Sunday, January 30, 2011

Ciri-ciri tarbiyah Rasulullah saw.

,Bismillahirrahmanirrahim.......

Rasulullah saw di datangkan oleh Allah SWT kepada manusia membawa peranan yang cukup besar. Beliau merupakan mahaguru dan pendidik ulung dan unggul yang dididik terus oleh Allah SWT dengan wahyuNya yang mulia. Baginda merupakan  semulia-mulia makhluk dan sebaik-baik contoh ikutan  kita dalam semua aspek kehidupan kita.

Sewajarnya seluruh umat Islam mengambil terus didikan atau Tarbiyah ArRasul  dalam hidup ini  supaya kita menjadi umah Islam yang mempunyai keperibadian yang tinggi yang mencapai kejayaan di dunia dan akhirat kita.  Meninggalkan tarbiyyah ArRasul ini bermakna kita meninggalkan satu-satu jalan yang ditunjukkan oleh beliau yang mencapai kepada matlamat ini.   

Ciri-ciri tarbiyyah Rasulullah saw adalah terdiri dari ciri-ciri  Islam itu sendiri. Rasulullah mengajak manusia kepada Deen Allah SWT di mana di antara sifatnya adalah.....
  • bersifat Rabbaniyyah
Rabbaniyyah dari segi manhaj (sistem) dan masdarnya(sumbernya). Ia bukannya rekaan akal semata-mata atau dari perancangan dan desakan kelompok manusia tapi semuanya datang dari Allah SWT. Ia adalah kebenaran dari Allah yang tiada sedikitpun keraguan tentangnya! Firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 1 yang bermaksud............
" Alif Lam Raa. Inilah kitab yang Kami(Allah) turunkan kepadamu (Muhammad) agar kamu mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya dengan izin Allah, kepada jalan Allah yang Maha Perkasa Lagi Maha Terpuji. "

Juga Tarbiyyah ini bersifat rabbaniyyah dari segi haluan dan matlamat di mana matlamat utama tarbiyyah ini ialah melahirkan insan soleh yang ubudiyyahnya hanya pada Allah SWT bukan pada yang lain.! Sebagai hamba Allah SWT kita hanya perlu mengikut segala ketetapan Allah ini dengan penuh kepatuhan diri. Patuh tanpa soal kepada segala arahanNya.

Berbeza dengan matlamat pendidikan rekaan manusia yang nak  lahirkan good citizen of the country ! Apabila sistem pendidikan rekaan itu tidak sesuai dan tidak relevan lagi, ia akan diubah setiap kali ada masalah, setiap kali ada pertukaran menteri.......sehingga para pendidik pening kepala melaksanakannya....setiap kali air bah setiap kali pantai berubah!  Bercelaru dan tidak mampu melahirkan individu yang soleh! Hanya mampu lahirkan individu yang banyak A dalam akademik tapi dari segi sahsiahnya tidak A . Ramai juga yang gagal dan tidak bermanfaat pada diri sendiri apatah pada orang lain!
  • menekankan pada masalah dasar iaitu aqidah Tauhid
Rasulullah mendidik sahabat-sahabatnya di atas asas-asas yang betul iaitu asas Tauhid, taabud (pengabdian) pada Allah dan syariatNya yang kamil (lengkap) dan syamil (menyeluruh).  Penekanan tarbiyyah dimulakan pada asas tauhid iaitu iman pada Allah  oleh Rasululah dalam mendidik dan membina ummah. Mereka adalah sahabat-sahabat yang didatangkan iman dahulu sebelum Al Quran. Apabila iman telah meresap dan mantap dijiwa, segala perintah dan larangan Allah dapat dilaksanakan dengan mudah, tidak perlu disuruh dan dikerah atau dipaksa......jiwa itu sendiri datang menyerah pada Allah untuk dididik dan melaksanakan segala arahan! Apabila jiwa telah kenal siapa pencipta dan illahnya......seluruh penghidupannya dapat di arahkan kesitu!

 Rasulullah tidak memulai tarbiyyah dengan langkah atau cara yang lain, inilah satu satunya jalan yang boleh mengubah jiwa manusia........mengenali siapa pencipta diri dan meletakkan Allah di makam yang betul dihati! Pengenalan yang bukan bersifat literal tapi......dirasai dijiwa akan  kewujudan, kebesaran, kekuasaan dan segala sifat kesempurnaan Allah SWT .....sehingga melahirkan rasa khusyuk dan tawaddhu  dihadapan Allah SWT! Iman sebeginilah yang terdidik dijiwa sahabat-sahabat Rasulullah saw bukannya iman yang ada dalam kebanyakan jiwa umat islam sekarang.....! Iman sebeginilah yang mampu mengatakan  " kami dengar dan kami patuh" diatas segala arahan Allah.
  • Saling lengkap melengkapi, menyeluruh dan seimbang
Sebagaimana Islam itu sifatnya lengkap, menyeluruh dan seimbang, begitu jugalah sifatnya tarbiyyah ArRasul ini. Melalui tarbiyyah ini seluruh potensi  diri manusia dibina secara bersepadu dari segi aqli, rohi, emosi dan jasmaninya yang  tidak terpisah-pisah di antara satu sama lain. Jiwa, akal dan jasadnya terdidik sehingga melahirkan individu yang seimbang dalam semua aspek. Tidak ada percanggahan dan konflik dalam personaliti diri....

 Semua aspek fakulti insan perlu ditarbiyyahkan dengan tarbiyyah Islam yang menyeluruh ini. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 28 yang bermaksud...........
" Hai orang-orang beriman, masuklah kamu kedalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata."

Satu saranan tegas dari Allah kepada orang Islam yang mengaku beriman pada Allah! Perlu dan wajibnya kita menjadikan seluruh diri dan penghidupan kita Islam sepenuhnya. Dan untuk mengambil Islam keseluruhannya perlulah melalui proses tarbiyyah Rasul ini! Tanpa melalui tarbiyah ini sebenarnya kita tidak mampu masuk kedalam Islam keseluruhannya.......terlalu banyaknya halangan dalaman dan luaran diri yang menganggu gugat! Kekuatan dalaman diri  ini yang perlu diproses, dididik dan dipertingkatkan untuk menghadapi cabaran dan halangan tadi. InsyaAllah dengan bantuan Allah, mudah-mudahan kita berjaya dalam misi kita untuk menjadi hamba Allah dan seterusnya menuju visi kita mencari keredaan Allah!  

Disamping itu, kesyumulan Islam dan tarbiyyah Rasul ini adalah sesuai pada semua zaman, semua masa, semua keadaan dan semua tempat. Sesuai juga untuk semua umat manusia tidak kira siapa mereka, rupa bangsa dan warna. Sesuai juga pada semua tahap dan perkembangan hidup manusia. Semua makhluk bernama manusia ini sama saja dari segi ciptaan zahir dan batinnya. Semuanya dijadikan oleh Allah yang Maha Esa! Risalah Rasul ini sebenarnya adalah sebagai rahmat bagi seluruh alam. (Surah al-Anbiya:107). Jadi Islam dan tarbiyyah Islam ini sempurna tiada cacat celanya kerana ianya datang dari Allah Maha Sempurna yang Maha Mengetahui apakah yang terbaik bagi manusia!
  • tarbiyyah Ar-Rasul  bersifat positif dan membangun
Pelaksanaan tarbiyyah Rasulullah saw yang berteraskan aqidah, mempunyai tasawwur yang lengkap, menyeluruh dan seimbang ini sebenarnya memberikan kekuatan yang positif dan membangun dalam realiti hidup manusia. Kekuatan yang dapat mengurus dan memakmurkan bumi Allah dengan cara yang betul mengikut apa yang Allah kehendaki bukan mengikut apa yang manusia kehendaki.  Dengan itu barulah layak manusia itu di sifatkan sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi kepunyaan Allah ini! Bukannya seperti sekarang bumi Allah ini diurus sesuka hati dengan rakusnya kerana merasakan tanah dan negara itu adalah hak mutlak individu atau pemimpin sehingga banyak bencana berlaku akibat tangan manusia itu sendiri......!

Perlu difahami dengan jelas bahawa pelaksanaan dasar tarbiyyah dalam diri iaitu aqidah Islam bukanlah hanya sekadar iman dihati  atau teori iman semata-mata. Ia juga bukan setakat penyucian batin malah lebih dari itu. Ia adalah satu manhaj (sistem) kehidupan yang dituntut oleh Allah SWT yang perlu dibangunkan dalam realiti hidup melalui kerja-kerja amal islami dan jihad yang berterusan!

 Ini bermakna orang-orang Islam yang mendapat tarbiyah iman serta memahami tasawwur aqidah Islamiyyah  tidak akan berdiam diri bahkan iman itu akan diterjemahkan dalam bentuk amal, kerja dan jihad di jalan Allah SWT.   Renungilah firman Allah SWT dalam surah al_Hujurat ayat 15.......
"Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu ialah mereka yang beriman dengan Allah dan RasulNya dan kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta benda dan jiwa pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar." 

Mereka benar-benar memahami apakah matlamat hidup ini dan jalannya serta tugas dan tanggungjawabnya sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi. 

 Inilah dia tarbiyyah ArRasul yang sebenarnya perlu kita mengikutinya dalam hidup kita ini untuk mendapatkan kejayaan sebenarnya disisi Allah  di  dunia dan di  akhirat. Tanpanya kita tidak dapat melaksanakan tuntutan Islam yang menyeluruh. Memang lah suatu yang berat tapi adakah jalan lain, alternatif lain untuk kita mendapat kejayaan dan kebahagiaan hakiki di akhirat? Benarlah kata pepatah......  berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian! Di dunia ini adalah tempat kita bersusah-susah dahulu memproses dan memperbaiki diri, mengawal nafsu dan berjihad dijalan Allah.....untuk mendapat ganjaran terbaik disisi Allah di akhirat nanti.  Segala harta , masa dan tenaga yang dicurahkan, pengorbanan yang dibuat, airmata yang mengalir, darah yang tumpah.......bukanlah sesuatu yang sia-sia jika kita ikhlas kepada Allah!   

Rasulullah telah mendidik sahabat-sahabatnya dengan tarbiyah ini sehingga lahir peribadi-peribadi mulia seperti Saiyyidina Abu Bakr, Umar, Ali, Uthman, Bilal dan banyak lagi.......Lahirnya generasi misali dari didikan ini yang dikenali sebagai Generasi Al-Quran kerana mereka hidup dibawah naungan Al-Quran dan bimbingan Rasulullah saw. Lahirnya mereka sebagai ummah terbaik bukanlah secara kebetulan atau tiba-tiba tanpa proses pembentukan......tapi melalui beberapa tahap pembentukan dan tarbiyyah yang panjang yang terpaksa menempuh berbagai cabaran dan ujian bermula selama 13 tahun di Mekah (tahap Makiyyah) dan 10 tahun lagi di Madinah. 

Begitu juga kita untuk menjadi Muslim sebenarnya bukannya juga secara kebetulan atau tiba-tiba....Apa yang kita usahakan , itulah yang kita dapat! Sekuat mana usaha dan keikhlasan kita, begitulah juga hasil yang kita perolehi. Kita perlu mentarbiah diri kita! Jika kita malas berusaha menjadi Muslim yang sebenarnya, malas nak tarbiah diri, suka duduk diam dirumah sahaja, puas hati dengan kehidupan dunia  kita sekarang, sentiasa mengikuti keinginan hati tanpa soal....., jadi jangan pula malas nak fikir agaknya tempat kita di mana di akhirat nanti?  Kalau tidak difikirkan sekarang......takut-takut bila nyawa dah ada dikerongkong baru kita 'terfikir'?  Pada saat itu segalanya sudah terlambat!! Nauzubillah........

  

Saturday, January 29, 2011

Bersikap adillah.....ia merupakan tuntutan syariat!

Bismillahirrahmanirrahin..........

Adil merupakan tuntutan akal dan syariat, dimana adil adalah tidak berlebih-lebihan, melampaui batas, tidak membazir dan tidak menghambur-hamburkan.  Bagi sesiapa yang inginkan kebahagiaan, ia perlu sentiasa mengawal setiap perasaan dan keinginannya . Tidak semua yang kita diinginkan akan kita perolehi, begitu juga apa yang kita perolehi tidak semestinya mendatangkan kebahagiaan bagi kita, bahkan ia adalah ujian bagi kita!

 Perlunya kita bersikap adil dalam kerelaan dan kemurkaan kita begitu juga adil dalam kegembiraan dan kesedihan kita. Tindakan berlebih-lebihan dan melampaui batas dalam menerima segala peristiwa yang berlaku pada diri merupakan satu kezaliman terhadap diri sendiri.

Manusia yang paling sengsara adalah mereka yang mengharungi hidup ini dengan hanya mengikuti hawa nafsu, menuruti setiap dorongan emosi dan keinginan hati. Dalam keadaan sedemikian, bagi mereka setiap peristiwa akan dirasakan berat dan membebankan, seluruh hidup jadi gelap gelita dan penuh kebencian , dendam kesumat yang bersarang dihati!

Semua itu akan membuatkan sesaorang hidup dalam ilusi belaka, memandang setiap hal di dunia ini musuhnya, cepat curiga, merasakan setiap orang cuba menyingkirkannya dan diri terus dibayangi rasa was-was dan bimbang kebahagiaannya di renggut!

Sebagai orang yang sedar dan berakal, tempatkan segala sesuatu sesuai dengan ukurannya.  Janganlah membesar-besarkan segala peristiwa dan masalah yang ada, cubalah bersikap adil,seimbang dan tidak berlebih-lebihan. Hadapilah segala sesuatu dengan tenang hati, hindari diri dari semua bayangan yang menakutkan yang sering menghantui perasaan sebelum ia benar-benar berlaku! 

Renungilah makna keseimbangan antara kecintaan dan kebencian dari hadith Rasul saw.
" Cintailah orang yang anda cintai sesuai dengan kadarnya sebab mungkin pada suatu hari dia akan jadi musuhmu. Dan bencilah musuhmu sesuai dengan kadarnya sebab mungkin pada suatu hari dia akan jadi orang yang anda cintai."

Sesungguhnya kebanyakan kebimbangan dan desas-desus itu sedikit kebenarannya dan jarang pula benar-benar berlaku!

La Tahzan

Apa yang sudah berlalu, biarkanlah ia pergi............

Bismillahirrahmanirrahim............

Apabila kita mengingat-ingat masa lalu yang penuh luka, duka dan kecewa, dan bersedih hati kerananya, ia adalah satu tindakan yang bodoh dan tidak waras kerana dengan berbuat demikian ia boleh mematikan kehendak, melemahkan semangat dan membinasakan masa depan! Biarkanlah itu berlalu pergi...........

Bagi orang yang waras, fail-fail dan dairi masa lalu  sepatutnya dilipat dan disimpan, bukannya dibuka dan dipersoalkan. Tutuplah ia selama-lamanya, dikurung dalam penjara kelupaan, diikat dan digari dalam kurungan yang kuat agar ia tidak terlepas keluar menghantui perasaan! Semua itu sesuatu yang sudah berlalu dan sudah selesai. Segala kegagalan, kekecewaan dan kedukaan lampau tidak dapat diubah atau diperbaiki, tidak dapat dihadirkan atau dihidupkan semula...................ia adalah sesuatu yang sudah tiada!

Janganlah biarkan diri dihantui dan dibayangi masa lampau yang telah pergi. Lepaskan dirimu darinya......Sesungguhnya meratapi masa lalu dan menangisinya akan membuatkanmu terbakar dengan apinya. Kembali pada masa lalu meletakkan diri kita dalam kemelut dan tragedi yang dahsyat dan menakutkan.

Hidup dengan mengingati masa lalu bererti menyia-yiakan masa sekarang. Sebenarnya kita perlu berusaha menangani masa kini, merancang untuk masa depan untuk dunia lebih-lebih lagi akhirat kita! Sebenarnya banyak perkara yang perlu kita rancang dan laksanakan dari teringat dan sibuk memikirkan  apa sudah luput dari kita di masa lalu. Sesungguhnya tiada apa yang dapat di buat untuk mengembalikan apa yang telah berlalu. Namun untuk mengambil iktibar darinya adalah sesuatu yang perlu supaya kita tidak mengulangi kesilapan masa silam dan berusha memperbaiki diri kita!

Sesungguhnya manusia tidak perlu menoleh dan berpaling kebelakang sebab hembusan angin sentiasa menghala ke hadapan begitu juga air sungai sentiasa mengalir laju kehadapan. Justru itu, janganlah kita cuba menentang arus, aturan hidup dan sunnah alam. Kelak kita akan tenggelam!

La Tahzan  

Sunday, January 23, 2011

Gunakanlah waktu-waktu mulia di malam dan siang hari secara maksima!

Bismillahirrahmanirrahim......

Jika seorang Muslim ingin umurnya di berkati dan meraih prestasi orang terbaik sebelum itu, perlulah ia tidur dalam keadaan berwuduk  lalu bangun dengan lebih cepat subuhnya agar ia mendapat keberkatan malam dan siang, iaitu keampunan, rahmat, keberkatan, semangat tinggi kebahagiaan dan kekuatan. 

Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a. bahawa Nabi saw pernah bersabda yang bermaksud............
"Barangsiapa yang tidur dalam keadaan berwuduk, maka malaikat berada diatas katilnya. Jika ia bangun malaikat berkata,"Ya Allah ampunilah hambaMu  si Fulan  ini, kerana ia tidur dalam keadaan berwuduk."

Diriwayatkan juga dari Muadz bn Jabal r.a. bahawa Nabi pernah bersabda yang bermaksud...
" Jika sesaorang Muslim tidur dalam keadaan berwuduk lalu ia bangun pada malam hari, lantas ia minta kebaikan dalam urusan dunia dan akhirat kepada Allah, maka Allah akan memberinya."

Diriwayatkan dari Aisyah r.a. bahawa Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud....
" Barang siapa yang punya keinginan untuk solat di malam hari kemudian dia tertidur hingga tidak boleh bangun, Maka Allah menuliskan pahala solatnya dan tidurnya adalah sedekah untuknya."   

Itulah kebaikan malam iaitu pahala dan sedekah dari Allah Taala dalam bentuk tidur, sebagai penghormatan atas niat yang jujur dan keinginan yang kuat untuk qiyamullail dan zikir padaNya. 

Diriwayatkan dari Jabir r.a bahawa Nabi saw bersabda....
" Hendaklah kalian qiyamullail sebab qiyamulail itu kebiasaan orang-orang soleh sebelum kalian,  mendekatkan diri kepada Allah, pencegah dari dosa, menghapus dosa-dosa dan mengusir penyakit dari tubuh."

Untuk mendapatkan keberkatan di siang hari juga banyak. Di antaranya dari Anas bin Malik r.a, Nabi saw pernah bersabda.....
" Barangsiapa yang mengerjakan solat subuh secara berjemaah lalu ia duduk berzikir kepada Allah hingga terbit matahari, lantas ia mengerjakan solat dua rakaat, maka ia mendapatkan pahala haji dan umrah. Rasulullah saw bersabda lagi," secara utuh, secara utuh dan secara utuh."

Juga diriwayatkan dari Sahl bin Muadz r.a dari ayahnya r.a bahawa Nabi saw bersabda...
"Barangsiapa yang duduk di tempat solat setelah ia selesai mengerjakan solat Subuh sehingga ia mengerjakan dua rakaat solat dhuha dan dia hanya mengucapkan yang baik-baik, maka dosanya diampuni walaupun lebih banyak dari buih dilaut."

Jadi itulah panduan dari Rasulullah saw untuk kita memulakan hari kita pada setiap hari yang kita lalui dengan berhubung terus dengan Allah di awal-awal pagi lagi, membersihkan hati nurani kita dari dosa kelmarin, berzikir dan mengagungkan kebesaran Allah bila kita mencelikkan mata kita, memohon perlindungan dan bantuan untuk meniti hari yang akan ditempuhi supaya kita sukses menraih kebaikan dunia dan akhirat.  

Mengikuti sunnah Rasul ini, mensucikan kita dari kotoran, membersihkan catatan amal dari dosa dan memperbanyakkan rezeki dariNya. Perginya kita ke tempat kerja dengan rasa bahagia, senang hati, tersenyum riang, bersemangat kerana yakin padaNya dan bersandar padaNya sebab merasakan keredhaan dan rahmatNya menyelimuti kita. Sungguh.... ibadah kepada Allah inilah sumber kebahagiaan, pembawa kesenangan dan mengundang keredhaan Allah.

Dizaman dulu, para ulama salaf mengikuti panduan dari Rasul saw ini tapi kita di zaman sekarang ini sibuk berjaga malam tanpa tujuan yang berfaedah sehingga lambat tidur dan akhirnya terlelap hingga terbit matahari. Dan orang yang tertidur sehingga habis solat subuh sampai datangnya solat dhuha, sebenarnya mengharamkan dirinya dari mendapat keberkatan waktu tersebut. Hari itu yang akan dilalui tidak akan sama rasanya berbanding dengan hari yang dimulai dengan solat dan zikir padaNya. Dia akan mudah stress, cepat marah kurang keberkatan yang diraih dari awal pagi lagi.

Jadi sama-sama lah kita berusaha untuk memulai pagi hari kita dengan solat qiyam, zikir kita padaNya! Sama-sama kita mohon kekuatan dari Allah untuk ini.

Friday, January 21, 2011

Rawatilah penyakit futur (lemah atau merosot iman)!

subhanallah
Bismillahirrahmanirrahim..............

Didalam perjalanan kehidupan ini, sebagai seorang manusia memang kita tidak dapat lari dari kelemahan diri dalam melaksanakan  tanggungjawab yang diamanahkan. Kita ditimpa oleh penyakit yang dinamakan  penyakit futur di mana keimanan dan keislaman menjadi malap, lantas menyebabkan kita lemah dan longlai tidak mampu melaksanakan tanggungjawab deen kita. Penyakit ini perlu dirawat segera supaya kesan futur ini tidak menular dan menjejaskan diri kita, keluarga kita dan organisasi Islam yang kita anggotai. Diantara penyakit-penyakit futur yang menimpa diri individu dan umat Islam adalah.............
  • malas dan suka menangguh-nangguhkan ibadah
  • fenomena kematian pada insan tidak memberi kesan pada hati dan perasaan, seolah-olah mati  itu perkara biasa sahaja yang merupakan lumrah kehidupan, tidak rasa insaf dan perlu ambil iktibar dari kematian yang akan menimpa diri di suatu masa kelak!
  • melakukan maksiat sama ada dosa besar atau kecil sehingga ia  jadi kebiasaan, dan tidak merasa bersalah melakukan dosa malah  berasa gembira dengan maksiat yang dilakukan...!.
  • suka melihat dan menyaksikan maksiat walaupun tidak melakukannya, merasakan berbuat dosa itu adalah kecil dan remeh dan  boleh bertaubat kemudian..........
  • ukhwwah sesama Muslim longgar, tidak ada rasa keterikatan hati yang erat sesama Muslim, tidak peduli dan ambil berat antara satu sama lain, pentingkan diri sendiri......... 
  • Ghairah dan sibuk dengan dunia sehingga banyak masa tertumpu melakukan kerja-kerja duniawi.....masa untuk ukhrawi sangat sedikit. Terlalu mengejar dunia sehingga akhirat dikesampingkan, kurang peduli dan tidak dijadikan satu prioriti dalam hidup.
  • Bangga dengan kemajuan duniawi, kejayaan duniawi adalah matlamat utamanya, rasa lemah atau rendah diri jika kehidupan duniawinya mundur, tidak setaraf dengan orang lain.
  • Lemah dan tidak bersedia untuk taat dalam melaksanakan Islam, memberi banyak alasan untuk melakukannya atau menangguhkannya.
  • Suka menangguh-nangguhkan kerja terutama kerja kerja iman dan Islam, dakwah dan tarbiah.
Banyak sebab kenapa berlakunya futur ini , kita semaklah diri kita , perbaikinya dan tingkatkan diri melaui proses tarbiah yang berterusan, jangan kita tinggalkan tarbiah ini walaupun di tahap mana kita berada. Apabila kita meninggalkan tarbiah, sebenarnya kita menempah tiket untuk menjadi futur. Tarbiah diri penting untuk menjaga iman dan Islam kita agar sentiasa segar dan istiqamah sama ada kita bersendirian , bersama keluarga atau masyarakat. Untuk renungan bersama berikut adalah sebab-sebab utama berlakunya penyakit futur ini ..........
  • Lemah dalam iman dan tarbiyyah. 
Iman dalam hati adalah iman yang mandul, statik  tidak bergerak, lantas menyebabkan ia tidak bersungguh-sungguh dalam memproses diri, meningkatkan iman dan amal, membuang rawasib jahiliyyah. Disamping itu  kurangnya penyerahan jiwa pada tarbiah dan masih ada kepentingan lain dalam jiwa selain Allah. Kefahaman dan kesedaran  jiwa untuk kembali pada Islam yang syumul  masih belum mantap dan  masih rasa seronok dengan sifat jahiliyyah lama yang sudah menjadi tabiat yang sukar di proses. 
  • Tidak ikhlas dalam bekerja.
Ada niat-niat lain yang tersembunyi dijiwa yang perlu diperbetulkan. Nak ikhlas sepenuhnya bukanlah mudah lebih-lebih lagi sekarang, banyak pengaruh dan suasana-suasana yang menganggu gugat keikhlasan kita. Namun jika keikhlasan kita terganggu, kita perlu teruskan juga kerja kita tapi dalam masa yang sama islahkan atau perbetulkan niat dalam diri supaya ikhlas. Keikhlasan merupakan syarat utama Amal kita Allah terima......jika tidak amal kita tertolak dan jadilah ia bagai debu-debu yang berterbangan!
  • Lemah dan kurangnya dalam ilmu syara yang merupakan ilmu dari masdar (penggerak) yang betul serta penghayatannya.....
  • Bersahabat dengan orang yang berhimah rendah, kurang berilmu, kurang komitmen dalam amal islami yang mempengaruhi diri untuk berjihad.....
  • Menyelesaikan sesuatu masalah bukan secara menyeluruh, tapi secara juzie (serpihan), samping-sampingan sahaja sehingga masalah asas tidak dapat dirongkai. Keadaan ini boleh menimbulkan lagi masalah-masalah lain yang akhirnya melemahkan diri..... 
  • Matlamat yang hendak dituju serta wasilah (cara) untuk mencapainya tidak jelas. Tiada wawasan sebenar yang menyeluruh. Kerja yang dibuat tidak fokus, banyak masa dan tenaga hilang sehingga menyebabkan futur..
  • Melakukan sesuatu kerja tidak berdasarkan wakie atau realiti yang ada. Terlalu ikut teori tidak berdasarkan kesesuaian untuk  praktikalnya.  Juga apa yang dibuat tidak mengambil contoh dari Rasulullah saw dan buat sesuatu kerja berasaskan fikiran sendiri semata-mata.....!!
  • Tidak memahami kerja yang sepatutnya dilakukan dan juga halangan-halangan yang akan menimpanya. Apabila halangan dan cabaran datang, kurang persediaan zahir dan batin untuk menghadapinya lantas mengakibatkan futur.
  • Mementingkan diri sendiri dalam melakukan sesuatu kerja, kurang muafakat dan kerjasama serta tidak ambil kira kepentingan jamaah atau masyarakat Muslim .....kurang keberkatan Allah dalam kerja sebegini! 
  • Jumud (rigid) atau beku dalam tahap-tahap bekerja. Tidak fleksibel dan kreatif dalam pelaksanaan kerja untuk menarik minat. Jadi dipertengahan jalan mula tergugah dalam meneruskan kerja yang dilakukan.
  • Tidak tahu dan pandai cara berhadapan dengan cabaran yang mendatang.....boleh melemah dan melunturkan semangat.
  • Tidak tahu dan pandai menyelaraskan antara kemampuan dan kerja yang dibuat......Kemampuan diri mungkin sedikit berbanding kerja yang ada yang banyak dan komplikated....jadi akhirnya kecundang dipertengahan jalan....!  
  • Tidak pandai menyesuaikan diri dengan suasana dan tabiat yang berlainan.....akhirnya ketinggalan dibelakang.
  • Tidak  memahami sunnah Allah yang berlaku pada ummah dan individu . Perlu ada persediaan diri untuk berhadapan dengan sunnah Allah ini.
  • Lemah dalam mengubati penyakit futur yang menimpa.....kurang kesungguhan diri.
  • Hati berpenyakit yang banyak sifat-sifat mazmumah yang mesti dirawat segera..... hati umpama raja yang mengawal tindakan....jadi bila hati baik dan sihat ini merupakan satu kekuatan yang mendorong melakukan amalan! Bila hati sakit.....segalanya tidak bermaya, semangat diri hilang, lesu dan tidak bermaya!
Jika kita teliti, sebenarnya umat Islam lemah kini, kerana banyaknya penyakit futur yang menimpa diri sehinggakan  dalam era globalisasi ini, umat Islam terkebelakang dalam banyak hal,  dalam dunia dan akhirat kita! Kemajuan dan ekonomi dunia di pegang oleh bukan Islam walaupun banyak negara Islam pengeluar minyak utama dunia. Semua ini berlaku akibat umat Islam yang lemah,  tidak mengambil deen Islam sebagai satu cara hidup yang menyeluruh! Semangat berkerja kerana Allah kurang, disiplin diri rendah lantas kita jadi tidak produktif dunia dan akhirat kita......kita hanya jadi Muslim biasa saja yang mengikut arus bukannya melawan arus dan menghasilkan perubahan! Kejayaan hanya Allah janjikan kepada mereka yang bersegera dan bersungguh dalam deen Allah! Adakah kita sedemikian?

Perlulah kita merawat futur yang menghinggapi diri dengan segera....supaya kita tidak jadi seperti hidangan yang direbut-rebut dan diratah-ratah oleh musuh-musuh Islam.....mereka ini tidak akan berhenti menyerang umat Islam dari semua aspek kehidupan kita sehingga kita mengikuti mereka dan meninggalkan deen Islam yang mulia! Inilah perancangan jahat mereka supaya umat Islam mudah dikuasai  dan dijajah! Kita perlu sedari ini, umat Islam tidak akan kuat jika kita ambil nilai barat, cara hidup barat....... Kekuatan kita hanya bila kita bersama Allah! Inilah yang perlu kita yakini! 

Sunday, January 16, 2011

Hendaklah kita sentiasa bersama Allah!


Untuk renungan jiwa di kala lupa dan bersendirian......
Menghubungkan hati dan perasaan ini....
Mengisi detik-detik masa yang berlalu....
Dengan tafakkur kepadaNya! 
  • Sentiasalah kita bersama Allah, kita tidak akan rugi sedikit pun apabila Allah selalu bersama kita.............
  • Sentiasalah kita bersama Allah, maka kelapangan dan ketenangan akan mendatangimu disegenap penjuru.
  • Sentiasalah kita bersama Allah, kerana orang yang selalu bersama Allah tidak pernah akan kecewa.......sebenarnya manusialah yang selalu mengecewakan kita!
  • Orang-orang soleh berkata," Ya Allah ! Apakah yang dirasakan oleh orang-orang yang kehilanganMu? Apakah yang dirasakan oleh orang yang menjumpaiMu? Sesiapa yang kehilangan Engkau, Ya Allah, maka sesungguhnya dia telah kehilangan segala-galanya, dan sesiapa yang menemukan Engkau, maka dia telah menemukan segala-galannya!
  • Apabila orang lain merasa cukup dan bergembira dengan dunia, maka kamu hendaklah merasa cukup dan gembira dengan  keredhaan Allah.....
  • Apabila orang lain mengejar pangkat dan harta dunia , maka hendaklah kamu mengejar takwa dan harta akhirat.....
  • Apabila orang lain merasa terhibur bersama kekasihnya, maka hiburkanlah dirimu bersama Allah......
  • Apabila orang lain menzalimi dan menganiaya dirimu, maka ingatlah Allah tidak pernah menzalimimu, maka hadapkan seluruh jiwa dan ragamu padaNya......
  • Apabila orang lain memperkenalkan dirinya kepada pembesar dan raja-raja dan mendekati mereka untuk kemuliaan dan kehormatan, maka perkenalkan dirimu kepada Allah dan cintailah Dia. Dengan demikian kamu akan memperolehi kemuliaan dan kehormatan yang sebenar!
 Ingatlah pada Allah selalu...
 Kerana fitrah hati merasa sungguh senang denganNya. 
 Tapi  bila hati ingat pada yang lain.......
Fitrahnya  ia akan  resah dan gelisah selalu....
         Fikiran selalu tidak menentu.
 Maka carilah Allah......
TempatkanNya dihatimu.....
Nescaya engkau akan menemukan kebahagiaan di situ!   

Saturday, January 15, 2011

Mengapakah manusia diciptakan dan apakah tanggungjawab kita?



Bismillahirrahmaanirrahim.......

Sebenarnya kita sebagai seorang manusia yang diciptakan oleh Allah SWT ini ,perlu menyoal diri kita dengan tiga persoalan asas yang penting yang berkaitan dengan seluruh kehidupan kita. Persoalan yang perlu dijawab dengan tepat kerana inilah yang menentukan matlamat dan halatuju kita di dunia ini. . Sejenak perlu kita fikirkan dalam-dalam supaya kita menginsafi diri kita ini, membetulkan matlamat hidup  dan meluruskan langkah kita dalam perjalanan hidup yang singkat dan fana ini!

Untuk menjawab persoalan tersebut, semestinya lah kita merujuk kepada sumber yang tepat dan soheh iaitu Al-Quran untuk mendapatkan jawapan yang  betul, bukannya ikut kata hati kita dan akal kita yang dangkal yang sebenarnya tidak mampu memberikan jawapannya. Persoalan pertama adalah dari mana kita ini didatangkan? Adakah kita ini datangnya dengan secara kebetulan, terjadi dengan sendirinya, dari keturunan primate sebagaimana  yang dikatakan oleh Teori Darwin? 

Bukanlah begitu! Sebenarnya kita ini adalah manusia yang merupakan makhluk ciptaan Allah dari keturunan Nabi Adam dan isterinya Hawa yang datangnya dari Allah membawa taklif sebagai khalifah Allah di muka bumi ini! Asalnya kita dijadikan dari tanah dan kemudian dari air mani yang hina yang bercampur dari benih lelaki dan perempuan (Surah Al- Hajj:5). Kita dihidupkan dan dimatikan sesuai dengan ketetapan Allah, masing-masing segala rezeki dan ajal telah ditetapkan!

Menjawab pula persoalan yang kedua, mengapakah kita di datangkan dari tiada ke ada ke alam dunia ini?  Penegasan Allah dalan Surah Azzariyat ayat 56 yang bermaksud.....
" Dan tidak Ku jadikan jin dan manusia itu melainkan untuk berubudiyyah kepadaKu."
Itulah satu-satunya tujuan kita diciptakan. Datangnya kita dari Allah hanyalah untuk kita hidup di dunia ini menjadi hamba kepada Allah sahaja. Meluruskan kehidupan kita ini supaya setiap apa yang kita buat bukanlah untuk memenuhi keperluan hawa nafsu diri semata-mata tapi segalanya mestilah kerana Allah SWT dan mengikut apa yang sudah Allah tetapkan. Allah menjadikan kita bukan untuk main-main! 

Kita ini perlu sedar siapa kita dan meletakkan diri kita  betul-betul-betul sebagai  hamba yang dimiliki oleh Tuannya. Kesedaran ini menjadikan seorang hamba sentiasa patuh pada Tuannya, tidak pernah ingkar sama sekali akan segala arahan Tuannya. Dia takut akan pembalasan yang akan diterimanya jika dia ingkar. Namun bila hati tidak ada kesedaran inilah yang menjadikan dia lupa asal usul kejadiannnya, lupa siapa dirinya,  lupa siapa Tuhannya , lupa tanggungjawabnya, lantas berbuatlah dia menurut apa yang disukainya mengikut hawa nafsunya yang tidak terkendali. Maka jadilah dia menjadi hamba pada syaitan dan hamba pada hawa nafsunya bukan hamba Allah! Terselewenglah hidupnya di dunia ini.......

Persoalan ketiga pula kemanakah kesudahan kita selepas ini setelah kita hidup di dunia ini? Semua kita akan mati dan apakah yang terjadi selepas itu?  Sama-samalah kita renungilah ayat Al- Quran ini.....
"Sesungguhnya kepada Rabb(Allah)lah kesudahan kamu(tempat kembali)Dialah yang membuatkan kamu tertawa daan menangis. Dialah yang mematikan kamu dan menghidupkan kamu kembali."
(Surah An-Najm:42-44)
" Sesungguhnya dari  Allah kami datang dan kepada Allahlah kami dikembalikan." 
(Surah Al-Baqarah:156)

Begitulah Allah yang menciptakan kita bukan sia-sia, bukan untuk main-main dan bersukaria sahaja  bahkan tujuan penciptaan kita manusia ini jauh lebih hebat dan bermakna. Kita mempunyai misi dan visi yang sudah Allah tetapkan. Kita perlu terikat dengan misi dan visi ini sepanjang hayat kita. 

 Di tempat kerja kita, misi dan visi yang jelas terpampang sebagai  arah tuju suatu organisasi dan setiap pekerja bekerja dalam  rangka untuk merealisasikan visi dan misi ini. Semua perancangan yang di buat berdasarkan misi dan visi ini.  Setiap tahun kita membuat post mortem adakah kita telah mencapai target kita, semak semula apa yang telah dibuat, dan merangka semula plan strategik jika gagal mencapainya. Kita bertungkus lumus, bersengkang mata, tumpukan seluruh tenaga untuk ini......Terfikirkah kita,  beginilah sepatutnya kita buat untuk akhirat kita! Manusia selalunya sibuk merancang untuk hidup yang sementara ini tapi terlupa merancang untuk hidup di akhirat yang kekal abadi! Alangkah ruginya kita nanti!

Dalam hidup ini,  misi kita menjadi hamba Allah, visi kita mencari keredhaaan Allah..... Dari awal pagi lagi sebenarnya hidup kita sebagai hamba Allah ini sudah pun terancang.....Allah sudah ada perancangan yang terbaik untuk kita. Kita manusia ini hanya perlu ikut apa yang Allah dah rancang untuk kita. Tak perlu bersusah payah memerah otak untuk kemukakan satu perancangan lain. Apa yang perlu hanyalah komitmen kita dalam merealisasikan perancangan Allah ini, dan sentiasa muhasabah, semak semula setiap hari sejauhmana kita terikat dengannya. Perbetulkan dan istighfar  selalu jika  terseleweng dari landasan yang telah Allah tetapkan........Begitulah hidup ini sebagai hamba pada Allah yang memiliki dan menjadikan kita, yang Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.....Allah juga Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang kepada kita.

Jadi tugas kita sekarang......fikirlah dalam-dalam.....bayangkan kemanakah kesudahan kita nanti, sanggupkah kita menghadapi hari di mana pada hari itu tiada pertolongan selain hanya pertolongan dari Allah sahaja? Namun perlu kita ingat pertolongan Allah ini hanya khusus untuk golongan tertentu sahaja. Sudahkah kita berusaha didunia ini untuk tergolong dalam golongan yang akan mendapat pertolongan Allah di akhirat nanti? Jika belum.....ayuh bingkaslah bangun, bersegeralah menuju pada Allah, masa tidak menunggu kita....setapak kita menuju Allah, insyaAllah akan  buka ruang yang lebih luas lagi untuk kita kembali padaNya.......Apa yang penting adalah keikhlasan diri untuk membersihkan diri kita untuk kembali padaNya......Rahmat Allah begitu luas sebenarnya, jikalaulah kita menyedarinya!

Thursday, January 13, 2011

Penting dan wajibnya kita mengajak kepada yang maaruf dan mencegah mungkar!


iman
Bismillaahirrahmaanirrahiim....

Mengajak orang ramai kepada yang maaruf dan mencegah kepada yang mungkar merupakan satu kewajiban sekarang bagi setiap yang mengaku Muslim. Ini sebenarnya merupakan satu tugas dan tanggungjawab kenabian yang di tuntut untuk kita melaksanakannya supaya masyarakat memahami Islam yang sebenarnya dan membawa mereka kearah kesejahteraan hidup yang abadi. Satu tugas yang perlu dipikul bersama dan bukan diletakkan di atas bahu golongan tertentu sahaja! Sedangkan kita hanya mampu berdiam diri dan berpeluk tubuh, menjadi pemerhati sahaja terhadap apa yang berlaku di depan mata kita, seolah-olah itu bukan tanggung jawab kita! Satu kefahaman yang perlu diperbetulkan. Setiap diri Muslim akan di pertanggungjawabkan.....!!  Ingatlah pesan Rasul yang mengatakan sampaikan darinya walaupun satu ayat!

Sama-samalah kita renungi pesan Luqman Al-Hakim kepada anaknya di dalam surah Luqman:17 tentang tanggungjawab ini...............
   " Hai anakku, dirikan solat, suruhlah yang maaruf dan cegahlah mungkar dan sabarlah terhadap apa yang menimpamu. Sesungguhnya hal yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah)."

Luqman Hakim adalah seorang yang soleh lagi bertakwa pada Allah, beliau bukanlah seorang Nabi atau Rasul....... namun Al-Quran memetik pesanannya kepada anaknya untuk kita ikuti dan contohi..... 
Begitu juga firman Allah lagi yang menerangkan tentang ciri-ciri umat Islam dalam surah Ali-Imran :27 yang bermaksud.....
     " Kamu adalah sebaik-baik umat yang ditampilkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada yang maaruf dan mencegah kepada yang mungkar dan kamu beriman kepada Allah."

Keimanan yang ada di jiwa bukanlah iman yang statik yang hanya tinggal di jiwa tapi ia mendesak pemiliknya melakukan dakwah mengajak kepada kebaikan dan melarang kebaikan. Belum mantaplah    lagi iman kita jika kita tidak mampu mangucapkan perkara kebaikan dan melarang kemungkaran walau sepatah perkataan pun! Selemah-lemah iman adalah bila kita benci pada kemungkaran dan menolaknya di hati jika kita tidak mampu mengubahnya dengan lisan dan tangan (kekuasaan) kita! Tiada iman selepas itu apabila kita berkompromi dengan kemungkaran dan tidak menolaknya dengan hati kita. Hati yang ada iman di dalamnya akan merasa benci, jijik dan pedih jiwanya melihat manusia berbuat mungkar. 

Inilah yang disabdakan oleh Rasulullah saw dalam hadithnya Riwayat Muslim....
   "Barangsiapa di antara kamu melihat satu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah ia mengubah dengan lidahnya. Sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah dia mengubah dengan hatinya. Yang sedemikian itu adalah selemah-lemah iman."

Justru itu, mengajak kepada maaruf dan mencegah kemungkaran ini,  tidak boleh kita pandang sepi dan ringan, kerana kelak kecelakaan akan menimpa pada seluruh umat manusia jika kemungkaran ini dibiarkan terus merebak. Apabila kemungkaran dibiarkan bermaharajalela tanpa sebarang usaha untuk membendungnya, tunggulah bala Allah yang akan menimpa seluruh umat!

Realitinya hari ini di negara kita......berleluasanya seks bebas  dikalangan remaja, orang dewasa dan orang tua, jenayah rogol, sumbang mahram.........yang mengakibatkan pembuangan bayi tidak berdosa, rasuah, rompak , mencuri, minum arak, berjudi........dan banyak lagi! Aduhai, teruknya masyarakat Islam  sekarang kini sudah ketandusan iman yang mampu mencegah diri dari kemungkaran! Betapa kita  akan dipersoalkan oleh Allah nanti akan peranan kita untuk mencegahnya!

Sebenarnya banyaknya kerja yang perlu kita lakukan; tugas kita sebenarnya lebih banyak dari masa yang ada jika kita menyedarinya! Kita sebagai seorang Muslim akan mendapat dosa jika membiarkan kemungkaran berlaku didepan mata tanpa sebarang tindakan dan percubaan untuk mencegahnya.  Kecualilah jika kita tidak mampu atau dibimbangi akan membawa kemudharatan kepada diri kita bila kita cuba mencegah kemungkaran itu!

Inilah tugas umat Islam yang terdiri dari individu-individu Muslim yang wajib memainkan peranan masing-masing untuk menyebar luaskan Islam kedalam masyarakat manusia hari ini sama ada kepada masyarakat Muslim atau bukan Muslim. Usaha-usaha dakwah ini perlu dijalankan dengan apa cara sekalipun, kita fikirkanlah sendiri bagaimanakah caranya kita boleh menyampaikan mesej Islam ini. Gunakanlah kreativiti kita, sumbangkan masa , tenaga dan wang ringgit kita untuk menolong agama Allah. Barangsiapa yang menolong agama Allah, nescaya Allah akan menolongnya di dunia dan akhirat. Dan sebenarnya pertolongan dari Allahlah yang sangat-sangat kita perlukan didunia ini lebih lebih lagi diakhirat. 

 Jadi tingkatkanlah kesedaran dan kefahaman Islam kita untuk kita menyambut seruan illahi ini. Sebenarnya tiada seruan sepenting seruan illahi! Islam yang diturunkan oleh Allah ini adalah rahmat bagi seluruh alam, jadi sebar luaskan Islam kepada seluruh umat manusia, apa yang Allah nilai bukanlah natijahnya, tapi apakah usaha kita, sumbangan kita memadamkan kebakaran yang menimpa umat ini. Hidayah dan natijah itu  di tangan Allah.......kita hanya disuruh menyeru manusia dan berdakwah kepada mereka! 

Wednesday, January 12, 2011

Didik anak elak kehancuran umat

myMetro | Minda: Didik anak elak kehancuran umat
 Satu artikel yang bagus untuk perkongsian bersama........

Tiada siapa yang dapat menafikan bahawa anak adalah rezeki dan kurniaan Allah yang tidak ternilai. Kehadiran zuriat membawa kebahagiaan yang sukar ditafsirkan. Bagaimanapun, dalam kegembiraan menyambut kelahiran zuriat ini, ibu bapa perlu menyedari zuriat mereka ini dianugerahkan seiring dengan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah.


Dalam al-Quran, Allah memperingatkan bahawa anak menjadi ujian bagi manusia selain pangkat dan harta. "Sesungguhnya harta kamu dan anak-anak kamu adalah fitnah (ujian/cubaan bagi kamu). Dan sesungguhnya Allah di sisi-Nya ada ganjaran yang besar.” (Al-Anfal: 28)

Anak-anak menjadi ujian kepada ibu bapa kerana tanggungjawab ibu bapa bukan semata-mata memberi makan dan membesarkan bahkan dididik untuk mengenal Allah. Ibu bapa diberikan amanah untuk mendidik anak-anak mereka supaya terbentuknya generasi muda yang soleh dan solehah yang mampu bertahan menghadapi gelombang syahwat di tengah masyarakat moden dan global kini.

Tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak menjadi satu keutamaan sehingga ibu bapa akan ditanya di akhirat kelak mengenai apa yang mereka lakukan terhadap anak-anak iaitu amanah yang diberikan kepada mereka. Kepada pasangan suami isteri, kelahiran anak bermakna terbentuklah suatu keluarga. Melalui keluarga, ibu bapa menjadi tunggak untuk memelihara, memandu dan mengarah mereka ke arah kesejahteraan.

Keperluan memelihara dan mewujudkan ketenteraman serta kesejahteraan dalam keluarga adalah signifikan kerana dalam sebuah masyarakat, keluarga merupakan benteng pertahanan paling awal. Bermula daripada keluarga terbentuk generasi demi generasi yang akan membentuk dan mewarisi masa depan suatu bangsa. Sama ada baik atau buruk, kukuh atau rapuh, mulia atau hina sesuatu masyarakat itu ditentukan oleh unit-unit keluarga yang membentuknya. Tidak berlebihan kalau dikatakan bahawa keluarga adalah gambaran awal dalam menilai kualiti sesuatu bangsa.

Ketika meningkat dewasa, bimbingan, panduan dan sokongan keluarga menjadi sangat penting kepada remaja kerana dalam masa pertumbuhan ini, remaja mengalami perubahan besar yang sangat pantas dari sisi fizikal, pemikiran dan akal. Dalam waktu ini, remaja mula mengambil risiko dan menguji had dan batasan. 


Pada peringkat ini mereka mula bergerak dari dunia yang berpusatkan kepada keluarga kepada sebuah komuniti.Perubahan yang dialami remaja ini dan dalam mereka mula mencari identiti sendiri inilah terletaknya peranan ibu bapa. Ibu bapa perlu mengawasi dan mengendalikan diri remaja agar keghairahan jiwa muda mereka tetap berjalan mengikut syariat.

Ibu bapa perlu mengikut perintah Allah dan menjalankan amanah seperti yang dituntut oleh Allah.    “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat yang kasar keras, yang tidak menderhakai (perintah) Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (At-Tahrim: 6) 


Hakikatnya, ibu bapalah yang menentukan keimanan anak-anak kerana pada asalnya setiap anak berada dalam fitrah Islam dan iman sehinggalah mereka didatangi oleh pengaruh luar termasuk bimbingan dan didikan ibu bapa mereka. Tiada seorang pun yang dilahirkan kecuali dilahirkan pada fitrah (Islamnya). Kedua-dua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi (Bukhari dan Muslim).

Umum mengetahui masyarakat hari ini lebih cenderung dengan tingkah laku yang bersifat materialistik. Ibu bapa hari ini mencari harta dan mengejar kekayaan sehingga mengabaikan pengawasan terhadap anak-anak.

Dalam satu kajian oleh sarjana Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) mengenai Masalah Sosial dan Hubungannya dengan Institusi Keluarga di Penempatan Felda: Perspektif Tempatan, (2010), kalangan remaja menuding jari kepada ibu bapa dan berpendapat ibu bapalah yang menjadi punca utama penurunan nilai moral mereka. Ibu bapa dikatakan terlalu mementingkan material sehingga anak-anak tidak diberikan atau mendapat pendidikan agama yang minimum.

Kajian juga mendapati ibu bapa di Felda tidak terlalu mengambil berat mengenai salah laku anak-anak mereka.Kenyataan itu tidak boleh dipandang ringan oleh setiap ibu bapa di negara ini. Sudah sampai masanya ibu bapa memikirkan sama ada orientasi kehidupan yang diamalkan mereka selama ini terjalin pada landasan betul atau hanya menjurus kepada kekeliruan sehingga menyebabkan kepincangan sosial apabila anak-anak meningkat remaja. Kita kadang kala keliru melihat cara dan konsep yang diamalkan oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak.

Contoh paling ketara ialah apabila ibu bapa tidak lagi mengajak anak-anak beriadah di taman permainan atau di tepi pantai tetapi lebih terdorong untuk mengajak anak-anak beriadah di kompleks membeli-belah. Amalan ini secara tidak langsung menggambarkan ibu bapa mengajar anak-anak mereka waktu senggang dan kebahagiaan bersama keluarga perlu dipenuhi dan dilingkungi oleh wang ringgit serta kebendaan. 


Ibu bapa membenarkan anak-anak merokok, bergaul bebas dan berseronok di kelab semata-mata untuk menunjukkan betapa mereka memahami diri anak mereka dan begitu ‘sporting’ terhadap mereka. Natijahnya, ibu bapa perlu menyedari bahawa tujuan Allah menciptakan manusia ialah hanya untuk beribadah kepada-Nya.

Dalam hal ini, ibu bapa perlu disedarkan masa depan anak-anak bukan hanya berorientasikan kejayaan dunia semata-mata bahkan juga kejayaan akhirat. Perlu disedari peranan dan tanggungjawab ibu bapa sangat mustahak dalam mencorakkan peribadi anak-anak dan membendung sebarang permasalahan sosial di kalangan mereka ketika remaja. 


Ibu bapa perlu menginsafi bahawa keruntuhan akhlak di kalangan remaja bukan remeh tetapi sebenarnya membawa akibat sangat besar terhadap bangsa. Kekeliruan dan salah didikan ibu bapa terhadap anak-anak ini bukan hanya menyebabkan mereka terjebak dalam kancah maksiat, tetapi hakikatnya boleh membawa kepada kehancuran bangsa. Hancurnya sesuatu bangsa kerana dosa dan kejelekan ini telah dibuktikan oleh Allah melalui kisah Nabi Luth.

Dalam kisah ini, Allah memperlihatkan bahawa kesudahan bagi orang-orang yang melakukan maksiat hanyalah kebinasaan dan kehinaan yang abadi. 
   “Dan kami turunkan kepada mereka hujan (batu) maka lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berdosa itu.” (Al-Araf 84).
Sebagai ibu bapa yang mementingkan kebahagiaan dan kejayaan anak-anak, tidak mungkin kita sanggup mencampakkan anak-anak kita ke lembah kehinaan dan kebinasaan.

Penulis ialah pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Melaka.

Islam bukan warisan!

Bismillahirrahmanirrahim....

Ramai di antara umat islam sekarang berpuas hati mengakui menganut Islam. Malah ada yang marah  jika  dipersenda-sendakan dari segi agamanya. Namun adakah cukup setakat pengakuan dan nama sebagai seorang Muslim, ibubapa Muslim keturunan Muslim? Ada juga yang Muslim tapi perangai dan tingkahlaku lebih teruk dari non-Muslim. Nama Islam pun dah ditukar dari nama Khadijah menjadi Kathy, Salim dieja Saleem, Mariam jadi Mary dan sebagainya.........

Macam-macam ragam dan gaya umat Islam sekarang! Lebih menyedihkan identiti Islam pada diri sudah mula terhakis dan meniru-niru gaya ala Barat dalam kehidupannya....merokok, minum arak, pergaulan bebas, clubbing dan macam-macam lagi, tak kira lelaki perempuan sekarang ini sama sahaja.......Apa dah jadi dengan umat Islam sekarang ni? Lebih-lebih lagi remaja yang sedang meningkat naik.....mereka tiada hala tuju dalam hidup! Ibubapa ni sudah ke menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam mendidik anak-anak mereka atau mereka terbiar terus dalam arus kehidupan dunia yang mencabar, banyak pengaruh negatif ini? Waspadalah, kita akan dipersoalkan tentang ini!

Islam ini bukanlah warisan yang diturunkan dari ibubapa kepada anak seperti kita wariskan harta pusaka pada mereka. Al-Quran juga bukanlah semata-mata warisan dari Rasulullah saw. Bukan sekadar cukup memberikan nama Islam pada anak, menghantarnya ke sekolah belajar ilmu akademik dan agama......dan mereka dapat keputusan baik dalam pelajaran ,jadi dengan itu  ibu bapa berpuashati dengan prestasi anak!  Apa yang kita lihat adalah luaran sahaja......pendidikan roh anak-anak ada ke kita laksanakan? Sejauhmana kita telah mendidik  anak untuk memahami tentang deen Islam ini atau kita hanya bergantung pada guru agama disekolah saja untuk memberikan kefahaman Islam pada anak kita? Apa yang kita usahakan itulah yang kita dapat, insyaAllah! Jadi, janganlah salahkan orang lain bila anak kita bermasalah bila mereka sudah meningkat remaja, sebenarnya kita ada saham dalam pembentukan diri dan akhlak anak-anak!

Walaupun kita menghantar anak-anak kita ke sekolah agama pun sebenarnya, itu tidak menjamin anak-anak ini akan terikat dengan Islam. Apa yang mereka dapati hanyalah ilmu-ilmu Islam yang mengisi ruang-ruang pemikiran, belum tentu rohani mereka terikat dengan Islam! Islam sebenarnya bukanlah setakat mengisi pemikiran sahaja, tapi apa yang difahami perlu dipraktikan dan teruji dalam medan yang sebenarnya! Kefahaman yang sebenarnya hanya didapati setelah melalui proses tarbiah yang mana disinilah akan membuktikan apa yang benar-benar di fahami di jiwa!

Banyak berita yang kita dengar sejak kebelakangan ini kes buli membuli di sekolah agama berasrama penuh sehingga ada yang menyebabkan kematian. Pelajar yang mempelajari agama Islam sanggup melakukan perbuatan sedemikian. Apa yang dipelajari tidak meresap dijiwa, tarbiah diri tidak berjalan dan syahsiah Islam tidak terbentuk.  Mana mungkin bilangan ustaz dan ustazah yang sedikit mampu mentarbiah anak-anak yang ramai di sekolah ini......Yang ada kesedaran sendiri, hajat pada Islam, boleh berdikari,  mungkin mampu mengikuti tarbiah.....bagaimana anak-anak yang ada masalah yang perlu lebih perhatian........?  

Sikap ibubapa yang mempunyai anak bermasalah terus menghantar anak ini ke sekolah asrama untuk membendung akhlak mereka, namun, di sana mereka akan lebih terbiar jika ibubapa lepas tangan! Walau apapun, tarbiah anak itu ditangan kita, dan anak-anak adalah tanggungjawab kita, jadi sekalipun menghantar  mereka ke mana pun, kita masih perlu terus menjalankan tanggungjawab kita! 

Kita mendidik diri kita dengan Islam supaya jadi contoh pada anak-anak dalam melaksanakan Islam. Mana mungkin anak kita menghormati kita jika kita sendiri terbabas! Masakan ketam boleh menyuruh anaknya berjalan lurus! Jadi kita perlulah mempamerkan contoh yang baik bagi anak-anak kita dalam semua aspek. Apa yang anak nampak kita buat, itulah yang akan mereka ikut. Sebenarnya anak kita adalah bayangan diri ibubapa itu sendiri. 

Bukanlah sukar sekarang ini nak pastikan anak-anak dapat straight A's dalam UPSR, PMR, SPM......Banyak kelas tuisyen sana sini boleh kita hantar anak kita.., kelas tambahan, online internet untuk interaktif tuisyen seperti score A dll lagi..... Tapi sukarnya nak pastikan anak kita ni terikat dan comitted dengan Islam lebih-lebih lagi dalam dunia tanpa sempadan yang mencabar ini di mana pengaruhnya sudah masuk sehingga ke bilik tidur dan ruang tamu kita! 

Baru-baru ini kita dkejutkan dengan berita dua orang gadis sunti bawah umur yang dijumpai oleh ibunya sendiri di dalam bilik tidur di rumah sendiri , tidur berpelukan dengan kekasih mereka! Tergamam tidak terkata! Begitulah ibubapa sendiri tidak mengenali anak sendiri dan tidak mampu mengawal mereka sehingga sanggup berbuat maksiat dibawah bumbung rumah ibubapa mereka. Ibubapa yang masih mempunyai anak remaja perlulah mengawal pergaulan anak-anak lengkapkan mereka dengan kefahaman deen Islam di mana mereka boleh menilai syarak dan takut berbuat dosa!
Longgarnya pendidikan Islam dari awal lagi semenjak mereka masih anak-anak lagi, mengundang  masalah  apabila mereka remaja nanti.!

Masalah diatas mungkin berlaku pada orang lain, tapi jika kita lalai dan leka, tidak mustahil suatu hari nanti mungkin ia boleh menular pada diri kita, rumah kita, anak-anak kita! Nauzubillahiminzaalik.....terkedu kita dibuatnya.  Ya Allah jauhkanlah kami dari musibah ini!  

Masyarakat sudah semakin tenat, tenat kerana mengenepikan Islam sebagai satu cara hidup yang menyelamatkan kita dari kehancuran .......Jadi ubat kepada masalah demi masalah  masyarakat sekarang yang kita nampak semakin teruk ini......hanya satu......ambillah deen Islam sebagai satu cara hidup yang menyeluruh. Jadilah kita Muslim yang comitted dalam semua aspek...... Itulah satu-satunya penyelesaian untuk umat manusia yang dilanda krisis nilai yang teruk!

Tuesday, January 11, 2011

Tanda-tanda lemahnya iman dan hubungannya dengan Allah.

Bismillahirrahmanirrrahim...

Tabiat iman dan hubungan dengan Allah SWT kadang-kadang kuat dan kadang-kadang lemah. Sebagai Muslim perlunya kita memahami tanda lemahnya iman dan hubungan dengan Allah SWT ini . Dengan ini kita dapat menyemak diri kita dan beramal dengan sesuatu yang berlawanan dengan tanda kelemahan iman ini agar iman di jiwa dapat terus terpelihara, InsyaAllah. Di antara tanda-tandanya adalah.....
  • Melakukan kederhakaan dan amalan dosa
Didalam melakukan amalan kederhakaan ini, ada yang membuatnya secara terus menerus dan ada yang melakukan berbagai-bagai amalan kederhakaan. Jika terus menerus melakukan dosa, ia akan jadi kebiasaan yang sukar ditinggalkan, hati jadi keras dan seterusnya merasai kesan buruk dari dosa ini. Akhirnya dia akan sanggup buat dosa secara terang-terangan sehingga dia termasuk di dalam golongan orang yang tidak mendapat perlindungan dari Allah SWT.
  • Merasakan adanya kekerasan dan kekakuan di hati
Perasaan hati yang keras dan kaku ini ini umpama batu yang keras yang hampir mustahil boleh diusik dan dipengaruhi oleh sesuatu apa pun. In berlaku kerana ia lupa (untuk berzikir) pada Allah SWT. Hati yang keras ini tidak mampu dipengaruhi nasihat ataupun kematian. Bila melihat orang yang mati terbujur kaku, mengiringi jenazah ke kuburan dan mengangkatnya masuk ke liang kubur, senario ini sedikit pun tidak menyentuh hati dan menginsafkan dirinya. Seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku, biasa saja..... Firman Allah dalam surah Al-Baqarah:74 yang bermaksud....
    " Kemudian setelah itu, hatimu menjadi keras seperti batu bahkan lebih keras lagi..."
Mohonlah perlindungan dari Allah dari hati yang kaku keras ini.....
  • Tidak tekun dan hilang khusyuk dalam beribadah
Semasa solat, membaca Al-Quran, berzikir, berdoa selalu hilang tumpuan diri. Ia tidak menyemak dan memikirkan makna-makna doa dan ayat-ayat Al- Quran yang baca. Membacanya dan melakukannya sebagai rutin harian yang membosankan. Tidak ada rasa nikmat melaksanakan ibadah. Padahal Allah tidakk menerima doa dan ibadah yang dibuat ala kadar dan tidak bersungguh.  Renungilah hadith dari riwayat Tarmizi ini yang bermaksud.....  
   " Tidak akan diterima doa dari hati yang lalai  dan main-main."
  • Malas melakukan amal taat dan meremehkan ibadah.
 Orang yang lemah imannya, melakukan ibadah ini sekadar aktiviti fizikal yang hatinya kosong tanpa roh ibadah itu sendiri. Inilah sifat orang munafik dalam firman Allah dalam surah An-Nisa: 142 yang bermaksud.....
  " Dan apabila mereka berdiri untuk solah, mereka berdiri dengan malas."
Orang yang lemah imannya  selalu meremehkan dan tidak memperhatikan ibadahnya. Termasuk dalam meremehkan ibadah ini bila tidak peduli tanda-tanda kebaikan dan masa yang tepat dalam melakukan ibadah. Contohnya  sengaja melewatkan dan selalu qada solat, menunda-nunda pelaksanaan haji sedangkan sudah ada kemampuan, mundur dari medan peperangan, hanya duduk di rumah dan suka menangguh-nangguhkan untuk ikut solat berjamaah.....  Orang sebegini perasaannya tidak tersentuh bila ia tertidur sehingga meninggalkan solat. Begitu juga dalam melakukan solat sunat rawatib dan zikir wirid.  Dia malas dan tidak berusaha memperbaiki dirinya untuk meningkatkan amal ibadahnya. 
Gambaran ini bertentangan dengan orang-orang yang Allah gambarkan dalam firmanNya surah Al-Anbiya: 90 yang bermaksud....
   " Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam(mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyuk kepada Kami."
  •   Dadanya sesak dan terbelenggu
Orang yang lemah imannya akan merasakan seolah-olah wujud beban yang berat menghimpit dirinya. Ia cepat resah dan gelisah kerana suatu masalah yang remeh dan hatinya jauh dari rasa lapang. Ini berlaku kerana ia menuruti hawa nafsunya dan tidak menguatkan keazamannya untuk bersabar. Renungilah Hadith Rasul yang mensifati iman sebagai berikut.....
  " Iman itu adalah kesabaran dan kelapangan hati."
  • Hatinya tidak tersentuh dengan ayat-ayat Al-Quran
Hati yang lemah iman tidak akan tersentuh dengan janji, ancaman, perintah, kisah kiamat dan lain-lain lagi di dalam Al-Quran. Ia akan jadi bosan dan malas untuk mendengar dan membaca ayat-ayat Al-Quran. Ia tidak berusaha supaya dirinya berhubung secara terus dengan Al-Quran. Sekiranya ia membuka dan membaca Al-Quran pun, isi kandungannya tidak diberi perhatian.
  • Lalai dari mengingati Allah dalam berzikir dan berdoa.
Berzikir satu pekerjaan yang berat dan susah baginya. Jika ia mengangkat tangan untuk berdoa , secepat itu juga dia menelangkupkan tangan dan menamatkan doanya. Allah SWT menyifatkan sebagai orang munafik dalam surah An-Nisa: 142 yang bermaksud....
 " Dan mereka tidak menyebut Allah kecuali hanya sedikit sekali."
  • Tidak tergugah dengan tanggungjawab untuk beramal demi kepentingan Islam.
Orang yang lemah iman tidak berusaha untuk menolong menyebarkan Islam dan menolongnya. Ini berbeza dari keadaan sahabat Rasulullah saw. Seorang sahabat yang baru memeluk Islam iaitu Ibnu Amar r.a terus berganjak melakukan dakwah kepada kaumnya. Namun majoriti umat Islam dizaman ini suka duduk diam dirumah, bersenang-lenang dengan keluarga, bersantai-santai dihujung minggu, shopping, melancung dan sebagainya......tidak memilik tanggungjawab untuk melakukan dakwah meskipun telah sekian lama menjadi Muslim. Sedangkan menyebarkan dakwah Islam zaman di mana Islam adalah ghurbah (asing) ini bukan lagi merupakan fardhu kifayah....
 Renungi pesan Rasulullah  saw ini," Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat...."  

Jadi sama-samalah kita bertindak dan bersikaplah dengan perkara-perkara yang berlawanan dengan tanda-tanda kelemahan iman tadi.... Membiarkan diri dalam kelemahan merupakan satu dosa dan mengundang musibah pada diri. Maka selalulah berusaha memperbaiki diri, bermujahadah melawan hawa nafsu dalam meningkatkan iman dijiwa dan mempertingkatkan amal islami kita. Semua yang kita lakukan ini adalh untuk diri sendiri dan bukan untuk orang lain.....Selalul memohon kekuatan dari Allah untuk terus istiqamah di atas jalanNya!

Monday, January 10, 2011

Janganlah mencari kekurangan dan keaiban orang lain!

Bismillahirrahmanirrahim.....
Diantara sifat individu yang paling buruk yang perlu kita jauhi dari diri kita adalah mencari-cari kekurangan dan keaiban orang lain dan merasa senang hati jika orang lain tergelincir melakukan sesuatu yang tidak baik dan mendapat musibah. Sifat tersebut merupakan tanda buruknya jiwa dan lemahnya akal sesaorang. Bagi kita yang ingin menasihati diri sendiri, sebenarnya diri sendiri mempunyai  aib dan kekurangan yang cukup banyak akan membuatkan diri kita cukup sibuk dan tidak punya masa untuk mengintai-intai kekurangan dan keaiban orang lain!

Kita mestilah selalu memerhatikan diri sendiri. Periksa dan carilah kekurangan dan aib diri, perbaiki segala kelemahan  dan kekurangan diri sendiri. Sibukkan diri dengan perkara-perkara yang bermanfaat seperti menambah ilmu, membaca dan cuba menghafaz Al-Quran, berzikir dan istighfar yang boleh membersihkan jiwa dan menambah iman. Ini lebih baik dari berbual-bual kosong dan tidak mendatangkan faedah, menyebarkan aib orang lain dan suka bergossip perkara-perkara yang tidak pasti kebenarannya. Perkara ini kerap berlaku di waktu santai di tempat kerja, jika berkumpulnya dua tiga orang, tidak sah jika tidak cakap pasal orang.  Perlu manfaatkan masa kita dengan cara yang lebih baik dan produktif, berbincang dengan cara yang membina dan tidak kutuk orang!  

Selalunya balasan akan sesuai dengan perbuatan, jadi jika kita suka menyingkap kekurangan dan keaiban orang lain, suatu hari nanti keaiban dan kekurangan kita sendiri pula akan di singkap dan dihebahkan pula. Tapi barang siapa yang yang menutup aib dan kekurangan saudara seMuslimnya, maka Allah juga akan menutup keaiban dan kekurangan  diri kita. Barangsiapa yang melindungi dan menjaga kehormatan orang Mukmin, maka Allah SWT akan mentakdirkan sesaorang untuk menjaga dan melindungi dan menjaga kehormatan dirinya sebagai balasan yang setimpal diatas kebaikan yang ia telah lakukan! Maka awaslah, balasan Allah itu sangat cepat. Allah Maha Mengetahui apa yang tersimpan dilubuk hati kita.

Kita bekerja, belajar ni matlamat kita satu saja nak cari redo Allah, jadi jaga hati, jaga niat, jaga tuturkata, jaga akhlak supaya tidak terbabas........ Bukanlah mencapai matlamat itu suatu yang tersangat penting bagi kita sehingga matlamat menghalalkan cara. Dapat naik  pangkat atau   cemerlang dalam kerjaya bukannya  dengan pijak kepala orang atau bodek bos! Biarlah apa yang dibuat tu benar-benar dengan usaha dan jalan yang betul! Yang penting apa yang kita buat tu Allah redo, biarpun hasil kerja kita itu,  kita tidak canang atau hebahkan. Lambat laun segala kebaikan yang dibuat itu dengan sendiri akan di ketahui orang!    

Sunday, January 09, 2011

Binalah hubungan yang pertama dan utama iaitu hubungan dengan Allah!

Bismillahirrahmanirrahim....
      Alhamdulillah di panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana masih diberi kemampuan oleh Allah SWT untuk terus dapat menulis blog ini buat peringatan diri dan perkongsian bersama.....Minggu pertama persekolahan  yang agak sibuk sedikit membuatkan ku tidak punya banyak masa untuk menulis....namun  dirasakan perlu di peringatkan hati ini, mencari-cari ruang-ruang  dalam kesibukan untuk tazkirah diri.......

Begitulah kita sering disibukkan dengan dunia kita, kerja kita, urusan diri dan keluarga kita...sehinggakan kita kadang-kadang leka dan lalai sehingga menjejaskan hubungan kita dengan Allah SWT.....hubungan yang sebenarnya perlu sentiasa kita jaga dalam apa juga keadaan; sibuk ke, lapang ke, senang atau susah! Kelekaan dan kelalaian ini lantas membawa padah pada kita.....syaitan yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk melemahkan jiwa dan membisikkan kejahatan dijiwa....syaitan yang tidak pernah lalai dalam tugasnya menyesatkan manusia dari jalan yang lurus! Perlulah lebih berwaspada lagi di tahun ini.......
 
   Dunia pekerjaan ini di mana kita berinteraksi dengan ramai manusia, bermacam ragam dan perangai, ada yang lemah lembut, ada yang kasar, berdiplomasi, ada yang suka mencari kelemahan orang lain, ada yang suka mengarah saja, ada yang ambil kesempatan namun ditengah-tengah ramai insan ada yang baik agamanya, bagus tutur bicaranya..... orang sebeginilah yang perlu kita dampingi dan dekati untuk menjaga iman dijiwa kita.....supaya hubungan kita dengan Allah SWT dapat kita pelihara dan dijaga dari anasir-anasir luar yang merosakkan...!

 Sahabat yang baik dan soleh ini adalah umpama permata yang berkilau ditengah-tengah timbunan barangan tidak berharga! Namun kadang-kadang kita tersilap langkah juga....ikut serta dalam perbincangan yang lagha dan tidak berfaedah, malah mengutip dosa-dosa kering saja! Mohon keampunan juga dari Allah SWT di atas segala keterlanjuran kita,  manusia yang lemah ini!

 Dalam kehidupan ini, kita perlulah membina hubungan hati kita dengan Allah dengan beriman kepadaNya,  menjalin hubungan hati atas dasar keyakinan yang teguh pada  Allah yang merupakan  satu tanggungjawab  terbesar kepada kita supaya kita sentiasa menghubungkan diri dan kehidupan kita dengan Allah Yang Maha Esa,  tempat bergantungnya sekelian makhluk, tempat kita menyerahkan seluruh diri dan hati kita supaya kembali pada Allah SWT. Segala sesuatu datangnya dari Allah SWT. Begitu juga segala sesuatu adalah milik Allah SWT jua.

Hubungan dengan Allah ini adalah hubungan pertama dan utama yang perlu benar-benar kita rasai  dan mesti lahir dari dalam jiwa kita. Hubungan yang besar dan luas, seluas alam raya ini yang terjalin di antara hamba dan Khaliq. Hubungan kita dengan Allah SWT yang meresap dihati  dan sebati sehingga ke lubuk jiwa sehinggalah melahirkan keberkesanan didalam kenyataan hidup kita. Setiap amalan yang terpancar mestilah lahir di atas hakikat hubungan dengan Allah SWT ini! Dan sebenarnya inilah titik permulaan hidup manusia!!

Di dunia ini kita sibuk menjalin hubungan dengan manusia lain: dengan bos kita , rakan kita, suami isteri, anak-anak kita.....bukannya tidak boleh,  malah di tuntut..... namun kita sering terlupa menjalin dan menjaga hubungan pertama kita dengan Allah SWT sentiasa. Kita sibuk mengukuhkan ikatan hati dengan orang lain, tapi kita terlupa mengukuhkan ikatan hati dengan Allah SWT! Perlu kita sedar tiada ikatan hati sebenarnya jika tiada ikatan hati dengan Allah SWT yang perlu kita  jalin terlebih dahulu. Baiknya hubungan kita dengan manusia ini bergantung sejauh mana baiknya ikatan atau hubungan kita dengan Allah SWT!

Bila Allah SWT menjadi landasan utama hubungan kita dengan manusia, maka tiada kepentingan diri disini..... pertolongan dan budi baik yang diberi bukan untuk diminta balasan ataupun ucapan terimakasih....tapi ikhlas kerana Allah SWT! Sukarnya untuk melaksanakannya, tapi itu bukanlah sesuatu yang mustahil bila ada iman dan takwa di jiwa. Dalam apa sahaja yang dibuat, cetusan hati yang pertama...aku buat ini kerana Allah SWT! Noktah! Tiada apa-apa yang dituntut dari manusia...........

 Allah SWT jadikan kita manusia ini dalam keadaan serba lemah dan kekurangan,  tidak mampu menyelami rahsia diri sendiri dan rahsia alam ini.....apa tah lagi yang ghaib dan tersembunyi! Tapi dengan kasih sayang , rahmat dan kurniaan Allah SWT, kita dipermudahkan olehNya untuk berhubung dengan kebenaran yang hakiki,  dengan Allah yang Maha Esa! Allah mengutuskan para Rasul yang membawa peringatan dan berita gembira. Para Rasul yang dapat menyelamatkan manusia dari kegelapan kesesatan kepada cahaya kebenaran. Para Rasul yang diutuskan untuk  menerangkan hakikat kewujudan manusia dan menegakkan kedaulatan Allah SWT dimuka bumi ini.  Firman Allah SWT dalam surah Al- Mukmin: 64-65 yang bermaksud.......

" Allah lah yang menjadikan bumi bagi kamu tempat menetap dan langit sebagai atap, dan membentuk kamu lalu membaguskan rupa kamu dan memberikan kamu rezeki dengan sebahagian yang baik-baik, Yang demikian itu adalah Allah Tuhan mu, Maha Agung Allah, Tuhan Semesta Alam. Dialah Yang Hidup Kekal, Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia.; maka sembahlah Dia dengan memurnikan ibadah kepadaNya. Segala Puji bagi Allah Tuhan semesta Alam." 

Inilah hakikat seruan dan laungan setiap para Nabi dan Rasul yang datang silih berganti......
Dengan limpah kurnia Allah SWT, sebenarnya meyakinkan kita bahawa hubungan kita dengan Allah SWT ini merupakan suatu  keperluan yang sangat dharuri (dihajati). Tanpa terjalinnya hubungan dengan Allah SWT ini, kita umpama ikan yang dikeluarkan dari air.........akhirnya ikan itu mati. Hidup ini akan rasa kosong, sesat, hampa jiwa, tidak bahagia , rugi tanpa hubungan dengan Allah SWT yang menciptakan kita. Begitulah perlunya kita dan berhajatnya kita pada Allah SWT!

Menyedari hakikat inilah kita perlu buat pilihan untuk menerima keseluruhan apa yang di sarankan oleh Allah SWT kepada kita agar segala hubungan hati kita, pemikiran kita, tingkahlaku kita sentiasa lahir daripada hubungan yang fitrah ini.Perlu kita semai dan tanamkan di segenap ruang hati dan sanubari kita supaya hubungan dengan Allah SWT ini sentiasa jelas, akrab dan yakin selalu, insyaAllah!  Inilah matlamat hidup orang beriman!

Rasa hati kita perlu di sebatikan dengan kehendak-kehendak Allah SWT. Yang baik adalah apa yang Allah kata baik, dan yang buruk adalah apa yang Allah kata buruk. Untuk itu kita kena didik dan latih hati kita untuk menyukai apa yang Allah suka dan membenci apa yang Allah benci. Biasakan diri kita berinteraksi dengan apa yang Allah suka dan menjauhi apa yang Allah larang. Kita suka berada dalam suasana yang Islamik yang dapat memudahkan diri kita mendekati Allah SWT, jadi hati sentiasa rasa insaf dan sedar selalu dan takut berbuat dosa!

Jadi dalam ketika mana pun, bila kita berhubung dengan manusia perlu mewujudkan interaksi yang soleh dan Islamik. Kita sentiasa berusaha untuk berpegang pada nilai iman dan takwa, tidak lupa akan hakikat bahawa  diri kita ini adalah hamba hanya pada Allah SWT sahaja!

Namun untuk merealisasikan hakikat ubudiyyah ini  dalam seluruh kehidupan ,sebenarnya perlu  pada persediaan jiwa kita; iaitu jiwa yang jelas hubungan hatinya dengan Allah SWT. Contoh sebeginilah yang dapat kita lihat pada diri Rasul dan para sahabatnya. Setiap nilai dalam kehidupan ini dihubungkan dengan Islam dan syarak  sehingga ianya sebati dijiwa dan lahir dalam tingkahlaku mereka. Kekuatan hubungan dengan Allah menjadi tenaga yang kuat untuk menggerakkan hati dan perasaan, pemikiran dan tingkahlaku supaya sejajar dengan syarak!  Kekuatan hubungan ini juga menjadi tenaga penggerak yang mencorakkan kehidupan dengan sibghah (celupan) Allah walau di tempat sunyi atau gelap, seorang diri atau di khalayak ramai sama ada susah atau senang!  

Jadi bagi kita yang ingin kembali menghubungkan hati dengan Allah, perlulah melalui proses pendidikan yang sama yang dilalui oleh para sahabat Rasul dalam mendidik iman mereka. Mereka adalah contoh kita dalam keyakinan  pada Allah, cara mereka berfikir, rasa hati mereka, tingkahlaku mereka......Kita perlu mendekati dengan didikan Al-Quran sebagaimana mereka mendekatinya,, perlu merasai sebagaimana yang mereka rasai, perlu meyakini sebagaimana yang mereka yakini........sehingga seluruhnya selaras dengan kehendak Allah SWT! Itulah contoh kita yang unggul,  sahabat  Generasi Al-Quran Yang Unik!

Inilah jalanNya yang lurus yang menyampaikan kita kepada matlamat yang suci iaitu menerima kedaulatan Allah SWT tanpa berbelah bagi dan tidak menyengutukan Allah dengan yang lain. Inilah jalan aqidah yang murni, ibadah yang shoheh dan amal yang soleh.....! Binalah hubungan kita sentiasa dengan Allah.....kerana putusnya hubungan hati kita dengan Allah bererti kita berhubung dengan hawa nafsu, berhubung dengan jahiliyyah! Natijahnya, lahirlah tindakan berdasarkan hawa nafsu dan jahiliyyah!  

Wednesday, January 05, 2011

Dunia ini adalah gelanggang ujian!

  
Bismillahirrahim..........
   Sebagai Muslim kita perlu merasai dalam jiwa kita bahawa beradanya kita di atas dunia ini sebagai seorang hamba Allah yang sedang menghadapi ujian di mana dengan melalui ujian ini kita dapat menguatkan keyakinan kita pada Allah dan juga menyakini bahawa semua hamba Allah pasti akan kembali padaNya . Dunia ini adalah tempat  amalan tanpa hisab tapi di akhirat nanti adalah tempat hisab tanpa amal. Firman Allah SWT dalam surah Al-Kahfi : 7 yang bermaksud......
   "Sesungguhnya kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, agar Kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang terbaik perbuatannya."
     Dunia ini adalah gelanggang ujian dalam beribadah pada Allah SWT yang ghaib pada waktu semua manusia ini bebas memilih, hawa nafsu berkuasa mendapatkan apa yang diingininya dan pada saat jiwa manusia benci akan segala macam tugas ibadah!
    Beradanya kita didunia ini dengan bermacam kurniaanNya  pada diri kita; Allah SWT memberikan kita harta, kesihatan,  pangkat , banyak anak dan sebagainya........... Begitu juga Allah SWT mencegah pemberianNya itu pada sesetengah manusia dan mendatangkan musibah padanya seperti miskin, sakit, selalu malang, dukacita, tiada anak, kesulitan, banyak masalah........ Semua manusia menerima rezeki dan pemberian Allah mengikut ukuran masing-masing yang telah ditetapkan, sama ada banyak atau sedikit! Allah Maha Mengetahui hikmah di sebalik setiap pemberian dan pencegahan!
     Tujuan pemberian supaya bersyukur dan dan tujuan pencegahan pemberian supaya redha dan bersabar......
Barangsiapa yang diberi nikmat dan kurniaan dunia seperti harta dll..... tetapi tidak mahu bersyukur pada Allah SWT, dia dianggap gagal menjalani ujian ini.  Barangsiapa yang tidak diberikan kurniaan dan dicegah pemberian seperti anak, diberikan kesusahan dan kesulitan......, kemudian dia redha dan sabar maka dia telah lulus dan berjaya dalam ujian ini. 
      Seorang hamba yang soleh akan menerima segala macam pemberian Allah ini dengan memahami dan menghayati ayat Al-Quran Surah An- Naml : 40 yang bermaksud........
    " Ini termasuk kurniaan Tuhanku untuk mengujiku, apakah aku bersyukur atau mengingkari( akan nikmatNya). Dan barangsiapa yang bersyukur, maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) diri sendiri."    
     Namun bagi yang mengingkari untuk bersyukur di atas pemberianNya itu,  dia menyangka dia mendapatnya di atas ilmu  dan usahanya sendiri lantas merasa sombong dengannya. Dia tidak mengetahui dan menyedari bahawa segala pemberian itu adalah ujian belaka.  Hal ini dijelaskan oleh Allah dalam firmanNya yang bermaksud....
   " Sesungguhnya aku diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku." ( Surah al-Qashash:78)
  " Sebenarnya itu adalah ujian, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui."( Surah Az-Zumar: 49)
Allah SWT mengingatkan kepada kita bahawa tiada seorang pun yang benar-benar memiliki nikmat dunia ini. Segala pemberian akan dikembalikan kepadaNya, kita akan keluar dari alam dunia ini sama seperti kita pertama kali masuk kedalamnya, tidak punya apa-apa! Segalanya milik Allah jua, segala yang ada pada kita dikembalikan pada Allah SWT seperti dalam firmanNya surah Al-Baqarah: 156 yang bermaksud....
     " Sesungguhnya kita adalah milik Allah, dan hanya kepadaNyalah kita semua kembali.." 
Namun ada sebilangan manusia mempersoalkan perbezaan pemberian ini pada mereka.................
  • Mengapa ada perbezaan pemberian?
  • Manakah lebih baik, miskin atau kaya?
  • Mana lebih baik ada anak ke tidak?
      Namun yang penting dalam menjawab persoalan ini adalah   mereka yang lebih baik disisi Allah SWT adalah mereka yang lulus ujian tadi. Orang kaya yang bersyukur lebih baik dari orang miskin yang tidak redha dan tidak bersabar. Orang yang tiada anak  yang sabar dan redha lebih baik dari orang yang punya anak ramai tapi tidak mensyukuri pemberian itu. Yang penting disini adalah sikap kita terhadap segala yang Allah SWT tentukan ke atas diri kita, sama ada nikmat pemberian atau pencegahan. Segalanya adalah untuk menguji sikap kita terhadap ketentuan Allah, sebagai bukti ubudiah kita padaNya, menyerah pasrah pada ketentuanNya, redha akan Allah sebagai Tuhan yang mengatur segala kehidupan kita.......Jadi tidak kiralah sama ada miskin atau kaya, susah atau senang, yang mulia disisiNya adalah yang bertakwa dan beriman pada Nya!  Renungilah sikap buruk manusia seperti yang di terangkan dalam ayat Al-Quran  surah Al-Fajr:17-18 yang bermaksud..................
     " Adapun apabila Tuhan mengujinya lalu dimuliakanNya dan diberiNya kesenangan, maka dia berkata," Tuhanku telah memuliakanku.", Adapun apabila Tuhannya mengujinya dan membatasi rezekinya, maka dia berkata," Tuhanku telah menghinaku." Sekali-kali tidak (demikian)."
     Jadi, bagaimanakah sikap kita?? Janganlah kita terlalu gembira dengan kurniaanNya dan jangan pula terlalu bersedih diatas musibah dan kesusahan yang menimpa. Apa yang penting adalah kita perlu mengetahui dan menentukan bagaimana sikap dan tindakan kita bila teruji.............perbanyakkanlah senyumanmu........... sebagai  tanda hati yang redha dan bersyukur padaNya!  
Ya Allah berilah kami kelapangan jiwa dan ketenangan hati  dalam melalui hidup ini.....
Berilah kami kesabaran menempuh dugaan hidup, kesyukuran di atas nikmatMuu..........
Ameen. 
        
Rujukan
Dr. Majdi Al-Hilali
Peranan dan Kekuatan Al-Quran dalam memantapkan keimanan.

Bismillahirrahmaanirrahim 30 MENU LAZAT SEPANJANG RAMADHAN Jom Prepare! 1. Tilawah al Quran sejuzuk sehari paling kurang....