MENUJU MARDHOTILLAH

Belajar merupakan satu jihad di jalan Allah. Mengajar merupakan suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah! ..Jadi belajar dan mengajarlah dengan penuh keikhlasan padaNYA.

Sunday, September 30, 2012

Tarbiyah Akhirat mendidik jiwa...


Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, dipagi Ahad yang sejahtera ini, disini dapat sama-sama ku kongsikan satu artikel yang bagus untuk peringatan bersama supaya hati kita sentiasa dapat terikat dengan hari akhirat di mana jiwa yang selalu terikat dengan akhirat akan mendapat manafaat yang banyak, tidak tamak dengan dunia yang fana ini, mengutamakan akhirat dari hawa nafsu yang sentiasa berkeinganan pada dunia.

Sesungguhnya akhirat itu lebih baik dan lebih kekal dari dunia...hakikat inilah yang perlu sentiasa kita yakinkan dalam diri kita, kerana sebenarnya apa yang diyakini dijiwa itulah yang akan kita usahakan. Keyakinan dan kesedaran yang sebenar akan membuahkan amalan, bukan setakat kita ucapkan.....!!

Binalah keyakinan ini dengan banyak mendampingi Al-Quran, Hadith dan Sunnah Rasul
dan berusaha untuk mengamalkan. Ilmu tanpa amal dan usaha tidak dapat melahirkan keyakinan yang mendasari jiwa, tidak mendidik hati.... Jadi dekati Al-Quran itu dengan hati kita, mengisi roh dan perasaan kita sehingga kita rasa tersentuh dengan peringatanNya. Sentuhan AlQuran dijiwa inilah yang dapat melahirkan perubahan hati insan, perubahan akhlak mengikut acuan Al-Quran! 

Dalam satu hadith , Rasulullah SAW bersabda, 

“Barangsiapa akhirat menjadi obsesinya, maka Allah menjadikan semua urusannya lancar, hatinya kaya dan dunia datang kepadanya dalam keadaan tunduk. Dan, barangsiapa dunia menjadi obsesinya, maka Allah mengacaukan semua urusannya, menjadikannya miskin dan dunia datang kepadanya sebatas yang ditakdirkan untuknya.”

Barangsiapa yang menjadikan akhirat kesibukan utamanya dan obsesinya, maka setiap hari ia ingat perjalanan hidupnya kelak, apa pun yang ia lihat di dunia pasti ia hubungkan dengan akhirat, dan akhirat selalu ia sebut di setiap pembahasannya. Ia tidak bahagia kecuali kerana akhirat, tidak sedih kecuali kerana akhirat. Tidak redha kecuali kerana akhirat. Tidak marah kecuali kerana akhirat. Tidak bergerak, kecuali kerana akhirat. Dan tidak berusaha kecuali kerana akhirat. 

Orang sebegini diberi tiga kenikmatan oleh Allah SWT di mana nikmat  ini hanya diberikan kepada siapa saja yang Dia kehendaki diantara hamba-hambaNya, iaitu orang-orang yang menyiapkan jiwanya hanya untuk ALLAH Ta’ala dan tidak ada selain DIA yang masuk ke hati mereka, baik berupa berhala-berhala dunia, atau perhiasan, atau pesonanya. 

Nikmat tersebut adalah sebagai berikut: 
1. Seluruh urusan hidupnya lancar 

Allah SWT memberinya ketenteraman dan kedamaian, mengumpulkan semua ideanya, meminimakan sifat lupanya, mengharmonikan keluarganya, menambah jalinan kasih sayang antara dirinya dan pasangannya, merukunkan anak-anaknya, mendekatkan anak-anak padanya, menyatukan kaum kerabat, menjauhkan konflik dari mereka, mengumpulkan hartanya, ia tidak bimbang memikirkan perniagaannya yg tidak begitu baik, tidak bertindak seperti orang bodoh, membuat hati manusia terarah padanya, siapapun mencintainya dan melancarkan urusan-urusan yang lain. 

2. Kaya hati 

Nikmat yang paling agung adalah kaya hati, sebab Rasulullah SAW bersabda dalam hadith sahih, yang ertinya; 
“ Kekayaan hakiki bukan bererti harta melimpah. Tapi, kekayaan ialah kekayaan hati” (HR. Muslim) 
Imam Al Manawi berkata; maksudnya, 
" Kekayaan terpuji itu bukan banyak harta dan kebendaan. Ini kerana banyak sekali manusia dijadikan kaya oleh Allah, namun kekayaannya yang banyak itu tidak bermanfaat baginya dan ia bercita-cita menambah kekayaannya, tanpa peduli dari mana sumbernya." 

Walaupun kaya harta, ia seperti orang miskin kerana begitu kuat keinginannya pada dunia. Orang seperti itu miskin selama-lamanya keranan tidak pernah rasa cukup. Tapi, kekayaan terpuji dan yang sebenarnya adalah kekayaan hati. 

Disamping itu kekayaan jiwa juga bermaksud orang yang kaya jiwa merasa tidak bimbang akan rezekinya, menerimanya dengan lapang dada, dan redha dengannya, tanpa memburu-buru dan meminta-minta. 

Barangsiapa dijaga jiwanya dari kerakusan dunia , maka jiwanya tenteram, agung, bersih, mulia dan terpuji. Jiwa sebegini jauh lebih baik dari kekayaan yang diterima oleh orang yang miskin hatinya. Kekayaan akan membuat orang yang miskin hatinya  terperosok dalam hal-hal hina dan perbuatan-perbuatan murahan, kerana kecilnya obsesi  hatinya terhadap akhirat. Akibatnya, ia menjadi orang kerdil  dan hina di jiwa manusia. 

Jika seseorang mempunyai harta yang berlimpah ruah, namun ia tidak qana’ah (merasa cukup) dengan rezeki yang diberikan Allah SWT kepadanya, maka hatinya sentiasa rasa  tamak haloba, tidak pernah puas dan cukup seperti binatang buas dan menjadikan hartanya sebagai tuhan baru. Sesungguhnya orang sebegini adalah orang miskin yang sejati, kerana orang miskin ialah orang yang selalu tidak punya harta dan senantiasa merasa tidak cukup. 

Dikisahkan, ada seorang yang kaya berkata kepada seorang sufi yang  zuhud iaitu Ibrahim bin Adham......  
“Saya ingin awak menerima jubah ini dariku.” Ibrahim bin Adham berkata,”Kalau awak kaya, saya mahu menerima hadiah ini. Jika awak miskin, saya tidak mahu menerimanya.” Orang itu berkata, ”saya seorang yang kaya.” 
Ibrahim bin Adham berkata, ”Awak mempunyai berapa helai jubah?” Orang itu menjawab,”Dua ribu jubah.” Ibrahim bin Adham berkata,”Apakah awak ingin mempunyai empat ribu jubah?” Orang kaya itu menjawab, “Ya.” Ibrahim bin Adham berkata,”Kalau begitu anda sebenarnya miskin (kerana masih memerlukan jubah lebih banyak lagi). Saya tidak mahu menerima hadiah jubah ini darimu.” 

3. Dunia datang kepadanya 
Saat ia lari dari dunia,  dunia akan mengejarnya dalam keadaan tunduk. Seperti yang dikatakan Ibnu Qayyim Al-Jauzi, 

” Dunia itu bayangan. Jika engkau berpaling dari bayangan, maka bayangan itu mengekorimu. Jika engkau memburu bayangan, maka bayangan menghindar darimu. Orang zuhud tidak menoleh kepada bayangan malah diikuti bayangan. Sedang orang (rakus tidak melihat bayangan setiapkali ia menoleh kepadanya.” 

Bila sesaorang yang menjadikan dunia  obsesinya, ia akan hanya memikirkan dunia, bekerja kerana dunia, peduli kepada dunia, tidak bahagia kecuali kerana dunia, tidak berteman dan memusuhi orang kerana dunia. Pendekata segala-gala adlah kerana dunia semata-mata. Akibatnya, ia dihukum oleh Allah SWT dengan tiga hukuman; 


1. Urusannya selalu kacau 
Allah SWT mengacau bilaukan semua urusannya. Hatinya menjadi  tidak tenang, fikirannya kusut, jiwanya sentiasa resah dan kalut dalam pelbagai hal. Allah SWT mengacau bilaukan hartanya, anak-anak dan pasangannya. Allah SWT membuatkan manusia tidak simpati kepadanya. Tidak ada seorangpun yang mencintainya sebab Allah SWT menentukannya dibenci orang di bumi. 

2. Selalu miskin 
Hukuman ini membuatnya hatinya selalu tidak puas, padahal dia memiliki harta yang banyak. Ia sentiasa merasa miskin dan menjadikannya sentiasa tamak haloba mengejar harta. 

3. Dunia lari darinya 
Dunia selalu lari darinya. Ia memburu-buru dunia namun dunia menjauhinya dan ia  mengejar dunia  persis seperti orang yang melihat fatamorgana itu umpama air. Ketika ia tiba di fatamorgana itu, ia tidak mendapatkan apa-apa hanya bayangan . 

Inilah yang membuat Utsman bin Affan Radhiyallahu Anhu berkata, 
Obsesi dunia itu kegelapan di hati, sedang obsesi kepada akhirat itu cahaya di hati.” 

Di dunia ini ada  tiga golongan  manusia  dalam kehidupan: 

1. Orang yang lebih sibuk dengan akhirat daripada dunia. 
Mereka membuat hidupnya didominasi oleh akhirat. Dunia hanya diletakkan digenggaman tangannya bukan di hatinya. Dunia ini adalah ladang akhirat. Ini adalah golongan manusia yang beruntung.  

2. Orang yang lebih sibuk dengan dunia daripada dengan akhirat 
Mereka begitu cinta dunia hingga dunia menguasainya dan membuatnya lupa kepada akhirat dan mereka juga tidak tahu bahawa dunia itu jambatan menuju akhirat. Ini adalah kelompok orang yang celaka. 

3. Orang yang sibuk dengan kedua-duanya sekaligus. 
Golongan ini tidak ingin masuk pada golongan pertama atau kedua, namun ingin mendapatkan sebahagian ciri-ciri golongan pertama dan sebahagian golongan kedua. Mereka ini adalah golongan yang berada dalam situasi krisis dan dilema.  Mereka ini mencampur adukkan dunia dan akhirat, sehingga kadang-kadang tidak jelas matlamat dunia mahupun akhiratnya.

Bagi kita,  sudah tentu kita ingin tergolong dalam golongan yang beruntung  iaitu golongan pertama yang mengutamakan akhirat dalam kehidupan dunia yang fana ini. Perlunya kita mengetahui ciri-ciri golongan pertama ini agar dapat kita usahakan dalam diri kita, insyaAllah.
Di antara ciri-cirinya adalah...
1. Hatinya sedih kerana akhirat 
Sedih kerana akhirat, memikirkan bagaimanakah nasibnya di sana nanti. Rasa sedih ini adalah kerana memiliki perasaan takut kepada Allah Ta’ala, takut akan azab Allah SWT nanti,  lalu ia menghisab dirinya sebelum ia dihisab kelak di akhirat kelak. 

2. Selalu mengadakan Muhasabah (evaluasi diri) 
Menghisab diri, menghitung-hitung amalan sehari-hari sama ada semakin bertambah atau semakin berkurang. Dia sentiasa berusaha memperbaiki amalannya hari demi hari yang berlalu.
Umar bin Khattab ra berkata....
“Hisablah diri kalian sebelum kalian dihisab. Timbanglah diri kalian sebelum kalian ditimbang. Dan, bersiap-siaplah menghadapi Hari Kiamat.” 

3. Selalu beramal untuk akhirat 

Amal soleh bukan hanya setakat solat, puasa, membaca Al-qur’an dan dzikir, tapi amal soleh adalah apa saja yang dicintai Allah Ta’ala dan dia berusaha melaksanakan amal soleh itu semampu yang mungkin sebagai bekalan diakhirat sana.

4. Tersentuh hati dan merasa sensitif melihat pemandangan kematian.
Mati itu sesuatu yang pasti dan benar, hanya menanti-nanti giliran bilakah akan dipanggil pulang oleh Allah SWT! 
Seorang tabi’in Ibrahim An Nakhai berkata, 
Jika kami datang ke rumah orang yang meninggal dunia atau mendengar ada orang yang meninggal dunia, hal itu membekas pada kami hingga berhari-hari, kerana kami tahu ada sesuatu (ajal) datang pada orang tersebut, lalu membawanya ke syurga atau neraka” 

Itulah satu peringatan yang berguna buat diri kita semua, bahawa sesungguhnya kehidupan ini adalah jalan untuk kembali kepada Allah, kehidupan ini adalah umpama sebuah sekolah yang laporannya nanti akan diserahkan di akhirat. Mari kita sama-sama  muhasabah diri kita, selalu meluruskan niat kita hanya kepada Allah dan berdoa kepada-Nya memohon ketetapan iman di hati sampai pada hari kematian kita nanti, insyaAllah. 


“Yaa muqollibalquluub tsabbit qolbiy alaa diinika” 
Wahai Dzat yang membolak-balik hati, kukuhkan hatiku tetap berada di atas agamamu! 
Amin Ya Rabbal 'Alamin... 

Rujukan artikel 
i luv islam...

No comments:

Post a Comment

Peringatan....

Jika engkau mahukan teman...
Cukuplah Allah sebagai teman.
Jika engkau mahukan musuh..
Cukuplah nafsu sebagai seteru..
Jika engkau inginkan hiburan..
Cukuplah Al-Quran sebagai hiburan..
Jika kamu inginkan nasihat..
Cukuplah mati sebagai penasihat.

Link within

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Surah Al Isra' : 72

"Barangsiapa yang buta(hati) di dunia ini, maka dia juga akan buta di akhirat kelak dan lebih sesat jalannya."

Kehadiranku di website ini.......

Daisypath - Personal pictureKehadiranku di sini....

visitor's map....