MENUJU MARDHOTILLAH

Belajar merupakan satu jihad di jalan Allah. Mengajar merupakan suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah! ..Jadi belajar dan mengajarlah dengan penuh keikhlasan padaNYA.

Monday, December 13, 2010

Bersegeralah bertaubat pada Allah SWT!

Bismillahirrahmanirrahim.... 
      
Taubat dari segala dosa yang dilakukan oleh orang yang beriman dalam perjalanan menuju redha Ilahi merupakan suatu yang wajib dilakukan sebagaimana yang di perintahkan oleh Allah dalam Al-Quran dan hadith Rasulullah saw juga disepakati oleh para ulama seluruhnya.
    Seorang ulama Sahl Ibn Abdillah pernah berkata ," Sesiapa yang berkata bahawa taubat itu bukan perkara fardhu'  adalah kafir. Sesiapa yang redha dengan kata-katanya itu, dia juga kafir."
    Firman Allah dalam Surah At-Tahrim :8 yang bermaksud.....
        "Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan "taubat nasuha", Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): "Wahai Tuhan kami! sempurnakanlah bagi Kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".
    
      Ayat ini merupakan seruan Allah kepada orang-orang beriman agar mereka bertaubat dengan taubat yang murni(nasuha) di atasa segala kesalahan dan dosa dan mengharapkan dua perkara atau matlamat yang ingin dikejari dan diraih iaitu..

  • penghapusan dosa
Manusia tidak terlepas dari berbuat dosa dan kesalahan yang sering menghantui dirinya disebabkan fitrah manusia yang terdiri dari dua unsur yang bertentangan iaitu unsur roh samawi dan unsur tanah bumi. Kedua-dua unsur ini saling tarik menarik antara satu sama lain yang mana salah satunya akan menang. Jadi setiap manusia akan terdedah kepada kesalahan dan dosa. Dengan bertaubat, ia dapat mensucikan hati dan amalan dari  segala dosa dan kesalahan yang dibuat. 
  • masuk ke syurga
Persoalan yang sering bermain di fikiran orang mukmin ialah kesudahannya di hari yang kekal abadi: adakah aku terselamat di hari Akhirat nanti atau binasa dan celaka? Adakah bahagia atau kecewa? Dimana kah tempat kesudahanku syurga atau neraka?
Firman Allah dalam  Surah Ali-Imran : 185 yang bermaksud.....
    " Barangsiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka sesungguhnya dia telah beruntung. Kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan." 

    Allah menyuruh semua orang-orang beriman bertaubat tidak terkecuali seorang pun tidak kira sekuat mana istiqamahnya atau setinggi mana darjat ketakwaan sesaorang itu. Setiap orang memerlukan kepada taubat ini. Samada bertaubat dari dosa-dosa besar, dosa-dosa kecil, perkara-perkara syubhat, perkara-perkara makruh bahkan bertaubat dari kelalaian yang terlintas dalam hati atau mungkin yang lebih ringan dari itu.  
 Sabda Rasulullah saw dalam satu hadithnya yang yang bermaksud...
     "Setiap orang dari kamu melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah bertaubat."
       Itulah hakikatnya manusia ini tiada yang terlepas dari kesalahan, bahkan para Nabi juga. Manusia tidak terlepas dari maksiat anggota badannya, maksiat hatinya, bisikan-bisikan syaitan dalam jiwa yang membuatkan ia lalai dari Allah dan kekurangan serta kelalaiannya dalam mengenal Allah SWT.
Jadi, bertaubat ini merupakan satu keperluan dan kewajipan dan hendaklah dilaksanakan secara berterusan. Jika tidak, kita tergolong di kalangan orang-orang yang zalim sepertimana dalam        Firman Allah lagi dalam Surah Al- Hujurat :11 yang bermaksud.....
"Barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itu orang yang zalim." 
     Selain dari wajibnya bertaubat dari dosa dan kesalahan, adalah juga merupakan satu kewajipan  bersegera melakukan taubat jangan melambatkan atau menangguhkannya. Melambatkan dan menangguhkan taubat sebenarnya membahayakan hati. Jika tidak segera membersihkan hati dari dosa-dosa ini, ditakuti dosa dosa ini meliputi hati satu demi satu sehingga hati jadi hitam dan dipenuhi kepalsuan. Keadaan yang berterusan begini menjadikan hati gelap tidak sensitif lagi dengan dosa , menjadi keras dan akhirnya hati itu boleh mati. Nauzubillah. Diketika ini,  jauhlah empunya hati dari rahmat Allah dan berada dalam jurang kehinaan! Sabda Nabi dalam satu hadithnya yang bermaksud.....
    "Jika sesorang melakukan dosa, maka dituliskan satu titik hitam dalam hatinya. Jika ia melepaskan diri dan memohon ampun, maka hatinya akan tergilap(bersih).  Jika dia mengulangi dosa tersebut, maka titik hitam itu bertambah sehingga menjadi tebal dihatinya. Itulah tutupan yang disebutkan Allah " Sekali-kali tidak demikian, sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka." ( Surah Mutaffifin:14)  
     Sebenarnya ungkapan menangguhkan taubat seperti 'nanti aku akan bertaubat' atau 'belum tiba masanya aku bertaubat aku masih muda, tunggulah dulu' suatu ungkapan yang merbahaya kerana ia adalah salah satu dari tentera syaitan. Kebanyakan penghuni neraka adalah mereka yang sering berkata ungkapan 'nanti' ini. Orang yang menangguhkan taubat ini umpamanya orang yang mahu mencabut sebatang pokok. Apabila ia cuba mencabut pokok tersebut dan didapatinya sukar  berbuat demikian, dia berkata 'aku akan biarkannya, nanti aku akan kembali mencabutnya kemudian.' Tapi dengan berlalunya masa,  pokok yang kecil tadi semakin membesar, akarnya semakin teguh dan batangnya  membesar. Sudah tentulah  sukarnya  mencabut pokok besar dengan akarnya sekali nya lebih-lebih lagi dengan umurnya yang semakin bertambah dan tenaganya yang semakin berkurang! Jadi semakin lama ditangguhkan taubat, semakin sukarlah dosa dicabut dan hapuskan dari hati  kerana dosa itu sudah merebak, bercabang dan berakar umbi di jiwa.  Kerja yang pada awal nya mudah dilakukan bertambah sukar bila dibiarkan lama!
    Ramai sekali orang sering menangguhkan taubat mereka sehinggalah ke saat akhir, tunggu bila dah tua di ketika itu badan sudah lemah semangat berkurang dan selalu sakit! Ada yang merasakan dirinya akan hidup lama, sedang hari esok adalah sesuatu yang belum pasti! Janganlah menangguhkan taubat sehingga tertutupnya pintu taubat pada ketika nyawa sudah sampai kekerongkong! Taubat pada ketika ini tidak diterima sepertimana taubat Firaun ketika dia sedang tenggelam di laut Merah dimana dia berkata " Aku percaya bahawa tiada Tuhan selain Tuhan yang dipercayai oleh kaum Bani Israel  dan aku termasuk dikalangan orang yang beriman."  Allah menolak keimanan Firaun ini seperti dalam firmanNya dalam surah Yunus :91 yang bermaksud  ............
   "Adakah sekarang (baru kamu percaya) padahal sesungguhnya kamu sudah derhaka sejak dahulu dan kamu termasuk dikalangan orang-orang yang berbuat kerosakan."
   Iman 'last minute' yang tertolak, jadi kita perlulah ambil iktibar tentang ini, jangan jadikan sikap suka buat kerja 'last minute ini' satu tabiat sehingga taubat pun 'until the last minute'.  Sengsara dan sesak nafaslah kita nanti...... 
      Sama sama kita renungi hakikat taubat yang Allah SWT  terima seperti dalam firmanNya dalam surah An-Nisa: 17-18.....
   "Sesungguhnya penerimaan taubat itu disisi Allah hanyalah bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka mereka diterima Allah taubatnya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia: "Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini," (sedang taubatnya itu sudah terlambat), dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Bagi orang-orang yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya."
    Jadi perlulah kita segera bertaubat, kerana dengan berbuat demikian segala kejahatan dan keburukan yang dilakukan akan digantikan oleh Allah SWT dengan kebaikan-kebaikan. Taubat yang ikhlas dan benar yang Allah terima mempunyai beberapa tandanya diantaranya:
  • Orang yang bertaubat itu selepas bertaubat keadaannya lebih baik dari sebelumnya, baik akhlaknya, tertingkat amalannya, banyak istigfarnya.. 
  • Ketakutan terhadap dosa sentiasa menyertainya sehingga mati dan mendengar malaikat berkata padanya "Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih, dan bergembiralah kamu dengan (memperoleh syurga) yang telah dijanjikan Allah kepadamu."Surah Al-Fushilat:30 
  • Banyak menangis dan bersungkur di hadapan kekasihnya , Allah SWT. Selalu menyesali dan bersedih diatas perbuatan dosa dan terlanjur yang telah lalu, tidak rela kembali kepadanya. Umar bin Zar  berkata tentang kesedihan ini," Segala kesedihan itu buruk, kecuali kesedihan orang-orang yang bertaubat dari dosa."
  • Bagi orang  berdosa merasakan sempitnya bumi dan sesaknya jiwa sehinggalah ia bertaubat yang menjadikan jiwanya lapang dan bumi yang rasanya sempit itu kembali luas.
  • Menjauhi kawan dan pengaruh-pengaruh yang jahat dan bersahabat dengan orang-orang yang baik,

Sama-samalah kita memohon kekuatan dari Allah untuk menghindari diri dari berbuat dosa tak kiralah sama ada dosa itu kecil lebih-lebih lagi dosa besar.  Tingkatkan iman dan ketakwaan diri kerana inilah benteng yang kuat yang yang dapat menjaga kita terjebak dari dosa. Jika terlanjur akibat kecuaian dan kelemahan diri, cepat-cepatlah bertaubat pada Allah dengan penuh keikhlasan hati. InsyaAllah, Rahmat Allah begitu luas, Allah Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang kepada mereka yang suka dan segera bertaubat dari dosanya. 

Rujukan
Taubat kepada Allah- Prof Yusuf Al-Qardhawi
Rahsia Penyinar Hati

4 comments:

  1. asm

    Memang benar taubat terlalu penting di dalam kehidupan kita...merupakan nikmat bagi kita manusia yang lemah ini...dengan kita bertaubat nasuha hati kita kembali tenang dengan janji Allah. Ingatlah Rasulullah SAW yang ma'sum pun memohon ampun 100 kali
    "Sesungguhnya, hatiku telah tertutup, tetapi aku selalu memohon ampun kepada Allah 100 kali dalam sehari [HR Ahmad dan Muslim]

    KITA YANG BANYAK DOSA NI, BAGAIMANA 1000, 10000 ATAU.... tetapi malang kadang-kadang terlupa langsung....

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah

    Ya Allah, berilah kami kekuatan utk bertaubat kpd Mu. Sesungguhnya tiada daya upaya melainkan MU Ya Allah

    HABAT

    ReplyDelete
  3. asm
    "apabila langit terbelah, dan apabila bintang-bintang jatuh berserakan, dan apabila lautan dijadikan meluap, dan apabila kubur-kubur di bongkar,maka tiap-tiap jiwa akan mengetahui apa yang telah dikerjakan dan yang dilalaikannya" [Al Infithar: 1-5]...ayuh saudara ku...takut nya dan cepat lah bertaubat nasuha....

    SRAW

    ReplyDelete
  4. taubat juga x akan diterima oleh allah pada hari kiamat juga..dan sesungguhnya tanda2 kiamat semakin byk kelihatan...wallahualam..

    ReplyDelete

Peringatan....

Jika engkau mahukan teman...
Cukuplah Allah sebagai teman.
Jika engkau mahukan musuh..
Cukuplah nafsu sebagai seteru..
Jika engkau inginkan hiburan..
Cukuplah Al-Quran sebagai hiburan..
Jika kamu inginkan nasihat..
Cukuplah mati sebagai penasihat.

Link within

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Surah Al Isra' : 72

"Barangsiapa yang buta(hati) di dunia ini, maka dia juga akan buta di akhirat kelak dan lebih sesat jalannya."

Kehadiranku di website ini.......

Daisypath - Personal pictureKehadiranku di sini....

visitor's map....