Sunday, February 24, 2013

Apakah tuntutan iman terhadap Rasulullah saw..?



Bismillahirrahmaanirrahim..

Sebagai seorang yang mengaku Muslim, kita dituntut untuk beriman pada Allah dan Rasul. Ertinya kita perlu menterjemahkan tuntutan kalimah tiada tuhan yang disembah melainkan Allah SWT dan Muhammad itu benar-benar pesuruh Allah,  bukan hanya setakat kita ulang-ulangkan kalimah itu setiap hari tanpa ada penghayatan dalam hidup.

Kita hendaklah mendidik diri kita dengan tarbiyyah yang berterusan....pendidikan yang memfokuskan kepada pendidikan hati,  sehingga Islam itu jadi satu tabiat yang mendarah daging dalam diri.  Dalam masa yang sama kita perlu menanggalkan semua sifat jahiliyyah dalam diri, sehingga yang tinggal hanyalah Islam yang suci bersih. Setiap rasa, setiap getaran jiwa kita diproses dan dididik sehingga ia dapat berhubung dengan Allah, dengan Islam yang suci bersih. Cetusan rasa hati yang sebeginilah yang akan melahirkan tindakan yang bersih yang berhubung dengan Allah SWT. Diam kita , cakap kita semuanya tidak terpisah dari cetusan rasa hati yang berhubung dengan Allah SWT. 

Inilah hakikat tarbiyyah yang telah dijalankan oleh Rasulullah saw kepada umat yang terdahulu iaitu generasi Al-Quran yang pertama sehingga lahir dari mereka peribadi agung, akhlak mulia tiada tandingannya sepanjang zaman. Mereka  telah dididik dengan tarbiyyah iman, dibersihkan jiwa dari nifaq, ditanggalkan semua sifat-sifat jahiliyyah diri sehingga tiada lagi kepentingan diri dalam hidup, yang hanya ingin mereka capai adalah keredhaan Allah SWT semata-mata!! 

Berbeza dengan kita, kita tidak melalui proses tarbiyyah yang unik ini, kita hanya tahu serpih- serpihan islam yang tidak syumul, kefahaman kita tidak jelas dan bercampur aduk, kita hanya mengikut-ikut sahaja.....hasilnya realiti umat islam sekarang serba boleh dalam semua perkara tak kira haram atau halal! Sahsiah bercampur aduk...nak buat islam dalam masa sama mengambil nilai jahiliyyah. Sedangkan Islam itu sifatnya menyeluruh atau kulli....kita dituntut masuk kedalamnya secara kulli bukan serpih-serpihan!

Jadi sebenarnya bila kita mengaku beriman pada Rasul, kita dituntut supaya menyerahkan seluruh kehidupan kita kepada arahan baginda iaitu mentaati segala apa yang disuruh dan meninggalkan segala apa yang dilarangnya dengan rasa redha dan senang hati. Apa yang Allah dan Rasul kata baik itulah yang terbaik bagi kita ikuti. Bukannya kita mengikuti hawa nafsu kita.  Inilah perkara basic atau asas untuk menjadi seorang Muslim yang paling minima. Buat segala yang wajib tinggalkan segala yang haram. Tapi realitinya,  dalam masyarakat atau mungkin diri kita  yang basic ni pun susah nak laksanakan!  Kita solat dalam masa yang sama kita ambil riba, menipu, mengambil hak orang.....jadi banyaknya campur aduk dalam diri. Maka tidak tuluslah keimanan kita tadi.

Untuk merealisasikan Islam dalam diri dan mengikuti segala arahan Allah dan Rasul ini perlu kepada tarbiyyah yang betul, mengikuti jalan atau kaedah yang betul, persediaan jiwa yang betul....dan dilaksanakan secara berterusan dalam diri dan bersama-sama jemaah. Hakikatnya tarbiyyah ini perlu dijalankan secara berterusan baik di masa senang mahupun di masa susah....kita nak hubungkan jiwa kita dengan Allah  dalam semua keadaan. Bukanya di masa kritikal kita nak lepaskan diri dari tarbiyyah...bila terasa panas lucutkan dari diri!! Disinilah teruji keikhlasan hati sebenarnya. Orang yang ikhlas ingin kembali kepada Allah tetap berpegang teguh padaNya walau dalam suasana gawat sekalipun!! 

Kenapakah perlunya sesorang itu mentaati Allah dan Rasul? Apakah manfaat yang kita dapat?
Sama-samalah kita renungi ayat  Al-Quran ini dalam Surah Ali Inran ayat 132-133 yang bermaksud...

"Hendaklah kamu mentaati Allah dan Rasul, mudah-mudahan kamu mendapat rahmat.  Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan kepada orang-orang yang bertakwa"

Perlu rasa dalam diri sebenarnya kita  manusia ini perlu kepada rahmat Allah SWT. Dan rahmat Allah ini hanya Allah beri kepada orang tertentu yang terpilih sahaja iaitu orang beriman yang mentaati Allah dan Rasul. Allah tidak beri rahmat pada semua orang,  hanya nikmatNya sahaja yang diberi kepada semua manusia...harta benda, udara, air, makanan dsbnya. Semua manusia dan makhluk hidup dalam nikmat Allah yang tidak terhingga banyaknya. Jika kita cuba menghitung-hitung nikmat Allah ini, tidak mampu kita laksanakan, masyaaAllah!

Jadi , rahmat Allah ini sangat kita dambakan...berupa kasih sayangNya, perlindunganNya, pengampunanNya pada kita dunia dan akhirat. Sifat Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang ini menganugerahkan kita balasan yang sungguh hebat iaitu syurga,  diatas ketaatan kita, taubat kita, kerendahan dan penyerahan hati kita di hadapanNya. 

Ketaatan kepada Allah dan Rasul ini kebaikannya kembali pada kita bukan orang lain. Sebenarnya, kitalah yang memerlukan Allah dan Rasul dalam hidup ini untuk menunjukkkan kita jalan menuju kebahagiaan hidup yang abadi . Allah dan Rasul tidak memerlukan keimanan kita padaNya...jka kita tidak meyakini dan mentaati Allah dan Rasul, kitalah yang rugi.  Allah Maha Kaya dan tidak pernah memerlukan iman sesiapa atau apa saja.  

Ada beberapa tuntutan dalam kita mengaku beriman pada Rasul ini...
  • Perlunya kita didik hati kita sehingga kita redha dengan Rasulullah saw. Redha bukan hanya dari segi perkataan sahaja tapi dari segi tindakan seharian kita di setiap masa dan tempat kita usahakan untuk melaksanakan ajaran Rasul ini.
  • Perlu menghormati Rasulullah saw walaupun baginda telah wafat. Menghormati apa yang ditinggalkan oleh baginda berupa Islam dan sunnahnya. Tidak menghina atau mencacinya dan  merasa sensitif dengan perkara-perkara yang menyentuh tentang diri dan kemuliaaan baginda saw.  
  • Perlu mencontohi baginda dalam membentuk ummah atau generasi. Baginda telah berjaya mendidik dan melahirkan umat yang terbaik yang Allah iktiraf sebagai satu generasi Al-Quran yang unik yang menerima arahan baginda persis seorang komando perang menerima arahan ketua....sentiasa bersiap siaga dan bersedia untuk bertindak tanpa soal dan ragu-ragu!!
  • Perlu sentiasa terikat dengan Islam yang dibawa oleh baginda supaya kita dapat merasa nikmat Islam yang merupakan nikmat terbesar yang Allah kurniakan kepada kita. Nikmat terbesar bukan berupa harta kekayaan, pangkat dan seluruh isi dunia...tapi Islam yang merupakan rahmat bagi sekelian alam kerana dengan rahmat inilah manusia akan mendapat  kebahagiaan hakiki yang dicari-cari......
  • Perlu beribadah kepada Allah SWT sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah saw...mengikuti syariat Allah sebagaimana yang dibawa oleh baginda tanpa ada sedikitpun campur aduk. Mempelajari Islam dari sumbernya yang soheh iaitu  dari Al-Quran dan Sunnah Nabi serta sirahnya dan dihuraikan oleh ulama2 yang muktabar yang jelas kefahaman dan jhad mereka dalam Islam. Ini adalah kerana di zaman fitnah akhir zaman ini telah banyak campur aduk dan tidak jelasnya kefahaman sehingga melahirkan berbagai aliran....ditakuti ada  yang tersasar dari apa yang di bawa oleh Rasulullah saw.  Apa pun setiap kemusykilan perlu di rujuk terus pada Al Quran dan Sunnah Rasul....mudah-mudahan Allah memelihara diri kita dari campur aduk kefahaman ini.
Keimanan kita pada Rasul ini merupakan satu tuntutan wajib dari Allah sebagaimana firmanNya dalam surah Ali- Imran ayat 31 yang bermaksud...

"Katakanlah," Jika kamu mencintai Allah, maka ikutilah aku (Rasulullah), niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.  Dan Allah Maha pengampun lagi Maha Penyayang."


Kasih Allah pada kita terletak sejauh mana kasih kita pada baginda Rasululullah saw.  Jadi kita kena bina kasih sayang kita pada baginda dengan lebih mengenali beliau, perjuangan dan pengorbanannya bermandikan air mata dan darah dalam menegakkan Islam. Betapa kasihnya baginda pada umatnya sehingga di saat kematiannya nama umatnya masih dibibir baginda yang mulia. Betapa kasihnya baginda pada umat sehingga doa mustajab seorang Rasul disimpannya di hari kiamat sebagai syafaatnya nanti...di mana di saat itu manusia sangat2 perlukan pertolongan dan syafaat menghadapi suasana yang getir.......

Jadi,  buktikanlah kasih kita pada baginda dengan  membenarkan segala apa yang disampaikan baginda , mentaati segala suruhannya dan bersegera melaksanakan semua itu dengan rasa redha, dan senang hati, menjauhi apa yang Rasul larang dan benci...

InsyaaAllah , mudah-mudahan Allah memberikan kita kekuatan jiwa untuk mentaati dan mengikuti segala saranan ini , memberikan kita taufiq dan hidayahNya supaya kita sentiasa berada di atas jalanNya yang lurus, menetapkan hati kita di atas jalan kebenaran itu. 

Amin Ya Rabbal Alamin
Wallahualam..

Rujukan 
Sumber Tarbawi.

Friday, February 22, 2013

Perbaiki diri dan menutup keaiban orang....



Bismillahirrahmaanirrahim....

Alhamdulillah setinggi-tinggi rasa syukur ku panjatkan kehadrat Allah SWT kerana dengan izinNya juga dapat ku teruskan coretan peringatan buat diri  ini setelah berhenti agak lama...satu perhentian untuk muhasabah diri sebenarnya. Aku tertangguh-tangguh dalam menuliskan coretan setiap kali ku ingin menulis...aduh betapa lemahnya diri ku ini!! 

Ku takuti sebenarnya banyaknya perkara yang telah ku coretkan itu....sebagai peringatan diri , banyaknya juga belum tertunai dalam mengamalkannya!! MasyaaAllah semoga Allah mengampunkan dosa-dosa ku yang banyak ini... pada setiap helaan nafas yang ku hela, pada setiap kerdipan mata yang melihat , pada setiap nikmat yang ku gunakan... setiap saat dan setiap ketika yang berlalu..!!

Bagaimana diri ini melalui hari hari yang berlalu...hanya dengan keizinan dan kudrat dari Allah SWT...mengumpul kekuatan untuk meneruskan sisa-sisa kehidupan yang berbaki...., kekadang terasa lemah dan sakitnya jiwa, lelahnya untuk mujahadah hati mengawal gelora diri! Betapa perlunya aku dengan kesabaran...kesabaran untuk memproses hati supaya setiap getaran dan rasa hati ini dapat dihubungkan  dengan Allah!

Bila sebahagian hari telah berlalu maka sebahagian diri kita telah pergi sebenarnya, Kita ini umpama  deretan manusia yang berbaris menunggu giliran satu demi satu....giliran menghadap Allah utuk dipersembahkan segala amalan kita. Akan dibongkarkan apa yang di rahsiakan di dalam dada, akan persaksikan semua amalan kita oleh segenap pancaindera yang mampu bersuara....tiada yang dapat membela kita kecuali amalan kita yang ikhlas yang pernah kita lakukan di dunia...!!

Disaat itu  nanti,  tiada pembela diri, tiada pertolongan melainkan....apa yang telah kita kumpulkan semasa hayat kita.  Ku teringat dalam satu ceramah yang telah ku dengari baru-baru ini tentang beberapa syafaat yang akan membantu kita bila di akhirat sana....di antaranya amalan taubat kita, bacaan dan tadabbur Quran kita dan selawat kita pada Nabi saw.

Betapa pentingnya kita perlu sentiasa melakukan amalan taubat kita supaya kita mendapat syafaat Nabi dan syafaat Quran. Taubat kita semestinya mendahului segala amalan kita, walaupun kita banyak berselawat dan banyak membaca Quran dan beramal.  Ini adalah kerana kita manusia ini sentiasa berbuat dosa samada kita sedar atau tidak. Setiap diri kita ini adalah pendosa....tiada seorang dari kita kecuali Nabi dan Rasul , yang bebas dari berbuat dosa samada dosa kecil ataupun besar, sama ada dosa yang dilihat oleh manusia atau yang tersembunyi. Hanya Allah yang Maha Mengetahui akan hakikat diri kita...tiada apa yang dapat kita sembunyikan!!

 Mungkin kita boleh sembunyi aib kita dari manusia....tapi kita tidak boleh sembunyikan apa-apa pun dari Allah. Jadi sewajarlah kita sebenarnya, perlu ada rasa  malu dengan Allah akan apa yang kita sembunyikan dari orang lain...kotornya hati kita, banyaknya hasad dalam dada, buruk sangka kita dengan manusia dan dengan Allah, sukanya kita  pada apa yang Allah benci....dan macam-macam lagi kotoran hati. Kalaulah kekotoran hati itu dapat dihidu dengan mengeluarkan bau busuk seperti busuknya kotoran sampah, maka tiada orang yang sudi berkawan dengan kita! Kadang-kadang kita di pandang baik oleh manusia bukanlah kerana kita ini benar-benar baik, tapi sebenarnya Allah menutup keaiban kita dari orang lain.

Justru itu, sebagaimana Allah telah menutup keaiban kita dari orang lain, maka kita juga perlu menutup keaiban orang lain yang kita ketahui untuk menjaga maruah diri mereka. Janganlah kita suka menghebah-hebahkan keaiban orang kerana setiap perkataan itu adalah dosa yang dikutip sepanjang perjalanan kehidupan ini. Apakah kita nak timbunkan lagi dosa-dosa kita yang memang sudah sedia banyak ini? Nauzubillah...setiap patah perkataan yang diucapkan untuk menghebahkan aib orang , mendekatkan diri kita ke neraka!! Ia mengundang kemurkaan Allah SWT. Apakah itu yang kita mahu?

Apabila kita menutup satu keaiban saudara kita didunia, maka Allah akan tutup satu keaiban kita di hari akhirat! Seharusnyalah kita banyak introspeksi diri, sibuk melihat keaiban diri sendiri dari sibuk melihat dan menceritakan keaiban orang lain. Apakah kita sanggup memakan daging saudara kita sendiri tanpa ada sedikit pun rasa ihsan?  Hanya manusia yang tidak punya hati dan perasaan sanggup berbuat sedemikian. 

 Bila hilang rasa kemanusiaan, jadilah seperti apa yang berlaku di Syria, Myanmar sekarang...tanpa ada rasa kemanusiaan sanggup buat apa saja kerana benci dan dendam  tidak mengira pada kanak-kanak, orang tua dan wanita yang tidak berdosa! Ada yang disembelih hidup-hidup, dikelar, dibakar hidup-hidup..bermacam-macam lagi penyiksaaan yang dibuat di luar batas kemanusiaan.  

 Apa pun,  yang penting bagi kita manusia ini sentiasa perbaiki hati kita, bersihkan hati kita, perbaiki hubungan kita dengan Allah... itulah tugas kita yang utama. Apabila kita perbaiki hubungan kita dengan Allah, maka Allah akan perbaiki hubungan kita dengan manusia. Kita menjalin tali silaturrahim dengan manusia lain hanya semata-mata hanya mengharapkan keredaan Allah. Itu saja. Noktah. Tiada sebab lain untuk kepentingan diri, untuk balas budi dan sebagainya.   

Bagaimanakah sebenarnya nak perbaiki hubungan dengan Allah? Langkah pertama terlebih dulu, banyaklah  memohon ampun atas segala kesalahan kita pada Allah dan pada manusia . Dan  taubat 
yang dibuat  itu adalah taubat yang sebenarnya, rasa menyesal dan tidak mengulanginya lagi. Jika ia benar benar dilaksanakan,   maka Allah yang bersifat Maha Pengampun , akan mengampunkan segala dosa kita. Itulah harapan  kita, manusia pendosa ini.......ya Allah,  kami banyak menzalimi diri kami sendiri,  maka ampunilah kami, ampunilah!

Memang dirasakan untuk kembali semula pada Allah perlu pada mujahadah diri, melawan hawa nafsu yang sentiasa mengajak pada yang batil. Ini memerlukan  kesabaran yang tinggi untuk tetap diatas yang hak. Adakalanya letih dan lelah juga datang menerpa, maka bercucuranlah air mata menahan diri....sebenarnya kekuatan itu hanya dari Allah juga! Bersabarlah wahai hati...mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis! Wahai Tuhan yang membolak balikkan hati, maka tetapkanlah hati kami diatas jalanMu yang benar.  

Akhirkata, sama-sama kita renungi pesan Saidina Umar kepada kita, untuk dapatkan mutiara hikmah dalam diri, insyaaAllah.

  • Siapa yang meninggalkan cakap yang berlebihan, dianugerahi kepadanya kebijaksanaan.
  • Siapa yang meninggalkan pandangan yang berlebihan dianugerahi kepadanya kekhusyukan hati.
  • Siapa yang meninggalkan ketawa yang berlebihan, dianugerahi kepadanya kehebatan dalam dirinya.
  • Siapa yang meninggalkan makan yang berlebihan, dianugerahi kepadanya kelazatan beribadah.
  • Siapa yang meninggalkan gurauan, dianugerahi kepadanya keindahan budi bahasanya.
  • Siapa yang meninggalkan cinta kepada dunia, dianugerahi kepadanya cinta kepada akhirat.
  • Siapa yang meninggalkan kesibukan menghitung aib orang lain, dianugerahi kepadanya kesempatan untuk memperbaiki dirinya sendiri.
  • Siapa yang meninggalkan menyelidiki tentang bagaimana keadaan Allah SWT, maka dia akan dianugerahi keselamatan dari iktiqad orang munafik.
Mudah-mudahan peringatan  ini berguna buat diri dan sama-sama dikongsikan dengan pembaca yang lain insyaaAllah. Segala yang benar itu dari Allah tapi yang banyak silap itu dari diri sendiri. Mohon ampun dari Allah atas segala dosa dan ribuan kemaafan dari yang mengenali diri ini......jika pernah menyinggung perasaan dan hati kecilmu.   

Hakikat hidup ini...

Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...