MENUJU MARDHOTILLAH

Belajar merupakan satu jihad di jalan Allah. Mengajar merupakan suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah! ..Jadi belajar dan mengajarlah dengan penuh keikhlasan padaNYA.

Wednesday, April 06, 2011

Sebab-sebab mengapa taubat itu wajib ..

Bismillahirrahmanirrahim...

Sabda Rasulullah saw dalam riwayat Muslim yang bermaksud....
" Sesungguhnya Allah membukakan tanganNya pada malam hari untuk menerima taubat orang yang melakukan dosa pada siang hari dan membuka tanganNya pada siang hari untuk menerima taubat orang yang melakukan dosa pada malam hari. Keadaan ini  (penerimaan taubat ) ini berterusan sehinggalah matahari terbit dari barat (kiamat)"

Dengan kasih sayang Allah yang Maha Tinggi kepada manusia, Allah membuka pintu taubatNya pada setiap insan yang berdosa pada setiap masa kecualilah pada ketika nyawa sudah berada dikerongkong dan bila kiamat sudah tiba! Justru itu, sebagai manusia yang banyak dosa dan kelalaiannya, sewajarnya kita selalu bertaubat dan beristigfar pada Allah tak kira masa dan ketika. Biasakan hati dan lidah kita sentiasa beristigfar padaNya!

Dalam bukunya, Minhajul Abidin, Imam Ghazali menyatakan bahawa taubat itu adalah satu tindakan hati untuk membersihkannya dari maksiat dan dosa yang menyebabkan hati itu terhijab dari Allah. Hijab disini bermaksud hati tidak merasai hubungan dengan Allah, tiada nikmat dalam ibadah padaNya, selalu rasa keluh kesah dan tidak tenang. 

 Untuk kita melaksanakan ubudiyyah kita pada Allah, bertaubat dari dosa adalah wajib. Ada dua sebab mengapa taubat ini adalah wajib...
  • Taubat wajib agar kita dapat melaksanakan ketaatan pada Allah. Sesaorang yang melakukan dosa menghalangnya untuk taat pada Allah, boleh menghilangkan dan menggugurkan iman pada Allah, lantas boleh menimbulkan perasaan tidak mahu berkhidmat kepada Allah. Dirinya akan semakin jauh dari Allah kerana hati yang menjadi gelap dan hitam akibat dosa yang dilakukan secara berterusan. Keikhlasaan dan kejernihan dalam ibadah sudah hilang! Tanpa rahmat dari Allah, hati sebegini akan terjerumus kelembah kekufuran dan kecelakaan.
Dalam satu hadis Nabi saw ada menyatakan ,"  Bilamana sesaorang itu berdusta, maka kedua-dua malaikat itu akan menyingkirkan diri, mereka tidak tahan dengan bau ucapan dusta yang keluar dari mulutnya."  Jika demikian bagaimana mungkin lisan yang berdusta dapat berzikir pada Allah? 
Apabila sesaorang itu selalu melakukan dosa dan maksiat dan tidak bertaubat darinya, dia tidak mendapat taufik , justru itu ia berat melakukan ibadah pada Allah. Jika ia melakukannya, itupun dengan payah dan tidak ikhlas! Jadi benarlah ,  apabila sesaorang itu susah dan tidak mampu untuk solat malam dan berpuasa, sebenarnya ia sedang di belenggu dosa.
  • Taubat  itu wajib agar ibadah kita diterima oleh Allah kerana taubat itu merupakan asas diterimanya ibadah pada Allah. Seolah-olah kedudukan ibadah itu hanya sebagai tambahan sahaja! Umpamanya bagaimana kita dapat terima kebaikan dengan doa dan munajat kita pada Allah sedangkan Allah murka dan benci dengan kita yang melakukan dosa dan maksiat? Bagaimana hendak jadi baik jika yang halal dan harus ditinggalkan, tapi yang haram berterusan dilakukan?  
Jadi bertaubat bermaksud membersihkan diri dari segala dosa yang dilakukannya dengan mengagungkan Allah dan merasa takut dengan perkara-perkara yang menjadi kemurkaanNya.

Seorang ulama sufi, Syeikh Al-Busyanji menerangkan akan hakikat taubat, " Taubat itu adalah apabila kamu mengenangkan dosa-dosamu , kamu tidak merasai kemanisan ketika mengingatinya kerana penyesalan dan kesedihan terhadap dosa-dosa itu, maka taubat itu adalah taubat yang benar." 

 Bertaubat itu sebenarnya satu kemestian yang perlu kita laksanakan setiap hari kerana memang diri kita tidak sunyi dari melakukan dosa sama ada kita sedari atau tidak!. Jadi perlulah kita sentiasa suburkan rasa ingin bertaubat dalam diri kita melalui dua cara ....
  • Zikrul maut.  Dengan mengingati mati dan membayangkan kehidupan bersendirian di alam kubur dapat menyedarkan jiwa agar segera bertaubat dari dosanya. Kematian yang pasti akan tiba dapat memendekkan angan-angan manusia dan tidak mengejar dunia yang tidak bernilai disisiNya. Apabila melakukan dosa, dia akan cepat sedar dan segera bertaubat bila ingat selalu akan mati yang tidak tahu bilakah akan datang menjemputnya. 
  • Mengingati nikmat dan azab Allah SWT.  Dengan mengingati selalu akan nikmat Allah seperti syurga yang penuh nikmat yang disediakan bagi orang yang taat dan berbuat baik dan  neraka yang penuh azab  yang disediakan bagi orang yang berdosa, dapat menyegerakan taubat sesaorang yang ingat akan janji-janji Allah yang pasti benar itu! 
Melalui taubat yang benar akan mengembalikan manusia itu kepada hakikat kehambaan pada Allah yang sebenarnya. Seperti kata seorang ulama, Al-'Arif Billah Yahya bin Muaz Al- Razi.....
"Beruntunglah bagi sesiapa yang meninggalkan dunia sebelum dunia meninggalkannya, membangunkan kuburnya(bertaubat dan bersiap sedia dengan amalan)sebelum dia memasukinya, dan redha dengan Rabbnya sebelum dia menemuiNya."  

Jadi, marilah kita sama-sama menyegerakan taubat kita pada Allah untuk membersihkan hati kita, memurnikan ubudiyyah kita pada Allah.....Mudah-mudahan Allah menerima taubat kita dan kita tergolong dikalangan orang yang selalu bertaubat padaNya....
Amin Ya Rabbal Alamin...  

Rujukan 
Minhajul Abidin oleh Imam Al-Ghazali
Majalah Solusi 


1 comment:

  1. asm

    Rasulullah SAW memohon ampun dan bertaubat setiap hari...." sesungguhnya hatiku telah tertutup tetapi aku selalu memohon ampun kepada Allah 100 kali dalam sehari [HR Muslim]
    TH

    ReplyDelete

Peringatan....

Jika engkau mahukan teman...
Cukuplah Allah sebagai teman.
Jika engkau mahukan musuh..
Cukuplah nafsu sebagai seteru..
Jika engkau inginkan hiburan..
Cukuplah Al-Quran sebagai hiburan..
Jika kamu inginkan nasihat..
Cukuplah mati sebagai penasihat.

Link within

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Surah Al Isra' : 72

"Barangsiapa yang buta(hati) di dunia ini, maka dia juga akan buta di akhirat kelak dan lebih sesat jalannya."

Kehadiranku di website ini.......

Daisypath - Personal pictureKehadiranku di sini....

visitor's map....