Friday, October 28, 2011

Wasiat Kerohanian oleh Syeikh Abdul Kadir Jailani.



Bismillahirrahmanirrahim...

Dalam satu hadith Rasulullah saw yang bermaksud....
" Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi sesaorang hambaNya, maka Dia akan memberi hambaNya itu kefahaman dalam agama dan memperlihatkan kepadanya cacat cela dirinya. " 

Kefahaman dalam agama merupakan satu jalan atau sarana untuk mencapai jiwa yang bermakrifah pada Allah SWT.  Apabila hati insan mengenali Tuhannya, maka dia akan dapat mengenali segala sesuatu. Bahkan dengan pengenalan makrifah kepada Allah SWT ini, maka sohehlah ibadahnya dan dia dapat membebaskan diri dari perhambaan pada yang selain dari Allah SWT. 

Apabila kita mengutamakan yang lain selain ini, maka tiada kesejahteraan dan kebahagiaan sebenar dalam hidup ini.  Jiwa yang tidak ada makrifah dengan Allah, akan lebih senang mengutamakan nafsu dari agamanya, mengutamakan makhluk dari Khaliq dan mengutamakan dunia dari akhirat! Apabila jiwa terhalang dari Allah, maka tidak akan diperkenankan permintaan  kita kepadaNya. Suatu permintaan padaNya akan di makbulkan setelah kita beramal dengan segala suruhanNya dan menjauhi laranganNya. 

Jadikanlah dunia ini sebagai ladang akhirat untuk kita bercucuk tanam...iaitu tanamilah ladangmu dengan hati dan jasadmu dengan benih iman padaNya. Kemudian siramilah dan jagai dengan baik melalui amal kebaikan. Jika hati itu lembut, lunak, punyai perasaan belas ihsan dan kasih sayang, maka pokok keimanan akan tumbuh subur didalamnya.  Sebaliknya jika hati itu keras, kasar dan kejam, hati itu umpama tanah gersang yang tandus, masakan boleh tumbuh pohon iman didalamnya!

Janganlah terlalu sibukkan diri memburu dunia, kerana orang yang memburu dunia tidak akan memperoleh kejayaan bersama akhirat. Sebaliknya burulah akhirat dan tinggalkan kecintaan pada dunia kerana apabila perkara ini benar-benar dilaksanakan, akan datang kepadamu dunia, akhirat, semua keuntungan dan manusia dimana semuanya akan tunduk padamu.   

Ikutilah fawa ulama yang mengatakan, "  Turutilah kehendak Allah di dalam hak makhlukNya dan janganlah kamu mengikuti kemahuan makhluk dalam hak Allah."

Renungilah hadis Qudsi ini yang bermaksud....
" Apabila kamu taat pada Ku, maka Aku redha.  Jika Aku redha, Aku akan memberkatimu.  Sedangkan berkatKu itu tidak akan pernah habis.  Sebaliknya jika kamu derhaka kepadaKu, maka Aku akan murka.  Jika Aku murka , maka Aku akan mengutukmu, sedangkan kutukanKu itu sampai kepada keturunanmu yang ketujuh."   

Perlunya kita beramal dengan ikhlas dan sibukkan dirimu dengan Allah dan tinggalkan kesibukan yang tidak bermanfaat bagimu. Kawallah hawa nafsu sehingga mampu menundukkannnya, memaksakannya dan menjadikan ia patuh padamu sehingga mampu mengharungi dunia yang tandus, gersang banyak dugaan menuju ke negeri akhirat yang kekal abadi......

Janganlah kamu berharap dan takut pada makhluk Allah kerana ini menunjukkan betapa lemahnya imanmu. Perlunya istiqamah dalam cita-cita sehingga memperoleh hasilnya yang diiringi dengan kesungguhan dan keikhlasan.  Kesungguhan dalam berusaha mengejar cita-cita sangat perlu kerana sesuatu itu tidak akan datang begitu sahaja tanpa usaha.

Memperbaiki hati itu hanya dapat dilakukan dengan takwa. tawakkal, mengesakanNya dan berlaku ikhlas padaNya dalam setiap amal. Jika kamu mengharapkan agar Allah SWT memandangmu, maka sibukkan diri dengan melakukan ketaatan padaNya, bersabar bersamaNya dan redha dengan semua ketentuanNya.

Nasihatilah dirimu sendiri sebelum menasihati orang lain. Adalah sangat penting kamu melawan kehendak nafsumu dan janganlah berlebih-lebihan dalam menasihati orang lain sedangkan dalam dirimu masih bersemayam sesuatu yang perlu diperbaiki. Maka celakalah sebenarnya jika kita hanya tahu membersihkan diri orang lain sedangkan kita buta dengan keburukan kita.

Rujukan
Wasiat dan Nasihat Kerohanian
Syeikh Abdul Kadir Jailani.

Friday, October 21, 2011

Hati sebagai sasaran utama dan pertama dalam pendidikan Islam


Bismillahirrahmanirrahim..

Titik awal dalam pendidikan Islam adalah masalah iman. Iman inilah yang terlebih dulu tertanam di jiwa para sahabat sebelum didatangi Al-Quran. Masalah iman ini tersangatlah penting kerana hanya orang-orang yang beriman sahaja yang dapat memanfaati Al-Quran. Al-Quran ini tidak akan dapat menyentuh hati kecuali hati kecil orang-orang yang beriman (mukmin).

Hakikat ini dijelaskan dalam Surah Taubah ayat 124-125 yang bermaksud...
'Dan apabila diturunkan satu surah, maka di antara mereka orang munafik itu berkata ,'Siapakah di antara kamu yang bertambahnya iman dengan (turunnya) surah ini? ' Adapun orang yang beriman , maka surah ini akan menambahkan iman mereka , sedang mereka rasa gembira.  Dan adapun orang yang di dalam hati mereka ada penyakit, maka dengan surah itu bertambahlah kekafiran mereka disamping kekafiran mereka  (yang telah ada) dan mereka mati dalam keadaan kafir."


Dari ayat di atas, sekiranya kita ingin Al-Quran menyentuh hati kita dengan cara yang betul, dan mendapat manfaat darinya, jadi sangatlah perlu mengubati dahulu hati tersebut agar ia beriman dengan keimanan yang tulus pada Allah SWT. Seluruh perhatian perlulah dipusatkan pada usaha memperbaiki hati sebagai sasaran utama tarbiyyah; kegagalan berbuat demikian pada langkah awal akan mengakibatkan kegagalan pada strategi  tarbiyyah., kegagalan dalam mewujudkan peribadi Muslim sejati yang konsisten dalam mematuhi segala perintah Allah secara terus menerus!

Disamping itu, sesungguhnya kegagalan dalam memperbaiki hati mengakibatkan timbulnya pelbagai penyakit hati dan bahkan sering menimbulkan sikap berlebihan dalam amal perbuatan dan tindakan. Keadaan sebegini akan menyebabkan munculnya golongan manusia yang fasik, munafik, pendusta dan murtad disebabkan golongan mereka ini tidak mempunyai hati yang sihat.  Mereka ini ditimpa kehancuran duniawi dan ukhrawi kerana tidak berupaya merenungkan Al-Quran dan meresapinya dalam diri disebabkan hatinya yang berpenyakit!

Maka, apa yang penting bagi kita adalah memusatkan seluruh perhatian pada tarbiyyah jiwa sehingga hati tersebut benar-benar jadi sihat. Ini akan memudahkan perjalanan seterusnya menuju Allah disamping dapat menjaga hati dari godaan, tipu daya, bisikan dan fitnah syaitan sama ada syaitan berbentuk jin atau manusia.

Usaha yang bersungguh-sungguh dan serius sangat perlu untuk mendapatkan hati yang sihat. Sejak langkah pertama lagi kita mestilah memulai perhatian kita menghadap dan kembali pada Allah agar mencapai natijah mendapatkan hati yang sihat.

Penjagaan kita pada hati sepatutnya lebih kita titik beratkan dari menjaga perawakan dan penampilan diri kita. Kita korbankan  banyak wang ringgit, masa dan tenaga untuk nampak bergaya, smart dan menarik, pergi spa berjam-jam, pergi facial, pergi shopping memilih pakaian yang branded ....tapi kita tidak punya banyak masa nak menggilap hati kita menjadikan hati kita bercahaya, bersih dan sihat.........

Kita risau bila tubuh badan fizikal luaran kita sakit, kita cepat-cepat cari ubat dengan pergi ke doktor untuk mengetahui apakah masalah diri kita.....namun bila hati kita berpenyakit, tidak sihat....adakah kita cepat-cepat mencari ubatnya? Malah,  seringkali  manusia tidak menyedari hatinya itu tidak sihat dan berpenyakit!!

Apabila kita membicarakan tentang hati bukanlah bererti kita mengabaikan aktiviti berfikir......malah syarat utama untuk perbaiki hati kita perlulah ada ilmu pengetahuan, berfikir , bermakrifat  yang mana ia disertai dengan amal perbuatan dan lain-lain perkara yang difikirkan perlu.

Kita perlu mengetahui cara memperbaiki hati kita supaya hati jadi sihat kembali seperti fitrah asalnya.  Hati yang berpenyakit  atau hati yang keras merupakan hasil godaan syaitan yang telah merasuk dirinya.  Jika kita ingin hati sihat semula kita perlu mengubah hati yang berpenyakit menjadi hati yang sihat dan hati yang keras menjadi hati yang khusyuk.

Dalam kehidupan dunia ini, hati kita seringkali dihujani dengan fitnah jiwa secara terus menerus. Berbagai ujian jiwa kita harungi setiap masa sehingga kadang-kadang kita berjaya menghadapinya dan kadang-kadang kita kecewa. Hati yang bagaimanakah yang dapat menolak fitnah tersebut?

Langkah pertama yang perlu dilakukan adalah perlunya kita membawa hati kita menuju kepada maqam keimanan dan cahaya yang tinggi. Pada tahap permulaan perbaikan hati,  betapa pentingnya zikir padaNya, iktikaf dan dan khalwat (menyendiri) yang dipenuhi dengan kegiatan ibadah seperti solat,  zikir dan menambah ilmu. Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah saw ketika beribadah selama beberapa malam di gua Hira sebelum datang wahyu pada beliau.  Begitu juga yang dilakukan oleh Nabi Musa yang berada di sebuah gunung  selama 40 malam.

Juga pada peringkat awal kedatangan Islam,  Rasulullah saw dan para sahabatnya di wajibkan solat malam selama hampir satu tahun untuk melalui proses  pensucian dan pembentukan hati generasi sahabat yang mulia itu. Perintah ini diturunkan dalam surah Al- Muzammil ayat 1-5 yang bermaksud....
" Hai orang-orang yang berselimut (Muhammad), bangunlah (untuk solat) di malam hari kecuali sedikit (darinya), (iaitu) satu perdua atau kurangilah daripada seperdua itu sedikit atau lebih dari seperdua itu.  Dan bacalah Al- Quran itu dengan perlahan-lahan.  Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu perkataan yang berat."


Proses pendidikan yang memfokuskan pada hati sebegini juga telah dilalui oleh para ahli sufi dan didapati mereka ini merupakan orang yang paling berjaya dalam mendidik manusia yang konsisten dengan perintah Allah SWT. Dan diantara amalan yang dimulakan adalah amalan untuk membersihkan hati   dengan banyak beristighfar pada Allah SWT. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud....
" Barangsiapa yang terbiasa beristighfar, maka Allah akan menjadikan kepadanya dari setiap kesulitan itu kemudahan dan dari setiap kesempitan itu jalan keluarnya, dan memberi rezeki padanya dari jalan yang tidak terduga." (HR Abu Dawud)


Amalan istighfar ini perlu diusahakan sebanyak mungkin sehingga ia menjadi akhlak kebiasaannya sehingga tercapai manafaat dari istighfar ini bagi mendapatkan cahaya hati. Disamping itu juga perlunya banyak berselawat pada Rasulullah saw kerana selawat ini merupakan jalan ter baik untuk memperoleh hati yang bercahaya.  Hadis Rasulullah ada mengatakan......
"Barangsiapa yang berselawat untukku satu kali, maka Allah akan berselawat untuknya sepuluh kali." (HR Ahmad, Muslim dan Abu Dawud)

Sekiranya Allah berselawat untuk kita maka Dia akan mengeluarkan kita dari kegelapan menuju cahaya.

Sama-samalah kita renungi ayat-ayat Al-Quran ini dalam surah Al- Ahzab: 33-43 yang bermaksud.....
"  Dialah yang memberi rahmat kepadamu dan malaikatNya ( memohonkan ampunan untuk mu) supaya dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya( yang terang).  Dan Dialah yang Maha Penyayang  kepada orang-orang yang beriman."

Untuk menjaga hati kita supaya sentiasa sihat , maka iman yang ada dalam jiwa perlu sentiasa dijaga dan dan diperbaharui.  Dalam satu Hadis Rasulullah saw yang bermaksud....
" Perbaharuilah iman kamu! Sahabat-sahabat bertanya," Bagaimana kami memperbaharui iman kami?" Rasulullah menjawab, " Perbanyakkanlah mengucap Laa ila ha illallah." (HR Ahmad, Al-Nasa'i dan Al- Hakim)


Juga, perlunya kita membiasakan diri dengan wirid dan zikir yang terus menerus seperti zikir matsurat yang disusun oleh Imam Hasan Al- Banna dimana didalamnya ada susunan zikir yang matsur dari Rasulullah saw, membaca Al- Quran sekurang-kurang satu juzu sehari, membiasakan qiyamulail, solat wajib berjemaah bagi lelaki, solat sunat Rawatib dan solat Dhuha.

Kebiasaan kita melakukan wirid dan zikir yang tersebut di atas sebenarnya kita memberikan ubat dan khasiat makanan kepada hati kita agar ia tetap dalam keadaan penuh keimanan yang kuat. Hati yang sihat sebeginilah hati yang bercahaya, bersih dan yang dapat meresapi kebesaran Allah dalam diri, insyaAllah. Hati sebeginlah yang ada kekuatan untuk melaksanakan tanggungjawab pada Allah dan menolak kemungkaran dari diri.

Namun apabila hati itu dibiarkan, tidak disirami dan dididik dengan ayat-ayat Allah, zikir padaNya , hati kecil  manusia itu akan cenderung pada bisikan syaitan jin  atau manusia dan dia akan menuruti bisikan itu ;  hati sebegini adalah hati yang berpenyakit  dan lama kelamaan ia menjadi semakin kronik yang menyebabkan si pemilik hati tersebut tidak beriman pada Allah dan  hari akhirat . Hakikat ini diperjelaskan dalam Surah Al- An'am ayat 113 yang bermaksud......
' Dan (juga) hati kecil orang -orang yang tidak beriman pada kehidupan akhirat cenderung kepada bisikan itu (bisikan syaitan jin atau manusia), mereka merasa senang kepadanya dan supaya mereka mengerjakan apa yang mereka (syaitan) kerjakan.' 


Rasulullah sering saw mengingatkan para sahabatnya supaya sentiasa menjaga keseimbangan dalam amal perbuatan , menjaga hati agar  tulus dan ikhlas untuk kembali pada Allah dalam kehidupan. Para sahabat Rasulullah merupakan generasi sahabat yang setelah sekian lama hidup dalam era jahiliyyah yang penuh dengan kesesatan dan penyelewengan; maka apabila mereka menerima kebenaran Islam lantas mereka mengambil Allah dalam kehidupan, menerima kehadiran Allah sebagai pengawal dan penguasa hidup mereka dan mereka sentiasa menempuh jalanNya walaupun berat dan sukar. Inilah sebenarnya bukti keikhlasan dan ketulusan jiwa kembali pada Allah!  


Perlunya kita mencontohi para sahabat ini dalam penyerahan hati untuk kembali pada Allah, Islam dan kebenaran.  Setelah puas berada dalam jahiliyyah yang penuh kesesatan, mereka menyerahkan seluruh jiwa dan raga mereka untuk Allah dan merasai nikmat berada dalam cahaya Islam!  Mereka tidak ingin kembali semula ke alam jahiliyyah setelah mendapat hidayah Allah. Inilah satu-satunya jalan yang dapat mencapai kepada kebahagiaan hidup yang hakiki. Dengan keyakinan inilah mereka tetap berada di atas jalan Allah walaupun terpaksa menghadapi rintangan , kesukaran dan tentangan dari kafir Quraish.


Kita perlu menempuh jalan yang sama, tarbiyyah sama untuk mendapatkan natijah yang sama. Sebenarnya tiada jalan lain yang seharusnya kita ikuti melainkan inilah satu-satunya jalan untuk kita 
lalui. Maka sama-samalah  kita mohon taufik dan hidayah padaNya supaya kita dapat berada di atas jalan yang lurus ini bersama-sama dengan kaum keluarga kita, anak-anak, suami-isteri kita ,sahabat handai kita.......InsyaAllah. 

Rujukan
Pendidikan Spiritual
Syeikh Said Hawwa


Monday, October 03, 2011

Kaedah asas mengekalkan kesihatan jiwa



Bismillahirrahmaanirrahiim....

Beberapa kaedah untuk renungan jiwa yang di petik dari buku yang dapat dijadikan panduan bersama ......

1. Nikmatilah hari-hari dan detik-detik dalam hidupmu. Masa lalu jangan sampai membuatmu selalu bersedih dan masa depan jangan sampai membuatmu risau.  Serahkan segala urusanmu pada Allah SWT.

2.  Janganah membiarkan kemusykilan sebesar apapun membinasakan emosimu dan fikirkanlah dengan tenang dalam mencari jalan penyelesaian. 
  
3.  Janganlah sesekali meragui bahawa kamu adalah seorang yang bahagia. Jangan selalu menanyakan diri adakah kamu bahagia atau tidak.  Kamu pasti bahagia selagi kamu mentaati Allah, menyembahNya, mencari keredhaanNya, menuntut ilmu keranaNya dan melakukan apa sahaja kerana Allah.

4. Bersungguh-sungguh dan bertekunlah dalam menuntut ilmu dan beramal, menikmatinya dan menjadikannya mampu untuk mengisi kekosonganmu.Ketika itu pasti kerisauan dan kegelisahan akan hilang.

5.  Lupakan masalah yang remeh temeh dan tidak bermanfaat. Jangan biarkan diri marah kerananya, lantas ia menakluki diri dan menyukarkan hidup mu.

6.  Janganlah khuatir akan masa depan.  Percayalah dengan takdir Allah dan ketentuanNya. Yakin dengan kebijaksanaan Allah. Relakan apa yang ditakdirkan Allah untukmu. Bersikaplah dengan baik, syukur dan redha dan hadapi segala dugaan dengan sabar dan berserah diri padaNya.

7.  Berfikirlah dengan matang sebelum membuat apa-apa keputusan dan tindakan.  Pertimbangkan segala hakikat yang bakal terjadi sebelum membuat apa-apa keputusan. Setelah itu laksanakan segera apa yang diputuskan sambil memohon pertolongan Allah.  Berserah dan pasrah padaNya..

8.   Jadikan dirimu sentiasa tenang dalam sikap, tutur bicara dan pergerakan.  Bergaullah dengan orang lain dengan ceria, senyum dan bertolak ansur.

9.  Janganlah suka mengkritik orang lain, berdebat, mencari-cari kesalahan orang lain dan membesar-besarkannya.

10.   Janganlah banyak mengeluh dan merintih.  Pandanglah hidup ini secara positif dan optimis.  Beri tumpuan pada perkara-perkara yang positif bukannya negatif.

11,  Jadikan setiap amalan yang dibuat ikhlas kerana Allah. Janganlah menunggu dan mengharapkan ucapan terima kasih dari orang lain. Kebanyakan manusia sememangnya tidak mampu mengakui kebaikan orang lain.  Cukuplah Allah bagimu untuk menerima segala amal kebaikan yang dibuat ikhlas keranaNya kerana Dialah yang memberi ganjaran yang terbaik.

12.   Ingatlah akan segala nikmat Allah padamu dan bersyukurlah serta nikmatilah ia.

13.  Ketepikan egomu ketika berinteraksi dengan orang lain dan perlakukanlah orang lain dengan baik supaya terukir senyuman di bibir mereka.  Kamu akan rasa bahagia bila dapat membahagiakan orang lain.

14. Kritik dan perbaiklah diri sendiri dan janganlah mengabaikan krtikan orang lain yang menyuruh pada kebaikan.

15. Jadilah teladan kepada orang lain dengan mengakui kebaikan mereka, berterimakasih kepada mereka dan memuji orang yang berbuat baik.  Janganlah suka menyakiti hati orang lain.

Mudah-mudahan, insyaAllah dapat kita sama-sama praktikan tips diatas dalam diri kita.......
Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk melaksanakannya...  Amin

Rujukan
Janganlah bersedih, kebahagiaan pasti bersamamu
Madar Al-Wathan

Bismillahirrahmaanirrahim 30 MENU LAZAT SEPANJANG RAMADHAN Jom Prepare! 1. Tilawah al Quran sejuzuk sehari paling kurang....