Tuesday, September 11, 2012

Tanda hati sudah mati....


Bismillahirrahmanirrahim

Tertarikku dengan satu artikel yang ku baca dari satu blog untuk pengisian hati dan dikongsikan bersama. Walaupun sering ku baca tentang permasalahan ini, tapi setiap kali ia dapat juga jadi peringatan diri. Pengulangan adalah perlu untuk tarbiah diri agar dapat sentiasa diingatkan tentang perkara yang penting ini.

Ia adalah berkenaan dengan hati....satu wadah atau tempat samada ia akan jadi mulia atau celaka. 

Apabila kita menilai tentang diri sesaorang...yang kita nilai adalah  hatinya samada baik atau buruk. Sebenarnya apa yang dicetuskan dalam tindakan berasal dari hati....kita tidak dapat berpura-pura kerana semua yang ada di hati akan dizahirkan bila tiba masa dan ketika yang sesuai!

Begitulah juga penilaian Allah terhadap kita....Allah tidak memandang pada rupa fizikal diri tapi Allah memandang apa yang ada dalam hati kita! 
Hati sebagaimana juga manusia...boleh jadi sakit, hidup sejahtera ataupun mungkin mati.

Apa yang di fokuskan disini adalah tentang matinya hati...satu keadaan yang gawat kerana pemilik hati yang mati umpama bangkai bernyawa....fzikalnya masih hidup tapi hatinya sudah mati!! Apalah ertinya sebuah kehidupan yang dimiliki oleh orang yang mati hatinya! Setiap detik hidupnya tiada matlamat hakiki, hanya menjalani hidup sebagaimananya binatang yang menunggu-nunggu saat kematian sebenar!
Ya Allah ...jauhilah kami dari hati yang mati ini!!  

Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara sebab atau tanda-tanda hati mati ialah :

  • Mengaku kenal Allah swt, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya
  • Mengaku cinta kepada Rasulullah saw, tetapi mengabaikan sunnah baginda
  • Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya
  • Memakan nikmat-nikmat Allah swt, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya
  • Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya
  • Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya
  • Mengaku adanya siksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya
  • Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya
  • Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri
  • Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil
Mengapakah hati boleh mati??
  • Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah.
Hidup ini penuh dengan ujian. Setiap kita mengalami ujian hidup yang berbeza sesuai dengan tahap kemampuan masing2. Allah uji kita dengan sakit, dengan kehilangan harta benda dan orang yang disayangi, diuji dengan kesusahan dan keperitan hidup, diuji dengan masalah dalam rumahtangga dan keluarga, diuji dengan musibah yang menimpa.....1001  permasalahan yang melanda!

Bagaimanakah kita menghadapi segala ujian ini? 
Hati yang mati dan sakit tenat tidak akan mampu dan tahan ujian hidup....akan cepat putus asa, gelabah hingga tahap maksimum sehingga sanggup mengambil jalan singkat dengan membunuh diri sendiri....! Maka berakhirlah sebuah episod kehidupan didunia...tapi diakhirat? Belum tentu lagi selamat dari azab dan masalah di sana!!  Orang yang mengambil jalan singkat ini sudah hilang pertimbangan diri...terlalu emosional dan menuruti hawa nafsu yang ekstrem.
  • Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani sewajarnya.
Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak makan dan tidak minum, begitulah juga hati. Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya.

Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri. Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan bersihkannya dengan cara banyak mengingati Allah ( berzikir ).

Firman Allah:

(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan “zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia. (Al-Rad, Ayat 28)

Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara :

“Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan,
Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu,
Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu,
Dan dosa-dosa yang silam di sulami dengan taubat kepada Zat yang Memiliki mu.”

Sudah seringkali diperingatkan tentang hal di atas....sejauhmana kita sudah amalkan? Maka selalulah kita bertafakur menyendiri dan muhasabah segala amalan. Kadang kita terlalu sibuk sehingga tak sempat buat, sering bertangguh-tangguh.....tapi hakikatnya kematian datang tidak bertangguh! Ayuh sama-sama kita lakukannya dengan istiqamah walaupun sedikit. 

Hati merupakan tempat yang lembut, tempat bertapaknya rahmat, kasih sayang dan lain-lain. Apabila kita mengisi hati kita dengan banyak zikrullah, nescaya ia memenuhi hati dengan rahmat dan kasih sayang. Hati yang dipenuhi kasih sayang inilah hati yang hidup yang dapat menjalani kehidupan ini dengan jiwa yang tenang sentiasa ada hubungan dengan Allah walaupun selalu teruji! Inilah dia hati yang salimah yang kita inginkan.   Sejauhmana kita mendidik hati kita dengan iman dan takwa, sejauh itulah lembut dan sejahteranya hati itu! 

Hati merupakan anggota yang menentukan segala permasalahan hidup. Jika ia dimakmurkan dengan keyakinan dan iman, sudah tentu segala anggota akan mengikut dengan penuh keimanan. Untuk kita melihat betapa kuat, kuasa dan luasnya hati dengan keimanan, Allah Taala menjelaskannya dalam Surah az-Zumar ayat 23 yang bermaksud:

“Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab Suci itulah hidayat petunjuk Allah; Allah memberi hidayat petunjuk dengan Al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayat petunjuk kepadanya.”

Itulah petunjuk Allah, dengan kitab itu Dia menunjukkan siapa yang yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang disesatkan Allah, maka tidak ada seorang pun pemberi petunjuk baginya.

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:

“Ketahuilah bahawa pada jasad terdapat segumpal darah, apabila elok nescaya eloklah seluruh jasad dan apabila rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah bahawa itulah hati.”

Kalaulah begitu, hati merupakan tempat cahaya keyakinan dan keimanan. Sebagaimana iman boleh bertapak dalam hati, begitu juga kekerasan dan kekufuran juga boleh bertapak dalam hati. 

Hati yang lupa untuk berzikrullah akan menjadi keras, kenapa? . Kerana hatinya terikat dengan dunia dengan segala macam perhiasannya. Jadi ia akan mengejar dunia tanpa memikirkan batas-batas yang ditetapkan sehingga sanggup berlaku zalim dan bertindak dengan kekerasan.

Hati yang tidak berhubung dengan Allah, maka ia berhubung denga hawa nafsu dan syaitan.....maka jadilah ia teman yang setia pada bisikan nafsu dan syaitan ini. Segala tindak tanduknya, didorong oleh kedua unsur ini. 

Sedangkan peringatan Allah, menegaskan bahawa musuh utama manusia adalah syaitan yang sentiasa mengajak manusia pada jalan kejahatan.  Maka perlakukanlah ia sebagai musuh....jangan turuti langkah-langkah syaitan. 

Cari jalan dalam diri kita bagaimana hendak menepis bisikan dan tipu daya syaitan ini. Mintalah selau pertolongan dengan Allah untuk menghindari diri syaitan ini...
Hanya Allah sahaja yang boleh membantu kita.....!

2 comments:

Hakikat hidup ini...

Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...