MENUJU MARDHOTILLAH

Belajar merupakan satu jihad di jalan Allah. Mengajar merupakan suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah! ..Jadi belajar dan mengajarlah dengan penuh keikhlasan padaNYA.

Friday, March 25, 2011

Wasiat kedua Luqmanul Hakim...........Berbaktilah kepada kedua ibu bapa!

Tangisan anak-anak ini mengimbau kisah lama ku.....tanpa kasih ibu dan hanya secebis kasih ayah...

Bismillahirrahmanirrahim.........

Sama-samalah kita renungi firman Allah ini dalam surah Luqman ayat 14 yang bermaksud....
'Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungkan dengan menanggung kelemahan demi kelemahan, dan tempoh menceraikan susunya adalah dalam masa dua tahun, Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu dan (ingatlah) kepada Aku jualah tempat kembali.'

Menurut Sayyid Qutub perintah kepada si anak untuk berbuat baik kepada ibu dan bapanya banyak diulang-ulang dalam Al-Quran dan juga dari wasiat-wasiat Rasulullah saw.Ini menunjukkan betapa besarnya tanggungjawab seorang anak kepada ibubapanya yang telah bersusah payah mendidik dan membesarkan anak-anaknya lebih-lebih lagi ibunya yang terpaksa menanggung kepayahan demi kepayahan sejak mengandungkan sehinggalah si anak mampu berdikari mengurus diri sendiri.

Kelemahan dan kesusahan yang ditanggung yang sebenarnya bukanlah suatu bebanan yang ringan.....!
Semasa mengandung, selalunya  ibu   tidak boleh makan beberapa bulan kerana asyik muntah dan loya...badan sangat lemah , pening dan selalu rasa nak pitam, badan rasa melayang, berbulan-bulan tidak dapat tidur lena kerana kandungan yang semakin membesar, badan yang semakin berat  setiap hari............

Sehinggalah saat melahirkan, sakitnya sukar digambar dan diucapkan.......tidak tertanggung rasa sakitnya selama beberapa jam berterusan macam nak putus pinggang setiap kali! Dikala itu nyawa dihujung-hujung rasanya...... terlalu sakit, hanya Allah sahaja dalam ingatan ketika itu! Namun sejurus melahirkan, alangkah gembiranya menyambut kelahiran anak yang dikandung selama 9 bulan......segala kesakitan lepas,  hilang melihat wajah anak tersayang! Dipeluk cium bertalu-talu.........inilah dia anak yang dikandung dahulu.......sungguh comel dan menyejukkan jiwaku! Berbaloilah segala penderitaanku, bisik hati kecil seorang ibu! Syukur ya Allah, anakku selamat.....ini anugerahMu ya Allah, aku redho menanggung segala penderitaan!

Namun ia tidak berhenti disitu......menyusu, membesarkan dan mendidik anak bukanlah suatu perkara yang mudah.... era tidur yang tidak lena berlanjutan  sehinggalah beberapa bulan lagi....memenuhi segala tuntutan si anak kecil yang tidak tahu kepenatan siibu berjaga siang dan malam......dimasa sihat lebih-lebih lagi di waktu sakit! Namun demi kasih sayang pada sianak....semua itu kecil belaka, kebajikan anak perkara utama! Itu baru seorang anak...bagaimana ibu yang mempunyai anak yang ramai, rapat-rapat pula?.....Apa yang dialami ditanggung hingga bertahun-tahun lamanya memerlukan kesabaran yang amat tinggi! 

Memang Allah Maha Mengetahui penderitaan siibu dan memberikan penghormatan yang tinggi kepada ibu melebihi bapa.  Berbakti kepada ibu lebih utama berbanding bapa.......3 kali ganda melebihi bapa!
Renungilah Hadis Rasulullah saw ini yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah,
" Sesaorang menziarahi Rasulullah saw lalu berkata,' Wahai Rasulullah, siapakah yang paling berhak aku lakukan dengan baik? Beliau menjawab, 'Ibumu.' Dia bertanya, "Lalu siapa?' Beliau menjawab,' Ibumu.' Dia bertanya,' Lalu siapa?  Jawab Rasulullah lagi,'  Ibumu.' Dia bertanya lagi, 'Lalu siapa?'Rasulullah menjawab, ' Lalu bapamu."    

Satu hadis juga pernah menyatakan apabila ibu dan bapa memanggil anak secara serentak, maka sahutlah panggilan ibumu terlebih dahulu! Ini adalah kerana siibu lebih banyak menanggung sendiri apa yang tidak ditanggung oleh si bapa........lemahnya semasa mengandung, sakitnya bersalin,  jenuhnya menyusui anak, banyaknya kasih sayang , tumpuan, layanan yang diberikan......satu senarai panjang boleh ditulis tentang pengorbanan seorang ibu!!

 Sewajar dan semestinya anak mensyukuri Allah dan mensyukuri ibunya ........berilah layanan yang sebaik-baiknya dan terbaik mendahului bapa dalam segala aspek! Sebenarnya,  sebesar manapun bakti seorang anak kepada  ibunya,  tidak akan boleh terbalas segala apa yang telah dilakukan oleh seorang ibu! Jangan sakiti hatinya atau meninggikan suara, turutilah kemahuannya selagi ia dalam batas-batas syarak........sematkan dihati keredhaan Allah terletak pada  redhanya seorang ibu!

Satu lagi  hadis Rasulullah saw diriwayatkan oleh Thalhah bin Muawiyah.......
" Aku menziarahi Rasulullah lalu aku berkata,' Wahai Rasulullah, aku ingin berjihad dijalan Allah.' Rasulullah bertanya,' Ibumu masih hidup?' Aku menjawab,' Ya.' Rasulullah menjawab,' Tataplah kakinya, disanalah syurga.'

Tataplah kakinya disini bermaksud tunduklah, dekatilah,, rawat serta layanilah ibu kerana disana ada syurga. Dengan sebab keredhaannya, si anak akan mendapatkan nikmat dari Allah yakni syurga!

Berbakti kepada ibu bapa merupakan salah satu amalan yang disukai Allah. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Masud, 
Aku bertanya kepada Nabi saw,'Amalan apa yang paling disukai Allah?' Baginda menjawab.'Solat pada waktunya.' Aku bertanya, ' Apa lagi?' Baginda menjawab, ' Berbakti kepada kedua-dua ibu bapa. ' Aku bertanya lagi,' Apa lagi?' Baginda menjawab,' Jihad di jalan Allah."

Bakti kepada ibubapa merupakan amalan kedua paling disukai Allah selepas solat dan ia  melebihi jihad dijalanNya! Besarnya pengorbanan mereka disisi Allah sehingga Allah meletakkan amalan bakti kepada ibubapa ini  selepas solat dan selepas mensyukuriNya! Berbakti dan berbuat baik kepada ibu bapa ini adalah satu ibadah disisi Allah dan ganjarannya adalah syurga Allah. 

Sedangkan memandang wajah ibu dan ayah dengan penuh kasih sayang mendapat pahala disisiNya, apatah lagi bila berbakti pada mereka! Letakkanlah potret ibu dan ayah  di dompet kita, pandangilah selalu disamping potret anak isteri atau suami kita! Kenangi jasa dan bakti mereka, jangan jadi kacang lupakan kulit atau seperti umpama kisah siTenggang anak derhaka yang sanggup membuang ibunya!

Jadi rebutlah peluang ini selagi mereka masih hidup......tiada gunanya memeluk dan mencium mereka disaat mereka sudah jadi mayat. Juga tiada gunanya selalu menziarahi pusara mereka setelah mati sedangkan dimasa hidup jarang sekali! 

Terimalah ibu atau ayah kita seadanya, mereka juga adalah manusia biasa yang banyak kelemahan. Maafkan segala kesalahan dan kesilapan ibu ayah kita, rendahkan diri kita pada mereka.  Janganlah disebabkan kesilapan mereka dahulu samada kecil atau besar , kita sanggup melupakan jasabakti mereka semasa kita masih kecil dan sewaktu kita susah.  Jika itupun susah untuk  dikenang, ingatlah,  melalui kedua ibu ayah kitalah lahirnya kita kedunia ini, menikmati kehidupan sekarang ini. 

 Sukar ke kita menjadi hamba yang bersyukur kepada Allah dan kedua mereka? Jadi sama-samalah kita renungi dan muhasabah diri......cukup ke baktiku kepada kedua orang tua ku? Cukup ke hanya setakat menghantar wang bulanan sebagai pengganti diri, menelefon sekali sekala........terlalunya sibuk aku sampai tak sempat nak jenguk mereka? Ingatlah sewaktu kita kecil tidak tahu mengurus diri, ibu kita tidak pernah rasa begitu sibuk tak sempat nak urus anak, dirinya sangup tidak terurus asalkan anak terurus ..... cukup kenyang, cukup tidur, sihat tidak diganggu walaupun oleh seekor nyamuk! 

Perihatinkah kita pada kedua ibubapa  terutama ibu kita sebagaimana perihatinnya mereka kepada kita? Adakah kita uruskan mereka diwaktu mereka sedang sakit, lemah , tua  dan tidak berdaya? Ibu kita menjaga kita sewaktu kecil dengan harapan kita hidup lama ......, tapi bila ibu ayah kita tua dan sakit, samakah apa yang dirasai...? Betullah kata pepatah, seorang ibu dapat menjaga 12 orang anak  yang banyak kerenah tetapi 12 orang anak belum tentu dapat menjaga hanya seorang ibu yang sudah tua , lemah,  sakit dan banyak kerenah!   

Berbakti kepada kedua ibubapa itu hukumnya wajib dan menderhakai , menyakiti dan mencela mereka hukumnya haram dan berdosa besar. Tidak ada orang yang mengingkari keutamaan berbakti kepada kedua ibubapa ini selain orang yang tercela disisi Allah!  Nauzubillahimin zaalik! Dalam satu hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr bin Al-Ash yang bermaksud.....
"Termasuk dosa besar adalah sesaorang mencela kedua ibu bapanya." 
Kemudian mereka bertanya,' Wahai Rasulullah bagaimanakah sesaorang mencela kedua ibu-bapanya?  Rasulullah menjawab,'Ya sesaorang mencela bapa orang lain lalu orang itu balik mencela bapanya: sesaorang itu mencela ibu orang lain lalu orang itu mencela balik ibunya."

Dalam satu hadis Riwayat At-Tarmidzi dan Abu  Daud yang bermaksud...
"Ibnu Umar (anak kepada Umar) berkata, ' Aku mempunyai seorang isteri dan aku mencintainya tetapi Umar membencinya. Umar berkata kepadaku, ' Ceraikan dia.' namun aku enggan menceraikan isteriku.  kemudian Umar menziarahi Rasulullah saw dan menceritakan hal itu kepada baginda.  Setelah itu Nabi pun bersabda kepadaku, ' Ceraikanlah dia."

Hadis ini menunjukkan redha kedua ibu bapa lebih utama dariapda redha isteri. Adakah kita mampu berbuat demikian jika ia berlaku pada kita?  Namun perlulah diingat ketaatan kita pada kedua ibubapa kita selagi ia tidak melanggar syarak.....tiada taat kepada mereka dalam maksiat dan dosa dan menyekutukan Allah!

Jadi berilah masa untuk ibu ayah kita, jangan kerana kesibukan kita, kita terlepas pandang hal ini. Sebagai suami janganlah turuti segala kemahuan isteri kita atau   kita dahulukan isteri  melebihi ibu kita....ingatlah kisah seorang sahabat Nabi yang sukar untuk mengucap di saat kematiannya disebabkan ibunya berkecil hati kerana dia mendahulukan isterinya.....  

 Sebagai isteri bantulah suami kita menjadi anak yang soleh, menjaga maslahat ibu bapanya, jangan halangi suami kita, bermasam muka bila suami ingin berbakti kepada mereka.......dalam apa sahaja yang kita buat di dunia ini matlamat akhir kita adalah untuk mencari keredhaan Allah!

Sama-samalah kita berdoa untuk ibu ayah kita dan bersyukur diatas semua kasih sayang dan pengorbanan mereka. Ingatlah ada mereka yang tidak pernah merasai kasih sayang seorang ibu  atau ayah atau kedua-duanya sekali.....begitu mereka mendambakan kasihnya ibu dan kasihnya ayah...namun semuanya telah ditentukan oleh Allah, mereka kehilangannya semasa kecil!  Kita cukup bertuah jika masih lagi mempunyai ibu dan bapa kita! Tidak dapat dibayangkan perasaan hati takala kita kehilangan kasih ibu dan ayah! Sebenar kita manusia ini hanya menghargai sesaorang hanya setelah kita kehilangan mereka.......itulah sifat manusia yang selalu lalai dan lupa ....always take things for granted!!



Jadi bersyukurlah kepada Allah yang menjadikan kita dan bersyukurlah kepada kedua orang tua kita yang banyak bersusah payah kerana kita!!

1 comment:

  1. asm
    Hadith :
    Seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW lalu berkata: Saya datang mengikat janji setia untuk berhijrah, dan saya meninggalkan dua ibu bapa saya dalam keadan menangis" sabda Nabi: Kembalilah kepada keduanya dan gembirakan mereka saperti mana kamu menyebabkan keduanya menangis...Jadi cubalah untuk mengembirakan hati ibubapa kita yang masih ada...
    TH

    wslam

    ReplyDelete

Peringatan....

Jika engkau mahukan teman...
Cukuplah Allah sebagai teman.
Jika engkau mahukan musuh..
Cukuplah nafsu sebagai seteru..
Jika engkau inginkan hiburan..
Cukuplah Al-Quran sebagai hiburan..
Jika kamu inginkan nasihat..
Cukuplah mati sebagai penasihat.

Link within

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Surah Al Isra' : 72

"Barangsiapa yang buta(hati) di dunia ini, maka dia juga akan buta di akhirat kelak dan lebih sesat jalannya."

Kehadiranku di website ini.......

Daisypath - Personal pictureKehadiranku di sini....

visitor's map....