Thursday, September 29, 2011

Apakah tanggungjawab kita yang pertama dan utama sebagai seorang Muslim (1).


Bismillahirrahmaanirrahim.....

Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah SWT kerana dengan izinNYa, pada kali ini dapat ku teruskan perkongsian di blog ku ini semata-mata kerana ingin memperingati diriku yang sememanglah sering terlalai dan terleka dek dunia dan nafsu yang mempengaruhi.....Sebagai insan biasa itulah hakikat diri kita ini, ada kalanya iman kita turun dan naik selalu, hati berbolak balik, jadi perlu sentiasa diperingatkan apakah matlamat sebenarnya kehidupan ini, bagaimana kita harus melaluinya dan apakah tanggungjawab yang perlu kita laksanakan.  

Sebenarnya tanggungjawab kita sangat banyak,  melebihi masa yang kita ada, cuma terpulanglah kepada diri sendiri untuk bersedia memikul tanggungjawab tersebut. Dalam banyak-banyak tanggungjawab yang ada,  kita kena mengutamakan apa yang penting dari yang penting kerana kita tidak punya cukup masa untuk melaksanakan kesemua sekali gus.....! 

Sebagai seorang Muslim,  tak kiralah sama ada lelaki atau wanita, perlunya kita memahami kedudukan kita sebagai seorang Muslim, sentiasanya diri kita bermatlamatkan mencari redha Allah SWT dalam hidup ini dan seterusnya iltizam (konsisten) dalam melaksanakan tanggungjawab ini.

Sebagai seorang Muslim,  sewajarnya kita melengkapkan diri  dengan pelbagai persiapan.  Kita perlu memiliki thaqafah (ilmu pengetahuan/ knowledge) yang berguna untuk melalui kehidupan ini. Bak kata pepatah Inggeris yang mengatakan 'Knowledge is power'. Ilmu itu adalah kekuatan atau kekuasaan  di mana dengan ilmu kita boleh menguasai sesuatu dengan jayanya, melalui ilmu kita dapat menguasai alam ini dan memanfaatkannya. Malah ayat pertama yang diturunkan kepada Rasulullah saw di Gua Hira juga berkaitan dengan ilmu iaitu Surah Al Alaq ayat 1-5 yang bermaksud,

" Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.  Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmu lah yang Maha Mulia. Yang mengajar manusia dengan pena. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya....."     

Sebenarnya,  kita perlu mempersiapkan diri dengan kekuatan ilmu yang berkaitan dengan syarak terutamanya yang menyentuh tentang kewajipan kita sebagai seorang Muslim. Di samping itu perlu juga kita mempunyai kekuatan ilmu berkaitan realiti semasa. Kita juga perlu memperlengkapkan diri dengan akhlaq mulia dan kemahiran-kemahiran tertentu agar kita benar-benar jadi ahli dalam melaksanakan tanggungjawab sama ada untuk diri atau masyarakat.

Antara tanggungjawab utama dan terpenting bagi seorang Muslim  yang perlu di beri perhatian yang serius adalah......

1.  Tanggungjawab pada deen (agama)

a.  Ini merupakan tanggungjawab yang paling penting untuk kita laksanakan terlebih dahulu melebihi yang lain. Tanggung jawab deen ini merupakan satu tuntutan syarak yang wajib kita laksanakan di mana perlunya kita melengkapkan diri agar kita beriman dengan Allah dengan keimanan yang benar-benar yakin. Iman yang mendasari jiwa, yang mengisi perasaan hati, merasa kepuasan diri kerana beriman padaNya. Iman ini memandu roh atau hati, mengatur fikiran dan amalan dengan kebenaran.

Perlunya kita memiliki keyakinan iman ini hingga sampai ke peringkat kita melihat dan merasai dijiwa bahawa setiap sesuatu dalam hidup ini mempunyai hubungan dengan Allah SWT. Hati kita sentiasa rasa dekat pada Allah SWT dan tidak lupa padaNya. Namun,  jika kita seringkali melupakan Allah dalam hidup ini, bermakna tahap keyakinan pada Allah masih belum mantap dan jelas, kita masih belum lagi melalui proses tarbiyah yang betul yang melahirkan keyakinan ini.

Apabila keyakinan kita pada Allah  longgar, ia tidak akan mampu berfungsi dalam kehidupan kita sebagaimana yang sepatutnya. Keimanan dan keyakinan yang tidak melalui proses tarbiyyah belum teruji dan tidak mampu melahirkan tindakan yang sewajarnya. Disaat suasana tenang, mungkin tiada masalah, tapi dalam suasana kritikal dan dilemma disitulah kita terpaksa membuat pilihan. Dan apa yang kita pilih sebenarnya sesuai dengan apa yang sudah ada di dalam hati.

Jika hati dipenuhi dengan iman dan keyakinan, maka pilihan kita sudah tentu menurut apa yang kita yakini. Namun jika jiwa yang kosong atau longgar dengan iman , pilihan yang dibuat akan berdasarkan nafsu dan kehendak diri bukannya kehendak iman! Maka sewajarnyalah diri perlu di proses lagi, di mantapkan keyakinan sehingga dalam suasana krtikal dan teruji, hati masih boleh berhubung dengan iman dan keyakinan pada Allah SWT.

Satu contoh sirah para sahabat bagaimana iman yang berada dijiwa dapat melahirkan tindakan yang ada hubungannya dengan Allah SWT walau pun dalam suasana yang begitu kritikal..........

' Dalam satu peperangan yang gawat yang berlaku di zaman Rasulullah saw dengan orang kafir, Saidina Ali pada suatu ketika dapat menumpaskan seorang musuh dan bersiap sedia untuk memancung dengan pedangnya. Disaat itu, musuh Allah itu meludah ke muka Saidina Ali.........Saidina Ali terkejut dan terhenti , tidak jadi memancung musuh tersebut sehingga musuh itu kehairanan lantas bertanya.....kenapakah tidak jadi memancung dan membunuhnya? Jawab Saidina Ali, " Aku takut aku membunuhmu kerana marah sebab kau meludahku bukannya aku membunuh mu kerana Allah" !


Begitu sekali! Jika kita berada ditempat Saidina Ali,  sudah tentu  dengan amarah kita , akan bertambah kuatnya hayunan pedang kita lagi untuk terus membunuh musuh Allah itu! Tapi Saidina Ali yang begitu sensitif gerak rasa hatinya....tidak rela melakukan sesuatu bukan kerana Allah! MasyaAllah........ begitu halusnya dan mantapnya didikan Rasulullah saw pada para sahabat sehingga sampai ketahap ini mereka masih boleh mampu mengawal diri dan berhubung dengan Allah!

Kita semak dan muhasabahlah diri kita......banyaknya tindakan kita dalam hidup ini yang tidak berhubung dengan Allah! Kita selalu hilang sabar, marah,  kecewa, sedih.... dan tindakan yang di ambil berdasarkan rasa hati ini, rasa hati yang tidak diproses untuk berhubung dengan Allah! Sebenarnya apabila hati tidak berhubung dengan Allah, maka ia akan berhubung dengan nafsu, berhubung dengan jahiliyyah, berhubung dengan bisikan syaitan! Kesannya tiada ketenangan dirasai dihati, sentiasa resah gelisah dan fikiran berkecamuk!

Jadi sebenarnya peranan iman cukup penting untuk melahirkan rasahati dan tindakan yang betul. Proses tarbiyyah membina iman dan keyakinan ini perlu kita jalani, kita teruskan dengan istiqamah walaupun lambat , tiada nokhtahnya sehinggalah kita kembali pada Allah SWT.  Sebenarnya inilah kerja kita yang aula walau di mana sahaja kita berada dan dalam apa jua suasana.

b.  Tanggungjawab deen yang kedua adalah disamping mempunyai iman dan keyakinan pada Allah SWT adalah iman dan  keyakinan pada hari akhirat. Itulah yang sebenarnya  matlamat akhir kehidupan kita. Hati kita mestilah betul-betul di bentuk, dididik dan diproses sehingga ia dipenuhi iman pada kehidupan akhirat yang sebenarnya. Dengan keyakinan yang mantap ini mendapat jaminan kebahagiaan di akhirat sana apabila kita kembali pada Allah SWT nanti.  

 Masyarakat hari ini sibuk memberi perhatian kepada kehidupan dunia,  bukannya sibuk memberi perhatian pada kehidupan akhirat.  Lihat sahajalah apa yang berlaku disekeliling kita.....banyaknya pesta itu dan ini, karnival itu dan ini...sehingga menenggelamkan manusia dalam keasyikan dunia! Kurangnya peringatan tentang kehidupan akhirat dkempenkan dalam media massa. Apa yang sering menjadi perhatian dan topik perbincangan....semuanya berkaitan dengan dunia, dunia dan dunia! Bukanlah kita hendak membuang dunia kerana dunia ini adalah ladang akhirat kita...... tapi perlunya kita diingatkan selalu akan kehidupan akhirat ini supaya kita tidak tenggelam dan dibawa arus dunia yang melekakan!

Apabila semata-mata dunia di fokuskan dalam hidup ini........ manusia tiada akan lagi memilik hati nurani yang bersih yang membolehkan dia melihat dan menyaksikan kehidupan akhirat yang terbentang luas dan  abadi selamanya. Dalam hati manusia ini sebenarnya tidak boleh ada dua kecintaan....kena pilih  salah satu
...sama ada cinta dunia atau cinta akhirat! Bila kita cinta dunia maka akan hilanglah akhirat; tetapi bila kita cinta akhirat kita dapat kedua-duanya sekali dunia dan akhirat!

Lemahnya keyakinan terhadap kehidupan akhirat inilah yang menyebabkan berlakunya banyak penyelewengan dalam kehidupan umat Islam hari ini. Walaupun kita mendakwa yakin dengan hari akhirat dan menghafal rukun beriman pada hari akhirat, namun dari segi kehidupan jelas tidak membuktikan keyakinan ini.

 Kita selalu menilai sesuatu  berdasarkan pandangan materialistik. Kita membuat pilihan berdasarkan pilihan materialistik. Kita remehkan penilaian berdasarkan pandangan akhirat kerana ia kurang popular dalam masyarakat. Kita tidak rasa izzah (tinggi) dengan nilai akhirat yang nak di utarakan. Kita akur pada plihan majoriti yang tiada hubungannya dengan akhirat. 

Bagaimanakah kita hendak membina keyakinan kepada hari akhirat ini, seolah-olah kita menyaksikan siksaan  dan nikmat Allah di hadapan mata kita? Bagaimanakah kita nak merasainya di dalam jiwa kita sehingga menimbulkan rasa takut padaNya?

Didalam Al-Quran, sebenarnya terdapat banyak ayat-ayat yang memperkatakan tentang azab dan siksaan   yang di sediakan untuk orang yang ingkar  serta nikmat Allah SWT untuk orang yang taat dan beriman padaNya.  Surah-surah Makkiyah (diantaranya terdapat pada juzuk 29-30) banyak menerangkan tentang hari akhirat ini seperti surah Al-Waqiah, Al-Zalzalah, At-Takwir...dan banyak lagi. Surah-surah begini jika dihayati dapat membina keyakinan hati akan hari akhirat, nikmat dan siksaan yang disediakan pada hari itu.

Sahabat-sahabat generasi awal telah dididik oleh Rasulullah saw dengan ayat-ayat ini, apabila mereka membaca dan melafazkan ayat-ayat ini, lantas mereka terus nampak dan yakin pada hari akhirat. Apabila ayat Al-Quran diturunkan, mereka terus melaksanakan tuntutan beriman pada hari akhirat di dalam kehidupan  didunia. Rasa hati mereka ini cukup sensitif dan responsif dengan segala tuntutan dan saranan Allah.

Jadi beginilah sepatutnya rasa hati kita bila kita membaca ayat-ayat Al-Quran! Barulah apa yang kita baca meresap dan membekas dijiwa. Al- Quran ini bukan setakat untuk dibaca dan dihafal sebanyak mungkin, tetapi perlu kita fahami maksudnya, merasai dijiwa tuntutanNya dan melaksanakan arahan dan menjauhi laranganNya.

Untuk mendapat jiwa yang sensitif dan responsif dengan ayat-ayat Al-Quran,  hati dan perasaan kita sendiri perlu melalui proses tarbiyyah yang betul supaya benar-benar menerima hakikat beriman kepada hari akhirat. Untuk mengubah hati kita, kita sendiri mestilah menjalani proses ini bukannya mengharapkan orang lain mentarbiyah diri kita,. Orang lain hanya boleh membantu tetapi kitalah yang perlu berusaha mentarbiyyah diri sendiri.  Sama-samalah kita renungi kata-kata dan ayat al-Quran   ini....

' Tarbiyyah itu di tangan kamu dan ditangan kamu sahaja."
' Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib satu kaum sehinggalah mereka  mengubah apa yang ada dalam  diri mereka sendiri."  (Surah Ar-Rad:11)

Realitinya dalam masyarakat Islam sekarang, keyakinan pada hari akhirat yang mendasari jiwa begitu asing sekali. Meskipun ayat-ayat Allah SWT di baca dan dilafazkan, namun ia tidak masuk kedalam jiwa, tidak terlintas dalam fikiran untuk dibawa dalam kehidupan dan tidak memberi kesan dihati nurani!  Al-Quran cuma jadi perhiasan di dinding dan dihafal sebagai ubat penawar penyakit dalam rawatan alternatif, untuk menghalau jin dan syaitan dsbnya....... Satu kerugian yang besar bila ayat-ayat Allah dibacakan, kita tidak mengambil pelajaran darinya!

c.  Tanggungjawab deen yang ketiga adalah perlunya kita meneliti akan segala perintah dan larangan Allah SWT dan seterusnya melaksanakan apa yang disuruh dan menjauhi apa yang dilarangNya. Dekati Al-Quran, hadith-hadith Rasul, buku-buku ulamak yang muktabar untuk mengetahui akan segala tuntutan wajib syarak.  Jangan biarkan diri kita berada dalam keadaan jahil tentang agama kita sendiri. Membiarkan diri dalam kejahilan merupakan satu dosa; kerana dengan kejahilan ini boleh mencampakkan diri sendiri dalam kebinasaan dan kemurkaan Allah!

Bertanyalah kepada mereka yang berilmu jika ada kemusykilan tentang hukum syarak. Korbankan sebahagian dari wang ringgit kita untuk membeli buku-buku agama yang banyak di pasaran untuk menambahkan ilmu di dada. Luangkan masa,tenaga dan wang ringgit kita untuk menghadiri ceramah-ceramah ilmu samada di surau, masjid atau di institusi pengajian.

Ingatlah segala pengorbanan yang kita curahkan dijalan Allah untuk memperbaiki diri merupakan jihad dijalanNya. Dan ingatlah segala usaha yang kita lakukan ini merupakan  muqaddimah untuk mendapatkan hidayah Allah yang sebenarnya cukup mahal dan berharga! Mudah-mudahan dengan ini, insyaAllah , Allah akan meningkatkan rasa hati kita untuk terus mencari hidayahNya dan melaksanakan tuntutanNya!

Apabila penelitian yang sungguh-sungguh dilakukan pada segala suruhan dan tegahan Allah SWT ini, ia akan melahirkan kefahaman dan kesedaran yang betul pada jiwa masyarakat Islam. Dengan kefahaman dan kesedaran yang betul inilah yang akan mengelakkan masyarakat Islam dari mencampur adukkan nilai Islam dan nilai Jahiliyyah dalam pelbagai aktiviti kehidupan. Ia juga akan dapat mengatasi masaalah Islam yang diterima secara adat dan warisan sahaja.

Sepatutnya Islam ini bukannya diterima sebagai warisan dari satu generasi ke satu generasi sahaja, ia sewajarnya diterima melalui kefahaman, kesedaran dan keyakinan yang betul.  Islam yang diterima oleh masyarakat mestilah sepertimana yang diterima dari Rasulullah saw dan para sahabatnya dari sumbernya yang soheh iaitu Al-Quran, sunnah dan sirah Rasul serta ulamak muktabar yang jelas kefahaman mereka terhadap Islam.

Kesimpulannya, tanggungjawab pertama dan utama terhadap deen Allah ini mestilah dilaksanakan dalam diri,  keluarga dan masyarakat. Tanggungjawab inilah yang Allah akan persoalkan kepada setiap diri individu Islam setakat manakah kita telah melaksanakannya dalam hidup ini. Ini satu tuntutan wajib yang kita tidak boleh pandang ringan!

Jadi mulailah dari sekarang.....janganlah kita berlengah lagi, masa tidak menunggu kita, setiap hari ia akan berlalu pergi, umur kita semakin bertambah dan hayat kita semakin singkat!! Mohonlah kekuatan dan pertolongan dan taufik dari Allah supaya kita dapat melaksanakan tangungjawab ini. Amin

(Bersambung)
Tanggungjawab kedua Muslim....

Rujukan
Sumber Tarbawi
Tafsir fizilal Quran.

Sunday, September 11, 2011

Sakaratul maut...adakah kita bersedia menghadapinya?

Bismillahirrahmanirrahim......

Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah SWT kerana masih diberiNya kesempatan lagi untuk menghirup udara dunia ini.....setiap hari sebenarnya adalah bonus dalam kehidupan yang singkat ini. Saban hari ku terdengar dan melihat di dada akhbar dan TV berita-berita kematian.....di musim raya ini kematian disebabkan kemalangan paling kerap ku dengari. Setiap kali berita ini  akan menggusarkan diriku.....aduh... mereka-mereka ini  dah sampai masa menghadap  Tuhan, samada bersedia atau tidak, ajal mereka sudah sampai yang mana tidak akan ditunda sesaat ke hadapan atau kebelakang! 

Namun setakat menggusarkan hati tidak mencukupi jika tidak disusuli amalan yang sepatutnya dilakukan sebagai persediaan untuk mati.  Kekadang ku rasakan kesibukan kita dengan dunia... sering melalaikan diri
ini. Apakah persediaan lain lebih besar dari persediaan untuk mati? Memang semua kita akan mengakui hakikat ini.....buatlah sebanyaknya persediaan untuk hari terakhir kita!!

Dibulan puasa yang lepas ku telah menyaksikan ibu mertua ku menghadapi saat-saat kematiannya.....masih lagi terbayang jelas di mataku, begitulah keadaannya sesaorang yang sedang menghadapi sakaratul maut.....! Diketika itu bergelut dalam ujian dan dugaan syaitan yang menyesatkan.....hanya  amalan kita dan pertolongan dari Allah SWT yang Maha Mengasihani yang dapat membantu kita melepasi ujian tersebut dan mengakhiri hidup ini dalam husnul khatimah (kesudahan yang baik) . 

Sakaratul maut adalah satu pertarungan yang dahsyat. Setiap orang pasti akan melaluinya kerana Allah telah menetapkan kematian bagi setiap yang bernyawa.  Firman Allah dalam surah Ar-Rahman ayat 26-27 yang bermaksud....
"Semua yang dibumi akan binasa, dan tetap kekal Zat Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan." 

Perumpamaan kematian itu seperti yang diberitahu oleh Kaab kepada Umar Al- Khattab....
Ia bagaikan seorang lelaki yang dipukul dengan pokok bidara (yang dipenuhi duri yang tajam). Setiap duri itu masuk dan menusuk setiap urat saraf. Apabila pokok itu ditarik dengan kuat, setiap duri yang melekat pada urat saraf itu akan ikut tercabut bersamanya.
MasyaAllah sakitnya tidak terkata.....suara  tenggelam, tidak boleh terkeluar untuk menjerit kerana terlalu sakit!

Seorang sahabat Rasulullah saw iaitu Abu Darda ra. menjelang kematiannya berkata....
Adakah orang yang sanggup melawan pertarungan yang dahsyat ini?
Adakah orang yang mampu melawan kematian ini?
Adakah orang yang kuasa menghadapi huru hara ini? 

Justru itu Allah SWT sentiasa mengingatkan kita tentang kematian di dalam Al-Quran. FirmanNya dalam surah Al-Baqarah ayat 281 yang bermaksud....
"Dan peliharalah diri kamu dari (azab yang terjadi) pada hari yang waktu itu kamu dikembalikan kepada  Allah ( kematian). Kemudian masing-masing akan diberi balasan yang sempurna terhadap apa-apa yang telah dikerjakan sedangkan mereka sedikit pun tidak dianiaya."

Namun demikian, walaupun Allah SWT telah memberikan peringatan demi peringatan akan musibah besar ini, sungguh ramai umat manusia yang lalai, leka dan terbuai dengan kenikmatan duniawi! Walaupun saban hari mendengar malah mungkin ada yang menyaksikan kematian di depan mata, namun jiwanya masih belum terkesan dengan hakikat mati ini. Hanya setelah berlakunya kematian pada diri yang akan menyedarkannya kelak. Pada ketika itu nasi sudah menjadi bubur! Tidak mungkin kembali semula kedunia untuk menebus kembali segala yang dilalai dan dilekakan!   

Firman Allah dalam surah Qaf ayat 22 yang bermaksud....
" Sesungguhnya kamu berada dalam keadaan lalai dari (hal) ini, maka Kami singkapkan daripadamu tutup (yang menutupi) matamu , maka penglihatanmu pada hari itu amat tajam." 

Disaat kematian kita, segalanya akan tersingkap.....amalan-amalan kita sama ada baik atau jahat, semuanya akan dipaparkan dihadapan mata kita......, malah kita juga akan mengetahui kemanakah kita akan dicampakkan sama ada kesyurga atau neraka!

Kita lihat para sahabat Rasulullah saw telah bertahun-tahun mempersiapkan diri menghadapi kematian dan sakaratul maut. Mereka  benar-benar merasai tentang hakikat ini dalam jiwa sehingga mereka sedikit pun tidak lalai dan leka dalam hidup ini mencari bekalan amal soleh dan sentiasa menunaikan hak dan tanggung jawab pada Allah SWT. Seluruh hidup ini adalah persiapan untuk menghadapi kematian.

Menjelang kematian mereka, sahabat-sahabat Rasulullah saw begitu takut dan menangis untuk menghadapinya, contohnya seperti  Panglima perang tentera Muslimin di zaman Rasulullah iaitu ' Amr bin Al- 'Ash yang menangis tanpa hentinya menjelang kematian beliau.  Jadi, bilakah lagi manusia akan menangis jika tidak menangis pada ketika itu? Bilakah lagi dia bersiap sedia menghadapi kematian ini? Bilakah lagi dia akan menyesal jika tidak  menyesal pada saat-saat menggerunkan ini?

Apabila puteranya Abdullah cuba menghiburkan dengan menyatakan segala apa yang telah diperbuatnya adalah untuk Islam, dia tetap menangis dan mengenang fasa-fasa kehidupan yang dilaluinya. Dia merasai ada ketikanya dunia sempat mempermainkan dirinya sehingga dia merasakan sekarang dia tidak tahu sama ada dia akan di dimasukkan kesyurga atau dicampakkan keneraka.  Walaubagaimanapun, dirinya masih utuh dan tetap berpegang pada kalimah yang sangat diperlukan ketika berhadapan dengan Allah iaitu kalimah Laa illa ha illallah, Muhammadur rasulullah. Kemudian Amr menggengam erat tangannya seolah-olah dia memegang erat kalimah itu. 

Setelah dia mengucapkan dua kalimah syahadah itu, Amr pun meninggal dunia. Meskipun setelah dimandikan dan dikafankan, dan kaum muslimin cuba melepaskan genggaman tangan Amr berulang kali, namun tidak berjaya tetap kembali pada asalnya sehinggalah mereka menguburkannya dalam keadaan tangan tergenggam erat. 

Muaz bin Jabal pula menjelang kematiannya di pagi waktu sahur pula menanti-nantikan terbitnya waktu fajar lantas berdoa pada Allah agar melindunginya dari pagi yang mungkin akan membawanya keneraka. Dia mengatakan dalam hidup ini dia hanyalah mencintai kehidupan dunia ini kerana  3 perkara iaitu untuk berpuasa disiang hari, berqiyamulail dimalam hari dan untuk berkumpul dengan ulama di majlis-majlis zikir.

Itulah hakikat kehidupan didunia sebenar sebagaimana yang di fahami oleh para sahabat. Hidup ini bukanlah untuk makan-makan, bermain, mengikuti hawa nafsu syahwat, menikmati hiburan-hiburan yang menggoda, melakukan perbuatan-perbuatan keji, menyanyi dengan lagu-lagu lucah, membaca majalah-majalah lucah, duduk lepak membuang masa, mengumpat keji keaiban orang.....kehidupan sebegini adalah satu kehidupan yang kosong, hampa tidak bermakna, angan-angan kosong , tidak memberi manfaat sedikit pun malah mendatangkan kesengsaraan dan penyesalan yang luar biasa kepada sesiapa yang melakukannya!

Sama-samalah kita renungi kata-kata Saidina Ali ra. yang menyentuh kalbu kerana ia keluar dari hati yang suci dan ikhlas kerana Allah SWT.
"  Dunia pasti ditinggalkan pergi sedangkan akhirat sudah siap menanti.  Oleh itu jadilah kamu sebagai anak-anak akhirat, dan janganlah kamu menjadi anak-anak dunia. Hari ini adalah hari beramal tanpa hisab sedangkan esok (hari akhirat) adalah hari hisab bukannya hari beramal." 

Jadi sesungguhnya, yang dituntut dari kita sekelian orang Islam sebelum menghadapi sakaratul maut ada beberapa perkara....iaitu

1. Hendaklah sentiasa mengingati kematian sepanjang pagi dan petang. 
Disinilah letaknya kesalahan kita dimana kita melupakan hari yang menggerunkan tersebut, tidak mahu ambil tahu akan kejadian-kejadian luar biasa yang bakal terjadi pada saat itu dan hari-hari selepas kematian kita. Kelupaan kita pada kematian menyebabkan kita terjatuh ke dalam perbuatan maksiat, menuruti hawa nafsu, tidak ambil berat akan perbuatan syubhat malah suka melakukan perlanggaran akan hukum-hukum Allah sehingga Allah murka kepada kita! Nauzubillahiminzaalik..

Di antara cara yang paling bermanfaat mengingati kematian adalah dengan selalu menziarahi kubur, memberi salam pada penghuninya dan mendoakan mereka sambil mengingatkan diri kita bagaimana mereka ketika dijemput oleh pemutus segala kenikmatan iaitu kematian. Ada yang mati ketika memandu kereta mewah, ada yang mati kemalangan, ada yang mati dibunuh, ada yang mati ketika sedang bermaksiat pada Allah.......

Disamping itu memperingati kematian melalui pergaulan dengan orang-orang yang soleh,  menziarahi mereka, menimba ilmu dari mereka dengan menghadiri majlis-majlis pengajian, ceramah-ceramah agama mendengarkan nasihat , memohonkan doa dari mereka dan mencintai mereka.  

2. Memahami dan sentiasa bersama Al-Quran, menghafal apa yang termampu dari Al-quran dan mengamalkannya. 
 Orang soleh berkata," Dahulu aku sering membaca buku-buku nasihat dan penawar hati, namun setelah aku bandingkan dengan Al-Quran, ia tidak sehebat Al-Quran." 

Jika Al-Quran itu meresap dalam hati yang suci bersih, pasti ia mempunyai kesan yang luar biasa.  Oleh kerana itu Rasulullah berpesan  dalam  hadithnya...
" Bacalah Al-Quran, ia akan datang pada hari kiamat untuk memberi syafaat kepada para pembacanya.." (Riwayat Muslim)

" Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya." (Al-Bukhari)

3. Pendek angan-angan 
Pendek angan-angan terhadap dunia yang bersifat sementara, penuh tipu daya, sering melekakan manusia dari matlamat kehidupan dunia yang sebenarnya.

 Dari Ibnu Umar ra berkata Rasululllah saw telah menarik kedua bahuku seraya berkata, " Jadilah kamu di alam dunia ini seperti orang asing atau bagaikan orang yang sedang bermusafir."

Ibnu Umar sering berkata...." Apa yang patut kamu lakukan diwaktu pagi jangan tunggu diwaktu petang. Dan apa yang patut kamu lakukan diwaktu petang jangan tunggu diwaktu pagi.  Gunakanlah kesihatanmu dengan baik sebelum kamu sakit. Dan pergunakanlah dengan baik 
kehidupanmu sebelum datang kematian."   

Di samping itu ,kita juga dituntut agar segera bertaubat pada Allah SWT kerana orang yang bersiap sedia menghadapi kematian adalah mereka yng sentiasa segera bertaubat dan sering memperbaharuinya pagi dan petang.  Kita disuruh sentiasa berdoa agar mati dalam keadaan baik.  Dalam hidup ini kita perlu sentiasa bersungguh-sungguh melakukan amal soleh jangan suka bertangguh-tangguh, kerana bila kematian datang ia tidak boleh ditangguh-tangguhkan lagi!

Jadi sama-samalah kita bersiap sedia dari awal lagi, jangan amalkan budaya last minute atau budaya better late than never! Kita tidak boleh menjagakan apakah kesudahan nasib kita nanti..... sedangkan orang-orang soleh , para sahabat Rasulullah begitu gusar dan takut menghadapinya....sepatutnya kita yang kurang amal dan banyak dosa ini lebih-lebih lagi ketakutan dan kegusaran menghadapi mati.

 Semoga Allah menetapkan hati kita semua dengan kalimah tauhid didunia dan diakhirat nanti, insyaAllah!   




Sunday, September 04, 2011

Teruskan mujahadah diri dan tingkatkan amalan.....walaupun telah berakhirnya Ramadhan!

Bismillahirrahmanirrahim...

Dengan izin Allah SWT, Ramadhan bulan rahmat, bulan keampunan dan bulan pembebasan dari api neraka ,   kini telah pun berlalu, diikuti dengan Hari Eidul Fitri ....dan kini telahpun memasuki hari ke 6 Syawal. Namun, adakah kita menyedari dan merasai  kesan bulan Ramadhan yang merupakan bulan tarbiah pada diri kita setelah kita menjalani ibadah puasa ini selama sebulan? Adakah diri kita ini tertingkatnya rasa keterikatan hati dengan Islam, dengan Al Quran, dengan segala suruhan Allah dan menjauhi laranganNya? Sepatutnyalah apabila kita telah menjalani latihan intensif selama sebulan bermujahadah nafsu dan meningkatkan amal ibadah kita, komitmen kita akan bertambah, rasa hati bertambah sensitif, badan menjadi lebih  ringan melakukan ibadah, akhlak bertambah baik, sifat mazmumah dapat dibuang......!!

Itulah natijah sebenar puasa yang telah kita jalani.....tidak sia-sia kita menahan diri dengan berlapar dan dahaga dan mengawal nafsu kita! Namun jika kita teliti dan perhatikan dalam realiti disekeliling kita....sebenarnya masyarakat Islam masih belum mencapai tahap ini. Mungkin ada segelintir yang telah berjaya melalui tarbiyah Ramadhan ini, tapi majoriti masih belum lagi tercapai! Kenapa masih berlaku demikian walaupun saban tahun menjalani ibadah puasa? Ada sesuatu yang tidak kena disini......yang perlu diberi perhatian serius!

Selagi kita tidak berjaya menahan dan mengawal nafsu diri, selagi itulah  sebenarnya kita gagal meraih takwa dari ibadah puasa yang dijalani. Gagalnya mentarbiah diri dan mempertingkatkan rasa hati agar lebih sensitif dengan saranan Allah.......! Sama-sama kita renungkan ayat Quran yang mewajibkan taklif berpuasa ini......

"Wahai orang-orang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu dari kamu agar kamu bertakwa."  (Surah Al-Baqarah-183)

Perintah melaksanakan puasa ini ditujukan kepada orang-orang yang beriman.....satu panggilan khusus penuh kecintaan  dari Allah kepada mereka supaya mudah-mudahan melaluinya dapat di tingkatkan takwa padaNya.  Jadi jelas tujuan puasa agar bertakwa pada Allah, di mana melalui takwa inilah  yang membangkitkan kesedaran jiwa sehingga mau melaksanakan suruhan Allah ini dengan penuh rasa  redha dan taat padaNya.  Melalui rasa takwa ini jugalah yang dapat menjaga hati supaya tidak merosakkan puasa dengan maksiat walaupun berupa getaran hati. Orang yang beriman mengetahui kedudukan takwa di sisi Allah, ia merupakan kemuncak ketinggian rohani dan ia boleh di perolehi  melalui jalan berpuasa. 

Jadi, tanpa iman  atau hanya dengan iman yang tipis di dada, pelaksanaan ibadah puasa ini hanya merupakan rutin tahunan yang kurang memberi kesan dijiwa , tindakan seharian dan seluruh kehidupan manusia. Puasa ini adalah satu peringkat mujahadah diri yang sanggup mengorbankan kepentingan diri untuk keredhaan Allah! Mana mungkin sesaorang itu sanggup bersusah payah mengenepikan hawa nafsu dalam diri jika tahap keyakinan pada Allah masih longgar, hubungan dengan Allah hanya ketika solat itupun solat touch and go sahaja dan penyerahan pada Allah dalam seluruh kehidupan masih berbelah bagi! Jadi masa bulan puasa atau bulan yang lain  tidak jauh berbeza dari segi akhlak ...yang bezanya hanya lapar dan dahaga sahaja yang diperolehi pada bulan puasa!

Sama juga seperti taklif untuk solat, haji, zakat..... Semua perintah Allah ini datang hanya sesudah iman mendasari jiwa sahabat-sahabat generasi Al-Quran yang pertama (Tahap Madaniyyah). Allah Maha Mengetahui bahawa tanpa iman yang mendasari jiwa , semua perintah suruhan dan larangan adalah berat untuk dilaksanakan dan tidak akan tercapai maksud dan matlamatnya!

Tanpa kekuatan dalaman diri, sebenarnya kita tidak akan mampu menolak mungkar , kita bergelumang dengan maksiat walaupun kita anggap dosa kecil, kita akan menangguh-nangguhkan melakukan kebaikan dengan alasan kita tak cukup baik lagi, kita akan rasa berat untuk terima kebenaran walaupun pahit.....

Jadi kekuatan dalaman diri iaitu kekuatan iman merupakan satu faktor yang penting untuk mencetuskan tindakan yang sepatutnya kita ambil. Kekuatan inilah yang perlu kita bina dan pupuk selalu  dalam hati kita. Kita lakukan dengan istiqamah walaupun sedikit kerana kesannya pada jiwa adalah untuk jangka masa yang panjang. Pepatah Melayu ada mengatakan sedikit demi sedikit, lama-lama akan menjadi bukit. Jadi walaupun yang kita buat itu sedikit, tapi berterusan impaknya lebih besar.  Renungi sabda Rasulullah yang bermaksud....

"Lakukanlah amal sesuai dengan kemampuanmu kerana sesungguhnya Allah tidak merasa bosan sehingga kamu sendiri merasa bosan. Sesungguhnya amalan yang paling disukai oleh Allah ialah yang dilakukan secara berterusan walau pun sedikit." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Segala amalan yang kita lakukan dibulan puasa yang lepas perlulah kita teruskan, seperti solat malam, membaca dan mentadabbur Al-Quran, zikir, istighfar, sedekah dan puasa sunat. Kita sama-sama cuba melaksanakannya walaupun sedikit tapi berterusan. Mudah-mudahan dengan kesungguhan dan keikhlasan dalam diri kita itu Allah akan tingkatkan keimanan dan ketakwaan kita padaNya. Dengan demikian akan terdoronglah jiwa kita untuk
melaksanakan lebih banyak lagi tuntutan Allah SWT pada kita dan  lebih terkawallah diri kita dari melakukan kemungkaran padaNya, insyaAllah.

Benarlah kata pepatah apa yang kamu usaha , itulah yang kamu dapat. Jika kita berusaha bersungguh-sungguh menuju Allah  dan Akhirat, itulah  yang kita dapat. Allah akan membentangkan jalan seluas-luasnya untuk kita mendekatiNya dan memperoleh kejayaan disisiNya. Itulah jalan terbaik yang perlu diikuti dan kesenangan yang diperolehi adalah abadi selamanya. 

Namun jika kita berusaha bersungguh-sungguh untuk dunia kita, dunia juga yang kita perolehi dengan segala macam kemewahan dan kesenangan, pangkat dan harta. Tapi haruslah diingat bahawa kesenangan ini hanya bersifat sementara dan kesenangan yang menipu belaka! Jadi perlunya waspada diri dalam mengejar dunia.  

Dunia yang dikejar bukan untuk matlamat diri semata namun segalanya perlu di manfaatkan untuk jalan Allah SWT. Barulah kita telah meng'akhirat'kan dunia kita......kita memberi nilai tambah pada dunia yang kita kejar. Jika tidak, sebenarnya disisi Allah, dunia ini tiada nilainya walaupun sebesar sehelai kepak nyamuk! Jika ada nilai dunia ini disisi Allah, nescaya Allah akan menahan semua pemberianNya pada orang kafir yang sangat ingkar padaNya. Namun kita lihatlah disekeliling kita ramainya para jutawan terdiri dari orang kafir seperti Bill Gates, Warren Buffet, Carlos Slim, Rupert Murdoch..... di Malaysia, sperti Ananda Krishnan, Robert Kuok dsbnya....

Jadi, dalam hidup ini letakkanlah apakah prioriti dalam diri, apa yang kita nak kejar didunia ini, jalan mana harus kita ikuti, apakah kesan jangka panjang yang akan kita terima kelak, bagaimanakah kesudahan kita......dan macam-macam persoalan yang seharusnya kita fikirkan. Namun kesudahan akhirnya bagi setiap diri...... kita akan menghadap Allah sendiri-sendiri, membawa beban yang kita bawa padaNya, setiap amalan kita akan dibentangkan dihadapanNya, mulut kita akan terkunci, dan setiap pancaindera kita menjadi saksi atas setiap apa yang kita lakukan!  Dapat ke kita melepaskan diri dari penghisaban Allah yang Maha Teliti?

Sama-samalah kita renung-renungkan dan fikir-fikirkan...sebelum tiba ajal maut menjemput kita............... mungkin ia datang tanpa amaran!



Hakikat hidup ini...

Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...