MENUJU MARDHOTILLAH

Belajar merupakan satu jihad di jalan Allah. Mengajar merupakan suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah! ..Jadi belajar dan mengajarlah dengan penuh keikhlasan padaNYA.

Sunday, February 24, 2013

Apakah tuntutan iman terhadap Rasulullah saw..?



Bismillahirrahmaanirrahim..

Sebagai seorang yang mengaku Muslim, kita dituntut untuk beriman pada Allah dan Rasul. Ertinya kita perlu menterjemahkan tuntutan kalimah tiada tuhan yang disembah melainkan Allah SWT dan Muhammad itu benar-benar pesuruh Allah,  bukan hanya setakat kita ulang-ulangkan kalimah itu setiap hari tanpa ada penghayatan dalam hidup.

Kita hendaklah mendidik diri kita dengan tarbiyyah yang berterusan....pendidikan yang memfokuskan kepada pendidikan hati,  sehingga Islam itu jadi satu tabiat yang mendarah daging dalam diri.  Dalam masa yang sama kita perlu menanggalkan semua sifat jahiliyyah dalam diri, sehingga yang tinggal hanyalah Islam yang suci bersih. Setiap rasa, setiap getaran jiwa kita diproses dan dididik sehingga ia dapat berhubung dengan Allah, dengan Islam yang suci bersih. Cetusan rasa hati yang sebeginilah yang akan melahirkan tindakan yang bersih yang berhubung dengan Allah SWT. Diam kita , cakap kita semuanya tidak terpisah dari cetusan rasa hati yang berhubung dengan Allah SWT. 

Inilah hakikat tarbiyyah yang telah dijalankan oleh Rasulullah saw kepada umat yang terdahulu iaitu generasi Al-Quran yang pertama sehingga lahir dari mereka peribadi agung, akhlak mulia tiada tandingannya sepanjang zaman. Mereka  telah dididik dengan tarbiyyah iman, dibersihkan jiwa dari nifaq, ditanggalkan semua sifat-sifat jahiliyyah diri sehingga tiada lagi kepentingan diri dalam hidup, yang hanya ingin mereka capai adalah keredhaan Allah SWT semata-mata!! 

Berbeza dengan kita, kita tidak melalui proses tarbiyyah yang unik ini, kita hanya tahu serpih- serpihan islam yang tidak syumul, kefahaman kita tidak jelas dan bercampur aduk, kita hanya mengikut-ikut sahaja.....hasilnya realiti umat islam sekarang serba boleh dalam semua perkara tak kira haram atau halal! Sahsiah bercampur aduk...nak buat islam dalam masa sama mengambil nilai jahiliyyah. Sedangkan Islam itu sifatnya menyeluruh atau kulli....kita dituntut masuk kedalamnya secara kulli bukan serpih-serpihan!

Jadi sebenarnya bila kita mengaku beriman pada Rasul, kita dituntut supaya menyerahkan seluruh kehidupan kita kepada arahan baginda iaitu mentaati segala apa yang disuruh dan meninggalkan segala apa yang dilarangnya dengan rasa redha dan senang hati. Apa yang Allah dan Rasul kata baik itulah yang terbaik bagi kita ikuti. Bukannya kita mengikuti hawa nafsu kita.  Inilah perkara basic atau asas untuk menjadi seorang Muslim yang paling minima. Buat segala yang wajib tinggalkan segala yang haram. Tapi realitinya,  dalam masyarakat atau mungkin diri kita  yang basic ni pun susah nak laksanakan!  Kita solat dalam masa yang sama kita ambil riba, menipu, mengambil hak orang.....jadi banyaknya campur aduk dalam diri. Maka tidak tuluslah keimanan kita tadi.

Untuk merealisasikan Islam dalam diri dan mengikuti segala arahan Allah dan Rasul ini perlu kepada tarbiyyah yang betul, mengikuti jalan atau kaedah yang betul, persediaan jiwa yang betul....dan dilaksanakan secara berterusan dalam diri dan bersama-sama jemaah. Hakikatnya tarbiyyah ini perlu dijalankan secara berterusan baik di masa senang mahupun di masa susah....kita nak hubungkan jiwa kita dengan Allah  dalam semua keadaan. Bukanya di masa kritikal kita nak lepaskan diri dari tarbiyyah...bila terasa panas lucutkan dari diri!! Disinilah teruji keikhlasan hati sebenarnya. Orang yang ikhlas ingin kembali kepada Allah tetap berpegang teguh padaNya walau dalam suasana gawat sekalipun!! 

Kenapakah perlunya sesorang itu mentaati Allah dan Rasul? Apakah manfaat yang kita dapat?
Sama-samalah kita renungi ayat  Al-Quran ini dalam Surah Ali Inran ayat 132-133 yang bermaksud...

"Hendaklah kamu mentaati Allah dan Rasul, mudah-mudahan kamu mendapat rahmat.  Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan kepada orang-orang yang bertakwa"

Perlu rasa dalam diri sebenarnya kita  manusia ini perlu kepada rahmat Allah SWT. Dan rahmat Allah ini hanya Allah beri kepada orang tertentu yang terpilih sahaja iaitu orang beriman yang mentaati Allah dan Rasul. Allah tidak beri rahmat pada semua orang,  hanya nikmatNya sahaja yang diberi kepada semua manusia...harta benda, udara, air, makanan dsbnya. Semua manusia dan makhluk hidup dalam nikmat Allah yang tidak terhingga banyaknya. Jika kita cuba menghitung-hitung nikmat Allah ini, tidak mampu kita laksanakan, masyaaAllah!

Jadi , rahmat Allah ini sangat kita dambakan...berupa kasih sayangNya, perlindunganNya, pengampunanNya pada kita dunia dan akhirat. Sifat Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang ini menganugerahkan kita balasan yang sungguh hebat iaitu syurga,  diatas ketaatan kita, taubat kita, kerendahan dan penyerahan hati kita di hadapanNya. 

Ketaatan kepada Allah dan Rasul ini kebaikannya kembali pada kita bukan orang lain. Sebenarnya, kitalah yang memerlukan Allah dan Rasul dalam hidup ini untuk menunjukkkan kita jalan menuju kebahagiaan hidup yang abadi . Allah dan Rasul tidak memerlukan keimanan kita padaNya...jka kita tidak meyakini dan mentaati Allah dan Rasul, kitalah yang rugi.  Allah Maha Kaya dan tidak pernah memerlukan iman sesiapa atau apa saja.  

Ada beberapa tuntutan dalam kita mengaku beriman pada Rasul ini...
  • Perlunya kita didik hati kita sehingga kita redha dengan Rasulullah saw. Redha bukan hanya dari segi perkataan sahaja tapi dari segi tindakan seharian kita di setiap masa dan tempat kita usahakan untuk melaksanakan ajaran Rasul ini.
  • Perlu menghormati Rasulullah saw walaupun baginda telah wafat. Menghormati apa yang ditinggalkan oleh baginda berupa Islam dan sunnahnya. Tidak menghina atau mencacinya dan  merasa sensitif dengan perkara-perkara yang menyentuh tentang diri dan kemuliaaan baginda saw.  
  • Perlu mencontohi baginda dalam membentuk ummah atau generasi. Baginda telah berjaya mendidik dan melahirkan umat yang terbaik yang Allah iktiraf sebagai satu generasi Al-Quran yang unik yang menerima arahan baginda persis seorang komando perang menerima arahan ketua....sentiasa bersiap siaga dan bersedia untuk bertindak tanpa soal dan ragu-ragu!!
  • Perlu sentiasa terikat dengan Islam yang dibawa oleh baginda supaya kita dapat merasa nikmat Islam yang merupakan nikmat terbesar yang Allah kurniakan kepada kita. Nikmat terbesar bukan berupa harta kekayaan, pangkat dan seluruh isi dunia...tapi Islam yang merupakan rahmat bagi sekelian alam kerana dengan rahmat inilah manusia akan mendapat  kebahagiaan hakiki yang dicari-cari......
  • Perlu beribadah kepada Allah SWT sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah saw...mengikuti syariat Allah sebagaimana yang dibawa oleh baginda tanpa ada sedikitpun campur aduk. Mempelajari Islam dari sumbernya yang soheh iaitu  dari Al-Quran dan Sunnah Nabi serta sirahnya dan dihuraikan oleh ulama2 yang muktabar yang jelas kefahaman dan jhad mereka dalam Islam. Ini adalah kerana di zaman fitnah akhir zaman ini telah banyak campur aduk dan tidak jelasnya kefahaman sehingga melahirkan berbagai aliran....ditakuti ada  yang tersasar dari apa yang di bawa oleh Rasulullah saw.  Apa pun setiap kemusykilan perlu di rujuk terus pada Al Quran dan Sunnah Rasul....mudah-mudahan Allah memelihara diri kita dari campur aduk kefahaman ini.
Keimanan kita pada Rasul ini merupakan satu tuntutan wajib dari Allah sebagaimana firmanNya dalam surah Ali- Imran ayat 31 yang bermaksud...

"Katakanlah," Jika kamu mencintai Allah, maka ikutilah aku (Rasulullah), niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.  Dan Allah Maha pengampun lagi Maha Penyayang."


Kasih Allah pada kita terletak sejauh mana kasih kita pada baginda Rasululullah saw.  Jadi kita kena bina kasih sayang kita pada baginda dengan lebih mengenali beliau, perjuangan dan pengorbanannya bermandikan air mata dan darah dalam menegakkan Islam. Betapa kasihnya baginda pada umatnya sehingga di saat kematiannya nama umatnya masih dibibir baginda yang mulia. Betapa kasihnya baginda pada umat sehingga doa mustajab seorang Rasul disimpannya di hari kiamat sebagai syafaatnya nanti...di mana di saat itu manusia sangat2 perlukan pertolongan dan syafaat menghadapi suasana yang getir.......

Jadi,  buktikanlah kasih kita pada baginda dengan  membenarkan segala apa yang disampaikan baginda , mentaati segala suruhannya dan bersegera melaksanakan semua itu dengan rasa redha, dan senang hati, menjauhi apa yang Rasul larang dan benci...

InsyaaAllah , mudah-mudahan Allah memberikan kita kekuatan jiwa untuk mentaati dan mengikuti segala saranan ini , memberikan kita taufiq dan hidayahNya supaya kita sentiasa berada di atas jalanNya yang lurus, menetapkan hati kita di atas jalan kebenaran itu. 

Amin Ya Rabbal Alamin
Wallahualam..

Rujukan 
Sumber Tarbawi.

No comments:

Post a Comment

Peringatan....

Jika engkau mahukan teman...
Cukuplah Allah sebagai teman.
Jika engkau mahukan musuh..
Cukuplah nafsu sebagai seteru..
Jika engkau inginkan hiburan..
Cukuplah Al-Quran sebagai hiburan..
Jika kamu inginkan nasihat..
Cukuplah mati sebagai penasihat.

Link within

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Surah Al Isra' : 72

"Barangsiapa yang buta(hati) di dunia ini, maka dia juga akan buta di akhirat kelak dan lebih sesat jalannya."

Kehadiranku di website ini.......

Daisypath - Personal pictureKehadiranku di sini....

visitor's map....