Thursday, July 28, 2011

12 amalan-amalan yang perlu dilakukan semasa memasuki bulan Ramadhan


  • Memperbanyakan taubat dan istighfar kepada Allah S.W.T supaya memasuki bulan Ramadhan ini dengan jiwa dan hati yang bersih, putih dan jernih.
  •  Berbaiki hubungan dengan orang lain dan lupakan segala sengketa. Jadikan ia sebagai medan bermaaf maafan.

  •  Meminta keampunan dan kemaafan daripada kedua orang tua . Banyakan istighfar dan sedekahkan doa untuk mereka.
  •  Belajar dan fahamkan Fiqh Saum ( Puasa). Telaah kitab, lihat dan rujuk buku-buku karangan ulamak muktabar.
  •  Memperbanyakan amalan soleh. Gempurkan diri dengan ibadah-ibadah sunnat tanpa mengabaikan ibadah yang fardhu.
  • Menanam azam untuk menghidupkan semua amalan soleh di dalam Bulan Ramadhan.
  • Membaca Al-Quran. Letakan target secara ansur maju untuk mengkhatam Al-Quran.
  • Memelihara solat berjemaah terutamanya di masjid.
  • Perhebatkan amalan-amalan sunnat dalam kehidupan.
  • Merancang untuk melaksanakan iktikaf di masjid pada 10 akhir Ramadhan.
  • Menjauhi amalan-amalan kefasadan dan kemungkaran terutama yang melibatkan anngota panca indera kita
  • Perlu memelihara dan menjaga hati kita daripada dosa-dosa, maksiat-maksiat dan noda-noda.
Mudah-mudahan Allah memberikan kita kekuatan dan memampukan kita untuk melaksanakannya, insyaAllah!

Cukupkah persediaanku menghadapi Ramadhan kali ini......??


Bismillahirrahmanirrahim....

Hari demi hari telah berlalu....semakin lama semakin menghampiri bulan Ramadhan.  Sedar tak sedar, minggu hadapan telah mula kita umat Islam seluruh dunia akan berpuasa. Kita akan menginjakkan kaki kita ke bulan mulia penuh barokah, bulan rahmat di mana di bulan ini kita sepatutnya mengawal dan menundukkan hawa nafsu kita, menjaga tuturkata kita, menjaga agar puasa kita sempurna zahir dan batin, meningkatkan ibadat solat kita dan berusaha sebanyak mungkin membuat amal kebajikan...........

Perlunya kita membuat persediaan sebelum memasuki Ramadhan......lebih-lebih lagi  dengan penuh persediaan hati dan jiwa kita untuk menjalani madrasah Ramadhan!  Ya.... di samping persediaan ilmu tentang hakikat berpuasa yang sepatutnya kita ketahui dan apakah matlamat utama ibadah ini....

Persediaan hati inilah merupakan persediaan yang paling penting dan juga paling sukar.....kerana hati inilah yang kita nak didik, nak tundukkan hawa nafsu yang ada dalamnya. Supaya apa yang ada didalam jiwa kita ini dapat dihubungkan dengan kehendak Allah.

Kita hanya boleh menjaga lidah kita, tuturkata kita bila hati kita ini,  kita kekang dari berkata yang bukan-bukan......kita dapat mengawal mata dari melihat perkara yang haram dan telinga kita dari mendengar yang tidak syarak , hanya setelah kita telah dapat mengawal hati kita......

Hakikatnya, mengawal hati ini kerja yang paling susah. Hati kita ini ibarat kuda liar yang perlu dijinakkan....caranya dengan banyak mengingati Allah, mengekang kehendak hawa nafsu melalui berpuasa zahir dan batin, membanyakkan ibadah supaya hati tu dapat di bersihkan dari kotoran yang sekian lama telah mencemarinya.....dengan itu hati jadi lunak dan lembut, tersentuh jiwa dengan ayat-ayat Allah!! Dengan kata lain hati kita sebenarnya yang perlu menjalani ibadah puasa, bukan hanya sekadar puasa perut dari makan dan miinum sahaja!!

Dalam realiti kita seharian berinteraksi dengan insan lain, perlunya kita lebih berhati-hati agar tidak 'over'...kadang-kadang terlebih cakap, terlebih gurau, akhirnya sendiri terjebak dalam perbuatan ghibah (mengumpat)  dan lagha (sia-sia). Kurasai sendiri hal ini.....kadang-kadang rasanya lebih baik banyak menyendiri dari banyak bergaul dan bercakap , akhirnya  mengutip dosa-dosa kering! Kita kena sibukkan diri kita dengan ibadah seperti membaca Al- Quran, berzikir dan berdoa serta memperbanyakkan istighfar...............
Jadi, dengan itu kita tidak akan punya banyak masa untuk yang lain iaitu perkara yang tidak berfaedah sekalipun memikirkannya!! 

Tapi persoalannya yang bermain di fikiranku.....cukup bersediakah aku untuk melaksanakan apa yang ku tahu? Hakikatnya,  aku kecundang juga sebelum ini,  menuruti keinginan hawa nafsuku, sehingga diri jadi lemah, lesu dan semangat diri hilang. Begitulah Allah uji kita  untuk  kita sedari bahawa kita ini cuma insan biasa yang banyak kelemahan diri. Apabila kita menghubungkan hati kita dengan Allah semula, dapatlah kita mengawal diri kita semula, dapat membangunkan semula semangat diri yang hilang...........


Tapi bila  kita leka dari mengingatiNya , kita akan lemah, letih , sempit jiwa dan tidak bermaya semula. Begitulah jatuh bangun, kuat atau  lemah diri ini bergantung sejauh mana kita dapat  menghubungkan hati dengan Allah!!

Kekuatan kita sebenarnya bukan terletak pada fizikal tubuh yang kuat , tapi sebenarnya terletak pada kekuatan jiwa yang tersembunyi. Bila hati sakit, lemah tidak bermaya, maka fizikal tadi turut sakit dan tidak bermaya! Jadi perlu sangat kita jagai hati kita ini.....walau pun ia merupakan sekeping hati yang kita tak nampak secara fiziknya, tapi peranannya cukap besar dalam kehidupan kita ini!

Ya Allah, berikanlah aku lisan yang lembut basah mengingati dan menyebut NamaMu, hati yang sentiasa mensyukuri nikmatMu dan badan yang ringan menyempurnakan ketaatan perintahMu...........

Ya Allah, kurniakanlah aku iman yang sempurna, hati yang khusyu, ilmu yang berguna dan keyakinan yang benar-benar mantap...

Amin Ya Rabbal Alamin....perkenankanlah ya Allah , TuhanKu yang Maha Pengasih...
Kasihanilah daku dan kasihanilah semua orang-orang yang beriman..

Thursday, July 21, 2011

Kembalilah Kepada Al-Quran......


Bismillahirrahmanirrahim....

Oleh kerana fitrahnya manusia ini dijadikan oleh Allah dalam keadaan serba lemah, selalu lupa dan lalai, mudah terikut nafsu diri, cepat letih dan putus  asa, kikir  dan pentingkan diri sendiri........sewajarnyalah perlunya berkali-kali diulang-ulangkan ajakan kepada Allah SWT, ajakan kepada Al-Quran, kepada sunnah Rasul, kepada sistem Islam, kepada sistem Rabbani........semua ini merupakan satu tuntutan yang besar ke atas orang-orang yang mengaku beriman pada Allah SWT!!

Hati yang mudah leka dan lupa ini perlu diperingatkan selalu akan peringatan Allah dalam Surah Thaha ayat 124-127 yang bermaksud......

"  Dan barangsiapa yang berpaling dari peringatanKu, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta.  Berkatalah ia, "  Wahai Tuhanku, mengapa Engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta pada hal aku dahulunya adalah seorang yang dapat melihat?  Allah berfirman, "  Demikianlah telah datang kepadamu ayat-ayat Kami maka kamu melupakannya, dan begitu pula pada hari ini kamu pun dilupakan." Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampau batas dan tidak percaya kepada ayat-ayat Tuhannya, dan sesungguhnya azab di akhirat itu lebih berat dan lebih kekal."

Aduh...beratnya balasan Allah pada mereka yang membelakangkan deen Allah SWT, membelakangkan Al-Quran....hidupnya sengsara didunia, jiwanya sempit, akalnya kusut, tersiksa jiwa kerana selalu di bayangi keresahan dan kebimbangan yang tidak kunjung padam. Dirinya selalu dihantui pelbagai  penyakit jiwa dimana fizikalnya turut merana sama!

Dan dihari kiamat nanti pula, dihimpunkan dalam keadaan buta......tidak dapat melihat jalan kejayaan, jalan menuju kesyurga. 

Bagi yang melupakanNya  di dunia.....Allah akan lupakan dan tidak menghiraukan mereka yang melupakanNya nanti di akhirat! Tiada layanan baik, tiada sebarang penghormatan diberikan. Tinggallah seorang diri terkapai-kapai, merasa sangat takut, gerun dan kecut perut melihat akan segala siksaan dan azab yang disediakan!

 Bayangkan betapa di akhirat nanti....tiada pertolongan melainkan pertolongan Allah, tiada naungan melainkan naungan Allah....tapi sedih dan sangat pilunya hati kerana....Allah melupakannya sebagaimana dia  lupakan  Allah sewaktu di dunia dahulu!! 

Justru itu, setiap diri kita yang mengaku beriman pada Allah SWT, di tuntut kembali kepada Al-Quran dan Sunnah. Sentiasa berusaha memproses diri agar sentiasa ingat pada Allah dan melaksanakan segala tuntutan. Pengembalian ini bukan untuk manfaat sesiapa....bahkan untuk diri sendiri bagi  menyelamatkan diri dari siksaan azab neraka yang sedia menanti! 

Kita perlu sedar dan merasai adalah merupakan satu kewajipan mengajak diri sendiri, keluarga  dan masyarakat untuk kembali pada Al-Quran yang mulia.......
dan merupakan satu amanah besar bagi setiap diri kita ini memperhambakan diri hanya senya pad Allah SWT,  mempraktikkan segala perintah Allah dan menjauhi  segala laranganNya.  Semua ini memerlukan pada keikhlasan dan kekuatan iman dalam diri.....

Disamping itu,  untuk menjaga hati kita ,   mestilah berada selalu dalam suasana atau biah yang soleh ....suasana yang dapat menyuburkan iman dalam diri, suasana ingat memperingati di atas jalan Allah. Kita sebenarnya sangat memerlukan suasana sebegini selalu agar kita tidak tergelincir dari landasan yang betul!  Sememang diri kita ini selalu lalai dan lupa!

Jadi,  carilah sahabat yang baik dan soleh, bergaullah dengan mereka, jauhi pergaulan yang melalaikan, cakap-cakap kosong yang tidak bermanfaat untuk akhirat, waspadalah selalu dalam pergaulan dengan manusia.......kerana sememangnya seringkali kita pasti akan terjebak dalam perkara-perka yang tidak syarak seperti mengumpat, lagha, buang masa dan sebagainya....

Jika kita tidak berusaha menjaga hati kita dari di kotori.....hati kita pasti akan terus lalai dan leka, tidak sensitif dengan ayat-ayat Allah, malas nak beribadah pada Allah, suka rehat dan santai selalu....akibatnya cukup berat, iaitu  lama-lama hati kita  boleh jadi keras dan tidak tersentuh dengan peringatan Allah.  Dan  untuk bersihkan semula hati kita yang sudah dicemari itu bukanlah sesuatu yang mudah!  Umpama kita mendaki bukit yang tinggi .....perlu pada kesungguhan, istiqamah dan fokus kepada matlamat pendakian untuk sampai ke puncak! Pasti ada halangan dan daya tarikan yang datang untuk mengagalkan matlamat. 

Sesungguhnya,  dalam apapun yang  kita buat di dunia ini....perlu banyak menyoal diri: aku buat perkara ini Allah redha ke Allah benci, syarak ke tidak, dapat syurga ke neraka, pahala atau dosa??  Kena berhenti sejenak memikirkan implikasi setiap tindakan yang kita buat.....bukan untuk dunia, tapi apa kesannya pada akhirat kita!!

Friday, July 15, 2011

Renungan buat jiwa yang alpa...

Wasiat dari Allah s.w.t.
Dari Nabi Muhammad s.a.w., "Pada waktu malam saya diisrakkan sampai ke langit, Allah s.w.t. telah memberikan lima wasiat, antaranya :
  1.  Janganlah engkau gantungkan hatimu kepada dunia kerana sesungguhnya Aku tidak menjadikan dunia ini untuk engkau. 
  2. Jadikan cintamu kepada-Ku sebab tempat kembalimu adalah kepada-Ku. 
  3. Bersungguh-sungguhlah engkau mencari syurga. 
  4. Putuskan harapan dari makhluk kerana sesungguhnya mereka itu sedikitpun tidak ada kuasa di tangan mereka. 
  5. Rajinlah mengerjakan sembahyang tahajjud kerana sesungguhnya pertolongan itu berserta qiamullail. 

Nasihat orang sufi kepada Ibrahim bin Adham

  • Orang yang banyak bicaranya janganlah kamu harapkan sangat kesedaran hatinya. 
  • Orang yang banyak makan janganlah kamu harapkan sangat kata-kata hikmat darinya. 
  • Orang yang banyak bergaul dengan manusia janganlah kamu harapkan sangat kemanisan ibadahnya. 
  • Orang yang cinta kepada dunia janganlah kamu harapkan sangat khusnul khatimahnya. 
  • Orang yang bodoh janganlah kamu harapkan sangat akan hidup hatinya. 
  • Orang yang memilih berkawan dengan orang yang zalim janganlah kamu harapkan sangat kelurusan agamanya. 
  • Orang yang mencari keredhaan manusia janganlah harapkan sangat akan keredhaan Allah s.w.t. daripadanya."

Sabda Rasulullah s.a.w. kepada Mu'adz, "Wahai Mu'adz, apabila di dalam amal perbuatanmu itu ada kekurangan , maka.......
  •  Jagalah lisanmu supaya tidak terjatuh di dalam ghibah terhadap saudaramu/muslimin. 
  •  Bacalah Al-Quran 
  •  Tanggunglah dosamu sendiri untukmu dan jangan engkau tanggungkan dosamu kepada orang lain. 
  • Jangan engkau mensucikan dirimu dengan mencela orang lain. 
  • Jangan engkau tinggikan dirimu sendiri di atas mereka. 
  • Jangan engkau masukkan amal perbuatan dunia ke dalam amal perbuatan akhirat. 
  • Jangan engkau menyombongkan diri pada kedudukanmu supaya orang takut kepada    perangaimu yang tidak baik. 
  • Jangan engkau membisikkan sesuatu sedang dekatmu ada orang lain. 
  • Jangan engkau merasa tinggi dan mulia daripada orang lain. 
  • Jangan engkau sakitkan hati orang lain dengan ucapan-ucapanmu.
Sama-sama kita renung-renungkan.....dan cuba menghayatinya!!

Thursday, July 14, 2011

Bulan Syaaban......kelebihannya dan amalan dalam bulan ini




Bismillahirrahmanirrahim.....

Alhamdulillah, kita sekarang ni masih berada di bulan Syaaban yang merupakan bulan Rasulullah saw.......di katakan demikian kerana banyaknya baginda beramal dalam bulan ini. Jadi , marilah kita memperbanyakkan amalan di dalam bulan yang penuh dengan keberkatan ini.

Sabda Nabi s.a.w. : Apabila masuk bulan Syaaban, baikkanlah niatmu padanya, kerana kelebihan Syaaban atas segala bulan seperti kelebihanku atas kamu.
Di antara amal yang digalakkan dilakukan dalam bulan Syaaban ini adalah

  • berpuasa......sebagai persediaan kita menyambut Ramadan. Amalan ini sebenarnya agak sukar dilakukan kerana ia menguji ketahanan mental, emosi dan fizikal sesaorang.....jadi amalan ini diberikan ganjaran yang banyak jika dilakukan!. 
Barangsiapa yang berpuasa sehari pada bulan Syaaban, diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi taulan Nabi Allah Yusuf a.s. di dalam syurga. Diberi pahala oleh Allah seperti pahala Nabi Allah Ayub a.s. dan Nabi Daud a.s. Jika dia sempurnakan puasanya sebulan di bulan Sya’aban, dimudahkan Allah atasnya Sakrotulmaut dan ditolakkan (terlepas) daripadanya kegelapan di dalam kubur, dilepaskan daripada hura-hara Munkar dan Nakir, ditutup Allah keaibannya di hari kiamat dan diwajibkan syurga baginya.

Barangsiapa berpuasa pada awal hari khamis pada bulan Sya’aban dan akhir khamis daripada Syaaban, dimasukan dia ke dalam syurga. (dari kitab Al-Barakah).

Berkata Siti Aisyah r.a., bulan yang lebih dikasihi oleh Rasululah s.a.w. ialah bulan Syaaban.

Sabda Nabi s.a.w.: Sya’aban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban ialah mengkifaratkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan ialah menyucikan dosa (jasmani dan rohani).

Sabda Nabi s.a.w.: Bahawa puasa Syabaan kerana membesarkan Ramadhan. Siapa yang berpuasa tiga hari daripada bulan Sya’aban, kemudian dia bersalawat atasku beberapa kali sebelum berbuka puasa maka di ampunkan oleh Allah dosanya yang telah lalu, diberkatikan rezeki baginya,

Antara lain sabdanya lagi: Bahawa Allah Ta’ala membukakan pada bulan itu tiga ratus pintu rahmat.

Sabda Rasulullah s.a.w..... Dinamakan Syaaban kerana padanya terdapat kebajikan yang amat banyak dan puasa yang lebih afdhal sesudah Ramadhan ialah puasa bulan Syaaban. Pengertian Sya’aban: Kemuliaan, Ketinggian, Kebajikan, Jinak, Cahaya.

Sabda Nabi s.a.w.....

" Bahawa kelebihan Rejab atas bulan-bulan yang lainnya seperti kelebihan Qur’an atas segala kalam. Kelebihan Syaaban atas bulan-bulan yang lainnya seperti kelebihanku atas segala Anbia’ (Nabi-nabi). Kelebihan Ramadan atas bulan-bulan yang lain seperti kelebihan Allah atas sekelian makhlukNya".

Bulan Sya’aban, keagungan malamnya dengan Nisfu Syaaban seperti keagungan Ramadhan dengan Lailatul Qadarnya. Maka pada malam Nisfu Sya’aban telah datang Jibril kepada Rasulullah s.a.w lalu katanya....

Angkat kepalamu ke langit, itulah malam yang Allah beri padanya tiga ratus rahmat dan diampunkan Allah sekelian orang yang tidak menyengutukan  Nya dengan sesuatu, kecuali tukang sihir, tukang nujum, orang yang bermusuhan, orang yang terus menerus minum khamar (arak), terus menerus berzina, memakan riba, derhaka kepada ibu bapa, orang yang suka mengadu domba dan orang yang memutuskan sillaturahim. Tuhan tidak akan mengampuni mereka sampai mereka taubat dan meninggalkan segala kejahatan itu..."...


Rasullullah pun keluar, lantas megerjakan solat dan menangis dalam sujudnya ,seraya bermohon....
 'Oh Tuhan. saya berlindung kepada-Mu dari azab seksa-Mu dan dari kemurkaaan-Mu, tiada ku batasi pujian kepada-Mu sebagaimana engkau telah memuji diri-Mu. Maka bagiMulah segala puji pujian itu hingga Engkau redha...

Rasullullah bersabda....
Barang sesiapa memuliakan bulan Syaaban dan takut kepada Allah,beramal taat kepadaNya dan menahan dirinya dari perbuatan maksiat, nescaya diampuni Allah segala dosanya dan dipelihara Allah ia pada tahun itu dari berbagai cubaan dan penyakit.."

Rujukan
Blog IKIM 
i luv islam

    Wednesday, July 13, 2011

    Ramadhan datang lagi.....Alhamdulillah !!


    Bismillahirrahmanirrahim...

    Tidak berapa lama lagi  Ramadhan datang lagi,  hanya tinggal lebih kurang 2 minggu ....insyaAllah!! Mudah-mudahan Allah beri kita kesempatan agar dapat menghirup udara segar Ramadhan yang penuh barokah. Rasanya baru lagi aku membuat sedikit coretan perkongsian di blog ini tentang Ramadhan di tahun lepas......begitu cepatnya masa berlalu, masyaAllah! Sedar tak sedar.......setahun telah pergi meninggalkan kita selamanya yang tidak akan kembali lagi....semoga kita dapat memasuki Ramadhan kali ini dengan penuh persediaan jiwa .......

    Jiwa kita ini perlu mempunyai kesedaran bagaimana seharusnya kita memasuki bulan mulia ini.....kita akan berada di dalam madrasah Ramadhan untuk mendidik jiwa kita , mendidik nafsu kita supaya tunduk dan patuh pada kehendak Allah SWT. Kita jagai  agar nafsu diri dapat kita jinakkan, kita salurkan ia kearah yang betul......supaya jiwa kita dapat merasai hakikat hubungan hati dengan Allah SWT.

    Setahun yang lepas kita mengharungi kehidupan dunia ini dengan segala pancaroba ujiannya....sehingga kita rasa letih, lesu dan tidak bersemangat......umpama bateri yang telah kehilangan casnya!  Jadi perlunya kita mengecas semula bateri jiwa kita ini.......agar ia dapat bangun dan bersemangat semula melakukan amal-amal islami , agar kita tangkas semula menyibukkan diri kita melaksanakan tuntutan dan tanggungjawab pada Allah dalam segala aspek kehidupan kita............

     Perlunya kita perbanyakkan istighfar dan taubat kita sebelum memasuki Ramadhan.....supaya  dengan ini kita dapat membersihkan hati nurani kita untuk memasuki bulan yang mulia ini..... Ramadhan yang datang umpama tetamu mulia dan terhormat, membawa keberkatan kepada kita......jadi kita menerima kedatangan Ramadhan ini  dengan jiwa yang bersih supaya kita dapat memanfaatkan Ramadhan sebagaimana yang sepatutnya.....!!

    Seharusnya janganlah kita menyibukkan diri dengan persediaan-persediaan lain yang menuntut banyak masa kita seperti membuat baju raya, shopping raya, kuih raya, rumah untuk raya................belum masuk lagi Ramadhan dah sibuk dah nak beraya?? Ala kadar cukuplah persediaan raya tu, Ramadhan tu lebih utama dan sepatutnya diberi fokus...........perlunya kita berazam......  Ramadhan kali ini aku akan buat lebih baik dari tahun lepas, insyaAllah!! Ya Allah bantulah aku untuk merealisasikannya......inilah sepatutnya yang bermain-main di benak jiwa kita.  Bukannya kita susah hati, nanti sebulan ni aku tak boleh makan disiang hari.....gastriklah, tak laratlah dan macam-macam alasan......

    Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan.......sama-sama kita berdoa agar Allah panjangkan umur kita ini untuk bersama Ramadhan lagi di tahun ini, insyaAllah. Mudah-mudahan Allah beri kita kemampuan untuk melaksanakan ibadah puasa zahir dan bathin, menunaikan solat tarawih sepanjang bulan, bertadarrus Alquran sebanyak mungkin, menunaikan solat-solat sunat , bersedekah seikhlas hati .........

    Apapun kita buat semuanya hanya untuk dipersembahkan kepadaNya.....atas dasar keimanan dan ketakwaan kita pada Allah SWT......

    Yang kita sama-sama hajati......setelah melalui madrasah Ramadhan selama sebulan nanti,  kita mendapat sijil yang sangat berharga dari Allah SWT.....iaitu sijil takwa, juga mendapat keampunan dari Allah serta dibebaskanNya dari api neraka!

    Mohon ampun Ya Allah akan segala dosa-dosaku......
    Maaf semua di atas segala salah dan silapku...
    Aku ini hanya seorang insan biasa
    Punya kelemahan dan kekurangan diri
    Segala salah dan silap harap dimaafi.....
    Sebelum ku melangkah masuk ke bulan Ramadhan yang suci!!

    Sunday, July 03, 2011

    Bentuk-bentuk penyesalan pada hari kiamat....

    Bismillahirrahmanirrahim...

    Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah SWT kerana masih diberiNya kesempatan untuk menghirup udara dunia, mengecapi segala nikmatNya......masih berupaya untuk menulis sedikit catatan untuk perkongsian bersama . Di pagi Ahad tadi,  majlis tazkirah yang ku hadiri itu  memberikan impak yang besar bagi jiwa..... Disaat jiwa letih, lemah dan kurang bersemangat.....apa yang di perkatakan umpama air segar yang menyirami dedaun pohon yang hampir layu......umpama orang yang kehausan diberi minum air yang segar, alhamdulillah nikmatnya bila dapat menghirupnya !

    Begitulah jiwa kita ini, setiap hari bergelumang dengan suasana kerja yang sibuk...dihujung minggu perlunya kita luangkan sedikit masa memberi makanan dan minuman bagi roh kita....supaya kita tidaklah leka dengan kehidupan dunia yang sebenarnya tidak akan membawa kita kemana-mana melainkan ia sebenarnya bila semakin dikejar semakin ia lari dan juga semakin haus kita untuk memenuhi kehendaknya.....tidak akan puas-puas!  Begitukah seharusnya kita layari hidup ini?? Sama-samalah kita fikirkan .............  

    Apa yang dikatakan oleh penceramah tadi begitu menyentuh jiwaku.....mungkin ia datangnya dari jiwa yang masuk ke dalam jiwa....menyebakkan hatiku disepanjang tazkirah tadi, mungkin mengenangkan diri yang tidak seberapa amalnya, banyak lalai dan leka sedangkan masa terus berlalu tanpa menunggu walau sesaat!
    Setiap detik, setiap saat , setiap jam , setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan....telah berlalu, berlalu dengan cepat meninggalkan kenangan lalu sama ada pahit atau manis.....Tidak terhitung olehku setiap jumaat yang berlalu.....aduh bertambah umurku lagi rupanya tahun ini...... setiap detik menghampiri mati!! 

    Begitulah perjalanan hidup kita manusia ini......akan sampai juga kita ke pengakhiran hidup kita sama ada cepat atau lambat, insyaAllah pasti tiba!! Persediaan kita bagaimana?? Aduh berat ni...... sebelum tiba hari dimana penyesalan tidak berguna lagi , cukup ke bekalan kita nanti?? 

    Penyesalan manusia di akhirat nanti tidak ada tolok bandingnya nanti....kerana ia tidak boleh di tebus walau dengan dunia dan seluruh isinya!! 
    Tersangat kesal kerana semasa hayat di dunia, selalu berada dalam kerugian tidak mempergunakan nikmat masa lapang dan waktu sihatnya  memanfaatkannya di jalan Allah SWT.....

    Hal ini di nyatakan dalam hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Bukhari yang bermaksud....
    " Ada dua nikmat dan ramai orang mengalami kerugian kerana keduanya, iaitu nikmat sihat dan nikmat masa lapang."

    Ibnu Al-Jauzi menyatakan......
    " Adakalanya orang itu sihat, tapi tidak punya waktu lapang sebab sibuk bekerja. Juga adakalanya sesaorang mempunyai masa lapang tapi tidak sihat. Jika sesaorang pula mempunyai masa lapang dan badan sihat, tetapi ia malas melakukan ketaatan pada Allah, maka ia menjadi orang yang rugi. Dunia ini adalah ladang akhirat, dan didalamnya terdapat perniagaan yang keuntungannya terlihat di hari akhirat.  Barangsiapa yang menggunakan waktu sihat dan waktu lapangnya untuk ini, maka ia orang yang patut ditiru.  Dan barangsiapa yang menggunakan masa lapang dan sihatnya untuk maksiat pada Allah, ia adalah orang yang rugi."      

    Diantara bentuk-bentuk penyesalan yang akan dihadapi oleh manusia yang ingkar pada Allah ........
    • Di saat berlakunya kiamat kecil iaitu kematian...
    Ketika nyawa berada dihujung-hujung manusia mula menyesal.....
    Seperti firman Allah SWT dalam surah Al-Qiyamah (28-30) yang bermaksud..
    " Dan dia yakin sesungguhnya itulah waktu perpisahan (dengan dunia). Dan betis(kiri) bertaut dengan betis  ( kanan).  Kepada Tuhan itu kamu dihalau."

    Disaat itu akan teringatlah  manusia akan ribuan jam yang tidak  gunakan untuk taat pada Allah dan berharap dikembalikan kedunia untuk beramal soleh. (Surah Mukminun ayat 99-100)
    Namun semua itu impian belaka....Allah Maha Mengetahui sekiranya dikembalikan semula, semua janji itu tidak akan ditunaikan!! Manusia ini suka berbuat janji...tapi sering tidak menunaikannya!
    • Bentuk penyesalan sehingga mengigit tangan
    Kerana terlalu kesal....bukan hanya mengigit satu tangan, malah kedua belah tangannya di akhirat nanti!
    Ini dinyatakan dalam firman Allah dalam surah Al-Furqan ayat 27-28 yang bermaksud.....
    " Orang zalim itu mengigit dua tangannya sambil berkata, ' Kecelakaan besar bagiku. Kiranya aku (dulu) tidak menjadikan si fulan teman akrab.  Sesungguhnya ia telah menyesatkan  aku dari Al-Quran ketika Al- Quran datang kepadaku. Dan syaitan itu tidak menolong manusia."

     Perbuatan mengigit kedua tangan secara bergantian atau mengigit keduanya sekaligus melambangkan beratnya penyesalan diri.....akibat semasa didunia tidak bersahabat dengan orang yang soleh yang dapat membimbingnya kejalan yang benar...lantas  dia terheret sama ke jalan neraka!

    Jadi , awasilah dengan siapa kita berkawan atau bersahabat, kerana pengaruh mereka membekas dijiwa.....kata-kata dituruti, kemudiannya sama-sama  berbuat dosa pada Allah! Pilihlah sahabat ataupun teman hidup yang soleh yang saling dapat ingat memperingatkan kita di atas jalan Allah dan menyayangi kita kerana Allah!!
    • Penyesalan ketika amal perbuatan diperlihatkan
    Ketika buku catatan amal manusia dibentangkan, dia sungguh terkejut....tiada satu amal pun tertinggal, segalanya tercatat sama ada yang nyata atau tersembunyi......lalu berteriak penuh penyesalan. Semua itu bukan mustahil di zaman era teknologi kini....dengan menggunakan kamkorder, apapun boleh divideokan, tapi kamkorder Allah lebih hebat lagi.......sehingga segala ucapan, lintasan hatipun boleh di putar semula!  
    Firman Allah dalam surah al-Kahfi ayat 49...
    " Kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil mahupun yang besar, melainkan mencatat semuanya."

    Dikala itu, hati manusia sungguh takut, kerana tiada yang boleh disembunyikan dari Allah....semuanya jelas dan nyata!  Aduh bagaimana nasibku nanti.......sekiranya aku ingin menjadi tanah yang diinjak-injak ataupun mati lebih baik....begitulah kata hatinya!!

    Manusia itu lupa semasa didunia,  ia lupa akan mati...ingin hidup selamanya, tapi di akhirat dia inginkan kematian sebab siksaan yang sungguh berat yang akan diterima!! 
    • Penyesalan ketika neraka didatangkan
    Keadaan neraka yang didatangkan seperti dalam hadith Rasulullah riwayat Muslim..
    " Ketika itu neraka didatangkan yang mempunyai 70,000 penahan dan di setiap penahan ada 70,000 malaikat yang menariknya."
    Jadi jumlah malaikat yang menarik neraka sebesar itu adalah 4,900,000,000.(49 billion).... sungguh dahsyat keadaannya dengan lidah besar menjulur panjang, leher yang bermata seperti yang disebutkan dalam hadith riwayat Tirmidzi.....
    " Pada hari Kiamat , leher keluar dari neraka.  Leher itu punya dua mata yang boleh melihat, dua telinga yang boleh mendengar, dan lidah yang mampu berbicara.  Lidah pada leher itu berbicara, 'Aku ditugaskan kepada 3 jenis manusia, iaitu orang yang menjadikan Tuhan selain Allah, orang yang sombong dan bongkak serta para penggambar." 

    Neraka itu berteriak dengan teriakan yang menakutkan, "Apakah masih ada tambahan orang untukku , apakah masih ada tambahan orang untukku?"
    Manusia kecut dan sangat takut  mendengarkan kemarahan , teriakan dan hembusan nafas neraka, ketika itu ingatlah dia akan segala maksiat yang telah diperbuat, malas untuk taat dan beribadah pada Allah....tapi nostalgia itu tidak berguna lagi!!

    Kesempatan dan peringatan semuanya telah berlalu, tiada guna lagi peringatan!! Kesedihan yang sungguh mendalam pada orang yang ingkar pada Allah disebalik harapan yang tidak berguna di akhirat ketika mengucapkan....Alangkah baik kiranya aku dulu mengerjakan amal soleh untuk hidupku ini!........satu keadaan yang sungguh menyakitkan jiwa yang tidak akan tertanggung betapa beratnya bebanan penyesalan dihati..............Nauzubillahiminzaalik!! 
    • Penyesalan ketika berdiri di neraka
    Ketika dihadapkan ke neraka, orang kafir ketika itu melihat   belenggu dan rantai dan siksaan yang dahsyat di dalamnya.......disaat itu berkatalah ia, 'Duhai! Betapa celakalah kita.'
    Mereka berharap menjadi orang yang beriman supaya terlepas dari siksaan, sedangkan di dunia dulu merekalah penentang yang kuat dan memerangi orang beriman pada Allah, menyiksa orang beriman dan memperlecehkan siapa saja yang beriman pada Allah?
    • Penyesalan ketika dilemparkan kedalam neraka
    Orang yang ingkar pada Allah akan diseret dineraka dengan kepala terbalik dan wajah mereka dibolak balik dalam Neraka Jahannam, dan mereka berharap andainya mereka dikembalikan kedunia, mereka akan bersama-sama orang yang taat pada Allah dan Rasul  (Surah Al-Ahzab: 66-68)

    Jadi...begitulah keadaan yang dahsyat dan penyesalan yang berpanjangan  penghuni neraka yang seharusnya kita jadikan iktibar yang berguna bagi kita.  Biarlah kita menyesal di dunia ini....masih ada kesempatan, ruang dan peluang selagi hayat masih ada!! Janganlah kita persia-siakan hidup yang semakin singkat ini............bila berbuat dosa, maka cepat-cepatlah kita bertaubat pada Allah! 

    Manusia mana yang tidak buat silap dan buat dosa....namun Allah itu Maha Pengasih, Lagi Maha Penyayang, Maha Pengampun...dan sentiasa menginginkan kebaikan bagi kita manusia ini. Allah SWT sentiasa memberikan kita peringatan, demi peringatan dalam hidup ini........agar kita kembali padaNya.!! 

    Ingatlah.....
    Kasih manusia sering bermusim...
    Sayang manusia tiada abadi...
    Kasih Tuhan tiada bertepi...... 
    Sayang Tuhan janjiNya pasti!!

    Rujukan
    Taujih Ruhiyah



       

    Hakikat hidup ini...

    Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...