MENUJU MARDHOTILLAH

Belajar merupakan satu jihad di jalan Allah. Mengajar merupakan suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah! ..Jadi belajar dan mengajarlah dengan penuh keikhlasan padaNYA.

Sunday, November 13, 2011

Kesibukan yang tidak bermanfaat....



Bismillahirrahmanirrahim.....

Dalam satu hadith Rasulullah saw yang bermaksud.....

" Tanda kemurkaan Allah  SWT kepada hambaNya ialah kesibukan hamba tersebut kepada apa yang tidak mendatangkan faedah kepadanya atau pun dalam hidupnya sibuk dengan perkara-perkara yang tidak diredai oleh Allah SWT.  Sekiranya beberapa ketika dari umur sesaorang itu habis kepada perkara-perkara yang tidak berfaedah padanya, maka akan panjanglah sesalannya.  Sesiapa yang melewati umur empat puluh tahun, sedangkan kebaikannya tidak mengatasi kejahatannya, maka seolah-olah dia bersedia atau menenpah untuk masuk ke neraka."   

Dalam hadith ini, Rasulullah menjelaskan akan tanda kemurkaan Allah pada sesaorang adalah dengan membiarkannya tengggelam dalam kesibukan yang tidak bermanfaat bagi dirinya, samada melakukan perkara yang Allah tidak redai atau tenggelam dalam kesibukan dunianya......

Tenggelam dalam kesibukan dunia sehingga sibuk dan tiada masa untuk akhiratnya....jika dia bekerja ia bekerja pagi  dan petang, bersungguh-sungguh  sehingga tiada masa untuk perkara-perkara yang berkaitan dengan akhiratnya...contohnya, solat berjemaah ke masjid, menghadiri kelas pengajian ilmu, berdakwah, membuat kerja-kerja amal islami......perkara ini berlarutanlah sehingga usianya semakin bertambah hari demi hari......sehingga lah ia meningkat tua .........

Jika di usia yang sudah semakin tua....masih meneruskan lagi kerja yang sia-sia, mengejar dunia,  lupa diri dan lupa akhirat akhirat, membuat perkara-perkara yang Allah tidak redhai, dan amal kebaikannya atau amal solehnya tidak mengatasi amal kejahatannya......maka sebenarnya dia berada dalam keadaan yang bahaya.....ia sedang menempah tiket ke neraka!

 Jadi perlunya kita mengambil berat dan memperhatikan amal perbuatan yang kita dilakukan setiap hari ;  jangan sampai terlalai dan terleka dengan kesibukan dunia sampai tidak sempat nak memperhatikan akhirat sehingga mengundang kemurkaan Allah! 

Walaupun kerja yang dibuat bukanlah  suatu perbuatan dosa, mungkin perkara yang harus tetapi sebenarnya tidaklah boleh berlebih-lebihan, apatah lagi jika perkara yang tidak mendatangkan faedah seperti berbual kosong, membuang masa, suka pada hiburan dan santai,  mempunyai hobi yang tidak berfaedah dan melalaikan...... Kelalaian kita  dalam membahagikan masa yang berharga kita sebenarnya boleh mengundang padah; kita terleka dan tidak sempat mengurus masa kita dengan baik!

Justru itu , masa  yang ada perlu uruskan dengan baik dan jangan disia-siakan. Disini dijelaskan diantara perkara yang menyebabkan waktu hilang dengan sia-sia dan kita sibuk dengan perkara yang tidak bermanfaat.... .
  • Cinta Dunia
Beberapa hadith Rasulullah saw untuk kita sama-sama renungkan......
" Sesiapa yang mencintai dunianya, ia merugikan akhiratnya. Dan sesiapa yang mencintai akhiratnya ia merugikan dunianya. Pilihlah yang abadi (akhirat) daripada yang fana (dunia)." HR Ahmad

Diriwayatkan dari Ibnu Mas'ud, sabda Rasulullah saw, " Kiamat semakin dekat, sedangkan manusia semakin rakus dengan dunia dan semakin jauh dari Allah."

Dalam satu hadith Qudsi, " Allah SWT berfirman," Hai manusia, fokuslah untuk beribadah kepadaKu, tentu Aku memenuhi hatimu dengan kekayaan dan menghilangkan kemiskinanmu. Jika engkau tidak berbuat seperti itu, Aku memenuhi kedua tanganmu dengan kesibukan dan tidak menghilangkan kemiskinanmu."

Imam Hasan Al- Basri mengatakan dunia terbaik adalah milik orang mukmin sebab ia hanya beramal dengan amal soleh dan mengambil bekal di dalamnya menuju kesyurga. Dunia terburuk adalah milik orang kafir dan munafik kerana kedua-duanya mensia-siakan amalan-amalanya dan mengambil bekal darinya menuju keneraka.

Rasulullah saw bersabda dalam satu hadith yang diriwayatkan dari Ibnu Masud....
" Sesiapa yang menjadikan seluruh kesibukan sebagai satu kesibukan iaitu sibuk kepada akhirat, maka Allah melindunginya dari kesibukan dunia dan akhirat . Dan sesiapa kesibukan dunianya banyak, maka Allah azzawa jalla tidak peduli di lembah mana ia meninggal dunia." 

Ramai di antara kita yang terlalu sibuk dengan dunia kita. Kita tidur dan kita bangun sambil memikirkan dunia. Dunia menjadi impian hati kita. Tapi anehnya kita berkata dunia tiada dihati kita! Cubalah kita perhatikan dan renung-renungkan diri kita ini contohnya pakaian kita, hajat kita, kenderaan kita, .......sememangnya kita sangat cintakan dunia! Kita mengambil dunia ini melebihi keperluan diri kita! Jadi sewajarnyalah kita perlu pisahkan dunia dari hati kita supaya kita dapat menuju ke akhirat dengan langkah yang cepat dan deras kerana kita sebenarnya tidak punya banyak masa......setiap hari berlalu kita kekurangan waktu untuk mencari bekal akhirat kita! 
  • Panjang angan-angan dan suka menunda ibadah
Diriwayatkan dari Saidina Ali r.a. yang berkata " Ada dua hal yang paling aku takutkan pada kalian iaitu panjang angan-angan dan mengikuti hawa nafsu. Ketahuilah panjang angan-angan itu menyebabkan orang lupa akhirat dan mengikuti hawa nafsunya dengan  memalingkan kamu dari kebenaran di mana segenap fikiran kamu tertumpu untuk memikirkan dunia dan sarana-sarana kehidupannya....Panjang angan-angan itu mengeraskan hati, mengurangkan ketaatan, meningkatkan kerakusan pada dunia dan memperbesarkan kelalaian.  Adakah bahaya yang lebih besar dari itu? Hati akan menjadi tipis(tidak panjang angan-angan)  dan jernih hanya dengan mengingati kematian dan kejutannya,  kuburnya, pahala dan siksanya dan kejadian-kejadian di hari akhirat."  

Imam Al-Ghazali mengatakan jauhilah panjang angan-angan kerana panjang angan-angan itu akan menghasilkan empat perkara .
  1. Manusia menjadi tidak taat dan malas beribadat. Ia akan berkata, " Aku akan berbuat itu dan ini kerana masih ada masa/hari."
  2. Manusia enggan bertaubat dan suka menundanya. Ia berkata, " Aku bertaubat di kemudian hari sahaja kerana aku masih muda."
  3. Manusia lebih ghairah mengumpul harta dan sibuk dengan dunia dari akhirat. Ia berkata, " Aku takut miskin ketika tua dan tidak dapat bekerja kerana itu aku harus ada tabungan untuk aku gunakan ketika aku sakit, tua atau miskin. Malah mungkin banyak lagi alasan-alasan lain yang mendorong sesaorang itu untuk cinta dan rakus dunia.
  4. Hati mengeras dan lupa akhirat. Jika mengimpikan kehidupan yang panjang, kamu tiada akan ingat kematian dan kuburan.
Imam  Hasan Al-Basri berkata, "Siapa yang lebih cintanya kepada dunia dari akhirat, Allah akan menghukumnya dengan enam hukuman: tiga di dunia dan tiga di akhirat.  Hukuman di dunia adalah panjang angan-angannya yang tiada penghujung, keinginan yang meluap-luap tanpa batas dan kemanisan ibadah dicabut dari hatinya.  Hukuman di akhirat pula dahsyatnya padang mahsyar, sulitnya hisab dan kesedihan berpanjangan."

Imam Hasan juga berkata ," Janganlah kamu suka menunda-nunda ibadah /amal soleh kerana kamu hanya berada di hari ini dan belum tentu hidup di hari esok. Jika kamu hidup di hari esok jadilah kamu seperti hari ini. Jika kamu tidak hidup  sampai di hari esok kamu tidak akan menyesal di atas kelalaian kamu di hari ini."

Sikap suka bertangguh dan menunda amal soleh dengan berkata nanti aku perbuat  atau esoklah aku lakukan merupakan sumber keletihan dan kerosakan serta penyebab ajal datang tanpa amaran. Perlunya kita bersegera berbuat amalan kerana ada sesuatu yang datang kepada kita dengan cepat tanpa amaran. Bersungguh-sungguhlah dalam berbuat amal kebajikan kerana masalahnya adalah sangat berat untuk kita pikul nanti.  Bangunkanlah  diri  dari tidur dan kelalaian kita kerana menundakan kewajipan itu memberikan kesan negatif diantaranya.....
  1. Kita tidak ada mempunyai jaminan bahawa kita pasti hidup sampai hari esok dan dimasa akan datang.
  2. Jika kita hidup sampai hari esok kita tidak akan pernah aman dari segala ujian dan rintangan, sakit yang tiba-tiba,  kesibukan baru ataupun musibah yang melanda.  Justru itu, orang yang berakal dan bertekad kuat perlu segera memanfaatkan semua kesempatan yang ada, mengerjakan kebajikan,  menunaikan kewajipan dan tidak suka menunda ketidakmampuannya.
Apabila suka menangguh-nangguhkan ibadah dan ketaatan pada Allah, ini akan membuatkan jiwa malas dan tidak terbiasa melakukannya. Jika suatu kebiasaan telah mengakar dijiwa , ia akan menjadi satu tabiat yang sukar dilepaskan. Walaupun ia mengakui kewajipan bersegera melakukan ibadah dan ketaatan, oleh kerana kebiasaan diri suka bertangguh-tangguh , ia sukar melaksanakan ketaatan tersebut kerana sifat malasnya dan lengah terhadap amal soleh ini.   

Ibnu Masud r.a mengatakan ada empat perkara yang menyebabkan kegelapan dihati, iaitu perut yang kenyang tanpa peduli dari mana makanan itu berasal, berkawan dengan orang-orang yang zalim, lupa dosa-dosa masa lalu dan panjang angan-angan. Ada empat perkara yang menyinari jiwa iaitu perut yang lapar kerana takut kenyang dari makanan yang haram dan tidak tentu halal haramnya, bersahabat dengan orang-orang soleh, sentiasa ingat akan dosa-dosa lalu  dan pendek angan-angan. 

Jadi sebenarnya dalam kita melayari kehidupan ini.......yang mana setiap hari kita sibuk mengurusi dunia dan kehidupan kita, perlulah kita renungkan sejenak bagaimana kita melakukannya. Adakah kita lebih mengutamakan dunia dari akhirat kita? Sejauhmana kita isi masa-masa dalam dairi hidup kita seharian dengan perkara yang bermanfaat dan amal soleh kita? Bagaimanakah kita membelanjakan harta, wang ringgit , masa dan tenaga  kita di atas jalan Allah? Sama-samalah kita fikir-fikir dan renung-renungkan......

Sumber Rujukan...
Tips Manajmen waktu Wanita Muslimah
Ilham Muhammad Ibrahim

No comments:

Post a Comment

Peringatan....

Jika engkau mahukan teman...
Cukuplah Allah sebagai teman.
Jika engkau mahukan musuh..
Cukuplah nafsu sebagai seteru..
Jika engkau inginkan hiburan..
Cukuplah Al-Quran sebagai hiburan..
Jika kamu inginkan nasihat..
Cukuplah mati sebagai penasihat.

Link within

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Surah Al Isra' : 72

"Barangsiapa yang buta(hati) di dunia ini, maka dia juga akan buta di akhirat kelak dan lebih sesat jalannya."

Kehadiranku di website ini.......

Daisypath - Personal pictureKehadiranku di sini....

visitor's map....