Bismillairrahmaanirrahim.........
Hari ini yang bertarikh 12 Rabiul Awwal merupakan hari kelahiran Junjungan besar Nabi kita , Nabi Muhammad saw...satu tarikh yang sering disambut dan dijadikan cuti awam, sebagai memperingati hari kelahiran baginda saw...
Satu tarikh yang diadakan sambutan maulidurrasul, diadakan perarakan, di buat ceramah maulud Nabi di sana sini, bermacam-macam program yang dibuat, alhamdulillah ........tapi adakah cukup setakat ini? Selepas maulud Nabi ini bagaimana pula....?
Sebenarnya memperingati Nabi ini bukanlah satu acara bermusim!! Rasulullah saw perlu sentiasa berada dekat di hati kita...sebagaimana dekatnya Allah dijiwa kita, begitu jugalah dekatnya baginda di hati kita. Keterdekatan jiwa kita pada Allah dan Rasul ini merupakan satu keperluan, satu kewajipan, satu kemestian...pada setiap masa dan ketika.....!!
Rasulullah merupakan pemimpin agung yang mampu membawa kita kearah kejayaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Dengan mengikuti risalah yang dibawa oleh baginda, maka
kita akan dapat melalui liku-liku kehidupan yang penuh dengan ujian ini, kita akan nampak jalan yang lurus yang terbentang di depan mata kita, kita tidak meraba-raba dalam kegelapan dan kesesatan yang menakutkan.......
Sebenarnya Bagindalah sepatutnya dijadikan contoh utama dalam hidup kita dari segi semua aspek ....dari perkara yang sekecil-kecil hinggalah perkara yang sebesar-besarnya...
Pada diri Rasul itu terdapat contoh tauladan yang termulia dan terbaik untuk kita ikuti. Beliaulah contoh tauladan dan rujukan utama kita, bukannya pemain bolasepak, bukannya artis, bukannya penyanyi, bukannya pemimpin politik....... Mereka semua itu tidak layak dijadikan contoh untuk diikuti...kerana nilaian yang diambil dalam hidup bukannya nilaian Allah tapi nilaian nafsu dan dunia belaka!!
Sama-samalah kita renungi, hayati dan ikuti contoh akhlak baginda yang terpuji, perjuangan beliau menegakkkan Islam dalam masyarakat Jahiliyyah yang bermandikan air mata, keringat dan darah, kasih sayang beliau pada ummatnya sehingga ke hembusan nafasnya yang terakhir.....
Kasihnya beliau pada kita sepanjang zaman...... maka sejauhmana kasih kita pada baginda pula?? Sejauhmana kita telah mengikuti sunnah Rasul dalam hidup ini.....sejauh mana kita telah mengenali beliau? Mungkin ada diantara kita yang lebih kenal Barack Obama , lebih kenal penyanyi Justin Bieber, lebih kenal Queen Elizabeth dari mengenali Rasulullah saw......
Jadi perlu kita mengorak langkah sekarang untuk lebih mengenali beliau...kerana tidak kenal maka tidak cinta. Apabila kita kenal Rasulullah.....dialah yang selayaknya lebih kita cintai dari diri kita keluarga kita, siapa saja selepas mencintai Allah SWT.
Hakikatnya tidak sempurna iman kita selagi Allah dan Rasul tidak kita cintai dari lebih segalanya......
Dibawah ini ku ambil satu petikan dari blog myibrah.blogspot untuk tatapan semua pembaca blog, mudah-mudahan bermanfaat dan dapat menyentuh jiwa kita tentang diri Rasulullah yang merupakan kekasih Allah....
Rasulullah s.a.w. itu adalah manusia yang amat toleran, amat berani, amat adil dan amat bersopan-santun sekali. Tangannya tidak pernah sama sekali menyentuh tangan wanita ajnabiah (asing) yang bukan miliknya sebagai hamba sahaya atau yang mempunyai hubungan pernikahan dengannya ataupun yang bukan mahramnya.
Baginda amat murah hati orangnya. Tidak pernah Baginda tidur selagi ada dalam tangan Baginda sedinar ataupun sedirham. Bila ada kelebihan wang dalam tangannya dan tiada pula sesiapa yang hendak diberikannya sehingga malam tiba, maka Baginda tidak akan kembali ke rumahnya, melainkan sesudah Baginda menemui orang yang berhajat untuk diberikan wang yang lebih itu kepada orang tersebut.
Baginda tiada mengambil rezeki yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala lebih dari keperluan makan-minum untuk setahun saja. Selebih dari rezeki-rezeki itu Baginda letakkan untuk fisabilillah. Tidak pernah dimintai sesuatu darinya, melainkan Baginda memberinya.
Apabila habis, Baginda akan mengambil pula dari simpanan makanan keluarganya sendiri lalu memberikan kepada orang yang berhajat, sehingga seringkali belum sempat selesai akhir tahun, makanan itu akan kehabisan, lalu Baginda terpaksa meminjam pula dari orang lain untuk mencukupi keperluannya sendiri.
Bagindalah sendiri yang menjahit kasutnya bila putus dan menampal bajunya bila koyak. Baginda suka membantu ahli rumah dalam pekerjaan rumahtangganya.
Baginda amat pemalu orangnya tidak pernah menatap wajah orang lama-lama. Baginda menyahut undangan orang yang merdeka dan hamba sahaya. Baginda menerima hadiah tidak kira pun apa pun, walaupun hanya seteguk air susu, dan sering membalas hadiah itu dan memakannya. Tetapi baginda tidak memakannya dari pemberian sedekah. Baginda tidak pernah merasa dirinya rendah bila memenuhi keperluan hamba sahaya wanita ataupun seorang miskin.
Baginda amat marah sekali jika hak Allah dicabul, tetapi tidak marah pula, jika haknya sendiri dilanggar.
Pada suatu hari, seorang sahabatnya terbunuh di kawasan perkampungan Yahudi, Baginda tidak membalas dendam terhadap kaum Yahudi, tetapi Baginda menghukum menurut yang hak; iaitu mendenda mereka membayar fidyah sebanyak 100 ekor unta betina tidak lebih dari itu. Padahal para sahabat ketika itu, sangat berhajat kepada tambahan sekalipun seekor lagi untuk dijadikan makanan bagi menguatkan diri mereka.
Baginda sentiasa mengikat batu di perutnya untuk menahan lapar. Bila makan tidak pernah cerewet, tetapi makan apa yang disediakan saja dan tidak pernah menolak.
Kiranya makanan yang dihidangkan itu hanya buah tamar tanpa roti, baginda makan juga. Kiranya yang dihidangkan itu daging panggang, makan juga. Ataupun jika roti gandum atau roti syair, makan juga. Ataupun manisan saja atau madu, makan juga. Ataupun susu semata-mata tanpa roti, minum juga. Jika diberikan semangka ataupun kurma mengkal, makan juga.
Tidak pernah bersandar di waktu makan ataupun memasang meja untuk meletakkan makanan. Tidak pernah kenyang dari roti gandum selama tiga hari berturut-turut, sehingga wafat menemui Allah Ta’ala. Ini semuanya dilakukan semata-mata kerana mementingkan diri orang lain dari diri sendiri bukan kerana fakir atau kikir.
Adapun peribadi Rasulullah s.a.w. itu seorang yang amat tawadhu’ (merendah diri) amat pendiam bukan sombong, amat fasih dalam tutur kata tanpa banyak bicara, amat sempurna dan elok paras rupanya. Tidak pernah menganggap penting sesuatu pun dari urusan keduniaan.
Cincinnya terbuat dari perak, yang dipakainya di jari kelingking kanan dan kiri. Baginda mengenderai keledai dan membenarkan di belakang keledai itu dibuncingi oleh hamba sahayanya ataupun orang lain.
Selalu melawat pesakit-pesakit meskipun rumahnya jauh dipinggir kota, suka kepada yang baik, sering duduk bersama-sama fakir-miskin, memberi makan kepada orang miskin. Baginda menghormati orang-orang yang terutama, sentiasa memuliakan orang-orang yang dimuliakan dengan berbakti kepada mereka.
Baginda Rasulullah s.a.w. sentiasa berhubung dengan kaum kerabatnya, tidak pernah mengecewakan sesiapapun, selalu menerima alasan orang yang memberikan keuzuran, suka bergurau-senda, tetapi tidak berkata melainkan yang hak saja, tertawanya setakat senyum saja tanpa mengilai.
Baginda tidak pernah mengingkari permainan-permainan yang mubah (harus) yang dibolehkan oleh agama, pernah berlumba lari dengan isterinya. Ada kalanya setengah-setengah orang tidak bertimbang rasa mengangkat suara di hadapan Baginda, tetapi Baginda tetap bersabar saja.
Tidak pernah makanan atau pakaian Baginda lebih baik dari makanan dan pakaian hamba sahayanya. Tidak pernah berlalu suatu masa pun tanpa membuat sesuatu pekerjaan yang diredhai Allah, ataupun pekerjaan lain yang perlu untuk membetulkan diri sendiri.
Baginda selalu bersiar-siar di kebun-kebun sahabat-sahabatnya. Tidak pernah menghina-hinakan orang miskin kerana kemiskinannya. Tidak gentar kepada raja kerana kekuasaan atau kerajaannya. Baginda menyeru yang rendah dan yang tinggi kepada Allah Ta’ala dengan seruan yang sama.
Allah Ta’ala telah melengkapkan peribadi Rasulullah s.a.w. dengan akhlaq yang tinggi dan siasah yang sempurna, padahal Baginda itu seorang yang ummi, tidak pandai membaca atau menulis. Baginda dibesarkan di negeri yang masih dibelenggu oleh kejahilan dan dikelilingi oleh padang pasir, hidup dalam keadaan miskin dan sebagai penggembala kambing, seorang anak yatim tiada berayah dan tiada beribu. Tetapi Allah Ta’ala telah mendidik baginda dengan sifat budi pekerti yang luhur dan perjalanan yang terpuji.
Begitulah, sebenar akhlaq Rasulullah adalah Al-Quran...semua yang temaktub dalam Al-Quran di praktikkan oleh baginda...Rasulullah dididik oleh Allah SWT dengan akhlak terpuji supaya kita mengikutinya...sebagai bukti kecintaan kita kepada Allah SWT.
Tidak sah kecintaan kita pada Allah jika kita tidak mencintai Rasulullah....
Maka sebenar high time bagi kita mendalami akhlaq Rasulullah bukan setakat kita kagumi saja...tapi kita cuba hayati dalam diri dan keluarga kita. Bila kita benar-benar mengenali Rasulullah, insyaaAllah kita akan mencintai beliau......
Ya Allah...... campakkan dalam hati ini rasa cinta padaMu, cinta pada RasulMu, cinta kepada orang yang mencintaiMu...!! Amin Ya Rabbal Alamin...