Wednesday, January 12, 2011

Didik anak elak kehancuran umat

myMetro | Minda: Didik anak elak kehancuran umat
 Satu artikel yang bagus untuk perkongsian bersama........

Tiada siapa yang dapat menafikan bahawa anak adalah rezeki dan kurniaan Allah yang tidak ternilai. Kehadiran zuriat membawa kebahagiaan yang sukar ditafsirkan. Bagaimanapun, dalam kegembiraan menyambut kelahiran zuriat ini, ibu bapa perlu menyedari zuriat mereka ini dianugerahkan seiring dengan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah.


Dalam al-Quran, Allah memperingatkan bahawa anak menjadi ujian bagi manusia selain pangkat dan harta. "Sesungguhnya harta kamu dan anak-anak kamu adalah fitnah (ujian/cubaan bagi kamu). Dan sesungguhnya Allah di sisi-Nya ada ganjaran yang besar.” (Al-Anfal: 28)

Anak-anak menjadi ujian kepada ibu bapa kerana tanggungjawab ibu bapa bukan semata-mata memberi makan dan membesarkan bahkan dididik untuk mengenal Allah. Ibu bapa diberikan amanah untuk mendidik anak-anak mereka supaya terbentuknya generasi muda yang soleh dan solehah yang mampu bertahan menghadapi gelombang syahwat di tengah masyarakat moden dan global kini.

Tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak menjadi satu keutamaan sehingga ibu bapa akan ditanya di akhirat kelak mengenai apa yang mereka lakukan terhadap anak-anak iaitu amanah yang diberikan kepada mereka. Kepada pasangan suami isteri, kelahiran anak bermakna terbentuklah suatu keluarga. Melalui keluarga, ibu bapa menjadi tunggak untuk memelihara, memandu dan mengarah mereka ke arah kesejahteraan.

Keperluan memelihara dan mewujudkan ketenteraman serta kesejahteraan dalam keluarga adalah signifikan kerana dalam sebuah masyarakat, keluarga merupakan benteng pertahanan paling awal. Bermula daripada keluarga terbentuk generasi demi generasi yang akan membentuk dan mewarisi masa depan suatu bangsa. Sama ada baik atau buruk, kukuh atau rapuh, mulia atau hina sesuatu masyarakat itu ditentukan oleh unit-unit keluarga yang membentuknya. Tidak berlebihan kalau dikatakan bahawa keluarga adalah gambaran awal dalam menilai kualiti sesuatu bangsa.

Ketika meningkat dewasa, bimbingan, panduan dan sokongan keluarga menjadi sangat penting kepada remaja kerana dalam masa pertumbuhan ini, remaja mengalami perubahan besar yang sangat pantas dari sisi fizikal, pemikiran dan akal. Dalam waktu ini, remaja mula mengambil risiko dan menguji had dan batasan. 


Pada peringkat ini mereka mula bergerak dari dunia yang berpusatkan kepada keluarga kepada sebuah komuniti.Perubahan yang dialami remaja ini dan dalam mereka mula mencari identiti sendiri inilah terletaknya peranan ibu bapa. Ibu bapa perlu mengawasi dan mengendalikan diri remaja agar keghairahan jiwa muda mereka tetap berjalan mengikut syariat.

Ibu bapa perlu mengikut perintah Allah dan menjalankan amanah seperti yang dituntut oleh Allah.    “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat yang kasar keras, yang tidak menderhakai (perintah) Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (At-Tahrim: 6) 


Hakikatnya, ibu bapalah yang menentukan keimanan anak-anak kerana pada asalnya setiap anak berada dalam fitrah Islam dan iman sehinggalah mereka didatangi oleh pengaruh luar termasuk bimbingan dan didikan ibu bapa mereka. Tiada seorang pun yang dilahirkan kecuali dilahirkan pada fitrah (Islamnya). Kedua-dua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi (Bukhari dan Muslim).

Umum mengetahui masyarakat hari ini lebih cenderung dengan tingkah laku yang bersifat materialistik. Ibu bapa hari ini mencari harta dan mengejar kekayaan sehingga mengabaikan pengawasan terhadap anak-anak.

Dalam satu kajian oleh sarjana Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) mengenai Masalah Sosial dan Hubungannya dengan Institusi Keluarga di Penempatan Felda: Perspektif Tempatan, (2010), kalangan remaja menuding jari kepada ibu bapa dan berpendapat ibu bapalah yang menjadi punca utama penurunan nilai moral mereka. Ibu bapa dikatakan terlalu mementingkan material sehingga anak-anak tidak diberikan atau mendapat pendidikan agama yang minimum.

Kajian juga mendapati ibu bapa di Felda tidak terlalu mengambil berat mengenai salah laku anak-anak mereka.Kenyataan itu tidak boleh dipandang ringan oleh setiap ibu bapa di negara ini. Sudah sampai masanya ibu bapa memikirkan sama ada orientasi kehidupan yang diamalkan mereka selama ini terjalin pada landasan betul atau hanya menjurus kepada kekeliruan sehingga menyebabkan kepincangan sosial apabila anak-anak meningkat remaja. Kita kadang kala keliru melihat cara dan konsep yang diamalkan oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak.

Contoh paling ketara ialah apabila ibu bapa tidak lagi mengajak anak-anak beriadah di taman permainan atau di tepi pantai tetapi lebih terdorong untuk mengajak anak-anak beriadah di kompleks membeli-belah. Amalan ini secara tidak langsung menggambarkan ibu bapa mengajar anak-anak mereka waktu senggang dan kebahagiaan bersama keluarga perlu dipenuhi dan dilingkungi oleh wang ringgit serta kebendaan. 


Ibu bapa membenarkan anak-anak merokok, bergaul bebas dan berseronok di kelab semata-mata untuk menunjukkan betapa mereka memahami diri anak mereka dan begitu ‘sporting’ terhadap mereka. Natijahnya, ibu bapa perlu menyedari bahawa tujuan Allah menciptakan manusia ialah hanya untuk beribadah kepada-Nya.

Dalam hal ini, ibu bapa perlu disedarkan masa depan anak-anak bukan hanya berorientasikan kejayaan dunia semata-mata bahkan juga kejayaan akhirat. Perlu disedari peranan dan tanggungjawab ibu bapa sangat mustahak dalam mencorakkan peribadi anak-anak dan membendung sebarang permasalahan sosial di kalangan mereka ketika remaja. 


Ibu bapa perlu menginsafi bahawa keruntuhan akhlak di kalangan remaja bukan remeh tetapi sebenarnya membawa akibat sangat besar terhadap bangsa. Kekeliruan dan salah didikan ibu bapa terhadap anak-anak ini bukan hanya menyebabkan mereka terjebak dalam kancah maksiat, tetapi hakikatnya boleh membawa kepada kehancuran bangsa. Hancurnya sesuatu bangsa kerana dosa dan kejelekan ini telah dibuktikan oleh Allah melalui kisah Nabi Luth.

Dalam kisah ini, Allah memperlihatkan bahawa kesudahan bagi orang-orang yang melakukan maksiat hanyalah kebinasaan dan kehinaan yang abadi. 
   “Dan kami turunkan kepada mereka hujan (batu) maka lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berdosa itu.” (Al-Araf 84).
Sebagai ibu bapa yang mementingkan kebahagiaan dan kejayaan anak-anak, tidak mungkin kita sanggup mencampakkan anak-anak kita ke lembah kehinaan dan kebinasaan.

Penulis ialah pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Melaka.

No comments:

Post a Comment

Hakikat hidup ini...

Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...