MENUJU MARDHOTILLAH

Belajar merupakan satu jihad di jalan Allah. Mengajar merupakan suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah! ..Jadi belajar dan mengajarlah dengan penuh keikhlasan padaNYA.

Tuesday, February 14, 2012

Amalan terbaik........amalan yang dituntut bagi seorang mukmin.!

Bismillahirrrahmanirrahim....

Firman Allah dalam SurahAl-Mulk ayat 2 yang bermaksud....
"Allah menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji kamu, siapakah di kalangan kamu yang terbaik amalannya.  Dan dialah Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun."   

Sebenarnya dalam ayat ini kita diingatkan bahawa setiap masa dalam hidup ini adalah ujian belaka tidak kira bagaimanakah keadaan kita, sama ada susah atau senang, sibuk atau lapang...semuanya adalah ujian! Semua ini adalah untuk mendapatkan darjat insan yang terbaik amalannya.

Tapi , apakah yang di maksudkan dengan amalan yang terbaik itu?  Menurut seorang ulama Fudhail bin Iyadh amalan terbaik itu adalah amalan yang penuh dengan keikhlasan dan betul amalannya itu.
Kemudian beliau ditanya lagi.." Apakah yang dimaksudkan dengan penuh keikhlasan dan betul amalan itu ?" 
Beliau menjawab....
" Sesungguhnya Allah tidak menerima amalan yang tidak ada keikhlasan dan tidak betul. Sekiranya amalan itu betul tetapi pelaksanaannya tidak ikhlas, maka ia tidak di terima. Demikian juga jika pelaksanaannya ikhlas tapi tidak betul,  maka tidak juga diterima. Keikhlasan bermaksud dilakukan semata-mata kerana Allah SWT dan betul amalannya bermaksud mengikut amalan sunnah Rasulullah saw." 

Jadi sesaorang itu disukat dan dinilai dari  segi ilmu, iman dan amalan yang lahir dari keimanan tersebut. Dan amalan pula dinilai sejauhmana ia mencapai darjah amalan yang terbaik (ihsan) iaitu amalan penuh keikhlasan dan betul mengikut Sunnah Nabi saw.

Melakukan amalan yang terbaik sangat-sangat dianjurkan dalam Islam sebagaimana yang terdapat dalam ayat Quran surah Az-Zumar ayat 55 yang bermaksud. ...
" Hendaklah kamu mengikut sebaik-baik (panduan hidup) diturunkan kepada kamu semua daripada Allah SWT."

Firman Allah SWT lagi dalam Surah Az-Zumar ayat 17-18 yang bermaksud...
" Maka berilah berita gembira kepada hamba-hambaKu yang penuh perhatian mendengar perkataan-perkataan (perintah Allah). lalu mereka mengikuti sebaik-baiknya. Mereka itulah orang yang diberi hidayah oleh Allah SWT. Dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna."

Jadi persaingan sebenarnya bukanlah di antara amalan yang baik dan buruk, tetapi di antara yang baik dan lebih baik.

Sewajarnya orang-orang mukmin itu sentiasa berusaha melakukan yang terbaik dan berkualiti malah berprestasi tinggi kerana Allah SWT menuntut orang-orang mukmin melakukan sesuatu yang terbaik dalam semua perkara seperti yang dinyatakan dalam hadith Rasulullah saw yang bermaksud.....

 Daripada Syadad bin Aus bahawa Rasulullah saw telah bersabda, ' Sesungguhnya Allah SWT telah menentukan al-ihsan di dalam semua perkara..  Jika kamu membunuh, bunuhlah dengan cara  yang terbaik, dan jika kamu menyembelih, maka sembelihlah dengan cara yang terbaik. Tajamkanlah pisau sembelihan dan berilah kerehatan kepada binatang yang disembelih itu.'

Begitu telitinya ajaran Islam sehingga sampai nak sembelih binatang pun ada cara yang terbaik.  Jadi sebagai seorang mukmin, sewajarnya kita rasa terpanggil untuk sentiasa melaksanakan semua amalan dan semua perkara dalam bentuk yang terbaik.

Apa yang kita lakukan itu sebenarnya bukanlah untuk orang lain tetapi sebenarnya untuk diri kita sendiri sebagai persembahan dan bukti ubudiyyah kita kepada Allah SWT. Segala ibadah khusus kita seperti solat kita, puasa kita, haji kita...maupun ibadah umum kita seperti muamalah kita dengan keluarga, masyarakat dsbnya.......juga kena yang terbaik. Ini adalah kerana Allah hanya menerima dari kita amalan yang terbaik bukan amalan yang diibuat  sambil lewa dan acuh tidak acuh! 

Buktinya,  kita lihat pada sirah dua beradik Habil dan Qabil yang mempersembahkan qurban masing-masing kepada Allah SWT sebagai syarat siapa yang boleh berkahwin dengan kembar Qabil yang rupawan bernama Iqlima.  Siapa yang qurbannya diterima Allah SWT, dialah yang layak mengahwini Iqlima . Habil mempersembahkan pada Allah SWT binatang peliharaannya yang terbaik iaitu kambing yang gemuk dan sihat sementara Qabil pula mempersembahkan sekarung gandum yang busuk dan tidak elok di makan lagi.

Jadi sudah pastinya yang Allah terima adalah yang terbaik iaitu qurban Habil tadi!! Kejadian ini menimbulkan rasa irihati pada Qabil sehingga dia sanggup membunuh Habil kerana tidak dapat mengahwini Iqlima. Jadi berlakulah kes pembunuhan pertama dalam sejarah manusia.

Satu pengajaran bagi kita....usahakan supaya kita dapat lakukan yang terbaik dari diri kita, insyaAllah dan mohon kemampuan dan pertolongan dari Allah untuk itu.

Memang kita ini sering mengeluh,  merintih , tidak mampu itu dan ini......maka cubalah kita proseskan diri kita ini mempertingkatkan kemampuan kita dan memperbaiki amalan kita sama ada hubungan kita dengan Allah ataupun dengan manusia. 

InsyaAllah sematkan betul-betul dihati, segalanya yang kita buat ini bukannya untuk manusia tapi untuk diri kita sendiri sebagai bukti ubudiyyah kita padaNya. Jadi usahakan buat sesuatu amalan itu dengan cara yang terbaik...iaitu ikhlas keranaNya dan mengikuti syariatNya dan sunnah Rasul. 

Amalan terbaik ini bukanlah ikut penilaian manusia....nilaian manusia berbeza dari nilaian Allah.  Manusia hanya menilai secara fizikal sahaja, iaitu  produk yang dihasilkan berkualiti tinggi, standard mengikut piawaian tertentu, mencapai ISO tertentu. Apa yang terbaik disisi manusia belum tentu terbaik disisi Allah SWT. Nilaian Allah bukan setakat melihat kepada hasil yang terbaik sahaja, tapi proses kerja yang menghasilkannya, bermula dari niat yang betul dan mengikut cara yang betul.

Proses awal menghasilkan sesuatu kerja itu sangatlah dititik beratkan. Walaupun produk yang terhasil nampak sempurna dari segi fizikalnya, adakah ia sempurna dari segi perlaksanaannya sejak dari awal-awal lagi? Adakah semasa pelaksanaannya kita jaga kehendak syariatNya? Jika kita bekerja secara kumpulan,  di samping kita jaga niat masing-masing dan cara kerja kita, adakah kita jaga tali silaturrahim sesama sendiri?

Sebenarnya, bukanlah kita boleh ambil mudah untuk  nak dapatkan amalan yang terbaik ini.....kekadang kita terlupa  dan  terlalu menekankan natijah atau nak cepat siap dan terburu-buru  sehingga kita tertinggal  perkara-perkara asas yang sungguh penting ini..... 

Justru itu, sama-samalah kita muhasabah diri kita selalu......mudah-mudahan dengan izin Allah SWT kita sentiasa berwaspada dengan kerja-kerja yang kita lakukan agar kerja yang biasa kita buat itu jadi luarbiasa disisi Allah SWT...ia jadi amal soleh yang terbaik yang Allah terima!! InsyaAllah.

Ameen, Ya Rabbal Alamin.


No comments:

Post a Comment

Peringatan....

Jika engkau mahukan teman...
Cukuplah Allah sebagai teman.
Jika engkau mahukan musuh..
Cukuplah nafsu sebagai seteru..
Jika engkau inginkan hiburan..
Cukuplah Al-Quran sebagai hiburan..
Jika kamu inginkan nasihat..
Cukuplah mati sebagai penasihat.

Link within

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Surah Al Isra' : 72

"Barangsiapa yang buta(hati) di dunia ini, maka dia juga akan buta di akhirat kelak dan lebih sesat jalannya."

Kehadiranku di website ini.......

Daisypath - Personal pictureKehadiranku di sini....

visitor's map....