Sunday, April 17, 2011

Perlunya kita tingkatkan kesedaran hati kita!

Bismillahirrahmanirrahim......

Firman Allah dalam Surah Al-Anbiya ayat 1-3 yang bermaksud,,,,
"Telah semakin dekat kepada manusia perhitungan amal mereka, sedangkan mereka dalam keadaan lalai(dengan dunia) dan berpaling dari (akhirat).  Setiap yang diturunkan kepada mereka ayat-ayat yang baru dari Tuhan, mereka mendengarkannya sambil bermain-main, hati mereka dalam keadaan lalai........"

Dalam ayat di atas Allah menerangkan tentang hakikatnya kebanyakan manusia, walaupun hari hisab semakin dekat dengan setiap hari yang berlalu, manusia amat tidak peduli dan selalunya lalai dengan tujuan mengapa mereka di ciptakan, tidak endah akan hari akhirat , hati mereka terikat dengan dunia dan tidak serius bila mendengarkan peringatan Allah! Seolah-olah peringatan Allah itu singgah pada telinga yang tuli, tidak didengari dan difahami apatah lagi untuk dilaksanakan!

Ramai dari kita yang tidak takut pada Allah dan berharap selain dariNya, tidak peduli akan hari dan saat di mana kita akan pergi meninggalkan dunia fana ini dan tidak benar-benar memikirkan apa yang kelak akan diterima di alam kubur nanti, tidak memikir dan memperhatikan hiruk pikuk kedahsyatan Hari Kiamat!! Kita benar-benar lalai terhadap banyak hal......kerana cintanya pada dunia yang membuatkan kita tidak mengetahuinya!

Perlulah kita sedari umur kita ini umpama bazar tempat berjual beli  dimana ada barang yang baik dan ada barang yang buruk dan jelek dijual. Orang yang berakal akan memilih dan membeli  barang yang baik dan bermutu, walaupun harganya mahal kerana ia lebih tahan dari barang buruk dan jelek meskipun harganya murah.

Dalam dunia jualbeli akan ada orang menasihatkan, hendaklah memburu sesuatu didunia ini yang boleh di beli dengan harga murah tapi nilainya tinggi. Agaknya boleh ke kita dapat sesuatu yang berkualiti dengan harga murah? Tentu sukar sekali! Biasanya sesuatu yang berkualiti tinggi  harganya selalu mahal dan sukar mendapatkannya! Namun, barang yang berkualiti  tinggi itu mampu bertahan dan kekal lama!

Kehidupan ini adalah satu perniagaan jual beli kita didunia untuk mendapatkan akhirat kita. Jadi dalam perniagaan jual beli dalam kehidupan ini, yang kita nak buru adalah yang paling baik, paling berkualiti, paling tahan ....yang semestinya paling mahal iaitu mengenali Allah, mengharapkan redha dan cinta Allah SWT! 

Mengenali  Allah, mencintaiNya dan mengharapkan redhaNya  dalam hidup ini akan menyebabkan manusia itu mengenali dirinya sendiri,  menginsafi dirinya dari manakah dia datang, apakah tujuan penciptaannya dan kemanakah akan pergi selepas hidup di dunia ini. Barulah hidup ini akan menjadi lebih bermakna, bukan setakat makan, tidur, berkeluarga,  bersukaria tanpa tujuan! Setiap detik masa itu akan cuba  di manfaatkan sebaik-baiknya untuk meraih keredhaan dan cinta Allah SWT........

Hati yang sedar akan matlamat hidup ini merupakan hati yang dipimpin dengan hidayah Allah. Kesedaran jiwa sebegini merupakan bukti cinta Allah kepada sesaorang hambaNya dan Dia menginginkan kebaikan darinya.

Menurut Ibnu Qaiyyim Al-Jauzi , orang yang mempunyai kesedaran sebegini ada ciri-cirinya iaitu, hatinya sentiasa sibuk dan obses dengan akhirat. Segala yang dilihatnya di dunia ini memotivasikannya untuk akhirat. Dia melihat sesuatu menurut kacamata akhirat. Segala masa, tenaga, harta ,wang ringgit, kedudukan dan pangkatnya....di pergunakan untuk akhirat. Dalam hatinya sentiasa ingat akan kenapa Allah menjadikannya tak kiralah siapa dia....tujuan penciptaan manusia itu universal untuk semua iaitu menjadi hamba Allah SWT!

Berbezanya dengan orang yang lalai dan orang yang tiada ataupun kurangnya kesedaran! Dia juga selalu sibuk dan ada obsesinya.... iaitu sibuk dan obses dengan kerja-kerja dunia sampai ia lupa pada hari akhirat.  Jika dia membuat  sesuatu kerja, dia akan sibuk dan bersungguh-sungguh  dalam kerja dunianya....tidak mengaitkan sedikitpun apa yang dibuatnya untuk akhirat. Kalau ada pun cuma setakat sampingan sahaja, mainan bibir tidak sampai kejiwa dan melahirkan tindakan!  Allah menghendaki kita manusia ini serius dan tidak main-main dalam kehidupan ini.! Jiwa yang benar-benar sedar tidak mampu bermain-main dan lalai kerana takutnya pada azab dan kemurkaan Allah. Setiap sesuatu akan diperhitungkan!

Tingkat kesedaran yang dimiliki  di antara kita  tidak sama. Ada yang tinggi kesedarannya ada yang sederhana tapi yang banyak adalah  lemah dan kurangnya kesedaran! Semua ini bergantung pada tahap iman yang ada dijiwa, keimanan yang kuat akan melahirkan kesedaran yang tinggi dalam melaksanakan tuntutan Allah dan sentiasa berusaha untuk mencari keredhaanNya. Sebagai Muslim, perlu kita memiliki kesedaran yang tinggi ini, dan perlu ada usha bersungguh-sungguh  untuk memiliki kesedaran ini.

Bagaimanakah caranya kita memperkuatkan kesedaran ini bagi orang yang ingin sedar? Ada beberapa perkara yang perlu kita lakukan untuk tujuan ini di antaranya....
  • Taubat
Melalui taubat dapat menghilangkan dosa, maksiat dan menguatkan kesedaran untuk kembali pada Allah dan mentaatiNya dengan syarat dia menyesali perbuatan tersebut, tidak lagi mengerjakan maksiat itu dan bertekad tidak mengulanginya lagi. Penyesalan tersebut perlu betul-betul datang dari hati! Selalu memikirkan akan akibat perbuatan tadi  dengan kemurkaan Allah, lantas menambahkan kesedaran tidak mengulangi semula perbuatan maksiat  dulu.
  •  Ingatkan kematian
Mengingati mati pemutus segala kenikmatan seperti sabda Rasulullah saw yang  bermaksud...
"Perbanyakkanlah mengingati pemutus segala kenikmatan iaitu kematian."

Dengan mengingati mati  akan membangunkan sesaorang dari tidurnya hati dari kesedaran, mengikis sifat lalai kerana memikirkan saat nyawanya dicabut dan terbaring dirinya kaku dan akan diusung ke kubur yang sempit , gelap gelita dan  dingin , tempat cacing dan ulat! Apabila ingatan tentang mati inti cukup intens dan mendalam ia akan sedar dan berusaha semaksima mungkin agar dia menghadap Allah dengan wajah yang putih berseri, hati yang  suci bersih, penuh keredhaanNya! 
  • Ingat akan Penundaan Siksaan
Penundaan siksaan Allah terhadap manusia tidak sama dengan penundaan siksaan  sesama manusia.! Penundaan siksaan Allah  amat bahaya dan amat berat! 

Allah yang bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang sentiasa memberi ruang dan peluang bagi manusia yang ingkar dan berdosa kembali kepadaNya. Dengan rahmatNya kepada hamba-hambaNya, Allah memberikan kesempatan demi kesempatan pada manusia yang lalai dan berdosa  untuk bertaubat melalui ujian-ujian yang merupakan peringatan untuk menyedarkan manusia dari kesilapannya.

Namun jika manusia, ambil ringan tidak peduli akan peringatan demi peringatan yang diberikanNya.....lantas Allah akan membiarkannya dalam kesesatan dan mengunci  mati hatinya! Nauzubillah! Akibatnya tiada lagi kesedaran dijiwanya kerana ia tidak dapat melihat , mendengar dan memahami  sesuatu dari peringatan Allah lagi. Renungilah firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 7 yang bermaksud.....
" Allah mengunci mati hati dan pendengaran  mereka dan penglihatan mereka ditutup dan bagi mereka siksaan yang berat."

Oleh kerana beratnya siksaan Allah bagi orang yang lalai, orang yang tidak sedar,  orang yang berbuat dosa, selalulah kita menyoal diri.........  
Sampai bila kita terus larut dalam kelalaian kita?
Sampai bila kita anggap remeh tentang penundaan siksa Allah terhadap kita?
Mungkin Allah tidak siksa kita sekarang ...tapi kemudian nanti sanggupkah kita menghadapinya sedangkan betapa sakitnya kita bila tangan kita terbakar melecur didunia ini.....sedangkan api neraka lebih hebat panasnya?

  • Ingat akan dosa-dosa
Mengingati bahawa dosa itu buruk dan keji dan dimurkai Allah menyebabkan kita sentiasa waspada, tidak lalai dan bersemangat agar tidak terjerumus lagi melakukan dosa di masa akan datang.  Ini adalah sifat orang-orang yang mendekatkan diri pada Allah, sifat ahli ibadah dan sifat orang yang zuhud di jalan Allah. Apabila berbuat dosa mereka menangisinya sehingga ada yang berbuat demikian selama empat puluh tahun! Mereka menyesali diri kerana  dosa  yang telah dibuat dan menggap dosa umpama gunung yang akan menghempap mereka! Oleh kerana usaha mereka agar jiwa mereka sentiasa sedar, tidak lalai  dan ingat pada Allah ....Allah membantu mereka dalam meniti jalan yang benar!


Jadi kita seharusnya mengikuti jalan ini..............untuk meningkatkan kesedaran kita. Jiwa yang sedar adalah jiwa yang hidup yang dapat berjalan ditengah-tengah lautan manusia tanpa terpengaruh dengan godaan nafsu dan dunia. Jiwa yang sedar sungguh penting kita miliki agar kita mampu mengharungi hidup ini, mengikuti jalan yang betul dan dapat  kembali semula  kepangkal jalan bila tersasar dengan izin Allah!  

Rujukan 
Taujih Ruhiyah -Pesan-Pesan Spiritual Penjernih Hati
Abdul Hamid Al-Bilali


2 comments:

  1. asm
    Hatilah sasaran tarbiyah kita....Sekirannya berkesan dengan didikan Islam maka mudahlah kawalan diri...kalau setakat ilmu di akal kita masih belum tentu dapat membantu kita untuk istiqamah di atas jalan yang lurus ini...
    ATH

    ReplyDelete
  2. asm
    Ya Allah sedarkan hati-hati kami dari kelalaian dunia yang sementara...berilah hidayah pada kami dan saudara-saudara kami...hidupkan hati-hati kami ...janganlah biarkan kami yang menentukan nasib kami sendiri...sesungguhnya siksaan Mu amat berat sekali...
    ATAR

    ReplyDelete

Hakikat hidup ini...

Siapa yang gemar membantu orang, Maka hidupnya senantiasa dipermudahkan. Siapa yang memiliki sikap belas ihsan, Maka akan disayang sesa...