Thursday, May 03, 2012

Tingkatkan kualiti ibadah dan mengurus masa dengan baik!


Bismillahirrahmanirrahim....

Ahamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan izinNya sekali lagi dapat ku menulis sedikit coretan perkongsian pada kali ini. Walaupun sedang berada dalam kesibukan, kekadang rasanya menjadi satu keperluan bagi diriku untuk menulis bagi menghilangkan kejemuan membuat kerja-kerja yang rutin itu..... supaya diri ku kembali bermotivasi.  Dengan membaca dan menulis entri di blog ini dapat ku mengisi jiwa dan perasaan yang sering berbolak balik ini.....Mudah-mudahan Allah memberikanku kekuatan, insyaAllah.

Setelah ku belek-belek buku-buku yang ada, tertarik aku dengan satu topik tentang tingkatkan kualiti ibadah dan gunakan masa sebaik-baiknya....sungguh kena pada diri ini yang lemah dalam pengurusan masa sejak kebelakangan ini. Entah kenapa,  mungkin ujian pada diri ini ....nak dapatkan semuala momentum seperti dulu mengambil masa! Ya Allah ampunilah diri  yang lemah ini, sering terlalai dan leka.........

Untuk mengawal  emosi dan diri  bagi mengatasi perasaan sedih, pilu dan gejolak jiwa yang lainnya...satu perkara yang penting adalah mengurus masa iaitu berdisiplin dalam melakukan kerja-kerja  ibadah yang telah ditetapkan, contohnya solat tepat pada waktunya ataupun di awal waktu. Hal ini ditekankan kerana ada kerberkatan disitu. Mengikut kajian, melakukan suatu perkara secara berulang-ulang sebanyak 40 kali, akan dapat membentuk tabiat diri. Jadi , apabila  sudah terbiasa bersegera menunaikan ibadah solat wajib berkali-kali tepat dan cepat pada waktunya , hal ini akan membentuk  tabiat diri yang tidak suka bertangguh-tangguh dalam melakukan sesuatu. 

Kenapa hal ini perlu ditekankan?  Melaksanakan amal ibadah dalam Islam sangat mementingkan masa.  Setiap pelaksanaan ibadah ada masa yang ditetapkan. Melalui latihan-latihan melakukan ibadah ini tepat pada waktunya,  kita akan  menjadi pengurus masa yang baik. Dengan pengurusan masa yang  baik, maka banyaklah tanggungjawab yang dapat kita tunaikan.  Sebenarnya kita bukannya tidak cukup masa, tetapi lemahnya pengurusan diri, lantas banyak masa kita terbuang dengan perkara yang tidak bermanfaat.......! Sama-samalah check dan  perbaiki diri ......!

Dalam Surah Maryam ayat 59 yang bermaksud.....

" Kemudian mereka digantikan dengan keturunan-keturunan yang mencuaikan solat serta menuruti hawa nafsu (dengan melakukan maksiat), maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka)." 

Mencuaikan solat bukan bermaksud meninggalkan solat tapi melewatkannya dari waktunya.....contohnya melakukan solat zuhur dalam waktu asar, solat asar dalam waktu maghrib dsbnya.....dengan alasan mengqadanya!  Maka sesiapa yang mati dalam keadaan begini tanpa bertaubat, dia akan dihumbankan ke lembah neraka bernama ghay diberi makanan yang menjijikkan.....itulah satu bentuk kesedihan yang berpanjangan!  

Begitu juga hal nya dengan ibadah yang lain seperti puasa, zakat,  haji..... Apabila ibadah ini dilakukan dengan sempurna menepati syaratnya, kesannya lahirlah umat yang produktif yang cukup menjaga masa. 
Ini tidak,  bangsa Melayu kita cukup dikenali dengan istilah " janji Melayu". Sukar  menepati masa dan janji....Jika nak mula program pukul 10.00 selalunya telewat setengah jam kadang-kadang sejam pun ada! 

Kenapa agaknya kita jadi begitu? Mungkin salah satu nya disebabkan pelaksanaan ibadah kita yang tidak sungguh-sungguh, lewat, nak cepat sahaja, tidak khusyuk, banyak yang slack di sana sini! Disiplin diri kita juga kurang dan budaya Melayu yang juga suka santai, rehat-rehat dan banyak berhibur menyumbang pada hal ini..... 

Saidina Ali pernah berkata.....
" Seharusnya mereka yang berakal tidak bersungguh-sungguh melainkan di dalam tiga perkara iaitu berusaha untuk keperluan hidupnya, beramal untuk hari kemudian dan bersuka-suka dalam perkara yang halal." 

Hakikatnya,  sikap suka menangguhkan kerja  atau amal bukanlah tabiat mereka yang sempurna imannya.......Sebagai seorang Muslim, kita berpotensi untuk berjaya  kerana Islam sentiasa mengaitkan kebaikan iman dengan kemampuannya mengurus masa dengan baik. Sebaliknya, sikap suka buang masa ini mengundang bencana pada diri...ditakuti bila maut menjemput diri, diri masih lalai dan leka dan tidak tahu menghargai masa!  Nauzubillahi min zaalik....

Menurut Imam Ghazali dalam bukunya Ihya Ulumiddin ....
"Apabila telah jelas tentang bahaya suul- Khatimah ( pengakhiran yang buruk), hendaklah kamu keluarkan dari hatimu perasaan cinta pada dunia dan beri tumpuan pada zikrullah. Anggota jasadmu hendaklah dijaga dari melakukan maksiat dan hatimu dijaga dari memikirkan tentangnya.  Peliharalah matamu dari maksiat kerana ia akan memberi kesan buruk pada hatimu. Jangan tangguhkan kerja-kerja ini ke masa hadapan kerana kemungkinan nyawamu akan dicabut ketika kamu sedang menangguhkannya."

Akhirkata, sama-sama kita renungi ungkapan ini........

Sesungguhnya,   semua manusia berada dalam kebinasaan kecuali mereka yang berilmu. Semua yang berilmu akan binasa kecuali yang beramal. Semua yang beramal akan binasa kecuali yang ikhlas. Namun golongan yang ikhlas ini belum tentu selamat sepenuhnya dari bahaya besar di sisi Allah. Semua ini akan membebankan kita kecuali jika kita mengambil dunia sekadar keperluan sahaja.

Jadi, tingkatkan kualiti amal ibadah diri dan pengurusan masa kita, insyaAllah!
Wallahualam

Rujukan
Terapi Duka
Dr. Aidh Al-Qarni


No comments:

Post a Comment

Hakikat hidup ini...

Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...