MENUJU MARDHOTILLAH

Belajar merupakan satu jihad di jalan Allah. Mengajar merupakan suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah! ..Jadi belajar dan mengajarlah dengan penuh keikhlasan padaNYA.

Thursday, September 29, 2011

Apakah tanggungjawab kita yang pertama dan utama sebagai seorang Muslim (1).


Bismillahirrahmaanirrahim.....

Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah SWT kerana dengan izinNYa, pada kali ini dapat ku teruskan perkongsian di blog ku ini semata-mata kerana ingin memperingati diriku yang sememanglah sering terlalai dan terleka dek dunia dan nafsu yang mempengaruhi.....Sebagai insan biasa itulah hakikat diri kita ini, ada kalanya iman kita turun dan naik selalu, hati berbolak balik, jadi perlu sentiasa diperingatkan apakah matlamat sebenarnya kehidupan ini, bagaimana kita harus melaluinya dan apakah tanggungjawab yang perlu kita laksanakan.  

Sebenarnya tanggungjawab kita sangat banyak,  melebihi masa yang kita ada, cuma terpulanglah kepada diri sendiri untuk bersedia memikul tanggungjawab tersebut. Dalam banyak-banyak tanggungjawab yang ada,  kita kena mengutamakan apa yang penting dari yang penting kerana kita tidak punya cukup masa untuk melaksanakan kesemua sekali gus.....! 

Sebagai seorang Muslim,  tak kiralah sama ada lelaki atau wanita, perlunya kita memahami kedudukan kita sebagai seorang Muslim, sentiasanya diri kita bermatlamatkan mencari redha Allah SWT dalam hidup ini dan seterusnya iltizam (konsisten) dalam melaksanakan tanggungjawab ini.

Sebagai seorang Muslim,  sewajarnya kita melengkapkan diri  dengan pelbagai persiapan.  Kita perlu memiliki thaqafah (ilmu pengetahuan/ knowledge) yang berguna untuk melalui kehidupan ini. Bak kata pepatah Inggeris yang mengatakan 'Knowledge is power'. Ilmu itu adalah kekuatan atau kekuasaan  di mana dengan ilmu kita boleh menguasai sesuatu dengan jayanya, melalui ilmu kita dapat menguasai alam ini dan memanfaatkannya. Malah ayat pertama yang diturunkan kepada Rasulullah saw di Gua Hira juga berkaitan dengan ilmu iaitu Surah Al Alaq ayat 1-5 yang bermaksud,

" Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.  Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmu lah yang Maha Mulia. Yang mengajar manusia dengan pena. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya....."     

Sebenarnya,  kita perlu mempersiapkan diri dengan kekuatan ilmu yang berkaitan dengan syarak terutamanya yang menyentuh tentang kewajipan kita sebagai seorang Muslim. Di samping itu perlu juga kita mempunyai kekuatan ilmu berkaitan realiti semasa. Kita juga perlu memperlengkapkan diri dengan akhlaq mulia dan kemahiran-kemahiran tertentu agar kita benar-benar jadi ahli dalam melaksanakan tanggungjawab sama ada untuk diri atau masyarakat.

Antara tanggungjawab utama dan terpenting bagi seorang Muslim  yang perlu di beri perhatian yang serius adalah......

1.  Tanggungjawab pada deen (agama)

a.  Ini merupakan tanggungjawab yang paling penting untuk kita laksanakan terlebih dahulu melebihi yang lain. Tanggung jawab deen ini merupakan satu tuntutan syarak yang wajib kita laksanakan di mana perlunya kita melengkapkan diri agar kita beriman dengan Allah dengan keimanan yang benar-benar yakin. Iman yang mendasari jiwa, yang mengisi perasaan hati, merasa kepuasan diri kerana beriman padaNya. Iman ini memandu roh atau hati, mengatur fikiran dan amalan dengan kebenaran.

Perlunya kita memiliki keyakinan iman ini hingga sampai ke peringkat kita melihat dan merasai dijiwa bahawa setiap sesuatu dalam hidup ini mempunyai hubungan dengan Allah SWT. Hati kita sentiasa rasa dekat pada Allah SWT dan tidak lupa padaNya. Namun,  jika kita seringkali melupakan Allah dalam hidup ini, bermakna tahap keyakinan pada Allah masih belum mantap dan jelas, kita masih belum lagi melalui proses tarbiyah yang betul yang melahirkan keyakinan ini.

Apabila keyakinan kita pada Allah  longgar, ia tidak akan mampu berfungsi dalam kehidupan kita sebagaimana yang sepatutnya. Keimanan dan keyakinan yang tidak melalui proses tarbiyyah belum teruji dan tidak mampu melahirkan tindakan yang sewajarnya. Disaat suasana tenang, mungkin tiada masalah, tapi dalam suasana kritikal dan dilemma disitulah kita terpaksa membuat pilihan. Dan apa yang kita pilih sebenarnya sesuai dengan apa yang sudah ada di dalam hati.

Jika hati dipenuhi dengan iman dan keyakinan, maka pilihan kita sudah tentu menurut apa yang kita yakini. Namun jika jiwa yang kosong atau longgar dengan iman , pilihan yang dibuat akan berdasarkan nafsu dan kehendak diri bukannya kehendak iman! Maka sewajarnyalah diri perlu di proses lagi, di mantapkan keyakinan sehingga dalam suasana krtikal dan teruji, hati masih boleh berhubung dengan iman dan keyakinan pada Allah SWT.

Satu contoh sirah para sahabat bagaimana iman yang berada dijiwa dapat melahirkan tindakan yang ada hubungannya dengan Allah SWT walau pun dalam suasana yang begitu kritikal..........

' Dalam satu peperangan yang gawat yang berlaku di zaman Rasulullah saw dengan orang kafir, Saidina Ali pada suatu ketika dapat menumpaskan seorang musuh dan bersiap sedia untuk memancung dengan pedangnya. Disaat itu, musuh Allah itu meludah ke muka Saidina Ali.........Saidina Ali terkejut dan terhenti , tidak jadi memancung musuh tersebut sehingga musuh itu kehairanan lantas bertanya.....kenapakah tidak jadi memancung dan membunuhnya? Jawab Saidina Ali, " Aku takut aku membunuhmu kerana marah sebab kau meludahku bukannya aku membunuh mu kerana Allah" !


Begitu sekali! Jika kita berada ditempat Saidina Ali,  sudah tentu  dengan amarah kita , akan bertambah kuatnya hayunan pedang kita lagi untuk terus membunuh musuh Allah itu! Tapi Saidina Ali yang begitu sensitif gerak rasa hatinya....tidak rela melakukan sesuatu bukan kerana Allah! MasyaAllah........ begitu halusnya dan mantapnya didikan Rasulullah saw pada para sahabat sehingga sampai ketahap ini mereka masih boleh mampu mengawal diri dan berhubung dengan Allah!

Kita semak dan muhasabahlah diri kita......banyaknya tindakan kita dalam hidup ini yang tidak berhubung dengan Allah! Kita selalu hilang sabar, marah,  kecewa, sedih.... dan tindakan yang di ambil berdasarkan rasa hati ini, rasa hati yang tidak diproses untuk berhubung dengan Allah! Sebenarnya apabila hati tidak berhubung dengan Allah, maka ia akan berhubung dengan nafsu, berhubung dengan jahiliyyah, berhubung dengan bisikan syaitan! Kesannya tiada ketenangan dirasai dihati, sentiasa resah gelisah dan fikiran berkecamuk!

Jadi sebenarnya peranan iman cukup penting untuk melahirkan rasahati dan tindakan yang betul. Proses tarbiyyah membina iman dan keyakinan ini perlu kita jalani, kita teruskan dengan istiqamah walaupun lambat , tiada nokhtahnya sehinggalah kita kembali pada Allah SWT.  Sebenarnya inilah kerja kita yang aula walau di mana sahaja kita berada dan dalam apa jua suasana.

b.  Tanggungjawab deen yang kedua adalah disamping mempunyai iman dan keyakinan pada Allah SWT adalah iman dan  keyakinan pada hari akhirat. Itulah yang sebenarnya  matlamat akhir kehidupan kita. Hati kita mestilah betul-betul di bentuk, dididik dan diproses sehingga ia dipenuhi iman pada kehidupan akhirat yang sebenarnya. Dengan keyakinan yang mantap ini mendapat jaminan kebahagiaan di akhirat sana apabila kita kembali pada Allah SWT nanti.  

 Masyarakat hari ini sibuk memberi perhatian kepada kehidupan dunia,  bukannya sibuk memberi perhatian pada kehidupan akhirat.  Lihat sahajalah apa yang berlaku disekeliling kita.....banyaknya pesta itu dan ini, karnival itu dan ini...sehingga menenggelamkan manusia dalam keasyikan dunia! Kurangnya peringatan tentang kehidupan akhirat dkempenkan dalam media massa. Apa yang sering menjadi perhatian dan topik perbincangan....semuanya berkaitan dengan dunia, dunia dan dunia! Bukanlah kita hendak membuang dunia kerana dunia ini adalah ladang akhirat kita...... tapi perlunya kita diingatkan selalu akan kehidupan akhirat ini supaya kita tidak tenggelam dan dibawa arus dunia yang melekakan!

Apabila semata-mata dunia di fokuskan dalam hidup ini........ manusia tiada akan lagi memilik hati nurani yang bersih yang membolehkan dia melihat dan menyaksikan kehidupan akhirat yang terbentang luas dan  abadi selamanya. Dalam hati manusia ini sebenarnya tidak boleh ada dua kecintaan....kena pilih  salah satu
...sama ada cinta dunia atau cinta akhirat! Bila kita cinta dunia maka akan hilanglah akhirat; tetapi bila kita cinta akhirat kita dapat kedua-duanya sekali dunia dan akhirat!

Lemahnya keyakinan terhadap kehidupan akhirat inilah yang menyebabkan berlakunya banyak penyelewengan dalam kehidupan umat Islam hari ini. Walaupun kita mendakwa yakin dengan hari akhirat dan menghafal rukun beriman pada hari akhirat, namun dari segi kehidupan jelas tidak membuktikan keyakinan ini.

 Kita selalu menilai sesuatu  berdasarkan pandangan materialistik. Kita membuat pilihan berdasarkan pilihan materialistik. Kita remehkan penilaian berdasarkan pandangan akhirat kerana ia kurang popular dalam masyarakat. Kita tidak rasa izzah (tinggi) dengan nilai akhirat yang nak di utarakan. Kita akur pada plihan majoriti yang tiada hubungannya dengan akhirat. 

Bagaimanakah kita hendak membina keyakinan kepada hari akhirat ini, seolah-olah kita menyaksikan siksaan  dan nikmat Allah di hadapan mata kita? Bagaimanakah kita nak merasainya di dalam jiwa kita sehingga menimbulkan rasa takut padaNya?

Didalam Al-Quran, sebenarnya terdapat banyak ayat-ayat yang memperkatakan tentang azab dan siksaan   yang di sediakan untuk orang yang ingkar  serta nikmat Allah SWT untuk orang yang taat dan beriman padaNya.  Surah-surah Makkiyah (diantaranya terdapat pada juzuk 29-30) banyak menerangkan tentang hari akhirat ini seperti surah Al-Waqiah, Al-Zalzalah, At-Takwir...dan banyak lagi. Surah-surah begini jika dihayati dapat membina keyakinan hati akan hari akhirat, nikmat dan siksaan yang disediakan pada hari itu.

Sahabat-sahabat generasi awal telah dididik oleh Rasulullah saw dengan ayat-ayat ini, apabila mereka membaca dan melafazkan ayat-ayat ini, lantas mereka terus nampak dan yakin pada hari akhirat. Apabila ayat Al-Quran diturunkan, mereka terus melaksanakan tuntutan beriman pada hari akhirat di dalam kehidupan  didunia. Rasa hati mereka ini cukup sensitif dan responsif dengan segala tuntutan dan saranan Allah.

Jadi beginilah sepatutnya rasa hati kita bila kita membaca ayat-ayat Al-Quran! Barulah apa yang kita baca meresap dan membekas dijiwa. Al- Quran ini bukan setakat untuk dibaca dan dihafal sebanyak mungkin, tetapi perlu kita fahami maksudnya, merasai dijiwa tuntutanNya dan melaksanakan arahan dan menjauhi laranganNya.

Untuk mendapat jiwa yang sensitif dan responsif dengan ayat-ayat Al-Quran,  hati dan perasaan kita sendiri perlu melalui proses tarbiyyah yang betul supaya benar-benar menerima hakikat beriman kepada hari akhirat. Untuk mengubah hati kita, kita sendiri mestilah menjalani proses ini bukannya mengharapkan orang lain mentarbiyah diri kita,. Orang lain hanya boleh membantu tetapi kitalah yang perlu berusaha mentarbiyyah diri sendiri.  Sama-samalah kita renungi kata-kata dan ayat al-Quran   ini....

' Tarbiyyah itu di tangan kamu dan ditangan kamu sahaja."
' Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib satu kaum sehinggalah mereka  mengubah apa yang ada dalam  diri mereka sendiri."  (Surah Ar-Rad:11)

Realitinya dalam masyarakat Islam sekarang, keyakinan pada hari akhirat yang mendasari jiwa begitu asing sekali. Meskipun ayat-ayat Allah SWT di baca dan dilafazkan, namun ia tidak masuk kedalam jiwa, tidak terlintas dalam fikiran untuk dibawa dalam kehidupan dan tidak memberi kesan dihati nurani!  Al-Quran cuma jadi perhiasan di dinding dan dihafal sebagai ubat penawar penyakit dalam rawatan alternatif, untuk menghalau jin dan syaitan dsbnya....... Satu kerugian yang besar bila ayat-ayat Allah dibacakan, kita tidak mengambil pelajaran darinya!

c.  Tanggungjawab deen yang ketiga adalah perlunya kita meneliti akan segala perintah dan larangan Allah SWT dan seterusnya melaksanakan apa yang disuruh dan menjauhi apa yang dilarangNya. Dekati Al-Quran, hadith-hadith Rasul, buku-buku ulamak yang muktabar untuk mengetahui akan segala tuntutan wajib syarak.  Jangan biarkan diri kita berada dalam keadaan jahil tentang agama kita sendiri. Membiarkan diri dalam kejahilan merupakan satu dosa; kerana dengan kejahilan ini boleh mencampakkan diri sendiri dalam kebinasaan dan kemurkaan Allah!

Bertanyalah kepada mereka yang berilmu jika ada kemusykilan tentang hukum syarak. Korbankan sebahagian dari wang ringgit kita untuk membeli buku-buku agama yang banyak di pasaran untuk menambahkan ilmu di dada. Luangkan masa,tenaga dan wang ringgit kita untuk menghadiri ceramah-ceramah ilmu samada di surau, masjid atau di institusi pengajian.

Ingatlah segala pengorbanan yang kita curahkan dijalan Allah untuk memperbaiki diri merupakan jihad dijalanNya. Dan ingatlah segala usaha yang kita lakukan ini merupakan  muqaddimah untuk mendapatkan hidayah Allah yang sebenarnya cukup mahal dan berharga! Mudah-mudahan dengan ini, insyaAllah , Allah akan meningkatkan rasa hati kita untuk terus mencari hidayahNya dan melaksanakan tuntutanNya!

Apabila penelitian yang sungguh-sungguh dilakukan pada segala suruhan dan tegahan Allah SWT ini, ia akan melahirkan kefahaman dan kesedaran yang betul pada jiwa masyarakat Islam. Dengan kefahaman dan kesedaran yang betul inilah yang akan mengelakkan masyarakat Islam dari mencampur adukkan nilai Islam dan nilai Jahiliyyah dalam pelbagai aktiviti kehidupan. Ia juga akan dapat mengatasi masaalah Islam yang diterima secara adat dan warisan sahaja.

Sepatutnya Islam ini bukannya diterima sebagai warisan dari satu generasi ke satu generasi sahaja, ia sewajarnya diterima melalui kefahaman, kesedaran dan keyakinan yang betul.  Islam yang diterima oleh masyarakat mestilah sepertimana yang diterima dari Rasulullah saw dan para sahabatnya dari sumbernya yang soheh iaitu Al-Quran, sunnah dan sirah Rasul serta ulamak muktabar yang jelas kefahaman mereka terhadap Islam.

Kesimpulannya, tanggungjawab pertama dan utama terhadap deen Allah ini mestilah dilaksanakan dalam diri,  keluarga dan masyarakat. Tanggungjawab inilah yang Allah akan persoalkan kepada setiap diri individu Islam setakat manakah kita telah melaksanakannya dalam hidup ini. Ini satu tuntutan wajib yang kita tidak boleh pandang ringan!

Jadi mulailah dari sekarang.....janganlah kita berlengah lagi, masa tidak menunggu kita, setiap hari ia akan berlalu pergi, umur kita semakin bertambah dan hayat kita semakin singkat!! Mohonlah kekuatan dan pertolongan dan taufik dari Allah supaya kita dapat melaksanakan tangungjawab ini. Amin

(Bersambung)
Tanggungjawab kedua Muslim....

Rujukan
Sumber Tarbawi
Tafsir fizilal Quran.

1 comment:

  1. alhamdulillah...tangungjwb kte akn disoal diakhirat kelak..same2 kte mmperbaiki diri ye

    ReplyDelete

Peringatan....

Jika engkau mahukan teman...
Cukuplah Allah sebagai teman.
Jika engkau mahukan musuh..
Cukuplah nafsu sebagai seteru..
Jika engkau inginkan hiburan..
Cukuplah Al-Quran sebagai hiburan..
Jika kamu inginkan nasihat..
Cukuplah mati sebagai penasihat.

Link within

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Surah Al Isra' : 72

"Barangsiapa yang buta(hati) di dunia ini, maka dia juga akan buta di akhirat kelak dan lebih sesat jalannya."

Kehadiranku di website ini.......

Daisypath - Personal pictureKehadiranku di sini....

visitor's map....