu kejadian! Sebenarnya terjadinya kerosakan demi kerosakan  adalah berpunca dari tangan manusia itu sendiri! Apabila manusia ingkar dan sombong dengan Allah, maka tunggulah azab dan siksaan Allah yang Maha Hebat! Allah sangat cepat siksaanNya. Maka sepatutnya takutlah kita padaNya!


Kita juga perlu menginsafi sebenarnya kewujudan kita di dunia ini bukanlah secara satu kebetulan, tidak dirancang, tidak bermakna........Allah menjadikan kita bukan untuk main-main, Maha Suci Allah dari sifat sedemikian! Setiap diri insan ini ada matlamat hidup yang telah Allah gariskan iaitu menjadi hamba pada Allah!  Hanya hamba Allah sahaja yang sebenarnya yang mulia disisi Allah bukan lain.

Jadi perlulah pastikan kita telah menyematkan matlamat hidup ini di jiwa kita dan membawanya kemana jua......tak kiralah apa kedudukan kita, sebagai pendidik atau pelajar ke, bos atau orang bawahan ke......samada kita surirumah atau bekerja ke, tak kira kita ini sempurna sifat kita atau tidak .......kita perlu ikatkan hati kita dengan matlamat ini, tidak boleh tersasar darinya! 

Namun bila hidup ini tersasar dari matlamat ini, kita dapati manusia mengejar apa yang ada di depan mata yang nampak zahir cukup hebat belaka, namun adakah kita sedari semua itu tidak berguna nanti? Seluruh masa dan tenaga dikerah untuk mencapai cita-cita di hati......tapi adakah ia selaras dengan apa yang Allah kehendaki? Berbaloikah masa dan tenaga yang dicurahkan sedangkan semua itu tidak di nilai nanti?

Jadi pastikan, supaya kerja yang kita buat itu tidak sia-sia , perlu perbetulkan matlamat diri, dan usahakan setiap jalan, lorong dan liku-liku  yang dilalui dalam hidup ini merupakan jalan yang Allah redha!  Janganlah kita turuti hawanafsu kita, kerana ia akan hanya membawa kita jauh dari jalanNya......






Monday, March 14, 2011

Persiapan-persiapan yang perlu sebagai seorang Muslim.




Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah , dipanjatkan setinggi-tinggi  kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan izinNya dapat terus  berkongsikan  peringatan yang berguna buat diri ini bersama-sama pembaca blog sekelian. Ada kalanya merasakan diri  begitu lemah sekali sehingga merasakan  tidak mampu menulis walau secebis perkataan, hanya mampu menatapi dan mengulang-ulangi...........dan cuba menghayati apa yang telah dicoretkan sebelumnya, mencari-cari kekuatan  dari peringatan-peringatan dan ayat-ayat Allah agar ia menyentuh jiwa dan menggetarkan perasaan hati ini!.

Peringatan yang menyuruh kita memperbaiki diri kita dan mengajak orang lain memberikan sedikit kekuatan untuk menuliskan peringatan buat diri yang lemah ini masih belum mampu melaksanakan banyak tuntutan Allah SWT!  Hanya Allah sahajalah yang Maha Kuat dan bantuanMu jua ku dambakan dalam mengharungi hidup yang banyak menguji hati ini pada setiap masa dan ketika. TanpaMu sirnalah hidup ini, tidak bererti hidup yang terumbang ambing tanpa panduanMu ya Allah!

Dihujung minggu lepas ku telah menghadiri satu kuliah tazkirah untuk peringatan jiwa yang menyentuh tentang apakah persiapan diri kita sebagai seorang Muslim. Persiapan yang perlu kita cari sebelum kita menghadap Allah SWT di suatu hari nanti, hari yang pasti akan tiba tapi entah bila dan di mana! Sedang kita berada di dunia yang singkat ini, kita perlu rebut peluang yang ada meningkatkan kefahaman dan kesedaran diri apakah sebenarnya matlamat hidup kita di dunia ini.

Sejauhmana kefahaman dan kesedaran yang tersemat di hati  kita,  sejauh itu pulalah komitmen kita mencari bekalan untuk kita bawa pulang ke akhirat nanti. Jadi,  kita tidak boleh berlengah untuk sentiasa menyibukkan diri kita mencari suasana yang soleh yang dapat menyirami hati kita yang sering ketandusan peringatan, sering tergoda dan digoda oleh buaian nafsu dan bisikan syaitan! Beradanya kita dalam suasana yang soleh secara konsisten menjadikan hati kita ingat dan sedar semula akan tugas dan tanggungjawab kita sebagai seorang hamba Allah, mengembalikan kita semula di atas landasan yang betul di atas jalan Allah!

Diantara persiapan yang perlu sebagai seorang Muslim adalah.......

  • persiapan deen
Persiapan deen yang mencakupi persiapan akidah dalam diri iaitu akidah yang soheh yang di dokong oleh para salafus soleh yang di warisi terus dari Rasulullah saw. Telah terbukti dalam diri mereka dalam kehidupan akan jihad dan perjuangan untuk memperhambakan diri hanya senya kepada Allah SWT semata-mata. Keimanan mereka mantap kepada Allah dan hari akhirat dan menjadikan seluruh hidup ini sebagai jalan untuk mendapatkan keredaan Allah. Tiada komprominya mereka dengan jahiliyyah walau sedikit pun. Seluruh hidup ini hanya untuk Allah!   
  • persiapan ibadah yang soheh
Seluruh hidup ini dipersiapkan  hanya atas tujuan ibadah semata-mata. Ibadah yang syumul bukan hanya setakat solat sahaja tapi  diluar solat juga ibadah dipraktikkan dalam seluruh kehidupan ini. Ibadah yang dilaksanakan berdasarkan syarak dan di atas dasar keikhlasan semata-mata kerana Allah SWT tiada kompromi dengan yang lain! Perlu dan pentingnya kita sentiasa memperbaiki ibadah kita pada Allah sebab itulah hakikatnya nilaian diri kita disisi  Allah. Menjadi hamba Allah  atau hamba kepada yang lain selain Allah? Setiap detik masa ini kita nak jadikan ia ibadah pada Allah bukan ia sia-sia dan terbuang begitu sahaja!
  • persiapan akhlak yang soleh
Perlunya kita sentiasa memperbaiki   dan melengkapkan diri kita dengan akhlak yang soleh dan mulia. Contoh kita yang utama ada pada diri Rasulullah saw. Maka galilah dan carilah perbendaraan berguna ini untuk kita hayati dalam kehidupan kita sebagi seorang yang mengaku Muslim yang sepatutnya memiliki akhlak yang mulia. Pada hari ini umat Islam kehilangan contoh akhlak yang tidak dapat dilihat oleh masyarakat bukan Muslim. Bukan sedikit dari orang Islam itu yang tidak mampu mempamerkan contoh yang baik. Mengaku Muslim tapi rasuah, pecah amanah, berbuat dosa, menipu, memfitnah , bunuh orang dan diri sendiri  dan banyak lagi.......Ini cuma Muslim celup di luar sahaja tapi tidak mendasari jiwa!

Sewajarnya kita mempamerkan akhlak Muslim luar dan dalam diri, bukan hanya dakwaan kosong! Jangan kita tinggalkan proses mendidik diri ini walau di tahap mana sekali pun, kita tidak mungkin mencapai tahap kesempurnaan sebab kita ini manusia lemah.......yang sempurna hanya Allah SWT sahaja! Apa yang penting perbaiki diri selalu dan sentiasalah beristighfar pada Allah di atas kelemahan diri. Hubungkan hati kita selalu dengan Allah dengan merendahkan hati kita untuk menerima segala saranan dan peringatan dari Allah! 
  • persiapan saqafah (ilmu pengetahuan)
Perbaiki dan perlengkapkan diri dengan saqafah yang mencakupi beberapa aspek penting seperti....
- pengetahuan ilmu islam yang sempurna dan bagaimana melaksanakannya dengan perlaksanaan yang betul dan soheh,
- mengetahui tentang ilmu  realiti dahulu dan sekarang  dan cara-cara bergerak dan bertindak dalam melaksanakan Islam dalam kehidupan 
-  memperbaiki pengkhususan dalam pelbagai aspek ilmu dan membina kekuatan diri dan ummah
- meningkatkan usaha menjadi seorang Muslim yang sehat dan kuat yang mana kekuatan ini boleh di  manfaatkan untuk Islam   

Dalam kita melayari bahtera kehidupan ini, kita nak merasakan apa sahaja yang kita lalui merupakan satu kemanisan hidup....manis dan nikmatnya hidup berada dalam iman dan Islam, walaupun apa yang kita hadapi itu merupakan ujian yang pahit dan getir..........tapi bila kita hubungkan dengan Allah hati akan menjadi tenang dan redo, ada hikmah dan rahmat disebalik ujian!  

Melaksanakan segala tuntutan Allah merupakan satu cabaran buat diri kita yang mempunyai banyak kelemahan diri .........tapi apakah yang mampu kita buat selain menyahut cabaran ini kerana sebenarnya  tiada lagi alternatif lain bagi kita menuju kebahagiaan sebenarnya melainkan dengan kembali padaNya. Kekuatan diri kita hanya boleh kita bina apabila kita menghubungkan diri dan kehidupan kita dengan Allah SWT......TanpaNya kita sebenarnya sungguh lemah tidak berdaya dan terdedah pada musuh-musuh kita dan musuh Allah yang suka mengheret kita ke lembah kebinasaan!!

Sunday, March 06, 2011

Perlunya kita mewajibkan proses hati dalam diri kita!

Bismillahirrahmanirrahim........

Sebagai seorang Muslim yang ingin kembali kepada Allah, ingin memperbaiki hubungan dengan Allah SWT,  semestinya kita perlu dan mewajibkan diri kita memproses atau mentarbiah hati kita selalu, kerana hati manusia  itu sentiasa berkarat seperti berkaratnya besi. Hakikat ini seringkali diingatkan oleh Rasulullah saw terutama sekali bagi kita yang berada di tengah-tengah masyarakat di mana suasana bukan Islam itu cukup berleluasa.

Setiap masa dan ketika jiwa kita diserang dan dikuasai oleh unsur-unsur yang melalaikan diri kita dari berhubung dengan Allah, sama ada unsur-unsur luaran diri seperti persekitaran yang tidak islamik, kawan-kawan yang tidak soleh....... atau mungkin unsur dalaman diri sendiri yang masih banyak lagi tabiat   yang belum lagi dibuang dan diproseskan seperti suka pada hiburan yang melalaikan, buang masa terlalu lama melayari  internet dengan fb, game, chatting, lepak-lepak,  bersembang kosong, hobi-hobi yang tidak bermanfaat seperti suka shopping dan lain-lain............. .

Ada juga tabiat lama yang mendarah daging dalam diri seperti cepat melenting, kurang sabar, dengki hati, cemburu buta, prasangka buruk........, yang mana dalam suasana tenang  kita boleh kawal, tapi bila dalam suasana kritikal, stress dan teruji , segala sifat buruk dalam jiwa itu akan terkeluar! Barulah kita kenal sebenarnya siapa diri kita ini, siapa sahabat kita itu, beginilah perangai orang itu dan ini....! Terlalu banyaknya sifat mazmumah ini dalam diri sehingga ia menghalang kita dari bersih jiwa dengan Allah dan manusia lain.

 Keburukan jiwa ini merupakan hijab yang menghalang kita dari merasai hubungan hati kita dengan Allah! Kita tak rasa nikmatnya solat kita, zikir kita padaNya, Quran yang dibaca tidak meresap dijiwa dan menggetarkan perasaan justru tidak bersihnya hati kita itu......! Kalaulah jiwa keji dan buruk itu mempunyai rupa fizikal yang buruk yang kita  nampak.....tentulah kita memalingkan diri kita darinya! Fitrah manusia ini suka pada yang cantik......perempuan cantik, baju cantik, pemandangan cantik.....  kita juga mesti suka mempunyai jiwa yang cantik......yang bersih hati, lembut dan bertakwa pada Allah? Pernah ke kita terfikir dalam diri kita..........buruknya perangai aku, kotornya hati aku, kasarnya aku..........aku mesti buat sesuatu untuk membersihkannya?

Malangnya kita kurang sempat memberi ruang masa  untuk muhasabah hati kita! Sedangkan perlunya kita sedari.....Allah menilai apa yang ada dalam hati kita! Yang Allah nak nilai nanti bila kita kembali pulang menghadap Allah adalah  apa yang ada dijiwa kita.....iman, takwa, ikhlas, ihsan yang kita didik dalam jiwa. Jadi perlu cari masa, ruang dan rebut peluang untuk membersihkan dan memproses hati kita.

Untuk menjaga hati kita, kita wajib putuskan diri dari perkara dan perbuatan yang melalaikan, perlunya sensitif dengan perkara dosa dan maksiat.......jika tidak setiap hari hati kita semakin lama semakin kotor, semakin bertumpuklah karat-karat jiwa. Kesan akhirnya menjadikan kita seorang manusia yang tidak kisah dengan apa yang kita buat, kita ikuti kemahuan jiwa kita,  tidak peduli apa orang lain cakap..........this is my life, I am happy,  orang lain buat apa sibuk-sibuk! Sampai ke tahap tidak pedulikan kata-kata dan nasihat orang lain!! Pada ketika itu hati sudah nazak tunggu nak mati saja.....hidup itu bagaikan bangkai bernyawa sahaja....tiada hati, roh dan perasaan ....segalanya sudah hilang ! Bermaknakah kehidupan sebegini? Akan merasai bahagia dan tenangkah .......?? Itu adalah sesuatu yang mustahil dikecapi!

Semua orang jika ditanya apakah yang  benar-benar hajati dalam hidup ini.......tentulah ingin hidup bahagia. Sama ada orang miskin ke, kaya ke......semua manusia sangat berhajat pada kebahagiaan! Sudah ke kita benar-benar memiliki kebahagiaan? Kita sudah bahagia ke dengan apa yang kita ada......rumahtangga kita, harta dan wang ringgit, kedudukan dan pangkat kita? Atau masih merasai kita belum puas lagi? Kenapa kita sudah memiliki segalanya.....tapi kenapa rasa aku kehilangan sesuatu!

Justru itu, ushakan mencari apa yang hilang dari diri yang menyebabkan jiwa tak rasa bahagia! Kita sebenarnya kehilangan cahaya yang menerangi jiwa  semasa melayari bahtera hidup ini. Cahaya yang menyuluh jiwa, membimbing ke arah jalan kebahagiaan hakiki......iaitu cahaya petunjuk dari Allah yang lebih terang sinarnya dari sinaran matahari!  

 Usaha itu adalah muqaddimah kepada cahaya hidayah Allah, jadi apabila kita berusaha mengetuk pintu hati kita melalui usaha-usaha kita mendekati ayat-ayat dan peringatan dari Allah.........pintu hati ini akan semakin lama semakin terbuka..............kita akan rasa suka dan senang berada dalam suasana yang soleh yang mengingatkan kita kepada Allah. Hati kita akan lebih sensitif dengan suruhan dan laranganNya! Dan iringilah usaha kita itu dengan doa yang selalu kita panjatkan kepadaNya. Sebagai manusia, kita hanya mampu melaksanakan usaha tapi sebenarnya Allah juga lah yang memberikan natijahnya!

Kita sedari hanya Allah sahaja yang boleh mengubah apa yang ada didalam jiwa ini.....jadi hubungan hati yang erat yang sentiasa bermunajat, minta pertolongan dari Allah, memohon ampun padaNya hendaklah sentiasa kita jalin........kita ingat selalu padaNya, sama ada kita senang atau susah, gembira atau sedih.....Allah sentiasa dihati kita! Kepada Allahlah tempat kita bergantung bukannya kepada manusia! 

Friday, March 04, 2011

Bersederhanalah dalam makan............!

Bismillahirrahmanirrahim....

Rasulullah saw bersabda.....
" Tidak ada satu tempatpun yang diisi oleh anak anak Adam lebih buruk dari perutnya. Cukuplah baginya beberapa suap untuk menguatkan tulang belakangnya supaya tegak. Apabila ia tidak dapat menghindari hendaklah makan sepertiga makanan sahaja, sepertiga lagi untuk minuman dan spertiga lagi untuk nafasnya."

Agama Islam ini begitu lengkap sehingga perbicaraan tentang makan pun di terangkan untuk kita ikuti supaya kita dapat manfaat dalam menjaga diri kita dan seterusnya dapat menjaga hubungan kita dengan Allah SWT! Rasulullah saw menasihati kita dalam hadith ini supaya membatasi makanan untuk kesihatan tubuh badan kita. Dengan mengurangkan makan dapat melindungkan diri kita dari berbagai penyakit, kelemahan dan kelumpuhan tubuh. Asalnya banyak penyakit itu datangnya dari perut.

Allah menganjurkan kita supaya berlaku sederhana dalam hidup ini dan tidak melampaui batas dalam perkara makan dan minum.  Firman Allah dalam surah Al-A'raf ayat 31 yang bermaksud...........
" Makan dan minumlah, tetapi  janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan."

Kekenyangan perut sebenarnya akan menimbulkan berbagai gangguan di antaranya tidak sanggup berfikir secara baik , lemah otaknya, penyebab mengantuk dan malas.  Barangsiapa yang banyak makannya, maka akan banyak pula tidurnya. Dan apabila banyak tidurnya maka banyaklah kebaikan yang lepas daripadanya.
Bak kata pepatah," Orang telah mengelilingi dunia, tapi dia masih tidur berdengkur!" Apabila banyak tidur, banyak masa terbuang begitu sahaja sedangkan masa adalah aset berharga dalam kehidupan kita. Membuang masa bererti mensia-siakan  kehidupan dan menempah kerugian.  Orang bijak adalah orang yang menggunakan masa dengan sebaik-baiknya untuk mencari dunianya yang merupakan ladang akhiratnya! Masa itu adalah iman dan kehidupan. Masa lebih berharga dari emas!

Renungi firman Allah dalam surah Al-Asr....
" Demi masa, sesunguhnya manusia itu BENAR-BENAR dalam kerugian, kecuali orang orang yang beriman dan beramal soleh dan saling nasihat menasihat supaya mentaati kebenaran dan yang saling nasihat menasihati dalam kesabaran."

Semua manusia itu berada dalam keadaan rugi selagi dia tidak tidak beriman pada Allah. Orang beriman itu juga rugi selagi dia tidak melakukan beramal soleh dan berpesan-pesan sesama muslim untuk taat pada Allah dan sabar melaksanakan tuntutan  Allah dalam kehidupan ini. Kita perlu saling nasihat menasihat  dalam hidup ini dalam apa juga hal, sama-sama menjaga deen Allah ini supaya dapat dilaksanakan dalam kehidupan.   
     
Hidup ini bukanlah untuk makan tapi kita makan untuk hidup, tapi perlu bersederhanalah untuk menjaga diri dan agama.....Kadang kerana terlalu banyaknya makanan sampai kita tidak tahu nak makan apa sedangkan ada orang yang tiada benda untuk dimakan! Kita terlalu menuruti hawa nafsu kita dalam makan sampai sesatu tahap pembaziran berlaku!  

Lihatlah realiti masyarakat kita betapa banyaknya makanan yang dibuang....dirumah kita , di sekolah, di hotel, di majlis kenduri kendara, majlis rumah terbuka.....terlalu mewah dalam hidup ini sehinggakan ia boleh menghilangkan keberkatan! Kita tahu apabila kita menuruti hawa nafsu, kita sebenarnya mengikuti langkah langkah dan membuka pintu syaitan.......sedangkan syaitan itu musuh yang nyata dalam diri! 

Persempitkan laluan syaitan dalam darah kita dengan menyedikitkan makan! Anjuran Islam supaya kita puasa sunat Isnin Khamis dan dan lain-lain masa sebenarnya mempunyai maslahat yang cukup banyak!  Usahakanlah supaya kita berpuasa sunat ini dengan konsisten untuk kawal hawa nafsu kita!

Renungilah nasihat Luqmanul Hakim ini kepada anaknya............
 "  Wahai anakku, apabila perutmu penuh, tidurlah fikiranmu, hilanglah kebijaksanaanmu dan lemah longlailah seluruh badanmu sehingga malas  beribadah. Adapun orang-orang yang suka menyedikitkan makan dan minum, hatinya akan jernih, fikirannya terang, pandangannya tajam, syahwat dan nafsunya dapat dikalahkan dan jiwanya dapat dituntun dan dibimbing."

Jadi didiklah diri kita ini mengikuti saranan dari Allah dan Rasul ini. Deen Islam Ini cukup lengkap dan sempurna, dan segala apa yang disarankan untuk kita ikuti terkandung cukup banyak maslahat untuk kebaikan bagi umat manusia. 

Kembalikanlah diri kita menghayati deen Islam ini dalam kehidupan ini dari perkara yang sekecil-kecilnya sehingga kepada yang sebesar-sebesarnya! Perlu masukkan diri menghayati nya secara syumul supaya beroleh kebaikan darinya kerana setiap sesuatu saling berkait antara satu sama lain...apabila terputus salah satu rantaian dan jaringan Islam yang nak di bina dalam diri....maka pincanglah dan hilanglah kekuatan yang nak dibina, kebaikan yang menyeluruh.....! Ada titik-titik kelemahan pada diri yang perlu di perkuatkan semula....!  

Tuesday, March 01, 2011

Perlunya paksa diri untuk taat pada Allah!

Bismillahirrahmanirrahim...........

Dalam kita menelusuri kehidupan ini, kita selalunya kurang mengetahui kelemahan dan kekurangan diri kita......sebenarnya amat perlu kita kenal siapa diri kita , apa kelemahan dan kekurangan kita untuk kita perbaiki. Begitu juga perlu mengetahui kekuatan diri untuk kita manfaatkan dijalan Allah! Mohon bantuan dari Allah SWT jua yang benar-benar mengetahui siapa diri kita, menunjukkan kita jalan yang seharusnya kita lalui dan memberikan kita semangat yang sentiasa segar dan mengurniakan kita iman yang mantap, menjauhkan kita dari kemalasan diri dan kebosanan dalam hidup ini.......dan sentiasa dapat berjuang dan tidak dikalahkan oleh hawa nafsu kita!

Perlunya kita selalu berdoa padaNya agar apa yang kita didik dalam diri ini iaitu iman dan akhlak Islam dapat diwariskan kepada............anak-anak kita , kaum keluarga kita, sahabat taulan, anak didik kita, masyarakat disekeliling kita...... bukannya tinggal terpendam dijiwa. Keimanan dan keislaman sesaorang bukan diukur dari seginya pandainya berbicara, luasnya ilmu dan kuatnya ibadah pada Allah. Kemuliaan dan ketinggian kedudukan sesaorang di sisi Allah bergantung pada sejauhmana ia melaksanakan Islam dalam kehidupan dan sejauhmana ketakwaannya pada Allah. Orang yang paling dicintai dan dikasihi Allah, paling mulia disisiNya adalah yang paling bertakwa! 

Sesungguhnya manusia dan jin diciptakan oleh Allah untuk taat berubudiah padaNya supaya mendapat  rahmat dan kurniaanNya, menjadi hormat dan mulia .......kita yang memerlukan Allah dalam kehidupan ini, sesungguhnya Allah yang Maha Kaya tidak perlu sesiapapun! 
Firman Allah yang bermaksud....
" Wahai manusia, kamulah yang memerlukan Allah , dan Dia Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu), Maha Terpuji. Jika Dia menghendaki, niscaya Dia akan membinasakan kamu dan mendatangkan makhluk yang baru (menggantikan kamu ). Dan yang demikian itu tidak sulit bagi Allah."  (Surah Fathir :15-17)

Tanpa keislaman, keimanan dan ketaatan kita pada Allah, Allah tidak rugi apapun.....tapi yang rugi adalah kita! Kita akan terumbang ambing dalam kehidupan dunia dan mendapat kesengsaraan diakhirat akibat perbuatan kita yang menjauhkan diri dari Allah. Kita jauh dari kurniaan Allah adalah di atas pilihan kita sendiri bukannya kerana Allah menghendaki. Kita yang memilih jalan kita sama ada menuruti iman atau menuruti hawa nafsu!

Kecenderungan dalam diri kita mengikuti hawa nafsu adalah lebih tinggi dari kecenderungan untuk keimanan dan ketaatan. Apa yang dituruti oleh hawa nafsu adalah apa yang kita sukai! Jadi mudahnya kita melaksanakan tuntutan nafsu yang bergejolak! Susah dan payahnya kita mendidik diri untuk taat dan patuh pada Allah dan mengingkari hawa nafsu ini. Apakah yang patut kita lakukan?

Justru itu, memaksa diri untuk tunduk dan patuh pada Allah satu kemestian !! Paksa diri untuk mendirikan solat selengkapnya, paksa diri untuk berzikir setiap hari, paksa diri untuk duduk dan mentadabbur Al-Quran sebanyak yang termampu, paksa diri menjauhkan diri dari dosa dan maksiat........dan banyak lagi paksaan yang perlu kita lakukan sehingga sampai ke satu tahap kita  merasai nikmat melakukan ibadah tanpa paksaan! Memaksa diri bererti menundukkan hawa nafsu yang ingin menjadi raja di hati!  Memang fitrah nafsu ingin mememerintah hati menuruti keinginannya yang tidak terbatas dan tidak pernah puas...............

Perlu kita sedari segala mujahadah kita terhadap hawa nafsu ini adalah untuk kebaikan diri kita, kerana hanya dengan mengalahkan nafsu,  kita  dapat meluruskan dan membersihkan jiwa kita, menghubungkan hati dengan Allah dan mengisi hati kita dengan iman dan takwa padaNya......Satu tugas yang sebenarnya sangat berat dan perlu dilaksanakan secara berterusan! Tidak sedikit manusia yang kecundang oleh nafsu yang mengajaknya ke jurang kehinaan.....di saat jiwa lemah dan putus hubungan dengan Allah!

Renungilah kata-kata Abul Hasan Ashadilly yang menasihatkan kita............
" Hendaklah engkau mempunyai satu wirid yang tidak engkau lupakan selamanya iaitu mengalahkan hawa nafsu dengan lebih mencintai Allah."

Adalah tidak logik dan sungguh aneh jika kita inginkan kemuliaan, kebahagiaan dan syurgaNya.....kita tidak berbuat apa-apa , hanya setakat keinginan di jiwa! Masakan kita akan rasa kenyang jika kita tidak berusaha mencari dan memakan makanan. Begitu juga, masakan kita boleh mendapat syurga Allah tanpa usaha dan amal.  Sia-sia dan tidak bermakna!

Jadi mulai dari hari ini  dan di saat ini, kita realisasikan keinginan dijiwa kita  dengan mengorak langkah mengembalikan hati kita kepada pemiliknya iaitu Allah, jagai hati sebagaimana arahan Allah, isi hati dengan iman dan takwa pada Allah......hati akan rasa tenang dan gembira dan menemukan kebahagiaan sejati. 

Sentiasa berdoa padaNya, memohon bantuanNya dalam apa juga masalah yang kita hadapi.....disitu ada jalan penyelesaiannya, insyaAllah. Bersabarlah diatas segala dugaan hidup ini, dan hadapilah dengan tabah dan berfikiran positif, sesungguhnya dugaan itu dapat memantapkan jiwa dan bergantung harap selalu padaNya.............

Selalulah ingat,  disaat manusia meninggalkan kita, tidak memperdulikan kita, menyakiti hati kita dan mengecewakan kita ...., Allah sentiasa bersama dan terlalu dekat dengan kita! Jadi  Allahlah talian hayat kita dalam melalui kehidupan yang banyak ujian ini!   

Rujukan
Mencari ketenangan jiwa
K.H Abdullah Gymnastiar 

11 KELEBIHAN ISTIGHFAR PADA ALLAH

Apabila dilihat makna di sebalik ungkapan ISTIGHFAR,  “Aku memohon keampunan dari Allah swt.” ; dapat dilihat bahawa ungkapan ini adalah s...